Sunday, October 2, 2016

Bermulanya Maal Hijrah 1438H

02 OCTOBER 2016, 07:04

Sekejapan rasanya sudah bermaal-hijrah lagi. Setahun Qamariah adalah hampir 14 hari lebih singkat dari tahun Shamsiah. Lewat dari pendewasaan aku dan setelah mula pandai membaca ketika bersekolah rendah dan juga terbit dari sifat ingin tahu yang seiringan usia membolehkan aku tahu akan sebabnya. Semuanya termula dari peliknya akan sambutan raya puasa ketika berdarjah satu dihujung tahun dan menurun dari bulan ke bulan mengikut tahun masehi sampailah aku didarjah enam. Sedangkan Krismas tetap sama tarikhnya iaitu pada 25 Disember setiap tahun. Tiada pula dicepatkan mahupun dilewatkan harinya menyambut Krismas dikalangan orang Nasrani tapi kita lebih selesa dan membudaya menyebutnya 'Serani'. Tidak pastilah ditempat lain tapi di Melaka ini lebih keraplah ketika kecil-kecil dahulu mendengarkan 'orang Serani' disebut oleh kalangan orang tua-tua. Teringat pula akan arwahnya Imam Yusuf suami kepada bidan kampung 'Missy' Timah Bidan yang menjawat jawatan imam di masjid jamek Pengkalan Renggam, Kandang. Menjadi bahan gelak sesama geng mengaji ketika bebudak dahulu dimana ada ketikanya bila ada event dimasjid, Atok Deraman Keling, guru mengaji kami akan mengarahkan semua ke masjid diwaktu sesi mengaji petang(Maghrib/Isyak). Imam Yusuf menyebut 'Kes-tian' dan bukannya Kristian seperti sepatutnya. Sebutan Kes-tian yang seolah janggal dan pelik sangat bunyinya membuatkan kalangan sesama rakan tersenyum-senyum setiap kali diucapkannya. Sesuatu yang menceriakan suasana kerana dipaksa hadir kemasjid ketika itu. Manakala dikalangan masyarakat Cina tapi bagi orang lama menggelar sebagai orang tionghua dan bagi mereka yang lebih maklum lagi melabelkan mereka , China Tiongkok, menyambut Tahun Baru Cina mereka kalau tidak penghujung Januari mestilah di minggu pertama atau lewat-lewatpun pada awal minggu kedua Februari.




                                           Lagu tema 'Maal Hijrah'

Setahun lalu aku berkesempatan sesama berjemaah maghrib menyambut tahun baru Islam. Berselawat reramai dengan Haji Fendi yang 'lead' event pada petang itu. Ramai yang berpeluang hadir. Mungkin tidak terjangkakan oleh pihak jawatankuasa masjid, kertas cetakan berselawat cuma diedarkan kepada sebahagian makmum yang hadir. Lainnya terpaksa berkongsi. Manakala yang expert dan tidak memerlukan teks, melafazkan sahaja dan kekadang terlajak bunyinya tidak senada dengan yang lain. Aku layan sahajalah. Masa yang kita miliki mungkin ada ketikanya kita tidak berdaya mengurusinya dengan cekap. Peluang keberadaan menyambut kedatangan tahun baru Islam haruslah mensyukurinya. KetentuanNya mengatasi perancangan kita. Pada tahun ini, seperti menyesal pula, aku tidak berkesempatan hadir ke masjid. Walaupun aku bekerja seawal 7:00pagi dan sepatutnya tamat tugas 4:00petang, tapi pukul 5:00petangpun aku belum bergerak pulang. Sejak 2:00petang semalam aku perlu hadir ke mesyuarat mendengar laporan bulanan MD yang disampaikan oleh Mr.Lim, juga ex-store manager Melaka tapi kini ditugaskan di HQ. Dia membentangkan P&L store Melaka bagi bulan Ogos dan menerangkan perkara yang berkaitan melibatkan perancangan sehingga akhir tahun. Apa boleh buat, mungkin aku ditakdirkan tidak berkesempatan bersama pada sambutan tahun 1438H.

Yang mengerakkan aku dan memaksa aku mencoret sesuatu mengenai kedatangan tahun hijrah kali ini adalah bilamana berita yang dilaporkan semalam amat menyentap perasaan. Mungkin aku terlepas pandang atau tidak mengetahuinya langsung akan kejadian yang berlaku pada petang Selasa, 27/09/2016. Tapi tatkala Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang diserah jawatan setelah bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan dipecat penuh kontroversi menyatakan biarlah pihak JPN Melaka membuat 'Domestic Inquiry' kerana belum mendapat laporan penuh katanya. Apapun ketika berita ini ditonton, aku sedang menikmati 'maggi ayam' yang dihidangkan orang rumah dan terlepas bersama berjemaah menyambut kedatangan tahun Hijrah menghilangkan selera makan aku seketika. Patutpun diserahkan kes ini kepada polis kerana ianya berunsur jenayah. Siapapun pastinya tidak akan sedia menyebelahi pelaku walaupun apa alasan yang diberinya. Kes pelajar sekolah dirogol didalam kawasan sekolah oleh pelajar satu sekolah amat dikesali. Kemana hilangnya rasa hati. Semua kita mempunyai anak. Tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Walaupun mungkin sekarang ini tidak melibatkan kita, apakah kita memang yakin perkara sedemikian tidak berulang dimasa mendatang. Sukar dijangkakan. Secara langsung atau tidaknya pastinya terkena tempiasnya juga. Kalau tidak anak sendiri mungkin anak buah atau anak jiran. Kalaupun tidak sekampung atau setaman tidak mustahil juga dari sesama negeri. Kejadian telah berlaku. Di Melaka lagi. Apa yang lebih terpinar melihatnya adalah pelaku dan mangsa adalah sesama bangsa dengan diri. Rasa bersalahpun ada. Sesama Islam yang antara kewajipan sesama adalah menasihati dan membantu sesama menegakkan Sunnahtu Allah dimukabumi ini. Tapi yang ngerinya diketika baru hendak melangkah ke tahun hijrah yang baru ini, kita dicalarkan dengan peristiwa hitam yang tidak sepatutnya terjadi andai kukuhnya ikatan sesama. Saling menegur, menasihati, mengingati dan membantu buat kesejahteraan ummah seluruhnya. Konsep Hijrah yang saban tahun disebarluaskan macam tidak berkesan pula. Mungkin medium yang digunakan tidak berkesan lagi atau jauh ketinggalan atau banyak kepincangan terjadi ditengah-tengah masyarakat yang gagal dihidu oleh sesama dan pemimpin pula sibuk bertelagah sesama untuk mengekalkan kuasa. Bijak pandai dan golongan berilmu pula khayal dengan nikmat dunia hasil dari ilmu yang dimiliki. Bayangkanlah setiap kali ustaz keluar dalam program keagamaan kendalian stesen tv, bukannya sedikit upah yang dapat tapi makan ribu dan tentulah lumayan hasilnya. Maknanya disini, setiap kita berperanan. Pentadbir perlu kuatkuasakan undang-undang tanpa ada elemen pilih kasih. Masyarakat berperanan membuat 'check & balance'. Ibu bapa pula memantapkan sahsiah diri setiap anggota keluarga disamping para guru harus lebih beretika dan bertanggungjawab menyampai mendidik anak-anak bangsa agar menjadi insan yang tahu buruk baiknya setiap perbuatan dalam meniti alam kedewasaan mereka nanti. Ini tidak. Bila ikatan longgar dan masing-masing mengharapkan pihak lain yang seharusnya lebih awal memantau dan saling salah menyalahkan tanpa adanya jalan penyelesaian yang tuntas mengakibatkan berlakunya insiden yang tidak seharusnya berlaku ini. Semua kita harus bermuhasabah diri akan sejauhmanakah kita berperanan ditengah-tengah masyarakat yang nampak seperti tenang dipermukaan tapi sebenarnya bergelora dan bakal meletup mencacamarbakan kehidupan bermasyarakat. Sikap keakuan yang makin menebal harus kita kikis. Menuruti perintah suruhanNya dan dipamerkan oleh Junjungan Besar kita seharusnya menjadi panduan utama.


Setakat menginsafi sahaja tanpa melakukan sesuatu atau sekadar mengharapkan pihak lain yang memulainya tidak kemanalah perginya. Masalah akan kekal dan akan membiak. Berpeluk tubuh mengharapkan keajaiban tanpa mengerakkan apa-apa memperbetuli kesilapan hanyalah memburukkan lagi situasi. Bukankah telah diingatkan menerusi surah Ar-Rad, ayat ke 11, yang sebahagian dari keseluruhan ayatnya, menegaskan:

'Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu sendirilah yang mahu mengubahnya'.

Diperturunkan keseluruhan ayat buat menghayati sepenuhnya akan ayat yang diperkatakan:,

"لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ"
[Ar-Ra'd:11]


Shared via Bayan Quran

Kita, kebanyakkannya tahu dan ada setengahnya dikalangan kita mahir dan cekap membaca Al-Quran. Fasih membaca sahaja masih tidak cukup andai kita tidak memahami akan apa yang dilafazkan. Memahami dan melaksanakan adalah dua perkara yang berbeza tapi amat rapat kaitannya. Andai tidak faham, macammana hendak melaksanakan. Selama ini dan dirasakan kita terlepas pandang akan betapa perlunya pendidikan agama dititikberatkan. Pihak yang sepatutnya berperanan tidak menunjukkan kesungguhan yang seharusnya. Membiarkan persoalan keruntuhan moral dikalangan murid sekolah keatas individu dan institusi keluarga sahaja tidak memadai. Keseluruhan masyarakat serta pihak kerajaan harus lebih proaktif bertindak. Bak kata orang putihpun, 'Its only a tips of an icebergs'. Ibarat 'api dalam sekam' yang akan tetiba sahaja akan marak menyala'. Ketika terjadinya nanti, harap dijauhkan, kita tidak mampu melakukan apa-apa dan amat sukar memperbetulinya semula. Gejala salah laku ini harusnya ditangani sekarang. Tidak boleh berlengah lagi. Tidak sanggup melihat sesuatu yang songsang dalam kehidupan bermasyarakat. Bab keagamaan perlu dipertingkatkan pembelajaran dikalangan generasi kini terutama yang bersekolah. Yang dewasa ada kaedah lain yang lebih berkesan. Tapi golongan pelajarlahyang harus diberi tumpuan bagi mengatasi masalah sosial yang makin memberati.

Hairannya, kita semua didedahkan dengan 'mengaji' al-quran sejak kecil lagi. Mungkin semua dan menjadi norms dikalangan masyarakat melayu memastikan yang anak-anak mereka 'khatam' membaca al-quran. Bila dikatakan khatam, mestilah telah berulang-ulang menyebut setiap perkataan yang terkandung didalam Al-Quran. Banyaklah sebutan sebutan berbaur Arab yang kita tuturkan tapi tidak perasan yang ianya adalah perkataan Arab. Ini bermaksud kita sekadar menyebut sahaja dan tidak benar-benar memahami maksud setiap perkataan yang dilafazkan.

Sebutan , إِنَّ @ inna(transliterasi) sering terjumpa dan dilafazkan. Kita juga sedia akui yang ianya kerap bergandingan, إِنَّ اللَّهَ. Peranan dua kata bergabung ini pula kalau diterjemahkan bermaksud 'Sesungguhnya Allah...'. Ianya adalah kata peringatan dalam konteks ayat tersebut. Kita perlu cekap mengenali peranan setiap perkataan yang membawa maksud tertentu. Gagal memahaminya bererti kita gagal mendapat 'mukjizat' al-quran.  

Di permulaan tahun hijrah 1438H maka perbanyakkanlah amalan kebaikan di bulan Muharram ini seperti diunjurkan agar kita semua diatas jalan yang diredhaiNya.

Rujuki juga amalan-yang-disunatkan-pada-bulan-muharram yang dipermudahkan.

Allah-lah jua yang lebih mengetahui akan sesuatu dan segalanya.

No comments: