Monday, October 19, 2015

Surat 3

24hb. Julai, 2006.
(28 Jamadil Akhir 1427H)
Zaini Bin Ali
10A,
Jalan Bayan 7,
Taman Bukit Katil,
75450 Melaka.
06-268 7034
016-6435 414
zaini642@hotmail.com.
Menemui kembali sahabat lama nun di utara sana tu. ASSALAMUALAIKUM. Apakhabar En. Zuki sekeluarga. Diharapkan anda sekeluarga berada didalam situasi yang menceriakan.
Ni kenapa senyap aje ni. Tolong citer sikit? Hang marah kat aku ke. Kalau betul sangkaanku, aku pohon kemaafan. Hang ni berahsia sangatlah. Even Siti Nurhaliza rahsia punya rahsiapun dah pecah. Satu Malaysia dah tahu. 21/08/06 akan diadakan majlis bertunang,bernikah dan makan kendurinya sekali. Kira-kira, 3 in 1 majlis tu. Kalau ada kesempatan bolehlah pi makan kenduri nanti. Khabarnya Datuk 'K' ni orang Kedah. Beruntunglah orang Kedah ni, depa pulun cukup-cukup nanti penyanyi 'tersohor' ni.
Itulahkan nasib orang. Tak siapa sangka dan tak siapa menduga yang jodohnya dengan anak dara gitu. Dah le masih 'fresh', popular lak tu.
Masa pengumuman dibuat pada pagi Isnin 17/07/06, aku tengah 'meracun' rumput yang hanya berkeluasan sekangkang kera dikediaman rasmi aku seperti dialamat diatas. Yang kecoh memaklumkan hal Datuk 'K' ni dengan budak Siti ni adalah bini aku. Tak senang duduk dibuatnya. Nak tak nak, jenguklah juga sekejap kat TV. Kalau buat tak reti, ada lak yang merajuk nanti. Fuyoo!, siaran langsung gitu. Pengumuman dibuat di hotel The Zon On The Park, Kuala Lumpur, berdasarkan caption bergerak disebelah bawah screen TV. Masa jengah tu bapak Siti iaitu En. Taharudin sedang berucap atau lebih tepat lagi membaca teks ucapan dimana beliau mengumumkan yang beliau merestui hubungan anaknya dengan bakal menantunya iaitu Datuk 'K'.
Tapi lain pulak halnya di Asia Barat sana tu. Pasal pihak Hizbullah tunjuk 'timing' dia kat Israel dengan menawan 2 orang askar Israel, tak pasal-pasal satu Lebanon diharuknya. Kan ke naya punya kerja. Manakala di Pulau Jawa pula, kedatangan tsunami yang tak diundang telah meragut beberapa jiwa. Kedua-dua scenario ni jelas menunjukkan kemelut yang perlu ditangani segera. Kalau berlengah-lengah dan buat sambil lewa pula, pastinya keadaan bertambah buruk. Kes di Middle East berpunca dari kerakusan manusia sendiri dan manusialah yang harus menanganinya. Manakala di Indonesia, kerapnya berlaku bencana adalah ketentuan Allah swt. jua. Perlu redha bagi yang terlibat secara langsung dan jadikan ikhtibar bagi umat manusia yang mahu memikirkan. Apapun, kita harus redha dengan takdir, sabar menghadapi ujian serta syukur dengan nikmat yang dikurniakanNya.
Diketika ini aku sedang membaca buku 'biografi' Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za'ba. Buku ni dihasilkan oleh Adnan Haji Nawang dengan tajuk 'Za'ba Patriot dan Pendeta Melayu'. Sebelum aku melanjutkan cerita aku ni, biarlah aku huraikan terlebih dahulu berkenaan dengan 'biography' dan 'autobiography'. Kedua-duanya membawa maksud huraian mengenai riwayat hidup. Biography mengisahkan peristiwa yang dialami oleh seseorang tapi ditulis oleh orang lain yang perihatin atau atas sebab-sebab tertentu. Manakala autobiography pula, mengenai hal-hal yang dialami sendiri oleh penulis dan membuat ulasan berdasarkan faktor semasa dan daya inteleknya diketika itu tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun. Perlukisan cerita dan komentarnya bersifat kontemporari dan tanpa prejudis. Bagi aku, antara keduanya, autobiography lebih tepat untuk mengetahui hal dan perilaku seseorang berbanding dengan biography. Apapun , daripada badak baiklah kuda, daripada tak dak, baiklah ada.
Sesungguhnya ada sesuatu yang ingin aku berkongsi dengan saudara Zuki darihal kisah Za'ba ni. Berikut adalah sedutan rencana yang telah disiarkan didalam majalah 'Pengasuh' pada tarikh 17/03/1919 dan amat menarik untuk dibuat komentar.
"Sungguhpun Tanah Melayu ini negeri yang sentiasa bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya daripada kemakmuran khazanah buminya akan tetapi siapakah yang sentiasa menambah-nambahkan kekayaan itu? Dan siapakah yang sentiasa beroleh keuntungan daripada kemakmuran itu?
Dimanakah bapa-bapa Melayu dan dimanakah anak-anak Melayu? Pada sebutan yang zahir sebenarnyalah negeri ini negeri Melayu luarnya dan dalamnya hampir-hampir 700 tahun. Akan tetapi pada masa sekarang ini sebutan 'Negeri Melayu' itu menetapi hakikat maknanya akan daerah-daerah kampong dan cerok-cerok negeri yang jauh dari pekan jua: orang Melayu telah lari ke dalam hutan dan ke tengah-tengah negeri mendiami tiap-tiap lepan(tanah lembah) dan bukit-bukau. Orang dari luar telah datang menunggui dan meramaikan tepi-tepi lautnya dan bandar-bandar perniagaan! Maka ditengah-tengah negeri yang jauh dari suara loceng itulah kamu akan berjumpa dengan kebanyakan Melayu dan tempat-tempat itulah yang sebenarnya Negeri Melayu. Adapun lain daripada itu kamu akan dapati sama ada pada zahirnya atau hakikatnya – negeri ini ialah negeri orang dari luar – pada pekerjaannya, pada perusahaannya, pada perniagaannya dan pada pemerintahannya."
(Pengasuh: 17.3.1919)
Cuba pastikan betul-betul tarikh keluarannya. Maknanya, 13 tahun saja lagi genaplah 100 tahun rencana tu dihasilkan. Apa ikhtibar yang dapat kita fahami dan usahakan. Sama-samalah kita memikirkan semoga dapat deliver sesuatu untuk kebaikan bersama. Bukannya disegi 'makro' tapi 'mikro' iaitu diperingkat individu. Dan kalau berkemampuan diperingkat yang lebih tinggi lagi bagus. Kalau boleh…… .
Dan selang setahun saja, Malaysia bakal menjadi sebuah negara maju kononnya menjelang 2020. Itulah yang diimpi-impikan oleh Pak Mahathir, orang Kubang Pasu. Impian akan tetap menjadi impian andaikata tiada 'gelombang' perubahan oleh setiap anak Melayu merealisasikannya. Apakah dengan hanya bercakap dan 'rhetoric' sifatnya telah memadai bergelar negara maju. Tak semudah tu bang. Banyak hal yang perlu ditangani dan diperkasakan.
Bercakap mengenai orang Melayu , pandangan Za'ba dalam tahun 1958 seperti yang dilaporkan dan diperkatakan dalam 'biografi'nya menyatakan:
"Rupa yang tak dapat diubah, tetapi feel laku dapat …. Maka kita sangat berhajat kepada orang-orang kita(Melayu) sebagai satu kaum mengubah beberapa sifat perangai dan pekerti kebangsaan kita yang kurang baik diganti dengan yang baik. Sesungguhnya dengan berubah sifat-sifat perangai yang kekurangan itulah sahaja boleh diharap mereka itu akan dapat maju dengan sebenar-benarnya dalam alam perlumbaan hidup yang luas ini."
Sekiranya ingin mencapai kemajuan dalam segala lapangan kehidupan baik ianya duniawi mahupun akhirat, maka tak dapat tidak, kita yakni aku sendiri dan En. Zuki juga serta umat Melayu semuanya mesti dan perlu berubah. Beberapa sifat dan tingkah laku yang negative perlu digantikan dengan yang baik atau positive dan terpuji. Antara sifat yang tak elok seperti boros, bakhil, tidak sedar keupayaan diri, tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri dan anak-anak perlulah digantikan dengan sifat-sifat yang lebih mulia. Antaranya beriman, yakin, amanah, taat beribadat, berusaha menjalankan kewajipan dengan bersungguh-sungguh, tawakal, benar, berani, sabar dan yang seerti dan semaksud dengan konteks yang diperkatakan.
Sebagai extension dalam persoalan ini, terdapat satu coretan yang aku hasilkan sebelum ini yang aku rasakan berkaitan. Harap rujuk lampiran.
Sekiranya En. Zuki ada kelapangan waktu, cuba-cubalah 'respond' warkah yang dikirimkan. Currently, myself in the process to have my own web site. Tengah develop dan bakal di-link-kan tak lama lagi. Nanti boleh surf laman web aku. Buat sementara En. Zuki boleh contact aku via medium yang dinyatakan.
Dilampirkan juga panduan menghasilkan 'Autobiography' andaikata saudara berminat untuk mencatat kisah-kisah hidup masa diusia emas nanti.
Sahabatmu dari selatan tanahair,
…………………………………
(Zaini Bin Ali)

No comments: