Monday, October 19, 2015

Surat 1

24hb. November 2005.
(22 Syawal 1426H)
Zaini Bin Ali
10A,
Jalan Bayan 7,
Taman Bukit Katil,
75450 Melaka.
Menemui kembali sahabat lama yang dah teramat lama tak bersua muka. Khabar berita pun cuma setahun sekali itupun pada musim raya saja.
Assalamualaikum En. Mohamad Zuki. Rasanya belum terlambat lagi untuk aku ucapkan "Selamat Hari Raya dan maaf segalanya". Tak ada story baru ke dari utara?
Ketibaan kad raya anda dimaklumkan oleh 'setiausaha' aku, sekembalinya aku dari kerja.
Belumpun sempat aku menanggalkan kasut, dia telah memberitahu akan adanya beberapa surat yang telah diletakkan diatas meja dibilik.
Setelah meneliti sekali imbas, terdapat sekeping surat berwarna kehijauan. Yang lainnya dah terlalu familiar. Ini disebabkan saban bulan mesti akan aku terima punya. Check dekat 'postage' tu tertera Alor Setar dan bertarikh 26/10/2005.
Aku apalagi bukalah sampulnya. Dalam pada tu, difikiran, aku cuba bertanya siapalah yang sudi hantar kad raya ni. In fact, inilah satu-satunya kad raya yang aku terima buat tahun ini. Dan juga surat dari saudaralah @ kad raya yang diterima pada tahun 2004 yang lalupun juga merupakan the only raya card which I received.
Kad En. Zuki untuk tahun 2004 masih lagi ada dalam simpanan peribadi aku.
Sengaja aku 'bold'kan dan underline-kan satu soalan cepumas buat saudara Zuki disana.
Dan itulah juga hasrat aku pada penghujung tahun 2004 yang lalu tatkala aku membalas kad raya tu. Memandangkan anda bertanya khabar berita dari selatan, akupun respond dengan sedaya upaya aku. Tapi lepas tu 'hampeh'.
Selang beberapa ketika selepas tu, aku mula menantikan balasan dari utara. Tunggu punya tunggu, balasan yang dinanti-nantikan tak juga kunjung tiba. Hinggalah pada suatu hari tu, tak ingat lak hari apa, tapi yang pasti ianya dari utara. Kelihatan agak aneh sikit surat tu. Lebih membuatkan aku berteka-teki, chop 'Pejabat Pos'nya adalah di Butterworth.
Nak tahu apa jadi lepas buka surat tu, apa lagi terkejut beruk le aku.
Apa taknya, isi surat tu menyuruh aku contact phone number yang tertera andainya aku ingin jadi kaya. Haru dibuatnya. Ikut logic akal, kalau tahu cara buat duit, apalah susah-susah nak ajak semua orang ikut. Kata orangpun kasi pulun cukup-cukup. Orang lain peduli apa. Mestilah ada ajenda tersendiri. Apa lagi nak mengenakan oranglah.
Lepas kedatangan warkah yang tak ditunggu-tunggu tu, akupun mulalah 'give-up'.
Mungkin saudara Zuki disana tu sibuk, sibuk bebenar agaknya. Bunyi macam merajuk aje. Apa taknya, lain yang ditunggu, lain pulak yang tiba. Kira-kira frust-lah.
Hari-hari seterusnya aku juga disini mulai menjalani kehidupan seharian. Macam-macam ada!
Hari ini adalah hari Khamis. Hari ini aku bercuti mingguan. Hari ini juga merupakan hari terakhir 'Mesyuarat Raja-Raja' Kali ke-204. Kiranya dah banyak kalilah depa semua dok bersidang. Peliknya, sejak hari pertama mesyuarat diadakan iaitu pada hari Isnin, bumi Melaka ditimpa gerimis sampailah pada pagi tadi.
On-kan MelakaFM. Selalunya aku lebih suka ikuti siaran SinarFM. Sebabnya, MelakaFM banyak celoteh dari lagu. Tapi lain pula dengan Sinar sebab lagu-lagu era
60-an hingga terkini diputarkan. Pasal nak jadi ceritalah katakan, juruhebah sibuk buat promo dan kerap diulang-ulang supaya pendengar yang berkesempatan berkunjung ke MITC di Ayer Keroh sempena 'Majlis Makan Rakyat' bermula dari 3:00 petang tadi.
So, aku buat decision nak pi tengok raja dan sultan kat MITC tu. Bila dimaklumkan pada semua pasal rancangan ni, apalagi seronok gilalah semuanya. Seperti dirancangkan, lepas makan tengahari, anak beranaklah pi kat MITC. Sebenarnya jarak diantara Bukit Katil dengan MITC di Ayer Keroh tu hanyalah 3km aje. Sampai aje kat sana tu, parking semua dah penuh. Al-maklumlah dah pukul 3 petang. Melihatkan berbas- bas yang ada dikawasan tu, ada yang sejauh Kuala Sungai Baru, Lubuk Cina dan lain-lain destinasi yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, terpampang di cermin bas, terfikir pulak aku, "Pukul berapa dia orang datang ni" detik hati aku. Dah sembahyang ke belum dia orang ni. Takkanlah pasal jamuan makan rakyat dengan sultan dan raja, hok yang wajib ni nak diringankan…… No comment.
Maklumlah Melaka tak ada Sultan mahupun Raja, maka ramailah orang Melaka yang hadir kononnya nak tengok depa termasuklah kami anak-beranak. Tapi bagi aku nilah masanya nak 'makan free' sebabnya pada 19/11 Pak Ali dan rakan setugasnya mengadakan 'Open House' di tebingan Sg. Melaka. Tapi hari Sabtu tu, aku kerjalah . Maknanya tak dapatlah nak menghadirkan diri. Ada 8 station disepanjang sungai menyediakan berbagai juadah. Kira rugilah. So, hari ini adalah sessi balas dendam kerana nak tumpang sekaki menghabiskan wang rakyat. Sesampai aje kami di MITC tu, nampaklah umat Melaka ni berkerumun bersama Pak Ali dengan bini dia di ruang lobby MITC. Adalah dalam 5 minit berikutnya kami menyibukkan diri disitu, sampailah orang-orang besar yang ditunggu-tunggu.
Yang pertama sampai adalah 'Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja' iaitu Engku ……..(nama tak tahu pulak ~ maklumlah Melaka mana ada orang besau). Alah, yang selalu inform pasal mula puasa dan tarikh raya tu. Kemudian, selang 10 minit berikutnya, Sultan Pahang pulak sampai. Sultan Haji Ahmad Shah. Lepas tu beberapa ketika muncul pula Sultan Kelantan bersama bini dia. Kemudiannya Sultan Abdul Halim pulak yang sampai. Dia turun sorang aje. Setahu aku orang rumah dia dah meninggal. Lah ni kahwin baru beb. Tapi tak bawak. Aku memang admire dia sebab masa dia jadi agong dulu sekitar pertengahan 70-an, orang tua awak ni segak orangnya. Wife dia tu, masu tu, cun gila. Tapi sekarang ni, jalan pun dah terhempap-hempap. Al-maklumlah dah berumur.
Lepas aje Sultan Kedah tu masuk, aku tengok anak aku yang kecik dah timbul tanda-tanda boring. Tunjukkan isyarat kat anak aku yang sulung supaya inform maknye beredar dari kawasan tu. Sebenarnya, akupun dah mula boring gak. Dikejauhan kelihatan orang mundar-mandir di side entrance bangunan MITC tu. Setelah semuanya beredar ke satu kawasan, anak-beranak aku le, akupun brieflah semua pasal apa dan perlu apa kita semua perlu beredar ke tempat yang lebih ber'makna' dari static kat satu tempat. Hanya semata-mata nak tengok mereka sampai sorang demi sorang, apa hal.
Menonong aje ke dalam dewan, kelihatan ramai orang telahpun memenuhi setiap ruang siap dengan polisnya sekali. Takut kena tembak curi kot. Malangnya, setiap meja yang ada, kononnya, untuk rakyat telahpun dipenuhi dan setiap meja tu mempunyai nombor.
Risik punya risik, setiap meja bernombor tu adalah tetamu yang diundang. Maknanya, kami yang datang ni pulak, bukannya tamu yang diundanglah. Ini tak boleh jadi. Lalu kami ke kawasan khemah di luar dewan. Wah, ramainya orang Melaka tengah syok mentadarah(makan le). Tanpa lengah-lengah lagi, capai pinggan polystereen dan bersantaplah anak-beranak dibawah khemah yang disediakan diluar dewan MITC tu.
Melihatkan timbunan bekas polystereen dan sisa makanan, mungkin dah lama dia orang ni start makan. Nampak gaya tak sempat tunggu Agong tiba. Tetamu didalam dewan pula belum bersantap lagi sebab masa aku buat 'lintas hormat' kat dalam dewan tu memang makanan dah tersedia dan berbalut plastic lagi. Mungkin bila majlis nak mula barulah boleh makan agaknya.
Lepas semuanya dah jamu selera dan pasal tak ada kad undangan rasmi, kamipun cabutlah meninggalkan majlis tersebut. Pi jalan rayalah kat tempat lain. Kat pukul enam sampailah keteratak buruk kami. Semua dah lentuk dalam kereta. Kalau bapak dia turut lentuk dalam kenderaan, alamatlah enam jahanamlah anak beranak.
Ingat lagikah En. Zuki pada dialog yang diucapkan oleh Tompel dalam filem 'Ahmad Albab'. Dialog dia sebagai 'Mas'od al-buaya' pada Saloma @ Mastura begini bunyinya, "Kebahgiaan, kekayaan dan kesenangan terletak ditangan bapak. Siapa yang banyak objection, orang itulah yang paling aku benci". Huraian lanjut di episode yang akan datang. Bagaimana kita melihat sesuatu hal tu, perlulah dari berbagai perspektif dan sudut agar kesimpulan yang dibuat atau statement yang hendak diwar-war mencapai matlamatnya.
Nampaknya, dah jauh pulak aku menyimpang ni. Moga ketemu lagi di arena penulisan ni. Menulis ni kalau dibuat selalu dan berterusan bisa aje menjadi senaman minda. Lebih kerap kita menulis, insya-allah lebih tajam pemikiran kita. Dalam buku motivasi Dr. Tuah, 'Jangan tidak-tidak' dan 'Nak ke tak nak', beliau ada buat kenyataan yang kita ni tak mengunakan semaksimumnya kebolehan akal kita. Ciput aje yang kita guna. Maknanya ada pembaziran. Antara kesan negatifnya yang paling ketara dan yang aku ingat ialah penyakit nyanyuk. Tak naklah nanti muda-muda lagi dah nyanyuk. So, lu kalau tak nak, jangan lupa kasi balas ini surat OK.
Sahabatmu dari selatan tanahair,
…………………………………
(Zaini Bin Ali)
P/S: Disini aku lampirkan gambar setiausaha sulit aku yang suka menyibuk dan sentiasa mengingatkan aku
terutama bila nak berjalan. Alamat kopaklah towkay.
Maaf, gambar tak berapa elok. Ink dah nak habis.
Maklumlah lepas raya, peruntukan dah habis. Ini
macam, boss boleh bangkrup apa.

Setiausaha aku...

No comments: