Sunday, January 10, 2021

Kebimbangan dalam penantian

Esok, khabarnya akan ada perutusan penting dari PM berkisar keadaan semasa covid-19 yang makin memburuk. Rakyat terutamanya yang berusia adalah paling berisiko. Mudah terjangkiti bersebabkan antibodi tidak berapa kuat menangkis virus ini.

Dan dalam masa yang sama keadaan banjir yang melanda terutamanya di pantai timur menyukarkan lagi kehidupan seharian. Masa bila hendak selamatkan harta benda berharga mereka, fikir mana hendak cari tempat berlindung dan tentu sahaja buntu serta sukar dengan serba serbi kekurangan mahu mengawal penularan virus covid-19 pula.

Sememangnya semua kita amat mengharapkan agar pihak kerajaan semasa perlu mengorak langkah yang lebih proaktif bagi membendung segala kekalutan yang dihadapi kini. Bukanlah hendak pertikaikan kelemahan kerajaan yang bagi setengah orang yang melihatnya dari perspektif politik semata sebagai 'kerajaan pintu belakang lah, tebuk atap lah dan bermajoriti tipis' tapi amat perlu bermaruah mengalas tugas sebagai kerajaan yang seharus sepatutnya.

Keadaan yang bertimpa timpa yang sedang dihadapi oleh kerajaan maka memang perlu melihatnya dari sudut yang positif. Bilamana telah tanpa malu mahu memimpin dan alang alang berada diatas maka memang patutlah melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan. Pedulikanlah apapun kata kata orang. Komitmen membantu menyelesaikan permasalahan umum perlu menjadi agenda utama.

Kekadang kita tidak tahu apa punca sebenarnya yang sekumpulan orang politik ini beriya iya benar mahu mengambilalih pucuk pimpinan. Hanya mereka sahajalah yang terlebih tahu dan maklum. Namun, kalau sekadar masih sama dengan yang 'sebelumnya' akan corak pentadbiran serta pencapaian tanpa adanya tanda tanda penambahbaikan, maka sia sialah sahaja.

Segala yang berlaku kini adalah pembuktian akan berkesankah atau sebaliknya. Berbaloikah tindakan yang mereka ambil atau relakah mengaku telah tersilap langkah.  Bagi rakyat kebanyakan yang tidak punyai apa apa kepentinganpun tentulah hanya sekadar melihat tingkahlaku golongan 'oportunis' bersandiwara. Buat golongan marhain ini, bergelut dengan kehidupan lebih diberi tumpuan.

Kes hari ini

Perinciannya

Kebimbangannya

Apapun, amat diharapkan dan dinanti nantikan akan perutusan PM esok dengan segala perancangan yang memungkinkan perubahan. Kalaupun bukan drastik tapi mampu membendung penularannya. Kemungkinan yang di-projection-kan oleh Dr. Noor Hisham berpandu berdasarkan kajian dan statistik kes bukanlah bermaksud sekadar menghadirkan kebimbangan tapi juga mengingatkan kepada kerajaan khasnya serta orang ramai amnya akan kesan yang lebih dashyat. Merugikan semua orang adalah paling pasti andai peringatan yang diwar warkan dipandang sepi oleh semua kita. Tentunya pengalaman yang semua kita lalui dan rasai bilamana diadakan MCO buat pertama kalinya pada pertengahan March 2020 menjadi ikhtibar dan sememangnya masih terkesan sehingga kini. Banyak tindakan yang sebelum ini tidak pernah kita lakukan dan julung julung kalinya dipraktikkan mengakibatkan hampir segala sesuatu tindak tanduk masyarakat turut terkait dengan virus covid-19.

Semoga akan adanya sinar harapan untuk tahun 2021 ini yang baru menamati hari ke-10 menjelang 12:00 tengahmalam nanti.

No comments: