06 DECEMBER 2023, 00:25
Harus terima hakikat
Didetik ini aku perlu akui yang kudrat diri tidak sama jika diperbandingkan ketikanya aku diawal remaja. Diamat amati lebih teliti maka terserlahlah yang segalanya begitu berjarak ketaranya. Memang beruntunglah buat mereka yang menyedarinya dan disedarkan oleh mereka yang prihatin terhadap dirinya atau mungkin juga 'takdir' yang mengkehendakinya sedemikian. Lalu cepat bingkaslah dirinya fokus terhadap keperluan diri seiringan dengan peningkatan usianya. Kekadang terawal dari masanya untuk diuji. Maka terlebih patutlah dia bersedia dengan segala kelebihan diri hadapi segala dugaan hidup yang mendatang. Namun begitu hanyalah mereka yang 'terpilih' sahajalah mendapat 'privilege' anugerah. Manakala yang biasa biasa macam aku ini lebih kepada 'trial and error'. Untung sabut timbul...kalau untung batu, tentulah tenggelam.
Dari sehari ke sehari dirasakan makin sukar untuk fokus apatah lagi mengingati akan apa yang ingin aku perkemaskan pada diri. Bukanlah aku mengeluh sesangat tapi tetap berasa kehairanan akan betapa payahnya diri dalam mengapai 'sesuatu'. Projek mempelajari akan 'bahasa arab' dari kendiri kemudiannya berbimbingan berdepan dan ditambahi dengan secara 'online' demi mempertajamkan daya ingatan agak sukar digenggam. Apa mungkin aku lebihkan fokus pada kerjaya cari makan yang kini berbaki cuma kurang dari 2 bulan. Mungkin jugakah aku banyak sangat memikirkan hal seputar kehidupan masyarakat setempat serta keluarga yang sedikit sebanyak merungsingkan hati. Lebih hebat lagi akan terbacanya tanpa dipinta mengenai kesulitan serta permasalahan yang berlaku semasa serta tersebarluas didalam sosial media. Terlalu obsess-nya aku akan cerita dan kisah yang dipaparkan melintasi 'fyp' aku makin menekan diri.
Ibarat tiada beban batu hendak digalas. Segala bentuk hal yang 'cuba' mengalih tumpuan perlu sangatlah aku kesampingkan. Malangnya, aku bukanlah orangnya yang 'cekal' tidak menghiraukan sekitaran. Aku juga bukannya seorang yang 'selfish' yakni cuma pentingkan diri semata. Hasrat aku, kalau boleh...ya, kalau bolehlah mahu semua kita samada yang dikenali dan tidak dikenalipun punyai kemampuan untuk memahami isikandungan al-quran. Terabai dan terpinggir bagi mereka yang kurang 'agama' pada diri dari mencungkil 'khazanah' ilmu dan panduan yang tersedia ada untuk diguna dimanfaatkan demi kesejahteraan sekelian alam. Jauh rasanya tertinggal dan baru kini mulai celik dan disedarkan buat diri olehNya.
Hajat dan hasrat yang lama terpendam, sedikit demi sedikit dipertunjukkan. Aku mulai faham berdikit dikit akan perintah peringatan serta tegahan yang disampaikan melalui Nabi Muhammad saw dengan perantaraan malaikat Jibrail lebih 1400 tahun yang telah berlalu. Hendak dibilang lewat, ya memang telah dipenghujung hayat baru mulai tersedar. Setiap orang mengikut 'skrip' perjalanan kehidupan yang berbeza. Pun begitu, rasa iri kepada mereka yang lebih segalanya dari diri ini tetap membekas. Aku bukanlah sempurna serba serbi apatah lagi untuk diikhtiraf 'maksum' dan tentulah sesuatu yang normal untuk berkelakuan sedemikian.
Selagi mana aku diberi kesempatan masa, aku tidak harus berlengah lengah untuk rebut mana yang berharga dan yang telah tertinggal dan yang tidak dihiraukan. Aku tidaklah sampai menyalahkan orang lain pula atas kekurangan dan kepincangan yang mana perlu aku berusaha sendiri sedaya mungkin. Harus lebih fokus. Tidak perlu leka dan dilekakan dengan permainan sandiwara dunia.
Selalu sangat aku mengharapkan agar diri dipermudahkan dalam segala urusan kehidupan. Mana silapnya. Kalaulah tidak diperturuti aturan dan tertibnya mana mungkin apa yang dipinta dihajati akan tercapai. Sedar sesangat sudah, sesuatu tidak akan berlaku tanpa mengikuti aturan yang ditetapkan. Hendak pandai kenalah belajar. Hendak mahir kenalah banyak berlatih. Kalau asyik berangan dengan 'kalaulah...aku dulunya...', nampak gayanya sampai kesudah tidak bertemu pengakhiran yang didambakan.
Terserah....tepuklah dada, dan tanyalah sejujurnya akan hati... .
No comments:
Post a Comment