Sunday, May 5, 2024

Menghampiri penghujung Syawal 1445H - merenung bermuhasabah

Hari Isnin yang cerah ceria pagi ini, moga membuka lembaran baru buat aku. Apa perlunya mengeluh resah akan perkara yang belum berlaku, sekadar berkemungkinan sahaja untuk terjadi. Memang kita tidak akan mengetahui apakah yang akan kita terima dan hadapi hari ini. Segala sesuatu adalah atas kehendakNya.


27 Syawal ...beb


Seeloknya kita senantiasalah berpandangan positif. Tabah hadapi dugaan yang mendatang. Selesaikan kerumitan penuh bertanggungjawab. Diwaktu yang sama mengharapkan agar segala urusan kehidupan dipermudahkan olehNya.


Bercakap memang senang. Andailah realitinya kita pula yang harus hadapi situasi yang sukar lagi rumit untuk dirungkaikan apatah lagi sesegera mungkin, mampukah kita atasinya. Orang lain sekadar memandang sahaja. Barangkali sambil mengurut dada akan bermonologue, 'Sib baik tidak terkena kat aku....syukur...alhamdulillah'.


Kita, sejujurnya, ambil mudah kepada banyak perkara sedangkan kejadian yang terjadi keatas orang lain didepan mata adalah berupa ujian kepada kita juga. Sejauhmanakah kita menilai diri sendiri hadapi perkara yang telahpun terjadi kepada mereka yang dilingkungan andai kita pula yang terpalit.


Senarionya pasti berlainan dan tindakan yang diambil berkemungkinan ketara berlawanan. Jalur pemikiran sesama kita tidak bersamaan. Pastinya juga tindakan yang dianggap patut oleh kita dirasakan amat janggal pada penglihatan orang lain. Perkara sebegini kerap berlaku. Tidak menghairankan.


Inilah dunia. Betapa dinamiknya perubahan yang berlaku pada setiap masa. Malah tiada sesiapapun yang tahu hujung akhirnya setiap hal yang terjadi semasa ini. Kita sekadar mengharapkan perubahan kearah kebaikan yang bakal dirasai nanti.


Sebab itulah, tidak perlu rasa dan anggap yang diri adalah terpaling bernasib baik. Bila bila masa sahaja boleh berubah. Tiada yang kekal statik selamanya. Perlu diakui juga, semua kita terdedah kepada segala macam hal. Takdir atau melayunya ketetapan dariNya sememangnya telah tersurat. Tiada sesiapa yang ketahui. Berserah kepadaNya semata mengharapkan kebaikan dan sedayanya memohon agar diberi ujian seringan mungkin.


Diusia aku yang sudah 60+, menoleh kebelakang membandingkan akan perkara yang berlaku dalam kalangan kita mungkin ada 'nilai' pengajaran. Pastinya aku ada 'authority' untuk mengulas dari skop pemerhatian aku. Sudut pandangan aku mungkin tidak sebagus mana tapi setidaknya ianya adalah pandangan jujur aku. Tiada 'bias' dalam kenyataan yang aku buat biarpun mungkin ada kesilapan fakta disini sana yang tidak disengajakan terlepas pandang.


Mutakhir ini kerap berlakunya peristiwa 'malang' menimpa diri. Sekilas pandang macam berpunca dari kesilapan orang lain tapi membawa padah kepada kita pula. Perkara yang tidak terjangkakan dan mengganggu 'routine' harian memasing kekadang begitu sukar hendak menerimanya.


Rujuk selingkar kisah masyarakat untuk renungan dan bermuhasabah...suami-isteri-parah-angkara-lori-tukar-lorong-mengejut.



Kejadian di Sungkai yang dikhabarkan dan diviralkan siap bukti dashcam begitu mengejutkan. Mungkin kisahnya sudah 'basi' tapi punyai 'pengajaran' tentunya. Kegopohan orang lain membawa petaka kepada diri. Spontan akan keluar dari mulut para reader  yang selesai membaca  berita 'Sinar Harian' itu, 'naya-kan orang sahaja...'. Apa rasanya bila terjadi kepada diri sendiri. Pasti akan kesalkan tindakan yang diambil oleh orang yang akibatkan kita kemalangan. Kita selalunya gagal menghadamkan setiap kejadian yang berlaku. Melulu sahaja membuat kenyataan menyebelahi diri. 


Siapapun akan terpinga pinga hadapi situasi 'kemalangan' tidak terjangkakan ini. Sedangkan kita sedia maklum bahawa takdir Illahi akan hadir pada sebilangan masa. Tiada harus dikecohkan apatah lagi untuk pertikaikan. terima seadanya. Namun memang sifatnya manusia untuk sukar menerima realiti kehidupan ini. Ada sahaja bangkangan manisfestasi ketidakpuasan hati. Mengapa semestinya aku dan bukan orang lain yang menerimanya hal kejadian mengejut ini.


Pantasnya berubah 'pendirian' kita bilamana sesuatu yang mengejutkan itu berupa 'kurniaan' kemewahan pula. Segera ucapkan syukur yang teramat. Berbangga beruntung menayangkan pemilikan yang tidak mampu digapai oleh mereka yang dilingkungan. Kekadang tanpa kita sedari membuatkan orang lain berprasangka buruk mengatakan sombong riak dengan harta kemewahan yang tidak berkekalan itu. Mungkin boleh terjadi dan tiada apapun yang tidak berkemungkinan untuk terjadi.


Kesimpulannya, hidup kat atas dunia ini adalah permainan yang melekakan sehinggalah kita dipanggil pulang. Janji ketika bersetuju hadir kat dunia ini tidak sepatutnya sekadar tinggal janji sahaja. Lupa janji satu hal. Tapi bilamana sampai ketahap ingkar janji dan lakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadian manusia boleh selamba pula perangai  buat buat tidak tahu. Kelakuan sebegini amatlah mengusarkan diri. Apa alasan yang paling ampuh pertahankan diri bila dihadapanNya nanti..


Moga aku terhindar dari hadapi hal yang serupa ini.


No comments: