Friday, July 21, 2023

Aku...Dia...dan Lagu

 19 JULY 2023, 14:26


Aku...Dia...dan Lagu


Selepas maklum yang anak buah dalam kesulitan bilamana Kak Long menalipon orang rumah dan aku pula terdengarkan perbualan mereka ketikanya sedang menantikan waktu maghrib pada Ahad, 16/07, aku bergerak menuju ke Alai sebaik selesai Asar berjamaah di Raudhah Bukit Katil pad petang Isnin. Namun tiada sesiapapun dirumah ketika itu. Lama jugalah aku bersantai santai di gazebo yang dibina oleh Dak Sham anak Aman Misai dari kayu kayu dan bahan binaan yang ada. Bukan sekadar memanfaatkan lebihan barangan binaan yang terbiar dari rosak berpanas berhujan begitu sahaja tapi aku dapat rasakan yang kakak tunggal aku berhasrat membantunya dengan memberi peluang kerja berupah kepada anak 'wak' yang sudah bekeluarga menyewa rumah Cumau Taman Buaya. 


Sambil duduk berborak bertanya lebih lanjut akan permasalahan anak buah yang sebelumnya telah ditamatkan kerja sebagai penjawat awam setahun yang lalu dengan rencam cabaran yang terpaksa diharunginya sehinggalah kesaat ini, benar benar meruntun hati. Tapi itulah, berat mana mata yang memandang tentulah lebih terasa beratnya buat diri yang terpaksa sendirian memikul bebanan. Simpati cepat sahaja melorot menerobos ke dalam hati. Angkara perbuatan yang tidak difikirkan buruk baiknya terlebih dahulu sebelum bertindak yang malangnya menimpa diri tentulah amat tidak terfikirkan akan natijahnya dikemudian hari.


Hendak membantu seharusnya sebagai bapa saudara sememangnya satu kewajipan. Namun bilamana faktor yang menghalangi difikirkan dan bakal mengakibatkan diri pula yang terbeban maka aku terpaksa berhati dan bertolongan mana yang mampu. Aku bercadang ke Alai pada sebelah petang Isnin itu sebaik selesai aku bersolat Asar. Bertujuan tentunya untuk mendapatkan perkhabaran yang lebih lanjut akan kemelut yang menyelubungi anak buah ini. Malangnya dia tiada dirumah. Lama jugalah aku bersidai sambil layan smartphone dengan mengintai fb tentang perkembangan PRN-15 untuk 6 negeri yang bakal diputuskan pada 12 Ogos ini. Jenuh menunggu, aku ambil keputusan untuk bergerak pulang.


Aku bergerak santai via Duyung sambil melihat lihat suasana petang disepanjang perjalanan pulang ke 'markas'. Radio klasik menjadi peneman ketika itu, menghidupkan lagi mood 'nostalgia' bilamana keudaranya program 'Aku, Dia dan Lagu'. Rancangan cerpen 'bercakap' yang menurut kata petugas rancangan disiarkan setiap petang Isnin hingga Khamis selama setengah jam dari 5:30 membawa ke pukul 6:00 petang. Entah macammana timbul pula keinginan mendengarnya dengan begitu attentive sambil memandu santai pada petang isnin untuk balik ke rumah.


Pengendali program itu tengah mengutarakan satu kisah 'masyarakat' sama ada kisah benar atau 'khayalan' penulisnya sahaja tidaklah aku ketahui. Tapi, pengolahan serta penceritaan yang disampaikan oleh pengacara radio, perempuan lagi, begitu profesional. Terpukau aku dengan tutur bicara serta lenggok nada yang dipelbagaikan seiringan dengan cerita yang dikumandangkan ke seluruh negara. Mungkin target audience hanyalah kepada mereka yang meminanti rancangan itu. 


Begitu mendayu suara penyampainya dan membuatkan aku pula yang tidak selesa sehinggakan turut sama bersimpati akan 'insan' yang terpalit dengan permasalahan perhubungan suami isteri. Ketika didengari, diceritakan yang bakal madu singgah hadir kerumah berseorangan. Bermaksud bertujuan memaklumkan yang dirinya bakal berkahwin dengan suaminya. Berani betul dia datang hendak merampas dan menyebabkan dirinya bertengkar memaki hamun 'perampas'.


Flashback akan kisahnya dipenghujung perkhidmatan menuju persaraan sebagai penjawat awam dengan membayangkan untuk berdua makan angin ke luar negara sahaja. Membayangkan akan betapa gembiranya diri bersama mengharungi kehidupan bersama dipenghujung usia. Namun langit tidak selalu cerah. Mendapat perkhabaran yang sang suami sedang galak bercintaan dengan PA baru yang dilantik dan dipilihnya. Perincian akan janda beranak dua lingkungan penghujung 30-an yang menuduh dirinya gagal 'membahagiakan' suami menjadi modal buat sang janda datang berkunjungan sendirian lagi seolah melepaskan 'bom' tanpa disedari. 


Bergaduh bertengkarlah dengan sang suami, bilamana dia telah di-brief-kan oleh bakal madunya yang dirinya bertindak kasar terhadap 'buah hati' barunya itu. Hendak lebih menyedap dan lebih tragis lagi, seminggu selepas peristiwa serang menyerang, suaminya mengalami kemerosotan tahap kesihatan yang mendadak. Kencing manis telah mengakibatkan pandangan makin kabur, lemah seluruh anggota akibat saraf yang memaksanya terlantar dikatil.

                                                        Kau Pendusta - Sharifah Aini

Hilang sudah pasal kahwin mahwin, timbul pula kisah deritaan suami. Anihnya, janda beranak dua, telah tiada datang bertanya khabar apatah lagi untuk menganggu. Terserlah tersingkap sudah akan hasrat yang selama ini disimpul rapi. Rancangan untuk bergantung hidup dengan orang lain dengan berniat yang tidak berapa bagus, rasanya tidak diperkenankan olehNya. Mungkin jugalah dan memang benar yakin akan doa mereka yang teraniaya itu lebih dekat dan segera dimakbul oleh Allah swt.


Kisah yang mungkin cuma khayalan penulis dan beria-ia disampaikan oleh petugas rancangan dalam memberi sesuatu yang berkualiti mungkin untuk direnungkan atau sememangnya kisah benar yang diolah sebegitu rupa tidaklah menjadi persoalan untuk dipertikaikan. Sememangnya inilah realiti kehidupan yang pernah aku sendiri ketemuinya. Bukan sekarang sahaja ini malah sejak aku bersekolah lagi telah kerap aku dengar dan melihatnya disekitar lingkungan. Terharu kepada mereka yang menerima ujian sedemikian. 


Tapi akan lebih terharu lagi bilamana aku sendiri gagal untuk membantu sekurang kurangnya dalam mereda meringankan bebanan yang terpaksa dipikul.  Biarpun atas tersilap langkah dan tidak berhemah dalam bertindak, sebagai bapa saudara, aku patut rasa malu bersalah kerana tidak terjangkau tidak mampu 'mengeluarkan' diri dan keluarganya dari kemelut yang sudah bertahun dihadapi. Masalah kewangan menjadi masalah yang paling utama untuk diatasi. Keperluan asasi menanggung anak dan isteri serta anak tiri dan ditambahi pula dengan anak kandung dari isteri pertama yang mohon bercerai memerlukan begitu besar perbelanjaan lagi membebankan. Kalau gagal mengemudi kehidupan dengan penuh ketabahan, memungkinkan seseorang itu akan hilang kekuatan diri andai tidak ditolongi dengan seharus sepatutnya.


Tak boleh hendak kata apa dah ni....

No comments: