Saturday, February 9, 2019

Aku dan kehidupan

 4/2/2019 09:45pm


Entahlah...ini adalah catatan terkini untuk platform Idailydiary. Sering sangat desktop ini mengalami gangguan. Gangguannya pula tidak terdugakan berlaku. Tanpa ada membuat back-up, alih-alih 'pop' sahaja hang. Banyaklah catatan catatan peribadi aku yang tanpa sengaja, hilang begitu sahaja. Namun terdapat juga beberapa catatan yang sempat disimpan didalam pendrive sebagai tatapan kenangan.


Menghasilkan sesebuah coretan walaupun nampak mudah tapi buat diri ini ianya terlalu peribadi sifatnya. Luahan rasa semasa dan ketika catatan itu dibuat amat bermakna. Segala yang dicurahkan adalah spontan. Originality dan hanya empunya dirinya sendirilah yang tahu akan apa yang dicatat dan dizahirkan menurut sudut pandangan sendiri. Pun begitu ianya tidaklah sampai ketahap merajuk. Namun pengalaman sedemikian akan menjadi pengajaran yang amat bermakna agar tidak terjadi dikemudian harinya nanti. Kesilapan sering dan mudah sangat untuk terjadi. Banyak faktor penentunya. Walhal siapapun kalau mengikut logik akal, tentunya tidak mahukan kehilangan akan apa sahaja yang diusahakan apatah lagi bertahun telah dihasilkan.


Setiap dari kita pastinya punyai kisah perjalanan kehidupan masing-masing. Mahu mengingati detik perjalanan mahupun tidak adalah bergantung kepada empunya diri. Kalau dirasakan tiada punyai ruang untuk meluahkan tidak perlulah bersusah susah mengingati menulisnya. Namun bagi diri aku pula, aku berpendirian, mungkin dipengaruhi dari minat membaca genre 'autobiography' yang dihasil dan dipena oleh penulisnya sendiri membuatkan diri ini amat teruja untuk mencoretkan kisah kisah kehidupan yang dilalui sekadar mana yang termampu diingati. Tabiat mencatat yang aku lakukan sejak menamati alam persekolahan dahulu iaitu sekitar 1982 sebaik menunggui keputusan SPM 81 dan di-intensified pada 1988 ketikanya menunggui keputusan Diploma membolehkan diri ini semacam 'handy' sesangat menumpahkan apa sahaja cerita yang menyentuhi diri semasa dan diketika sesuatu kejadian terjadi. Fresh comment dan apa jua yang terlintas difikiran diketika sedang mencoret akan terus sahaja aku nukilkan didalam buku nota yang khas untuk catatan. Ketika itu, media sosial belum terdengarkan lagi tapi coretan coretan pendek sering aku selak membacanya bila ada masa terluang. Al-maklumlah, masih belum ada komitment lagi ketika itu.


Diketika ini dan bila menoleh kembali nota-nota lama yang dikarangi, seolah-olah aku 're-visited' kejadian yang pernah aku sendiri alami dan saksikan yang terasa baru sangat aku lalui. Betul, masa tidak boleh dianjakkan kembali namun kenangan apatah lagi yang menyentuhi perasaan tidak sekelumitpun akan dilupai. Berbeza pada mereka yang tidak merakamkan kejadian yang dialami, yang pastinya akan terkial-kial cuba mengimbau antara betul ataupun tidak. Kesamaran akan menghadirkan kesukaran meneka dan mungkin akan mengelirukan. Biarlah apa yang orang lain ingin perkatakan...terpulanglah. Buat diri ini, mencatat kisah diri sendiri bukanlah untuk meraih simpati apatah lagi minta dibanggakan tapi sekadar merakamkan kejadian yang dialami serta turut ada menyaksikannya sendiri setiap  peristiwa yang berlaku. Perspektif yang dizahirkan adalah pandangan peribadi aku. Orang lain peduli apa. Bak kata omputih, 'No hold bar'. Hantam sahaja mengikut apa yang difikirkan dan dirasakan.


Mungkin, mungkin lah peri-perjalanan kehidupan orang lain penuh berwarna warni, bercorak, berseni lagi berseri. Ini aku rasai setelah membaca puluhan buku 'autobiography' dari penulis yang berwibawa dan mereka yang pada hemat kita amat-amat berjaya kehidupan mereka. Namun tiada sesiapapun boleh meragut mencuri kisah perjalanan kehidupan aku biarpun mungkin ada liku-liku perjalanan awal aku ada banyak persamaannya. Sudut pandangan serta tindak tanduk yang berbeza antara sesama kitalah yang membuatkan perjalanan kehidupan masing masing bervariasi. Senang cakap tidak akan bersamaan antara individu dengan individu yang lainnya.


Memuaskan citarasa sendiri menjadi keutamaan. Apa hal pula orang lain hendak mencampuri urusan peribadi aku. Biarlah aku tidak punyai wang berjuta mungkin, juga harta yang banyak untuk dibanggakan tapi pengalaman serta keterlibatan aku didalam situasi yang masih serta segar diingatan sehingga ke saat ini perlu aku dokumenkan agar setiap apa yang terjadi itu menjadi contoh tauladan bagi mereka yang sudi 'mengambil'nya serta menilainya dari sudut pandangan masing masing.