Wednesday, July 5, 2023

Memandang untuk dimengertikan

 05 JULY 2023, 21:19


Memandang untuk dimengertikan


Selesai berurusan dengan Doktor Nurul Huda, moga dia betul betul memberi cahaya petunjuk, tentang permasalahan yang aku hadapi maka berjalan lemahlah mendapatkan alza selepas mengambil ubat dari farmasi. Terfikir pula aku bukanlah berniat jahat cumanya masing masing menghadapi ujian kehidupan tersendiri memasing. Hendak membandingkan dengan orang lain tentulah tidak patut dan sama sekali tidak tepat. Memasing punyai jalur kehidupan yang berbeza dan tentunya akan hadapi rintangan yang berbeza juga. Itulahkan sifat manusia dan normal untuk membanding bandingkan antara sesama.


Tidak dinafikan mengikut tafsiran dan pandangan singkat kita akan menyangka yang nasib diri orang itu lebih baik dari diri. Kita melihat dari pandangan mata dan bukannya dari mata hati. Dalam pemanduan balik ke rumah bilamana menyampaikan ke lampu trafik yang terpampang tulisan dibangunan - Asam Pedas Pak Man, terperasankan seorang pemuda dengan motornya betul betul didepan aku yang sama menunggui lampu bertukar hijau. Kejap pandangan aku kepada tulisan dibelakang t-shirt yang dipakainya. 'Tanah tumpahnya Darahku'. 

Disini - Tanah tumpahnya Darahku




Insafi-lah

Aku cuba untuk kaitkan dengan artikel yang sempat aku baca sebentar tadi ketikanya menunggui petugas kaunter farmasi itu memanggil nombor giliran ambil ubat yang telah dipreskripsi oleh Dr Nurul Huda. Apakala lama sangat menunggu, akupun click-lah fb icon sekadar mendapatkan input input maklumat semasa untuk diketahui. Antara banyak banyak itu, aku terhenti dan tekun membaca akan artikel mengenai penceroboh tanah kerajaan dengan penanaman 'musang king' telah diberi hak. Mengeleng aku seraya spontan pula menggaru kepala walaupun tidak terasa gatal. Siapa yang menjadi 'musang' serta sanggup rela dipermusangkan dek muslihat janji manis mempersona dan tentunya berdekah ketawa buat mereka yang berjaya perdayakan orang melayu. Peliknya, macam mana boleh jadi begini akhirnya. Permainan golongan opportunist memangnya senantiasa mencari jalan samada pintas mahupun berbelit, asalkan matlamat akhir mereka benar benar tercapai.

Lebih lanjut...sila lah rujuk, kemenangan bermakna pekebun musang king, bagi membeli 'masa' agar isu ini menjadi keutamaan.

Sedih tentunya bila membaca artikel sebegini. Begitu mudahnya diperdayakan orang. Bodoh sombong atau disebabkan ketamakan harta membuatkan mereka yang dipertanggungjawabkan mengkhianati. Apa erti kaya jika jiwa tidak tenang. Zahirnya mungkin kelihatan 'berjaya' dalam karier. Namun hakikatnya, hanya diri sendirilah yang mengerti akan salahlaku yang dibuat. 


Aku tidak pasti samada pemuda yang menyarung t-shirt berslogan ini mampu membuat anjakan paradigma ataupun tidak. Ataupun tidak punyai apa apa perasaan. Besar implikasinya. Elemen kemelayuan yang cuba diterapkan menerusi ungkapan ' Tanah tumpahnya Darahku' bagi perspektif aku lebih kepada berhasrat memajukan diri dan tanah tercinta. Cara dan kaedah mana yang patut dituruti dan berkesan dalam memacu kemajuan perlukan kerjasama sesama kita. Tanahair kita, maka kitalah yang harus kedepan. Bukannya berkompromi dengan bangsa bangsa lain yang punyai agenda mereka sendiri. 


Okey, aku bersangka baiklah. Mungkin pemuda bermotor ini telahpun punyai empayar perniagaan yang hebat, punyai banglo ditanah sendiri dan mungkin juga memiliki banglo in gated residence. Tentu sahaja bersantai santai menunggang motor dengan Vellfire terdampar serta beberapa kereta mewah bersusun di compound rumah. Harap sangkaan aku benar 'belaka'. 


Aku meneruskan perjalanan pulang kerumah. Perutpun sudah mulai berkeroncong sedangkan dia dari cermin sisi kelihatan membelok masuk, mungkin hendak pekena asam pedas. Dari kejauhan kelihatan ramai orang berdiri memandang kepada seseorang atau sesuatu dibahu jalan berhampiran susur masuk ke balai bomba bukit katil. Budak budak 'delivery' kebiasaannya adalah paling awal hadir. Fenomina sebegini bukanlah janggal lagi bilamana ada sahaja kemalangan, merekalah yang paling awal tiba menghulurkan pertolongan. Usaha mulia, semoga dibalas dengan pahala atas keikhlasan membantu. Ini menunjukkan yang untuk sebilangan masa apatah lagi dikala waktu puncak, golongan budak budak delivery berkeliaran diatas jalanraya adalah suatu pemandangan yang biasa.

Terbaring menahan kesakitan


Tidak berapa jelas akan 'subjek' atau mangsa yang ditimpa kecelakaan ini. Makanya aku memperlahankan kelajuan sambil siap sedia untuk merakam. Semakin dekat semakin jelas. Seorang wanita, agak gempal dan dalam lingkungan penghujung 40-an terbaring diatas rumput. Kelihatan seperti menahan sakit. Anihnya, tiada seorangpun dikalangan budak budak lelaki yang mendekatinya. Tiada pula kelihatan adanya motor rosak berlanggar atau kereta kemek dirempuh. Banyak motor dalam keadaan baik bertongkat. Musykil jadinya. Mungkinkah dirinya berseorangan. Kejadian yang sepantas ini terjadi didepan mata membuatkan semua yang berada dilokasi tergamam. Tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan. Kita pula yang didalam kereta lelorat pula menyibuk memikirkan sedangkan ianya sepintas lalu sahaja. Aliran trafik yang sederhana sesak tidak memungkinkan untuk aku turut berada dilokasi apatah lagi telah ramai yang sedia ingin menghulurkan bantuan.


Diharapkan wanita yang bermasalah ini dibantu seharusnya dan dipermudahkanlah untuknya untuk segera pulih. Kesedaran sivik dikalangan anak anak muda kita masih utuh dan jelas dipertontonkan. Aku berharap sangat usaha mulia sebegini, bingkas tangkas membantu sesama dapat kita perpanjangkan lagi didalam aktiviti yang lain. Misalnya sesama membantu merubah nasib bangsa merancakkan ekonomi dengan menyokong membeli jualan tepi jalan yang beratur dengan pelbagai menu. Umumnya bukan kita tapi kita digerakkan olehNya untuk beri 'rezeki' kepada peniaga sebangsa berjualan. Misteri buat kita semua tapi itulah perancangan Allah swt yang harus kita renungi penuh keinsafan.


Apapun nasib aku sendiri belum diketahui. Menurut doktor yang merawat aku tadi, kurang lebih dalam pukul 4 ke 5 petang nanti, dia akan menghubungi aku lagi. 

No comments: