Friday, March 15, 2024

Jumaat pertama Ramadhan 1445H

15 MARCH 2024, 10:21

Jumaat pertama Ramadhan 1445H

Pagi ini sebaik bangun membersihkan diri @ 5:00am aku bersiap untuk bersahur. Manakala orang rumah pula telah dikejutkan seawal 4:00am untuk penyediaan makan sahur. Katanya lewat dari waktu itu, tidak terkejar hendak siapkan juadah. Memang telah menjadi kebiasaan atau sudah tradisi, bangun bersahur berjuadah nasi sejak anak kecil lagi. Jadinya kebiasaan yang dia lakukan saban tahun setiap Ramadhan dan berterusan mungkin sehinggalah penghujung hayat andai diizinkanNya. Aku sekadar mengikut dan andai dipertikai untuk lewatkan penyediaan sahur mungkin mood dia lari. Aku okay sahaja. Mana yang dia rasa selesa, kita turutkan.

Memang berbeza dengan sambutan Ramadhan pada tahun tahun sebelum ini. Aku kan sudah tidak bekerja lagi. Maka banyak masa dan semestinya aku bersyukur dipertemukan dengan Ramadhan kali ini. Memang banyak perkara baru mahu aku laksanakan. Amalan amalan yang dianjurkan untuk diperbuat diperbanyakkan sepertimana yang dianjurkan oleh mereka yang lebih 'alim' cuba dipraktikkan bertatih perlahan lahan. Beberapa zikir yang bersesuaian dan dicadangkan oleh ustaz tempohhari sebelum menjelang bulan puasa dan dicari maklumat yang lebih rapi di internet membolehkan aku menghafal dan melafazkannya dalam meniti hari dan memanfaatkan masa disepanjang bulan Ramadhan ini.

Kalau surf internet, sememangnya banyak zikir zikir yang boleh diambil dibaca sepanjang bulan ramadhan ini. Pencarian aku lebih aku fokuskan kepada satu artikel mengalakkan viewer-nya untuk banyakkan lafazkan 4 zikir disepanjang Ramadhan.

1. Memperbanyakkan membaca kalimah tauhid La ila ha illallah'




    
2. Beristighfar @ mohon ampunan kepada-Nya




3. Memohon kepada Allah s.w.t. untuk memasuki syurga




4. Berlindung dengan-Nya daripada terjerumus ke dalam neraka




Bagi yang berkeinginan membaca artikel penuhnya, bolehlah rujuk link...empat-zikir-sepanjang-ramadhan/


Amalan bersegera ke masjid berjemaah telah aku mulai sebaik sahaja aku on mandatory retirement @ 60 since 02/02/2024. Lebih tenang menjalani kehidupan selepas tidak bekerja bergajian. Masa dipergunakan untuk mencari bekalan kesana pula. Perlakuan yang aku buat saban hari ini adalah paksaan terhadap diri yang selama ini liar mendatangi masjid. Kononnya atas alasan komitmen kepada kerja cari rezeki. Apapun aku amat berterima kasih kepadaMu, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Raheem, yang mengizinkan aku untuk bertemu dengan Ramadhan lagi.

Macam biasalah juga setiap kali berjumaat, khutbah yang disampaikan akan bertepatan bersesuaian dengan suasana semasa. Makanya khutbah kali ini berkisar tentang Ramadhan dan peluang yang tersedia didalamnya. Isikandung khutbah hari ini buat seluruh negeri Melaka untuk dihayati bersama.


Moga aku diberi kesihatan dan kekuatan untuk beribadah dan terhindari dari sifat malas yang sering mendatangi diri seolah cuba menghalangi segala amalan yang baik yang ingin aku perbuat. Dalam sedar tidak sedar, kini kita telah berada pada hari keempat berpuasa. Hari ini juga adalah hari Jumaat, penghulu segala hari. Banyak perkara amalan yang baik bersempena hari jumaat ini perlu aku rebut. Kalau bukan diri ini yang lakukan siapa lagilah orangnya yang hendak lakukan. 

Semua kita berhajatkan agar diri menjadi lebih baik. Akupun tidak terkecuali sebenarnya. Harapan aku, agar Ramadhan kali ini menjadi lebih baik dan lagi cemerlang. Segala perkara yang baik baik dengan amalan yang dianjurkan dilaksanakan penuh keikhlasan. Diharapkan juga ianya bukan terhenti sebaik genapnya 30 hari Ramadhan tapi berterusan dibulan seterusnya. Malah perlu digandakan lagi.

Aku bukannya mahu menunjuk kepada orang lain tapi inilah ikrar aku dan rasanya inilah yang dimahukan kepada insan lain agar berubah. Berubah dari keadaan sekarang kepada suatu peningkatan peribadahan yang lebih mantap. Memang benar setiap perubahan memerlukan pengorbanan. Ini adalah hukum alam. Mana ada tetiba sahaja berubah menjadi lebih baik tanpa adanya tindakan-tindakan yang bersesuaian kearah itu. 

Masa buat diri makin singkat. Sering dan kerap sesangat aku alami sesak nafas. Tidak boleh renyah sembarangan. Mudah penat. Sukar bernafas dan terasa sedutan udara seperti tidak kecukupan. Aku bergerak against time dirasakan. Kesuntukan masa untuk serba serbinya. Mana hendak didahulukan dan mana pula perlu disegerakan. Segalanya seolah berkecamuk. Ibarat orang tidak kecukupan masa. Segala sesuatu, kalau boleh mahu dilaksanakan serentak.

Perlunya perancangan yang lebih rapi akan bagaimana cara terbaik mengendali membahagi masa. Keutamaan harus dikenalpasti. Barulah ada aturan. Bak kata M. Zain, 'yang dulu didahulukan'. 


No comments: