Langkah yang seriringan dan selari adalah merapatkan diri dalam apa situasi pun kearah mendapatkan keredhaan dariNya. Usia yang panjang semata tapi masih bergelumang dengan perkara mungkar memudaratkan diri rasanya adalah penghujung yang amat ditakuti dan sedaya mungkin akan cuba menghindarinya. Apapun, bukanlah kita yang menentukan segalanya. Kita hanya meluahkan keinginan dan mengharapkan dengan segala tindak tanduk yang bersesuaian lagi terarah dalam mencari ketenangan keredhaanNya agar tercapai.
Menyatakan hasrat hati dengan setulusnya kepadaNya memang patutlah disertakan dengan tindakan yang betul. Selebihnya kenalah bertawakkal dan tanpa jemu jemu dengan mengulang ulang melakukan hal hal yang baik baik. Di waktu yang sama juga maka harus menghindarkan diri dari melakukan perbuatan mungkar yang akan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Bercakap memang senang. Bertindak melakukanlah adalah perkara yang sukar dilaksanakan penuh jaya. Disetiap masa dan ketika akan ada sahaja 'sesuatu' yang dirasakan seperti cuba menghalang melewatkan malahan mungkin sampai ke tahap mengagalkan andai tidak dipantau dengan teliti lagi cermat.
Apapun perkara yang menimpa diri pada pagi ini membuatkan diri rasa terpukul. Hati ini memang melonjak lonjak mahu berjamaah Subuh di Masjid. Namun sejak awal tahun lagi, anak aku yang bongsu telah membuat keputusan untuk tidak mahu duduk di asrama. Aku ada bertanya kenapa tapi alasan mudah yang diberinya tidak selesa dengan perangai bebudak yang seolah tidak mahu belajar. Bunyi macam dangkal sahaja. Nasihat aku kepadanya bila dia berpandangan sedemikian, adalah ayah tidak kisah dan bagi ayah yang penting mahu belajar dan mencapai gred yang baik. Sebermula dari 02/01/2024 maka setiap pagilah sehinggalah tamat sessi persekolahan untuk 2023/24 pada 08/02/2024 terpaksalah menghantar dan menjemputnya dari sekolah.
Ini pengorbanan yang aku buat demi memastikan momentum pembelajarannya tidak terganggu. Samada duduk dirumah mahupun diasrama tidak menjadi persoalan tapi apa yang aku lebih titik beratkan adalah keinginan belajar ke tahap yang lebih tinggi. Apa yang bakal terjadi akibat dari keluar asrama atas kerelaan sendiri tentulah ketentuan dariNya jua. Tiada daya dan upaya untuk aku melawan takdir dariNya.
Sepatutnya aku telah berada di Masjid bersama jamaah khariah bersembahyang Subuh. Memangpun sejak semalam lagi aku telah bertekad untuk hadir ke Masjid. Bayangkanlah sejak awal tahun lagi, setiap kali aku menghantar si Yaseer ke sekolahnya, pasti akan berselisih dengan mereka yang telah selesai berjamaah Subuh. Berderet deret berselisih menunggang motosikal terutamanya di persimpangan Bayan 8 dalam taman yang aku diami ini. Tertanya tanya pada diri sendiri - bila agaknya aku berpeluang hadir sama berjamaah - sambil memandu berlalu ke destinasi tujuan.
Bangun awal pagi adalah kebiasaan. Setiap hari dengan smartphone berada ditepi katil akan membangkitkan diri tanpa jemu pada 5:00am. Bangkit segera dan membersihkan diri seperti selalunya. Namun tidak lagi terlintas untuk berjamaah Subuh. Komitmen kerja bergajian masih menjadi keutamaan walaupun hati berhajat berhasrat untuk sertai ke Masjid. Untuk pagi ini seusai bangkit, menonong ke toilet melepaskan hajat. Selesai masuk ke bilik mandi pula. Kesejukan pagi tidak jadi halangan kerana aku bermandian dengan pancuran air panas 'jet-pump' lagi. Subuh untuk pagi ini @ 6:18am. Sekitar 5:50am aku telah siap berpakaian untuk solat. Loud speaker dari Masjid Rhaudahtu-Jannah sedang mengalunkan bacaan al-quran yang ditelah siap dirakamkan. Penggunaan teknologi konon katanya. Hampir segalanya dalam kehidupan ini telah kita sandarkan pada 'gadget' dalam memudahkan urusan seharian kita.
Aku terpaku di gaming chair yang aku beli via shopee setahun yang lalu memandang kosong kearah desktop HP pemberian Ahmad Yusuf. Melekap sambil tangan membilang tasbih berzikir.
Moga dipermudahkan Allah swt.
No comments:
Post a Comment