Saturday, September 12, 2015

Gusar memerhatikan keanihan

Sejak pagi tadi sehinggalah kesaat aku sedang mencoret ini, iaitu sekitar 8:10 minit pagi ini, hujan masih belum berhenti. Lebat diawal pagi sebelum, renyai-renyai kemudiannya dan gerimis pula diketika kini. Suasana yang mendinginkan ini kalau buat orang baru menikah sememangnya amat menyeronokkan. Bagi diri ini pula kedinginan pagi beserta dengan cuaca yang sedikit mendung kerana matahari dilindungi menambahkan lagi kehibaan dihati. Orang yang punyai segalanya tentulah tidak betah untuk duduk diam. Ada-ada sahaja yang hendak mereka lakukan. Kehidupan yang disibukkan dengan berbagai aktiviti mampu membuatkan perjalanan seseorang beragam dan bervariasi.

Pagi ini, suasananya yang agak suram, seolah-olah turut merasai kegusaran yang menyelimuti diri. Umum mengetahui akan isu RM2.6 billion yang melingkari PM/RM yang kononnya hasil pemberian dermawan Arab. Siapa yang korek lobang, pandai-pandailah menutupnya. Namun tak orang tak kita. Biarlah dia dengan masalahnya, aku pula dengan masalah aku. Menghadapi dugaan dan rintangan adalah ujian yang perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Masalah lebih utama yang harus aku rungkaikan kini adalah hutang yang kian membeliti diri. Raya sudahpun berlalu. Bagi diri ini pula, raya kali ini tiada membawa keceriaan secara peribadi. Walaupun persiapan raya buat keluarga tidak diabaikan, memadai seadanya. Tidak berlebihan dan tidak juga keterlaluan. Bersederhana dan ala kadar sahaja. Namun jauh disudut hati terasa terkilan kerana memencilkan diri disaat orang lain bergembira menyambut raya.

Perancangan yang dibuat kekadang tidak mencapai tujuan. Tersasar adalah suatu hal yang cuba dielakkan, apatah lagi tersasar jauh. Kesan GST, kenaikan harga minyak yang dituruti dengan kenaikan barangan pengguna dirasakan segalanya bertambah mahal. Nilai wang yang mengecil amat membebankan. Apapun hidup harus diteruskan walau betapa sukar sekalipun. Orang yang kecukupan wang tidak terasa terbeban dan jauh sekalilah untuk merasa peritnya kehidupan. Dalam sedar dengan tidak, aku terpaksa mengorek lobang. Bukan satu, bukan dua tapi banyak. Lobang yang dikobak tapi ditimbus kembali secara berdikit ibarat orang yang kehausan dan keletihan tapi dipaksa dikerah juga mendaki bukit. Mahu tidak mahu, suka tidak suka dan hendak tidak hendak haruslah juga mengharunginya selagi daya dan selagi mampu. Memanglah kalau berwang takkanlah hendak meminjam. Lumrah kehidupan beginilah. Namun pastinya ada cara penyelesaian terbaik akan sesuatu hal. Cuma belum berjaya mendapatkannya.

Sesuatu yang anih ke bila ditimpa sakit, cepat-cepat kita mencari jalan menyembuhnya atau setidak-tidaknya memohon disembuhkan. Begitu juga bila menghadapi kesukaran, kesulitan, kerumitan dan kebuntuan pastinya kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. Tiada seorangpun yang akan meminta kekalkan sakitnya, sentiasa rumitkan pekerjaannya mahupun sukarkan kehidupannya. Hanya orang yang tidak waras, tidak normal dan yang tewas kehidupannya akan kekal statik dengan apa yang dilakukan kini. Bergelumang dengan hal-hal yang negatif sifatnya tidak mendatangkan sebarang faedah pada individu itu sendiri. Malah kesannya lebih memburuk memungkinkan punah hidupnya. Ibarat terpelusuk jauh kedalam perigi buta, hendak keluar dari situasi ini perlukan kegigihan, kesungguhan dan senantiasa berusaha. Putus asa tiada langsung didalam diri. Patah semangat juga tidak ada dalam kamus hidupnya. Hanyalah keinginan untuk keluar dari keadaan yang membelenggu kehidupan menjadi keutamaan.

Tindak tanduk menghadapi setiap apa yang ditimpa, dialami, diuji, dikurnia, dihadapi dan berbagai lagilah yang diistilahkan seseorang sepertimana yang sering didengari, 'beauty from the eyes of the beholder' dan dilihat dari sudut mana sekalipun perlukan tindakbalas yang bersesuaian. Baik buruknya tindakan yang diusahakan bergantung pada initiatif seseorang itu sendiri. Bagi yang cepat bingkas membetuli mana yang silap berdasarkan pemahamannya mungkin menatijahkan sesuatu yang baik akhirnya. Manakala yang buat selamba serta menganggapkan segalanya hanyalah suratan takdir akan terus terusanlah berkeadaan dengan apa yang membeliti diri. 

Kejamkah dunia..mana harus aku tuju.

Sukar rasanya hendak menghakimi sebab segalanya berkemungkinan. Selagi perjalanan hidup ini belum kehujungnya, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kita suka mempertikaikan dan cepat sangat mengutuk orang lain akan ketidak-pandaiannya merencana kehidupan. Malas, suka mengharapkan bantuan, tidak kreatif(mentang-mentanglah yang bercakap itu berkerjaya dan bernasib baik mungkin sehingga ketika dia mengucapkannya... selepas itu nasibnya boleh berubah in split-second cuma, lagi mahu perasan ke...) dan segala macam kata-kata yang terfikirkan dihamburkan seolah-olah dirinya bagus sangatlah. Tidakkah kita maklum yang setiap hari setiap pergerakan hidup ini diperhatikan. Masa atas dunia ini ada yang melepasi usia 90 tahun, malah Pak Mahathir sendiri bila ditanyai pemberita mengharapkan agar kalau bolehlah seluruh rakyat malaysia mencapai seusianya. Tidak kurang juga didalam perut lagi sudah dipanggil balik. Umumnya sekitar 63 tahun jika mengikut usia Nabi kita. Maka bersedialah buat yang melepasi usia piawaian ini. Juga yang berusia dibawah 63 tidaklah boleh merasakan dirinya masih jauh lagi. Bersiapsiagalah semuanya.


No comments: