Tuesday, October 6, 2020

Abang sihat...?

Setiap yang berlaku bukanlah kita yang menentukan. Terkejut mengetahuinya adalah tindakbalas normal kepada semua kita. Amat tidak menjangkakan apatah lagi sememangnya tidak mahukan sesuatu itu berlaku sekarang dan didetik ini menurut perkiraan kita. Namun hakikatnya tiada sesiapapun sanggup menafikan. Segala sesuatu yang telah berlaku dahulu, kini dan yang pasti akan datangnya nanti tidak memungkinkan sesiapapun mampu menghalanginya. Menerima dan pasrah dengan ketentuanNya adalah tindakan yang sepatut dan seharusnya dizahirkan.

Berseorangan mendepani cabaran...bertabah Pn. Ita


Dipagi ini selepas mandi dan sebaik keluar dari bilik tidur untuk bersarapan dengan goreng pisang kompot, orang rumah memaklumkan berita yang mengejutkan. Dikhabarkan, 'Suami Ita sudah meninggal'. Sebelum sempat aku duduk, as usual, spontanlah kalimah 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun...' dilafazkan. Terus pertanyaan aku untuk kepastian, laki Ita Solok Gaung ke?. Pantas pula menyangkal dengan memaklumkan Si Ita anak pokcik Mokti yang duduk di kampong Bongek, Rembau. Gambaran wajah ceria Ita Solok Gaung yang bechok bercakap sekelipan bertukar ke Ita anak buah yang serius tegas memegang tampok perniagaan arwah bapanya penuh sayu kesedihan. Kamal suaminya, dikhabarkan melalui Whatsapps mendapat serangan jantong awal pagi yang membawa maut. Berita yang pantas berlegar memungkinkan hampir semua berjaya dihubungkan.


Perkhabaran kematian sepatutnya diberikan keutamaan. Menghormati serta menginsafi harus seiringan. Malah terlebih harus dilakukan adalah turut menghadirkan diri menyempurnakan mayat simati. Ketidakhadiran bermakna terlepaslah peluang merebut 'kebaikan' dari peristiwa sedih ini. Dikatakan orang yang alim, kedatangan orang yang memberi penghormatan terakhir antara ramai dengan sedikitnya bilangan adalah balikan kepada apa yang dilakukan selama hidup didunia yang fana ini. Longkah hadir buat seseorang berbanding kekangan rintangan kepada yang lain adalah dua situasi yang extreme ditimpakan kepada mereka dilingkungan kehidupannya. 


Apa yang paling pasti, hadir tidaknya seseorang itu adalah lorongan dan ketetapan  dariNya jua. Analogi yang masih kejap diingati adalah kata kata Ustaz Badlisah, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Pahang(ketika coretan ini dibuat), dalam program Forum Perdana yang aku sempat tontoni sebelum ini. Bukanlah memperlekehkan usaha ahli bina badan mengangkat bebanan saban hari demi untuk mendapatkan 'body profile' yang sasa tapi apa yang amat menghairankan adalah  ketidakmampuan abam 'sado' untuk melangkah berjemaah di masjid. Jelas disini, kita tidak berupaya selain dari ketentuanNya. Dialah yang memilih siapa 'tetamu' yang patut hadir.


Aku jarang bertemu apatah lagi berborak panjang dengan si arwah. Opening remarks yang selalu si-arwah ini mengungkapkan, 'abang sihat...?' bila sahaja bertemu dengan aku. Tidak kiralah apa event sekalipun. Hendak dikatakan berat mulut, akupun berat mulut juga. Mungkin juga disebabkan jarang bertemu muka dan janggal kekok berbual dengan aku membuatkan pemula bicaranya agak monotonous. Seingat akulah, bila sahaja ada event keluarga sebelah orang rumah, arwah akan turut hadir menemani bapa mertuanya 'Pokcik Mokti'. Suami Ita ini lambat launnya akan mewarisi perniagaan 'kueh' bahulu IKS 'Indah Sajja' bila tiba masa dan ketikanya. Perancangan kalau ikutkan memang nampak sempurna. Namun ketentuan dariNya mengatasi segalanya. Tidak tercapai harapan yang cuba disandarkan untuk memajukan lagi perniagaan sememangnya ada hikmah disebaliknya. Kita tidak tahu, mereka juga tidak tahu tapi segalanya 'dirahsiakan' dari pengetahuan semua kita agar tidak mendatangkan sebarang kemudaratan dimasa mendatang nanti.


والله آعلم (God knows best, God knows better @ Allah jualah yang Maha Mengetahui)