11 JUNE 2023, 15:09
Berusaha...berserah
Hendak aku ulas pada hari kejadian akan perbualan penuh maksud dengan anak jiran pada khamis yang baru lalu tapi tidak berkesempatan disebabkan jadual aktiviti yang agak padat. Hari ini aku bercuti. Hari ini juga banyak hal yang perlu dan harus aku uruskan. Petang Ahad ni selepas makan tengahhari selepas membeli barangan keperluan dapur pada sebelah paginya sekitar 11:00am dan sebelum itu menunggui dan berbincang dengan budak Rauf yang mahir 'wiring' atas recommend rakan setugas untuk dia buat quotation pemasangan kipas angin diruang makan dan ruangan porch sebelum ke Mydin MITC.
Apapun kesempatan untuk aku 'merenung' sejenak akan hal ini bukanlah untuk membanding bandingkan tetapi sekadar meluahkan pandangan akan perihal yang menimpa akan mereka yang dilingkungan dalam menginsafi diri.
Sebaik sampai didepan rumah sekitar 12:50pm, aku segera membuka pintu rumah dan mengangkut barangan keperluan dapur 'perishable' yang dibeli di Pengkalan Samak dan di PMEH, Umbai. Kedengaran anak jiran, Haziq, tengah 'kick-start' motor ditegur oleh orang rumah akan dirinya, 'kerja mana sekarang'. Pantas jawabnya, 'jabatan pendidikan'. Aku dari dalam rumah agak jelas mendengari, pembantu kantin kat jabatan, mungkin. Tapi orang rumah yang ketika itu ditepi Alza ketikanya sedang mengangkat barang ditangannya yang dicangking dari dalam kereta berupa sebungkus mata kuching dan suku belah tembikai mungkin agak tidak berapa mendengarinya. Bila aku tanyainya kembali semasa didalam rumah sambil santai santai disofa, jawaban pasti dari penampilannya dengan berkasut hitam juga berseluar hitam pastinyalah bertugas sebagai 'security guard'. Pak Guard diistilahkan semasa era 80an dulu di ITM.
Tak orang tak kita. Bila diuji dikalangan kita yang konon katanya 'kuat', barulah hakikat yang sebenarnya akan diketahui potensi diri dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang silih berganti datangnya. Kita selalu diingatkan yang mana segala ujian yang ditimpa adalah kaedah untuk pertingkatkan lagi ketakwaan keimanan kepadaNya. Menghapuskan dosa yang 'mungkin' ada adalah perspektif keagamaan sebelum dijemput kembali ke kampung asal yang baqa. Namun tidak semua kita mampu bertindak 'accordingly' dengan redha akan ketentuan dariNya. Selalu sangat yang terlihatkan adalah yang berlawanan. Memberontak, kecewa mengesali nasib diri tidak seperti orang lain dan sehingga sanggup mengambil 'nyawa' sendiri sebagai jalan terakhir menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi.
Sememangnya aku bersimpati dengan 'ujian' yang perlu ditempuhi oleh Haziq sebagai anak tunggal lelaki dalam keluarga. Broken marriage semasa mereka 5 beradik ini masih dialam persekolahan tentu sekali memberi kesan yang pelbagai. Tidak terurus bilamana ayah mencari rezki sebagai pemandu lori rentas negeri yang jarang akan berada dirumah sedangkan dialah yang punyai hak penjagaan lebih memburukkan situasi. Tidak tamat persekolahan akibat kekangan yang hadir tidak memungkinkan untuk mereka berlima berjaya mengikut saluran biasa iaitu ada sijil tamat SPM boleh memohon sebarang kerja yang bersesuaian. Hadap sahaja selagi mampu berpenghasilan dalam meniti usia remaja yang kontradik dengan rakan sebaya dikejiranan yang masih dalam perlindungan keluarga.
Begitupun, pengakhiran semua kita adalah bukan kita yang menentukan. Selagi nyawa dikandung badan maka selagi itulah ujian akan datang dan berganti berkadaran dengan kemampuan dan ketetapan dariNya. Tidak seorangpun, percayalah, yang akan terlepas dari ujian Allah.
Berbangga dan bongkak atas 'sikit'-nya cabaran yang dihadapi seusai umur bukanlah bererti yang kita terabai dari 'radar' pemantauanNya. Ianya sekadar bertempoh yang tiada seorangpun yang tahu masa dan tempat sesuatu yang pasti terjadi terhadap diri.
Apa yang patut dipanjatkan kepadaNya adalah permohonan doa agar segala sesuatu itu dipermudahkan dan diakhiri dengan hisab yang ringan menuju pengakhiran kehidupan di alam fana ini.
No comments:
Post a Comment