Wednesday, September 29, 2021

Pandangan yang membanggakan

 29 SEPTEMBER 2021, 21:46


Pandangan yang membanggakan


Semalam, masih dalam bercuti ehsan dek 'closed contact' dengan staff yang positive, aku mengajak orang rumah minum pagi diluar. Walhal, pada Isnin sebaik selesai ke pasar dan seperti sebelum sebelumnya, kami singgah di Rashid Corner untuk pekena 'lontong' seorang semangkuk. Memang lama sudah tidak dibenarkan untuk dine-in gara gara pandemik Covid-19. Rasanya syarat dan s.o.p. mulai dilonggarkan sekitar pertengahan bulan. Mungkin disebabkan kelohan peniaga peniaga kecil terutamanya peniaga makanan yang telah tidak tertahan lagi akan bahana yang datang bersamanya agar boleh bernafas kembali atau mungkin terus gulung tikar jika tidak diendahkan. Namun pada awal pengumuman, ramai yang masih ragu ragu untuk keluar dan tentunya gusar disapa musuh yang tidak nampak ini. Tapi bagi aku pula, inilah masanya untuk membantu sekadar termampu merancakkan ekonomi orang sebangsa.

Terpandangkan...

Agar lebih jelas kelihatan


Setibanya di Duyung dan memarkir dibahu jalan, orang rumah dah bertanya, hendak roti banjir ke roti telor. Cepat aku membalas -- roti telor. Dia sudah menonong berjalan sambil aku mulai mengenakan 'face-mask' dan mematikan enjin kereta lalu mengekori dari kejauhan. Belum sempat aku berbuat sesuatu, Kamarudin tokay roti canai lebih dahulu membuat opening remarks, 'assalamu alaikum'. Agaknya dia sudah perhatikan ketibaan aku dan entah dari sudut mana dia tetiba memunculkan diri. Berboraklah seketika disebabkan agak lama jugalah tidak hadir ke kiosknya. Saban minggu jugalah orang rumah menyuruh anaknya ke warung dia berjualan membeli bungkus untuk sarapan keluarga. Bila daftar masuk ke dalam warung, orang rumah maklumkan 'no' roti canai. Aku sudah tepuk dahi. Pantas pula si Din memaklumkan tetiba sahaja ada orang tempah roti canai 60 keping sambil menunjukkan susunan bungkusan diatas meja menanti tuannya. Tidak terucapkan, 'rasa macam dah dalam tekak nie' tertahan tapi aku zahirkan, 'alhamdulillah Din , rezki awak hari ini. Menu pilihan spontan bertukar ke mee rebus/kari Pak Thahir pula. Ketika menduduki salah satu meja yang semuanya ada 'spot' pangkah, aku memerhatikan suasana sekitaran. Rata rata berdua semeja samada pasangan veteran atau sesama rakan. Aura kemeriahan yang pernah dirasai dahulu semacam telah hilang. Keriuhan dan gelak ketawa hampir tidak kedengaran. Bersarapan sesama sekeluarga dengan anak kecil didukung berpangku langsung tidak kelihatan. Tidak ramai yang berkunjungan. Kalau adapun mungkin 'gian' sebab sudah lama sangat tidak makan dikedai dan cecuba hendak mengamit kembali suasana makan berhidang tidaklah terkurung dirumah.

Bukti kehadiran


Hampir selesai menikmati mee kari, dikejauhan aku terpandangkan ayah yang menurunkan anak perempuannya dari Proton putih X70. Anaknya dalam lingkungan umur 5 ke 6 tahun rasanya. Jelas diperhatikan lelaki dalam usia awal 30an atau mungkin juga penghujung 20an memimpin anak perempuannya itu menyeberangi jalan utama ke Taman Seri Duyung mungkin untuk membeli juadah sarapan dari gerai yang berjualan pelbagai juadah. Menyelinap deras masuk ke dalam hati akan bangganya hati melihatkan orang yang muda sebegini dengan anak yang masih dibawah sepuluh tahun ini berjaya mampu memiliki sebuah SUV. Rasa iri pula bila membandingkan dengan diri. Walaupun hampir ke usia bersara 'extended' sekitar 2 tahun lagi, idaman yang mahu digapai rupanya insan yang lebih muda dari diri telahpun memandunya. Boleh sahaja untuk aku ke showroom proton yang cuma kurang dari sekilo dari kediaman aku. Namun aku harus rasional dan harus hadapi realiti. Apapun aku amat amat 'respect' akan keluarga muda ini berkemampuan memilikinya.


Bagaimana dan macammana dia boleh membelinya tidak perlulah aku pertikaikan. Segalanya bergantung kepada usaha dan initiatif memasing dalam memenuhi impian. Perlu rasanya bersangka baik sesama. Aku memang terpukul dengan apa yang dilihat. Namun sepuas manapun aku menikmati sarapan pagi ini, pastinya aku amat berpuas hati dengan kejayaan anak melayu yang mampu memandu X70. Bukan setakat status symbol tapi menghantar isyarat jelas kepada semua orang melayu untuk lebih bersemangat dan berdaya juang yang tinggi untuk sama sama serta berterusan memertabatkan kembali maruah bangsa agar kembali ke kedudukan yang seharusnya. Konotasi 'Tanah Melayu' punyai azimat yang begitu kuat dalam mengembalikan kehebatan orang melayu zaman silam agar berkesinambungan.


Pandemik covid-19 ini telah membuka segala kekurangan, kepincangan, kelemahan, kealpaan dan kesilapan tanpa disedari. Hanya mereka yang tahu sahaja mampu mengerti akan pengkhianatan orang sebangsa yang berjawatan dan berkuasa dengan penindasan yang telah dan sedang dilakukan, juga buruk laku serta penipuan yang tersingkap nyata atas ketamakan kepada harta dan pangkat dan pelbagai seribu perkara yang kekadang tidak tersangkakan tapi sanggup pula dilakukan oleh mereka yang tidak berhati perut ini dalam memuaskan nafsu serakah mereka. Prinsip amalan hidup mereka, 'endau dalam belukar...' serta tidak mempedulikan nasib orang sebangsa amat mengecewakan. 


Aku berharap agar orang kita semuanya bangkit. Kita abaikanlah mereka yang membuat khianat ini. Mengesali akan perbuatan jahat mereka yang terjebak ini tidak memungkinkan suasana kembali ke asalnya. Biarkan pihak yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk mengadili mereka. Kita dibarisan yang belum dicemari dan masih berpegang kepada halal haram beragama harus sesama bergandingan mara menghadapi dan memperbetuli segala kepincangan yang telah dilakukan oleh orang sebangsa yang ketamakan dan haloba kepada perhiasan dunia.


Insya-Allah, moga urusan kita dipermudahkan.

Thursday, September 23, 2021

Wireless keyboard baru sedang digunapakai..

11 SEPTEMBER 2021, 21:21

Wireless keyboard baru sedang digunapakai

Keyboard 5.0 adalah default name kepada bluetooth keyboard yang aku terima hari ini. Lebih tepat lagi oleh anak aku, Yaseer dalam kurang lebih ke pukul 10:00 pagi tadi. Mungkin akan aku beri nama baru untuknya. Kehadiran pada 11 September amat tidak aku jangkakan sama sekali walaupun sejak semalam dan awal pagi ini sebelum berangkat ke tempat kerja, bertalu aku hamburkan rasa ketidaksabaran aku akan bilakah jangkaan sampainya produk yang aku hajati sesangat. Walaupun produk ini asal datangnya dari China tapi sellernya adalah di Selangor. Jangkaan aku, tidak perlu masa lebih dari seminggu untuk sampai kepada pembeli dan sekiranya logistik sellernya cekap mungkin mengambil masa sehari ke dua hari sahaja.

Keyboard 5.0

Keyboard 3.0 V38



Apapun terbaiklah. Penyegeraan penyerahan barangan pesanan amat dialu alukan. Risau juga bilamana duit yang telah dipindahkan ke akaun penjual via 7Eleven ditaman perumahan yang didiami ini yang tentunya telah selamat diterima tapi barangan lambat pula sampainya. Pastinya akan lebih mengharukan bilamana sudahlah dilengah lengahkan, dan amat ditakuti ianya tidak sampai langsung.

Feel menggunakannya terasa agak berlainan dengan yang pertama kalinya aku beli juga dari china pada 2019. Kemasan silver pada permukaan tapi keyboard key-nya agak terjojol dan agak kasar buatannya sudah memadai ketika itu. Bluetooth dan banyak function yang boleh diselaraskan dengan tablet. Misalnya fungsi cut & paste, kawalan volume juga print screen as same as keyboard biasa. Lebih menarik lagi amat mudah pula untuk convert dari romanised ke arabic within split second sahaja. Teruja dan semakin obsess dengan bluetooth keyboard bersaiz besar sebegini memungkinkan aku lebih kerap melayan coretan coretan santai aku dengannya. Tapi perubahan masa dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat, kini kedapatan pelbagai bluetooth keyboard dipasaran. Malahan semakin dekat pula yang mana kerap diperagakan di platform online shoppe, lazada, e-bay dan lainnya. Minat dan terpikat pula dengan keyboard default yang namanya 5.0. Buatan dan kemasan yang semakin baik dan design yang lebih menarik secara semulajadinya menarik perhatian aku. Maka tidak berfikir panjang lagilah, aku terus menyuruh anak bongsu aku membuat pesanan setelah menunjukkinya model yang aku paling berkenan. Sikap manusia beginilah. Telah memiliki namun mahukan yang lebih canggih. Ditambahi pula dengan harganya yang 2 kali lebih murah dari yang terdahulu iaitu 'Bluetooth Keyboard 3..0 V38 which being flown from China.

Pilihan yang diberikan samada keyboard + mouse atau sekadar keyboard sahaja. Memandangkan tablet sudahpun touch screen maka keperluan yang paling sesuai adalah bluetooth keyboard sahaja. Namun tidak seperti yang pertama, set yang diterima ini tanpa keyboard cover. Kerap aku bogelkan yang lama dan covernya digunapaki pula oleh Keyboard 5.0. Walaupun begitu, kedua duanya aku sukai. Bukan disebabkan aku mengeluarkan wang membelinya tapi both ada kelebihan masing masing. Makanya keraplah aku selang selikan penggunaan antara keduanya. Bila rasa hendak gunakan yang baru, capai sahaja. Namun bila nostalgiakan yang lama yang sedikit 'timbul' key-nya, maka tanpa ada yang melarang, terus sahajalah menggunakannya. Teknologi andai bukan kita yang mahu menggunakan, rasanya akan lembablah peralihan ke next level. Keterlibatan masyarakat keseluruhan pastinyalah akan membantu mempercepatkan penghasilan teknologi yang mungkin lebih memanfaati masyarakat keseluruhannnya didalam banyak bidang kehidupan. 

Apa yang pasti, aku boleh berkarya dimana mana. Ianya amat memudahkan cuma kena pastikan yang powernya senantiasa 'full' bila menugaskannya bekerja diluar.

Tuesday, August 31, 2021

Menjelang merdekanya malaysia kali ke 64

30 AUGUST 2021, 18:29

Menjelang merdekanya Malaysia kali ke 64

Kalutnya makin menjadi jadi dikala kita kini berada diambang kemerdekaan. Malah hari ini macam tidak menyempat yempat pula telah dilangsungkan istiadat mengangkat sumpah jawatan kabinet baru parlimen Malaysia buat ketiga kalinya selepas kemenangan penuh sejarah dan mungkin boleh jugalah dikatakan kejutan kepada parti yang sekian lamanya menjadi kerajaan sejak pertama kali merdeka. Segala yang berlaku sehinggalah berubahnya tampok pemerintahan adalah disebabkan oleh gelagat mereka yang disandarkan kepercayaan tetapi sanggup pula mengkhianati bangsanya sendiri demi menikmati kesenangan hidup yang bukannyapun kekal selamanya. Entahlah apa yang dimahukan oleh mereka yang berhati kering ini. 

Begitupun perjalanan hidup memasing harus diteruskan walau apapun yang terjadi. Pemimpin yang tidak tahu dan tidak pandai memimpin hanyalah memeningkan kepala sahaja untuk difikirkan. Kita punyai misi kita sendiri. Manfaatkan kehidupan yang sementara sifatnya ini didunia kearah yang lebih baik dan kondusif. Tidak berbaloi membazir masa pertikaikan akan kepincangan yang telah mereka lakukan. Tiadanya perasaan malu apatah lagi perasaan 'rasa bersalah' malah penuh sombong melaungkan sekian lamanya serta mendabik dada yang mereka sahajalah pemimpin yang membela agama, bangsa dan negara. Apa yang terjadi dan yang sudah terjadi adalah balikan dan cerminan tindak tanduk yang mengusarkan golongan masyarakatnya sendiri. Sepatutnya setelah begitu lamanya kemerdekaan digapai kembali, perubahan kehidupan seluruhan umat melayu makin berubah kepada yang lebih baik berkualiti. Namun hakikat yang terlihatkan adalah sesuatu yang menguris perasaan serta memilukan hati.

Aku bukanlah bermaksud ingin menunjuk pandai apatah lagi memandai mandai tapi tidakkah mereka ketahui akan berapa lamakah seseorang itu boleh menongkat dunia. Paling lamapun mungkin 100 tahun usia yang dipinjamkan. Namun pada tahap usia sedemikian norma kehidupan seharian pastinya berbeza andai dibandingkan ketika berusia dalam lingkungan mulai dewasanya dahulu. Makan dan minum sekadar ada sahaja dan mungkin juga perlu dibantui orang. Makan bersuap, minumpun kalau uzur sudah mungkin disudukan pula. Berbezakan ketika diusia mudanya dahulu. Hendak makan apa sahaja pun boleh, tiada berpantang. Hendak berpergian kemana sahaja tiada yang melarang dan terhalang dek kuat teguhnya kudrat dan mewah berwang. Menikmati kehidupan to the fullest ever, tiada masalah. Tapi sesuaikanlah dengan kemampuan dan harus perlu pula mengikuti lunas lunas yang dibenarkan. 

Pandemik Covid-19 yang sekarang ini semua kita alami dan lalui kini secara tidak langsungnya menyerlahkan sisi buruk dalam segala aspeks kehidupan. Samada bernegara, berniaga, bersosial dan bermasyarakat dan apa bidang lainpun yang kalau diperhatikan secara luaran apatah lagi jika diteliti lebih mendalam akan pastinya ketara sesangat kerosakan yang dilakukan oleh orang yang diberikan amanah untuk mengurus tadbirnya tapi sanggup mengkhianatinya pula.

Sikap dan tindak tanduk yang jauh terpesong sebagai orang yang menganut Islam dan kononnya bangsa Melayu yang penuh kesantunan bertata susila dalam kehidupan amat mengecewakan. Itulah bila niat memimpin bercanggahan dan mudah gelap mata dengan kuasa yang dipinjamkan sehingga sanggup berbuat wewenangnya. Tahap kepedulian kepada kaum sebangsa yang begitu rendah dan tidak menghiraukan langsung malah beria ia mengayakan diri sendiri, kaum kerabat dan mereka yang dilingkungannya sahaja. Islam dan Melayu punyai pertalian yang rapat. Semua yang mengaku islam adalah melayu dan mereka yang berbangsa melayu adalah islam. Yang membezakan adalah ketaatan dan ketakwaan. Mahu dicarutkan bila digelar kafir malah mungkin diajaknya bergaduh bila digelar sebegini. Namun hakikatnya kehidupan harian lebih mirip kebaratan dari menjalani kehidupan keislaman. Siapakah yang harus dipersalahkan. 

Sejujurnya semua kita harus bermuhasabah diri. Apakah sebenarnya yang kita cari diatas dunia yang sedia maklum fana ini. Aku merayu dan berharap sesangat yang semua kita andai diizinkan olehNya, kembalilah berpegang kepada tali Allah swt dan menjadi penganut agama Islam. 

Moga dimakbulkan olehNya...ameen.


Sunday, August 8, 2021

Rambutan budak sekolah

 04 AUGUST 2021, 22:10


Rambutan budak sekolah


Seminggu dua ini bila sahaja aku klik facebook, kerap terpandangankan video yang di-post oleh anak perempuannya yang berjualan digerai bahu jalan. Tersentuh pula hati ini tatkala dia meminta viewer untuk 'support' perniagaan bapanya itu. Aku mungkin salah seorang yang mudah terguris perasaan. Namun andai usahanya itu sekadar menagih simpati tapi tidak punyai etika dalam berniaga memanglah menjadi kepantangan aku. Pastinya kaedah 'pemasaran' yang sedemikian amat bahaya. Bahayanya bilamana 'perasaan' orang awam dipermainkan dan tentu sekali kesan buruk yang mungkin berpanjangan akan terpalit. Maka amat penting dan harus menjagai mutu barangan jualan agar senantiasa berkualiti. 


Aku memuji usahanya membantu orang tua berniaga. Kaedah penggunaan media sosial 'facebook' adalah medium pantas memaklumkan malah kos pengiklanan pun tidak seberapa. Cumanya, perlu lebih kreatif dalam usaha menarik perhatian facebooker. Sekiranya menjadi, viewernya mungkin lebih tinggi dari pengiklanan via medium yang sedia ada iaitu media massa. 


Setiap kali aku melalui jalan ayer keroh ke mitc untuk ke mydin selalunya, pasti aku tidak akan melepaskan pandangan kearah gerai pasang-siap bersebelahan bus-stop berdepan dengan balai bomba ayer keroh. Kadang ada kereta yang berhenti singgah dan lebih kerap lagi tiada sebuahpun terlihatkan. Namun untuk kali ini, aku sengaja memberhentikan kereta sedikit kehadapan dari bus-stop. Mulanya agak teragak agak, hendak berhenti ataupun tidak. Sejak dari lampu isyarat lagi kira kira 100 meter dari gerai tepi jalan bapanya itu, kelihatan 2 biji kenderaan pelbagai guna(mpv) yang berhenti.



Seikat...RM5.00


Suasana covid-19 masih belum reda sepenuhnya. Pematuhan pemakaian pelitup muka kekal dikuatkuasakan dalam mengekang penularannya. Keluar dari kereta, terus mengenakan pelitup muka dan bergerak berseorangan kearah gerainya. Orang rumah dalam misi ke Mydin, tidak mahu turun walaupun diajak. Sesampai digerai, perempuan muda, pasti anaknya yang upload 'story' dalam fb sedang menggoreng popiah atau goreng pisang dalam pelbagaikan jualan. Hajat aku hanyalah hendak membeli rambutan 'budak sekolah' yang diwar-warkan dalam fbnya. Tidak sampai hati untuk membeli seikat, lalu aku minta 2 ikat untuk dibungkus. Sambil sambil itu, ayahnya menyuruh aku merasai rambutan 'sample' yang tersedia. Aku menolak penuh bersopan. Dia akur.


Sebelum menyerahkan RM10 kepadanya, anak perempuannya pula memaklumkan dalam bertanya, '...tak nak beli kuih encik...'. Aku geleng sahaja sambil berlalu pergi. Ikutkan mahu sahaja aku berbelanja membantu tapi memandangkan sudah kenyang makan tengahhari sebelum bergerak ke Mydin maka memadailah membeli 2 ikat rambutan. Puas memang puas dapat menyokong niaga orang kita walaupun transaksinya tidaklah sebanyak mana. Kalaulah seharian, yang singgah membeli seorang 2 ikat sahaja dalam 20 orang, kiralah jumlah duit yang bertukar tangan.


Apa apa niaga ditepi jalanpun, memanglah nampak kecil sahaja tapi bila 'frequency'-nya berlipat kali ganda, bayangkanlah jumlah yang mampu dikaut seharian. Untuk tujuan ini perlunya ada konsistensi bekalan, strategi yang sesuai bertepatan dan hidu pola pembelian pelanggan dalam seminggu dan andai kiranya dirancang penuh teliti, niaga kecil kecilan ini mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Istiqamah dan terus pertingkatkan.

Wednesday, July 21, 2021

Lumrah Dunia

Agaknya memang telah menjadi resam dunia, kita suka sangat memperkata, mempertikai dan membuat kesimpulan sendiri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Lazimnya laju sahaja kita bercakap akan perihal orang. Samada betul atau salah ditolak ketepi dan makin rancak bualan bilamana dengan orang yang sama kepala. Apa yang paling dipentingkan adalah segala persepsi keatas orang yang sedang diberi fokus itu telah dihamburkan sehabis habisnya tanpa sedikitpun adanya perasaan bersalah.


Betullah sepertimana yang diangkat oleh salah seorang netizen yang berkesempatan aku membaca 'hantaran' di facebooknya baru baru ini, yang mana dia mulai menyedari akan hadirnya bencana wabak covid-19 ini telah menyerlahkan banyak sisi untuk tatapan bersama. Selama ini apa yang pada pandangan zahirnya semacam elok penuh keceriaan rupa rupanya adalah sandiwara menipu pandangan mata. Memang tidak terjangkakan kepada semua akan penularan wabak dengan amat pantas tanpa mampu membuat sesuatu yang dikira berkesan menghalanginya.


Tuduhan melulu tanpa usul periksa amat menukacitakan. Ini mencerminkan mentaliti dirinya. Mudah percaya, pantas menyebarkan berita dan sering mengelak atas salah laku sendiri membuatkan dirinya tidak dipandang lebih baik dari orang lain.


Seharusnya akui kesilapan dan mohon kemaafan. Inilah perkara yang perlu diamalkan andai tersilap. Moga kita diberkati oleh Allah swt disepanjang hayat kita.


Makbulkanlah permintaan kami...Ya Allah.


Tuesday, March 30, 2021

Lebat dipagi Isnin

29 March 2021 07:55

Lewat anak aku bergerak ketempat kerja pada pagi ini. Hampir ke pukul lapan pagi baru hendak bergerak. Selalunya dia akan keluar rumah sekitar 7:40 kekadang terlajak ke 7:45 dan itupun sekali sekala. Tapi hari ini lagi lewat pula. Kebiasaan masa keluarnya mencari 'rezki' berubah. Bersebabkan hujan yang tidak dijangkakan. Beberapa perubahan persiapan segera diambil tanpa perlu mengeluh panjang ataupun mempertikaikannya. Akibat dari berulang ulangnya kejadian alam ini maka barang tentu tindakan susulan yang biasa juga akan dilaksanakan untuk kesekian kalinya. Perkara yang berulang ulang ini dan bila sampai kesatu tahap ianya akan menjadi 'second nature' pula. Secara auto pula perilaku akan diambil demi menyesuaikan dengan situasi semasa. Ada isyarat dari yang diperlihatkan. Namun dan sememangnya hanyalah mereka yang 'privilege' sahaja yang mampu menafsirkan setiap yang berlaku itu dengan tepat. Bukan sebarangan orang yang mampu melakukannya.


Hujan yang turun adalah lumrah alam. Kalau bukan semalam harinya untuk berlaku mungkin ada hari lain dengan izinanNya. Perkara kejadian yang bukan didalam kawalan kita dan apatah lagi ketidakmampuan menghalanginya dari berlaku perlulah direnung dengan penuh keinsafan. Biasa kita melihat memandang akan hujan yang menimpa bumi. Namun kita sebenarnya tidak mampu merungkai setiap kejadian alam yang berlaku dengan penuh kepastian waima yang terjadi didepan mata kepala sendiri. Semua kita punyai pandangan serta persepsi yang sememangnya berbeza. Ini amatlah pasti sepertimana yang kita lewat mengetahui untuk mengiakan yang mana setiap orang tidak mempunyai 'corak' ibu jari yang sama. Identiti memasing menjadi 'rahasia' kepada sang penciptanya tak ubah seperti fail/rekod peribadi mengikut sudut pandangan kita. Maha hebatnya ketentuan Illahi.


Bagi penanam padi, turunnya hujan merupakan kurniaan dan begitu melegakan mungkin setelah beberapa lama sawah kekeringan dimasa mulai penanaman. Namun buat mereka yang mengambil upah menoreh dari kebun getah orang dan mengharapkan upah harian dapat menampung sesuap nasi keluarga pastinya pula akan sedih merintih akan untung nasibnya hari itu. Manakala kepada pasangan pengantin baru, kehadiran hujan pastinyalah membibitkan suasana romantik lebih lebih lagilah bila turunnya dimalam hari. Memanglah tidak dirancang tapi amat menepati kehendak pasangan seolah merestui hubungan intim mereka. Begitupun lain kesahnya bilamana hendak keluar bekerja kilang diwaktu pagi dan ketepatan masa melapor diri amat dititikberatkan majikan. Lewat sampai bererti buruk rekod kehadiran sedangkan makin melebatnya hujan makin sukarlah hendak bergerak pergi serta dikhuatiri diri akan terdedah kepada bahaya kemalangan dijalanan lebih lebih lagilah kemampuan semasa sekadar sebuah motor buruk.


Itulah, nasib orang. Mana mungkin kita mengetahui segala galanya dengan penuh kepastian. Kita hidup inipun atas ehsan dariNya, lagi mahu besar kepala menunjuk lagak. Sombong bongkak tidak bertempat. Menghina menindas sekehendak hati. Apa yang lebih mendukacitakan sesama adalah dalam keadaan penuh kesedaran, sanggup pula memutuskan sillaturrahim dengan berandaian dirinyalah yang lebih mulia serta perlu dihormati. Memang menyedihkan.


Terserahlah pada empunya diri untuk membuat penilaian. Apa yang benar benar pasti, bila tiba detik dan ketikanya, akan menyusulnya giliran kita pula untuk menemui jalan pulang ke 'rumah' yang kekal baqa'.

Tuesday, March 23, 2021

Bersentuhan muka penumbuk

Lepas pekena nasi biryani bungkus 'Lot 85' dengan cendol 'Seri Serkam' seorang secawan, rasa kekenyangan yang teramat pula. Kalau ikutkan hati, pastinya sudah membongkang. Kebiasaan terkini aku bilamana bercuti mingguan yang selalunya ke pasar Melaka mendapatkan keperluan 'perishable' telah beralih ke Pengkalan Samak. Tiada protokol yang perlu dipatuhi disana tapi dipentingkan bila ke Pasar Melaka diawasi oleh pegawai peguatkuasa MBMB dengan kerjasama pihak polis. Amat tidak selesa sebegitu. Makanya selepas lorat lorat diharuskan mengikut S.O.P. memaksa aku 'lari' ketempat baru. Walaupun ikan yang dijual tidaklah sebanyak dan pelbagai jenis namun kondisi ikan yang diperagakan begitu memuaskan. Bukannya ikan dalam tong yang berkemungkinan dari tempat lain sejauh Thailand misalnya, tapi cukup buat orang rumah memilih ikan yang kebiasaan aku membelinya. Ikan parang, semestinya, ikan tenggiri, pari bunga, bawal dan ikan merah serta siakap serkop menjadi pilihan kesana. Disamping mudah dikunjungi, ikannya boleh dikatakan agak 'fresh'. Selesai mencapai yang dihajati tergerak pula hendak makan nasi biryani pula. Lalu singgahlah di Lot 85 untuk dibungkuskan. Semerbak baunya didalam Alza. Lovely pula mencadangkan cendol Serkam sebab katanya lama sudah tidak singgah minum. 


Teringatkan kejadian pada jumaat minggu lalu yang agak tidak tersangkakan. Aku bergegas keluar dari rumah 5 minit selepas 1:00pm. Azan dalam 1:25pm. Membawalah bersama aku, sejadah dan kopiah masuk kedalam kereta menuju ketempat kerja. Sesampainya aku, cecepatlah 'swipe in' dan bergerak pergi ke Masjid Syed Ahmad Shahbudin. Parkir dibahu jalan sahaja dan sebolehnya merapat ke penghadang tepi jalan. Cepat sahaja aku keluar kereta untuk bergerak masuk ke perkarangan masjid. Baru berpaling hendak melangkah, terlupa pula untuk mengenakan pelitup muka. Terpaksalah berpatah balik membuka pintu kereta mendapatkan. Semasa aku hendak membuka pintu kereta sebelum memasukinya semula, aku terperasan sebuah CRV model terdahulu menghimpit dibelakang aku. Didalam hati, ingatkan aku sahaja yang lambat rupanya ada insan lain yang lagi lewat dari aku. Tentunya dia telah melihat jelas akan gelagat aku yang berpatah balik selepas menutupi pintu kereta. 

Respeks la...


Sebaik aku keluar semula sambil mengenakan pelitup muka dan tidak semena mena, seseorang dibelakang aku mengungkapkan, 'السلام عليكم٠٠٠'. Aku menoleh kearah datangnya suara sambil spontan menjawab salamnya. Ketika bertentang mata, dia telah 'menghulurkan' kepala penumbuknya kearah aku sambil menantikan tindakbalas aku pula. In-split second jugalah aku mengenggam penumbuk lalu bersentuhan sesama. Sejurus selepas itu dia telah melangkah berlalu ke 'compound' masjid. Sambil aku mengunci semula akan pintu kereta, rasa hendak tergelakpun ada. Tidak disangkakan insan yang agaknya dalam lima tahun berselisih usia ini agak 'advance' tingkahlakunya. Up-to-date mengikut perkembangan semasa. Bersalaman normal baru angkara covid-19 sudah semakin membudaya. Aku tidak dapat bayangkan bagaimanakah pak Imam, pak Bilal dan para jawatankuasa lainnya bersalaman sesama saban hari. Telah diwar warkan sebelum ini agar semua kita sekadar melekapkan telapak tangan kanan ke dada yang didalamnya ada jantung berdegupan ketika ingin 'bersalaman' sesama. Insan yang ingin disalaminya pula harus spontan juga melakukan aksi yang serupa. Nampak lebih sopan dan tertib. Tapi 'option' bersentuhan atau 'touching' muka penumbuk agak informal dan juga diterima-pakai oleh semua. Tidak menjadi kesalahanpun. Mungkin dikalangan para jawatankuasa yang muda dan mereka yang 'gila-gila' rasa dirinya muda akan teruja juga bersentuh penumbuk sesama sebagai mengikut trend.

Betapa ruginya kita andai tidak mengetahui akan Pahala Berjabat Tangan, maka perlu ada keazaman mempraktiknya senantiasa. Amat diharapkan pandemik yang melanda kita sekarang ini menjadi pemangkin untuk kita agar benar benar membudayakannya penuh keinsafan buat kita semua.

Sampai bila dan sehingga bilakah cara bersalaman yang tidak 'comform' kepada piawaan yang ditetapkan oleh agama hendak kita turutkan. Maka amat penting rasanya kepada kita semua agar serentak seiringan memastikan bencana atau pandemik yang melanda negara bahkan dunia ditamatkan segera. Mematuhi S.O.P. harus menjadi keutamaan dalam mengekang pandemik covid-19. Namun bukan sekadar bercakap dan melakukan secara culas tapi harus benar benar mematuhi dan berterusan sehinggalah pihak yang dipertanggungjawabkan mengisytiharkan bebas covid-19. Lambat cepat tibanya detik itu bergantung penuh kepada kita sendiri. Bayangkan betapa banyaknya pahala bersalaman yang terlepas begitu sahaja lebih lebih lagi buat mereka yang masjid-goers.


يا الله يا رحمن يا رحيم .... Permudahkan urusan kami...Ameen