Sunday, December 31, 2023

Penghujung 2023

Segalanya sememangnya telah diatur. Kita hanya menuruti perjalanan 'hukum' alam.  Kita bukanlah orangnya yang menentukan apa yang perlu dan patut berlaku. Sesungguhnya hari ini adalah yang pertama kalinya dalam sejarah aku bekerja makan gaji berpeluang bekerja sekerat hari. Ternyata jelas dari urutan insiden beberapa hari terdahulu membawa kepada terjadinya apa yang didambakan. Tentunya aku bersyukur kehadrat Illah yang melorong memudahkan akan segala urusan kehidupan aku.

Memangnya tidak aku sangkakan dan tidak pernah terfikirkan akan kemungkinan ini. Aturan dariNya siapakah yang boleh menafikan. Sebelum memasuki bulan Disember, dengan segala cuti bagai sudah aku plotkan agar tiada apa apa perubahan dan mengikut seperti yang aku rencanakan. Namun harapan berkecai. Perlu dipinda beberapa cuti yang tidak mengimbangi 'kekuatan' staf untuk sessi pagi dan petang. Dalam aku selesai membuat perancangan pada minggu terakhir November dalam penyediaan roster untuk bulan Disember, aku ada maklumkan kepada LM agar aku diberikan 'sedikit' keistimewaan dalam penentuan hari bercuti menuju persaraan yang tidak berapa lamanya lagi. Dia pula memaklumkan yang dia akan cuba memberi priority dengan bersyarat. Semuanya bergantung kepada kelulusan dari SM. Aku ucapkan berbanyak terima kasih kepadanya. Ada sedikit sebanyak perubahan dengan kewajaran yang tidak dapat perlu diubah dianjak boleh lagi aku terima. Sebagusnya, makin sedikit adjustment tentulah sudah memadai.

Aku lewat mengetahui akan tarikh sepupu mengahwinkan anaknya yang kedua. Juga tarikh biras menunangkan anak perempuan keduanya. Lewat diketahui. Aku sedia maklum hujung tahun adalah hari dimana memang sukar untuk bercuti. Pelbagai promosi jualan diadakan dan menagih setiap pekerja untuk bertugas. Tentu sekali aku tidak terkecuali. Noktah. Alhamdulillah, bilamana LM menunjukkan draf roster untuk bulan Disember, mata aku segera melihat shift untuk hujung bulan alias hujung tahun. Bershift petang. Spontan difikiran yang aku sempat untuk hadir ke kenduri mereka nanti. Kalaulah ada sanak saudara yang membuat apa apa majlis, sempatlah aku menjengah hadir disebelah paginya. Lega dan tidak perlulah untuk aku menyusahkan rakan sejawatan bertukar shift kerja semata mata untuk turut hadir ke majlis. Tidak punyai apa apa ertipun kepada mereka tapi begitu 'istimewa' kepada diri dalam meraikan majlis yang dianjurkan sekali dalam seumur hidup kerabat. Bukankah bertunang mahupun berkahwin hanya sekali. Hadir merai memeriahkan adalah suatu 'obligasi' menceriakan mereka. Kebanyakan mereka berjarak dalam belasan tahun dari aku. Kebanyakkan yang sudah lama bekerjapun adalah dalam usia 40-an. Bawah 40-an lagi ramailah.

Semua kita pasti akan melalui saat kemanisan memasuki alam perkahwinan. Hadir jemputan tuan rumah adalah menunjukkan yang kita turut sama gembira meraikan kesejahteraan pasangan hidup yang dipilih dan kalau boleh sehingga kepenghujung hayat. Ini harapan kita semua yang hadir. Rasanya tidak terniatpun buat sesiapa jua untuk berfikir yang sebaliknya. Semuga anak kerabat kita berbahagia hidup mereka menjadi penyambung zuriat keturunan bangsa bermaruah di kemudian hari. Budak budak yang berusia rendah masih belum mengerti. Bagi mereka datang kenduri, makan, borak borak bersalaman dan terus balik. Tapi kita nie yang telah meningkat usia, mana boleh bertingkah sedemikian. Kitapun ada anak. Masih bujangan dan akan suatu masanya nanti dan dengan Izinan dariNya akan bekeluarga. Hubungan dalam keluarga dan sesama khariah perlu diperkukuhkan dalam hidup bermaysarakat. Ini hal lumrah. Tapi kesempatan untuk turut sama hadir dalam kalangan kita adalah paling dititik beratkan. Maklumlah komitmen kerja dan 'kemodenan' mengekang untuk sesama senantiasa berhubungan dalam konteks bermasyarakat lebih lebih lagilah setaman.

Tapi semua ini tidak menjadi suatu perkara yang membebankan apatahlah merungsingkan andainyalah kita punyai sikap dan kecenderungan untuk saling berhubungan. Terpulanglah kepada orang. Antara mahu dengan tidak. Kecenderungan untuk menyisihkan diri dari bercampur adalah satu pilihan. Sekiranya merasakan diri mampu untuk bersendirian maka hadaplah implikasinya nanti. Segala apa yang dmahukan dan direncanakan, semuanya didalam pengetahuan Dia juga. Samada mengikut apa yang kita inginkan atau sebaliknya yang terjadi adalah ketentuan DariNya. Berserah dan laksanakan yang terbaik.

Seperkara yang menghairankan dan pada pengetahuan kita sekadar suatu kebetulan apabila apa yang aku hasratkan terhidang didepan mata. Menjadi 'asbab' buat diri memberanikan diri mematerikannya. Kesempatan ini seolah 'meredhai' apa yang aku inginkan. 

Menyampaikan hasrat...

Agar apa yang dihajati...terlaksanakan



Moga tiada perkara buruk yang terjadi.

 

No comments: