Tuesday, January 5, 2021

Gadaian perlu ditebus

 04 JANUARY 2021, 10:12

Pagi ini tetiba aku mencoret di Dairo yang ada di Samsung Tab A. Sejak keluar dari bilik air tadi idea untuk mencoret akan hal ini tercetus. Akan ditulis di Acer chromebook. Platform Dairo di Acer adalah yang paling aktif. Saban hari aku akan menulis disana. Kekadang bila banyak masa terluang sampai dua tajuk akan aku menulis. Segalanya bukanlah mengenai orang lain tetapi tentang diri aku sendiri. Bercerita lebih lebih mengenai orang lain buat apa. Adalah lebih sesuai dan lebih afdal untuk aku mengulas mengkoreksi diri. 

Siap berpakaian dan sambil menunggui orang rumah menyiapkan sarapan pagi berupa goreng pisang 'raja abu' dan goreng sukun yang dibeli dalam haluan balik menghadirkan diri kemajlis perkahwinan, aku akan memulai coretan ini. Entah macammana si kuning pula menjengah memasuki bilik dan berbaring diatas Acer. Melingkar dengan aksi tidur yang ditunjukkan. Dari empat ekor kucing 'jantan' yang dipelihara sejak kecil lagi, hanya dialah yang tidak berbulu kembang. Senang kata kucing kampong. Lagi tiga adalah kucing kacukan kucing farsi mungkin. 2 ekor ini adalah anak si Comat yang mama mereka ini adalah kucing kacukan juga. Batch kelahiran kali ke berapa tidak terkira lagi. Aktif beranak dan setiap batch pastinya antara 4 ke 5 ekor. Seekor lagi juga berbulu kembang adalah 'orang datang'. Kesian yang teramat sangat oleh orang rumah dengan terjerit jerit meminta makan dan senantiasa mengunjungi maka telah mengambil keputusan menerima kehadiran bersama anak kucing yang lain ketika itu. Manakala si kuning, asalnya 'orang Bertam Cheng'. Dibawa ke Bukit Katil oleh menantu. Sejarahnya si kuning dan adiknya sihitam kehilangan ibu atau ditinggalkan pergi lepas beranak. Namun hayat sihitam pendek dan tinggallah si kuning sendirian. Mungkin bulunya tidak kembang maka menjadi musuh kepada kucing jantan dikejiranan. Pantang terserempak pasti dia menjadi 'target' utamanya. 

Menjelang tahun baru, dia teruk dikerenyam. Tangan/kaki depan sebelah kiri bengkak dan terhincut hincut berjalan. Malang rasanya menyambut tahun baru. Banyak berehat berbaring didalam rumah. Orang rumah sentiasa membelai mengurut dan menyediakan makanan. Pagi ini si kuning kelihatan agar selesa sedikit berjalan. Namun bila hendak melompat naik ke katil dia agak teragak agak. Mungkin masih tidak berkeyakinan. Terpaksalah aku bantui dia. Melepaklah dia bersebelahan orang rumah yang berbaringan ketika itu. Bila aku menoleh ke meja tulis, dia kini tengah berbaringan di atas Acer aku. Hajat hendak mencoret ditangguhkan. Bila direnungi akan wajahnya, dalam kesan calar dihidung, berbintat bintat kepalanya bila diuruti akibat kesan cakaran bergaduh. Mungkin kena serang hendap sampai tidak tertangkis serangan. Biasanya bila terdengar bunyi kucing 'bergaduh', pastinya anak aku akan segera muncul meleraikan. Rasanya waktu serangan berlaku semua tiada dirumah. Maklumlah anak nombor dua dan nombor tiga dah ada lesen memandu. 

Mengenang nasib



Berbalik kepada isu yang bagi setengah orang tiada kena mengena langsung dan kepada kebanyakan orang yang terperangkap ianya satu hal yang agak penting. Masalah kewangan yang mulai meruncing dan terasa gaya kehidupan kian terjejas maka segala sumber yang dimiliki akan dipergunakan sehabis baik. Tiada siapa menyangka dan tidak pernah terfikirkan yang covid-19 yang pada asalnya dikenali sebagai coronavirus menjelang memasuki tahun 2020. Mereka yang sebaya aku tentunya akan menunggu nunggui akan kedatangan tahun 2020. Heboh sekitar 1980-an dengan 'Wawasan 2020' oleh PM ketika itu dengan kemuncaknya upacara penanaman 'kapsul masa' yang katanya akan dibuka pada 2020 nantinya. Tahun yang dinanti nantikan telahpun berlalu. Siapa sangka, tahun yang sepatutnya membawa seribu erti tentang kemajuan, tentang kemodenan, tentang kearah menjadi negara maju yang didambakan rupanya penuh dengan seribu tanda tanya. Sampaikan tiada siapapun menghiraukan akan 'kapsul masa' yang sepatutnya dikeluar kembali dan dibaca akan pencapaian yang telah dicapai. Hampas. Punah. Lebih mengharukan 'the true colours' pemimpin yang dipilih yang sepatutnya membawa negara kearah peningkatan dalam segala aspeks jelas ditunujukkan tanpa disedari. Pengkhianatan mandat dengan lompat melompat serta saling bertelagah amat memualkan pengundi keseluruhannya. Janji yang beria ia demi kepentingan dan keutamaan rakyat dimungkiri tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah. Malah menyalahkan rakyat yang tidak pandai berikhtiar berusaha memajukan diri. Begitulah bongkaknya cakap cakap mereka yang diberikan kuasa yang bukannya lama cuma sekadar 5 tahun sahaja. Amat berbeza tingkah laku dan tutur bicara bilamana menagih ehsan belas pengundi  sebelum memenangi pilihanraya PRU14 @ 2018. Berbeza antara langit dan bumi. Beradab penuh kesopanan tingkah laku dengan beralas berlapik serta amat merendah tutur bicaranya ketika berkempen dahulu akan tetap diingati dan dikenangi sampai bila bila. Andai mereka yang 'bercabang lidah' ini masih tiada rasa malu serta terhegeh hegeh menawar diri bertanding dalam PRU15 yang diramalkan dalam tahun ini juga maka ketahuilah nasib diri.

Rakyat bawahan amat terpukul dengan perintah kawalan pergerakan @ MCO pada March 2020. Kehidupan seharian tetiba sahaja terhenti. Pendapatan terjejas tapi perbelanjaan harian berjalan seperti biasa. Makan, harus makan. Minum, harus kena minum. Sehari dua, seminggu dua tentulah tiada masalah. Tapi bila ianya berlanjutan berbulan lamanya dengan bergajian harian tentulah keresahan mendatangi diri. Siapapun kalau boleh tidak mahu menjatuhkan maruah diri mengharapkan simpati orang lain. Beusaha berikhtiar mencari rezeki adalah sifat cekal mengharungi dugaan kehidupan. Sepatutnya pihak yang berkenaan turun ke lapangan membantu mereka yang memerlukan. Bukannya menyulitkan lagi keadaan meminta tampil dengan pelbagai birokrasi dalam menghulurkan bantuan. Kesengsaraan orang adalah berbeza. Bagi sikaya, persepsi mereka tentulah menuduh malas berusaha, takut mencuba sesuatu yang baru dan tiada berwawasan. Sedangkan mereka yang kurang bernasib baik ini saban hari bergelut cuba mengatasi segala bagai rintangan hidup.


Kesan covid-19

Selepas raya yang pertama kalinya disambut dengan normal baru, berlitup muka dengan sekadar memekap tapak tangan ke dada sebagai simbolik bersalaman, kelainan yang tentu sekali hilang seri dan meriahnya raya membabitkan semua kita kaya mahupun miskin. Tidak terfikirpun dalam kesuraman raya 2020 yang lalu tetiba menjadi viral akan ramainya umat melayu berbaris panjang di kedai kedai pajak seluruh negara. Video yang disebar luaskan di WhatsApps group dan boleh dicapai di you tube untuk mengulangi menengoknya. Rasanya pemimpin dan mereka yang sebangsa pasti akan terkejut melihatnya atau menganggapnya resam kehidupan dan tiada apa yang harus dirisaukan.  Majoritinya adalah saudara saudara kita. Berat mana mata yang memandang, rasanya berat lagilah bahu yang memikulnya. Hendak membantu, sendiripun terkial kial. Betapa hakikat yang tidak semena mena dizahirkan ini memerlukan seluruhan umat Melayu saling bantu membantu mempertingkatkan ekonomi bangsa. Mengharapkan ehsan orang lain yang pastinya perlukan balasan. Mengungkit mengingatkan pertolongan agar dikenang budi yang dicurahkan menyebabkan maruah bangsa terpelosok dinegara sendiri. Amat menakutkan bila ini terjadi.

Apa yang pasti selepas enam bulan berlalu, towkay yang bermurah hati 'meminjamkan wang' bercagarkan emas yang dimiliki akan menunggui tarikh yang ditetapkan memulangkan kembali wang yang dihulur. Mana yang tidak berkeupayaan akan diikat untuk 6 bulan lamanya lagi. Dalam situasi ini siapa sebenarnya menjadi 'Tuan'. Mereka yang pada awalnya menjangkakan yang wabak penyakit yang melanda ke seluruh dunia ini tidak berpanjangan akan terkesan yang teramat. Ingatkan sudah 'melandai' bak kata Dr. Noor Hisham dan ditabalkan Tan Sri pula atas jasanya oleh Agong sebelum berakhirnya 2020 amat meresahkan golongan marhaen ini. Sudahlah hutang perlu dijelaskan dan terpaksa minta bertangguh lagi dan terpaksa pula bakal menghadapi MCO 2.0 yang khabarnya cara perlaksanaan banyak berbeza.

Berdoalah kita semua agar segala urusan kita dipermudahkan olehNya. Ameen. 

No comments: