Monday, February 22, 2021

Rise to the Occasion

Sejak terpandangkan wajah anak yang sedang berjalan kedewan peperiksaan pada pagi ini semacam ada rasa bangga dan bertuahnya diri. Segalanya berpunca bilamana 'cikgu' dalam grup 'Parents MRSM2020' membuat laporan semasa ketikanya calon SPM 2020 melangkah masuk kedewan peperiksaan. Tidak aku jangkakan semuanya ini. Sekadar menunjukkan gambar pelajar sahajapun sudah mencukupi sebagai pembuktian. Namun yang membuatkan suka sesangat adalah rakaman video hampir kesemua mereka dipertontonkan. Amat berterimakasih yang tidak terhingga kepada pihak yang berinitiatif melakukannya. Barangkali juga mereka dapat menyelami akan rasa terkilan ibubapa yang tidak berpeluang hadir berjumpa berpunca dari wabak covid-19 yang masih lagi berleluasa kini. Bagi pihak ibubapa pula pasrah seandainya tidak dapat berjumpa sekalipun tapi tetap berhajat untuk mengetahui perkembangan terkinipun sudah memadai. Hasrat hati ini seperti termakbulkan. Bukan setakat gambar tapi siap ada videonya pula.


                                                     SPM 2020 di tahun 2021

Rasa terkilan jugalah sepertimana yang dilaporkan akan kisah pada pagi menduduki peperiksaan, sila rujuk 'Intai anak...' untuk menyelami perasaan seorang ibu.

Tidak berkesempatan berjumpa dek kekangan Covid-19. Manakala arahan tergempar akan kemasukan semula ke asrama pada pagi 09/01 tidak memungkinkan aku menghantarnya. Aku serahkan tanggungjawab ini kepada mamanya. Anak nombor dua bertindak sebagai pemandu dan ditemani oleh anak yang bongsu. Aku tidak berpeluang menyerahkannya kepada MARA pada hari yang ditetapkan. Namun segala keperluan dan bayaran pendaftaran untuk tahun 2021 sehinggalah March nanti telah diurusi.  

Ini adalah norma baru. Kebiasaannya sebelum bermulanya peperiksaan besar, aku akan mengambil cuti panjang. Namun buat kali ini biarpun kebiasaan ini aku laksanakan tapi malangnya aku tidak boleh pula bertemu untuk memberi kata kata rangsangan. Dia dan rakan semaktabnya yang mengambil SPM sessi 2020 telah tidak dibenarkan menerima pelawat waima 'parent' masing masing demi menjaga mereka dari dijangkiti covid-19. Pengawasan ketat oleh pihak Mara amat aku hargai. Tempoh sebulan lebih ini rasanya sudah memadai bagi mereka membuat persiapan akhir. 

Samaada kebetulan atau memang ditakdirkan, pengasingan sedemikian mungkin mampu melonjakkan prestasi mereka untuk fokus kepada peperiksaan. Betapapun gundah gulananya ibubapa mengharapkan pencapaian terbaik tetap juga bergantung kepada kemampuan mereka mengagahi diri menghadapi fasa penting dalam kehidupan mereka. Apa apapun keputusan yang bakal diterima dalam 3 bulan mendatang ini adalah hasil usaha kesungguhan dengan bimbingan barisan cikgu mereka yang terlatih. Perlu mensyukuri atas apa sahaja yang dikurniakanNya. Harapan aku moga dia mencapai kemuncaknya setelah sekian lama sekadar menjadi second fiddle.

Seharusnyalah pasrah atas apapun keputusan yang terzahirkan nanti. Bagi diri aku, takdir Illahi mana mungkin mampu untuk kita menahannya dari berlaku. Perjalanan kehidupan buat dirinya masih jauh lagi sebelum menemui titik akhirannya. Panjang pendeknya hayat kehidupan seseorang hanya Dialah Yang Maha Mengetahui.

Dikesempatan ini, aku berdoa memohon kepadaMu agar dipermudahkan urusan anak yang sedang menduduki peperiksaan besar ini yang penuh berpancaroba sejak permulaan tahun akademik 2020 lagi. Cabaran yang pada pandangan mata kasar seorang ayah begitu menyukarkan serta amat memeritkan untuk diharungi tambahan pula berjauhan dari keluarga. Semoga dirinya tabah menghadapi cabaran hidupnya ini dengan jayanya.

Insya-Allah...ameen.


No comments: