Monday, September 19, 2016

Tak disangka-sangka,memang tak sangkakan...

17 SEPTEMBER 2016, 20:26
Sebetulnya sejak swipe-in bertugas awal pagi ini, aku asyik memikirkan hendak sarapan apa. Bukannya memilih apa yang hendak dimakan tapi ketidakcukupan wang untuk bersarapan. Perasaan ini malah lebih awal lagi dirasai iaitu sebelum hendak tidur diawal pagi. Terlelap akhirnya aku walau gusar menghadapi kemungkinan yang harus aku lalui sepanjang hari nanti. Tepat pukul 5:00 pagi, serentak pula berbunyi jam loceng dan smartphone. Kedengaran bertingkah berbunyi dengan nada bunyi yang sama mengejut tuannya. Segera terjaga dek kerana terbiasa. Tapi kegusaran mengharungi hari amat menekan. Sebaik membersihkan diri dan berwudhuk menunggui Subuh, aku recite seketika akan surah-surah pendek yang lazim dilafazkan didalam solat.


Memandangkan yang hari ini adalah hari Sabtu aku mengambil laluan rentas via Taman Merak/Merak Mas ke tempat kerja. Laluan yang mula kerap aku gunakan terutamanya bila bershif petang kerana tidak bertembung dengan 2 sekolah rendah dan satu sekolah menengah bila habis sesi persekolahan jika menggunakan jalan biasa dari bukit katil ke bukit beruang. Tiada ber-trafficlights disepanjang laluan sehinggalah dipertemuan lebuh ayer keroh, memang singkat masa perjalanan. Seawal 6:30pagi keluar rumah dipagi Sabtu dengan sedikitnya kenderaan diatas jalan lagilah pendek masa yang diperlukan. Pun begitu kerisauan ketiadacukupan wang ditangan amat mendesak. Sesampai ditempat parkir, aku lepak didalam kereta mengikuti bacaan Shuraim akan surah-surah Juz Amma yang aku burn-kan dalam bentuk Cd. 10 minit lagi kepukul 7 pagi barulah aku mula bergerak ke staff entrance untuk disarmed-kan segala pintu bercode dengan memasukkan password. Selepas system telah respond, aku bergerak ke pintu masuk utama staff membukakan kuncinya. Prosedure biasa dan telah sekian lama aku lakukan. Tiada masalah, tiada kesulitan yang dihadapi. Tapi perasaan hati pula yang makin tidak tentu arah. Tertanya-tanya sendirian. Takkanlah hendak minta rakan sekerja belanja pula. Tidak pernah selama aku bekerja di sini malah ditempat kerja sebelum-sebelumnya aku minta dibelanja makan. Memang tidak pernahpun. Aku membelanjai rakan setugas lain adalah dan rasa berpuashati pula dapat berkongsi rezeki yang aku terima. Namun buat pagi ini aku semacam hilang semangat pula untuk harungi hari aku ini.

Keadaan diri, walaubagaimanapun, berjaya aku selindungikan dari rakan sekerja. Tidak ketara sedikitpun. Aku bersikap agak tidak keterlaluan dengan sering melontarkan cerita-cerita 'semasa' yang mampu dikomen semasa beriringan dengan admin staf, Sharul dan anggota bluewave, en. Osmere membuka pintu-pintu yang dikenalpasti penting untuk dibuka. Nampaknya lontaran cerita aku bersambut dan makin rancaklah bualan pagi sehingga habis tugas membuka kesemua pintu rintangan yang ditetapkan. Setelah masing-masing selesai menurunkan tandatangan di-checklist baru selepas beberapa kali diubah gara-gara store gagal HQ audit awal September, aku simpulkan kepada mereka berdua yang checklist baru ini lebih pendek dari sebelumnya. Aku luahkan rasa beruntungnya bila HQ audit berjaya mengesan sedikit kepincangan tatacara penutupan store sebelum ini. Mereka sekadar mengiyakan sambil tertawa kecil dan beredar membuat tugasan seterus mereka. Khidmat mereka telah selesai tapi tugas aku belum lagi berakhir. Pukul 8:00 pagi pula aku perlu hadir melihat keadaan loading bay berpandukan checklist phase two pula. Memastikan segala mengikut yang sepatutnya di-checklist-kan dan merekodkan apa yang tidak menepati s.o.p. yang dipersetujui. Memandangkan masa baru 7:30pagi, aku tetiba bertukar 'mode' pula. Dari bersedia beralihke mode santai pula. Bergerak perlahanlah aku ke Restroom dan melabuhkan bontot disofa yang didermakan oleh Ms Chong, ex-store manager. Sambil melunjurkan kaki, perasaan cuak datang lagi dikala keseorangan. Cuba juga melawan perasaan gundah gulana. On-kan smartphone. Bacailah ucapan salam dan selamat pagi yang di-copypaste berderet-deret panjangnya dari whatsApp grup yang dianggotai. Setidak-tidaknya dapat meredakan perasaan yang tidak tenteram, lebih-lebih lagi ada yang berlawak pepagi dan juga yang postkan kata-kata motivasi buat memulakan hari masing-masing.

Semacam telah disetkan, tepat sahaja 8:00pagi, aku bangkit dari melepak santai yang hampir terlelap dan bergerak penuh keyakinan ke loading bay. Terus memeriksa susunan barangan di pallett yang saban waktu sentiasa menimbun diluar tidak kemas disusun. Pening memikirkan. Lepas budak tempatan, dicuba pula bangla. Tidak berpuashati, tetiba nepal pula yang berkeliaran dan terkini abang-abang Pakistan pula yang mendominasi tugasan menyusun atur segala stok. Pekerja outsouce yang sering bertukar ganti masih tidak menunjukkan keberkesanan. Tetap sama dan seperti dahulu juga keadaannya. Siapa cerdik siapa pandai. Management atau syarikat outsource yang dilantik. Tidak puashati dengan hasilan kerja dan kesukaran berkomunikasi dengan mereka, aku ajaklah berdebat dengan anggota bluewave, en. Azam yang ditugaskan mengawasi loading bay akan segala kemungkinan. First salvo aku kat saudara Azam kita ni, agak-agak bebudak Pakistan ni punyai kelayakan setaraf SPM ke. Dia sekadar tersengih sambil sedikit terkejut, 'ia tak ya jugak eehh'. Dia pula tanya aku kembali, 'betul ke...'. Kalau setaraf, aku huraikan, takkanlah baca pun tak tahu, suruh buat sesuatu dibuatnya lain. Arahan tidak faham dan hujung-hujungnya dia buat ikut suka hati dia. Memang pening leader kena ikut bontot setiap masa. Dari mula bertugas sampai habis masa kerja perlu berdampingan dengan mereka, maka tak gunalah panggil dia orang ramai-ramai datang kesini. Panjang boraknya pula. Tetiba bergegas mendatangi meja bluewave saudara Zulkefli, supplier cum driver Gardenia, mendaftar masuk. Aku menegurnya dulu, 'kenapa lama tak muncul. ingat dah naik pangkat ke?'. Ketika itu cuma satu lori sahaja yang masuk. Roti Massimo yang pertama sampai dan sudahpun hampir selesai menurunkan stocks yang dipesan. Mungkin sudah mesra dan selalu berteguran, dia spontan menjawab, ' Alah... budak yang ditugaskan tak serasi katanya kesini. Itu pasallah kena cover'.

Berbual-bual dan rancak pula, aku macam melupai akan kesulitan yang aku tengah hadapi. Namun dibawah arus sedar dan tiada kelihatan kehadiran supplier lain diketika itu, perasaan sangsi aku makin kuat pula. Risau hendak bersarapan apa pagi ini. Selalunya aku akan ambil nasi lemak bungkus, kopi dan ayam goreng berempah yang meruap panas bila bertugas seawal 7:00pagi. Janggal rasanya pagi ini. Sedih menyelubungi diri. Mungkin ketika bermonologue itu aku sedang duduk dan terlindung pandangan dek forklift yang diparkir bersebelahan, pantas si Azam menjawab salam yang kedengaran. Rupanya driver dari PC yang sampai. Dia bersalaman dengan si Azam dan aku juga yang duduk hampir berdekatan. Sambil mengeluarkan delivery sheet dia turut menghulurkan sebungkus nasi lemak untuk si Azam. Mungkin terpandangkan aku ada disisi atau kesiankan aku yang memandang penuh harap atau dia telah ditugaskan untuk mengagihkan rezeki yang Allah turunkan melaluinya, dia kemudian menyeluk lagi kedalam beg dokumen mengeluarkan sebungkus lagi nasi lemak untuk aku pula. Spontan itu jugalah aku ucapkan terimakasih atas pemberian rezeki yang tidak disangka-sangkakan. Jawab pendeknya, 'sama-sama'. Ketika dia bergerak memaklumkan dengan pihak mmd, aku mengambil peluang bertanyakan si Azam akan nama insan yang berhati mulia membelikan aku yang tidak pernah berjumpa ini sebungkus nasi lemak.

Sarapanku... nasi lemak + kopi minus ayam goreng berempah

Rezeki aku pagi ini... Alhamdulillah, syukur

Insan berhati mulia... En. Halim tima kasih ya.


Kita tidak akan pasti dan aku mulai menyedari yang kita tidak ketahuan punca dari mana rezeki yang sampai kepada kita. Kejadian sekecil ini mungkin anggapan bagi setengah orang tapi amat besar dan ajaib pula kejadian bagi diri yang mengalaminya. Seharusnya rasa syukur aku panjatkan kepada Illahi atas limpahan rezeki dan nikmat yang diberiNya. Tidak terjangkakan dan tidak terfikirkan yang aku akan diuji sebegini.

الله اكبر.





.

Thursday, September 15, 2016

Dah macam apatah...

14 SEPTEMBER 2016, 07:17
Tidak terdaya rasanya mengejar apa yang dikejarkan. Tidak terjangkakan pula, lain yang terjadi. Sesiapapun mahukan sepertimana yang diharapkan dan diinginkan. Tapi kita seolah-olah mahu menafikan pula iradah(ketetapan) illahi. Sejauhmanapun kemampuan dan sebagus manapun perancangan kita, namun tidak juga mampu mengatasi ketentuanNya.


Semalam, ketika sedang menikmati langsat dan rambutan kuning pemberian abang uda @ abang iparku yang duduk setaman lebihan berjualannya selepas bermaghrib, tv dengan program beritanya sedang melaporkan kemalangan jalan raya yang berlaku sekitar malam pertama membawa ke siang hari kedua idul adha. Satu demi satu kemalangan yang mengorbankan nyawa siap visualnya untuk tatapan penonton. Bermula dengan kereta merempuh lori tangki dilorong kecemasan pada 3:30 petang yang mengakibatkan 4 sekeluarga meninggal sekaligus. Kejadian dilaporkan di KM209, Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke Utara. Lori berhenti di lorong kecemasanpun dilanggar, siapa sepatutnya bersalah. Tapi kejadian pukul 11:30 malamnya dimana kemalangan maut 6 orang sekaligus berpunca dari kereta yang dipandu oleh siibu telah bertembung dengan 'wira' yang terbabas memasuki laluan amat mengugah perasaan. Langsat yang manis ketika dikunyah terasa pahit pula bila telinga dan mata kejap kearah tv yang bersiaran. Bagaimana ianya berlaku tidak siapa yang mengetahuinya dengan jelas dan pasti kerana ianya tetiba sahaja berlaku. Pegawai penyiasat(polis) dalam lingkungan 30an yang ditanyai pemberita cuma dapat mengagakkan sahaja dengan beralaskan 'mungkin'. Diandaikanlah yang pemandu itu tidak perasan kerana jalan gelap dan kemudiannya cepat-cepat pula ianya satu kemungkinan dan akhirnya dia sendiri mengaku yang punca sebenar kejadian adalah tidak pasti. Orang baru ditugaskan menjadi ketua dan mungkin jugalah pertama kali ditemuramah 'live', dan untuk menampakkan yang diri bukanlah 'camera-shy' maka berbelit-belitlah dia bercakap.

Kejadian yang menimpa diri bukanlah kita yang memintanya. Tapi ianya tetiba terjadi. Maka perlulah kita redha menerimanya serta bersabar menghadapi ujian dariNya. Siapalah yang saja-saja inginkan kemalangan dan lebih-lebih lagi melibatkan nyawa. Sememangnya kita ingin sampai ketempat tujuan dengan selamat. Yang melanggar tidak terfikirpun hendak melangar dan yang dilanggar juga pastinya tidak menyangka perkara buruk berlaku pada diri. Ketentuan dariNya tiada sesiapapun boleh mengelak. Terima dan berserah diri seadanya. Andailah lebih awal diketahui dan dihidu, mana mungkin mereka akan bertembung dalam kejadian yang tidak pernahpun disangkai mereka. Kita tidak pasti dan tidak mampu untuk menyelami perasaan waris yang menerima musibah ini. Dalam sekelipan mata orang yang disayangi dan ditunggui pergi buat selamanya. Tentulah mengigil mendengar berita yang disampaikan. Tambahan pula satu malaysia dapat menatap dan mengikuti kejadian yang berlaku ini. Jiran, taulan, rakan sekerja, rakan sekolah, rakan sekampong pasti akan menyampaikan berita kejadian dan apa sahaja grup whatApps yang disertai oleh insan-insan malang ini akan cepat pula disebarkan berita yang menyayat hati ini. Kecepatan maklumat disampaikan tidak dapat mengembalikan mereka dan hanyalah sekadar mengejutkan sesama yang hidup disamping mengucapkan salam takziah via whatApps grup sebagai menunjukkan simpati sesama.


Biarpun begitu pemergian tanpa diduga tentunya menimbulkan pelbagai persoalan. Persoalan pula mengikut perspektif orang yang bertanya. Bagi yang kuat agama akan persoalkan tentang bekalan ke 'sana' nanti. Samada kecukupan atau tidak mungkin merisaukan tambahan pula bila mengetahui serba sedikit latarbelakang simati. Apapun bukan kitalah yang berhak menilai sejauhmana bekalan mereka tapi kita berharap benar agar limpahan kasih dan sayang Allah melebihi dari yang kita rasakan dan jangkakan.

Bersangka baiklah, bukankah ianya sesuatu yang dituntut.

Allah maha Mengetahui.

Tuesday, September 6, 2016

Sehati, sejiwa... jangan sekadar sebut saja

31 AUGUST 2016, 20:28
Hari ini adalah sambutan kemerdekaan kali ke-59. Sudah berkali-kali dan banyak kali kita meluahkan rasa merdeka sampailah ketahun 2016 ini. Negara kononnya sudah dimerdekakan setakat hari ini, dihitung dan dikira tanpa silap, menghampiri 60 tahun. Manakala diri ini sudahpun melepasi usia 52 tahun. Kalau tiada aral, kedatangan February 2017 nanti, umur aku menjangkau pula menjadi 53 tahun.



Tema 2015 bersambung ke 2016


Menoleh kebelakang menyoroti  perjalanan sejak lahir sehinggalah ke saat ini tentunya mengundang pelbagai kisah yang mengkecamukkan perasaan, lalu merungsingkan fikiran, juga memedihkan pandangan dan mudah merobekkan hati. Kalau tidak berhati-hati mampu melemahkan semangat yang akan membawa kepada mati akal yang akhirnya tewas dalam kehidupan. Ia, dirasakan aku sering dan selalu saja diposisi yang tidak berapa menguntungkan mungkin hampir disetiap detik dan ketikanya disepanjang kehidupan aku. Kekadang terfikir juga, bila menjadi budak baik sebenarnya banyak rugi dari untungnya. Misalnya, dikelas pertama sejak di tingkatan 2A & 3A dari 8 kelas yang ada sehingga kelas H, keraplah cikgu mengingatkan yang kita-kitalah yang terbaik maka perlulah sentiasa menunjukkan prestasi terbaik lagi cemerlang. Keputusan SRP aku ditahun 1979 itu boleh tahanlah juga masa di SMAL yang menempatkan aku dikelas ketiga terbaik diMHS, 4Sc3 setahun kemudian. Masa disekolah lagi dan by-productnya adalah setelah dewasa bilamana kita yang sering mengikut arahan ternyata tidak kemana. Manakala yang nakal dan melanggar pelbagai larangan sekolah, anihnya, merekalah yang terlihat lebih berjaya, lebih berpenampilan dan yang pastinya lebih dikenali dan diingati guru. Apakah pilihan yang aku ambil adalah satu kesilapan dengan menuruti setiap arahan dan nasihat guru. Apapun takdir yang ditetapkan keatas diri adalah sesuatu yang perlu diredhai. Mempertikai dan merintih 'nasib' yang menimpa diri sepatutnya dielakkan. Bahkan perlulah lebih gigih berusaha mencari dan berlumba merebut. Rezeki perlu dicari selagi bernyawa. Tiada istilah mengalah melawan pancaroba kehidupan. Namun kekadang ingatan dan memperbandingkan dengan keadaan semasa akan rakan persekolahan tidak dapat hendak dielakkan. Terbayang jelas semasa ditingkatan 2, tetiba ada slot khas pula masa 'morning assembly', iaitu 'Public Caning' dengan beberapa rakan sebaya dari BHES lagi tunduk berdiri dipentas. Makluman yang diperdengarkan ketika itu adalah kesalahan ponteng kelas dalam masa sesi pembelajaran dan ditangkap ketika sedang bermain judi 'poker' dirumah kosong yang dilaporkan oleh orang kampung yang mungkin sedih dan kecewa agaknya melihatkan anak bangsa berada diluar sekolah diwaktu sepatutnya menekuni belajar. Jelas dipenglihatan, lepas seorang ke seorang yang dihayunkan rotan ditangan dengan ditontoni sesama rakan. Apa agaknya perasaan mereka ketika itu. Malukah mereka, sukakah mereka dengan hukuman yang diterima. Namun hakikatnya kini, hasil dari tindakan mereka itulah yang mungkin menyimpang dari sepatutnya, mereka telah menjadi insan-insan yang berguna dan berjaya dari sudut pandang aku. Bukan setakat menjadi polis , tapi ada yang telah bergelar Tok Sarjan dan berbini dua lagi. Betapa tidak terfikirnya mereka akan nasib yang ditakdirkan keatas diri masing-masing dengan berbekalkan SPM yang cukup-cukup makan. Ramai lagilah rakan yang lebih rendah keputusan periksa mereka tapi mewah, sejahtera dan mulia lagi didalam masyarakat. Nasib orang manalah kita tahu. Moga kebahgiaan mereka kini akan berterusanlah sehingga keakhir hayat mereka. Apapun, setiap perkara yang menghinggapidiri akan berlalu pergi bila tiba ketikanya. 

Rujuklah, kata-kata hikmah yang di-post-kan rakan whatApps yang mungkin mampu menyimpul segala rentetan cerita yang masing-masing ditakdirkan menerimanya. 





Teringat juga aku dimasa hari pertama menduduki peperiksaan SRP di SMAL. Kertas pertama adalah BM K.1(pemahaman) pagi itu. Petugas peperiksaan yang merupakan guru yang dipilih dari sekolah lain yang mengawal-selia kelancaran peperiksaan mengingatkan agar semua calon mengisi borang jawaban objektif dengan betul. Nama calon dan angka giliran masing-masing. Tetiba sahaja dia meluahkan rasa hairannya kerana ada calon yang tulis namapun tidak pandai dan nombor giliranpun tidak tahu. Bagaimana hendak menandakan dengan pensil 2B pun bermasalah. Aku dihimpunkan dengan calon-calon yang merupakan rakan setingkatan dikelas paling akhir. Peperiksaan kerajaan diatur mengikut abjad awal nama. Bermula dengan nama Abdul, maka dialah yang didepan. Kelas terakhir yang diduduki menempatkan murid berpangkalkan huruf 'Y' dan 'Z'. Cikgu pemantau peperiksaan atau invigilator ini sampai fed-up melihatkan Zulkifli yang terkial-kial. Sampai sanggup menyuruh murid yang lain didalam bilik membantuinya. Kelihatanlah Si Yusuf yang duduk paling depan dibaris pertama segera bangun dan tanpa berlengah lagi menuju ke meja si Zul menunjukkan serta diperhatikan sambil mengaru-garu kepala si Zul ni pula. Insan malang ini ketika itu tidaklah berapa menonjol kehadirannya dan ditempatkan dikelas paling corot. Tidaklah diketahui olehku sehinggalah pada pagi mengambil periksa besar yang dia bermasalah membaca dan menulis. Aku duduk dimeja kedua paling belakang dibaris pertama yang mempunyai  7 meja sebaris. Zulkifli pula dibaris ketiga paling depan. Susunan bermula dari huruf Y. Tidak ingat pula nama yang bermula dengan huruf Y ni, cuma si Yusuf sahajalah yang menonjol diingatan. Dia ni dari kelas 3C. Ada namanya Zailani, Zainal dimeja hadapan aku. Ada dua murid bernama Zainal ni. Zainipun ada dua. Selepas aku, Zaini juga. Tapi aku didepannya sebab nama bapa bermula dari A iaitu Ali manakala nama bapanya ialah Mahmod. Zailani pun ada dua. Tapi pangkal namanya ada pula, Ahmad, maka dia ditempatkan sebiliklah dengan nama mereka yang berpangkalkan huruf A. Selepas Zaini, berturutanlah nama Zainuddin dibarisan kedua dari belakang membawa ke Zulkifli yang dikatakan ini dibaris ketiga meja pertama. Semasa kertas soalan diletakkan terbalik dimeja setiap calon oleh petugas peperiksaan, tertanya-tanyalah diri, 'Bagaimanalah si Zul hendak menjawabnya...' Bila diarahkan membuka kertas soalan dan mula membaca untuk menjawab, kisahnya terus tenggelam kerana masing-masing memikirkan 'kemampuan' sendiri untuk menjawab soalan.

Berbalik kepada tema yang khabarnya dikekalkan sama setahun lalu adalah untuk mengukuhkan lagi dan memantapkan lagi kedalam diri setiap warganegara. Sekali imbas, kita dapat merasakan yang tema tahun ini begitu diperlukan kerana rakyat keseluruhannya tidak ambil kisah tentang merdeka agaknya. Semasa ditahun 2015, beria-ia sungguh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Menteri Komunikasi Dan Multimedia ketika itu dengan hash tag '#Sehatisejiwa'-nya menegaskan tema tahun itu adalah cerminan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat. Justeru itu amat mengharapkan dan harus pula dirasai bersama dengan meyakini 'kesenadaan' setiap lapisan masyarakat Malaysia akan terus menyatukan tanpa mengira garis sempadan, susur galur keturunan dan kepercayaan malah negeri kelahiran. Lanjutan dari itu juga Datuk Shabery Cheek @ mulut berbuih masa 'test power' berdebat dengan Anuar Ibrahim bagi yang masih mengingati peristiwa itu, menegaskan serta mempercayai ianya mampu mengerakkan atau menyemarakkan perasaan kasih sayang serta hormat menghormati sesama kita. Disimpulkannya bila ditanya wartawan yang keteguhan semangat patriotisme adalah tonggak kepada keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia bila kerapnya diucapkan 'sehati sejiwa' akan menjadi titian hubungan kepada yang jauh didekatkan serta ukhwah dipereratkan. Apa sudah jadi dan apa pula sebenarnya yang terjadi bila untuk tahun 2016, tema yang sama dikekalkan. Tema tidak berubah, menterinya yang berubah. Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak pula yang mengambilalih tugas menteri komunikasi dan multimedia pasal terlajak bagus repertoire-nya. Tanpa diduga dan tidak semena-mena menjawat tugas menteri kerana PM Najib amat berkenan dengan stailnya mungkin. Salleh ni pula dari pemahaman dan versinya pula menekankan semangat kejiwaan dan kesatuan hati rakyat malaysia. Pemupukan keatas semangat bersatu-padu yang telah lama bersemadi dan menjadi amalan didalam kalangan rakyat Malaysia menjadi sandaran hujahannya. Bila berjaya memupuk dan pastinya pula akan mampu meningkatkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara didalam kalangan rakyat malaysia seluruhannya. Cakap macam bagus sahaja. Mudahnya dia membuat 'projection' tanpa berdasarkan fakta. Apa benarkah begitu mudah meramal tanpa merujuk situasi semasa. Sesuatu hal bukannya boleh didapati secara paksa tapi hadir dengan sendirinya pada diri. Ketulusan hati bukan boleh dibuat-buat. Menarik warga kepada tema yang dikekalkan ini bukan satu tugas yang mudah dan tidak semudah menyebutnya. Pengertian dan pemahaman tentu sahaja berlainan. Bagi yang menuruti sahaja, memanglah mudah. Bagi yang banyak 'objection', tidakkah payah hendak memahamkan mereka. Itu belum lagi yang pertikaikan.

Dirakamkan pada 20/08/2015
Ini pula diambil pada 01/09/2016 ditempat yang sama... ada makna tu.


Teringat lagi masa ditahun 80an dahulu. Antara tema yang menjadi ejek-ejekan sesama, 'Bersih, Cekap dan Amanah' masa Dr Mahathir menjadi PM. Isu kakitangan kerajaan yang tidak bersih dan tidak cekap menjadi bualan ketika itu. Kalau tidak bersih mana datangnya kecekapan malah jauh sesangatlah hendak beramanah. Sebab itulah tema hari kebangsaannya di tahun 80an yang terkenangkan itu, 'Bersih, Cekap dan Amanah'. Apa bezanya sekarang. Pelbagai isu yang mencemari negara tanpa adanya usaha mengatasi setiap persoalan yang dibangkitkan secara tuntas malah membiarkan warga tertanya-tanya sesama samada betul atau salahkah tuduhan yang dilemparkan. Berdiam tanpa menyatakan yang sebenarnya hanyalah membuatkan setiap warga makin gelisah. Ketelusan dituntut pada pentadbir negara. Berlaku jujurlah menyatakan. Ketulusan warga ditagih tapi ketelusan disekat. Bolehkah begitu. Bagaimanalah hendak menyuruh warga sehati sejiwa sedangkan hanya melibatkan sebelah pihak. Asyik kita sahaja yang diminta sehati dengan pemimpin dan cuba menjiwai setiap langkahan yang diambil dan menyerap segala keperitan. Bila didesak oleh pemberita dalam satu portal yang dibaca, Abang Salleh kita ini mengambil sikap berhati-hati pula dengan mengatakan penganjuran bukan milik kerajaan yang memerintah sahaja tetapi harus semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan(NGO) dan badan korporat perlu sama memainkan peranan dalam dalam menganjurkan 'Hari Kemerdekaan'. Dia pandai-pandai pula menyimpulkan yang konsep hari kemerdekaan itu adalah milik kita semua, dan untuk itu maka semua pihak perlu dan harus melibatkan diri.

Kita kena juga baca yang tersirat bukan sahaja yang dilaporkan. Sukar sebenarnya hendak memuaskan semua orang...... Tapi patut patutlah.

Thursday, September 1, 2016

Terlebih Patriotik-kah Kita

25 AUGUST 2016, 23:39
Pagi tadi ketika keluar ke pasar, berselisihlah aku dengan seorang insan berbasikal berpakaian agak retro, berseluar putih, baju lengan panjangpun putih. Bersongkok dan berkasut berwarna hitam pula. Berfesyenkan awal 50-an, berseluarkan baggy diponggong serta kuncup dikaki.Terlihat bersusun bendera kecil 'Malaysia' di-handle basikalnya. Manakala di-carriernya pula terpacak bendera Melaka dan Malaysia bersaiz sederhana besar. Berkibar-kibar seiringan dengan kayuhan yang sengaja dipantaskannya. Mulanya tidak perasankannya. Terfikir juga kenapa selepas melepasi lampu trafik di Air Terjun MBMB, laluan kanan tersekat sedangkan baru melepasi lampu trafik. Aku pula disebelah kiri dengan trafik bergerak normal. Kereta disebelah kanan mansing-masing menghidupkan signal kekiri dengan niat menukar lorong maka terpaksalah memberinya laluan untuk menukar lorong.

Bersemangat Berkeliling Melaka

Rupa-rupanya ada sesuatu yang menyebabkan kelancaran trafik pagi ini terganggu. Spontan seketika itu terhegeh-hegehlah aku mengeluarkan smartphone dari poket seluar. Tali pinggang keledar or seat belt melengahkan pula. Manakala insan berbasikal ini terus bergerak kedepan dicelah-celah kereta menunggui lampu trafik dipersimpangan ke Pengkalan Batu bertukar hijau. Dalam pada terkial-kial teraba-raba mencari, mata hanya mampu melihatnya hilang dari pandangan dicelahan kereta yang berderet didepan. Tidak berkesempatanlah untuk aku merakam. Rupanya dia telah membelok kekanan menuju ke Batu Berendam. Tidak berpeluang mengabadikan semangat menyambut kemerdekaan yang dia mengekpresinya mengikut caranya sensorang. Ketara ganjil perlakuannya. Mungkin atas initiative sendiri atau mungkin juga diupah oleh orang lain berpunca dari dicabar melakukan gimmick ini. Segalanya berkemungkinan. Aku menerawang dan berdailog sendirian setelah melepasi lampu isyarat 'Persimpangan Pengkalan Batu'.

Aku dan orang rumah tiba dipasar buat kedua kalinya setelah peniaga-peniaga dipasar besar ini beroperasi diperkarangan tempat letak kereta. Pertama kalinya kehadiran kami adalah pada hari kelima mereka beroperasi pada jumaat 12haribulan Ogos. Ketika itu aku me-markir-kan kereta didalam kawasan pasar yang tentunya berbayarlah. Pada kali pertama mendatangi pasar yang tidak ubah macam pasar tani ini, walaupun diatur mengikut jenis jualan dengan ikan dibariskan setempat, sayur-sayuran dibahagian yang bersebelahan manakala kedai-kedai makan yang selama ini ditempatkan ditingkat atas telah dilonggokkan pula seiring dengan longkang besar. Makanan melayu disebelah belakang berhampiran pintu keluar masuk sebelah belakang dan gerai makanan cina berhampiran pintu masuk utama. Siapalah yang menyusun-atur sedemikian rupa. Ada usaha sebenarnya untuk menjadikannya tersusun dan memudahkan pengunjung tapi tampaknya pada penglihatan aku semacam berterabur. Ini adalah   my first impression dan terasa macam tidak hygiene dengan air bergenang dari takungan ikan yang senantiasa berais diatur pula diatas tong ikan yang membentuk 'display table' peniaga ikan. Begitu juga dengan penjual sayur yang sekadar melambakkan didalam bakul dan atas meja foldable yang  agaknya perlu dibeli dari pihak pentadbiran pasal semuanya sama dan sebentuk pula saiznya. Peniaga sayuran kampong lagilah sempoi. Sekadar bentangkan kanvas sambil duduk-duduk dibangku kecil atau dulu-dulu dipanggil bangku satay dimana duduk makan bersebelahan tukang bakar satay yang menyediakan meja rendah ala-ala japanese table gitu masa pasar lama bersebelahan kampong jawa awal 70an. Hari ketiga masa pertama kali sampai mungkinlah tidak nampak cacat celanya. Maklumlah baru lagi. Tengoklah seminggu dua nanti. Apa mungkin semerbak 'haruman' yang menyambut kedatangan kali keduanya nanti atau sebaliknya.

Boleh rujuk rela dalam paksa bagi yang sedikit off-track.
Retak pada tiang terlihat... retak dihati tentulah punah harapan

Cerdiknya aku buat kunjungan kali ini, aku tidak menonong sahaja memasuki kawasan pasar dari pintu belakangnya tapi bergerak kejalan besar didepan pasar untuk meletakkan kereta dibahu jalan sahaja.Maklumat yang diketahui, pihak MBMB tidak akan menyaman kereta didepan pasar sehinggalah siap kerja-kerja membaik-pulih bangunan pasar. Cuma tidak dibenarkan adalah 'double parking'. Jimatlah aku RM1.00 kerna hal ini. Mudah pula dapat ruang, maklumlah orang baik-baik. Dalam melilau mencari, tetiba ada kereta yang memberi signal untuk bergerak keluar dari bahu jalan. Cepat-cepatlah menyelinap masuk, kalau tidak, makin jauhlah hendak menapak ke pasar sementara itu. Kali ini adalah kehadiran kedua kami kepasar setelah semua peniaga ikan dan sayur dipindahkan sementara ke perkarangan tempat meletak kereta ini untuk memberi laluan kerja-kerja membaik-pulih bangunan yang diistiharkan tidak selamat selepas raya dan diviralkan di-whatApps. Mungkin telah diberi arahan dan tugasan memantau kepada staf mereka oleh pihak atasan bagi memastikan kebersihan kawasan sentiasa terjaga maka ucapan tahniah harus diberikan kepada semua yang terlibat. Baik dianya staf bawahan, pihak pengurusan dan peniaga seluruhannya yang terbabit dalam memastikan kebersihan terjaga terutamanya bau hanyir yang ketaranya akan terhasil. Kerjasama semua pihak serta kesungguhan mengatasi kekurangan yang dihadapi tentulah bermaksud. Jika keadaan kotor dan senantiasa bergenang air bakal mengakibatkan semakin kuranglah kehadiran pengunjung ke pasar dan tentulah jualan turut merosot. Itupun sudah terdengar rungutan peniaga-peniaga yang sesama mereka bersahutan. Kalau ramai pelanggan mana sempatnya mereka hendak berborak.

Orang rumah pantas sahaja menuju ke gerai peniaga yang biasa dikunjungi saban minggu. Walaupun dibawah canopy yang serupa, jeritan suara mereka dapat ditangkap jelas akan kedudukan gerai seolah memanggil. Aku pula akan memantau dan melihat sekeliling mencari sesuatu yang teringin sambil jalan beriringan dengan orang rumah ke gerai ikan. Ternampakkan pisang nangka, aku akan menyuruh dia membelinya seikat dua. Teringinkan tapai ubi, maka berhentilah seketika di tempat berjualan sayuran kampong. Mungkin musimnya, bau buah binjai masam dan manis semerbak menyucuk hidung dideretan gerai makanan kampong. Rebung yang siap dihiris-hiris, nangka muda, ikan pekasam dan berbagai lagilah mudah didapati. Pilih sahaja dan ambil sahaja mana yang berhajat. Bayar sahajalah harga yang dipinta peniaga. Setelah selesai membeli dan kopak hampir RM100.00 setiap sesi, bergeraklah keluar menuju kekereta. Kedua belah tangan memegang barang. Bakul pasar disebelah kiri kerana aku left-handed dan pisang nangka dua sisir ditangan kanan  manakala orang rumah mengangkut bag plastik merah yang memuatkan segala bagai sayur, mee kuning dan kueh tiau terhempap-hempap berjalan. Maklumlah kena pam selalu, mana badan tu tak naik. Ha ha ha...

Sebaik keluar kejalan dengan beberapa petugas beruniform MBMB berduduk-duduk diatas motor masing-masing mungkin memantau keadaan trafik, aku terdengarkan bunyi hon kereta dari kejauhan. Macam kelam kabut sahaja dan kereta seolah-olah terhenti. Bila menjengok hendak melintas kerana me-markir-kan kancil dibahu jalan bersebelahan dengan kawasan Terminal Bas Melaka Sentra, maka terpandangkan insan yang terlihat semasa bergerak kepasar tadi sedang berkayuh meluru. In split-second pula aku cepat-cepat meletakkan barangan yang aku pegang dibahu jalan mendapatkan phone dikocek seluar. Sementara hendak on-kan smartphone, dia sudah betul-betul berada didepan aku dan dapatlah aku menatap wajahnya dengan jelas. Berjaya jugalah merakam aksinya walaupun nampak sisi belakangnya sahaja.

Apapun kehadiran insan yang pertama kali terlihat seketika didalam lingkungan hidup aku pada pagi khamis ini membuatkan diri terfikir sendirian. Apa matlamatnya. Apa tujuannya. Adakah kelainan kejanggalan caranya meluahkan rasa gembira atas ulangtahun kemerdekaan dengan menunjukkan kepada sekelian orang melaka yang terlihat dan terserempak dengannya akan betapa bersemangatnya diri dalam menghayati tema tahun ini, 'Sehati Sejiwa'. Pun mungkin juga mengajak orang melaka yang terlihat gelagatnya untuk turut sama meraikan ulangtahun kemerdekaan mengikut keselesaan dan keupayaan masing-masing agar ada yang lebih gila-gila dari apa yang dibuatnya iaitu berbasikal secara solo berkeliling bandar melaka. Sering dibaca dan disebut dari blog yang dibaca terutamanya blogger politik iaitu 'matlamat menghalalkan cara'. Macam bagus sahaja statement atau kenyataan ini. Namun kemunculan insan terpilih ini didalam ruang lingkup kehidupan aku membuatkan aku rasa sedih dan sayu melihatnya. Tidak ubah seperti 'Pak Kaduk'. Rasanya semua orang sedia maklum akan cerita rakyat ini bilamana Raja yang disanjung menipunya dalam berlaga ayam dan terkhayal akan kemenangan yang dirasakan berpihak kepadanya. Hakikatnya dirinya tertipu dan ditipu pula oleh orang yang digantungkan segala harapan demi masa depan. Kampungnya tergadai dan dirinya ditertawakan bila pakaian anihnya menelanjangkan diri. Harap sangkaan aku ini tidak benar terhadap insan yang berseorangan mengekspresi diri akan kemerdekaan betul-betul dihadapan mata.

Namun hakikatnya, andailah dia melihat sepertimana yang aku lihat kini disekeliling mungkin akan berlainan perspektif kemerdekaan yang selama ini menjadi pegangannya. Sepanjang laluan berbasikalnya mungkin dari Ayer Keroh, kemudian membelok ke Pengkalan Batu, seterusnya ke Batu Berendam merentasi Bachang dan melencong ke Panglima Awang sebelum menyelusuri Melaka Sentral menyampaikan ke depan pasar Melaka dan berselisih dengan aku didetik 10:14am sepertimana terakamkan ini, apakah sebenarnya yang dilihat?. Adakah dia tidak ambil pusing akan segala yang disekelilingnya atau mungkin juga tidak mampu lagi menahan perubahan yang dipaksakan untuk dilihat. Laluan rentas Taman Merak Mas yang rasmi dibuka dari Bukit Katil ke Bukit Baru menjelang tahun baru Cina 2015 yang saban hari aku lalui ketempat kerja amat menyebakkan hati dan menjolok mata sebelum Ramadhan lagi. Sekitar kawasan letak kereta tambahan Melaka Mall/Family Store telah dinaikkan hoarding atau penghadang menganjur hingga ke round about memasuki taman merak mas. Papan tanda kemudian dipacak. Orang sudah pasang signboard dan kita pula boleh dan faham akan apa yang dibaca maka terdoronglah untuk membaca. Tambahan pula sudah didepan mata. Takkan hendak mengelak pula. Maka dikhabarkan akan terbinanyalah apartment sebanyak 220 units diatas tanah yang  tentunya telah dibeli pemaju. Bangunan setinggi 22 tingkat akan tersergam megah dikawasan yang dulunya dijagai oleh ketua menteri kesayangan, Datuk Seri Muhd Ali Rustam, Parlimen Bukit Katil untuk 3 penggal berturut-turut. Kawasan berpendudukan dan majoriti melayu dicemari sudah. Mampukah kita membelinya?. Sesuai dan sukakah kita menginapi kalaupun mampu membeli. Hujung-hujung orang lainlah yang memilikinya. Begitu juga di Pengkalan Batu, kalaulah pakcik berbasikal itu mengetahuinya akan sejarahnya dahulu. Kawasan berbukit yang asalnya menempatkan banglo mat salleh era sebelum merdeka dan diubah menjadi padang golf golongan elit era lepas merdeka dan terkini telah dipecah lot dan dijual kepada individu berkemampuan membina banglo mengikut rekaan sendiri lagi mengusarkan hati dan menyebakkan perasaan. Berhibalah kita melihat kesenangan orang yang tidak sebangsa dibumi yang kononnya kita bersusah-payah memerdekakan walhal kita sebenarnya diberi kemerdekaan dengan penuh tipu muslihat.Sandiwara lebih 60 tahun lalu kini benar-benar disaksikan oleh kita kalangan yang dilahirkan selepas merdeka. Lagu M. Nasir berpasangan dengan S.M.Salim bertajuk, 'Cak Kun Cak', berjaya menyimpulkan sandiwara bermuslihat ini. Bila orang sebangsa mengkhianati dan bersekongkol pula dengan bangsa lain menekan menindas golongan yang tidak berapa hendak cerdik, maka punahlah harapan dan cita-cita merdeka itu sendiri.

Bakal didirikan apartment dibelakang Melaka Mall

310 k ditepi pantai

Terimalah hakikat. Perkuatkanlah ukhwah persaudaraan kita. Bergandinganlah pertahankan apa yang masih milik kita.

Thursday, August 25, 2016

Setahun Berlalu...

11 JULY 2016, 20:05
Hari ketiga aku bertugas hari ini. 2 hari full shift untuk Sabtu dan Ahad dan pagi ini memulakan tugas seawal 7:00am. Bukannya sebagai OP tapi perlu hadir awal untuk monitor set-up promotion di central court dan event area. Sibuk dan bak kata omputih, 'hectic scheduled'. Alone to monitor serba serbi pagi ini. Namun pengalaman sebagai senior staff serta sudah bertahun melaluinya, alhamdu-li-Ilahi, semuanya mampu digalas dengan baik.


Semasa sedang memantau di event area aku terperasankan sesusuk tubuh sedang berjalan di passageway. Wajah yang familiar sangat dipenglihatan tapi sukar membezakan dalam sekilas pandang memaksa aku memanjangkan langkahan menghampirinya. Ucapan salamku bersambut dan spontan jugalah berjabat salam. Tidak lengah lagilah aku minta keizinan untuk berselfie dengannya. Mungkin izin dalam paksa atau sekadar sporting untuk bergambar bersama. Sekejap sahaja berbual dengan Cikgu Wahab yang kehilangan isteri tercintanya Cikgu Norphiah pada 2 Syawal 1436H. Setahun yang lalu aku di Option B yakni bertugas untuk 5 hari. 2 hari full shift sebelum raya, shift middle untuk raya pertama serta 2 hari berikutnya iaitu raya kedua dan ketiga harus full shift juga. Teringat lagi masa pertemuan didalam premise niaga ini aku ada bertanyakan tentang situasi isterinya yang sakit yang dikhabarkan oleh anaknya Muis didalam grup whatsapp sebelumnya. Dia ketika itu agak keberatan memaklumkan tapi sudi jugalah dia berkongsi kisah isterinya itu. Aku 'jual' nama anaknya si-Muis yang mengkhabarkan deritaan ibunya diwhatsapp. Dipertemuan yang tidak disangkakan pada raya kali ini dan terserempak bagai telah ditakdir dan dirancangkan ini membuatkan aku sedikit 'excited'. Hajat untuk bergambar bersamanya ketika pertemuan di Ramadhan tahun lalu tidak kesampaian disebabkan aku tidak yakin serta segan untuk berselfie dengan ayah si Muis ini. Entah macammana buat pertemuan kali ini sikap dan confidence level aku begitu tinggi pula. Mudah dan melorot sahaja dia bekerjasama memberikan pose yang seperti aku snapkan ini.


Bersama Cikgu Wahab
Bersama Muis sebelum ber-bowling
Screenshot 'whatApps' immediately selepas pertemuan

Sebenarnya kita tidak dapat menjangkakan tindakbalas dari tindakan yang kita ambil. Teringat lagi kata-kata Richard Dean Anderson yang memegang watak Mac Gyver, 'Every action has a reaction' yang sebenarnya adalah satu kesimpulan 'Fizik' dalam salah satu episod siri tv Mac Gyver sekitar awal 80an dahulu. Hasil kajian fizik sememangnya kita mampu menjangkakan dengan tepat akan apa pula yang seharus dan semestinya berlaku bila sesuatu objek digerakkan. Cepat lambat pergerakan dan jarak masa diambil dapat disukat dan diukur. Namun dalam kehidupan seharian pula amat berbeza sekali senarionya berbanding ilmu yang dipelajari dibilik darjah. Kita tahukah apa yang bakal terjadi esok hari atau lebih awal lagi sebelum 12 malam nanti. Tidak bolehkan dan tidak mampukan meramal dengan tepat. Yang dibelajar didalam suasana formal masa baru hendak hidup adalah sekadar memahamkan apa yang selama ini tidak diketahui dari orang terdahulu yang sudah lama hidup yang memikir dan mengagakkan dengan tepat. Kemampuan guru amat perlu untuk memimpin dan memperbetuli mana yang silap.

Walaupun dirinya seorang guru dan isterinya juga pun seorang guru, ketetapan keatas ibu dan bapa Muis tidak terjangkakan. Tabahnya Cikgu Wahab merelakan pemergian yang tidak dimahukan akan isteri tercintanya diketika umat Islam menyambut Raya benar-benar meragut kegembiraannya dan keluarganya pada ketika itu. Memangpun tidak siapa menginginkan tapi hakikatnya itulah yang berlaku. Melawan takdir dengan cara mempertikaikan dan mempersoalkan kewajaran akan apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak harus dan tidak perlu dilakukan. Nampak jelaslah yang ilmu yang kita miliki tidak terbandingkan dengan Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa terhadap setiap kejadian. Zahirnya ketika berbual dengan Cikgu Wahab di kesempatan raya ke empat ini tidak jauh berbezanya ketika mana dipertengahan puasa setahun yang lalu. Tetap sahaja sama nada dan cara dia berkomunikasi. Tiada perbezaan ketara terlihatkan. Hati dan perasaan tidak pastilah pula. Mestilah terganggu. Tidak banyak tapi pastinya sedikitpun mestilah kedapatan. Segalanya bergantung pada kecekalan, ketabahan diri menghadapi ujian dari Illahi.

Nasib orang sudah terlihatkan. Nasib sendiri belum diperlihatkan olehNya. Apakah begini atau begitu akhirnya. Dan sejauhmanakah seseorang mampu menghadapinya lebih-lebih lagi diri ini. Takut dan gementar menghadapi adalah normal bagi manusia. Mengharapkan hal yang baik-baik sahaja berlaku dan cuba mengelak dari keburukan adalah juga normal buat kita. Tiada kesalahan berharap belas denganNya. Tapi janganlah pula kita berputus harap akan RahmahNya dan RahimNya sehingga melakukan sesuatu yang jauh terpesong.

Dengarkanlah tazkirah tentang 'perpisahan' dari Dr. Mohd Fazilah Kamsah or DMFK... yang kebetulan diperdengarkan via SinarFM ketika menyiapkan coretan ini.



Redha


Aku tergamam dan terpegun seketika bila melihat dia melangkah pergi menuruni escalator sehinggalah hilang dari pandangan mata. Masih cergas dan sihat serta tegap berjalan. Mampu pula memandu sendirian dan pastinyalah berjaya mengurusi dirinya sendiri. Amat mengagumkan aku di usianya yang sudahpun menjangkau 81 tahun serta dikurniakan dengan kesihatan dan kehidupan selesa dan jauh ketaranya dengan mereka yang seusianya yang dibeliti pelbagai kesukaran. Sebelum berpisah seketika itu, aku bersalaman lagi sambil mengharapkan dirinya kekal sihat dan dia juga mengucapkan kembali buat aku pula, macamlah aku ini rakan sebaya layaknya.

Tidak sangka pula berkat dari pertemuan pertama berbual setahun yang lalu dan yang terkini makin menyelesakan bila berinteraksi sesama. Diapun tidak mencurigai aku dan aku pula makin berkeyakinan berborak dengannya sedangkan masa kecil dahulu tidak sekalipun dan tidak terlintaspun untuk bertemu dengannya mungkin disebabkan usia yang jauh menjarak. Lagipun aku berpangkat 'anak' sedangkan dia sebaya bapak. Kesempatan andai masih ada untuk aku bertemu beramah dengannya akan aku pastikan yang ianya mampu menceriakan hidupnya yang kini keseorangan dirumah banglo yang tersergam suram tanpa anak-anak yang bertebaran menjalani kehidupan masing-masing.

Selingkar kisah untuk aku renungi...

Tuesday, August 16, 2016

Menghadiri makan kenduri

13 AUGUST 2016, 18:49
Rasanya dia baru berkahwin. Adalah dalam 5 tahun terdahulu dari aku. Tapi kini, hari ini, dia sudahpun menerima menantu. Begitulah cepatnya masa bergerak dan berlalu pergi. Hanyalah kita yang terpinga-pinga mengingatkan dan barulah tersedar dan merasakan pantasnya zaman berubah.



Jemputannya


Anak buah diapit Mak Uda dan Ibu

Mak sedara diapit anak dan anak buah

Anak beranak

Teringat lagi masa aku mula tamat belajar dan masih tercari-cari 'rezeki', aku terperasankan yang dia seolah-olah mahu merendah-rendahkan aku dengan cuba meng-'psycho'-i aku. Aku pada awalnya tidak berapa nak perasan tapi lama-kelamaan bila kerap benar dia mengelarkan aku 'datuk' bila berselisih dan ketika melintas dihadapan rumah yang disewanya dengan sapaan yang sedikit bernada ego-nya. Sesuatu yang kita tidak gemar dan tidak suka tapi memandangkan yang dia bersepupu dengan aku maka aku biarkan sahaja walaupun ingin sahaja aku 'carut'-kan tapi aku masih mampu mengawal diri. Entahlah, apa tujuan dia bersikap begitu ketika itu dan yang pastinya hanya dia sendiri sahajalah yang tahu. Sejak terperasan dan membentuk semacam satu pola pula maka tidak pernahlah aku yang membuat opening remarks mendahuluinya. Semacam kurang selesa pula bila dia menyapa dengan gelaran 'datuk' yang seperti disengajakan. Tidak menegur dia dahulu adalah protes halus aku akan cara dia 'melihat' aku. Mahu sahaja aku 'sound' untuk membantah tapi semacam terkunci pula hendak berkata. Mungkin masa itu aku tidak mahulah  merenggangkan  perhubungan kekeluargaan atau mungkin juga aku tidak diberi kekuatan olehNya untuk menyatakan pendirian aku akan sikapnya. Allah swt hendak menilai sejauhmana dan setakat manakah aku mampu menyerap segala 'penghinaan' atau selama mana yang dia mampu merendahkan aku. Apakah dia akan sedar akan perbuatannya yang menguris perasaan orang lain.

Biarpun peristiwa ini telah puluhan tahun berlaku tapi tentu sahajalah yang empunya diri tetap mengingat-ingatinya. Tidak mudah hendak melupakan begitu sahaja. Aku tidak pula mencampuri urusan orang tapi kenapa pula orang lain pula yang sibuk menganggu dan mengacau rentak perjalanan hidup aku ini. Namun bila difikir dan dikenangkan kembali saat ini terasa semacam ada isyarat buat diri untuk lebih serius tentang kehidupan. Bukan pula disebabkan dia semata-mata maka aku lebih proaktif tapi keyakinan dan kemampuan diri untuk tabah dan semakin berani menghadapi dugaan hidup. Rentak kehidupan yang diimpikan dan yang benar-benar menghinggapi diri haruslah disyukuri. Sememangnya kita tidak berkuasa atas apa sahaja melainkan dengan izinNya.

Dikesempatan hari ini, aku sekeluarga seramai 5 orang kecuali Along dan Yusuf, berkunjunglah ke Jalan Aman yang sebenarnya lorong ke rumah En. Roslan Bin Aman kita. Ini adalah 'scheduled' kunjungan atas jemputan dia bersama isteri yang singgah menjemput pertengahan July. Diketika itu aku tiada dirumah kerna bekerja. Bekerja shift petang ketika kehadiran mereka ke rumah. Maklumat akan tarikh majlis walimah anaknya yang dimaklumkan oleh orang rumah telah aku plotkan cuti hujung minggu ke tarikh tersebut. Harapan agar kehadiran kami akan dapat mengembirakan pasangan pengantin dan mampu memeriahkan majlis walimahnya khusus kepada bapa dan emak pengantin yang beria-ia benar datang menjemput. Apapun memandangkan orang rumah sudah hadir dengan ditemankan along dan mengikut sama yang lainnya pada malam nikah anaknya, aku bergerak hampir kepukul 2 petang.Selepas semuanya bersembahyang zohor dan sampaipun sekitar 2:20 petang. Sebelum balik, menurut orang rumah, mereka berdua seolah meminta kepastian pula dalam merayu, 'Besok janganlah tak datang...'. Orang rumah pula jawab, 'Insya-Allah... datang.'.

Okay, sekarang kami sekeluarga telah sampai. Dari kejauhan kelihatanlah bapa pengantin berbaju melayu warna kuning. Semacam sudah menjadi trend pula, seluruh anggota keluarga berwarna sama. Kata orang sedondon. Lelaki berbaju Melayu dan perempuan berkurung moden. Berselisih dengan orang yang telah selesai menjamu sambil bertegur senyum dan jelas gembira semuanya mungkin sedap lauk yang di-catering-kan. Orang yang hadir masih memenuhi meja bulat sedang menikmati makanan. Dua station menyediakan sebaris lauk dan kuih untuk dipilih dan dinikmati pengunjung. Tapi tidak manislah menonong sahaja masuk ke khemah. Aku berdiri sejenak bersama yang mengikut sedang Abang Lan tengah bersalaman dengan tetamu yang hendak beredar keluar. Salam berkaut istilahnya. Bagi aku adalah tidak kisah untuk menunggu seketika cuma. Bila tiada lagi yang dekat untuk bersalaman, cepat-cepatlah dia mendapatkan aku yang dia semestinya sudah perasan ketercegatan aku dalam 4 depa jaraknya. Sambil bersalaman aku ucapkan tahniah kerana terima menantu. Dia pula semacam soalan standard bertanyakan sudah makan ke belum. Tentu sahajalah aku spontan menjawab baru sampai sambil dia mendepangkan tangannya mengarahkan ke khemah yang menyajikan makanan kepada tetamu. Aku tidaklah perlu bertanya banyak kerana segala persoalan telah terjawab dari orang rumah yang hadir dimajlis nikah anaknya semalam. Bergerak reramailah ke tempat juadah makan tengahari disediakan. Petugas katering berdiri tercegat sambil tangan bersilang dibelakang. Bukan seorang tapi ramai yang lebih berdiri dari bekerja. Mungkin ditugaskan memerhatikan orang sampaikan pinggan kehabisanpun tidak bertambah. Jeritkan pada budak beruniform yang paling hampir menyuruhnya mendapatkan pinggan disebabkan bunyi nyanyian terlalu kuat hingga menyukarkan untuk bercakap. Mungkin berbual-bual dengan yang mengenalipun terpaksa bercakap dekat-dekat. Kita menyuruhnya mendapatkan pinggan tapi dia pula bersahutan pada rakan dihujung meja lauk untuk mendapatkan pinggan tambahan.

Pasal lambat sangatlah bila suruh dia, dia suruh yang lain dan terperasaankan meja penyediaan lauk disebelah dalam masih ada lagi maka bergeraklah menuju. Haraplah kalau hendak ditunggu. Entah cepat entah tidak dihantarnya pinggan yang diminta. Selesai mengambil nasi dan lauk ikut selera masing-masing, tetiba Kak Long muncul dari belakang menyuruh duduk dimejanya yang hampir siap menjamu selera. Terpandanglah si Wawa dengan hubby dan seorang lagi yang iras-iras abang Yan. Meja berkapasiti 10 orang dan yang bakal menyambung mendudukinya seramai lima orang sudah memadai. Aku pula terus duduk bersebelahan dengan laki Wawa. Ketika memandang kekiri kekanan, terperasan pula seseorang melambaikan tangan dari meja bertentangan. Hendak menjerit tidak sesuai pula dengan bunyi nyanyian berkaraoke mendominasi suasana. Aku bingkas bangun menuju kearah mamat yang masih mengenali aku ini. Ketika bersalaman, dia segera menanyakan, 'kau kenal aku lagi.' lalu segeralah aku menjawab, 'apa pulak tak kenalnya... kau Sharif, kahwin dengan orang Kandang. Kan ke kita sebaya... dengan bapa pengantinpun kita sama umur.' Tergelak sesama sambil bersalaman. Si Sharif ini sudah selesai makan dan hampir hendak keluar dari khemah makan ini. Hendak ditemukan siapa sangka. Kita tidak berjanji tapi keberadaan ditempat yang sama adalah satu anugerah dariNya untuk saling mengeratkan silahturahim. Selesai berborak kosong aku kembali ke meja yang mana telah aku letakkan nasi minyak yang diceduk sendiri dan pilihan lauk yang juga diceduk sendiri. Sempat lagi bertanyakan, 'Yan bila sampai....' sambil melihat susuk tubuh yang iras-iras Suffian. In split-second juga aku berkata, 'Jemput makan...' pada insan yang tersalah orang ini. Dalam hati pula berkata, 'Nasib baik dia tak dengar...'. Maklumlah suara orang berkaraoke amat menggangu ketenteraman dan menyukarkan untuk bercakap-cakap hatta untuk berbual-bual santai.

Selesai makan siap menjamah 2 bungkus tapai tetiba bahu kanan aku ditepuk orang. Aku berpaling kekiri menjangkakan yang seseorang akan bergerak kekiri untuk beredar. Selepas spontan menoleh kekiri akupun menoleh kekanan. Tertawa menyeringailah seorang lagi yang dikenali berdiri disisi. Juga menanyakan, 'kau kenal aku...'. aku sedikit off-guard tapi remain compose. Sekejap sahaja untuk aku recall akannya. Akupun cepatlah menjawab, ' Abang Zul @ Bam...' Dia mengangguk seolah mengiakan jawaban aku itu. Sambil tu dia menunjuk pula kearah seorang perempuan yang iras-irasnya juga sambil bertanya masih kenalkah lagi. Aku menjawab masih kenal. Inikan ke Azizah adik Abg Bam. Dia memaklumkan yang Azizah sekarang tinggal bersebelahan rumahnya di Bakar Batu. Sebelum dia bergerak pergi, aku pula menyoal' 'Dah dapat cucu...' Bangga pula dia menjawab, 'dah dua dah cucu aku. Malaslah nak bertanya banyak-banyak tertakut ada yang berkecil hati nanti. Memangpun macam gatal sahaja hendak bertanya. Setahu aku Azizah ini sudah menjanda. Usianya cuma setahun lebih tua dari aku. Begitulah tidak semua orang sempurna hidupnya. Ada-ada sahaja halangan yang mendatang. Biasanya 'remarks' yang akan dizahirkan oleh kita bila ada sesiapa yang ditimpa musibah adalah bertanyakan perasaan diri. Andai perasaan yang dimaklumkan tidak bertepatan dengan yang dirasakan patut diluahkan maka akan bertujailah pertanyaan demi pertanyaan tentang mengapa dan kenapa tidak seperti yang dijangkakan. Sukar menjadi orang nampak gayanya. Buat begini salah buat begitu tidak betul maka mana satu yang patut dan sepatutnya. Hentam sahajalah.

Terasa sudah terlalu lama duduk-duduk sambil orang rumah laju memamah kerepek yang tersedia dimeja sehingga tinggal abuk sahaja akupun memaklumkan masa untuk beredar pergi. Tetiba pula masa tengah berdiri seorang lelaki dalam usia 10 tahun lebih tua berdiri bersebelahan. Sambil tangannya menghulur untuk bersalaman dan spontan pula aku menyambutnya, dia bersuara, 'kenal saya...'. Kali ini aku hampir check-mate. Aku cuba mengingatkan namanya tapi tidak berjaya. Namun untuk menutup kekurangan ini akupun menyebutlah penuh yakin, 'Abang Atan punya abang ipar... abang kak Limah...'. Mengangguk dia mengiyakan. Dia ni pun kalau tidak silaplah masih bujang, bujang tua. Tidak berkahwin dan masih teruna. Hidup solo. Tidak tahu mengapa dan tidak sangguplah hendak bertanya hal yang terlalu peribadi baginya. Orang tidak mulakan takkanlah aku nak korek pula. Bercakap-cakaplah kami sesama berdiri sambil-sambil itu menyuruh orang rumah dengan bebudak beredar dulu berjumpa dengan emak pengantin. Adalah dalam beberapa minit kemudian selepas berborak tu, akupun beredar ketempat dimana emak dan bapak pengantin menunggui tetamu yang datang dan beredar pergi dengan tujuan bersalaman. Aku sampai bapa pengantin pula tiada. Aku berseloroh dengan bapa mertua bapak pengantin, 'Mana bapak pengantin...' sambil memandang tepat kearah Pakcik Ahmad yang menjadi proksi semasa ketiadaannya. Pakcik Ahmad bertanyakan pula cucunya yang duduk dikerusi menjaga 'door gift'/goodies bag buat tetamu. Pantas sahaja si Syafiqah anak dara bongsu dak Lan ni memaklumkan yang ayah pergi 'solat'. Terdengarkan jawapannya melurut sahajalah aku hulurkan pada Pak mertua bapa pengantin ini sambil berpesan,'tolong sampaikan salam padanya.'

Selesailah sudah. Hajat mereka menjemput meraikan pengantin tertunai. Bergerak pulanglah hampir ke pukul tiga petang. Nasib baiklah semuanya sudah bersolat. Tidak perlu tergesa-gesa. Andai kedatangan diawalkan ke pukul 12 tengahhari mungkin aku tidak berkesempatan bertemu dengan orang-orang yang aku bertemu sebentar tadi. Seperti dikatakan tadi, segalanya adalah takdir ketetapan dariNya. Mana ada orang yang tahu akan apa yang akan berlaku dan terjadi didepan. Even kejadian yang telah lepaspun sukar dimengertikan dan kerap pula disalahertikan, inikan pula ingin meramal akan apa yang pasti berlaku. Mustahil. Memangpun mustahil. Ada masakah hendak memikirkan dan mengenangkan setiap peristiwa yang terjadi. Kita tidak mampu sebenarnya. Jauh lagilah hendak mengutip intipati kejadian sebagai panduan dan pedoman mengemudi masa depan. Orang kebanyakan dan marhaen lagi agak jaranglah kedapatan. Mungkin bagi yang berilmu dan educated serta terdidik dengan sifat-sifat yang seharusnya ada berupaya memaksimumkan kehidupan ketahap yang sempurna. Apapun kesempurnaan adalah relative sifatnya. Sempurna bagi dirinya tapi masih ada kekurangan dari sudut pandang orang lain.

Berusahalah menuju kesempurnaan.

Monday, July 18, 2016

Hari Raya... hari mulia untuk 1437H

06 JULY 2016, 00:11
Tepat sekali. Memangpun hari raya adalah hari mulia. Mengikut perkiraan aku, walaupun telah berusia 52 tahun, keberadaan aku di hari lebaran ini telah lebih dari 52 kali jika mengikut kalender Masehi. Menyelusuri ke tarikh awal kelahiran dengan bantuan goggle dan diyakini tepat, sambutan hari raya pertamaku adalah pada 15 February 1964 iaitu kurang lebih ketika aku baru berusia 14 hari. Bermakna sehari sebelum malam permulaan turunnya ayat al-quran atau lebih dikenali sebagai 'nuzul al-quran. 5 ayat pertama dari surah al-alaq @ العلق iaitu ' اقرا ' yang bermaksud 'Bacalah'. Mengikut nahu bahasa arab, ianya adalah امر atau kata perintah. Kata perintah ini ditujukan kepada orang yang menyebutnya iaitu kitalah. 


Berkalenderkan hijrah, aku dilahirkan pada 18 Ramadhan 1383H. Kebetulan pada tahun 1964 bagi masyarakat tionghua pula sama sibuk menyambut tahun baru mereka pada 13 February iaitu sehari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Fitri. Kongsiraya dengan kaum tionghua gamaknya aku ditahun 1964 tu. Tahun ini sudahpun 1437H. Jika dikira jumlah tahunnya, aku telah berada pada hari raya termasuklah hari ini, 06/07/2016 bersamaan 1 Syawal 1437H adalah kali ke 54 mengikut tahun hijrah. Kalau ikutkan tahun Masehi pula aku baru berusia 52 tahun. 52 ke atau 54 ke itu bukan persoalan besar andai kita tahu melihatnya, menilainya serta memperakuinya dari perspektif yang betul.

Pada tahun 2013 penghujung puasa dengan mood raya mula menguasai diri, aku telah menyusun membentuk 'table' akan tarikh permulaan puasa serta raya mengikut tahun masehi berbandingkan dengan tahun hijrah. Usaha pengumpulan data ini sebagai mengingati detik permulaan berpuasa dan tibanya raya yang selama ini aku sambuti sehinggalah kesaat ini. Bermula dari bayi ke kanak-kanak, kemudiannya dizaman persekolahanku ke usia remaja dan terkini sebagai seorang bapa. Mungkin juga kurang dari 5 tahun lagi sebelum menyampaikan tahun 2020 jika diizinNya menyambut puasa dan raya berstatus 'datuk' pula. Penambahbaikkan dilakukan keatas data yang dikumpul dan dikemaskinikan bagi memudahkan pemahaman. Maklumat yang mungkin berguna serta mudah menjawab soalan-soalan trivia yang spontan ditanyai. 

Sudah 54 kali aku beraya, menyampaikan tahun ini

Cepatnya masa berlalu. Pejam celik pejam celik dan sehingga ke saat ini terlalu banyak berubah. Teringat lagi aku ketika ditahun-tahun 70an bilamana menjelang raya, emak dan bapak akan melelau kami dua beradik iaitu aku dan adik yang berjarak 11 bulan sahaja ke Kampong Jawa. One-stop center bagi golongan marhaen mendapatkan kelengkapan raya. Dari pakaian ke kasut, peralatan dapur ke bahan membuat kuih muih serta cat ke keperluan perhiasan rumah yang semuanya kedapatan within walking distant sahaja. Kesibukan serta kemeriahan suasana dimasa itu jelas terpancar diwajah setiap pengunjung membuat persiapan raya masing-masing. Malah peniaga-peniaga berbangsa tionghua lebih lebar senyuman mereka menjelang setiap kalinya tiba musim raya puasa. Dominasi mereka seakan tidak mungkin dapat dipecahkan ketika itu. Peniaga melayu lebih kepada berjualan songkok dengan ehsan menumpang dikaki lima kedai cina sekitar jalan bunga raya dan dilaluan masuk ke kampong jawa sahaja. Tidak kelihatanpun peniaga melayu yang 'berani' berniaga seperti peniaga cina samada kasut, pakaian, kelengkapan rumah mahupun peralatan elektrik yang siap berkedai kekal disepanjang jalan bunga raya, juga dijalan kee ann yang pendek jaraknya macam jalan chow kit di kl, jalan pasar mahupun dijalan utama merentasi bandar melaka iaitu jalan munshi abdullah.

Ketika dizaman bebudak dulu bukanlah tidak seronok hendak beraya tapi terpaksa menuruti kehendak emak bila tiba masanya hendak mengacu pakaian baru, takut terbesar atau sempit. Apa yang mengharukan adalah betul-betul didepan kedai make-shift yang berbumbungkan canvas itulah, rela atau tidak, dan didepan pelanggan yang turut sama sibuk membelek membeli dan yang sedang lalulalang, aku disuruh berlenggeng serta lucutkan seluar sebelum mengenakan baju seluar yang dipilih oleh mak. Terpaksa buat selamba je. Tiada membantah apatah lagi ingin memilih sendiri. Ikutkan sahaja apa yang dicakap oleh mak dan bapak masa itu.

Biarpun begitu, suasana raya dizaman kanak-kanak tidak mungkin bersamaan kini. Zaman yang serba serbinya terlalu simple berbanding situasi semasa yang kononnya lebih canggih manggih ini hanya menjadi kenang kenangan sahaja bagi mereka yang pernah alaminya.

Sebelah malamnya selepas habis berbuka untuk hari terakhir berpuasa adalah ketikanya ditunggu-tunggu. Malam sesama bertakbir yang bererti masa bermulanya mengumpul duit raya. Besar jumlahnya yang adakalanya menyampai RM14.00, kira berbaloilah dari selepas isyak membawa ke 2:00 pagi bertakbir bersama-sama dari rumah ke rumah. Pagi raya pula 'standby' menunggu kerabat berkunjung sampailah ketengah hari. Mana yang rapat dan mengenali akan hulur duit raya. Bukanlah macam sekarang ini yang beringgit-ringgit sekali hulur tapi setakat 10 sen ke 20 sen sahaja. Kalau rezeki lebih, masuklah juga 50 sen dan RM1 bagi kerabat yang berkemampuan. Lebih ramai yang datang, peluang mendapat lebih banyak lagi mungkin besar.

Sudahpun namanya bebudak, lepas tengahhari sahaja mulalah gelisah. Semacam rutin pula, perancangan telah dipersetujui untuk beramai ke bandar beraya semasa sessi bertakbir raya. Yang lebih berusia ketika itu menjadi big brother. Memantau pergerakan serta mengawasi keselamatan yang lebih rendah umurnya  dan ada yang berdarjah duapun semasa dibandar nanti. Jaminan secara unilateral dan sukarela ini membuatkan semuanya tidak sabar kebandar tanpa ditemani orang tua. Poket tengah lebatlah katakan. Tiada tempat lain yang dituju melainkan ke 'City Park' yang merupakan amusement park yang menempatkan pelbagai mesin permainan. Permainan pinball, tembak-tembak(space invader, poke-mon versi awal), dan lainnya yang perlu dimasukkan syiling sebelum memulakan permainan pastinya melekakan. Game lain yang lebih mahal seperti kereta elektrik bagi budak besar dan juga billiard buat yang dewasa tidak termampu dan tidak sesuai bagi diri aku. Penat bermain dengan mesin beralih pula ke permainan yang memerlukan dua player seperti patung bermain bola yang perlu diputar dan ditarik memang menyeronokkan sehinggakan tidak perasan hari telah menjelang petang dan duitpun hampir kehabisan.

Puluhan tahun telah berlalu. Aku kini pula yang mula menunggu kehadiran anak buah datang kerumah beraya. Begitu cepatnya masa berlalu. Kekadang nama cucu kepunyaan abang-abang aku terlupa kerana jarang bersua. Cucu sendiri belum lagi pasal anak aku belum lagi ada yang berkahwin. Masalah juga nanti jadinya. Dari segi pangkat aku lama sudah bergelar datuk. Anak buah yang paling tua sudahpun berusia 42 tahun dan yang paling muda berumur 4 tahun. Dikelirukan pula dengan cucu yang berbeza umurnya dari awal 20an menurun ke setahun dilahirkan. Memang sukar mengingatkan each and every single name dan menyebutnya dengan tepat. Maafkanlah Pak Uda andai tersilap sebut atau tersilap panggil nama cucu-cucu atok. Di dinihari sebegini, aku mengira pula bilangan anak buah yang telah berkahwin. Disebelah aku, 11 semuanya yang bekeluarga. Di Segamat Johor, di Sepang Selangor, di Shah Alam dan Klang Selangor, di Kota Bahru dan sekitar Melaka pastinya akan menjengah Pak Udanya yang still handsome ini. Begitu jugalah disebelah orang rumah, 3 kak long dari abang dan kakak ipar mula berkeluarga di penghujung tahun 2014 dan berselang seminggu melangsungkan majlis perkahwinan antara mereka mungkin juga akan datang singgah beraya.

Imbauan raya yang masih segar diingatan untuk tahun lalu dan tahun sebelum sebelumnya membuatkan rasa sedih terubatlah juga. Moga dengan kehadiran kerabat dan anak- anak buah yang berkesempatan dan sudi datang berkunjung tahun ini agar lebih bererti.

Bersangka baik dan kekal positif.