Monday, May 13, 2024

Mencari Booster Cable

12 MAY 2024, 13:19

Mencari Booster Cable

Terpandangkan MBB tersadai tidak bergerak lebih seminggu membuatkan aku sedikit terkilan. Sejak awal minggu lagi hendak dapatkan 'jumper' samada di dalam kereta juga di MAQ namun tidak kedapatan. Telah aku tanyakan kepada semua anggota tapi tiada seorangpun yang 'respond' menjumpainya dimana mana. Besar kemungkinannya telah dilarikan oleh seseorang. Pelik sungguhlah atau mungkin sengkek sangat sehinggakan booster cable yang tidak semenggah bercapuk lagi berkenan hendak mengambilnya. Aku kena terima hakikat sedemikian.

Jentera yang aku belikan untuk kemudahan 'along' menuntut di Politeknik Sultan ibrahim, Pasir Gudang pertengahan 2014 dengan pelbagai kisah melingkungi dan kini disambung legasi 'khidmat' baktinya kepada Yusree pula juga di lokasi yang sama sehingga semester 5 berakhir pada awal Januari ini. Berada didepan mata, mana yang termampu aku perbetul dan baiki maka segeralah aku berbuat agar MBB kekal 'roadworthy'. Aku terpaksa 'rotate' penggunaan antara MCX, MAQ dan MBB saban hari. Kalau si purple yang aku lelau untuk Suboh, maka bila Zohor/Asar pula aku memandu si Silver atau kekadang si Maroon ke masjid. Sejak Februari lagi sehinggalah kini, bergilir gilir ikut mana yang aku berkeinginkan untuk digerakkan.

Seminggu yang telah berlalu, ketika sukar menghidupkan MAQ di kedinginan pagi, aku cuba start MBB pula. Nampak gayanya, dua dua merajuk. Azan telah berkumandang maka cecepatlah aku masuk kedalam rumah dapatkan kunci Alza pula. Nasib baik diapun tidak ikut merajuk. Kalau serentak buat perangai, haru aku dibuatnya. Tidak berpuashati dan ingin mengetahui punca tidak mahu hidup pagi pagi, sebaik sahaja lepas bersarapan, aku hidupkan dulu MAQ. Buka pintu kereta dan sambil menjongkok sahaja memutarkan kunci sekali sahaja maka terus hidup engine kereta. Muka ada senyum. Maknanya hendak selalu dibelai rupanya. Namun berbeza kisahnya dengan si Silver. Buka dan siap duduk lagi lalu memutarkan kunci kereta. Lampu bateri menyala, lampu minyakpun menyala tapi berkali kali dicuba masih tidak mahu hidup. Besar penyakitnya, kataku dalam hati. Bingkas keluar dan usik usiklah connector battery positive dan negative. Bersihkan mana yang patut dan kembali mencuba. Sekali mencuba, berbunyi dia tapi sekejap dan terus senyap. Cubaan kedua dan seterusnya langsung tidak dihiraukan. Buat derrk jer. 

Alternative perlu aku usahakan agar penyakit tidak mahu hidup dapat aku selesaikan. Selongkar dalam kereta mencari cable booster tapi tidak menemuinya. Bukan besarpun jentera yang aku miliki ini. Mana mungkin tidak menemuinya. Beralihlah mencari di MAQ pula. Makin hairan aku jadinya, tidak menemuinya dan aku syak tentulah ada seseorang yang telah mengalihkan. Tidak pernah sekalipun aku mengeluarkan dari dalam kereta. Memang sengaja aku biarkan ianya berada dalam kereta, setidak tidaknya aku boleh membantu mereka yang hadapi situasi bateri lemah jika berselisih dengan pemandu malang itu. Kerap jugalah aku berbakti kepada mreka yang memerlukan. Ramai juga yang tidak menyimpan car jumper dalam kereta lebih lebih lagilah kereta yang sudah bertahun usianya. Aku ambil pendekatan, 'expect the unexpected' biarpun mungkin kereta kita berkeadaan baik. Apa sahaja boleh terjadi.

Ketiadaan booster cable yang banyak berjasa didalam kereta menjadi misteri yang harus aku selesaikan. Dari sehari ke sehari tiada sesiapa dari ahli keluarga yang berjaya menjumpainya. Aku pula tidak mahu berlengah lagi. Lagi lama tidak dihidupkan mungkin akan mendatangkan 'mudarat' yang lagi besar. Suka tidak suka maka pada hari ahad ini terpaksalah aku keluar mencari yang baru. Barang yang hilang tidak perlu dikenangkan lagi. Buat sakit hati sahaja. Tiada tempat lain yang harus aku tujui melainkan ke Mr. D.I.Y. yang bersepah disekitar Melaka ini. Dari bebanyak outletnya yang berhampiran dengan kediaman, aku gemar ke outlet di Melaka Mall. Berbeza dengan outlet mereka yang lain, disini selain dari besar sales floornya, pengunjung yang datang kesini agak berbeza dengan di Duyong. Lebih teratur tersusun peragaan barangannya dengan pengunjungnya agak 'behave' which suited my shopping habits.

Aku mencari melilau tidak ketemuan. Akhirnya aku dapatkan pertolongan staff yang melintas didepan aku. Seorang anak india lingkungan penghujung 20an. Tidak pasti samada sudah berkahwin ke belum. Tapi dengan appearance yang agak gempal, mungkin ia mungkin tidak. Maklumlah, Malaysia ni makanan mewah dan pelbagai. Dia tunjukkan aku lokasi cable jumper yang aku mahukan sangat itu. Tidak jauhpun, cuma selang satu row gondola sebelah kanan aku. Melihatkan pelbagai variasi yang ada, sampai terlupa hendak cakap terima kasih kat anak india yang menunjukkan areanya. Bila aku menoleh kebelakang, dia sudah 'menghilang'. Hairan aku, sedangkan laluan yang dia tunjukkan itu telah aku lintasi sebelum ini. Aku memandang sekeliling keadaan semasa dan mulai perasan sebabnya. Kotak yang di-stack-up bertingkat sederet ketika aku lalu tadi telah melindungi pandangan mata. Sebab itulah aku tidak terperasan. Kali pertama tu, aku berjalan dari kiri kekanan tapi bila sudah terlepas dan dengan dipandu oleh anak india tadi, aku berpatah dari kanan memasuki lorang yang sama. Betul betul penuh satu shelf dari atas ke bawah di sebelah bahu kiri aku dengan pelbagai saiz kenderaan dan panjang kabelnya. Belek punya belek aku pilihlah yang sesuai kuasanya iaitu 200A for 2.5M untuk kenderaan dibawah 1400cc. Lagi tinggi 'cc'-nya, maka makin mahallah harganya.

RM23.90 @ Mr. D.I.Y.


Macam expert jer...

Siap memilih, menonong sahaja ke kaunter pembayaran. Keluarkan RM50 sekeping untuk membeli booster yang berharga RM23.90 yang ditetapkan. Kita hendak pakai, berapa harga yang mereka tetapkan, bayar sahaja lah. Hendak 'argue' pun bukan boleh jadi murah. Ikut suka dialah berapa dia hendak letak. Lumrahnya begitulah. Kalau boleh buat duit dan boleh untung, tentulah dia akan letak lagi tinggi lagi. Tentu sahaja dia perlu fikirkan 'harga' yang paling kompetitif berbanding dengan peniaga lain bagi mendapatkan duit pelanggan. Tentunya juga, aku sebagai pembeli akan 'survey' harga yang bersesuaian dengan kualiti barangan yang kedapatan dipasaran. Ikutkan beli secara online lagi murah untuk cable jumper. Tak gitu ... gamaknya'.

                                                Siap tunjuk demo...nak suh kita beli lah tu


Terkini di shopee lagi banyak pilihan. Siap ada banyak fungsi lagi. Boleh pump tayar, bertindak jadi lampu 'kecemasan' dan jadi power bank. Dan yang bagusnya tidak perlukan kereta lain untuk jump-start akan kereta bermasalah. Cuma clamp kat positive dan negative 'pole' dari gadget baru dan sudah kira selesai masalah kereta yang tidak boleh dihidupkan engine tu. Portable Jumper Starter ni pun bukannya mahal sangat. Ikut budget memasing. Di shopee yang aku view pilihan yang ada, setakat RM40 over sahaja dah boleh dapat. Cuma kena tambah 'delivery' charge lah untuk sampai ke rumah.

Mahu dengan tidak sahaja. Terpulang...

Saturday, May 11, 2024

Dilemma dalam menyokong membantu peniaga kecil kecilan

Dilemma dalam menyokong membantu peniaga kecil kecilan

Kerap sangat aku mengalah dan bersabar dengan apa yang aku 'beli' dari orang kita yang berniaga tapi tidak menepati 'citarasa' dan standard associated to that product. Entah mengapa juga yang aku tidak pernah serik dari terus membantu 'membeli' walaupun pengalaman yang dilalui sebelum ini agak mengecewakan semacam 'serik' hendak membeli lagi.


Bukanlah aku pertikaikan 'semangat' niaga yang mungkin baru berputik dikalangan orang kita tapi bilamana barangan yang ditawarkan tidak semenggah mana pastinya berdebar takutnya 'indah khabar dari rupa'. Tidak terkecualilah juga dengan peniaga yang telah sekian lama berniaga tapi masih tidak pertingkatkan kualiti barangan jualan mereka. Aku tidak mahu perkatakan sebab musabab dari 'point-of-view' peniaga tapi aku cuma melihatnya dari perspektif aku sebagai pembeli.


Biarpun senantiasa tidak memuaskan hati namum aku tetap dan terus menyokong mereka selagi termampu. Kekadang semacam ada 'phobia' pula. Perkara ini bukan sekarang baru aku ketahui tapi sejak dahulu lagi. Seolah tiada usaha untuk pertingkat perbaiki mutu barangan jualan mereka. Tidak hiraukan langsung. Mungkin mereka berpandangan, rezeki aku sebanyak ni sahaja. Bertabahlah walaupun usaha yang dicurah tidak 'berbaloi' dengan hasil yang diperolehi.


Baru baru ini, Selasa 07/5/2024, ke pasar besar MBMB. Sering terpandangkan peniaga memperagakan barangan jualan di kiri dan kanan laluan didalam premise. Pelbagai makanan samada yang boleh terus dimakan atau yang perlu dimasak kemudiannya tersedia untuk dipilih. Makcik dan pakcik yang berniaga yang sebaya usia dengan aku, kekadang yang lebih  muda menegur melawa menarik perhatian suruh berhenti seketika digerai jualan memasing. Macam macam ada. Kuih yang jarang dimakanpun turut dimaklumkan secara rambang agar ada yang tergerak hati untuk singgah membeli. Kuih bingka pulut, kuih bakar, kuih untuk bersarapan pagi lainnya sampaikan jering rebus pun ada tersedia untuk dipilih.


Tapai ubi ni...terbukti 'sedap'

Ni  betul niaga punya orang



Macam aku cakapkan tadi, phobia dan sceptical. Aku begitu meragui akan kualiti barangan jualan mereka biarpun keinginan membantu niaga orang sebangsa aku, masih menebal dan utuh. Tidak sampai hati pula tapi 'mereka' yang berjualan boleh sampai hatinya menjual produk yang sub-standard, asal boleh sahaja. Mereka ini tidak rasakah dahulu, sedap tidaknya sebelum beria-ia memberitahu meyakinkan kepada pembeli. Membohongi adalah sikap yang tidak harus kita amalkan. 


Cubalah ber-etika dalam berniaga. Percayalah, makin ramai yang akan menyokong membantu perniagaan anda. Kalangan yang datang berkunjung ketempat niaga adalah yang ditakdirkan. Mereka adalah dari pelbagai walk of life tapi punyai niat yang murni hendak membantu. Tidak mustahil dikalangan mereka ada yang berilmu lebih mengetahui dan 'warak' sahsiah diri dan tentunya akan mendoakan agar orang sebangsa yang berniaga ini terus maju perniagaannya. Diberkati dan dapat pahala sekiranya jujur beramanah berniaga.


Apa yang aku alami sendiri berdepan dengan permasalahan orang kita yang berniaga kecil kecilan bersifat 'sementara' atau moonlighting cuma yang pada unjuran aku boleh berdaya maju tapi buat sembarangan sahaja memberi 'image' buruk kepada mereka yang betul betul maju ceburinya sepenuh masa. Tidak dapat aku bayangkan betapa semakin sukarnya mereka yang mahu menjadikan 'perniagaan' sebagai sumber kewangan utama untuk memecah persepsi sedemikian terhadap mereka. 


Moga ketabahan dan kecekalan dan mohonan doa kepada Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui sesuatu dan segalanya untuk mengurniakan 'rezeki' yang halalan taiyibah terhadapnya.




​

Friday, May 10, 2024

Pendek habis...

 9/5/2024 08:28


Selepas balik dari menghantar Yaseer ke sekolahnya, aku macam biasalah segera meluru ke bilik. Sekitar 7:30 ke 7:45 mengikut keadaan trafik semasa namun tidak terkeluar dari jajaran masa ini akan sampai ke rumah. Mungkin 'semangat' dah mai dan aku perlu santuni dengan penuh tertib berhemah. Sambung akan pemahaman dan ulang tonton video yang berkaitan dengan 'arabic madina' yang aku ikuti sekian lama. Kekadang bila ingin dapatkan kelainan dan variasi, aku semasa kini turut ikuti konsep 'grammar' dan 'sarf' dari pengajar lain secara berselang seli. Additional 'tugasan' yang aku buat ini adalah semata mata mahukan momentum pembelajaran kendiri aku ini mantap berkeyakinan.


Tengah bersemangat dan sedang memulainya, orang rumah pula telah siap menyediakan sarapan. Anak 'Nyah'-nya yang baru pulang dari kerja shif malam perlu disediakan sarapan. Kalau tidak ada apa apa yang hendak dimakannya, monyoknya berhari harilah jadinya. So, without failed, seminggu kerja malam maka akupun terjebak sama. Bersarapan 'terlalu' awal. Kekadang aku 'skip' bila juadah yang disediakan untuk anak Nyah-nya itu tidak menepati selera aku. Waktu yang 'afdal' aku bersarapan adalah sekitar 10:00am. Sekali sekala 'lawa' orang rumah makan diluar. Tidak jauh manapun, cuma dalam 5 minutes distant dari rumah. Port makan yang regular dikunjungi menyediakan 'special' menu ikut 'tekak'.


Gangguan. Melorot sahaja aku keluar dari bilik dengan buku dibiarkan terbuka, cuma video sahaja yang aku 'pause' seketika. Bila dengau aje 'mee goreng mamak' home-cook dihidangkan orang rumah dengan memanggil menyuruh aku keluar dari bilik. Tidak lengah lagilah terus terkam. Antara favourite juadah sarapan pagi aku dan mana boleh dilepaskan. Selesai makan bersegeralah aku menyambung 'tugasan' yang selalu sangat tertangguh.


Tetiba ketika tengah layan video, kepala macam terasa berat sengal. Makin aku picit picit makin menjadi pula. Amat tidak menyelesakan. Melunjurkan kaki dibucu katil berehat. Masih tidak kurang sakitnya. Agakkan aku, mungkin rambut dah makin tebal tidak bergunting. Relaxs santai sahaja menunggui waktu sekitar 11:00 untuk ke kedai 'amoi'. Tukang gunting peribadi aku sejak aku bujang lagi. Pernah juga aku mencuba tempat lain namun aku lebih selesa bila dia yang memberi khidmat gunting rambut aku. Aku dah tetapkan hanya kedai dia sahajalah yang akan aku kunjungi selagi ada hayat.


Rasa berat kepala masih tidak berkurangan. Takut juga aku kalau kalau ada penyakit yang datang menghinggap. Kita lagilah tidak bekerja bergajian. Andai ditimpa penyakit yang 'kronik' pastinya memerlukan kos rawatan yang besar, mungkin lagi cepatlah aku 'melingkop'. Mohon dijauhkan. Duit simpanan bersara kWSP bukan banyak manapun. Buat sara diri keperluan makan pakai dan belanja dapor bolehlah bertahan untuk tempohmasa kurang 10 tahun kalau berdua sahaja. Tak geti geti 'standby' nak balik. Berlama lama atas dunia atau sekejapan adalah atas' ikhsan' dan takdir dariNya. Kita tidak mampu untuk mengetahui kesemuanya tapi rasanya perlu bermuhasabah diri dan renungi penuh keinsafan. Kudrat tenaga makin melemah, pancaindera turut menurun fungsi tugasan dan penyakit mudah mendatangi diri. Input yang dikumpul sepanjang kehidupan ini layak menyedarkan diri untuk ketahui kedudukan semasa 'life cycle' diri. Kalau tidak sedar dah ke penghujung, hanya Allah jualah Yang  Maha Mengetahui.


Bila tiba masa hendak berpergian, aku mengenakan 'proper' pakaian selayaknya sebagai insan yang sudah berusia 60+. Tiadanya hendak stylo stylo lagi. Kata Malek Redzuanpun, 'cukup sampai disini...sayang. Relakan perpisahan ini...Walau berat dihati dan berat perasaan...Tempuh dengan ketabahan...'. Sampai waktu 'time' sembahyang, singgahlah dimasjid yang berdekatan. Takkanlah hal inipun hendak kena ingat selalu. Should be already come naturally dalam diri. Hendak membiasakan at initial stage memang 'perit'. Tapi bila sudah dibiasakan dan kerap 'hadir' tanpa gagal, hendak 'skip' tanpa sebab akan timbul rasa bersalah pula pada diri. Sudah mengetahui tapi seolah ingkar.


Elok sahaja masuk ke kedai gunting rambutnya, tiada seorang pelangganpun. Segeralah aku duduk dikerusi sambil 'amoi' yang sedang beborak santai dengan pembantu tukang gunting bingkas menghampiri. Aku beritahu dia yang kehadiran aku ke kedainya mahukan agar aku digunting pendek sambil maklumkan selalu sangat sakit kepala. Aku agakkan yang rambut aku tebal sangat agar dia faham maksud aku. bagi memudahkan gambaran rambut yang aku inginkan, beritahulah dia supaya mengunting 'macam' orang baru balik haji. Dia diam sahaja tidak berbunyi. Risau gak aku, dia faham atau tidak. Mungkin sikap professional dia untuk laksanakan terlebih dahulu tugasan sebelum akui mutu kemahiran yang dimilikinya.


Balikkan dalam balikkan



Nah kau, tak perlu cukur, melapang...


Tak lamapun untuk selesai berguntingan. Kepala aku bukannya besau sangat. Memang pantas jari jemarinya bertingkahan diantara gunting ditangan kanan dengan sikat ditangan kirinya. Pembantunya pula seorang left-handed, so kedudukan pegangan gunting dengan sikat 'terbalik' tentunya. Dia tanggalkan kain 'pelindung' yang membeliti leher aku dari terlekatnya keratan rambut pada pakaian aku. Kemudian mengambil sponge kuning bersegi empat tepat serupa bongkah 'jongkong' emas mengesat cebisan rambut yang melekap pada leher dan sekitar muka, kot kot masih ada lagilah. Bangkit bangunlah aku melihat ke cermin besar dihadapan sambil muka aku alihkan kekanan dan kekiri. Dia tercegat berdiri menantikan sesuatu, mungkin 'komen' hasil kerja yang disiapkan ikut penerangan aku tadi. 


Aku beritahunya, it's quite okay dan seolah beri 'order' kat dia, supaya gunting seperti 'ini' bila aku datang berguntingan lagi dikedai dia. Dia senyum sambil anggukkan kepala seraya aku hulurkan RM10 sebagai 'harga' gunting semasa sekarang ini. Aku suka cara dia. Tidak banyak karenah tapi cekap dengan kerja yang dilakukan. Mungkin dia sudah tetapkan yang 'kerjaya' yang dia sudah mahir bertahun lamanya ini serta tidak putus putusnya pelanggan yang datang berguntingan membawa 'pendapatan' tanpa perlu bayar pengiklanan, mana mungkin hendak berhenti sekerat jalan. Seingat akulah dia sudah kerap sangat keluar negara melancung. Berbaloi kepada mereka yang cekal berusaha dan menjaga 'kualiti' perkhidmatan. Syabas aku ucapkan.



                                  Phil Collins - Do You Remember


Sementara menunggui lampu traffik yang agak lama di persimpangan Duyong-Bukit Katil, aku memotret diri didalam kereta. Teringatkan peristiwa zaman bersekolah dengan hebatnya trend musik era 'Grammy Award' menjadi ikutan remaja ketika itu. sanggup aku mencukur rambut didahi kiri dan kanan semata mata hendak resemblance dengan Phils Collins. Top dia masa itu dan aku adalah yang agak fanatik kat dia. Memang betul ramai lagi artis seangkatannya yang aku suka tapi disebabkan hal ini cuma dialah yang 'top' the list. Orang lain peduli apa aku. Ini pilihan aku. Ketawa sendirian aku didalam kereta. Cakap dengan bebudak sekarangpun bukannya mereka mengerti apapun. Tiada feel langsung mungkin kerana diri tidak pernah berada dizaman 'gemilang' itu. Sekadar mendengar bolehlah. tidak akan sikitpun teruja macammana beria-ia kita bercerita. Only those yang sesama hadir pada zaman tersebut yang mengerti merasai menjiwai apa yang kita katakan padanya. For sure, berbaloi berborak dengan mereka yang seangkatan.


Memandangkan mamat ini amat aku minati, aku 'hadiah' kan satu lagi lagu diruangan coretan aku ini. Sekadar abadikan kenangan.



                                  Phil Collin - I wish it would rain down


Namun sekarang ini, hanyalah menjadi kenang kenangan semata. Akan kekal dalam lipatan sejarah perjalanan kehidupan ku. Selingkar kenangan 'manis' yang akan aku ingati sesegar seolah baru sahaja berlalu.


Tuesday, May 7, 2024

Simpati yang ditagih menurut jangkaan aku...amat berbaloi

 07 MAY 2024, 21:55


Simpati yang ditagih menurut jangkaan aku...amat berbaloi


Siang tadi aku ke pasar besar MBMB berdepan dengan Kips Mart Jalan Batu Berendam/Bachang. Aktiviti mingguan mendapatkan 'bekalan' perishables untuk seminggu. Setiap kunjungan pastinya akan kopak sekitar RM250 - RM300. Jika adanya 'event' besar waima hendak menyambut perayaan, jumlahnya meningkat kekadang jejak RM450. Sudah sampai masanya untuk aku 'adjust' perbelanjaan bulanan lepas tidak bekerja lagi ni. Macam kerajaanlah, kena buat penstrukturan semula agar sesuai dan selari dengan gaya hidup.


Kekal RM1...sekali masuk


Tiada apa yang ganjilnya routine ke pasar. Beli barang keperluan yang patut, bayar parking ke agent yang setia menunggu di booth pintu keluar berbayar RM1 lalu bergerak cari sarapan. Selesai menjamu mengikut 'selera' di port yang disinggahi maka bergerak pulanglah ke markas. Begitulah saban minggu sehinggalah sampai...Abang Jamil erm errm. 


Strategi ke pasar mulai berubah lepas Raya tahun ini. Kalau kebiasaannya ketika bekerja dahulunya, kepergian ke pasar lebih kepada hujung minggu. Jarang pula berkunjungan pada hari biasa. Tapi setelah tidak bekerja kini selalu juga hadir pada hari biasa. Tentunya suasana sedikit berbeza. Pilihan ikan yang pelbagai dan 'in volume' dipamirkan serta berkerumun bersesak dilaluan antara gerai peniaga yang mencuri ruang sekitar 2 kaki berjarak dari meja peragaan ikan memasing makin menyempitkan lagi laluan. Pihak pengurusan yang kerap aku terserempak membuat kerja kerja pemantauan, rasanya agak sedikit pelik jika tidak perasankan laluan yang mengecil. Mungkin juga telah ada pertemuan antara pihak pengurusan dengan peniaga dan adanya kompromi membenarkan tindakan yang diambil itu. No komen lah akan apa yang sebenarnya telah mereka sepakati.


Manakala dihari biasa yang mulai dirasai bermula Februari, kunjungan ke pasar adalah lebih santai. Boleh berbual bual menegur dan bebas memandang setiap sudut ruang dari kejauhan. Namun ada kekurangan juga yang dikesan. Apa yang pasti, pilihan ikan tidak banyak dan memperagakannya dalam quantiti yang sedikit. Alasan yang aku tanyai kepada Jalal, peniaga ikan di Gerai F-1, hari biasa customer kurang, jadi tidak berani hendak letak ikan bebanyak. Penjelasan yang diberikan ada kebenarannya. Tidak perlu lagi untuk aku dapatkan pandangan dari peniaga lain. Tidak semeriah hujung minggu berhiruk pikuk dengan peniaga tidak henti henti melayan pelanggan yang datang menghantau 'rezeki' kepada  mereka. Bak kata orang, tidak menang tanganlah. 


Jalal yang ramah menegur 'regular'nya



Disamping itu, masalah BMI yang tidak terkawal dialaminya walaupun dipantau oleh doktor KKM Ayer Keroh sejak tahun lalu tidak berjaya dikekang mengakibatkan bermasalah untuk berjalan pantas menyelit di celahan pelanggan yang menghadang pergerakan. Orang rumah mencadangkan untuk ke pasar pada hari biasa dan komen ringkasnya, 'bercinta hendak datang pada hujung minggu apatah lagi cuti umum'. Jadinya terpaksalah aku ikutkan kemahuannya sehinggalah kunjungan pada hari Selasa ini.


Selesai memunggah barang belian ke dalam Alza bergeraklah mencari pemakan pula. Menghampiri 'entrance' utama kedalam pasar, kelihatan seorang budak 'OKU' yang terlalu familiar sedang duduk dikerusi plastik ditepi laluan kereta menagih simpati pengunjung. Trademarks dia dengan berjalan bertongkat sambil bersuara kekadang dibesarkan untuk menarik perhatian pengunjung memaklumkan yang dia berada disekitaran dengan menyebut...'mak...mak...seringgit mak' sambil bertadah tangan. Strategi sudah berubah. Sebelum ini semasa di pasar berdepan dengan Melaka Central, dia berjualan 'packet tissue' berpusing didalam pasar menarik perhatian serta simpati pengunjung. Mungkin badannya yang sudah semakin gempal dan dengan berkeadaan seperti terlihatkan amat menyulitkan pergerakkan membahayakan diri. Atas nasihat mereka yang prihatin agar dirinya tidak tergelincir jatuh maka kini dia statik dipintu masuk pasar. Selalu juga dia berada didepan booth bayaran parking di pintu keluar. Ikut kesesuai juga lah tu. Cuaca 'okay' dan ramai pengunjung, dia akan duduk di laluan keluar. Andai cuaca tidak berapa elok, dia akan berada di 'zebra crossing' hadapan pintu utama masuk ke dalam pasar. Apapun 'rezekinya' tetap ada. Simpati orangramai yang ditagihnya berbaloi untuk saban hari.


Ketika aku memperlahankan 'jentera' utama aku ini dan menghulurkan seringgit kepadanya, pantas dia ucapkan terima kasih. Seketika kemudiannya dia bertanya samada boleh hantarkan dia ke Melaka Central. Segeralah aku menjawab boleh, membantu mana yang patut. Bingkas bangun sepantas yang dia mampu masuk kedalam kereta. Didalam kereta aku ambil peluang bertanyakan apa yang aku hendak tanya kepadanya. Katanya dia keluar rumah dari Londang, Masjid Tanah dalam pukul 6 pagi. Tentulah mendapatkan first bus ke Melaka. Bersemangat dan gigih berusaha mencari 'rezeki' via bersimpati dengan pengunjung pasar saban hari. Hujung minggu collection seganda banyaknya dari pungutan hari biasa. Komen aku, itu standard lah. Aktiviti menarik simpati orang ini telah lama dan bertahun dilakukan tanpa mengenal erti jemu. Rasanya banyak duit yang telah dikumpulnya. Setahu aku orang 'OKU' ini mendapat elaun bulanan tidak kurang dari RM350. Top-up dengan pendapatan sampingan yang dilakukan saban hari seolah berkerjaya tentunya mencecah ribuan ringgitlah juga.

Budak Londang...


Aku menurunkan dirinya di pintu masuk hentian teksi inter-daerah atas permintaannya. Jarang aku mendapat peluang memberi 'khidmat' masyarakat seperti ini. Mungkin aku telah ditakdirkan terpilih hari ini.



                                        Siapapun yang melihat akan simpati


Nasib orang apatah lagi OKU yang mengharapkan bantuan serta perlu dikasihani amat meruntun hati. Aku sendiri tidak ketahuan lagi perjalanan hidup dimasa terdekat ini. Harapnya aku diberi kemudahan dalam setiap urusan terhindar dari petaka yang membebankan.


Kita lihat nanti...

Mendengar radio ketika memandu perlu berhati hati. Tumpu kepada jalanraya demi mengelakkan terjadinya perkara yang tidak diingini. Lebih lebih lagilah dilaluan yang sesak. Aku mendengar siaran 'Radio Klasik' sekarang. Setiap pagi, hantar anak ke sekolah, aku akan alternate pendengaran Melaka FM dengan Radio Klasik. Memulakan perjalanan sekitar 6:30 pagi, bertepatan masa petikan rakaman ceramah dari Masjid terpilih sekitar Melaka dari penceramah jemputan disiarkan. Selesai segmen dituruti pula oleh 'Jana Minda' dimana penceramah merangkap motivator memberi 'input' berguna kepada pendengar pula. Selesai ikuti kedua segmen itu, aku selalunya akan beralih ke Radio Klasik sebabnya Melaka FM, 'claimed' memainkan lagu ketuhanan dan kerohanian sepanjang pagi. Beralihlah ke Radio Klasik yang memutarkan pelbagai genre lagu iringi aku ke MHS. Bila sampai masa 7:00am, slot berita pula. Semua siaran radio akan serentak keudarakan. Pernah aku tukar ke stesen radio lain tapi sama juga, tetap siaran berita yang ke-udara. Pelbagai ‘berita’ yang dirasakan rakyat perlu tahu disampaikan. Berita serangan pengeboman Zionis di Rafah selama setengah jam lepas 10:00 malam dikhabarkan, petikan ucapan PMX berbahasa inggeris lagi di suatu majlis yang dirasmikannya dan beberapa lagilah berita yang difikirkan perlu atau disertakan memenuhi segmen masa yang ditetapkan. Dimaklumkan juga di segmen berita pagi ini yang mana seramai 863 pengundi awal akan membuang undi pada hari ini bermula jam 8:00pagi untuk PRK KKB. Tetiba diselitkan juga petikan laporan dimana Fahmi Fadzil mengulas statement dari parti lawan diperdengarkan ke seluruh negara. Cepat pantas si beliau ini 'respond' demi ‘desperate’-nya merayu undi ‘simpati’.

Samada betul lagi tepat ‘ramalan’ si Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan PKR,  merangkap jurucakap PH membuat kenyataan terhadap PRK KKB yang bakal berlangsung pada 11 Mei 2024 nanti dan dilaporkan di slot berita 7:00pagi di media kerajaan sebagai makluman ke seluruh negara akan terjawab pada penghujung minggu. Banyakkan bersabar. Huraian bersifat ‘reverse phychology’ akan ucapan ceramah oleh ketua Setiausaha Agung Pas dari blok ‘pembangkang’ mengundang aku untuk persoalkan komennya itu.

Rujuk ni...https://www.astroawajika-ph-ditakdirkan-menang- untuk ketahui biji butirnya.

Juga hadamkan laporan di Harakah Daily kalau-ph-menang-dimana Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, meluahkan kebimbangannya tapi si beliau sekadar mengulas mana yang mendatangkan 'political mileage' kepada PH semata. Isu utamanya laporan Harakah Daily samada sengaja terlepas pandang atau andai diulas bakal 'makan' tuan pula. Sedayanya mengelaklah dari buat ulasan. 

Dalam hal ini, cepat pula dia buat 'kerja' menerangkan situasi semasa mengalih perhatian pengundi menurut sudut pandangan PH. Isu beras yang menimbulkan keresahan kepada penduduk negara akan 'security makanan negara' yang mana beras tempatan tiada dipasaran tidak pula mahu diperjelaskan dengan penuh tanggungjawab. Haru lah macam ni. Apapun cannot...

Sepatutnya segmen ‘berita’ diisi dengan maklumat yang sahih lagi tepat kepada pengetahuan seluruh rakyat. Informasi yang mengketengahkan usaha meningkatkan kesejahteraan bermasyarakat serta menerangkan perancangan pembangunan harus diutamakan. Berita kemajuan setempat yang dibantui kerajaan serta memotivasi seluruh rakyat untuk turut meniru usaha yang terbukti berjaya. Seharusnya berita berinformasi lagi sahih dan bertanggungjawab menyampaikan sesempurna mungkin akan membolehkan rakyat faham serta bertindak seiringan.

Namun bilamana segmen berita diisi dengan ‘cerita’ yang tidak pasti betul yang hanya sekadar pandangan peribadi bersifat ramalan cuma tapi diangkat dianggap ‘penting’ untuk diwar-warkan ke seluruh negara maka hal ini sesuatu yang amat mendukacitakan. Perbezaan pandangan kalangan parti politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan perjalanan pentadbiran negara. Apa perlunya kenyataan sedemikian dimaklumkan kepada orang ramai. Penggunaan media kerajaan untuk tujuan politik kepartian amat dikesali dan tidak sepatutnya pun. Gagal membezakan peranan sebagai kerajaan dengan gerakan parti bakal mengakibatkan salah tadbir serta fungsi yang seharusnya dilaksanakan. Sekilas pandang, nampaknya kepentingan parti lebih diutamakan dari pentadbiran negara.

Kenapakah ucapan ceramah melibatkan hanyalah Kuala Kubu Baru diberi perhatian. Apahal hendak bubuh perut kepada ‘portion’ kawasan ini sedangkan pemantauan perjalanan ditempat lain terabai. Sekadar ramalan sahaja sudah mengelupur mengelabah tidak tentu arah, apahal. Tentulah ada niat yang tidak berapa elok berselindung dengan membuat ‘counter statement’.

Nampak gayanya, si beliau ini cuba provoke atau memerli unjuran pihak ‘lawan’. Memandangkan hanyalah dirinya sahaja yang boleh gunakan media rasmi kerajaan dan pihak lawannya sekadar bercakap via media sosial sahaja, tentulah dirasai yang dirinya ada kelebihan berautoriti membuat apa apa sahaja kenyataan.

Tidak mengapa. Pertembungan perlawanan ‘persepsi’ di KKB akan terjawab Sabtu malam 11/05/2024. Kita akan lihat siapakah yang tepat ramalannya.

Monday, May 6, 2024

Betulkan mana yang mampu

 05 MAY 2024, 18:34


Betulkan mana yang mampu


Semalam sebaik selesai Zohor, aku bergegas ke Mr. D.I.Y. di dalam premis Melaka Mall. Tujuan aku pergi sampai tak dapat tidak, taknak bertangguh adalah mendapatkan led bulbs yang minta diganti segera. Menjadi kepantangan bila sesuatu yang sudah terbiasa ada tetiba bermasalah. Perkara sebegini pasti akan hadir akibat 'wear & tear'. Tiada yang kekal selamanya. Produk penghasilan 'manusia' tiada yang sempurna. Ada sahaja yang andai tidak diurus dan dikendalikan dengan betul mengikut spesifikasi mematuhi s.o.p. akan kerap bermasalah.


Isunya pada Khamis tengahhari menghampiri 3:00pm, mamanya dan anak perempuan sambil layan 'youtube' bergelak gelak bergelihati melihatkan lampu dimeja makan berkelip kelip dan kemudiannya blow-off sebiji lagi. Sebelum ini satu unit dari tiga bulb untuk 'dining lamp' ala ala chandelier golongan marhaein aku ini telah tidak menyala.  2 unit yang masih okay masih mampu menerangi tempat makan. Aku pula tengah makan tengahari ketika itu. Aku sedikitpun tidak menghiraukan gelakkan mereka dua beranak sambil menjangkakan satu mentol lagi akan terbakar. Ayah tak perasan tu... . Tengah seronok layan makan tenggiri asam pedas ketika itu, apa citer nak fikirkan pasal hal ini. 


Namun masa hampir selesai makan, betul betul terbakar sebiji mentol lagi. Cahaya diruang makan agak sedikit malap tidak secerah selalu. Tiba masanya minta digantilah kan. Bila cuma satu sahaja yang berfungsi, suasana agak tidak ceria. Sedikit suram dari sudut pandang aku. Tidak berkesempatan untuk keluar mendapatkan. Aktiviti agak padat. Dari pagi selesai bersarapan, aku tumpukan kepada usaha mengilap balik pemahaman akan bahasa arab klasik as appeared in Holy Quran. Banyak masa telah terbuang sia sia sehinggalah kini. Memandangkan aku tidak lagi bekerja bergajian maka haruslah aku lebih serius memberi tumpuan. Tambahan pula diwaktu pagi dan tengahhari ada tugasan baru sebagai 'chauffeur' lepas Ramadhan. Motor yang dilelau oleh anak bongsu ke sekolah 'pemberian' abang ngah-nya tidak dijagai dengan betul. Boleh hadapi kerosakan yang berlarutan dan memerlukan pembaikan total. Si abangnyalah yang masa cutinya cuba selenggarakan 'jentera' Suzuki kapcai untuk kembali 'roadworthy'. 


Kembali ceria bercahaya

Bukti pembelian



Bergegaslah aku ke tempat yang aku biasa pergi dan selesa berada disana lepas sudah tidak bekerja lagi. Tempatnya agak secluded tersorok tapi tiada ramai yang berkunjung dan lebih aku suka 'aman' disana kerana tiada yang mengenali. Andailah ke Aeon, pastinya pelbagi reaksi yang mungkin hadir. Perbezaan yang ketara dilihat oleh mereka yang mengenali dan masih mengingati akan menjadi 'buah' mulut orang. Sebolehnya aku ingin mengelak berjumpa. Biarkanlah aku hidup sendiri.


Mungkin aku tidak berapa tahu dimanakah tempat 'testing' board setelah aku ambil 3 biji LED Bulb 'E27' dan tercari cari staff membantu, aku terpandangkan seorang 'outsource' staff disatu GE tengah susun barang. Tanyalah dia siap berboss boss akan testing board. Segeralah dia menunjukkan lokasi dimana ianya berada. Rupanya berhampiran dengan cashier counter.


Sebelum aku hendak beredar lepas ucapkan terimakasih aku pada dia yang aku addressed as 'boss' tu, dia teragak agak menanya pasal aku. Encik dulu kerja sana kan sambil jari telunjuk tangan kanannya didepangkan menunjuk arah Aeon. Ingat saya, aku bertanya mendapatkan kepastian. Fasih berbahasa tak kekok pun, tidak seperti 'hamlau' yang beranak pinak dah kat Malaysia ni. Sebutpun 'terbulu bulu' macam tak baca punya orang. Dia maklumkan yang dia ada kerja di outlet Mr. D.I.Y. dalam premise Aeon. Oooo....aku seolah terkejut jugalah kerana masih ada insan yang mengenali aku dan perasan. Inform dia yang aku sudah 'pencen', tak kerja lagi. Kali ini dia pula yang sikit terkejut. Banyaklah encik punya 'wang'. Aku gelak saja akan agakkannya itu. Sempat aku counter pertanyaan kat dia, berapa umur you sekarang. 32, katanya. Wah, you lagi banyak boleh kumpul apa. Tersenyum dia. 


Malas hendak layan lebih lebih, beredarlah aku ke tempat test lampu. Cashier yang kat kaunter meluru mendapatkan aku membantu since tiada pelanggan yang datang membayar.  


Sesampai dirumah, segeralah aku pasang. Mission accomplished.


Sunday, May 5, 2024

Menghampiri penghujung Syawal 1445H - merenung bermuhasabah

Hari Isnin yang cerah ceria pagi ini, moga membuka lembaran baru buat aku. Apa perlunya mengeluh resah akan perkara yang belum berlaku, sekadar berkemungkinan sahaja untuk terjadi. Memang kita tidak akan mengetahui apakah yang akan kita terima dan hadapi hari ini. Segala sesuatu adalah atas kehendakNya.


27 Syawal ...beb


Seeloknya kita senantiasalah berpandangan positif. Tabah hadapi dugaan yang mendatang. Selesaikan kerumitan penuh bertanggungjawab. Diwaktu yang sama mengharapkan agar segala urusan kehidupan dipermudahkan olehNya.


Bercakap memang senang. Andailah realitinya kita pula yang harus hadapi situasi yang sukar lagi rumit untuk dirungkaikan apatah lagi sesegera mungkin, mampukah kita atasinya. Orang lain sekadar memandang sahaja. Barangkali sambil mengurut dada akan bermonologue, 'Sib baik tidak terkena kat aku....syukur...alhamdulillah'.


Kita, sejujurnya, ambil mudah kepada banyak perkara sedangkan kejadian yang terjadi keatas orang lain didepan mata adalah berupa ujian kepada kita juga. Sejauhmanakah kita menilai diri sendiri hadapi perkara yang telahpun terjadi kepada mereka yang dilingkungan andai kita pula yang terpalit.


Senarionya pasti berlainan dan tindakan yang diambil berkemungkinan ketara berlawanan. Jalur pemikiran sesama kita tidak bersamaan. Pastinya juga tindakan yang dianggap patut oleh kita dirasakan amat janggal pada penglihatan orang lain. Perkara sebegini kerap berlaku. Tidak menghairankan.


Inilah dunia. Betapa dinamiknya perubahan yang berlaku pada setiap masa. Malah tiada sesiapapun yang tahu hujung akhirnya setiap hal yang terjadi semasa ini. Kita sekadar mengharapkan perubahan kearah kebaikan yang bakal dirasai nanti.


Sebab itulah, tidak perlu rasa dan anggap yang diri adalah terpaling bernasib baik. Bila bila masa sahaja boleh berubah. Tiada yang kekal statik selamanya. Perlu diakui juga, semua kita terdedah kepada segala macam hal. Takdir atau melayunya ketetapan dariNya sememangnya telah tersurat. Tiada sesiapa yang ketahui. Berserah kepadaNya semata mengharapkan kebaikan dan sedayanya memohon agar diberi ujian seringan mungkin.


Diusia aku yang sudah 60+, menoleh kebelakang membandingkan akan perkara yang berlaku dalam kalangan kita mungkin ada 'nilai' pengajaran. Pastinya aku ada 'authority' untuk mengulas dari skop pemerhatian aku. Sudut pandangan aku mungkin tidak sebagus mana tapi setidaknya ianya adalah pandangan jujur aku. Tiada 'bias' dalam kenyataan yang aku buat biarpun mungkin ada kesilapan fakta disini sana yang tidak disengajakan terlepas pandang.


Mutakhir ini kerap berlakunya peristiwa 'malang' menimpa diri. Sekilas pandang macam berpunca dari kesilapan orang lain tapi membawa padah kepada kita pula. Perkara yang tidak terjangkakan dan mengganggu 'routine' harian memasing kekadang begitu sukar hendak menerimanya.


Rujuk selingkar kisah masyarakat untuk renungan dan bermuhasabah...suami-isteri-parah-angkara-lori-tukar-lorong-mengejut.



Kejadian di Sungkai yang dikhabarkan dan diviralkan siap bukti dashcam begitu mengejutkan. Mungkin kisahnya sudah 'basi' tapi punyai 'pengajaran' tentunya. Kegopohan orang lain membawa petaka kepada diri. Spontan akan keluar dari mulut para reader  yang selesai membaca  berita 'Sinar Harian' itu, 'naya-kan orang sahaja...'. Apa rasanya bila terjadi kepada diri sendiri. Pasti akan kesalkan tindakan yang diambil oleh orang yang akibatkan kita kemalangan. Kita selalunya gagal menghadamkan setiap kejadian yang berlaku. Melulu sahaja membuat kenyataan menyebelahi diri. 


Siapapun akan terpinga pinga hadapi situasi 'kemalangan' tidak terjangkakan ini. Sedangkan kita sedia maklum bahawa takdir Illahi akan hadir pada sebilangan masa. Tiada harus dikecohkan apatah lagi untuk pertikaikan. terima seadanya. Namun memang sifatnya manusia untuk sukar menerima realiti kehidupan ini. Ada sahaja bangkangan manisfestasi ketidakpuasan hati. Mengapa semestinya aku dan bukan orang lain yang menerimanya hal kejadian mengejut ini.


Pantasnya berubah 'pendirian' kita bilamana sesuatu yang mengejutkan itu berupa 'kurniaan' kemewahan pula. Segera ucapkan syukur yang teramat. Berbangga beruntung menayangkan pemilikan yang tidak mampu digapai oleh mereka yang dilingkungan. Kekadang tanpa kita sedari membuatkan orang lain berprasangka buruk mengatakan sombong riak dengan harta kemewahan yang tidak berkekalan itu. Mungkin boleh terjadi dan tiada apapun yang tidak berkemungkinan untuk terjadi.


Kesimpulannya, hidup kat atas dunia ini adalah permainan yang melekakan sehinggalah kita dipanggil pulang. Janji ketika bersetuju hadir kat dunia ini tidak sepatutnya sekadar tinggal janji sahaja. Lupa janji satu hal. Tapi bilamana sampai ketahap ingkar janji dan lakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadian manusia boleh selamba pula perangai  buat buat tidak tahu. Kelakuan sebegini amatlah mengusarkan diri. Apa alasan yang paling ampuh pertahankan diri bila dihadapanNya nanti..


Moga aku terhindar dari hadapi hal yang serupa ini.