Monday, October 19, 2015

Surat 4

21hb. September, 2006.
(29 Syaaban 1427H)
Zaini Bin Ali
10A,
Jalan Bayan 7,
Taman Bukit Katil,
75450 Melaka.
06-268 7034
016-6435 414
zaini642@hotmail.com.
Menemui sekali lagi sahabat lama yang berada di utara Semenanjung Malaysia, Assalamualaikum! diucapkan. Semoga berada didalam situasi yang menceriakan disamping keluarga yang dikasihi.
Diharapkan ketibaan warkah ni tak menimbulkan rasa kurang selesa di pihak En. Zuki. Tambahan pula negara yang berjiran dengan anda sedang bergolak. Semoga tak menimbulkan apa-apa masalah disana. Manalah tahu, mungkin tempiasnya akan turut dirasai di Padang Sera atau setidak-tidaknya dikawasan yang bersempadan dengan Kedah.
Tujuan aku mengirimkan surat ni adalah sekadar mengucapkan 'Selamat Menyambut dan Menjalankan Ibadat Puasa' untuk kali yang ke – 42. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini benar-benar membuatkan kita bertaqwa kehadrat Illahi hendaknya. Kali ini biarlah aku pula yang mendahului. Harap-harap ingatan anda terhadap sahabat mu di Melaka ni masih ada lagi walaupun semakin hari semakin menipis dek perubahan masa yang ditempuhi.
Apapun, bersyukurlah kita kerana ditemukan kita untuk Ramadhan kali ini. Semoga segala kelebihan bulan Ramadhan yang mulia ini mampu kita miliki sepenuh dan sesungguhnya. Berapa ramai umat Islam yang tak berkesempatan menjalani ibadat puasa pada tahun ini. Semuanya adalah ketentuanNya jua.
Pada mereka yang telah mendahului kita menemui Illahi ,tiadalah lagi yang mampu dilakukan melainkan amal bakti yang dibuat dikala hidup mereka didunia yang fana ni. Teringat aku akan sebuah hadis yang relevant iaitu yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari,
"Sebaik-baik barang yang ditinggalkan oleh manusia kemudian daripada matinya itu tiga perkara:
1.Anaknya yang soleh(Islam) yang berdoa baginya,
2.Dan, Sedekah jariah(wakaf) sampai akan dia pahalanya,
3.Dan, ilmu yang diambil manfaat kemudian daripadanya."
Beruntunglah bagi mereka yang masih mampu bergerak dan berdaya membuat amal bakti untuk hidupnya didunia dan juga sebagai bekalan hidup diakhirat nanti. Dalam kesempatan usia yang dipinjamkan ini adalah perlu kita membuat perkara-perkara yang baik-baik. Kalau mampu lagi hasilkanlah yang terbaik semoga mendapat keberkatan dari-Nya jua.
Dalam pada tu akhir-akhir ini berita mengenai kemunduran orang Melayu Pulau Pinang kerap dilaporkan dimedia arus perdana. Apa ertinya semua ini. Memang memalukan umat Melayu seluruhnya. Tapi setakat mengesali dan mengiakan kenyataan yang dilaporkan tidak memadai. Perlulah orang Melayu sendiri yang bangun memikir dan mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup mereka sendiri di negaranya sendiri. Tiada masanya lagi untuk kita menuding jari menyalahkan si polan tu dan si polan ni yang punya angkara hingga kehidupan bangsanya tersepit di tanahairnya sendiri.
Petikan kata-kata Saidina Ali Abi Talib boleh saja dijadikan panduan iaitu;
"Kepapaan membawa seseorang yang petah bercakap menjadi pendiam
Dan menjadikan seseorang yang bijak menjadi bodoh."
Justeru itu sebelum turunnya ketahap kepapaan, perlulah orang yang bijak pandai serta yang petah berkata-kata ni tampil untuk mengujudkan suatu gelombang kesedaran yang mampu mengubah suasana yang ada sekarang ni kepada suatu keadaan yang 'suitable' atau yang condusive bagi mengambarkan majority penduduk Tanah Melayu.
Dalam pada itu, teringat aku akan hal satu keluarga di Kuala Pilah di bulan Ramadhan tahun 1426H. Kejadian setahun yang lalu merupakan satu peristiwa trajis yang perlu dihadapi oleh Kak Maznah sekeluarga dimana suami tempat enam beranak bergantung hidup telah pergi buat selamanya. Inilah realiti kehidupan. Dalam tidurpun tak selamat. Kalau dah sampai hukum, maka siapalah yang mampu menahannya. Berita penuh, saudara Zuki boleh rujuklah lampiran kalau saya dianggap berbohong atau sengaja mengada-adakan cerita.
Dalam kes Kak Maznah sekeluarga ni, agak-agaknya siapalah yang sudi menghulurkan bantuan. Bagaimanakah keadaannya ketika kedatangan Ramadhan kali ini. Terjaminkah kehidupannya kini atau melaratkah dia. Mana perginya saudara mara. Apa tiadakah jiran-jiran yang sudi membantu meringankan penderitaannya. Mungkinkah telah senang lenang dek pertolongan dan bantuan yang tiba mencurah-curah dari rakyat Malaysia yang kononnya mempunyai sikap suka menderma dan membantu yang tinggi.
Didalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani yang terjemahannya iaitu:
'Sampaikanlah hajat-hajat mereka yang mana tiada berdaya upaya menyampaikan hajatnya, maka siapa-siapa tolong sampaikan hajat seseorang yang tak berkuasa orang itu sampaikan dengan sendirinya lebih-lebih lagi dengan raja-raja, ialah ditetapkan oleh Allah akan dua kakinya ketika melalui siratul-mustaqim hari kiamat.'
Maksud hadis yang dinyatakan diatas sepertimana yang diterjemahkan oleh Uz. Abdul Halim Al-Hadi dari kitab bahasa Arab 'Mutiara Al-Hadis', ialah menyuruh kita(umat Islam) bertolong menolong sesama Islam.
Sejauhmana dan setakat mana kita berdaya menghulurkan pertolongan dan bantuan bergantung kepada tahap kemampuan individu itu sendiri. Kalau ada lebih,berilah lebih sikit. Kalau yang cukup-cukup makan tu, berilah mana yang terdaya. Ini pendapat aku. Tapi ada ke la ni orang yang sudi menghulurkan bantuan kalau sendiripun terkial-kial dalam mengharungi hidup. Semua ini berkait rapat dengan taraf ekonomi. Jika orang Islam mempunyai kekuatan ekonomi yang kuat dan mantap, aku rasa no problem punya untuk menghulurkan bantuan. Siapalah yang mahu 'tergelincir' ketika melalui titian sirat nanti. Masalahnya sejak dulu lagi hak kita sebagai tuan di tanah air kita sendiri secara sedar atau tidak, seolah-olah dinafikan.
Melihatnya dari perspektif sejarah, aku bawakan 2 kisah 'sejarah' yang diceritakan oleh pengarangnya sendiri didalam autobiografi yang berjudul 'Berenang Di Lautan Cetera'
  1. Petikan didalam sub-tajuk 'Perceraian dan Perpisahan'(halaman 77) oleh pengarangnya En. Maaruf Mahmud.
Dengan tiba-tiba Abdullah Tauke Lembu pulang semula ke Tanah Melayu, dari India.
"Saya mesti cari wang lebih banyak. Ini negeri memang negeri emas. Duit banyak macam itu daun-daun gugur ditiup angin!" kata Abdullah berbangga.
"Wah, kalau macam ni, awak pulang ke sini untuk kumpul duitlah macam dulu. Bila dah banyak, awak balik semula ke India. Bawa kita orang punya negeri punya wang. Berapa kali awak mahu buat macam ni, Abdullah?" ayah ingin tahu.
Abdullah tersengih-sengih ketawa. Dia memikirkan tentu ayah hanya bergurau sahaja, "Cikgu Mahmud, ini bukan kita orang punya salah. Ini negeri punya orang juga punya salah. Tak mahu usaha cari wang sendiri. Itu pasal lain negeri punya orang mari, kasi habis!" kata Abdullah berbangga.
Ayahku diam tidak dapat menjawab.
(Dialog antara Abdullah tauke lembu dengan ayahanda En. Maaruf, dari pemahaman aku berlangsung mungkin sekitar tahun 1925 ke 1926.)
  1. Petikan didalam sub-tajuk "Keretapi dan Kereta Kuda"(halaman 105) pula, begini bunyinya;
Ah Fook menjadi kaya dengan mengambil upah mengasap dan menggiling getah. Modal sedikit, kerja mudah, tetapi untungnya begitu lumayan. Dengan keuntungan ini, Ah Fook menambah lagi perniagaannya. Ditempahnya sebuah kereta kuda untuk disewa. Penyewa boleh duduk dalam kereta kuda itu dengan selesa. Mungkin dia tidak tahan memandu kereta kudanya begitu lama lalu diupahnya seorang ahli keluarganya jadi pemandu.
Datukku pernah berseloroh denga Ah Fook, "Apa pasal lu tak mau kasi olang Melayu tarik lu punya kereta?"
"Tak bolehlah Aji. Olang Melayu mana boleh buat kerja susah-susah ini macam?" Ah Fook memberi alasan.
Lalu terfikir juga aku kebenaran kata-kata Ah Fook. Ah Fook yang telah berusia 65 tahun itu masih bekerja keras menguruskan rumah asapnya, sedangkan pakcik-pakcik ku yang baru berusia 50 tahun, sudah tidak mahu membuat kerja yang boleh mendatangkan hasil. Mereka selalu mengeluh, sakit disini, sakit disana. Orang yang mengendalikan kereta kuda Ah Fook juga telah berumur. Teruk juga tugasnya sebagai penjaga kuda.
.
Akhirkata, Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1427H.
Sahabatmu dari selatan tanahair,
…………………………………
(Zaini Bin Ali)

No comments: