Thursday, June 6, 2024

Rapat menjemput

 07 JUNE 2024, 12:05


Rapat menjemput


Semalam aku tinggalkan rumah lebih awal dari biasa. Selalunya bila phone aku mulai kumandangkan azan, baru bergegas mendapatkan kereta. Kali ini dan Subuh semalam, aku telah didalam ruang solat masjid dan muazzin @ pak bilal belum menyudahi 'laungan' azan Subuh. Siapa kata menjadi kesukaran. Terpulang kepada empunya diri. Kekuatan dalaman dan kekerapan mengulangi akan membiasakan diri untuk segera lakukan berulangkali. Jadikan sebagai satu kebiasaan, nescaya 'perkara' yang baik itu akan menjadi second nature pada diri.


Aku tidaklah berbangga hadir awal ke masjid. Tapi memangnya menjadi satu 'obligation' kepada setiap lelaki 'dewasa' untuk hadir berjemaah untuk setiap waktu sembahyang di masjid. Akupun diingatkan oleh orang akan 'arahan' Nabi saw. Bukannya sesuka sahaja hendak cakap. Keprihatinan pesuruh Allah kepada umatnya tentulah bersebab dan diperkukuhkan lagi dengan 'hadis' oleh perawi ternama. Banyak kali ada yang pertikai mengatakan 'hadis' sekian itu 'lemah', 'daif' dan tidak kuat sandaran dalam usaha pertikaikan. Kita setakat orang 'awam' patutnya ikutilah sahaja saranan dan ingatan oleh mereka yang 'alim' tanpa berbantahan. Tidak perlulah hendak peningkan kepala memikirkan dengan ilmu keagamaan yang sedikit cuma dan acah acah terpaling alim pula.

Event kat Rumah Melaka...


Selesai dirikan 'sunat qabliah' Subuh, dari ekor mata aku terperasankan seorang jemaah merapati aku dari sebelah kiri. Ucapkan 'salam' dan hulur tangan berjabat. Tidak lengah lagi memaklumkan menjemput sambil hulurkan 'kad kahwin'. Macam biasalah, balasan 'universal', ucapkan tahniah kerana dia bakal terima menantu. lanjutnya berbual bertanya perihal memasing sebelum pak bilal melaungkan 'iqamat' pula. Fahamlah aku dari sesi bertanya khabar ini, dia sekampong dan 'junior' beberapa tahun dari Alai jalan sekolah. Tingkatan 1 hingga 3 di Ayer Leleh dan berpindah ke Seri Mahkota untuk SPMnya. Balasan pertanyaan darinya pula, aku sudah bermenantu dan punyai seorang cucu. Tidak sempat melalut ke topik lainnya, Pak Bilal mulai 'iqamat'.


Macam macam hal. Ketika bangun, terlihatlah banyak lagi kad kahwin didalam kocek baju melayu hijau yang dipakainya pada pagi semalam. Geleng kepala aku, hairan sempat dia, tidak tunggu selesai solat. Mungkin lega agaknya 'strategi' keatas aku itu terlaksana tercapai. Memang saling bertemu dan bersalaman tapi tidak pernahpun berborak berbual. Memang menjadi 'dasar' aku untuk tidak bercakap cakap soal 'duniawi' ketika hendak menghadap Illahi. Tapi apa boleh buat, dia yang tidak boleh tahan tahan lagi 'appoach' aku seketika itu juga. Orang sudah bertanya, jawab sahajalah. Takut nanti, kita pula dikatakan menyombong tidak mahu bertegur. Kekadang dan sememangnya kita tidak dapat jangkakan sangkaan orang bilamana tindak kelakuan yang kita pamirkan not 'suited' seketika itu.


Aku mengharapkan semoga majlis yang dirancangkannya berjalan lancar menjadi kenangan 'abadi' dalam perjalanan hidupnya. Tahniah Hj Md Saleh Bin Senin dapat menantu perempuan, Nurul Izatti.

No comments: