11 SEPTEMBER 2023, 12:20
Baru sedar ke...
Banyak perkara yang dilakukan kini terasa macam sudah terlambat. Melewati masanya. Bila diamat amati, inilah lumrah kehidupan. Manusia yang beringat dan senantiasa laksanakan diwaktu yang tepat lagi bersesuaian tentulah kini sedang menuai hasilnya. Manakala bagi yang berkira kira dan memujuk diri akan laksanakan dikemudiannya hari pasti akan kesal. Betapa melengahkan bukanlah satu pilihan. Gagal merebut dikesempatan yang sepatutnya ianya dilakukan adalah 'pengharapan' yang tidak mungkin berlaku di usia tua.
Bukan semua orang boleh menyimpulkan pendapat sebegini. Orang yang lebih muda tidak mungkin sedangkan dia belumpun sampai kedetik itu. Mereka cuma mengandaikan sahaja. Itupun berpandukan kepada keadaan sekeliling dan garapan pemerhatiannya sahaja. Tidak melalui detik detik masa meniti usia maka segala apa yang diutarakan sekadarlah pengharapan semata. Ini orangnya, yang telah lalui zaman dan diperingkat hujungnya kini, lebih berauthoriti untuk membicarakan. Mengesali lambat bertindak, juga telah pernah rayakan kejayaan yang dicapai walaupun cuma diri sendirilah yang akui dan bertekad lakukan lebih baik andai diberi kesempatan.
Namun apa yang telah dialami selama ini, sebagai seorang manusia yang waras lagi normal, tentulah merasakan yang segalanya terasa baru berlalu. Tentu sahaja mahu mengulanginya apa yang manis bermakna itu kalau bolehlah untuk kesekian kalinya. Similarly, hal yang tidak berapa elok lagi memudaratkan semahunya cuba dielakkan dari mendatangi diri. Ketidak upayaan kita dari timpaan ujian dan cabaran kehidupan yang pelbagai dan rencam sifatnya lebih lebih lagilah yang tidak terdugakan amat mencabar diri.
Dalam pada termanggu manggu memikirkan, terasa baru kini dan makin jelas diperhatikan akan banyaknya ayat al-quran yang memperkata, memperingatkan dan akan membalasi keingkaran mematuhi perintah arahan dariNya. Masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Ini semua orang tahu. Malah sudah terlebih maklum sehingga ketahap jemu pula bila sering diingatkan. Banyak pertanyaan diajukan kepada yang membaca diakhir ayat. Misalnya, افلا تعقلون yakni tidakkah kamu berakal..., juga افلا يشكرون yakni mengapa mereka tidak mahu bersyukur dan banyak lagilah ungkapan pertanyaan yang mahukan kita sendiri menjawabnya penuh keinsafan.
Ada perkara yang perlu lagi harus dilaksanakan ketika diusia muda. Melengah lengahkan perlaksanaan melewati tempoh masanya membuatkan terasa janggal dipenglihatan. Kini banyak diiklankan di online media akan pelbagai kursus serta kaedah belajar 'cepat' membaca al-quran dan teknik memahamkan isi kandungan al-quran. Segala macam ilmu yang dihadapkan kepada 'target' audience memasing. Sekali imbas, harus mengucapkan terima kasih kepada kemodenan teknologi yang dicapai kini. Makin memudahkan. Makin mendekatkan antara guru dengan murid walau tidak pernah mengenali sesama.
Tidak perlulah aku sibuk memikirkan perihal orang lain. Diri sendiripun belum tentu lagi pengakhirannya bagaimana. Namun dari pemerhatian dan pembacaan kepada apa sahaja yang berlaku dilingkungan cukup menginsafkan diri. Mana mungkin kita mampu menjangkakan apa yang perlu berlaku dan meyakini sesangat yang sesuatu tidak akan terjadi. Biarpun sebaik mana diri dan canggihnya penggunaan kaedah 'ramalan' dimiliki, namun tidak mampu mengatasi 'takdir' yang dizahirkan. Banyak sudah hal yang terjadi diluar jangkaan dan ada yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pastinya menjadi kepelikan. Sombong bongkak beralasan menafikan kejadian yang berlaku yang kononnya adalah disebabkan faktor faktor tertentu yang tidak semestinya benar kesemuanya. Ianya lebih kepada menyembunyikan kesalahan diri kerana gagal mematuhi hukum alam dan menuruti perintahNya.
Diharapkan aku mampu meredah penuh tabah setiap kesulitan yang harus aku lalui. Tiadanya kekesalan. Tidak juga bernostalgia keterlaluan sedangkan 'hakikat-nya' adalah urusan yang perlu dibereskan sesegera mungkin. Perlu sedar masa berbaki yang diperuntukkan tidak ketahuan bila penghujungnya. Makanya haruslah aku maksimumkan kearah perkara kebaikan.
No comments:
Post a Comment