Thursday, March 31, 2016

Jangan Lukakan...

31 MARCH 2016, 03:36 PM

Pagi tadi macam biasalah ke pasar lagi aku. Apa sahaja yang mengusik hati akan cepat benar terasanya. Walaupun cuba membiarkan sahaja perkara ini berlalu tapi perasaan dan hati tidak dapat membenarkan malah entah ke gatal aje hendak persoalkan. Mungkin setiap persoalan dan pertanyaan harus dirungkaikan sehabis baiknya agak ianya tidak berbangkit dikemudian hari. Selalunya siaran radio Sinar FM menemani pemanduan. Tapi buat kali ini aku mendengari koleksi lagu-lagu Black Dog Bone(BDB) yang sejak semalam lagi dimainkan di CD player. Start-kan engine sahaja maka secara auto pula terlalak-lalaklah Jatt dan Razzi M bernyanyi menghiburkan. Pilihan lagu-lagu yang di-download-kan dari internet dan disusun mengikut pilihan pendengaran aku. Mood lagu dikategorikan slow, rancak dan irama jogetnya didalam folder memudahkan pendengaran. Kekadang celoteh Sepahtu yang dikontrak-kan untuk menyinari pagi pendengar Sinar FM tidak berapa hendak kena dengan mood semasa menyebabkan aku beralih arah.


Ketika bebudak semua telah kesekolah, aku dan orang rumah semacam rutin mingguan pula bergerak ke pasar. Laluan ke pasar kurang lebih ke pukul 8:00 am tidaklah sesibuk ketika menghantar budak kesekolah sekitar 7:05 am tadi. Kami mengambil jalan rentas. Menyelusuri Jalan Demang Hussin dari Bukit Katil yang asalnya adalah Markas dan Surau Pas yang ditiadakan penuh peristiwa dan bersambung pula dengan jalan sedia ada didalam Taman Merak Mas dan menyampaikan ke Bukit Baru terhamparnya jalan baru berjarak 500 meter sahaja dan dinamai Jalan Datuk Haji Ghani Ali. Untuk melepasi kawasan taman ini terdapatnya 5 'hump' atau bonggolan yang strategically located demi keselamatan penghuni taman yang berjarak setiap satunya kurang lebih 100 meter. Kereta cuma beberapa buah sahaja yang berselisih. Maklumlah kebanyakan penghuni telahpun bergerak ketempat kerja terutamanya yang melayu bergajian dengan kerajaan. Manakala yang dipihak swasta pula masih belum bergerak keluar bila terlihatkan kereta semi mewah dan MPV masih bersidai ditepi jalan depan rumah.

Bergerak perlahanlah sambil berbual-bual dengan iringan lagu dendangan Jatt. Selepas lagu rancak Jatt, 'Jangan kau Ulang Lagi' tamat, muncul pula lagu top hits dari first album mereka berjudul 'Jangan Lukakan Hatiku'. Senikata yang kalau diamat-amati dan difahami secukupnya benar-benar menguji kesetiaan sibuah hati. Keadaan dilemma yang semacam sengaja diujudkan seolah memaksa aweks agar berasa serba salah untuk meninggalkan heronya. Tumpuan dan perhatian diharapkan diberikan sepenuhnya pada dirinya sahaja dan tidak kepada yang lain. Memerangkap kasih sedemikian mungkin satu perjudian sebenarnya. Apakah tanpa sebarang ikatan memungkinkan sidia akan terus setia. Mengharapkan kejujuran dan tidak memaksa andai ingin membuat pilihan lain tapi bersyaratkan tidak menguriskan hati sehingga boleh mengakibatkan robeknya hati serta luluhnya perasaan. Saja hendak jadikan polemik, aku ajukan pertanyaan pada orang rumah. 'Apa maksudnya... rangkap lagu ini.' bila si Jatt mengulang nyanyi rangkap lagu buat kedua kalinya. Mula teragak-agak juga hendak menjawab. Tapi bila aku terangkan maksud tersirat senikatanya, orang rumahpun cubalah berteka, 'Maknanya pompuan tu tak boleh pilih orang lainlah.' sambil menanya kembali aku. Aku ketawakan sahaja kerana betul begitulah yang dikehendakinya. Jantannya mestilah rasa puas berjaya meracik 'burung' kesayangan dengan magic potion yang dicalitkan keatas aweknya itu. Tidak dapat hendak fikir panjang lagilah dia. Angaunya lebih lipat lagi pada jantan kelepeh yang didambakan selama ini. Mudahnya terperangkap dialam percintaan punyai pelbagai implikasi. Sang lelaki mungkin berbangga atas keupayaan menundukkan perempuan yang dihajati. Niat sekadar hendak permainkan perasaan orang atau benar-benar jujur bercinta akan terserlah bila perkahwinan terlangsungkan. Cara dan bagaimana ianya bermula tidak dititikberatkan tapi sejauhmanakah hubungan dikekalkan sehingga kehujung hayatlah yang menjadi penentu setia tidaknya hubungan kedua-dua mereka.

BDB 1st Album - 1976

Mampu beli pada 04/07/1979, itupun 'local' punya


Lagu ini pop sekitar penghujung 70an. Suasananya tidaklah bersamaan dengan masa kini. Menyampaikan susur ke Lebuh TAR @ Tun Abdul Razak yang dulunya dikenali sebagai Lebuh Ayer Keroh, aku ingatkan akan kisah yang menjadi viral tahun lalu. Akibat ugutan abangnya hendak 'bunuh diri' jika aweks yang dikenali dan pastinya dicintai menerima lamaran orang lain selain darinya benar-benar memakan diri. Arwah yang berjawatan Polis Bantuan di Tiang Dua sanggup menamatkan riwayatnya akibat kecintaan yang susah dimengertikan oleh sesiapapun jua kecuali dirinya benar-benar mengemparkan. Rakan setugas yang juga merupakan anggota Polis Bantuan mengenali arwah ini. Semasa lorat-lorat  bercerita mengenai hal ini, staff dibahagian Foodline memaklumkan gadis yang menjadi topik perbualan adalah jiran sebelah rumahnya. Banyak info yang tidak dilaporkan dibriefkan sejelas-jelasnya. Menjadi ikhtibar pula kepada mereka yang terasa ingin bercinta. 'Precedent' kata orang sekarang. Tidak sanggup rasa melihatkan 'tergantung' kematiannya yang sekejap sahaja diviralkan. Gempar satu Melaka hari itu. Rumah neneknya di Duyung menjadi saksi. Orang yang tahu kisahnya dan yang tidak tahu serta yang baru tahu kemudiannya pastilah punyai tafsiran mereka masing-masing. Terpulanglah. Tapi apa yang pasti, setiap kali hendak ke Alai dan terpandangkan Rumah Melayu yang sepi dan suram ditepi jalan itu mengingatkan kisah tragis 'Uda dan Dara' versi 2015@Melaka.

                          Jangan Lukakan Hatiku... boleh?

Hidup perlu diteruskan. Kesal akan perbuatan yang terlarang seharusnya menjadi penguat semangat memperbetuli kepincangan didalam masyarakat. Pihak yang seharusnya mendepani harus lebih pro-aktif. Jangan dibiarkan segalanya keatas individu sahaja. Mungkin ada dikalangan kita yang kurang arif dan agak nakal dan terkeluar dari norma-norma kehidupan yang sepatutnya. Kesilapan mereka-mereka ini andai tidak dipantau dan ditangani dengan bijak bakal menghuru-harakan kehidupan bermasyarakat. Contoh buruk mudahnya diterima dengan perantaraan 'smartphone' yang sepatutnya penggunalah yang harus 'smart' mengendalikannya. Mana yang berakal singkat akan mati-matilah mempersetujui tindakan si-arwah. Mungkin inilah jalan penyelesaian terbaik, menurut pandangan mereka sebagai bukti kesetiaan bercinta. Seharusnyalah kita yang prihatin dan mereka yang faham agama, tidak semestinya uztaz atau guru agama sahaja, harus sama-sama bergandingan agar kita semua menjalani kehidupan yang diredhaiNya.

Moga tercapai, Insya-Allah.

Tuesday, March 29, 2016

Bekejau mendapatkan

22 MARCH 2016, 11:37 AM

Selepas bersarapankan lontong di Rashid Corner @ AMJ, setelah selesai berurusan dipasar, mamat-mamat dengan ibu berlari menyerbu ke pintu rumah melihatkan tuan mereka pulang dari pasar. Pemandangan biasa terlihat ketika setiap kali sampai kerumah berulang lagi. Seolah-olah mereka terbau 'fresh' sardine yang dibawa balik. Kita pula seboleh mungkin tidak mahu menghampakan harapan mereka. Bila terlihatkan bakul yang dulunya digunakan memasukkan keperluan bersalin kehospital setiap kali orang rumah hendak bersalin, dibawa masuk ke kereta pastinyalah ada habuan ikan baru buat mereka. Tidak miss pula bagi kami walau budget laripun, peruntukan untuk mereka tidak akan digugurkan. Alasan semacam simpati sahaja dari orang rumah, 'manalah dia tahu cari makan sendiri. Kesian dia... bang?' Terlentuk dengan alasan yang sebegini, makanya ikan untuk kucing sentiasa tersenarai dalam list pembelian.
Putih datang meluru...
Kita dapat ikan segar... yeah!

Semua dapat habuan... jangan risau

Mickay yang dimanjai
Naluri kasih mengasihani sesama kita seharusnya kekal dan berkembang. Seharusnyalah juga meliputi ke setiap mahkluk yang kita sesama mendiami alam nyata dan bakal fana bila tiba waktunya. Peluk manja keatas kucing belaan dan berjaga makan minum serta kebersihan dak putih, dak abu, dak kuning dan waris mereka, dak mickay amat meruntun perasaan. Sepetang sahaja tidak kelihatan dak putih dan dak kuning yang dah dewasa skip masuk makan, kecohnya serumah. Tanya yang bongsu, tanya sikakak dan terpandangkan abang handsomenya ini lagilah bertalu-talu pertanyaan. Mengadulah pasal jantan 'besar' tak muncul-muncul masuk makan. 'Ayah agaklah dak putih ngan dak kuning pi makan kenduri tak...' nyataku berseloroh. Mungkin dah jumpa aweks ... sampai balik rumahpun tak ingat dah' lanjutku lagi. Ikan yang banyak direbusnya terpaksalah dak abu(sikelabu ibu) dan mickay(anaknya) yang tekun menghabiskan.

Bila masa sessi bual santai ketika bersarapan, asyik terkenangkan mana perginya dak putih dengan dak kuning. Macam-macamlah sangkaan diluahkan buat meredakan perasaan. Diakan jinak, mungkin ada orang sudah ambil. 'Kenapa edah bersangka macam itu.' terpacul soalan. Katanya, ada suatu petang tu, ada budak baya-baya Yaseer tengah mengepit dak putih berbasikal bergerak didepan rumah. Diam sahaja bila dipeluk budak tu. Bila ditegur, 'Nak bawa kemana kucing makcik tu...', cepat-cepatlah dia lepaskan dan pura-pura bertanya... 'Ooooh, kucing makcik eeh!'. Tiada rasa bersalahpun. 'Ohh ye ke... kucingpun ada orang nak rembat.' respond spontan dari aku. Satu kemungkinan lagi, kedua-duanya telah dibuang. Jiran setaman memang ada yang tidak berkenankan kucing. Syaknya beralaskan kisah kucing yang tengah sarat mengandung tetiba hilang begitu sahaja. Persiapan bersalinnya sudah lama ready. Menunggu dari sehari ke sehari sampai beberapa hari hingga timbul resah dan risau pula menyelubungi. Kehilangan masih menjadi misteri sehingga kini. Menuduh ada orang membuangnya amat bersalahan bila ada element bersangka buruk. Mungkin juga dia ambil keputusan membawa diri jauh dari rumah. Agaknya kecewa terdengar ura-ura orang rumah yang mana lepas beranaknya nanti akan dibuang 'daerah'.

Masuk sahaja hari kedua kehilangan dan bila semua tempat  sekitar taman terutama 'meeting point' kebanyakan kucing di hujung padang diperiksa oleh Yaseer untuk dua petang berturut-turut, kami sepakat mengesahkan mereka berdua telah jauh belayar. Namun tak sampaipun sejam statement ini disepakati, tetiba muncul mereka berdua ketika aku tengah makan tengahhari yang hampir ke 3:00 petang. Mula-mula masuk kerumah adalah siputih. Selang beberapa minit kemudian dak kuning pula muncul. Terperasan dan terkejut dengan kemunculan kedua-duanya, spontan saja aku laungkan kat orang rumah yang ketika itu masih didapur, 'Wah... hero-hero Edah dah balik arrghh! Kau orang dah puas berparti baru ingat rumah eehh...' seraya menjeling kat kedua abang- abang sado. Appearance kedua-duanya tak terurus. Kepala dak putih hitam jadinya.Kakinya pula, keempat- empat legam sampai ke lutut. Ada kesan calar dibadan dan dibahagian muka. Manakala dak kuning, bahagian dadanya ada kesan calar yang dalam dibahagian dada. Kaki semuanya berhitam. 'Teruk kerjaannya' komen ringkasnya setelah memeriksa dan melaporkan keadaan mereka berdua tatkala aku sedang menjamu selera.

Aku pula cuba menghubungkaitkan situasi semasa dengan ketiadaan mereka buat beberapa hari ini sambil menikmati makan tengahhari. Aku nyatakan kat orang rumah mungkin mereka terperangkap. Seminggu dua ini sekitar lereng bukit ditaman kerap berlaku kebakaran kecil. Pihak bomba dihubungi bagi memantau keadaan. Hampir saban harilah bomba berkejar kesini memadam. Melaka dilanda cuaca panas yang melampau dan lebih ketara lepas gerhana pagi isnin 09/03 yang lalu. Kesan hitam dikaki dan dibadan mereka pastinya ketika melintasi kawasan yang dijilat api agaknya.

Apapun gembira sesangatlah orang rumah dengan kemunculan 'tersayang'nya. Terus direbusnya sardine untuk menjamu mereka. Maklumlah sudah berapa hari tak makan. Memanjang risaunya. Perhatian dan tumpuan keatas mereka berdua ni lebih dari sebelum-sebelumnya.

Itulah, kita sebenarnya tidak boleh mengagak dan lebih-lebih lagi meramalkan apa yang akan dan pasti berlaku. Semua adalah ketentuanNya. Banyak contoh kalaulah ingin sangat hendak mengetahui. Malah kita tidak mampu dan berdaya mengubah andai bukan ketentuan dari Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Kuasa.




                   Ucapannya hampir setahun yang lalu,  30/04/2015 @ Astro Awani

Bolehkah macam bagus aje merasa yang diri kita lebih bijak, lebih kuat dan lebih mengerti akan sesuatu hal berbanding orang lain. Kalau asyik berbangga dan sombong pula meyakini keupayaan diri, bukankah kita telah ditempelak lama sebelum ini akan ada insan lain yang sepuluh kali lebih bijak, lebih kuat dan lebih segala-galanya. Memanglah nasib diri hanya kitalah yang merencanakan. Tapi kita sendiripun tidak pasti apa yang akan kita lalui dimasa akan datang nanti benar-benar ikut perancangan kita atau perancanganNya.

Ingkari dan membantahi ketetapan serta putaran semulajadi alam amat dikesali. Anihnya kita, yang ditegah walau seringkali diingatkan, tetap sahaja dibuatnya dan yang diperintah pula yang kerap dan kerasnya dipersoal serta pertikaikan kewajarannya.

Boleh begitu... ?

Tuesday, March 22, 2016

Konsert 'Kilauan Emas... Otai', rupanya tak seindah khabar

17 MARCH 2016, 10:52 AM

Saat dinanti-nantikan, ketika ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Segala bagai agakan, jangkaan serta harapan akhirnya terburai malam semalam. Ingatkan grand sangatlah rancangannya. Rupa-rupanya hambar meleset. Yang overnya adalah pakaian Raja Azura yang pertama kali dipertontonkan. 'Buruk bebenau bajunya...' spontan saja luahan orang rumah yang mahir menjahit bila aku minta pandangannya. 'Tidak pernah aku tengok baju si Zura ni, fashion apa ni...', komen aku kat orang rumah. Semacam aje kain berjahit bertampal betul-betul menutupi paras atas tetek. Kain beropol melitupi dan melingkungi dada. Kain yang sejengkal panjangnya itu kemudiannya menuruni mengelilingi ponggong menglibau-libau ketika berjalan. Andai ditiup angin atau berjalan pantas mungkin nampaklah terangkat-angkat  kain tampalan ibarat kain langsir ditiup angin gamaknya.

Konsert pertama pada 09/03, aku tidak berkesempatan menonton keseluruhan programnya. Sampai dirumah masa itu kelihatanlah, dato' ram tengah sekolahkan penyanyi wanita yang bertanding merebut lima slot ke konsert minggu depannya. Tidak hiraukan sangatlah sebab baru pulang kerja. Menonong kebilik menukar pakaian dan membersihkan diri. Lambat pula 'isyak' aku. Turun kebawah sessi mengistiharkan 5 nama tersenarai berentap dengan 5 juara akan dimulakan.

Lima finalist hot seat yang dipilih mengiringi juara tahunan, kesemuanya lelaki. Nampak gayanya semua sepuluh peserta pertandingan yang julung kali diadakan ini adalah jantan. Pompuan satupun tidak terpilih. Mesti ada sebab ni. Macam nak menafikan penonton pompuan yang pastinya merupakan penonton setia astro. Mungkin banyak masalah bila melibatkan pompuan agaknya. Apapun diharapkan agar konsert minggu hadapan menjanjikan persembahan yang mampu memukau penonton especially aku. Haraplah.

Sehari selepas konsert pertama itu, bermulalah promosi astro mewar-warkan 'kehebatan', 'kelainan' dan juga 'kemeriahan' yang akan disaksikan untuk minggu keduanya nanti. Kejap-kejap di highlightkan 'Saksikan Kilauan Emas Otai... Setiap Rabu 9:00 malam, Astro Prima' disudut kiri atas pada skrin tv. Manakala di radio kendalian astro saling tumbas memaklumkan hal yang sama. Siap ada soalan kuiz dengan memberikan hadiah berupa 'sepasang' tiket ke konset kedua itu. Salihpun tidak terkecuali dari digunapakai. Maka terlalak-lalaklah mempromonya dengan mendendangkan beberapa patah senikata lagu A Ramlie bagi mendapatkan perhatian pendengar sinar yang tergolong dalam kelompok sasaran. Orang lain tidaklah aku ketahui penerimaan mereka. Pasal sudah setiap hari dijejehkan ketika ketempat kerja dan ketika pulang makan tengahhari dan juga ketika pulang dari kerja disebelah petangnya memanglah tidak pernah miss mendengar celoteh, info dan ingatkan masa konsert otai kepada pendengar radio sinar. Nampaknya aku pula yang terover pulak.

Pop-up text... kata pukul 9:00 malam


Semasa mendengar didalam kereta itu, aku telah buat plan baik punya. Sessi balas dendam. Ketika balik makan tengahari semalam, aku capai  'Ramly - Mince Chicken' pelengkap samosa dan pumpkin sebelah untuk bubur sagu mata ikan sebagai juadah masa menonton siaran langsungnya. Tepat-tepat 9:00 malam aku sudah standby disofa. Orang rumah sudah memanggil turun bersarapan. 'Mananya konsert kilauan... apsal cerita p. ramlee tengah running lagi ni'. 'Entah le bang... katanya program memperingati P. Ramlee. Itu yang Astro maklumkan.', inform orang rumah masa dimeja makan. Macam-macamlah kata-kata yang jarang disebut buat meluahkan rasa kurang selesa. Sudah diwar-warkan kata pukul 9:00, tolak ke pukul 9:30 pula.

1st course - samosa ngan french fries. Lepas ni bubur lak..


Masa intro nampak macam bagus aje. 'Appetizer'-nya kira ada ummmph. Tapi bila peserta mula menyanyi dan dengan pemilihan lelagu, alahai hancur. Mood yang dipupuk seminggu lamanya sepatutnyalah memuncak malam ini. Malangnya, kesinambungan antara lagu ke lagu  amat mengecewakan. Jauh bezanya dengan Konsert Gegar Vaganza yang senantiasa lively. Nabil dan Jihan berjaya menghidupkan program tersebut. Celoteh dan lawak mereka senantiasa dinanti-nantikan. Usikan keatas peserta dan juri terutamanya Dato' Ram senantiasa tidak terjangka dan menghiburkan. Berbeza dengan Konsert Kilauan Emas Otai yang sepatutnya lebih gah tapi seolah-olah tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Celoteh macam dibuat-buat dan nampak jelas kakunya persembahan. Entahlah mungkin aku saja yang terbawa-bawa pasal segalanya seperti indah rupa dari khabar.

Hajat dihati hendak melihat Wak Mustar beraksi. Bila rasa lama lagi agaknya dia bakal muncul, akupun berlunjurlah disofa panjang tika alunan lagu 'Malaikat' oleh Nas, dan dilanjutkan pula lagu 'Grenade' Bruno Mars yang disampaikan oleh Elji menguyukan mata. Tidak sedar bila agaknya aku sudah jauh terlayang. Tup-tup terdengar komen Dato' Ram mempertikaikan Wak Mustar berlakon bernyanyi sebagai orang buta. Nampak gayanya terlepas tengok live Wak Mustar nyanyi.

                           Dengar Mak Ros nyanyi lagi best - Dimanakah Bahagia

Spoiled my night betullah. Keinginan hendak melihat aksi Mustar bernyanyi tidak kesampaian. Aku meminati sedara Mustar yang beraura '60-an' dan lebih-lebih lagilah punyai suara mirip-mirip A. Ramlie, terpaksalah bertangguh lagi menontonnya. Kalaulah begini kisahnya, adalah lebih baik aku dibilik mengadap komputer, lebih berfaedah.

Thursday, March 10, 2016

Kilauan Emas... Otai

02 MARCH 2016, 09:51 PM

Rasanya macam baru saja habisnya program 'Kilauan Emas... Otai masih berbisa', malam ini ada program promo tentang 'Kilauan Emas Otai' pulak. Bakal keudara disaluran 105 Astro Prima untuk episode pertamanya pada 09/03/2016. Kebetulan pula beberapa hari yang telah berlalu, aku ada download 'Lambang Ikatan Dua Remaja' yang kemudiannya aku abadikan sebagai ringtone. Lagu yang dinyanyikan oleh Wak Mustar Berantas, entah siapalah mengelarnya, dari dendangan awal A. Ramlie.





                                  Wak Mustar - Lambang Ikatan Dua Remaja

Sekarang ini tengah running program 'Jendela Kilauan Emas Otai'. Orang dibelakang tabir diketengahkan buat tatapan umum akan peranan setiap mereka demi menjayakan rancangan sehingga tercapai matlamat. Pengalaman masing-masing yang terlibat didalam rancangan perintisnya sehinggalah ke tahun ke - 5 diketengahkan buat makluman penonton terutama sekali peminat setia program ini. Penanya tidaklah ditunjukkan wajah atau suaranya bertanyakan soalan. Apakah disengajakan atau demi menjimatkan masa. Apapun strategy menjadi. Program yang berdurasi lebih 2 jam menyampaikan ke 12 malam benar-benar berinformasi lebih-lebih lagilah kepada peminat dan pengikut setia program hiburan ini. Refresh memory mereka akan mengakibatkan lebih terpanar dan terpinau tertunggu-tunggu akan slot baru diminggu depan nanti.

Jendela ' Kilauan Emas... Otai'

Program Kilauan Emas ini tidaklah aku hiraukan sangat masa memula menontonnya. Tapi bila orang rumah asyik menyebutnya dan kerap menonton program ulangan yang sinonim dengan Astro yang senantiasa dengan program ulang-ulangnya, tergerak pula menanyakan rancangan apanya yang kecoh sesangat. Tidak ingatlah pula tahunnya secara tepat tapi musim lalulah bilamana Wak Mustar menjuarai membuatkan aku tidak miss menonton andai aku berada dirumah. Orang rumahlah yang tolong mengingatkan bila rancangan mula bersiaran. Kalau siarannya ketika bekerja petang, sanggup me-whatsapp-kan siapa yang terkeluar atau yang kekal. Sampai sanggup 'betting' siapa yang akan keluar atau yang dapat point tertinggi. Yang seronoknya, setiap tekaan dan ramalan aku menjadi pula. Keraplah 'taruhan' jadi punyaan aku.

Tak cukup dengan program pengenalan baru yang digembar gemburkan, pihak Astro juga menerusi siaran radio tidak henti-henti mempromo-kan 'Kilauan Emas... Otai' disegmen masing-masing. Lebih galak 'bombard' demi memastikan program yang diharap akan mengegarkan adalah di Sinar FM... muzik retro terbaik yang menjadi tagline mereka. Pendengar Sinar FM boleh dikatakan majoritinya adalah golongan pertengahan umur. Target audiences inilah yang disandarkan dan diharapkan akan menyokong 'Kilauan Emas... Otai'. Promo yang berterusan mungkin sehingga bermulanya siaran pertama akan membantu meningkatkan ratingnya. Ini secara langsungnya akan memahalkan slot iklan. Apa yang pasti strategi menjadi. Sandaran hiburan menjadi taruhan pihak pengurusan mengaut keuntungan. Siapa pandai, siapa cerdik. Yang melopong menonton sekadar teruja melihat peserta mendendangkan lagu dan tergelak-gelak mengikuti keletah Raja Azura yang akan dikekalkan sebagai pengacara rancangan adalah kita-kita nilah. Kita berhabis masa berharga menonton program yang selama ini berlanggan berbayar untuk beberapa episod sehingga ke episod terakhir, itupun kalau ada umur dan berkesempatan.

Snowball effectnya tidak terjangkakan. Dalam konteks aku, belum apa-apa lagi orang rumah sudah maklumkan akan rancang terbaru ini. Sebaik mengucapkan salam ketika sampai dari tempat kerja, kuih sarapan petang dengan teh yang menjadi satu routine tersedia dimeja. Masa bualan petang tadilah terpacul dari mulutnya memberitahu akan konsert 'Kilauan Emas... Otai' bersiaran pada sebelah malamnya nanti. Aku pula pura-pura control 'macho', walhal dalam hati turut terimbaukan Wak Mustar yang suaranya sebiji macam A. Ramlie. Maklumat yang diketahuinya dimaklumkan tanpa sempat bertanya lanjut. Sukanya orang rumah bagai satu obligasi pula memandangkan diapun tahu yang akupun yakni abang handsomenya, turut menggemari program lelagu sebegini. Komen aku padanya, dalam mengagak-agak gitu, macam 'Raja Lawak Mega'lah dengan pelawak-pelawak yang terasa 'top' dan 'pop' bersaing sesama mereka. Cepat saja dia mengiyakan agakan aku. Maknanya, aku menghuraikan pula, penyanyi-penyanyi novice yang menjuarai akan berentap sesama mereka selama beberapa minggulah. Mengangguk bersetujulah dengan penjelasan yang aku beri. Begitu obsessnya dia berbual tentang 'Otai masih berbisanya', sampai dah lama didepan 'samosa' daging, baru le tergerak menjemput minum. 

Entah macammana tetap-tepat pukul 9:30 malam aku sudah menyandar disofa peribadi. Arahkan bebudak yang memegang 'control' ke Astro Prima... 105. Jeritkan kat orang rumah yang ketika itu tengah menyiapkan 'mee goreng mamak' didapur. Menu 'on request' untuk dinner dari bebudak sebagai juadah santapan malam. 'Mananya konsert Otai ni... tak adapun', tanyaku seperti orang kena tipu. 'Apa ni... cakap-cakap aje. Agaknya program pengenalan tak', tambahku lagi menjelaskan. Orang rumah didapur lambat pula respond atau sengaja berdiam mungkin tersilap. Lama lepas aku nyatakan situasi terkini, dia tergelak-gelak pula sambil nyatakan kesilapan tidak disengajakan. 'Ohh... belum start le... gamaknya tu. Minggu depan kot...' jelasnya berselindung. Apa yang pasti sekarang ini, aku sudah kena main. Lepak sambil kena mee goreng mamak sajalah didepan tv tanpa 'Otai masih Berbisa' nampaknya.

Tuesday, March 8, 2016

Dah tetap... kata Pak Abu

05 FEBRUARY 2016, 02:31 PM

  الحمد لله,
Segala yang samar sudah jelas. Apa yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Mana yang dipohon telah didapati. Pastinya lorongan yang terhampar perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin.




Yang dtunggu-tunggu


Seharian dan semalaman, aku menyibukkan diri dengan mencoret sesuatu di personal journal. Bersempena hari keputeraan aku pada 02/02/2016, coretan yang menjadi kemestian saban tahun masih belum disudahkan. Dua catatan berjalan serentak. Apapun, penerimaan pihak MRSM keatas permohonan yang penuh bererti bukan sahaja buat anak tapi buat diri aku sendiri amat-amat aku hargai. Harapan agar ada dikalangan waris aku yang berjaya memasuki ternyata menjadi kenyataan. Syukur yang tidak terhingga tentunyalah dipanjangkan ke hadrat Illahi adanya. Sememangnyalah perasaan gembira bercampur terharu silih berganti difikiran. Gembira kerana selama menyekolahkannya, tiada sebarang target aku tetapkan. Terpulanglah kepada kepintaran dan sokongan serta dokongan guru-guru di Demang Hussin mengaturkan program kecemerlangan. Malah tiadapun persediaan untuk menempatkan laluan ke sekolah menengahnya selepas menduduki UPSR-nya buat kali terakhir tahun 2015 yang merupakan format terakhir penilaian pencapaian murid-murid sekolah rendah. Kelewatan mendaftar secara on-line untuk kemasukan ke SBP adalah bersebab. Aku tidak mahu mendahului masa walaupun potensi untuknya mendapat 5A  adalah dijangkakan. Malahan dia adalah dikalangan 24 orang yang disandarkan untuk 5A berdasarkan target sekolah walaupun masa percubaan, dia hanya mendapat 4A & 1B. Aku bukanlah tidak menghiraukannya cuma tidak mahu menganggu perancangan pihak sekolah untuk mencapai target. Bantuan yang aku hulurkan adalah dengan memastikan semasa dirumah, dia harus mematuhi serta mengingatkan pentingnya buat dirinya cemerlang demi masa depan. Setiap yang kurang akan sedaya upaya aku cukupkan. Tahap kecergasan pula aku akan pastikan kekal cergas. Bersarapan dahulu disamping wang saku setiap hari persekolahan disediakan bagi memastikan mental dan fizikalnya tidak terganggu. Suasana pembelajaran dipantau lebih-lebih lagi selepas raya yang kurang lebih sebulan sahaja lagi sebelum ujian besarnya bermula.

Teringat masa pengumuman keputusan UPSR yang aku turut hadiri. Terharu pula bila aku sendiri yang mendengar namanya diumumkan di Anjung Informasi sebagai orang ke 8 mendapatkan slip keputusan yang disampaikan sendiri oleh Pn. Guru Besar, Pn. Asmah Hitam. Malah aku dijemput bergambar bersama sebagaimana ibu dan bapa yang sesama hadir pada pelajar pertama, kedua dan berikutnya untuk diabadikan oleh pihak sekolah. Pastinya kejayaan anak tentulah mengembirakan ibu dan bapa. Tidak dinafikan perasaan gembira melonjak-lonjak didalam diri. Memanglah kejayaan anak adalah kejayaan bapanya juga. Saat bergambar bergandingan dan ketika keluar dari Anjung Informasi terasa berjalanpun macam tidak jejak bumi. Bangga yang teramat sangatlah kononnya. Selepas beberapa ketika setelah menerima slip keputusan, aku cuba hubungi orang rumah. Tiada berjawab. Cuba sekali lagi, juga tidak berjawab. Bila kali ketikapun tidak berjawab akupun bergerak menjauhi Anjung Informasi bagi memudahkan mereka menyaksikan dan membolehkan mereka bergerak kedepan andai nama anak-anak masing-masing pula yang akan dipanggil oleh Pn. Guru Besar.

Pastinyalah tiada sesiapapun yang ingin mendengar berita kegagalan. Setiap ibubapa walau tidak menghiraukan samada anaknya belajar ke atau memain aje disekolah, sekelumit juapun tidak terfikirkan kegagalan. Semuanya mahukan anak mereka berjaya. Mendengar nama anak disebutkan oleh guru pastinyalah mengembirakan. Namun bila semakin menghujung, perasaan bangga mungkin perlahan-lahan bertukar malu. Mungkin aku sahaja yang berprasangka sedemikian walaupun terpapar jelas kesedihan diraut wajah ibubapa yang masih setia berdiri di tepi tembok anjung informasi. Semangat yang ditunjukkan mereka agar anak-anak yang kurang berjaya tidak terasa hati. Terpulanglah buat mereka menilaikan sendiri peristiwa yang sesama dialami.

Apapun, kejayaan yang diraih bukanlah penentu masa depan. Cabaran dan rintangan menempuh hari muka tidak terduga dan terfikirkan oleh sesiapa juapun. Hanyalah pada individu itu sendiri untuk menghadapinya secara bijak dan berhemah. Pengalaman baru ditempat yang amat asing dan berlainan  buat budak berusia 12 tahun pastinya mencabar. Hanyalah dorongan dan kata-kata ransangan yang mampu aku ucapkan agar dia berjaya mengharungi segala bagai yang mendatanginya. Ku katakan juga, untuk berjaya bukan mudah. Banyak perkara yang harus dikorbankan demi mencapai matlamat. Aku peringatkan juga, 5 tahun lamanya 'dikurung' adalah masa yang diri sendiri merelakan demi masa depan yang bermakna. Tidak semua orang berpeluang. Dan peluang yang terhidang seharusnya dimanfaatkan sehabis baik.

Apa yang pastinya, bapanyalah yang parah. Belanja ke MHS sahaja dekat RM800.00 jugalah terlokop. Untuk ke MRSM pula RM1000.00 telah aku reserved-kan. Andai tidak mencukupi juga, alamat berpeluhlah diri. Berita penerimaan masuk ke maktab telah diterima pada 04/02 bersamaan Khamis iaitu hari aku bercuti mingguan. SMS yang masuk sekitar lepas zohor itu aku hebahkan pada orang rumah. Terpancar kegembiraan diwajahnya sambil menyebut-yebut, 'permintaan' bertahajjud dimakbulkanNya. Teringat lagi, Ucee memaklumkan yang result akan keluar awal Februari menurut bualan sesama rakannya diasrama MHS semasa datang menziarah pada 31/01. Pantas sahaja orang rumah memaklumkan berita yang amat dinanti-nantikan ini pada Ucee yang ketika menalipon rumah memberitahu cuti seminggu bersempena Tahun Baru Cina.


Bersama Pakcik...


Selepas berjumaat, buat kali terakhir menziarahinya di asrama. Dari jauh kelihatan dia sudah menunggu didepan pagar asrama bersama Pak Guard yang mesra alam. Segala khazanah telah dipunggah keluar berbeg-beg dibangku batu bersebelahan meja pak guard. Ceria penampilan. Seolah-olah bersedia menempuh segala cabaran. Bersalamanlah dengan pakcik guard yang banyak membantu dan lebih mengenali Ucee dari sebelumnya. Malah dia pula yang terharu bila dimaklumkan yang Ucee tidak akan kembali keasrama selepas seminggu lamanya cuti tahun baru cina. Secara spontan juga dikeluarnyalah RM10 dan diserahkan kepada Ucee sebagai 'hadiah' dan kenang-kenangan.

Moga-moga apa yang diharapkan dan dihajati terlaksana hendaknya. Ameen!!!