23/07/2023 07:39
Macam biasa, selesai membaca semuka dua al-quran dan masih lagi mengulangi surah al-baqarah, aku akan beralih kepada pembacaan samada menyelak tentang sorof, nahu atau berselang seli dengan socmed via smartphone. Namun buat pagi ini, aku mencoret something yang menghadirkan sedikit 'polemik' kepada diri. Membantu atau menjauhi.
Semua kita sedia maklum dan sedar mengerti yang setiap yang kita lakukan maka sendirilah yang harus menanggung setiap kesan akibat dari apa sahaja 'tindakan' yang telah kita ambil. Penatlah hendak mengingatkan selalu. Setiap tingkahlaku maka kitalah yang harus menerima kesannya. Tidaklah pula aku mahu menunjuk pandai seolah memaklumkan tanpa disedari yang dirilah yang lebih baik berbanding dengan orang lain. Harus diingat, ujian dan pancaroba kehidupan yang dihadapi dan perlu tempuhi diantara sesama kita adalah berbeza. Walau sekecil manapun persamaan yang mungkin dirasakan tapi apa yang paling pasti adalah pengakhiran itulah yang akan diketahui hakikatnya amat ketara berbeza.
Hukum 'alam' tidak sesiapa mampu menghalangi dari berlaku. Ketentuan Illahi mengatasi segala apa jua yang kita rancangkan yang mana kita begitu meyakini adalah paling terbaik. Perasaan sedemikian memang senantiasa ujud dan kononnya cuba menghadirkan sesuatu sepertimana yang diilhamkan. Faktor faktor yang menghalangi dan dirasakan mungkin akan mengagalkan setiap apa yang dirancangkan disetiap peringkat proses menuju matlamat yang disasarkan seboleh sebaiknya cuba dihindari dan diatasi.
Rujuk link ini, perancangan manusia tidak mampu mengatasi...
http://myheartinislam.blogspot.com/2011/03/perancangan-manusia-itu-usaha.html
Hakikatnya, sering yang terjadi adalah hal yang tidak terfikirkan boleh berlaku tapi ternyata didepan mata. Tepuk dahi dan menyesal spontan sahaja menyelinap masuk ke dalam sanubari. Mempertikai mempersoalkan akan macammana boleh terlepas pandang akan perkara yang mungkin remeh tapi penyebab utama tidak terjadinya sepertimana yang diimpikan.
Khamis selepas selesai kelas bahasa arab yang aku ikuti di Tangga Batu, dan terdetik sejak pecah 'berita' pada petang Ahad yang baru berlalu, aku berhasrat datang berziarah abang utih aku di Thamby Chik Karim, Batu Berendam. Rasanya telah lama sesangat aku tidak datang menjenguk. Kali terakhir masa bulan Februari, seminggu sebelum ke kampung malbatt di Port Dickson. Masanya juga hampir bersamaan, Khamis lepas habis kelas bahasa arab. Tempat lepak pun sama iaitu di Restoran Ayoob. Aku memang sensitif bila mendapat tahu berita yang semacam ini. Kesulitan yang sengaja ditambah keatas segala kesulitan yang ada serta masih terkial kial mengharungi membuatkan aku terharu mendengarinya. Abang aku ini, walaupun berpencen 'sarjan' tapi corak kehidupan bersaranya tidaklah sepertimana yang dilalui oleh sebilangan majoriti pesara kerajaan beruniform.
Adalah sesuatu yang biasa terlihatkan terutamanya dikampong kampong bilamana mereka yang tamat tugas tentunya diperantauan akan pulang kekampung membina rumah persaraan mereka dan menjalani routine kehidupan harian yang sama setiap hari. Pagi, keluar berjamaah Subuh, minum bersarapan berdua bersama pasangan dirumah atau sekali sekala di luar, tidur sekejap ditengahhari, beriadah dan mungkin juga berkebun disebelah petang dan mendengar tazkirah agama di masjid menantikan Isyak. Kalaulah mata belum berapa hendak mengantuk tidur, layankan netflix terkini bagi sedikit 'moderen' atau menyelak yelak buku agama terutamanya 'kitab kuning' bertulisan jawi/arab bagi yang merasakan diri belum lagi cukup bekalan untuk dibawa pulang. Manakala yang sedikit berkelebihan pula, kerap terdengarkan terbang ke Eropah, ke Australia atau kemana sahaja untuk makan angin dalam menikmati 'indahnya' alam persaraan. Fenomena sebegini adalah biasa terlihatkan. Kelebihan buat mereka yang beringat berjimat menyantuni hal perihal masa mendatang yang harus ditempuhi atas izinan dariNya.
Tapi hakikatnya apa yang diimpi tidak selalunya terjadi. Sering yang bertentangan berlawanan dengan yang diharap harap sesangat dihidang didepan mata. Hendak kata apa lagi. Terimalah dengan hati yang tenang. Dalam masa yang sama cuba membina kekuatan dan berharap agar dipermudahkan urusan mendepani setiap situasi.
Mengeluh berkeluh kesah tidak akan mampu menyelesaikan apa-apa. Malah ianya hanya akan mengusutkan lagi pemikiran. Mempertikai dan membandingkan dengan orang lain yang pada pandangan zahir tampak tenang tidak membuktikan yang mereka lebih bernasib baik mengikut pertimbangan kita. cabaran dugaan setiap kita tidak pernah bersamaan. Ini pernah aku nyatakan dahulu dalam catatan luahan hati. Namun perlu aku ulang ulangkan hal ini agar ianya menjadi panduan berazimat mendepani setiap persoalan ujian kehidupan.
Tabah dan terus bersabar dengan ujian yang ditimpakan olehNya. Pahala yang bakal diterima dari bersabar menempuh dugaan memang telah dijanjikan olehNya. Cumanya keyakinan diri dan kuatnya pegangan agama akan dicabar dinilai samada mampu berjaya mengatasinya.
Hendak nasihatkan orang mungkin aku belum layak. Tapi setiap kejadian yang menimpa orang lain dan lebih lebih lagi kerabat terdekat maka aku turut terpanggil untuk sekurang kurangnya memberi kata kata semangat bertabah mengharunginya. Tiada keperluan sekadar melihat dari jauh dan merenunginya sahaja tanpa berbuat sesuatu dalam bertolongan sesama saudara yang dihimpit kesulitan.
Allah melihat apa yang kita buat. Banyak ayat ayat untuk kita taddabur memahamkan yang setiap apa yang kita lakukan dan yang terbuku dihati, semuanya didalam pengetahuanNya jua.
Moralnya, bertolonganlah selagi mampu
No comments:
Post a Comment