Friday, January 1, 2021

Terdorong dek firasat

01 January, 2021 22:41

Hari ini, hari Jumaat, dan merupakan hari pertama untuk tahun masehi 2021. Seminggu sebelumnya adalah pada 25hb December iaitu minggu lalu juga adalah 'public holiday'. Pada petang hari natal itu, kanchil pula meragam ketika haluan pulang kerumah. Kalau ikut shif bertugas, petang 'raya' tu aku seharusnya bekerja petang. Namun disebabkan ada perubahan, Khamis lepas aku bershif pagi. Manakala keesokkan harinya pula dan jumaat lagi, aku bekerja shif petang. 


Aku amat ambil berat berkenaan kereta 'cari makan' aku ini. Pantang ada apa apa aral, semestinya aku akan pastikan yang ianya perlu segera kembali normal. Namun pada petang hari natal itu untuk pulang kerumah, entah macammana bila hendak menghidupkan engine terasa payah pula. Beberapa kali cuba menghidupkan enginenya ianya tidak mahu hidup. Sejak awal pagi lagi ketika hendak bergerak ketempat kerja, menghidupkan engine mulai payah. Setelah beberapa kali cubaan, engine berjaya dihidupkan. Setelah bunyinya macam biasa yang didengari maka akupun memulai pemanduan. Mulanya tiada terasa apa apa keganjilan. Setelah menuruni taman dan memasuki susur ke Taman Merak, tetiba engine mati dan kereta meluncur membelok. Pada ketika itu aku berprasangka baik. Mungkin pedal clutch aku tidak tekan setelah pedal minyak aku lepaskan. Selalu berlaku. Memandangkan dalam keadaan spontan juga aku merasakan yang aku sedang memandu kereta 'auto' walhal aku sedang membawa kereta manual gear. Makanya cepat cepatlah aku menghidupkan kembali engine diketika kanchil membelok perlahan. Sekali pulas sahaja engine kembali hidup. Perasaan lega seketika. Namun ketika menyampaikan ke bonggolan pertama dari susur Jalan Demang Hussin engine sekali lagi mati ketika aku menekan brake/clutch demi memperlahankan kereta untuk melepasinya. Start kemudiannya maka hidup balik enginenya. 


Seawal tadi mungkinlah aku terleka yang aku membawa kereta bergear manual yang mungkin aku anggapi sedang membawa kereta bergear auto. Tetapi pada kali ini memang sahlah kanchil aku ini sedang bermasalah. Bukan sekali tapi beberapa kali dan setiap kali menghampiri bonggolan yang sejumlah 5 bonggolan sepanjang taman merak ini sebelum menyampaikan ke round about dipinggiran taman, engine pasti mati. Pengalaman menghadapi situasi serupa sebelum sebelum ini mengingatkan aku akan puncanya yang baru sebulan diperbaiki yang mana menurut kata pengusaha bengkel yang selalu aku kunjungi berpunca dari masalah 'brake pump'. Ketika itu, aku menyuruhnya mengantikan dengan brake pump yang baru jika itulah punca engine mati tetiba. 'Motokar motokok, Buruk berganti baru', frasa yang sering arwah mak sebutkan bilamana kereta anak anaknya tetiba 'sempot'. Bila sudah berganti, hah...baru puas hati aku.

Boss sendiri yang buat inspection mengesan punca
 

Namun kini isu yang sama berulang. Tentulah tidak salah bagi aku mengandaikan ianya kini turut berpunca dari brake pump juga. Bukanlah pula hendak pertikaikan kemampuan mereka yang sudah bertahun berpengalaman bergelumang dengan kerja kerja baikpulih kenderaan. Kekadang terdetik juga keraguan akan tahap kemahiran. Ataupun mungkin juga hal lain yang menjadi punca walaupun menunjukkan tanda yang hampir sama yakni engine mati setiap kali clutch pedal ditekan. Berteka teki tidak menyelesaikan permasalahan. Harus meminta bantuan 'pakar' datang mengenalpasti akan segala kemungkinan punca. Aku menghubungi dia via whatapps pada 29/12/2020. Pantas dibalasnya seraya memaklumkan yang dia tidak dapat 'handle' segera permasalahan aku ini. Namun dia berjanji akan datang melihatnya esok yakni 30/12/2020. Rujukan screenshots menceritakan.

Mohon bantuan

Berhajat sesangat



Keesokkan harinya, dalam kurang lebih ke 8:30 pagi dia membuat 'hantaran' untuk singgah menengok. Mungkin diketika messagenya masuk aku tiada berdekatan phone. Ke bilik air membasuh telapak tangan yang berminyak dari krim rambut selepas menyisir rambut yang tidak berapa hendak banyak. Ketika dimeja makan, ringtone smartphone berbunyi dan ianya dari En. Mohammad. Cecepat aku menjawab panggilan sambil bergerak ke depan rumah menunggui ketibaannya. Beberapa minit kemudiannya myvi lamanya berwarna 'solid white' membelok kedepan rumah. Isteri barunya yang memandu. Mungkin perancangannya untuk memandu pergi kanchil aku yang bermasalah ini ke bengkelnya di Duyung. Segeralah dia keluar dari myvinya menyuruh aku menghidupkan engine kereta kanchil yang tersadai hampir seminggu dibahu jalan. Penuh yakinnya aku memberitahunya setelah sampai ke rumah pada petang natal itu sehinggalah hari ini tidak pernah pula hendak menghidupkan enjin sambil aku memasuki kereta. Apa yang mengejutkan diri, sebaik memulaskan kunci kereta untuk menghidupkan dan sekali pulas sahaja enjin kereta berjaya aku hidupkan. Tepuk dahi aku terperanjat dibuatnya. Melihatkan aksi spontan aku, dia tergelak besar. Malunya aku sambil tidak putus putus memohon maaf darinya kerana mengambil masa berharganya. Dia respond dengan mengatakan mungkin terdapat ada parts yang longgar ikatannya. 


Aku berjanji padanya yang cuti Selasa nanti akan singgah ke bengkelnya untuk buat inspection serta 'service' sekali. Semasa kereta yang dipandu isterinya bergerak melintas, aku ulangi ucapan maaf atas permintaan aku yang 'hilang' tetiba. Ajaib aku rasakan buat diri yang cetek pengetahuan tentang kereta dan mungkin rasa dipermainkan buat dirinya. Memang memalukan aku saat termulanya adegan itu. Tercegat kehairanan aku memikirkan macammana dan bagaimana engine begitu mudah sekali dihidupkan sambil memerhatikan keretanya berlalu sehinggalah hilang dari pandangan. 


Begitulah hal hidup dan kehidupan. Bukan semua perkara yang kita 'ahli' dan tahu serba serbi. Mungkin kita pandai serta petah berkata menyampaikan ilmu pengetahuan tapi belum tentu lagi kita mahir mengendali memperbetuli. Ada orang cekap dalam bidang pertukangan, bidang automotif memang tidak pernah sentuh. Begitu jugalah buat mereka yang terlalu lama bergelumang dengan perbankan. Hari hari bermain dengan angka dan memegang wang dalam jumlah yang besar merupakan kebiasaan sahaja. Cubalah suruh dia perbetulkan sistem penghawa dingin yang tidak berfungsi. Tanpa apa apa ilmu asas dan situasi makin membahang maka mahu jadi bodo dibuatnya tidak tahu mana hendak memulainya. Maknanya kita memerlukan orang lain dalam mempermudahkan urusan seharian kita. Tidak tahu tidak mengapa tapi perlulah dapatkan mereka yang pakar dalam bidangnya. Mencuba sendiri adalah satu sikap berdikari yang baik andainyalah telah mengetahui selok belok dan ada asas. Namun didalam dunia yang semakin pantas bergerak ini, kemajuan dan kecanggihan ilmu membuatkan seseorang itu makin mengkhusus didalam sesuatu lapangan. Memandang sengkek akan kebolehan kepakaran serta kemampuan orang lain sedangkan diri sendiri tidak ketahui langsung dalam sesuatu pekerjaan akan menyerlahkan 'ego' diri yang tidak bertempat.


Sememangnya kita tidak terkejar untuk mengetahui semua perkara. Namun memadailah sekurang kurangnya dapat mengetahui asas sesuatu perkara yang diluar bidang kita. Rezki kita tidak bersamaan dengan orang lain. Seharusnyalah kita hormati pekerjaan orang lain. Biar nampak senang dan biarpun kelihatan bahaya sesuatu pekerjaan itu tapi perlulah dihargai tugasan yang digalas mereka. Bak kata 'singh' dalam 'Seniman Bujang Lapok', 'Dia punya rezeki dia makanlah, awak punya rezeki awak makanlah....apa salahnya sama sama cari makan.'


Termenong panjang aku mengakhiri coretan ini.


No comments: