Sunday, December 31, 2023

Penghujung 2023

Segalanya sememangnya telah diatur. Kita hanya menuruti perjalanan 'hukum' alam.  Kita bukanlah orangnya yang menentukan apa yang perlu dan patut berlaku. Sesungguhnya hari ini adalah yang pertama kalinya dalam sejarah aku bekerja makan gaji berpeluang bekerja sekerat hari. Ternyata jelas dari urutan insiden beberapa hari terdahulu membawa kepada terjadinya apa yang didambakan. Tentunya aku bersyukur kehadrat Illah yang melorong memudahkan akan segala urusan kehidupan aku.

Memangnya tidak aku sangkakan dan tidak pernah terfikirkan akan kemungkinan ini. Aturan dariNya siapakah yang boleh menafikan. Sebelum memasuki bulan Disember, dengan segala cuti bagai sudah aku plotkan agar tiada apa apa perubahan dan mengikut seperti yang aku rencanakan. Namun harapan berkecai. Perlu dipinda beberapa cuti yang tidak mengimbangi 'kekuatan' staf untuk sessi pagi dan petang. Dalam aku selesai membuat perancangan pada minggu terakhir November dalam penyediaan roster untuk bulan Disember, aku ada maklumkan kepada LM agar aku diberikan 'sedikit' keistimewaan dalam penentuan hari bercuti menuju persaraan yang tidak berapa lamanya lagi. Dia pula memaklumkan yang dia akan cuba memberi priority dengan bersyarat. Semuanya bergantung kepada kelulusan dari SM. Aku ucapkan berbanyak terima kasih kepadanya. Ada sedikit sebanyak perubahan dengan kewajaran yang tidak dapat perlu diubah dianjak boleh lagi aku terima. Sebagusnya, makin sedikit adjustment tentulah sudah memadai.

Aku lewat mengetahui akan tarikh sepupu mengahwinkan anaknya yang kedua. Juga tarikh biras menunangkan anak perempuan keduanya. Lewat diketahui. Aku sedia maklum hujung tahun adalah hari dimana memang sukar untuk bercuti. Pelbagai promosi jualan diadakan dan menagih setiap pekerja untuk bertugas. Tentu sekali aku tidak terkecuali. Noktah. Alhamdulillah, bilamana LM menunjukkan draf roster untuk bulan Disember, mata aku segera melihat shift untuk hujung bulan alias hujung tahun. Bershift petang. Spontan difikiran yang aku sempat untuk hadir ke kenduri mereka nanti. Kalaulah ada sanak saudara yang membuat apa apa majlis, sempatlah aku menjengah hadir disebelah paginya. Lega dan tidak perlulah untuk aku menyusahkan rakan sejawatan bertukar shift kerja semata mata untuk turut hadir ke majlis. Tidak punyai apa apa ertipun kepada mereka tapi begitu 'istimewa' kepada diri dalam meraikan majlis yang dianjurkan sekali dalam seumur hidup kerabat. Bukankah bertunang mahupun berkahwin hanya sekali. Hadir merai memeriahkan adalah suatu 'obligasi' menceriakan mereka. Kebanyakan mereka berjarak dalam belasan tahun dari aku. Kebanyakkan yang sudah lama bekerjapun adalah dalam usia 40-an. Bawah 40-an lagi ramailah.

Semua kita pasti akan melalui saat kemanisan memasuki alam perkahwinan. Hadir jemputan tuan rumah adalah menunjukkan yang kita turut sama gembira meraikan kesejahteraan pasangan hidup yang dipilih dan kalau boleh sehingga kepenghujung hayat. Ini harapan kita semua yang hadir. Rasanya tidak terniatpun buat sesiapa jua untuk berfikir yang sebaliknya. Semuga anak kerabat kita berbahagia hidup mereka menjadi penyambung zuriat keturunan bangsa bermaruah di kemudian hari. Budak budak yang berusia rendah masih belum mengerti. Bagi mereka datang kenduri, makan, borak borak bersalaman dan terus balik. Tapi kita nie yang telah meningkat usia, mana boleh bertingkah sedemikian. Kitapun ada anak. Masih bujangan dan akan suatu masanya nanti dan dengan Izinan dariNya akan bekeluarga. Hubungan dalam keluarga dan sesama khariah perlu diperkukuhkan dalam hidup bermaysarakat. Ini hal lumrah. Tapi kesempatan untuk turut sama hadir dalam kalangan kita adalah paling dititik beratkan. Maklumlah komitmen kerja dan 'kemodenan' mengekang untuk sesama senantiasa berhubungan dalam konteks bermasyarakat lebih lebih lagilah setaman.

Tapi semua ini tidak menjadi suatu perkara yang membebankan apatahlah merungsingkan andainyalah kita punyai sikap dan kecenderungan untuk saling berhubungan. Terpulanglah kepada orang. Antara mahu dengan tidak. Kecenderungan untuk menyisihkan diri dari bercampur adalah satu pilihan. Sekiranya merasakan diri mampu untuk bersendirian maka hadaplah implikasinya nanti. Segala apa yang dmahukan dan direncanakan, semuanya didalam pengetahuan Dia juga. Samada mengikut apa yang kita inginkan atau sebaliknya yang terjadi adalah ketentuan DariNya. Berserah dan laksanakan yang terbaik.

Seperkara yang menghairankan dan pada pengetahuan kita sekadar suatu kebetulan apabila apa yang aku hasratkan terhidang didepan mata. Menjadi 'asbab' buat diri memberanikan diri mematerikannya. Kesempatan ini seolah 'meredhai' apa yang aku inginkan. 

Menyampaikan hasrat...

Agar apa yang dihajati...terlaksanakan



Moga tiada perkara buruk yang terjadi.

 

Friday, December 29, 2023

Jumaat terakhir 2023 @ Masjid Tun Ali

Segalanya sememangnya telah dirancang. Aku sendiripun tidak menjangkakan tapi ketentuan dariNya mana mungkin sesiapapun jua boleh menidakkan. Asalnya hari ini, hari Jumaat ini aku bershift petang H1. Ertinya aku perlu lapor kerja pada pukul 7:00 petang. Namun ada terdapat sedikit perubahan semalam. Aku dipinta untuk hadir bertugas pada sebelah pagi pula. Aiman tidak kisah. Pagi ker, petang ker, yang pasti aku cuma perlu bekerja sekerat hari cuma. Mungkin ada perkara yang tidak dapat dielakkan as SKV manager akan buat lawatan ke store dan ketua aku pula bershift sama yakni petang dan LL yang satu lagi yang sepatutnya shift pagi H2 pula dibenarkan bercuti, maka aku-lah yang perlu bertukar shift. Pucuk dicita, ulam mendatang. Andai bekerja petang, sembahyang jumaat tiada bermasalah kerana shift petang bermula pada pukul 3:00 petang. Bilamana diarahkan pula bershift pagi, situasinya agak sedikit 'tight'. Tidak dapat hadir awal ke masjid tapi berkeadaan agak tergesa gesa mendatangi masjid.


Memandangkan sessi pagi H2 berakhir @ 12:45pm, aku cubalah untuk menepatinya. Tapi tatkala hendak bersiap bergerak balik adalah pula anak buah meminta aku 'verify' stock card. Terpaksalah aku ke office terlebih dahulu. Di pejabat pula admin mgr menanyakan task menyerahkan duit kutipan surau kepada sahabat lama yang kurang bernasib baik. Rakan sejawat yang lebih muda dari aku sekitar 4 tahun tapi hadapi ujian hidup yang lebih hebat. Berkencing manis berpotong kaki kanan berparas pangkal lutut dengan mata yang semakin kabur melihat. Terkini dimaklumkan oleh rakan sekerja yang beliau alami mild stroke amat mengejutkan dan tentu sekali bersimpati mendengar berita ini. Aku ambil tanggungjawab akan menghulurkan derma terkumpul sukarela tabung surau kepadanya. Hari belum aku tetapkan tapi akan menghubunginya untuk pertemuan serahan.


Berbincang berborak masa sudahpun ke 1:00 petang. Cecepat on-kan computer. Selesai tugasan, bergegaslah mendapatkan kereta untuk bergerak segera. Melangkah keluar sahaja dari entrance, azan telah kedengaran dari Masjid Syed Shahbuddin, Bukit Baru. Nama mantan TYT Melaka sebelum berganti dengan  bekas MB Pahang apa ker nama yer....Yaakob nama bapanya kalau tidak silap dan terkini Tun Ali, orang Bukit Katil menjawatnya. 


Oooo...1:15pm rupanya...


Sesampai di Masjid Tun Ali, aku terpaksa parkir bersebelahan bergandingan dengan SUV. Mengelak dari di salahkan, aku mencari lokasi yang memudah memungkin tuan punya kenderaan itu agar dapat bergerak keluar sekiranya aku lambat keluar dari masjid nanti. Khutbah tidak berapa nak fokus mendengarnya. Kali ini berhubungkait dengan banjir yang sedang melanda negara. Teks yang tentunyalah cenderung melihat dari aspeks keagamaan dalam meredhai akan ketentuan dariNya dan betapa perlunya untuk semua saling bertolongan.


Tidak sangka pula dalam bersalaman dengan makmum lainnya ketika aku terlihatkan shaf yang kelompongan untuk bersembahyang sunat - Pak Hitam @ Azmi rupanya - X-aeon yang kini berjaya hidup bekerjaya. Kerja yang menjana pendapatan yang 'selesa' tentulah sesuatu yang semua dambakan. Tidak banyak yang dapat dikatakan memandang imam sedang berkhutbah, aku segeralah mengangkat takbir bersembahyang sunat. Hajat hendak bagi dia 'job' deejaying majlis walimatul-urus anak aku tidak dapat aku bualkan ketika itu. Mungkin dikesempatan lain. Sebelum ini, aku ada nyatakan hasrat kepada Hj Ishak yang juga X-aeon, juga berjaya sebagai 'pegawai' insuran dan lakukan pelbagai odds job lain seperti membuat service pengendalian majlis as mc as well as dj. Aku belum maklumkan dengan pasti kepadanya cuma sekadar membayangkan untuk mendapatkan khidmatnya nanti. Risau juga, takut Pak Aji ternanti nanti berharap pula.


Tetiba jadi dilemma pula. Aku sebolehnya tidak mahu menghampakan seseorang. Antara Pak Haji dengan Pak Hitam siapakah yang patut aku pilih. Serba salah bila ada pilihan macam ini. 


Semoga aku diberi 'taufiq dan hidayah' dariNya untuk memilih yang terbaik dan tentulah yang diredhaiNya. Moga moga majlis yang akan aku kendalikan tidak ada aral melintang.

Thursday, December 28, 2023

Dipermudahkan urusan

Kekadang malah mungkin selalunya aku tidak menganggapkan sesuatu perkara itu dan yang tidak dipersulitkan adalah perkara biasa sahaja. Tanggapan sedemikian sering berlaku. Semalam aku memikirkan bagaimana hendak aku maklumi Pn. Hawa, yang merupakan leader aku yang terkini berkuatkuasa October lalu. Memang buntu. Tidak semena mena ketika hari Ahad lalu, sepertimana yang dijanjikannya, dia meminta aku masuk ke office. Aku lengahkan kerana ada customer mahu memohon ACS easy payment berjumlah RM8203.00. Selesai mempersiapkan detailed maklumat yang dikehendaki oleh Aeon Credit, akupun melangkah menuju ke mejanya. Janjinya ketikanya aku mengingatkan yang Januari adalah bulan terakhir aku dan perlu aku habiskan semua AL dan SH yang ada berbaki. Dia pula berjanji akan 'park' cuti mengikut kesesuaian dan tidak 'clash' dengan staf lain.


Dia menunjukkan roster asal dan roster yang ada perubahan selepas menemui store manager. Plan A yang mana dia plotkan cuti panjang aku bermula dari 16/01 sehinggalah ke hujung bulan. Memaklumkan yang SM mahu adanya MOD pada sebelah pagi dan petang. Disebabkan arahan ini, dia telah re-draft roster yang baru. Kali ini, rombakan terpaksa dilakukannya dengan seboleh mungkin tidak mengganggu cuti aku yang telah diplotkannya. Bagi aku, sekilas pandangan pada sheet roster yang baru ini, hendak tidak hendak harus menerima seadanya. Dalam pada itu atas pertimbangan dan kewajaran yang cuba diangkat untuk dipersetujui sedikit sebanyak memudahkan urusan aku. Mulanya untuk hujung tahun 2023, aku dibenarkan shift petang H1walaupun tidak aku pinta asalnya.


Terbanyak sudah, akan tidak kelam kabutnya nanti menghadirkan diri ke majlis walimah al-urus sepupu yang kebetulan pada 31/12. Masa dia datang berkunjungan ke rumah, aku bekerja. Dia dengan orang rumahnya datang menjemput 'makan kenduri' anak lelakinya pula. Ketika aku pulang dari kerja, segeralah orang rumah memaklumkan tarikh majlis. Aku sekadar menjawab, akan hadir, insya-Allah. Seingat akulah, hari penghujung tahun 2023 bersamaan Sabtu, aku bershift petang. Berkemungkinan untuk hadir ziarah tetap ada. 


Kemudian dia terpaksa juga benarkan aku ambil cuti pada New Year kerana tidak dapat hendak elakkan lagi. Hampir kebanyakan weekdays untuk minggu pertama dan kedua terpaksa bekerja sekerat hari. Andai tidak diberi pilihan sebegini maka akan ada cuti yang tidak berambil. Sekali lagi aku ucapkan terima kasih. Mungkin 'nampak' kebetulan tapi lorongan yang di ilhamkan oleh Yang Maha Mengetahui menyebabkan dia memberi pilihan ini. Semasa mengangkut pulang Yusree dari Pasir Gudang pada Jumaat lepas untuk sesi cuti sempena X'mas memaklumkan perlu menghantarnya kembali pada 01/01/2021 yakni on New Year itself. Sepatutnya, dia pulang memandu MBB tapi disebabkan kondisi kereta tidak berapa meyakinkan lalu terpaksalah aku datang menjemputnya. Sempat lagi, sebelum keluar dari Vista Seri Alam, aku menyuruhnya menghidupkan enjin kereta. Bergegar engine siap dengan kuatnya kedengaran bunyi yang agak merisaukan. Kebimbangan untuk 'break-down' semasa di highway akan makin memburukkan keadaan.


Semalam, sekali lagi perkara yang memudahkan urusan terjadi. Ketika aku berehat dan bermalas merebahkan diri dikatil selepas Asar, adalah dalam pukul 5:30 petang, Pn Hawa menalipon memaklumkan aku gantikan BM-nya hari ini(28/12). Scheduled roster untuk Khamis adalah shift pagi H2. Seolah pucuk dicita, ulamlah pula yang datang. Aku bersetuju dan maklum akan arahannya. Urusan hari ini dipermudahkan. Mengikut perancangan, aku perlu bergerak awal pagi ke KKM Ayer Keroh terlebih dahulu menyerahkan sampel kahak untuk dianalisa. Tidaklah kelam kabut jadinya. Seolah terurus teratur perjalanan kehidupan aku hari ini. 


Cuma satu sahaja hal yang sedikit merungsingkan. Sejak malam tadi selepas pulang dari kerja, hampir keseluruhan kertas dan buku yang ada dimeja dan di-drawer kabinet aku selongkar mencari dokumen yang disediakan oleh petugas KKM, Pn Arul, untuk tujuan 'X'ray'. Tidak puas sebelah malam, sebelah pagipun aku terus mencari tapi tidak ketemukan. Aku redha. Mungkin dalam berkemas kemas bilik, dokumen bersaiz A4 tu terbuang rasanya. Aku ingatkan pada diri ketika menghantar sampel kahak nanti akan menemuinya semula agar dikeluarkan satu surat gantian. Kebetulan juga, semalam ketikanya hendak berpergian ke Pengkalan Samak, aku hadir mendapatkan bekalan ubatan aku. Kebetulan juga dia jugalah yang menyerahkan ubatan sambil aku maklumkan yang esok, yakni(hari ini - 28/12) akan serahkan sampel kahak tu. Dia pula mencadangkan agar buat sekali 'X'ray'. Tidak perlulah datang lagi pada Jumaat seperti yang tertulis dalam surat untuk 'X'ray' yang diserahkan kepada aku during last appointment @ 07/11/2023. 


Masalah yang merungsingkan ini dengan sendirinya terungkai. Ohh...what a relief. Ternyata, aku tidak merancangnya tapi ketentuan dariNya membimbing aku mengikuti apa yang telah direncanakan untuk aku. Misteri pada pengetahuan dan jangkauan akal.


Semoga segala urusan aku bukan setakat hari ini bahkan untuk hari hari mendatang agar senantiasa dipermudahkan olehNya. Syukur kepada Mu...Ya Allah.


Wednesday, December 27, 2023

Keanihan yang amat payah dimengertikan penuh pasti

Tengahhari tadi aku berada di Alai. Rumah pusaka yang pernah aku diami telah diupgrade. Keadaan yang 'of course'-lah sudah lama dan sering dinaiki air menyebabkan ianya dibangunkan semula mengikuti citarasa semasa. Lambat sampainya. Selalunya sempat lagi berjamaah Zohor di Raudhatul Jannah. Puncanya lambat pula petugas KKM menyerahkan ubatan sepuluh hari mendatang akibatkan lambatlah juga bergerak ke Pengkalan Samak. Orang rumah sudah resah takut peniaga ikan sudah berkemas menutup gerai jualan mereka. Aku, macam biasalah bertindak 'macho' menenangkan situasi. Insya-Allah, ada 'rezeki'. 

Masjid Khariah aku


Cecepat bergerak balik dan singgah di Alai menyerahkan ikan untuk kakak tunggal aku membuat gulai mengikut selera. Sesampai sahaja, kelihatan sekumpulan itik sedang merehatkan diri dibawah perdu pokok. Panas membahang agaknya. Aku memberhentikan Alza sedekat yang mungkin untuk aku abadikan. Dalam pada aku hendak mengeluarkan smartphone, kelihatan pula 'ibu' itik dengan anak tunggalnya berjalan beriringan. Cepat pula dia menghilang manakala yang lain, yang tengah santai santai tu dapat aku rakamkan. Aku bergerak keluar mencarinya. Orangrumah terhempap hempap berjalan membawa bungkusan ikan dibelakang untuk dimasukkan kedalam 'lemari es' di bangsal.

                                                            Bersantai...kau orang ya.



                                                                    Ibu & Anak



Terserempak dengan ibu dan anak itu bilamana aku intercept pergerakkan mereka berdua. Tercegat terkejut mungkin. Terus aku ambil gambar 'mereka' tanpa minta izin dan sempat juga dalam bentuk video. Apa yang aku ingin perkatakan adalah mengenai perubahan. Itik ini cepat membesar. Dahulu adalah dalam beberapa bulan dalam awal tahun 2023 ini, yang reramai yang tengah santai cuma sekecil anak itik yang aku rakamkan ini. Sekejapan telah membesar. Kini yang baru menetas dan beriringan dengan mamanya, batch yang ketiga atau keempat mungkin. Ada seeokor lagi ibu itik tengah mengeram. Rasanya dalam bulan Januari nanti akan muncul 'pasuk' baru. Cepat membiak. 


Ada beberapa hal yang rasanya tidak perlu dipertikaikan dan telah dianggap perkara biasa pula. Sebagai merenungi keajaiban ciptaan Allah ini, aku cuba dan mulai menhayatinya penuh keinsafan. Pelik memang pelik. Anak itik yang berbulu 'kuning' asalnya pada pandangan mata tapi sedikit demi sedikit beransur menjadi putih bulunya. Kalaulah hendak didalaminya setiap sesuatu yang ada disekeliling kita, mungkin makin benak memikirkan. Semua kita perasan perubahan dari kuning ke putih bila dewasanya.


Dalam dunia ini memang banyak perkara yang tidak mampu untuk kita maklumi dengan tepat. Pemikiran kita terbatas. Malangnya kita senantiasa berbangga dan bongkak mendabik yang kita ketahui hal sesuatu demi untuk pengaruhi orang. Scope pengetahuan dan kemampuan 'otak' manusia tidak mampu mengapai sesuatu yang 'beyond' dari apa yang sekadar dan sepatutnya sahaja. Kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Pelik lagi menghairankan yang mana kita cuma bertaraf 'hamba' ciptaan' dari sang pencipta tapi masih mahu ingkar akan perintah dan larangan.


Apa yang bakal terjadi dihadapan kita mungkin esok, lusa, minggu depan waima setahun ke atau lebih lama dari itu, tentu sekali kita tidak mengetahuinya. Sedangkan apa yang sedang berlaku sekarang inipun dan juga yang terjadi sebelumnya masih sukar untuk dimengertikan tapi ada hati mengaku yang diri adalah terbaik dan pandai dalam serba serbi. Kita lemah sebenarnya. Namun disebabkan 'ego' yang melampau, segala ingatan dan panduan yang tersedia dariNya dianggap sepi membebankan. Berapa ramai dari kita yang mahu merenungi kisah kisah yang terkandung didalam al-quran. Tentang salah laku orang terdahulu dan kesan akibat dari perbuatan mereka itu. Sekiranya kita semua fahami dan insafi akan apa yang telah berlaku itu tentulah kita tidak berbalah sesama. Berbeza pandangan tentunya bersebab. Namun tidak patutlah dijadikan alasan untuk berpecah bagai. Perkara 'pokok' tidak terungkai tapi kita sesama pula yang berbalah bermusuhan.


Tidak perlu pergi jauh untuk mencari sesuatu yang anih lagi pelik. Didalam diri kitapun sukar difikirkan penuh tuntas. Kita takuti tapak kaki akan haus menipis andai tidak berlapik. Lalu kita membeli 'kasut' yang bukan sekadar adanya sahaja tapi sampai sanggup bermewah bermegah. Mereka juga tahu, kalau berjalan tanpa kasut, tapak kaki akan menebal mengeras. Adakah kita punyai masa untuk mengkajinya. Bagi sesetengah kita, hal sepelik ini tidak pernah dihiraukan dan tentu sahaja tidak ambil peduli.


Berbalik kepada sekumpulan itik yang mulai 'terima' hidup bersama manusia ini tentulah tidak berapa terkesan dengan apa yang terjadi dilingkungan. Bagi mereka, makan akan diberi, protection buat mereka ini pastinya terasa lebih 'aman' dari gangguan pemangsa. Terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan semasa walaupun sifat asal mereka menyodok tepian parit mencari makanan tetap diteruskan selagi hayat dikandung badan. Ini fitrah kejadian mereka.


Termanggu sendirian aku akan betapa banyaknya perkara yang tidak mampu untuk diketahui dengan pasti lagi yakin. Insafi diri yang sememangnya lemah.


Tuesday, December 26, 2023

Segera hadir

 26/12/2023 02:46 


Kali ini aku bersegera ke masjid. Tidak mahu bersikap seperti kebiasaan yang dipertunjukkan selama ini. Biarpun agak lewat, semoga perubahan sebegini akan aku kekalkan berterusan memasuki alam persaraan. Sebagai mengabadikan kenangan, hari ini adalah Selasa terakhir untuk tahun 2023. Hari dimana aku bercuti mingguan. Sejak pagi lagi aku telah bangkit bersiap untuk sembahyang Suboh. Manakala untuk zohornya pula, bersiap seperti hendak berjumaat dengan menyapu minyak 'attar' yang diberi oleh sepupu yang pulang umrah. Ingatan kepada diri ini amat aku sanjungi. Dia sudahpun menjejakkan kaki ke tanah suci mekah biarpun sekadar melaksanakan ibadah 'umrah'. Bro, awak bila lagi. Insya-Allah, dengan izinanNya, akan kesana. 


Aku akan sedayanya untuk lakukan yang terbaik pada diri disamping menyesuaikan diri ketika bersara nanti. Hendak tidak hendak maka harus bersedia dan menyantuni apa jua yang mendatang nanti. Semua tidak akan tahu apakah yang menunggu dihadapan. Harapnya agar aku tabah hadapi. Beberapa rakan sejawat yang rapat kerap jugalah membuat statement agar berehat lepas sudah bersara nanti. Tapi bila kerap aku diucapkan sedemikian biarpun intonasi mereka yang berkata itu mungkin ikhlas dan tiadapun punyai maksud tersembunyi tapi bagi diri pula cenderung kepada tafsiran yang berbeza. Dalam santai berbual tu, aku clarify-kan makna 'berehat'. Terlantar kat hospital pun adalah satu situasi berehat juga. Respond terkejut yang spontan tergambarkan oleh mereka membuatkan mereka tidak selesa dan dari lenggok bahasa yang dikeluarkan mencerminkan keikhlasan. Namun aku faham akan keikhlasan mereka yang berkata tu tidak bermaksud yang buruk buruk. Cuma sangkaan aku sahaja.


Betapapun, aku lah yang perlu dan terlebih dahulu akan hadapi masa persaraan. Mereka ada beberapa tahun lagi sebelum memasuki alam persaraan dari makan gaji. Lumrah, setiap yang bermula akan menuju ke penghujungnya. Tiada sesiapa mampu menafikan. Masing masing akan tiba saat dan ketikanya. Berdebar menanti adalah normal. Hakikatnya tiada sesiapapun mampu menjangkakan apa yang akan terjadi didepan. Banyak sudah diketengahkan dalam masyarakat dilingkungan akan perkara yang tidak diingini telah berlaku. Dalam pada sihat sihat berbual boleh terhenti nafas. Tergolek jatuh ketika berucap dan siap berbukti dalam bentuk video. 


Ketika melangkah masuk ke Raudahtul Jannah, azan mulai berkumandang. Selesai azan, segera aku ke shaf kedua bersolat sunat. Macam biasa, selesai berjamaah, bertebaranlah melakukan aktiviti memasing. Kita mungkin tidak perlu tahu kemana mereka hendak pergi. Begitu jugalah mereka, tidak akan mahu bertanya kerana semua kita ada urusan memasing. Berlebih lebih ramah, mungkin ada yang kurang selesa. Makanya aku ambil pilihan untuk berteguran kepada mereka yang bersedia untuk berbual berteguran. Mungkin jugalah aku bukanlah salah seorang 'mosque-goer' yang seasoned. I'm a newbie. Orang baru yang mulai menyesuaikan diri menempuhi alam persaraan.


Apapun aku akan cuba sedayanya untuk kerap hadir kerana komitmen kepada kerja shift akan berakhir jua. Kekerapan untuk hadir bersama berjamaah sepanjang hari agak terbatas. Shift pagi, sampai ke rumahpun selalunya sudah lepas waktu maghrib. Manakala, kalau bershift petang, sampai rumah kerapnya menghampiri 12:00 tengah malam. Malahan lepas pukul 12:00 tu adalah biasa sahaja. Hendak dikatakan rugi sememangnya aku telah rugi banyak. Berjamaah dan di masjid lagi lebih banyak fadhilatnya. Faktor usia yang semakin meningkat dan telah terlalu banyak hal tertinggalkan, rasanya tidak mahu aku terus terusan rugi. Aku akan merebut setiap 'peluang' sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke alam yang semua kita akan sampai jua. Ini pengharapan tapi ketentuan dariNya tidak siapa mampu menduganya.


Masing masing antara kita punyai pandangan berbeza. Namun dalam hal mati dan kematian ini, semua kita harus mengerti dan comform akan hal yang telah diperingatkan disepanjang hayat kita. Khutbah Jumaat yang mana tanpa gagal perlunya setiap lelaki hadir mendengar. Tidak mungkin ada yang terlepas dengar waima sekalipun akan khatib memperingkatkan kepada kematian serta keadaan di alam barzakh. Samada kita ambil initiatif untuk mengetahuinya secara lebih mendalam atau sekadar mempercayainya semata adalah atas pertimbangan memasing. Setiap tindak tanduk yang kita ambil akan dipertanggungjawabkan.

                                                                Doa Husnul Khatimah...

Bagi yang bijak mengatur kehidupannya tentulah mampu menghadapi penuh tenang. Namun bagi mereka yang melewa dan tidak ambil pot dan dapat kita lihat via corak kehidupan yang mereka dan sesama kita lalui. Bergelumang dengan perkara yang kurang elok dan tidak memberi kebaikan amat kita insafi. Hendak menasihati itu perlu dan harus boleh kita lakukan. Namun keinginan diri untuk berubah perlu kuat juga. Mengharap bantuan pertolongan orang tanpa ada rasa mahu berubah akan 'drag' masa yang lebih lama untuk mengapainya. Ditakuti, kudrat yang makin melemah dan kesempatan yang makin berkurangan membuatkan diri menyesal terngadah tidak kesampaian.


Bagi diri, aku mengharapkan agar perjalanan kehidupan aku ini senantiasa didalam peliharaanNya. Sepertimana dihasratkan dan dipanjatkan didalam doa lepas sembahyang yang tidak jemu jemu kita lafazkan iaitu agar pengakhiran kehidupan adalah dalam 'husnul-khatima' dan bukannya 'su'ul-khatima'.




Monday, December 25, 2023

Menghitung hari

Dirasakan yang pergerakan masa makin cepat. Namun diketika yang sama aku mengharapkan agar ianya seperlahan yang mungkin. Bukanlah pula aku cuba melawan hukum alam tapi adalah sesuatu yang lumrah dan  berkemungkinan juga pada setiap insan mengharapkan apa yang dirinya miliki dan sebolehnya untuk kekal selama yang mungkin. Namun begitu, hakikat alam adalah sebaliknya. Setiap sesuatu itu akan beredar mengikut aturan. Jalannya searah. Mungkin suatu kelebihan andailah seseorang itu dapat menikmati apa jua yang dikurniakan khusus kepada dirinya adalah lebih lama berbanding dengan mereka yang tidak bernasib baik. 


Hal ini perlu direnungkan sedalam yang boleh. Perlulah kita menginsafi diri dan redha atas setiap ketentuan dariNya. Jauh sekalilah untuk merintih akan kekurangan jika diperbandingkan dengan mereka yang 'zahir' kelihatan mewah segalanya mengatasi diri. Bagi mereka yang maklum, apa sahaja yang berlaku menimpa diri adalah 'ujian' dariNya. Perspektif yang berbeza antara sesama kita akan 'kits' panduan hidup kat dunia sejak 1400 tahun yang lalu akan mendatangkan tindakan serta tingkahlaku yang ketara berbeza. Kesemua ini akan mengakibatkan dinamiknya kehidupan yang perlu ditempuhi selagi hayat dikandung badan.


Paling jelas dan punyai pengertian yang jauh dari mengapainya dengan tepat lagi pasti walaupun ianya perkara biasa sahaja adalah akan pemilikan gigi. Ketika memasuki highway ke JB pada awal tahun lagi, aku tersenyum sendirian melihatkan satu billboard dengan statement 'Ceria tanpa gigi' dengan gambar seorang 'veteran' tersengih berposing diatas motor besar. Sebelum ini banyak kedapatan tapi kali ini aku cuma menyaksikan hanya tinggal sebuah sahaja. Banyak sebabnya tu. Apa yang pasti jika bergigi normal, makanlah apa sahaja pasti tidak mendatangkan masalah. Rasa nikmat hanyalah diri sendirilah yang mampu membandingkan. Tatkala ketiadaan gigi, bagi yang telah mengalaminya, tentulah sedikit berbeza. Bohonglah andai dikatakan makan menggunakan gigi palsu adalah lebih enak. 


Melihat kedalam diri, dengan hanya tinggal sebulan sahaja lagi untuk aku kerja makan gaji, terasa gerun pun ada. Kita sebenarnya tidak ketahuan akan apakah 'package' yang menanti buat diri. Samada ianya mengembirakan mahupun akan berdukacita adalah 'kejutan'. Tentu sekali aku mengharapkan yang baik baik akan terjadi khusus kepadaku.


Allah swt adalah Maha Adil dan Maha Mengetahui akan perjalanan hidup setiap insan. Segalanya sudah diatur dengan sempurna. Namun, kita sahaja yang tidak ketahuinya dengan jelas nyata. Apapun senantiasa berharap agar aku diberi kelapangan dan juga agar dpermudahkan segala urusan. Ameen.

Wednesday, December 20, 2023

Mampukah menolak...kenyataan

 21 DECEMBER 2023, 12:27


Mampukah menolak...kenyataan


Seminggu ini heboh diperkatakan orang akan 'gelagat' seorang anggota keselamatan yang melanggar maut seorang budak sekolah yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Bukti penyaksian oleh orangramai yang kebetulan berada ditempat kejadian serta rakaman oleh mereka yang terdetik mahu merakamkan kejadian tersebut. Apapun terimakasih keatas 'keujudan' gadget 'smartphone' yang mudah menangkap gambar serta video impromtu. Sebab musabab sehinggalah terjadinya insiden yang meruntun perasaan lebih lebih lagilah kepada keluarga si-arwah boleh dicapai dengan mudah. Klik sahajalah pautan untuk membaca dan saksikan video yang banyak beredar di alam maya untuk menilainya sendiri.


Ini yang dilaporkan...-maut-dilanggar-pelaku- ...dan terpulanglah untuk memahamkan mengikut pandangan sendiri.


Hakikatnya, benda sudah terjadi. Hendak menafikan adalah an uphill battle. Tidak mungkin akan menang dan akan menjadi sesuatu yang menghairankan kepada seluruh rakyat andailah, ya ini andailah, si pelaku terlepas dari tuduhan membunuh. Sukar menidakkan hakikat nyata ini dan berdepan dengan penyaksian orang ramai ditempat kejadian. 


Hal malang dan kemalangan bukanlah kita yang mahu ianya berlaku. Tetapi apabila ianya hadir, maka semua kita perlu akur akan ketetapan Illahi ini. Bukan kita yang menentukan tapi kehendak Allah swt yang merencanakan sesuatu untuk berlaku. Bila ianya berlaku, maka akan terserlah segala kepincangan yang selama ini kemas tertutup rapi. Bila tiba ketikanya Allah mahu menyingkap maka tiada sesiapapun yang mampu menolak menafikan.


Dek, mungkin telah terlalu kerap terlepas, panas baran yang diperakui sendiri oleh sang isteri dan tibalah masanya untuk dirinya terngadah memikirkan keterlanjuran perbuatan. Memang seperti mahu dipersaksikan kepada semua insan akan sejauh dan setakat manakah yang dia mampu dan sanggup menafikan perbuatan yang dilakukannya. Pembohongan pertama akan membawa kepada pembohongan seterusnya hingga akhirnya akan terserlah tanpa disedari akan salahlakunya itu. Kewajaran apakah yang boleh digunapakai dalam atasi kemelut diri. Tengokkan sahaja. 


Setahu akulah, menjadi kebiasaan, bilamana sudah membuat sesuatu yang bersalahan maka tidak dapat tidak akan cuba mempertahankan tindakan yang telah diambil demi membuktikan yang dirinya dipihak yang benar. Caranya dengan menjustifikasi tindakan yang diambil itu adalah bersebab. Samada akan ada orang percayai mahupun tidak, keyakinan yang disogok dipertontonkan sehinggalah ketahap mempengaruhi orang lain untuk turut memperakuinya akan dipegang dipertahankannya. Walaupun pada pandangan orang awam dan majoritinya memihak kepada si-mangsa adalah sebaliknya iaitu bertentangan dengan apa yang dijaja oleh si-pelaku. Senang cakap lawan arus.


Teringat lagi aku akan press conference yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) yang baru, Datuk Seri Mohd Shuhaily, berucap bersulam dengan bahasa inggeris lagi, akan sedayanya membanteras segala kepincangan dalam kalangan anggota bawahannya. Pertegaskan rasuah bukanlah budaya yang perlu senantiasa menjadi 'stigma' kepada anggota polis.


Siapa sangka dan tidak siapapun menduga yang kes terkini ini akan menjadi 'precedented case'. Semasa berucapnya dulu selepas dinaikkan pangkat rasanya bulan September dan sekarang ini pertengahan Disember berlakunya hal yang tidak terfikirkan boleh terjadi. Insiden yang tidak terjangkakan ini barang tentu akan mencabar kewibawaannya dan menjadi perhatian orang. 

                                                    Berkobar Dato' Shuhaily berucap.

Dan ini pula laporan bertulis oleh pihak media yang hadir pada sidangnya...-beri-amaran-polis-henti-bersekongkol-dengan-sindiket/

                                                    Hakikatnya...


                                        

Apakah kesudahannya. Kita tiada jawaban pasti. Hanyalah mereka yang dipertanggungjawabkan dalam menjunjung kedaulatan undang undang untuk membuktikan setiap yang diikrarkan masa memegang jawatan dahulu. Kita sandarkan kepada mereka ini yang diberi amanah untuk menjalankan tugas dengan betul penuh berhemah. Tanpa perlu takut pada ugutan serta amaran agar segala undang undang yang termaktub tidak diperlekehkan oleh mereka yang diberi tanggungjawab dan amanah kepada negara.