Tuesday, December 12, 2023

Masih tak leh nak move-on

 12 DECEMBER 2023, 10:19


Masih tak leh nak move-on


Semalam, hujan lepas Asar. Agak lebat jugalah. Memandangkan aku telah berjanji hendak menghantarkan 'shipment' kepada seorang rakan yang menjalankan 2 pekerjaan seharian maka haruslah aku tunaikan juga. Seingat akulah, jumaat ataupun sabtu, semasa aku tengah bertugas dia, Hussin Ajit, yang sebaya tapi tidak bersama sekelas masa di tingkatan 4 & 5 membuat panggilan. Dia bertanyakan tentang tugas jahit 'tulang belut' yang diberikan pada minggu lalu samada telah siap ataupun belum. Pantas sahaja aku maklumi dia yang tugasan itu telahpun siap. Cuma menantikan hari Isnin(11/12) ketikanya aku bercuti untuk aku menghantarnya kat Padang Temu.


Sesampai dirumah persinggahannya itu, dia tengah terbongkang tidur. Sebaik berada di muka pintu yang terlopong terbuka, akupun beri 'salam' padanya. Cecepat dia bingkas bangun menjawab ucapan salam dari aku. Terlayang katanya lepas hujan dan berseorangan dirumah. Aku lagilah cucuk, memang timing baik punya bilamana tiada sesiapa untuk dilawan bercakap, aktiviti yang lebih 'afdal' adalah taking a nap. Gelak dia bila aku beri komentar demikian. Dalam perjalanan ke rumah persinggahannya itu, aku harus melalui jalan yang menempatkan warung kopinya. Kelihatan bertutup. Terdetik hendak bertanya meniagakah sahabat aku pada petang ini.


Jalan berkeadaan agak licin. Berhati memandu adalah kemestian dalam situasi yang memungkinkan apa sahaja untuk berlaku andai tidak hemah dalam pemanduan. Orang yang berpengalaman serta bertahun memandu pastinya akan lebih berhati hati dan tentunya lebih maklum. Semua kita kalau boleh tidak mahu terjebak dalam kemalangan. Namun andai itulah ketentuan dariNya maka haruslah kita bersedia hadapi dan harunginya penuh tabah. Aku terlihatkan dalam kita memandu didalam gerimis petang, ada juga insan yang terpaksa mengharungi bermotor. Bukan hendak berbangga tapi itulah yang terlihatkan. Nasib antara kita berlainan. Berhujan meredah jalan yang sedikit licin tentulah telah diambilkira keperluan untuk bergerak diketika itu. Mungkin perlu segera kedestinasi tujuan membuatkan tidak mungkin untuk menangguhkan perjalanan.


Masing masing dari kita punyai perjalanan corak kehidupan yang berbeza. Tiada pilihan tapi perlu hadapinya selayaknya. Samada mampu ataupun gagal mengemudi mengikut rentak maka sendirilah yang harus tanggung. Jaya gagalnya bukan kita yang menentukan. Segala sesuatu itu terpulanglah kepadaNya jua. Setiap hal adalah 'ujian'. Suka ataupun tidak, semua kita perlu menerimanya penuh rela.


Didalam harungi kehidupan ini dan pada pandangan zahir kita dan menurut kayu ukur sendiri merasakan 'perit' kehidupan yang harus mereka lalui. Berbanding dengan diri, konon, sedikit baik berbanding dengan mereka. Namun harus diingati dan senantiasa berwaspada akan kemungkinan yang sama juga boleh terjadi pada diri. Tiada, sebenarnya istilah 'bernasib baik'. At anytime, segala bentuk pancaroba kehidupan akan ditimpakan. Cumanya segera dihadapi atau mungkin bertahun lagi dan lebih merumitkan situasi diketikanya kudrat tidak berupaya untuk menggalas.


Semasa hendak memasuki susur kiri di persimpangan ke perigi Hang Tuah, Duyung dipetangnya hari ini terlihatkan insan insan yang gigih mencari 'rezeki'. Kita hanya mampu melihat pergerakan orang dijalanan. Kita pastinya tidak akan tahu apatah lagi untuk mengerti akan usaha yang sedang mereka lakukan saat itu. Bersejukkan diatas jalan yang mulai jammed menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan kerelaan diri demi menyara diri dan keluarga. Pelbagai aktiviti perekonomian dijalankan. Semua kita adalah penggerak dan penjana ekonomi negara. Cumanya berapa significant-nya aktiviti yang kita jalankan itu dalam menggerakkan ekonomi keseluruhannya. 

Gambar gambar yang sempat ditangkap semasa dalam pemanduan menceritakan betapa berusahanya bangsaku mencari rezeki ditanah kelahiran. Pedih melihat tapi merekalah lebih perit menghadapinya.



Rezeki buat keluarga

Support perniagaan orang kita

Tidak kira waktu, menyara keluarga

Bahaya tidak dihiraukan


Adalah sesuatu yang janggal dan benak memikirkan bilamana ada yang mengeluh akan ketiadaan pekerjaan untuk dilakukan. Bila seseorang 'claimed' untuk kekal menggangur disebabkan ketiadaan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan, adalah tidak mustahil untuk peluang 'rezeki' yang terhidang dan hanya perlukan sedikit usaha dan imaginasi dalam bertindak untuk sesama merebut peluang dalam memertabatkan diri. Berharap dan menunggu peluang untuk datang bergolek adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku.


Sebab itulah, kebanjiran 'pati' dan warga asing beramai ramai datang ke negara tercinta ini sedayanya cuba merebut 'rezeki'. Tidak terbendung. Tidak adakah pihak yang berkuasa menangani kedatangan mereka ini. Alasan 'lapok' yang diutarakan oleh insan yang kini berjawatan presiden parti terbesar melayu wewenangnya menegaskan bangsa dia sendiri tidak mahu bekerja dalam '3D sector'. Sehinggakan sanggup menjemput bermuslihat seramai 1.5 pekerja asing dari Bangladesh dan turut mencabar belia belia kita untuk turut berpartisipasi dalam pekerjaan 'Dirty, Dangerous and Difficult'. Seingat akulah video ucapan beliau pernah viral. Kebanyakan mereka yang turut ada dalam perjumpaan dikalangan orang melayu itu mem-boo-kan idea bodohnya itu. Hal ini terjadi beberapa tahun yang lalu sebelum kedatangan Covid-19 lagi.

Boleh rujuk artikel ini yang jadi viral ketika itu...pekerja-bangladesh dialu-alukan.


Juga video respond dari orang tempatan...1.5juta+bangladesh+viral+video


Bukanlah aku hendak pertikaikan tapi kebimbangan yang aku jangkakan dan mungkin buat mereka yang prihatin turut sama merasakan kesan akibatnya nanti. Kini, kedatangan yang tidakpun dialu-alukan telah memakan diri. Alasan orang luar lebih gigih dan menghargai peluang serta disediakan dengan pelbagai kemudahan untuk mereka bertapak akhirnya menimbulkan pelbagai masalah kepada kita. Masalah sosial dan kesihatan adalah paling ketara. Tidak nampak pun satu pendekatan yang mampan didalam mengatasi kemelut ini. Segalanya seolah dibiarkan kepada rakyat dibawah untuk sendiri sendiri harungi.


Banyak sudah contoh contoh dimana mereka ini sudah mulai menunjukkan 'belang'. Angkuh dan tidak bermoral sampai sanggup ketahap menghina bangsa Melayu. Mana perginya penguasa negeri dan negara yang pandai dan bijak mempengaruhi mengundi mereka sebagai pemimpin. Takkanlah menikus. 


Hujung hujungnya, hanyalah kita yang menjaga kita. Pedulikan mereka yang diberi dan ada kuasa kononnya tapi terikat patuh pada 'pemuafakatan' yang tidak menguntungkan bangsa melayu sebagai peribumi tanah bertuah nenek moyang kita ini. Kita susun dan atur strategi untuk bangkit perjuangkan hak yang makin terhakis ke tangan pendatang yang tidak ubah seperti 'kaduk naik junjung'. Tidak sedar diri asal datangnya ke sini. Alih alih cuba cuba berlagak menjadi tuan.


Jangan kita berpeluk tubuh lagi. Ayuh, bangkit bangsaku. Perjuangkan hak dan tuntut kembali akan apa yang terlepas dan sebenarnya milik kita.

No comments: