Wednesday, May 22, 2024

Kuini lepas makan tengahhari

20 MAY 2024, 09:49 

Kuini lepas makan tengahhari Semalam, lepas makan tengahhari bermenu-kan 'nasi ayam', orang rumah hidangkan pula semangkuk 'kuini' berhiris. Semalampun dia hidangkan buah yang sama. Memang nikmat dapat rasa keenakkan buah kuini 'ranum' ditengahhari lepas makan pula tu. Budak budak sekarang, Gen Y dan Gen Z dan entah apa lagi gelarannya yang bakal ujud, mungkin tidak dapat 'feel' pasal buah kuini ini. Entah entah macammana rupa buahnyapun mereka tidak dapat mengenali. Tapi bagi orang seangkatan, tercium baunya sahaja sudah tahu. Buah bacang dan buah kuini walau seiras saiznya, kalau ditutup dengan kain guni sekalipun sudah dapat pastikan buah apakah itu. Aroma semerbak baunya sudah cukup membuatkan aku tertanya tanya. Sudah musim 'dia' kah sekarang ini. Penangan buah kuini masa zaman kanak kanak dahulu memang tidak dapat dilupakan. Segar dan tetap segar didalam ingatan. 

Kegemaranku...kuini 



Seingat aku-lah, pada pagi Sabtu, Yasser ditugaskan pergi membeli 'sarapan' di Duyong. Warong makan Latiff yang ada pelbagai 'kiosk' makanan pagi selalu aku kunjungi bersama 'lovely'. Lately, kalau hujung minggu biasanya Yasser-lah akan dipinta kesana. Motor dah baik seperti sediakala maka makin bersemangatlah hendak melaram melenjan kesana kemari. Longkah dan pantas sahaja bertindak. Orang rumah cuma call Kak Ita, isteri Dak Din Roti canai, order roti canai dan pesan untuk orderkan sekali nasi lemak 'ayam' di gerai Mak Teh, jiran niaga kiosk sebelah. Semua dah moden, maklumlah, dah perkara biasa berhubungan via smartphone. Order dulu nanti datang bayar dan gerak balik. 

Aku bertanyakan orang rumah akan mana dia dapatkan sebungkus plastik buah kuini masa keluar dari bilik pada pagi Sabtu itu. Semerbak baunya tentulah aku bertanya. Katanya si Yasser bawa balik dari beli sarapan kat Duyong. Mak Teh, penjual nasi lemak, kiosk berjiran dengan kiosk Roti Canai Dak Din serahkan seplastik untuk mamanya yang lama tidak datang singgah minum. Kaedah orang dulu dulu bertanya khabar. Tertib dan 'deep' maksudnya. Ooo...aku mengangguk dan cecepat ke tandas for 'nature calls'. 

Buah kuini dan 'pesaing'-nya buah bacang yang kalau tiba musimnya serentak memang 'senak'-lah perut memakannya. Bila gugur sahaja dan masih 'panas' fresh segera dikupas dihiris memang tak terucap nikmatnya. Kenyal kenyal dan juicy meleleh likat di tapak tangan dan dijilat pula terus ke mulut...perrghh...what else should I said selain dari menyebut 'terbaik and best-ever'. 

Buah kuini serta juga buah bacang semakin lama semakin dilupai oleh orang. Lumrahnya begitulah. Bila telah terlalu lama dan terbiar terabai tidak diurus dengan baik, kepupusan dari mukabumi akan tiba jua. Orang sekarang tidak menghiraukan kuini dan bacang lagi. Bagi mereka, mendapatkan buah mangga seperti 'Indian mango', Water Lily, dan pelbagai buah mangga yang di-import dari Thailand memenuhi 'pasaraya' tempatan lebih dibanggakan. Sedangkan buah kuini dan bacang tidak pernah dipandang oleh kita untuk dikomersilkan. Tiada usaha dijalankan mempopularkan buah tempatan kita ini. 



Setahu akulah buah kuini dan buah bacang tumbuh meliar dikampung. Hidup pokok kuini ini ada yang capai puluhan tahun. Belakang rumah arwah nenek yang kami diami telahpun ada sebelum aku dilahirkan lagi. Pangkalnya sahaja mencapai 3 pemeluk orang dewasa. Bayangkanlah betapa besarnya pokok kuini ini dan berdekad dekad mengeluarkan buahnya yang manis setiap kali datang musimnya.

Uniknya setiap kali berbuah, setiap malamlah akan berdentum dentam diatas 'zink' rumah kena tujahan buah kuini ini. Confirm yang jatuh ini sudah 'masak' dan gagal dicengkam kemas oleh 'keluang' yang pandai memilih buah yang hampir dan telah masak. Kalau rajin keluar rumah. Tidak perlu menyuluh, tercium bau 'harum', kutip sahaja. Tergerak hendak makan, ambil pisau kopek kulitnya dan hiris tebal tebal isinya yang kuning dan letak didalam piring. Kadang tak sempat letak dalam piring, terus ngap. Pokok yang sedia besar dan berdahan berbentuk payung terkembang mengeluarkan ratusan buah. Maka banyaklah yang dapat merasainya. Tupai dan burung disiangnya hari mengigit mematuk dan malam pula oleh keluang yang lebih 'daring' mencuri membawa lari menerbangkan sorang sebiji ke 'port' memasing. 

Setiap hari pulang dari sekolah dan selepas makan tengahhari akan ke pangkal pokok dan sekitarannya mencari buah yang jatuh dan semestinya sudah masak ranum jatuh ditiup angin. Kekadang berlambak ditemui dan adakalanya sebijipun tidak berjumpa. Agakan yang selalu tepat ialah pasti telah ada orang yang terlebih dahulu mengutipnya. Ada bebudak kampong dan anak jiran yang nakal datang mengambil tanpa pengetahuan kita. 

Kini memang sukar hendak mendapatkannya. Aku adalah pengemar tegar akan buah kuini ini. Teringin hendak makan tapi memang sukar mencarinya. Bukan boleh jumpainya didalam pasaraya. Malah peniaga buah dipasar biasapun tidak mahu menjual kerana tiada laku. Kita 'treated' macam buah jambu batu atau jambu air yang sepohon dua hiasan laman rumah atau yang hidup 'sendiri' dihujung kebun yang bijinya dilemparkan begitu sahaja. Ini senarionya dikampong. Kalau kat taman, jangan mimpilah dapat melihatnya. 

Kuini yang senang hidup dan boleh hidup berdekad tanpa jagaan rapi seolah mulai merajuk dan perlahan lahan tidak dipedulikan lagi. Ada dikalangan kita bilamana diberitahu oleh orang lelama yang anak pokok yang menghijau merimbun apabila ditanya memberitahu ianya pokok kuini maka tidak lengah lagi dicantas ditebangnya. Alasan paling berasas bagi mereka mengatakan pokok kuini akan membesar dan membahayakan bila tumbang menghempap rumah. Ini adalah detik detik awal kepada kepupusan yang tanpa kita sedari adalah dari kita sendiri. 

Aku tidak mampu menahan perubahan tapi sebagai renungan dalam perjalanan kehidupan ini. Sesuatu itu akan sampai kepenghujungan. Nostalgia akan buah kuini tetap diingati. Sukar diucapkan dengan kata kata dan payah dilupakan.

No comments: