12 MAY 2024, 13:19
Mencari Booster Cable
Terpandangkan MBB tersadai tidak bergerak lebih seminggu membuatkan aku sedikit terkilan. Sejak awal minggu lagi hendak dapatkan 'jumper' samada di dalam kereta juga di MAQ namun tidak kedapatan. Telah aku tanyakan kepada semua anggota tapi tiada seorangpun yang 'respond' menjumpainya dimana mana. Besar kemungkinannya telah dilarikan oleh seseorang. Pelik sungguhlah atau mungkin sengkek sangat sehinggakan booster cable yang tidak semenggah bercapuk lagi berkenan hendak mengambilnya. Aku kena terima hakikat sedemikian.
Jentera yang aku belikan untuk kemudahan 'along' menuntut di Politeknik Sultan ibrahim, Pasir Gudang pertengahan 2014 dengan pelbagai kisah melingkungi dan kini disambung legasi 'khidmat' baktinya kepada Yusree pula juga di lokasi yang sama sehingga semester 5 berakhir pada awal Januari ini. Berada didepan mata, mana yang termampu aku perbetul dan baiki maka segeralah aku berbuat agar MBB kekal 'roadworthy'. Aku terpaksa 'rotate' penggunaan antara MCX, MAQ dan MBB saban hari. Kalau si purple yang aku lelau untuk Suboh, maka bila Zohor/Asar pula aku memandu si Silver atau kekadang si Maroon ke masjid. Sejak Februari lagi sehinggalah kini, bergilir gilir ikut mana yang aku berkeinginkan untuk digerakkan.
Seminggu yang telah berlalu, ketika sukar menghidupkan MAQ di kedinginan pagi, aku cuba start MBB pula. Nampak gayanya, dua dua merajuk. Azan telah berkumandang maka cecepatlah aku masuk kedalam rumah dapatkan kunci Alza pula. Nasib baik diapun tidak ikut merajuk. Kalau serentak buat perangai, haru aku dibuatnya. Tidak berpuashati dan ingin mengetahui punca tidak mahu hidup pagi pagi, sebaik sahaja lepas bersarapan, aku hidupkan dulu MAQ. Buka pintu kereta dan sambil menjongkok sahaja memutarkan kunci sekali sahaja maka terus hidup engine kereta. Muka ada senyum. Maknanya hendak selalu dibelai rupanya. Namun berbeza kisahnya dengan si Silver. Buka dan siap duduk lagi lalu memutarkan kunci kereta. Lampu bateri menyala, lampu minyakpun menyala tapi berkali kali dicuba masih tidak mahu hidup. Besar penyakitnya, kataku dalam hati. Bingkas keluar dan usik usiklah connector battery positive dan negative. Bersihkan mana yang patut dan kembali mencuba. Sekali mencuba, berbunyi dia tapi sekejap dan terus senyap. Cubaan kedua dan seterusnya langsung tidak dihiraukan. Buat derrk jer.
Alternative perlu aku usahakan agar penyakit tidak mahu hidup dapat aku selesaikan. Selongkar dalam kereta mencari cable booster tapi tidak menemuinya. Bukan besarpun jentera yang aku miliki ini. Mana mungkin tidak menemuinya. Beralihlah mencari di MAQ pula. Makin hairan aku jadinya, tidak menemuinya dan aku syak tentulah ada seseorang yang telah mengalihkan. Tidak pernah sekalipun aku mengeluarkan dari dalam kereta. Memang sengaja aku biarkan ianya berada dalam kereta, setidak tidaknya aku boleh membantu mereka yang hadapi situasi bateri lemah jika berselisih dengan pemandu malang itu. Kerap jugalah aku berbakti kepada mreka yang memerlukan. Ramai juga yang tidak menyimpan car jumper dalam kereta lebih lebih lagilah kereta yang sudah bertahun usianya. Aku ambil pendekatan, 'expect the unexpected' biarpun mungkin kereta kita berkeadaan baik. Apa sahaja boleh terjadi.
Ketiadaan booster cable yang banyak berjasa didalam kereta menjadi misteri yang harus aku selesaikan. Dari sehari ke sehari tiada sesiapa dari ahli keluarga yang berjaya menjumpainya. Aku pula tidak mahu berlengah lagi. Lagi lama tidak dihidupkan mungkin akan mendatangkan 'mudarat' yang lagi besar. Suka tidak suka maka pada hari ahad ini terpaksalah aku keluar mencari yang baru. Barang yang hilang tidak perlu dikenangkan lagi. Buat sakit hati sahaja. Tiada tempat lain yang harus aku tujui melainkan ke Mr. D.I.Y. yang bersepah disekitar Melaka ini. Dari bebanyak outletnya yang berhampiran dengan kediaman, aku gemar ke outlet di Melaka Mall. Berbeza dengan outlet mereka yang lain, disini selain dari besar sales floornya, pengunjung yang datang kesini agak berbeza dengan di Duyong. Lebih teratur tersusun peragaan barangannya dengan pengunjungnya agak 'behave' which suited my shopping habits.
Aku mencari melilau tidak ketemuan. Akhirnya aku dapatkan pertolongan staff yang melintas didepan aku. Seorang anak india lingkungan penghujung 20an. Tidak pasti samada sudah berkahwin ke belum. Tapi dengan appearance yang agak gempal, mungkin ia mungkin tidak. Maklumlah, Malaysia ni makanan mewah dan pelbagai. Dia tunjukkan aku lokasi cable jumper yang aku mahukan sangat itu. Tidak jauhpun, cuma selang satu row gondola sebelah kanan aku. Melihatkan pelbagai variasi yang ada, sampai terlupa hendak cakap terima kasih kat anak india yang menunjukkan areanya. Bila aku menoleh kebelakang, dia sudah 'menghilang'. Hairan aku, sedangkan laluan yang dia tunjukkan itu telah aku lintasi sebelum ini. Aku memandang sekeliling keadaan semasa dan mulai perasan sebabnya. Kotak yang di-stack-up bertingkat sederet ketika aku lalu tadi telah melindungi pandangan mata. Sebab itulah aku tidak terperasan. Kali pertama tu, aku berjalan dari kiri kekanan tapi bila sudah terlepas dan dengan dipandu oleh anak india tadi, aku berpatah dari kanan memasuki lorang yang sama. Betul betul penuh satu shelf dari atas ke bawah di sebelah bahu kiri aku dengan pelbagai saiz kenderaan dan panjang kabelnya. Belek punya belek aku pilihlah yang sesuai kuasanya iaitu 200A for 2.5M untuk kenderaan dibawah 1400cc. Lagi tinggi 'cc'-nya, maka makin mahallah harganya.
Siap memilih, menonong sahaja ke kaunter pembayaran. Keluarkan RM50 sekeping untuk membeli booster yang berharga RM23.90 yang ditetapkan. Kita hendak pakai, berapa harga yang mereka tetapkan, bayar sahaja lah. Hendak 'argue' pun bukan boleh jadi murah. Ikut suka dialah berapa dia hendak letak. Lumrahnya begitulah. Kalau boleh buat duit dan boleh untung, tentulah dia akan letak lagi tinggi lagi. Tentu sahaja dia perlu fikirkan 'harga' yang paling kompetitif berbanding dengan peniaga lain bagi mendapatkan duit pelanggan. Tentunya juga, aku sebagai pembeli akan 'survey' harga yang bersesuaian dengan kualiti barangan yang kedapatan dipasaran. Ikutkan beli secara online lagi murah untuk cable jumper. Tak gitu ... gamaknya'.
Siap tunjuk demo...nak suh kita beli lah tu
Terkini di shopee lagi banyak pilihan. Siap ada banyak fungsi lagi. Boleh pump tayar, bertindak jadi lampu 'kecemasan' dan jadi power bank. Dan yang bagusnya tidak perlukan kereta lain untuk jump-start akan kereta bermasalah. Cuma clamp kat positive dan negative 'pole' dari gadget baru dan sudah kira selesai masalah kereta yang tidak boleh dihidupkan engine tu. Portable Jumper Starter ni pun bukannya mahal sangat. Ikut budget memasing. Di shopee yang aku view pilihan yang ada, setakat RM40 over sahaja dah boleh dapat. Cuma kena tambah 'delivery' charge lah untuk sampai ke rumah.
Mahu dengan tidak sahaja. Terpulang...
No comments:
Post a Comment