Laman Kehidupanku
Ini merupakan entri pertama aku kedalam personal diary - Laman Kehidupanku - yang baru aku ujudkan.Kehadiran personal diary atau journal atau buku catatan harian atau apa saja istilah merujuk kepada dokumen ini merupakan suatu medium untuk aku meluahkan apa saja yang terbuku, terpendam, tersirat dan juga terkenang, apatah lagi yang terkena dan terkesan dihati. Aku tidak menghadkan sebarang topik untuk dibicarakan. Semuanya bergantung kepada kesesuaian masa dan ketikanya aku mendapat input yang memungkinkan aku mencoretnya dengan penuh bertanggungjawab.
Sebenarnya, amat payah untuk aku mengingati dan mengimbau susur galur perjalanan sejak aku dilahirkan di pagi Ahad 02/02/1964. Semua orang punyai kisah kehidupan masing-masing. Tiada sesiapapun menempuh kisah yang sama walaupun keberadaan di dalam kejadian yang sama. Diantara kita pastinya di suatu masa dan pada detik tertentu akan bersilang pada suatu titik untuk sesama menikmati dan menghargai kehidupan. Sudut pandang yang jarang benar bersamaan memungkinkan lama sekejapnya untuk senantiasa di suatu titik yang ditakdirkan. Makanya, untuk masing-masinglah merenungkan apa yang tersurat mahupun yang tersirat. Tafsiran yang di buat oleh diri hanya benar dan bermakna buat dirinya sendiri. Sejujurnya, tiada seorangpun berhak menafikan apatah lagi mempertikaikan walaupun mungkin kenyataan itu tidak masuk akal bagi orang lain. Apa hal untuk persoalkan sedangkan itulah perspektif dirinya.
Nak kemana kita? Rasanya tiadalah apa lagi yang hendak dikejarkan melainkan dari memantapkan diri dari segenap segi dalam menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang samada yang terjangka dan yang tak terduga sama sekali. Itupun kalau mampu untuk aku menyerap dan mengatasi segala dugaan hidup yang tidak mampu untuk sesiapapun mengelaknya. Apa yang perlu, ketabahan hati dan berserah diri kepada yang maha Esa setelah melaksanakan yang paling terbaik mungkin berpandukan pemerhatian sekeliling keatas apa yang ditimpakanNya kepada orang lain serta panduan dan peringatanNya yang disalurkan melalui Al-Quran dan bimbingan yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.
Namun kemampuan seseorang untuk mentafsirkan segala peristiwa yang dilihat, dialami, didengari dan dimaklumi amat bergantung kepada sejauhmana serta sedalam mana ilmu dan kaedah yang seseorang itu miliki dalam menepati atau menemui sasaran.
Begitupun banyak perkara yang menyentuh hati kekadang tu sengaja dibiarkan berlalu. Bukan tidak mahu diulas ataupun diperkatakan tapi lebih kepada memendamnya sahaja dihati. Namun ada juga perkara-perkara yang perlu juga diluahkan agar apa yang terbuku dihati dapat dihadirkan sebagai satu panduan dan peringatan berguna dalam mengharungi sisa-sisa hidup didunia ni. Bukan mudah hendak melupakan akan sesuatu peristiwa, lebih-lebih lagi yang menyentuh hati dan perasaan. Bila diri kekurangan berbanding dengan orang lain maka tatkala itulah rasa kecelaruan mengganggu diri. Bukannya meratapi tapi tersedar beginilah hakikat kehidupan. Bertuahlah bagi mereka yang sentiasa dalam kelapangan dan kesenangan hidup. Kerapkali juga kita tidak menyedari bahawa tingkah laku kita kekadang tu boleh menyinggung perasaan orang lain. Samada tidak sengaja, disengajakan ataupun terlepas pandang namun tindak tanduk kita telah disalah tafsirkan oleh orang lain.
Sebenarnya sifat semulajadi dan potensi diri tentulah ada pada setiap insan yang normal sifatnya. Tambahan pula bila melihat orang sekeliling dan juga dimana-mana sahaja didalam dunia ini, orang yang sudah dewasa perlu melalui proses pendewasaan yang tidak perlu diajari. Segalanya bergerak dan berputar seperti yang dilihat dilingkungan kehidupan masing-masing. Hidup lawannya mati, muda lawannya tua dan segala sesuatu pastinya ada permulaan dan pengakhiran.
Redah sahajalah dan carilah keredhaanNya.
zaini642
Monday, April 16,2012
No comments:
Post a Comment