Tuesday, February 2, 2021

57 sudah usiaku

Hari ini adalah permulaan hari baru aku. Usiaku kini sudahpun mencecah 57 tahun. Menoleh kebelakang bukanlah satu kesalahan buat diri. Mengenang mengimbau akan perkara yang pernah dilalui dan pastinya amat terkesan pada diri. Malahan segala sesuatu itu pula seharusnyalah membentuk perilaku zahir dan batin disaat ini. Bukanlah merasa bangga mengharungi sehingga ke sempadan usia 57 tapi kecekalan hati serta tabah menghadapi cabaran dengan menepis rintangan yang menghalangi perjalanan kehidupan sehinggalah kedetik mutakhir ini adalah kekuatan built-in.

Ketikanya berdarjah 1


Sejak lahir buat sesiapa juapun pasti akan tidak melupai segala ranjau yang telah dilalui dan terpaksa diatasi. Biar sesukar mana, tekad kecekalan hati tanpa kenal erti putus asa memungkin ‘keajaiban’ dengan izinanNya pasti akan terzahirkan.

Lingkungan kehidupan aku tidaklah gah manapun. Orang biasa tapi punyai cita dan harapan aku sendiri. Lemah pada permulaan kehidupan tidaklah sampai tewas kepada cabaran pertandingan. Aku rela bergerak mengikut kemampuan diri secara bertahap. Selangkah demi selangkah dalam mengukir kejayaan yang cuma diri sendiri sahajalah yang mengerti.

Kalau hendak diturutkan berlebihan akan rasa kecewanya hati kepada setiap kegagalan yang pernah dirasai, mungkin tidak kemana sampainya aku. Bersyukurlah ke hadrat Illahi atas apa sahaja limpahan nikmat dan tahap ujian yang diterima sehingga kini. Biarlah dipandangan orang tiada apa yang boleh dibanggakan dan aku tidak peduli malah sekelumitpun tidak aku hiraukan akan tanggapan mereka. Apa yang lebih aku kisahkan adalah kesanggupan untuk pertingkatkan persediaan bekalan untuk dibawa ‘pulang’.

Adalah suatu hal yang lumrah buat diri akan sering teringatkan kisah yang telah diharungi selama hidup sejak lahir sampai ke hari ini. Banyak rasanya detik yang ingin diimbaukan kembali. Rentetan peristiwa sejak zaman kanak kanak sehingga dewasa memberi impak yang tidak terfikirkan ketika itu. Gabungan segala rencam kehidupan yang mewarnai perjalanan kemudian darinya bagaikan ‘puzzle’ game. Akhir kehidupan nanti akan tersingkap gambaran ‘sebenar’.

Moga aku tabah mengharungi sisa sisa kehidupan ini.

No comments: