Pada awal minggu ini, W8(15/2 till 21/2), lebih tepat lagi pada Isnin hampir ke tengahhari setelah kedatangan tarikh 02/02 aku mengambil keputusan untuk membuat pengeluaran pertama ditahun 2021 ini. Memang berhasrat untuk mengeluarkan 'dividen' epf sebaik diumumkan pada hujung bulan ini dan akan dikreditkan kedalam akaun pada 01/03. Namun pengeluaran terpaksa diawalkan sebagai persediaan buat kemasukan anak yang bongsu pula kembali ke sekolah pada awal April setelah lama menunggu pengumuman tarikh dari kementerian. Manakala kemasukan segera ke asrama atas arahan MARA pada 09/01 kepada abangnya yang bakal menduduki peperiksaan pentingnya esok(22/02) dan tanpa didugakan perbelanjaan untuk bulan January lalu telah melebihi 'budget'. Nasib baiklah saki baki didalam 5 akaun yang ujud bersebab itu dapat menyerap perbelanjaan sehingga kini.
Selamat dan mudah |
Begitupun ketetapan untuk mengeluarkan dari 'reserve' harus mematuhi pra-syarat yang aku sendiri tetapkan. Aku bukanlah kedekut apatah lagi dikatakan bakhil tapi perlu lebih objektif dalam berbelanja. Al-maklumlah tagline 'simpanan hari tua' yang diwar warkan sekian lamanya oleh pihak kwsp biasanya dianggap sepi sahaja oleh pencarum. Belum melaluinya maka tiada sesiapapun yang menghiraukan saranan sepenting ini. Usia masih aktif bekerja selalunya tidak akan terfikir atau terlalu memikirkan akan masa tua memasing yang pasti akan menjengah sekiranya ajal belum tiba.
Berbeza pula pada diri yang telahpun melepasi usia 55. Terimbau lagi ketika memula mencarum. Tidak terbayangkan caruman yang sekadar tidak sampai RM100.00 sebulan masa memula memasuki alam pekerjaan akan mampukah menyara kehidupan dihari tua aku nantinya. Malah tidak aku jangkakan yang aku akan sampai dan mencecahi usia 55 iaitu usia bersara wajib kepada golongan pekerja disektor swasta. Seingat akulah, ditahun tahun selepas millennium dikhabarkan yang kos sara hidup akan meningkat berganda ganda dari yang diramalkan. Ditunjukkanlah bukti nyata bagi menyokong kajian yang telah dilakukan oleh pihak kwsp dengan kerjasama bijak pandai dalam bidang masing masing diperingkat universiti dan dibawah seliaan kerajaan dalam merangka strategi mengatasi kemelut yang bakal membelenggu golongan pesara swasta. Antara hasil kajian dan hakikat yang benar benar berlaku didalam masyarakat dan diperbesar besarkan untuk ingatan pencarum adalah gambaran jumlah terkumpul caruman masing masing akan habis dalam tempoh 3 ke 5 tahun sahaja dari tarikh pengeluaran jika bakal pesara tiada sumber kewangan lain dalam menampung perbelanjaan diusia bersara mereka. Tambahan pula buat golongan B40 yang rata ratanya kurang berpendidikan lebih lebih lagilah dalam bidang kewangan akan teruk terkesan.
Terkini, suasana dalam ketidaktentuan bahana Covid-19 yang sudahpun menjangkau setahun lebih begitu memeritkan golongan marhaen. Kerajaan yang ada kinipun tidak berapa mesra rakyat lebih memburukkan keadaan. Lambat melihat situasi golongan yang terkesan dengan pelbagai birokrasi menimbulkan keresahan kepada pencarum terkesan dalam mengeluarkan wang di kwsp via i-sinar yang heboh diperkatakan. Kerajaan dari satu sudut dikira tersepit. Mengizinkan pengeluaran tentulah untuk dibelanjakan serta mungkin akan merancakkan ekonomi buat seketika cuma dan dalam masa yang sama tabungan rakyat akan berkurangan dan bakal memberi kesan jangka panjang yang menakutkan kepada kesejahteraan masyarakat.
Aku dikira bernasib baik. Tidak perlu lorat lorat dan menyibukkan diri mengisi borang permohonan i-sinar dalam usaha kerajaan memastikan hanyalah mereka yang benar benar terkesan untuk layak memohon. Tapisan amat penting bagi memastikan ketelusan dan terhindar dari penyalahgunaan oleh pencarum dan semoga tidak tertipu dek 'scammer' yang memasang jerat. Golongan dibawah 55 perlu bersyarat dalam pengeluaran sedangkan aku boleh membuat pengeluaran pada bila bila masa sahaja dan dalam jumlah mengikut permintaan. Paling sedikit RM10 dan sehingga maksimanya iaitu pengeluaran semua dari akaun emas. Lebih memudahkan proses, kita tidak perlu ke pejabat. Di Melaka, paling hampir adalah di MITC kalaulah untuk pengeluaran secara manual. Harus hadir ke kaunter dan perlu tandatangan dan cap jari diborang sebelum wang dikreditkan kedalam akaun dalam tempoh 3 hari berikutnya. Pengeluaran secara atas talian @ online adalah lebih pantas dan tidak memerlukan untuk hadir ke pejabat. Pertama kalinya ini aku melakukan transaksi secara atas talian. Memudahkan. Berhasrat berhajat mengeluarkan cuma sekadar pergi ke website kwsp serta isikan maklumat yang diperlukan dan 'submit' borang secara 'online'. Apa yang pasti, aku membuat permohonan pengeluaran dari rumah sahaja pada Isnin dan berselang sehari sahaja iaitu pada 17/02 telah di-sms-kan ke smartphone akan jumlah yang dikreditkan ke akaun pilihan aku.
Duit kita maka sendirilah yang harus mengurusinya. Namun jika tidak berjimat, duit sebanyak manapun akan habis sekelipan mata. Banyak sudah dilaporkan bagaimana caruman semasa muda bekerja tapi telah ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dihujung usia. Mereka yang 'menangguk diair keroh' ini memang pandai mempengaruhi mangsa menyerahkan hasil bekerja bertahun tahun lamanya. Akan ada balasan setimpal buat mereka yang menganiayai orang sebangsa. Tapi menyalahkan 'scammer' sahajapun tidak adil rasanya. Mungkin sifat tamak dan 'keberkatan' harta terkumpulnya itu ada juga 'sahamnya' dalam kemelut ini.
Moga moga aku mampu mengharungi usia persaraan aku mengikut yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment