Monday, September 18, 2023

Tetap bergerak kedepan

18/09/2023 08:18 


Biar tidak dipandang. Biar tidak dipuji apatah lagi disanjungi namun aku tidak peduli malahan sekelumitpun rasa kesal tidak membekas. Lumrah kehidupan antara sesama mana mungkin serupa biarpun dirasakan ada persamaan. Bukanlah permulaan yang penting tetapi pengakhiranlah yang perlu dirunsing dirisaukan. Hidup ini bukan untuk dinilai orang. Tidak juga untuk menunjuk mempamirkan kelebihan diri. Memasing punyai kelebihan juga kekurangan yang selalunya cuba diselindungi bersebab.


Apakah kita tidak bebas menentukan corak kehidupan yang teringin untuk dijalani. Pastinya setiap kita mahukan yang terbaik. Terbaik kelakuan, terbaik juga kehidupan yang diharungi. Tentunya mahukan gaya mewah sepertimana orang 'ada ada'. Sebenarnya tiada penghalang. Sesiapa juapun mampu. Tiada lebihnya dia dan tentunya tiada apa apa yang kurang pada diri kita sendiri. Even yang cacatpun berpeluang untuk 'berjaya'. Semua orang berhak mencari menuntut apa sahaja yang dimahukan. Namun keterbatasan yang tidak sesiapa jua dikalangan kita yang mampu menelahnya dengan tepat didalam perlumbaan kehidupan ini. 


Setiap kita akan diuji mengikut keupayaan dan potensi yang ada pada diri. Tentulah berkadaran dengan kebolehan yang ada disedari juga yang tidak ketahuan dicungkil dizahirkan. Pastinya juga tidak keterlaluan terkeluar dari keupayaan yang dimiliki. Allah swt tidak sekali kali membebankan hambanya. Namun bersikap positif dan tabah mengharungi setiap ujian kehidupan yang diuntukkan kepada kita yang mana tentulah 'khas' buat diri merupakan 'anugerah' dariNya. Tidak mungkin dapat menepis mengelak.


Bila difikir fikirkan sememangnya kita tidak mampupun untuk cuba mengelak berdepan dengan setiap ujian kehidupan ini. Tentunyalah tidak menepati akan ikrar yang dilafazkan ketika roh dihembuskan kedalam jasad ketika penciptaan diri. Hakikatnya kita menyukai akan hal yang diingini sahaja dan mahu segera menjauhi perkara yang menyulit lagi memeritkan diri. 


Rujuk ini untuk lebih jelas, perjanjian-manusia-dengan-allah-swt-sebelum-lahir-ke-dunia


Aku seperti biasa dan seperti hari hari sebelum ini melakukan perkara yang serupa setiap hari bertahun sudah lamanya. Tiada istilah jemu. Tiada juga mengelak melakukannya. Kerja yang selama ini dibuat yang menghadirkan rezeki buat keluarga terkadang terfikir sampai bila semua ini akan terhenti. Kudrat yang makin berkurang ditambahi pula dengan pemberitahuan akan kesihatan terkini pada 05/09 setelah tamatnya phasa kedua rawatan membuatkan aku agak tersentak. Tarikan nafas yang mulai melemah dengan situasi peparu sebelah kanan tidak berapa elok amat merisaukan. Hendak terus bekerja atau cukup setakat ini sahaja membuatkan aku dalam dilemma. Aku tidak mahu dikasihani sentiasa apabila tahap kesihatan aku diketahui. Mungkin sudah sampai masanya. Tapi aku sedayanya melawan 'takdir' yang tersuratkan ini.

Masih fit lagi...nie

                                                               Redha harungi segala


Apa sebenarnya yang aku mahu tunjukkan. Mungkin itulah yang menjadi tanda tanya oleh mereka yang mengenali dan prihatin mungkin. Sangkaan komitmen kewangan terhadap hutang piutang mungkin ada kebenarannya. Tahap kesihatan digagahi jua pada pandangan mereka akan menghadirkan keinsafan dan kasihan. Nasib seseorang sebenarnya payah dimengertikan. Semangat dan kecekalan hati membezakan antara yang berjaya dengan yang gagal harungi cabaran.


Ditakuti andai tidak mampu bertahan dalam perlumbaan kehidupan ini dengan tahap kesihatan makin memburuk akan memberi kesan kurang elok pula. Kos merawat mustahil murah. Kroniknya sakit memerlukan jumlah wang yang banyak untuk menampung rawatan. Apakah sanggup semata mata mahu pulih, segala yang dimiliki perlu 'digadaikan'. Apakah jaminannya akan kembali pulih. Bukan tidak meyakini tapi kecenderungan kearah berlawanan begitu merisaukan.


Memang sedia maklum, tiada sesiapapun yang kekal. Namun andai itulah takdir yang perlu ditempuhi maka aku pasrah dan redha dengan kehendakNya. Berdebar harungi perjalanan ini ketitik terakhir. Tiada sesiapapun yang mampu menepis mengelak. Hasrat semua orang untuk pengakhiran yang khusnul khatimah. Namun tingkah laku selama ini yang dilaksanakan dan bagi yang ketahuan pengakhiran yang mungkin akan diterima masih juga meyakini yang diri akan mendapat 'maghfirah'. Berharap sebenar benar pengharapan akan hajat diri akan tertunai. 







No comments: