12/3/2024 05:59
Hari ini adalah hari pertama Ramadhan 1445H. Hari ini jugalah merupakan hari yang pertama aku berpuasa dengan tiada risaukan akan komitmen kerja bergajian. Tamat sudah aku menghambakan diri mencari 'wang' dalam mengharungi kehidupan. Akan sampai suatu masa yang kita akan tinggalkan apa yang pernah kita mulakan dahulu. Inikan lumrah alam. Malah perkara ini akan berulang kepada orang lain yang terkemudian dari aku. Kisah 're-cycle' kehidupan akan berterusan tapi dengan versi dan zaman yang berlainan. Apa yang pasti ianya akan menuruti corak yang sama. Tiada banyak bezanya.
Moga lebih baik dari tahun sebelumnya...Insya-Allah |
Semasa kini, dengan usia yang semakin lanjut dirasakan yang diri begitu banyak tertinggal. Momen yang patutnya diraikan ketika muda dan bertepatan tapi terasa seperti telah jauh tidak bersesuaian lagi. Samada diri tidak berkesempatan ataupun mungkin tidak berhak langsung dek kerna hambatan kepada aktiviti harian memasing. Beruntunglah kepada mereka yang menikmati pada masa yang sepatut dan seharusnya. Ingat lagi akan keperluan berbuat seperti yang dijadual ditetapkan. Tiada ruang untuk menangguh atau meninggalkan keperluan tersebut. Peraturan yang harus diikuti tanpa gagal telah menyekat kebebasan untuk melakukan sesuatu yang lain dalam masa yang serentak. Mustahil ianya dapat dilakukan. Hairanlah andai kita dapat berada didua tempat yang berlainan dalam satu masa.
Pun begitu, aku amat bersyukur dan berterimakasih kepadaMu, ya Allah kerana masih diberi peluang untuk hidup. Keberadaan aku di Ramadhan kali ini tentulah telah ditakdirkan. Tentu sekali aku masih diberi peluang untuk menebus kesilapan kesalahan yang telah lalu. Seharusnya juga aku perlu berbuat dengan lebih baik bermutu dari peribadatan yang selama ini telah aku lakukan. Barangkali dan rasanya peluang yang perlu aku beranggapan buat terakhir kalinya ini harus aku manfaatkan sehabis baik.
Dikala usia yang sudahpun memcecah 60 tahun, apakah perlu lagi aku teragak agak dan menunggu nunggu dilain masa untuk berubah. Agak weird la andai hal yang terlalu obvious masih bertangguh. Umur yang tersisa dianggapkan sebagai suatu hal yang normal sahaja. Ditambahi dengan 'isyarat' kesihatan diri yang mulai ketara. Kesukaran bernafas, penglihatan yang kian kabur, rambut hitam berkilat dulunya dah makin putih menipis, selera makan awal lagi sudah menurun dan lebih ketara lagi fizikal bentuk badan yang menyusut dengan kulit berkedut jelas terserlah. Maka maklumlah akan kesemua tanda tanda ini sebagai pengingat diri yang kita bakal dijemput pulang. Hanya detik masanya sahaja yang pasti akan sampai dan biasa diandaikan sebagai 'misteri' ketibaannya.
Bila merenungi akan rakan persekolahan dan sebaya yang telah kembali menemui sang pencipta yang mana pada pengetahuan kita lebih bernasib baik kehidupan duniawi mereka berbanding dengan diri membuat kita yang masih bernyawa termanggu memikirkan. Apakah yang kena kita hadap dimasa mendatang ini. Terlalu memikirkan akan sesuatu yang kurang jelas jadi ataupun tidaknya pasti akan membuatkan diri seolah mengharapkan sesuatu yang tidak pasti sedangkan apa yang telah sekian lama Allah swt janjikan pada setiap Ramadhan selagi ada hayat tidak begitu dihiraukan. Pelik dan amat menghairankan. Kekadang kita begitu mudah dipesongkan dengan apa yang terjadi. Lebih lebih lagi yang menguntungkan pada orang yang dikenali. Tanpa berlengah lagi yang kitapun mahukan sepertimana yang telah diperolehi oleh orang lain. Sikap manusia mana mungkin beralah dengan orang lain. Prinsip kalau mereka boleh berjaya maka akupun tentu juga boleh. Bagaimanapun kita gagal 'membaca' akan kesungguhan kegigihan serta banyaknya masa yang diperuntukkan oleh mereka yang 'terpilih' untuk berjaya. Kita cuma dan hiraukan akan 'kejayaan' yang terbukti. Adakah akan menarik diri untuk bersaing sepertimana yang telah ditunjukkan oleh mereka yang berjaya ini. Terserah.
Konsentrasi kepada Ramadhan 1445H ini seharusnya lebih dan berganda dari tahun sebelumnya. Ini barulah dikatakan ada peningkatan. Bercakap berazam adalah satu hal yang berbeza dengan tindakan yang patut dilakukan. Bertindak lebih 'strenuous' walau kudrat makin melemah amat perlu dalam memastikan yang setiap usaha yang kita perbuat itu mampu menghasilkan sesuatu yang baik bermanfaat. Paling asasnya usaha kita itu mendapat balasan dan kurniaan 'pahala' dariNya. Kita tidak akan tahu akan perbuatan yang manakah lebih diterimaNya. Tugas kita dikesempatan peluang berada dibulan yang mulia ini melaksanakan dan merebut akan segala peluang membuat 'pahala' sebanyak mungkin. Masa buat aku dan yang sebaya seusia makin singkat sudah. Hendakkah lagi berlengah bertangguh.
Banyaknya cadangan dari mereka yang prihatin dalam merencana perjalanan berpuasa sebulan Ramadhan ini. Saling mengingati adalah amalan mulia yang mendatangkan kebaikan bersama. Maka bermacam macam pelan yang diutarakan. Samada berbentuk pdf, video ceramah dan panduan yang mudah lagi jelas boleh dicapai via youtube dan diperpanjangkan oleh sesama kita via facebook, instagram dan tik tok. Rasanya, takkan satupun maklumat yang sebegini baik ini tidak melalui memasing punya 'fyp'. Musykil rasanya andai tidak pernah.
Rujuk artikel ini...sebagai pencambahan minda, 6-tips-untuk-bersedia-menerima-bulan-ramadhan-tahun-2024 dan Panduan_Amalan_di_Bulan_Ramadhan.pdf
Dimana ada kemahuan maka tentulah ada cara untuk mendapatkannya. Okay-lah...katalah kita orangnya yang tidak suka bersosial dan tidak mahu dipengaruhi dengan unsur unsur negatif dan melekakan diri. Apakah perkara kebaikan yang turut sama terdapat dalam media sosialpun hendak diketepikan begitu sahaja. Spesis orang seperti ini mungkin ada tapi bukanlah ramai manapun. Kena dengan cara menerangkan akan mudah mengikut sampai akan terpacul kekesalan, 'apasal lambat bagitahu...kalau tak lagi dulu aku dah lakukan'.
Memasing dari kita ini punyai tahap kesedaran yang berbeza. Segalanya bergantung kepada pendedahan sejak kelahiran sehinggalah ketahap usia semasa. Begitu jugalah dengan tindakan susulan yang akan diambil. Baik buruk atau betul salah perilaku yang dipilih kekadang bukan empunya diri yang mahu tapi dipengaruhi oleh faktor sekitaran. Begitulah 'takdir' mengambil tempatnya. Ketetapan Illahi mana mungkin dapat diubah menurut kemahuan sendiri. Kita cuma mampu dan perlu menuruti setiap detik kejadian dengan penuh tabah dan mengharapkan keredhaan dariNya.
Ujian memasing adalah khusus buat diri. Manakala kita yang melihat yang terzahirkan itu perlu bermuhasabah diri. Mohon dijauhkan dari segala musibah serta berdoa mengharapkan segala kebaikan dari setiap tindakan yang kita ambil. Kita tidak akan tahu tentang apa yang diuntukkan kepada kita dimasa mendatang nanti.
Semoga tabah harungi setiap dugaan kehidupan. Ameen.
No comments:
Post a Comment