Mendung sahaja hari ini. Sejak pagi lagi sebermula sekitar 1:00 am hujan turun sederhana lebat. Namun dibilik, kipas dinding senantiasa terpasang. Suasana bilik yang tidaklah terlalu besar tapi memadai bersyukur buat diri berlindung dari berpanas berhujan. Lebih bernasib baik juga, rumah yang dibeli dipermulaan milinium @ 2001 jadi pemilikan beberapa tahun langsaikan 'ansuran'.
Bukanlah hendak berbangga tapi inilah kesungguhan pembuktian aku terhadap keluarga yang aku bina dahulu. Memang sukar hendak dimengertikan sesuatu dan keseluruhannya. Masih muncul lagi kesah Dharma oleh media digital berikrar akan tetap terus tinggal menyewa di Wangsa Maju. Memasing punya permasalahan, biarlah mereka yang urusinya. Kita sebagai orang luar sekadar merenung melihat gelagat kehidupan yang seolah sengaja diwar-warkan di media social. Semua kita berjuang di kehidupan bersifat sementara kita kat atas dunia ini.
Justifikasi atas apa yang Dharma lalui...rujuk https://www.hmetrodharma-anak-terus-menetap-di-wangsa-maju#google_vignette
Sejak balik dari Subuh, aku lepak seketika disofa 'antique' penjualan harga 'kesian' oleh Abang Senin masa mulai menyewa di Taman Desa Duyong ditahun 1995. Malah dia tuan punya yang mengangkut sendirian menghantar ke rumah. Ketika balik dari kerja, ketika itu, sudah tersusun kemas diruang tamu oleh orang rumah. Geleng kepala aku. Lama selepas itu barulah aku maklum yang dia hendak menggantikan 'perabut' lamanya dengan yang baru menurut perkhabaran orang rumah. Wah hebat, tidak mahu rugi, at least perabot lamanya itu ada nilai wang walau tidak seberapa. Old fashioned dan tiada orang hendak beli kalau ikutkan citarasa tapi berhasil terjual. Memang cekap orangnya. Masih aku kekalkan dan belum tiba masanya untuk aku 'buang' ganti dengan yang baru. Ada bercadang cuma aku tangguhkan atas beberapa sebab. Maklumlahkan orang tidak bekerja lagi dan harus 'prudent' berbelanja.
Aktiviti harian aku sejak tidak bekerja ini tiada yang luarbiasanya. Kalau melepak diruang 'porch', yang menemani aku disebelah pagi adalah rantaian tasbih. Selesai berzikir, aku akan rotate antara selak 'grammar' arabic atau jenguk 'autobiography' of somebody. Terkini aku dipertengahan pembacaan kisah Reynolds Price di timeline-nya awal 30-an di North Carolina sehinggalah penghujung nyawanya menjelang 90-an. Lenguh badan masuk ke bilik berbaringan seketika. Kemudian bersarapan yang disediakan atau mahukan kelainan bergerak bersarapan di eating outlets yang sering dikunjungi.
Sejujurnya tiada sesiapapun yang ketahui akan nasibnya dimasa mendatang. Namun yang paling pasti usia makin 'singkat'. Perkara ini tidak perlu disangkal. Mungkinlah bagi yang masih muda dan baru hendak mengenal hidup, merasakan perjalanan menuju kematian masih jauh dan tempohnya diandaikan lama lagi. Namun hakikatnya tiada yang pasti. Bila bila masa sahaja and at His wills. Bagi diri aku tentulah berdebar. Alasan paling utama adalah faktor usia, kurang lebih dalam 3 tahun sahaja lagi menyamai usia kewafatan Nabi Muhammad saw, kekasih Allah. Berbanding mereka yang lebih rendah usianya dari aku tentulah persepsi mereka tentang 'kematian' ketara berbeza.
Begitupun, perjalanan kehidupan seseorang dicorak diwarnai oleh individu sepertimana yang terzahir telihatkan oleh kita namun kita sebagai orang luar tidak akan faham 'ketentuan' yang berlaku padanya. Kita tidak mampu mengandai apatah lagi meneka dengan tepat sebab musababnya. Hanya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Dugaan hidup memasing perlu dihadapi.
Selalu aku luahkan didalam coretan terdahulu yang ianya tidak berbaloi memikirkan merungsingkan sesuatu yang belum berlaku dan akibat sekiranya terjadi sehingga merencatkan keyakinan dan takut hadapi 'realiti'. Sebagai 'insan' yang telah hampir melengkapi 'putaran' kehidupan dan melihat nyata mereka yang mendahului aku serta mengenangkan perihal serta cabaran yang diharungi mereka, menjadi kisah untuk aku renungi dan insafi. Bebudak yang baru mengenal hidup tiada kemampuan melihat sepertimana 'dimensi' yang aku ada.
Pasti dan berkeyakinan, saat kematian aku akan tiba. Semoga dengan bermunajat memanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya dan terhindar dari kehinaan menjadi intipati. Amat amat berharap kepadaNya moga hasrat hati aku ini dimakbuli OlehNya. Ameen.
No comments:
Post a Comment