Banyak orang tidak sedar akan apa yang dilafazkan merupakan suatu doa, harapan, keinginan dan impian. Kita tidak terfikirpun apa yang didatangkan dan dihadapkan adalah kesan dari ucapan kata-kata kita. Banyak senario yang aku alami, dengari dan perhatikan didalam lingkungan membuktikannya. Segalanya amat tidak terjangkakan. Disaat kita meyakini yang sesuatu itu akan berlaku tapi anihnya yang tidak terlintas langsung dibenak pula yang terjadi.
Diceritakan oleh orang rumah semasa berkunjung kerumah tua yang selepas perginya arwah bapa dan ibu mertua beberapa tahun dahulu dan kini dihuni dan dijagai oleh adik ipar akan perilaku anak buahnya. Tahun lalu, anak buah yang merupakan abang long kepada ipar yang mendiami dan menjagai rumah pusaka ini mengambil peperiksaan SPMnya. Seingat akulah kami sekeluarga singgah sekejap kerana ada majlis kahwin dikampung sekitar bulan November ataupun December tahun lalu(2014). Orang rumah ada bertanya sekadar berbual-bual dengan anak buah yang ketika itu sedang menelaah pelajaran. Harapan yang dihamburkannya adalah untuk memasuki 'U'. 'Poly -poly' tak mainlah, dengan nada sedikit berbangga. Mungkin dia realize dan maklum yang kedua-dua sepupunya, iaitu anak aku yang ketika itu sudah ditahun 2 dan tahun satu di PIS. Yang tua di Politeknik Ibrahim Sultan(Pasir Gudang) dan yang kedua di Politeknik Idris Shah(Sabak Bernam). Berkenaan kedua-dua anak aku ini, sememangnya aku sedikit kecewa jugalah kerana harapan yang aku pendam selama ini agar mereka ke universiti tidak terlaksanakan. Mungkin belum rezeki lagi. Harapan mungkin disangkut dan digantungkan pada adik-adiknya yang 3 lagi yang masih bersekolah.
Disaat ini pula aku terkenangkan hakikat dari apa yang dilafazkan yang tidak kita sedari. Semasa result SPM diumumkan awal March 2015, Syawal cuma meraih 2A. Ikut info dari orang rumah, dapat 'A' untuk subjek Agama dan Sejarah. Memeranjatkan lagi, BM sekadar lulus sahaja. Cara pengurniaan gred terkini tidaklah berapa maklum, tapi pastinya subjek utama atau teras tetap tidak berubah. BM, BI, Matematik dan Sains adalah core subject yang perlu difokuskan. Manakala matapelajaran Geografi ke, Sejarah ke, Lukisan ke atau subjek pilihan lainnya, Mandarin ke mahupun Tamil ke hanyalah sekadar subjek sokongan sahaja. Sekali imbas sahaja sudah dapat diagakkan yang peluang ke 'U' tertutup rapat. Adik ipar yang juga merupakan seorang guru mungkin dihatinya bersedih dan terkilan tapi tetap berusaha juga memohonkan kemasukan Poly berhampiran yang jarak cuma sekilo sahaja dari sekolah anaknya belajar. Melaka lebih-lebih lagi Merlimau tidak sebesar manapun. Biras, yang juga abang iparnya dan juga pak sedara Syawal, kebetulan bertugas di Poly dibahagian pentadbiran. Beria-ia benar ipar hendak memasukkannya kesitu dan cuba jugalah biras aku membantu 'recommend', tapi result yang tidak strong ini menghalangi segala hasrat. Konon, kalau ikut pintu depan tidak dapat, harap-harap masuk ikut belakangpun kira lepaslah. Apakan daya segalanya telah tersurat. Makanya berpuashatilah menyambung belajar disekolah yang sama ke tingkatan enam pula. Akan datang tidak siapa dapat menduga malah jauh sekalilah untuk merasa selesa selagi tidak tibanya ajal.
Kalau difikirkan lebih mendalam tentang sekatan-sekatan dalam kehidupan ini sebenarnya punyai hikmah yang perlu diselidiki, diakui dan diredhai adanya. Penapisan yang dibuat tentulah bermatlamat. Hal sedemikian telah lama dikaji dan mungkin juga prinsip ini diterimapakai dari model yang dirasakan terbaik dari negara-negara yang lebih awal bertamaddun dan terbukti keberkesanannya. Kelayakan yang rendah mungkin akan meyukarkan pembelajaran diperingkat yang lebih tinggi. SPM sebagai filter paling mudah menyaring kebolehan dan kemampuan pelajar walaupun mungkin banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan SPM seseorang. Faktor lain biasanya ditolak ketepi sahaja dan ianya adalah muktamad. Semasa mendaftar di ITM pada July 1984, aku bertemu ramai student dari Kelantan ketika sessi minggu suaikenal atau orientation. Quota kemasukan dari kelantan adalah besar, maklumlah Pak Nik kan ke orang kelantan. Mungkin syarat kemasukan mereka direndahkan yang membolehkan ramai anak-anak kelantan berpeluang belajar keperingkat lebih tinggi. Malangnya, banyak antara mereka yang kecundang di semester pertama lagi disebabkan CGPA dibawah 2.0. Salah seorangnya, abe yang pekat lorat kelantannya mengambil kursus ADBA(Tpt) iaitu kependekkan kepada Advance Diploma in Business Administration, majoring in Transport. Kursus yang mengambil masa empat tahun menyudahinya dan setaraf dengan General Degree dan melihat pada orangnya yang memasuki berbekalkan SPM dan pekat loratnya amat aku kagumi. Belum cuba belum tahu. Tempoh enam bulan pantasnya berlalu. Semasa menuju kedewan makan di semester kedua sempat menegurnya pasal lama sudah tidak nampak di'sekolah perniagaan' atau school of business yakni building yang menempatkan semua kursus dibawahnya. Menurut katanya, dia tukar kursus ke 'A & D' pula sebab result teruk. Diusia 50an kini, perkhabaran akan abe ini tidaklah diketahui gagal jayanya dalam pengajian. Amat diharapkan agar dan semoga berjaya hendaknya didalam kehidupannya kini.
Selingkaran kisah kehidupan yang aku lalui ini akan menjadi kenang-kenangan. Tiada siapa yang mampu memadamkan kisah yang terjadi. Hanyalah orang yang alaminyalah yang berhak meluahkan apa yang ditempuhi. Peristiwa yang terakam pula punyai tafsiran dari sudut pandangan masing-masing. Terpulanglah buat orang lain untuk mencuba merasai degup kehidupan andai teringin benar mahu mengalaminya. Apapun, diantara dua titik iaitu titik permulaan dan titik pengakhiran, bukan kitalah yang memuktamadkan. Sejauhmana kemampuan memastikan yang dihajati tercapai dan sesempurna mungkin perancangan dibuat belum tentu lagi terlaksana segala impian. Hajat ke 'U' tidak kesampaian, ke 'Poly' pun tidak berpeluang, dan realitinya, cuma Tingkatan 6 sahajalah tempat persinggahan.
Ketentuan Illahi mengatasi segala perancangan dan keinginan manusia. Allah swt jualah Yang Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment