Tuesday, October 25, 2016

Pandangan Kosong

Memerhatikan gelagat orang sekeliling dan membandingkan dengan diri sendiri amat sukar rasanya menjangkakan dengan tepat. Kita cuma memandang luarannya sahaja. Apa yang dilakukan oleh seseorang dan diperhatikan oleh orang lain jarang benar bersamaan. Yang memerhati mungkin merasakan sipelaku itu sedang kesulitan. Tapi bagi sipelaku itu sendiri adalah sesuatu yang biasa selalu dilakukan dan memang kerelaan hatinya berbuat seperti terlihatkan. Siapalah kita untuk menghakimi setiap perbuatan.


Gambar Hiasan: Turunkan barang dari lori @ Family Store
Gambar Hiasan lagi: Strap seperti inilah yang memulakan coretan ini


Semasa berhenti singgah membeli D'Rosni Cake Premix(2's x RM8.90) iaitu bancuhan membuat kek cokelat di Family Store, Duyung yang jangkaan awalnya sekadar belasan ringgit tapi tup-tup menyeberang RM50.00, aku terperasankan seorang insan didalam usia pertengahan 60an, seorang peniaga gerai makanan @ asam pedas, sedang menolak trolley penuh merempang-rempuh keluar dari kaunter pembayaran no. 1. Mungkin dalam nilai RM200.00. Banyak barang buat niaganya hari ini. Semasa menolak trolleynya keluar menuju ke kereta,  tetiba dia bongkok mengutip sesuatu. Aku pula yang bagai nepal jaga memantau spontan perilakunya diketika aku menunggui orang rumah beratur di kaunter no. 2. Bert-shirt round-neck lusuh berwarna grey dengan berseluar cargo pant berwarna kuning tanah macam orang muda lagaknya. Rambut kerinting mengerbang melepasi bahu dengan warna putih lebih dominan dari warna hitam yang kelihatan selekeh sahaja penampilannya tapi siapa tahu duit berkepuk disimpannya. Ingatkan duitnya terjatuh. Tapi bukan kerna duit dia menunduk. Rupanya 'strap' plastik dikutipnya. Sambil mengangkat sambil mengelengkan kepala lalu dicampaknya ditempat bebudak nepal melonggokkan segala kotak kosong. Agaknya semasa menolak keluar trolley kekeretanya mungkinlah dia tersandung dek kerana tali pengikat kotak yang melonggar terjatuh ketika pekerja Family Store menurunkan dari lori. Mujur dia memegang palang trolley, kalau tidak mungkin tersungkur jatuh. Suatu hal lagi. Maklumlah diusia 6 'series' apa-apapun boleh berlaku. Banyaklah terlihat,terdengarkan akan orang yang berumur andai jatuh sahaja akan patahlah kaki yang kebanyakkannya tulang temulang mula mereput. Kelihatan segak dan gagah dipandangan merupakan gambaran luaran sahaja tapi bila terkena musibah sahaja segalanya bakal mengejut hilangnya segala yang dimiliki. Tergelincir dibilik air didalam rumah sendiri dan tanpa sesiapapun yang menolak memang kerap didengari. Tak orang tak kitalah. Perkara yang mungkin dipandang remeh boleh sahaja mengakibatkan permasalahan besar kemudiannya. Siapa yang hendak 'nursing' siang malam bila anak-anak sudah bekerjaya dan bekeluarga dan diburukkan lagi bila 'pasangan' telah terlebih dahulu dijemput Ilahi. Agak-agak dengan siapalah hendak diminta pertolongan. Mengharapkanlah simpati anak-anak. Mungkin boleh, mungkin tidak. Kalau berduit banyak tidak mengapalah. Diupah kepada 'private nurse' yang laparkan duit kita sebagai timbal balas. Apa kata kalau tidak berkemampuan. Meloponglah. Simpati dan kasihan masyarakat di-era kini is on stake. Sendiripun terkial-kial inikan pula hendak membantu orang lain. 'Hei... pegi dahhh...' bak kata Ibrahim Din dalam filem Doremi yang turut dibintanginya.

Pandangan mata kasar kita sekadar melihatkan setiap kejadian yang berlaku tapi tidak mampu sebenarnya memahamkan apa yang ingin dimaklumkan olehNya. Ilmu dan kemampuan mencerap yang tidak seberapa yang kita miliki, harus kita sedari, tidak mungkin berjaya mentafsirkan dengan tepat. Rujuklah, lihatlah keadaan semasa kini dan lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang tidak berapa hendak bijak boleh cakap lepas sahaja tidak berlapik. Segala sesuatu adalah ketentuanNya jua. Sanjungan, pujian, ujian, musibah , petaka dan bencana mengikut tafsiran masing-masing adalah gambaran betapa celarunya kita bila ditimpa sesuatu yang dijangkakan apatah lagi yang tetiba sahaja sampainya. Pancaindera yang merupakan 'package' kehidupan yang kita miliki dan bukanlah saja-saja dibekalkan akan ditanyai nanti fungsi dan penggunaannya disana. Kebertanggungjawaban akan setiap hal yang dilakukan keatas kelima-lima pancaindera akan terpikul diatas diri masing-masing. Ingat senang ke. Mungkin ada yang terlepas pandang. Baiklah lima pancaindera yang dimaksudkan adalah mata, telinga, hidung, lidah dan kulit. Orang putih gelarkan sebagai 'The Five Senses' tapi lebih kita kenali sebagai pancaindera atau deria. Untuk recall balik apa yang diketahui masa dizaman persekolahan dulu, kita rujuk pancaindera kita.



                                      Cakap tak berlapik 1


                                     Cakap tak berlapik 2

Setakat bergantung penuh dengan kemampuan pancaindera sahaja dan tanpa dibantu dengan faktor lain yang lebih dominan mungkinlah dapat disamakan dengan kisah sekumpulan orang buta dengan gajah. Lain orang lain tanggapannya berdasarkan apa yang didepannya dan dari sudut mana pula dia berada. Gambaran semua mereka tersasar jauh walaupun memberikan alasan yang nampak macam betul dan sempurna tapi bagi yang melihat 'kebenaran' akan sekadar bersimpati sahajalah dengan mereka yang kurang bernasib baik ini. Teringat lagi aku dimasa zaman bersekolah rendah, kemestian kehadiran ke library dipantau oleh guru. Rekod kehadiran diperiksa. Mana yang culas dan gagal hadir sessi 'berada' di-library perlu menjawab. Siapapun ketika zaman bebudak dulu amat menyampah ke library tapi terpaksa dan harus juga hadir. So, antara cerita-cerita yang masih melekat diingatan termasuklah cerita pasal gajah dengan orang buta ni. Masa itu dalam bentuk buku tapi kini senang sahaja. Ingat keywordnya dan teruslah minta 'Uncle Google' kita carikan. Yang menariknya dan terkini pula dari pembacaan santai via internet adalah 'moral' dari cerita ini yang disimpulkan oleh pakar philosopher Werner Heinsenberg, 

"We have to remember that what we observe is not nature in itself, but nature exposed to our method of questioning" 
Maka benarlah bahawa melihat dengan mata 'kepala' sahaja tentulah tidak mencukupi dan amat perlu pula disertai dengan mata 'hati'. Bagaimanakah caranya. Takkanlah pakai ikut rasa hati sahaja. Makanya, akal yang kita miliki seharusnya digunakan pula untuk menimbang dan memikirkan akan apa-apa yang disampaikan oleh 'pancaindera'. Setelah ditimbang dan difikirkan oleh akal, bergantung pada kemampuan masing-masing, lalu berbuatlah sesuka hatinya mengikut yang disangkanya betul membawa kebahgiaan buatnya. Tapi sayang sekali, dengan akal sahaja tidak cukup untuk membezakan mana yang jadi kebaikan buat diri sendiri dan mana pula yang sangat mungkin merugikan lagi memudaratkan. Kejadian dan hakikat sehari-hari yang dihadapi, diberita dan dikhabarkan akan urusan sendiri apalagi urusan bersama bermasyarakat menunjukkan bahawa akal semata-mata tidak cukup bagi manusia untuk memperolehi kebahagiaan. Seringkalilah pendapat akal kita berbuat perbuatan yang membahagiakan, padahal yang sebenarnya merugikan. Kadangkala juga membahayakan. Ada ketikanya pula kita membenci dan meninggalkan berbuat perbuatan yang dirasakan merugikan dan mencelakakan padahal pula ianya yang seharusnya diperbuat bagi mencapai maksud kebahagiaan. Hati yang berbolak-balik akan kepastian untuk bertindak akan salah betulnya perbuatan yang bakal diambil menunjukkan faktor akal juga tidak berapa membantu.

Pancaindera dan akal perlu dipandu. Andai tidak dipandu akan haru hujungnya. Faktor yang lebih dominan adalah agama. Allah swt Yang Maha Mengetahui, telah 'menurunkan' peraturan kepada manusia buat menjalani kehidupan didunia ini. Bukan sahaja aturan individu bahkan juga aturan bermasyarakat semasa didunia ini dan juga untuk dialam akhirat nantinya. Maka amat perlulah kita yang mahukan kebahagiaan hidup didunia buat diri sendiri dan bersama, harus perbetuli pendapat akal dengan peraturan yang diturunkan tuhan. Sebabnya, hanya Allah swt sahajalah yang lebih tahu tentang segala sesuatu yang menguntungkan atau yang merugikan manusia. Kalau kita menerawang sejenak, bukankah segala macam kejadian bencana dari dulu sehingga kini adalah disebabkan manusia semata-mata yang lebih dan asyik bergantung kepada akalnya sahaja yang selalunya tersilap dari bertepatan. Melihat dengan mata kepala yang disertai dengan pandangan mata hati kepada alam manusia dan masyarakat dengan disaluti oleh ilmu agama yang cukup dan ada setengah dari kita yang walaupun mantap tapi masih tidak cukup untuk manusia mencapai keselamatan dan kebahagiaan. Kita pastinya pernah lihat dan dengar akan ada orang-orang yang berpengetahuan agama yang bersalahan berbuat pekerjaan yang merugikan dan membahayakan diri sendiri mahupun masyarakat. Berbuat sesuatu yang sungguh berlawanan dengan ajaran agama yang telah ada pada diri pastinya akan membuatkan kita bertanya sesama akan apakah lagi yang diperlukan bagi menampung kekurangan. Seolah ada perkara yang lebih penting yang perlu dicari yang hanya semata-mata ada ditangan Allah swt, dan yang akan diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya pula.

Petunjuk tertinggi adalah taufik iaitu petunjuk yang disertai  pemberian kemahuan dan kesanggupan berbuat segala  sesuatu yang membawa kebahagiaan dan keselamatan dunia akhirat. Hal taufik ini terletak pada tangan Allah swt  semata-mata dan tidak ada kekuasaan manusia sedikit juapun. Kitapun pernah membaca akan kisah bagaimana nabi Muhammad saw tidak berjaya mengislamkan bapa saudaranya Abu Talib yang merupakan pelindungnya yang amat dikasihinya.

"إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ"

 [Al-Qasas:56] 
Shared via Bayan Quran

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
(Al-Qasas 28:56) |  | English Translation | Tambah Nota Bookmark


Kita amat-amat perlukan dan hidayah taufik inilah yang kita pohonkan kepada Allah swt supaya kita diberinya bagi menuruti jalan yang benar yang menyampaikan kita kepada keselamatan dan kebahgiaan dunia serta akhirat kelak.

Usaha dan teruslah berusaha kerana kita tidak akan tahu sehinggalah pada hari kita berdepan untuk dihitung segala amalan semasa didunia ini.


No comments: