Seingat akulah, pernah aku menghasilkan catatan tentang tajuk ini. Sudah banyak bulan aku cuba mencarinya didalam platform digital journal yang aku ada. Gagal menemui. Letih mencari. Tidak ingat dimana. Mungkin telah dipadamkan atau tidak tersengaja ianya hilang disebabkan pernah berlaku 'crash' pada komputer lama aku.
Bila diformatkan semula dan 'berhijrah' pula kepada komputer baru, mungkin ada file yang terlepas pandang dan dengan tidak tersengajanya ianya hilang tanpa disedari. Inilah kelemahannya bila tiada membuat back-up. Benda yang tidak tersangkakan berlaku dan tidak pernah terfikirkan untuk membuat salinan.
Apapun, ruangan ini adalah tempatnya untuk aku mencurahkan ulasan serta kaitan langsung mahupun tidak dan punyai 'sentimental' value pada diri akan sesuatu lagu yang didengari. Mungkin ianya sekadar biasa biasa sahaja bagi seseorang tapi bagi diri aku, ianya amat bermakna dan bersifat personal pula.
Kekadang perasaan dibuai rasa sedih dan sayu bila mendengarinya. Ada ketikanya boleh menghiburkan diri ketika lagu itu seiringan dengan peningkatan usia.
Tapi kini pandangan dan 'kritikan' berbeza terhadap lagu yang aku membesar bersamanya dahulu.
Memanglah suasana dan kehidupan dimasa dulu dan kini amat jauh ketaranya. Maka akan timbullah nostalgia yang mengamit kenangan yang dilalui.
Platform ini dan yang lainnya memang sengaja aku ujudkan menuju persaraan. Ianya menjadi wadah buat diri 'passing time' santai santai menulis di blog.
Priority-nya adalah buat menyibukkan diri agar tidaklah terperap terpaku tanpa membuat sesuatu. Hobi menulis yang aku mulai sejak dari tahun 1988 lagi yang ketika itu hanya di 'notebook' sahaja semacam dairy kehidupan berdikit dikit menjadi routine harian pula kini.
Segala macam cerita aku longgokkan. Menulisnya pula ketika itu mengikut kesesuaian masa. Rajin aku tulis panjang panjang. Kalau malas pula yang hadir, kekadang berminggu tidak bersentuh.
Berbalik pasal 'Aku dan Lagu' ini, aku diketika berdarjah lima lagi telah mulai berjinak jinak dengan 'rekod' atau piring hitam. Bermula dengan dibelikan record player, tidak lengah lagilah koleksi pring hitam mulai bertambah.
Malah lebih awal lagi aku telah dipengaruhi atas kerelaan diri mendengari siaran radio yang ada ketika itu. Lagu lagu 60an menjadi minat untuk didengari dipenghujung 60an dan awal 70an. Radio milik keluarga yang agak besar gedabak dijana tenaganya dengan 6 biji D size, seingat akulah, Eveready dengan grafik kucing hitam sedang melompat menerkam.
Diusia 5 ke 6 tahun ketika itu, sering menghampiri abang abang aku yang berjarak usia belasan tahun dan sudah dikira awal remaja mereka, berbual berborak dengan rakan sebaya mereka sambil mendengar siaran radio. Hasrat hanyalah hendak dengar lagu tapi sering tidak dibenarkan. Initiatif aku ambil agar tidak ketara sangat adalah dengan berada berjarak dari mereka tapi masih jelas dipendengaran akan siaran radio. Selalunya buatlah aktiviti seperti cabut rumput, peganglah apa apa benda seolah sedang melakukan sesuatu tapi hakikat sebenarnya telinga mencarak mendengar radio.
Keraplah kena buli dengan mereka. Budak kecik hendak tumpang dengan dengan budak dewasa bersembang tentulah tidak kena tidak sesuai. Selalu sahaja kena marah dan dihalau pergi.
Makanya, inilah ruangan untuk aku perkata persoalkan apa yang 'pelik' dan luarbiasanya serta yang berkait dan terkait dengan diri akan lagu lagu yang amat 'dekat' dengan diri.
Selamat mengikuti timeline aku.
No comments:
Post a Comment