Thursday, April 30, 2015

Khutbah Jumaat - 'Solat Yang Khusyuk'

24 APRIL 2015, 12:07
الحمر لله!،
Selesai sudah membaca teks khutbah jumaat yang perlu disampaikan oleh para khatib seluruh negeri melaka untuk jumaat kali ini. Membacanya tidaklah sesukar mana, memahaminya juga tidaklah menyukarkan sangat. Namun mengaplikasikannya didalam kehidupan seharian itulah yang amat menyukarkan serta menyulitkan andaikata tiada tindakan yang proaktif dikalangan makmum yang bakal mendengarnya seketika nanti. Pandangan peribadi mengenai pentingnya solat serta perkara-perkara yang melingkari perlukan pemahaman yang jelas serta terang. Ketepatan serta kejituan mengenai solat tidak boleh sekadar melihat dan membuat sepertimana yang dilihat. Tiru-tiru didalam bersembahyang tidak memungkinkan ibadahnya diterima. Malah jauh lagilah untuk diiktiraf serta perasan yang kekhusyukan dalam sembahyang diperolehi. Amat benar sebenarnya yang 'ilmu perlu mendahului amal'. Beramal secara ikut-ikutan tidak menjamin kesempurnaan. Amalan yang dilakukan akan hanya sia-sia disebabkan tidak mengetahui hujung pangkalnya.

Bersambung menulis @ 26/04/2015

Selepas siapnya dan dirasmikan oleh CM baru akan jalan rentas ke Bukit Baru sebelum CNY tempohari, aku akan bersembahyang di 'Raudhatul Jannah' andai bekerja petang. Namun untuk minggu ini tergerak pula hendak bersembahyang di Masjid Saidina Ali pula. Masjid baru yang juga diBukit Katil ini telah dirasmikan oleh PM Najib pada 15.12.2010 @ 9 Muharram 1432H sepertimana yang tertera di plague berwarna keemasan di bahagian dinding sebelah luar dari ruang solat utama. Aku di saf yang kedua serta bertentangan dengan plague yang melekat kejap didinding masjid ini. Maklumlah sudah begitu selesa membaca tulisan arab/jawi, maka apa sahaja yang terpandang akan cuba membacanya bagi menguji kelancaran serta memahami apa yang dituliskan. Ibarat budak baru pandai membaca, segala yang dipandangnya akan dibaca. Tetiba teringat pula arwah ibu beria-ia memaklumkan pada aku akan karenah adik aku yang dibawanya ke Kelantan menemui Abang Utih diawal 70an menaiki keretapi. Privilege biasanya pada yang bongsu. Second last amat kerap terabai dan seringlah memendam rasa.  Setiap kali berhentinya keretapi, dia akan menyebut dan memaklumkan stesennya. Manik Urai-lah, Kuala Krai-lah sehinggalah sampai ke destinasi akhir. Haluan baliknyapun diulangsebut lagi sekali seolah excited dapat melihat tempat orang. Aku yang berada diketika itu, masa bualan keluarga, sekadar menyengih sahajalah. Didalam hati berkata, 'Beruntunglah kau Man...' Nostalgia pilu gamaknya.

Berbalik pada hal yang difokuskan ini, semasa melangkah masuk ke perkarangan masjid sama sibuk pula Merz hitam bergerak masuk. Tentunya orang besar baru tiba ni, walhal kereta lainnya malah MPV Vellfire ke, Estima ke, di letak diluar perkarangan masjid. Langkahan akupun terpaksa diperlahankan bagi memberi ruang buatnya bergerak. Aku tidak menoleh lagi ke kereta hitam itu memandangkan azan telah lama dilaungkan malah ketika keluar dari tamanpun azan sedang berkumandang. Menonong sahaja ke tingkat 1 dan terus bersembahyang sunat. Selesai bersembahyang sunat tu, terperasan pula satu susuk tubuh berstokin hitam berdiri mengerjakan sembahyang sunat disaf pertama. Berbaju batik sepertimana yang tersiar didalam berita 'Nightline'. Rupanya insan yang dihadapan berstokin lagi, suatu kejanggalan bagi diri dalam budaya berjumaat aku, adalah mantan CM kita. Pak Ali, sebutan bagi mereka yang biasa-biasa, dan Dato, buat mereka yang berprotokol dan berkepentingan, sedang berdiri dihadapan. Resam dunia, bila berpangkat dan berjawatan didalam kerajaan tempat sembahyang khas akan disediakan. Kebiasaan shaf paling depan dan bersebelahan dengan bilal dan para jawatankuasa masjid. Sebaris bergandingan bersebelahan bersembahyang dengan orang yang alim lagi tinggi ketaqwaan merupakan suatu advantage sebenarnya. Moga-moga limpahan rahmahnya menyinggahi diri. Apapun timbul pula rasa sedih dihati ini bilamana beliau berseorangan dan menyelit pula dicelah golongan marhaen. Tentunya didalam hati   terdetik rasa tidak dihargai oleh orang Melaka amnya dan orang Bukit Katil khasnya yang selama 3 penggal( bersamaan hampir 15 tahun) menjadi pemimpin utama negeri melaka, negeri tinggalan Datuk Hang Tuah yang kini menjadi satu lagenda pula.Tiadanya lagi orang yang mengiringi kehadiran ke masjid atau kemana-mana tempat tumpuan umum sepertimana sepanjang 15 tahun memimpin Melaka. Malah kehadiran ke masjid seperti orang biasa sahaja. 

Alangkah bertuahnya diri andai dapat hidup dizaman permulaan Islam serta bersama Rasul-Allah berjuang menegakkan Islam. Namun ketentuanNya jualah yang mengatasi segala-galanya. Apapun menghadirkan kekhusyukan solat bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya rumit serta penuh berliku andai tahu akan hakikatnya. Ibarat orang yang mengambil peperiksaan, contohnya SPM. Berapa banyak masa yang perlu diuntukkan, sekerap manakah pelajaran yang perlu diulangbaca dan dilatihtubikan agar benar-benar mantap pemahaman dan pembentangan jawabannya. Berapa tahunkah usia remajanya dikhususkan semata-mata memastikan kejayaan didalam peperiksaan yang amat dibangga-banggakan bukan dia seorang sahaja sebagai pelajar malah seluruh keluarga yang mengharapkan kejayaan yang kalau boleh secemerlang yang mungkin. Begitu jugalah didalam menghadirkan kekhusyukan dalam bersembahyang. Semua tahu bahawa solat itu merupakan satu kewajipan atas 'muslim' bahkan kepada seluruh manusia. Tapi tahukah kita apakah itu muslim. Istilah Arab ini mungkin sudah terlalu biasa dipendengaran dan sering dan kerap diperucapkan. Maknanya secara lateral adalah 'believer' atau mempercayai. Telah diperjelaskan bahawa 'kehadiran' kita diatas mukabumi ini adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Al-Khalid(pencipta). Kita ini adalah antara makhlukNya(yang dicipta). Telah juga dijanjikan yang solat merupakan benteng kepada perbuatan keji dan mungkar. Selain itu solat adalah medium terbaik mengubati segala penyakit jiwa. Solat juga berperanan menghapuskan kesalahan dan kejahatan yang dilakukan diantara waktu ke waktu sembahyang setiap hari seandainya dan mengambilkira tiadanya dosa besar yang dilakukan disepanjang hidupnya. Dikatakan solat adalah cerminan amalan seorang muslim. Khatib juga menghuraikan statement ini dengan memperjelaskan bahawa sekiranya baik solat yang dilakukan maka baiklah amalannya. Manakala rosak solatnya tentulah amalannya juga turut rosak dan sia-sia. Harus jugalah memastikan solat dilaksanakan pada waktunya dan jangan sekali-kali dilewatkan lebih-lebih lagilah disengajakan. Akhirnya, seboleh mungkin hendaklah solat itu dilaksanakan secara berjamaah.Tips mudah yang diringkaskan buat para makmum yang rata-ratanya mula menguyukan mata untuk diamalkan bersama adalah dengan memberi perhatian yang penuh serta bersungguh-sungguh melaksanakan solat, dari wudhuknya, adab dan rukun sembahyang diperkemaskan. Disamping itu perlu khusyuk didalam solat dengan mengetahui, memahami makna yang dilafazkan, dan seboleh mungkin mengaplikasi pada diri bila diluar sembahyangnya nanti.

Sekadar renungan pula, bagaimana seseorang harus dan mampu menghadirkan khusyuk andai dalam diri kosong ilmunya. Ilmu perlu dicari dengan cara berguru secara formal ataupun tidak formal. Apa ertinya bersembahyang sekiranya perkara rukun dan sunat tidak mampu membezakannya. Syarat sah dan adab adab sembahyang tidak diketahui. Begitu jugalah perkara yang membatalkan perlu diketahui dan amat harus dipelajari. Ilmu Fekah menjadi significant sebelum mantapnya sembahyang seseorang. Banyak yang perlu dipelajari dan diperhatikan demi memastikan sembahyang yang didirikan benar-benar menepati piawaian dan mengikut standard yang ditetapkan. Tidak dapat tidak bagi yang sudah lama dan terbiasa, inilah masanya untuk refreshkan kembali agar apa yang dilakukan kini menepati dan sebolehnya memperelokkan lagi. Terdapatnya banyak benda yang terlalu asas kekadang tidak ketahui hujung pangkalnya. Kitab 'المعين المبين' yang dikarang oleh Ustaz Abdul Hamid Hakim yang aku miliki, yang telah diterjemahkan ke bahasa melayu sekitar tahun tahun 50an lagi boleh membantu. Prakata oleh Saudara Ahmad Azam yang terakam dikulit sebelah dalam untuk cetakan kedua ini memperjelaskan kepada kita dimana masyarakat melayu ketika itu telah mula menyedari peri pentingnya akan hukum-hukum agamanya yang mengenai ibadat perlu bersandarkan Al-Quran dan sunnah. Dinoktahi prakatanya pada 12 Rabiul-Awal 1362H, Jumaat dan bersamaan 6 Februari 1953. Makanya didalam usaha mendapatkan kekusyukan didalam sembahyang, perkara paling asas sekali adalah mengenai hukum bersuci. Kalau bab yang ini lagi sudah 'fail', masakan dapat tercapai matlamat yang dihajati. Bahagian-bahagian air dan sifat-sifatnya perlu diketahui, apakah exception yang dibenarkan. Begitu jugalah perlu mampu membezakan bahagian-bahagian najis serta cara membersihkannya. Lepas perkara air dan yang melingkarinya difahami barulah boleh masuk bab wudhuk. Harus ketahuilah akan apakah syarat dan fardu wudhuk, perlu tahu juga akan hal yang memakruhkan dan membatalkan. Belum lagi bab Solat, cara mana melakukankan harus memahami betul-betul agar tidak menjadi sia-sia akhirnya dan jauh lagilah hendak perkatakan akan khusyuk tidaknya sembahyang itu. Sebenarnya, makin banyak yang kita ketahui malah makin banyak lagi yang kita tidak berupaya mengetahuinya. Istiqamah dan berterusan mencari pastinya akan ketemu akhirnya. Masa itu, khusyuk sembahyang akan benar-benar meresap.


Dari perspektif lain..

Pun begitu, kefahaman berbahasa arab perlu diberi perhatian serius. Tidak pernah pula sembahyang dibenarkan berbahasa melayu sahaja ataupun berbahasa antarabangsa yang diterimapakai iaitu bahasa inggeris. Ketetapan telah ditegaskan lama dahulu akan perlunya menggunakan bahasa arab yang merupakan bahasa sejagat, disini dan disana nantinya. Janji Allah adalah benar, akan betapa mudahnya bahasa arab untuk difahami serta diamali andai bersungguh mencari dan mencubanya. Pahala tetap dikurniakan bila membaca al-quran walaupun tidak memahaminya pada permulaan. Berkat kesungguhan dan tanpa kenali erti jemu, insya-Allah segala dan setiap sesuatu akan dipermudahkanNya. 

"وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ"
[Az-Zariyat:56]

Shared via Bayan Quran

Dipermulaan khutbah, ayat ke-56 ini dibacakan siap dengan terjemahannya. Apakah yang dapat dimegertikan oleh para pendengar khutbah dan sejauhmanakah para hadirin samada sebahagian mahupun seluruhnya punyai fahaman yang serupa. Atau adakah sebahagiannya punyai pengertian yang berbeza. Tidak pernah pula ada kajian dibuat untuk memantau tahap kefahaman setiap anak adam yang mendengar khutbah dinilai dan digredkan. Pihak jabatan agama dan orang yang dipertanggungjawabkan hanyalah membuat general assumption sahaja bahawa those yang bersembahyang tentu sahaja mengerti apa yang diucapkan memandangkan sesiapa yang bersembahyang melafazkan kata-kata didalam bahasa arab. Bersangka baik adalah sesuatu yang positif. Namun perlu tegas yang kita mampu 'walk the talk' kata bebudak sekarang. Kalau tidak tahu, maknanya zahir sahaja nampak bersembahyang tapi hakikatnya kosong. Itulah yang terjadi sembahyang tidak tinggal namun buat jahat tidak pernah tidak buat. Berita yang kerap keluar dimedia massa menceritakan segalanya, menipu, meragut malah membunuh menjadi suatu perkara normal untuk diberitakan dan pelakunya pula berbangsa melayu yang tentunya islam. Merefleksi apakah akan semua kejadian yang menjadi bualan ramai ini. Tentulah bagi pandangan peribadi aku, ini menunjukkan sejauh dan sehebat mana sembahyang yang didirikan oleh seseorang yang ditakdirkan melakukan segala perbuatan yang bersalahan dan bertentangan dengan falsafah solat yang disyariatkan ini.

Terjemahan ayat ke 56 ini, dimana Allah swt. mengingatkan bahawa tidak dijadikan jin dan manusia itu selain untuk menyembah dan beribadat. Bahasa Arab wajib diketahui. Pihak penguasa dan yang diberi kuasa harus menegaskan akan perlunya akan pengetahuan bahasa arab ini sepertimana begitu bersemangatnya pihak berkenaan cuba memperkasakan bahasa inggeris yang kononnya boleh membawa kepada kemodenan dan kemajuan. Keterabaian dalam  aspeks keagamaan boleh meruntuhkan ketammadunan manusia yang telah lama ujud.Bila seseorang tahu bahasa arab, maka insya-allah, mereka akan tahu juga perkara yang disuruh, larangan yang ditegah, perbuatan yang dituntut dan amalan yang diredhaiNya. Kalau sudah tidak tahu segalanya, itulah yang haru. Yang patut tidak dibuatnya, malahan yang salah pula yang seronok dilakukan tanpa adanya rasa bersalah dalam diri. Jahil atau tidak mengetahui atau kasarnya, bodoh hanyalah merugikan diri. Berusahalah untuk keluar dari lingkaran kejahilan.

Analisa ayat ke 56 ini:

wa           - adalah kata penghubung(conjucntion) @ harfu athfi. Melayunya - dan/and

ma           - adalah kata penafian(negative) @ harfu nafi. melayunya - tidak/not

Halaqa      - adalah katakerja(rootverb in past tense) @ madi.Melayunya -ciptakan/created

tu             - adalah gantinama pertama(pronoun - 1st sg) @ damir. Melayunya - aku/I

Halaqtu     - Aku telah ciptakan/I have created

Al-Jin        - adalah katanama(noun) @ ismu mansub. Melayunya - Jin/ The jinn

wa           - adalah kata penghubung(conjuction) @ harfu athfin. Melayunya - dan/and

Al-Insan   - adalah katanama(noun) @ ismu mansub. Melayunya - Manusia/ The mankind

il'la          - adalah particle(accusasive particle) @ harfu . Melayunya - kecuali/except

li             - adalah katasendi(preposition) @ harfu jar. Melayunya - untuk/for

abada      - adalah katakerja(rootverb in past tense). Melayunya - untuk menyembah/ to worship

liyakbudu  - adalah katakerja(verb in imperfect tense) @ mudaria. Melayunya - mereka menyembah aku/ they worship me


Apapun bukan mudah untuk mencapai kesempurnaan. KepadaNya jualah kita meminta dipermudahkan akan segala yang kita buat agar diterima segala amal. Photo yang dilampirkan ini amat kreatif di penglihatan dan mungkin juga yang terbaik pernah direka oleh perekanya. Namun keberkesanan mungkin boleh dipertikaikan. Teknologi mungkin membantu tapi matlamat yang ingin dicapai amat meragukan. Memujuk banyak caranya. Memujuk cara 'phyco' sedemikian mungkin lebih menghindarkan kehadiran dari meramaikan makmum. 

Jawatan Kosong... takut nanti terbiar kosong.


والله علم. 

Saturday, April 25, 2015

Papa kedana...aku dibuatnya

 22 APRIL 2015, 12:00

Tidak pernah sebelum sebelum ini aku melihat dompet duit ketika ingin membeli barangan keperluan. Malah hari ini merupakan suatu sejarah didalam hidup aku yang semakin hampir ke penghujungnya. Sebaik sahaja aku memberhentikan kereta dibahu jalan berhampiran kedai Dak Lim di Taman Desa Duyung, tergerak pula hati untuk melihat cash yang masih berada didalam dompet duit. Tinggal 2 keping warna merah dan cuma sekeping sahaja warna hijau. Perlu berbelanja mengikut budget yang ada ditangan.

Melangkah longlai sahaja menyeberangi jalan untuk ke kedainya. Masih ramai lagi orang sekaum aku tengah terbongkok bongkok memilih ikan yang berada didalam tong ikan yang disusun rapat-rapat. Kedai Dak Lim ini jarang benar aku kunjungi mutakhir ini memandangkan kualiti ikannya yang hampir ke tahap tidak boleh dimakan. Selalunya aku ke pasar besar Melaka saban minggu untuk mendapatkan barangan basah @ perishable items. Namun untuk hari ini, tidak dapat tidak terpaksalah aku merendahkan diri melewati ke kedainya yang tidak jemu-jemu menunggu pelanggan melayunya mendapatkan lauk-pauk. Ibarat telah diikatnya secara 'halus' akan semua pengunjungnya sejak sekian lama. 

Persepsi harga yang murah serta banyak pilihan, 'automatically' menjadi tali yang mengikat pelanggan tetapnya. Aku sendiri cuba merungkaikan ikatan yang lama telah membeliti diri. Berjaya memanglah berjaya namun untuk seketika cuma. Bilamana kesempitan, pilihan terakhir yang ada hanyalah kedai 'Soon Huat' @ Dak Lim yang menjadi penyelamat.

Bukanlah aku bermaksud mahu buka semua rahsia kehidupan tapi terserlah nyata akan sejauhmana aku mengemudi mengatur kewangan bulanan khususnya. Namun setiap apa yang mahu aku laksanakan, wang-lah yang menjadi penggeraknya. Memanglah bukan wang penentu segalanya tapi tanpa wang lebih lebih lagilah dalam situasi semasa kini tentu sahaja tidak mungkin dapat dilakukan penuh jaya. 

                                                            BDB - Ada Duit Hati Senang


Hakikat ini perlu aku hadamkan dan berserah bertawakkal kepadaNya.

Friday, March 27, 2015

Boikot!, ... boleh ke, sanggup ke?


13 FEBRUARY 2015, 06:35 PM
Diketika ini aku dihadapan kedai gunting rambut Wendy. Kat mana tu? Kat mana lagi, kat pekan Kandang-lah didalam kawasan kejiranan aku. Pekan yang telah sekian lama aku injaki sejak kecil lagi setelah aku boleh bergerak sendirian dan ketikanya secara beransur-ansur pengawalan kakak dan abang mula mengendur ketika itu. Terdapat ramai lagi yang masih menunggu. Mana yang tak sanggup, angkat kaki pergi. Masa mencari 'port' yang selesa untuk menunggu giliran  diluar kedainya, kedengaran bunyi deruman motor besar berhenti. Dalam pada itu, aku mengarahkan si yusree cepat-cepat duduk dikerusi didalam kedai si amoi itu. Ketika hendak melabohkan bontot kat sofa diluar kedainya, sambil sambil tu mengeluarkan smartphone bersaiz 5.9" untuk membaca e-book, aku disapa seseorang. Menoleh ke arah suara, tersergam satu susuk tubuh. Salamnya aku jawab. Bunyi suara tidaklah segarang raut wajahnya dengan susuk tubuhnya yang sedikit tough juga. Suaranya agak lembut ala-ala bapok aje macam lenggok suara ahli kumpulan 'Zero' yang kurus berambut lurus tu, Saiful namanya kalau tak silaplah.


Bini no. 2 dia ... katanya

Kekadang sukar rasanya bila tidak mengikut skil. Ada ketikanya, berbadan kecil tapi punya suara yang garau, tidak kurang juga yang ditemui bersuara halus(volume dah habis tinggi) tapi miliki badan yang besar persis 'american size'. Ada juga yang berusia tapi wajah macam budak sekolah lagi, tiada berjerawat, berkulit licin, bermisai tapi macam baru hendak tumbuh. Apapun mudah baginya membuat 'opening remarks' dan tidak nampak kekok bila berbicara lebih-lebih lagi dengan orang yang pertama kali bersua, akulah yang dimaksudkan. Dapat aku rasakan yang dia sertai club motor besar memandangkan cara dia bercakap dan berinteraksi amat meyakinkan. Banyak tempat telah dijelajahi agaknya bersama rakan se-club keseluruh tanahair memungkinkan dia boleh selesa berbual dengan sesiapa sahaja.

Memandangkan dia dah mulakan, akupun apalagi menjuallah. Tanyailah dari mana, pantas dijawabnya, Telok Mas. Aku cuba memancing pula, bukankah kat sana tu ada kedai gunting mamak. Dia mengangguk seraya memberitahu yang dia sudah boikot. Lanjutnya lagi dengan aku sendiri bertambah attentive, memaklumkan yang harga guntingan telah menjadi RM12.00. Sebab itulah dia datang ke Kandang. Pandai sungguh rangkaian kedai gunting rambut asing ini dalam memanipulasi keadaan. Kita hairan macammana warga india boleh berniaga di tanah tumpahnya darahku ini. Apa kelayakan yang membenarkan mereka datang berniaga sedangkan warga tempatan pasang payung, buka meja tepi jalan sudah pastinya disaman oleh pihak mbmb. Kini, malah berani menaikkan upah gunting dari RM8.00 menjadi RM12.00 pula. Apa yang brother ini beritahu memang betul sebab aku pernah mendatangi cawangan diduyung beberapa bulan terdahulu, mungkin menjelang raya tahun 2014. Masa sesi berbual dengan petugasnya yang cakap melayunya tergagap gagap sebab verbs dan nouns bahasa melayunya yang memang terhad, memberitahu terdapat 3 cawangan yang tengah ligat beroperasi. Pertama cawangan di duyung, kedua di Jasin dan terbaru di Taman Seri Telok Mas. Bila aku buat sedikit selidikan, no wonderlah dia tanpa takut-takut dan dengan wewenangnya menaikkan harga sebab tukang gunting melayu banyak yang sudah tutup bisnes. Angkara adanya rangkaian kedai gunting yang lebih organised serta professional lagi yang ditunjukkan mereka hampir melenyapkan terus penggunting rambut melayu. Adapun yang masih beroperasi cuma sekadar berniaga sambilan. Bila cuti atau berkelapangan baru buka niaga, macamana orang hendak singgah bila perkhidmatan ikut suka sendiri. Monopoli terhadap bidang ini dengan pihak yang sepatutnya memantau terlepas pandang ataupun telah ditutup pandangan mata mereka bila pengusaha asing ini bermain silap mata pastinya mengakibatkan golongan pengguna menjadi mangsa.

Terangnya lagi kedai Abang Osman yang berhimpit dengan balai polis tidak dibuka lalu  membawanya ke sini. Aku pernah juga membawa anak bergunting dengan abang Osman ini,lebih senior dan berkerjaya guru. Part-time sebagai juru gunting rambut ini dibuatnya mungkin punyai kemahiran yang dipelajarinya masa mudanya dahulu. Hobi yang boleh memberi pulangan ini cuma dilakukan secara suka-suka. Mana mungkin boleh bersaing dengan pendatang asing yang menjalankan secara serius.

Dalam usaha pemboikotan, kesepakatan matlamat amat penting. Kalau tiada, baik hentikan sebelum menjadi sia sia dan membuang masa sahaja. Golongan yang terkesan dan lebih lebih lagilah yang terhimpit dengan kenaikan harga akan makin sengsara serta perlu buat countermeasure serta adjustment didalam menyerap kenaikan. Manakala golongan berkemampuan hanyalah memandang secara pasif saja. Jika sebahagian sahaja yang terlibat untuk boikot, pastinya tidak akan berjaya mengajar penindasan pihak peniaga. Perkara kenaikan harga akan terus berlaku dan berpanjangan bila permintaan tidak terjejas langsung. Lebih parah lagi amaran kerajaan macam orang tua yang dah luruh giginya. Tinggal gusi sahaja. Hanya menjadi bahan ketawa peniaga yang tinggi egonya. Pengguna mahukan kerajaan yang ada 'taring' dan bertegas dengan peniaga jenis ikut kepala sendiri ini. Nampak sangatlah kerajaan yang ada ini seperti berpihak pula dengan para peniaga. Apa taknya, peniaga yang berdaftar boleh menonong ke kaunter kastam untuk claim rebate pembelian mereka berkuatkuasa pada 1 April yang 'fool' nanti. 6% gst, bagi end-user akan terteralah di receipt pembelian buat cium-cium aje. Hendak pergi claim tak layakpun. Hujung-hujung penggunalah yang being fooled. Betul jugalah kata salah seorang blogger yang kehairanan akan 'kuasa' graviti kat Malaysia ini sudah berkurangan. Apa apa sahaja mudahnya untuk naik. Takut nanti bila tiba detik dan ketikanya rakyat pula naik darah, naik hangin, naik semangat dan naik segala galanya, mahu terlingkup negara dikerjakan.

Tunggu dan lihat sahajalah sandiwara yang ada didepan mata dan bakal menekan diri jika tidak diurusi sebaik mungkin didalam tempoh waktu yang mendatang. Hayatilah patah patah kata lagu yang dah macam patah hati ini sebagai azimat dan pendinding atas ketidakan upayaan menghalangi sorang-sorang.




Dia dudukpun tidak, so akupun turut sama berdiri berbual-bual macam-macam cerita. Mulanya berkisar pasal harga guntingan yang melampau naiknya sehinggalah sampai mengenai Gst. Mungkin sudah agak lama rasanya, dia berikan isyarat tangan untuk kekedai sebelah bertujuan beli rokok sambil beritahu, lain kalilah datang bergunting.

Selepas dia bergerak pergi, aku pula mula menerawang jauh membayangkan bagaimanakah saudara kita yang tidak bergaji tetap malah pendapatanpun bergantung kepada usaha. Menjadi ahli parti Gerakan seumur hidup dengan mottonya, 'Tak bergerak... tak makan..' Bayangkanlah jika sedara kita mengambil upah motong getah kebun orang. Kalaulah seharian cuma memperolehi RM30 ikut keadaan, kemudian separuhnya dibahagi kepada tuan punya kebun yang kononnya bersimpati atas keadaan hidupnya ini dan dengan hanya setakat RM15.00, adakah beliau mampu menyara keluarganya. Rata-ratanya orang yang tergolong ini punyai keluarga yang besar, punyai anak 6 ke 10 orang tu kira normal bagi mereka. 

Selepas habis berguntingan, baliklah kerumah. Takkanlah magribh magribh masih hendak berkeliaran. Harus tunjuki contoh yang sepatutnya pada anak-anak yang kian dewasa. Lepas isyak, penulisan menjadi agak bermaklumat lagi sebabnya masa dikedai gunting amoi tu aku menulisnya menggunakan smartphone. Bila di-google-kan, 'Garis Kemiskinan' telah didefinasikan sebagai paras pendapatan minimum yang 'sangat' diperlukan untuk sara diri yang mencukupi. Kalau tidak mempercayai, boleh saja dirujuki di 'wikipedia'. Manakala menerusi www.epu.gov.my, baru diketahui akan adanya suatu team penyiasatan yang digelari 'Penyiasatan pendapatan Isi Rumah @ HIS' dibawah seliaan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang antara lain kerjanya asyik hendak mengukur kesejahteraan ekonomi penduduk. Segala input yang diperolehi mereka kemudiannya disimplified-kan menjadi 'Indeks' Pendapatan Garis Kemiskinan(PGK). PGK pula menjadi antara 'tools' didalam merangka plan ekonomi katanya. Bagi diri aku, itu 'Aiman tak kisah'. Apa yang merungsingkan lebih-lebih lagilah bila tibanya perlaksanaan GST tu, mampukah golongan yang sedia maklum tertekan ini menhadapinya. Info yang didapati, PGK tahun 2009 yang masih lagi terpakai adalah RM720 bagi penduduk bandar dan luar bandar tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi oleh penduduk.

Berserahlah pada yang maha esa, moga- moga dilindungi dari segala bencana. Bila golongan yang sepatutnya dibantu tidak dibantu, siapa lagikah yang boleh diharapkan. Apakah kita, yang mengaku sedara seagama boleh buat 'derk' aje ke. Apakah kita benar-benar memahami maknanya akan apa yang kita sering dengari imam yang membaca atau kita sendiri yang melafazkan surah lazim ketikanya bersembahyang. Menerusi surah al-maun, ayat yang ke-3,


"وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ"

[Al-Ma'un:3]

Shared via Bayan Quran

Ayat ke-3 ini mengikut pemahaman, menempelak kita akan sejauhmanakah kita merasa bebanan yang dihadapi oleh golongan 'miskin', dan setakat manakah upayanya kita didalam membuat kebajikan atau bertolongan kepada keperluan sesama saudara yang miskin ini yang ditakrifkan tidak 'mampu bergerak' didalam mencari dan memenuhi keperluan kehidupannya mungkin disebabkan masalah fizikal/mentalnya mahupun ketidakupayaan kewangan. Lebih mengerikan lagi, apakah kita mampu menjawab dengan betul akan soalan kelima nantinya masa proses penyaringan dilakukan bilamana kita gagal memberi jawab kepada soalan, ' Siapakah saudara-mu?


والله اعلم!،


Monday, February 23, 2015

Bila rindu, disebut-sebut ... nape eekh!

13 FEBRUARY 2015, 07:42

Sepertimana biasa, setiap hari persekolahan, aku akan menghantar ketiga-tiga anak yang masih bersekolah ke sekolah masing-masing. Dan menjadi kebiasaan juga bila hidupkan engine kereta, maka jelas kedengaran pula lagu yang terpasang secara auto. Matikan engine maka cd player-pun turut sama tidak berfungsi. Telah sering sangat mendengar celoteh pengacara Sinar FM yang kian lebih kerap ketawa dari memberi info berfaedah kepada pendengar. Ketawa boleh saja namun bila selalu sangat terasa macam sia-sia pula malah kini siarannya diselangselikan dengan siaran iklan yang tentunya membawa faedah(wang tentunya). Pendengar jugalah yang menjadi sasaran. Disaat orang awam diseluruh pelusuk negara mempertikaikan harga barang yang tidak pula menurun tatkala harga minyak telah tiga kali turun berturut-turut setiap awal bulan, pihak berkenaan buat-buat tidak kisah pula. Malah dirasakan kerajaan yang memerintah kini seolah-olah dipihak mereka pula. Sejak seminggu yang lalu, aku telah memuat-turun lagu-lagu retro yang diminati dari internet untuk dimainkan semula didalam kereta sebagai penyejuk hati bila mengenangkan keadaan pelbagai rencam kehidupan masyarakat yang dilaporkan. Semua orang tahu akan kisah 'kekasih' hati yang dikelar lehernya dan buat mereka yang mengikuti perihal Anuar Ibrahim pula terpinga-pinga dengan verdict yang dibuat oleh para hakim yang terlebih adil dan semakin bijak terlaksana. Lagu-lagu yang menjadi pilihan ini pula aku susunkan pula dibawah folder yang berlainan mengikut mood. Folder - Aweks kena kelentong ... frust menonggeng, Betina gatal 80an ... gedik dan perasan, Jantan kelepeh ..... nangis konon, Rentak Pop Asli, Koleksi peribadi Black Dog Bone, 60an live(Band dimajlis perkahwinan ... macam-macam ada) dan banyak lagilah yang aku set untuk berbagai situasi yang bakal aku lalui nantinya.

Buat pagi ini, tak pasal pasal kedengaran pula suara Sanisah Huri sedang berkeluh kesah dalam lagunya, 'Aku jangan ditinggal-tinggalkan', lagu saduran hindustan. Rupanya anak aku yang bongsu telah menghidupkan engine kereta mungkin menunggu ayahnya lambat turut dari bilik. Kerap juga dia yang sedikit hyper active ini bertindak diluar jangkaan. Kalau tidak membahayakan tidak mengapalah. Takutnya nanti bakal mengundang bahaya bukan setakat pada dirinya sahaja tapi mungkin juga pada orang lain. Ada yang masuk suratkhabar nanti bila kejadian buruk menimpa. Bergegaslah kebawah menuju porch. Sanisah tengah meraung, 'kasih...... ,kasih.......... , mengapa aku ditinggal pergi, hatiku masih padamu, cintaku hanya untukmu...... '.

Selepas menurunkan Meera dihadapan sekolah, aku sibuk memerhatikan laluan dihadapan sekolahnya yang kian sesak. Untuk mendapat laluan memerlukan sedikit keberanian juga. Terpaksalah menjulurkan 'Merz mata belalang'ku ini ketengah sedikit bagi mendapat simpati pemandu. Berjaya mendapat ruang, terus sahaja bergerak pergi. Tiba-tiba sibongsu yang duduk disebelah mengerang, 'husiiiiin, huuuuuuusiiiiiiin' sambil gelak-gelak kecil dengan abangnya yang setia duduk diseat belakang. Apa hal ni ... , aku tanyai mereka. Sambil tangan digerakkan dengan aksi mencakar-cakar, si yaseer memberitahu pasal hantu kak limah. Rupanya lagu si siti fairuz pula yang sedang berkumandang. Sampaikan dapat menyatakan part bila nyanyiannya si johan muncul. Cekap betul mengingati lagu ini dengan filem si mamat khalid yang box office itu. Aku tidak terfikir pula sampai ketahap itu. Aku ingatkan mereka berdua semasa didalam kereta sebelum sampai kesekolah mereka supaya tekun belajar kerana mereka berdua adalah lelaki. Tanggungjawab seorang lelaki amat besar dan berat. Ingat tu. Mahu sahaja aku maklumkan pada mereka akan keperitan yang aku lalui kini. Kewangan yang kerap tidak mencukupi, masa yang panjang diuntukkan untuk mencari 'wang' dan tanggungjawab yang kian membebankan serta keadaan masyarakat yang makin caca marba dan bercelaru yang menyesakkan fikiran serta mengugat ketenteraman. Tapi apakan daya, mereka belum bersedia untuk memahami keadaan dan hakikat yang berada didepan mata. Pada mereka kesemua itu tidak pernah dihiraukan memandangkan masih punyai 'parent' yang mengawal selia perkembangan dan keperluan mereka. Namun sedikit demi sedikit akan aku masuk 'jarum' agar mereka tidak terleka dan buat tidak kisah akan hal yang didalam lingkungan. 


          

Bila Rindu ku Sebut Nama Mu - Siti Fairuz

Mengenai lagu si siti fairuz ini, lagu yang dianggap top jugalah sekitar 80an, aku kumpulkan dalam folder 'aweks kena kelentong ....' berdasarkan lirik. Terlalu mengharapkan sibuah hati setia padanya seorang adalah suatu pengharapan yang keterlaluan. Sekadar bercinta yang entah ia entahkan tidak dan sedikitpun tiada kepastian. Mungkin juga si 'buaya' friend cuma suka-suka sahaja tapi tidak pula buat si 'gila' friend. Pasti membuatkannya syok sendiri. Memang naluri manusia ingin cinta dan dicintai. Semuanya nampak terlalu ideal bila si pompuannya betul-betul percaya akan kata-kata abang hansome-nya. Tidak pernah terfikir langsung yang mungkin juga kata-katanya cuma mainan sahaja. Perasan sungguh sampaikan membawa kedalam mimpi. Ikatan belum ada lagi. Hendak kata sudah bertunang jauh sekali. Apa, ingat mak bapak tu tunggul ke apa? Senang-senang aje ke hendak kan anak orang tu. Entah entah mamat tu cuma acah-acah aje. Jantan sebegini, 'kaki lima' banyak. Phrase ini pertama kali aku dengari masa menyibukkan diri mendengar orang tua-tua bersembang tika pekena teh tarik kat warong kopi sekitar awal 70an dulu. Abang utih aku, yang bertugas sebagai 'polis hutan'  based di pengkalan chepa mengajak aku lepak kat warong pasal dia tak ada member bila balik bercuti. Aku yang ada dirumah ketika itu diajaknyalah sebagai peneman. Jarak usia antara kami lebih sedekad jauhnya. Ketika dia melapor diri masuk polis selepas 'Peristiwa 13 Mei, 1969, aku hanyalah berusia 6 tahun.

Berbalik pada lagu kak fairuz kita ni, terimbaulah juga kenangan masa lagu ini tengah mengelegak naik. Ketika itu tengah cari duit buat dapatkan lesen kereta dan motor lepas baru tamat belajar di ITM. Bekerjalah sementara dikilang kain yang berdekatan dengan kampung. MTM namanya or Malacca Textile Manufacturing, tapi bebudak kilang pandai pandai aje upgradekan menjadi 'Maktab Tengku Mariam'. Aweks banyak kat kilang tu. Macam macam profile ada. Yang tinggi lampai, yang bibir tebal pun ada, yang badan gempal, yang suara kasau dan yang lowered pun ada. Rambang mata dibuatnya. Masa tengah naiklah katakan. Pantang ditegur, jadi aje. Borak borak sesama rakan sekerja bila berkesempatan. Nakalnya aku masa tu sanggup pula bertanyakan ciri-ciri 'abang' yang dicari. Macam macamlah yang tersembur terutamanya yang jenis tak tahu malu dan suka cakap lepas gitu. Ada yang nak cari bermisai tebal-lah, ada yang hendakkan boyfriend yang berkereta dan banyak juga yang malu hendak beritahu, kira berahsialah. Survey yang aku buat tu berdasarkan respondent yang sudi memberi kerjasama dan berdasarkan kriteria yang aku setkan. Mereka tidak merasakan apa-apa significantnya pertanyaan yang aku ajukan tapi maklumat yang aku kumpulkan pula amat berguna untuk kajian 'ilmiah' dikemudian harinya nanti. 


Namun, semuanya kini tinggal kenangan. Kilang itupun sudah ditutup sebelum milinium lagi. Yang tinggal hanyalah bangunan pejabatnya sahaja yang bakal roboh dengan sendirinya manakala blok store dan blok production telah lama dirobohkan. Masa terus bergerak. Bernostalgia terus terusan tentu sahaja menyeronokan. Hakikatnya kehidupan berjalan terus sehinggalah 'nombor' kita naik. Selagi tidak dipanggil balik bukan bermakna kita terlepas. Semakin lewat maka semakin suntuk sebenarnya untuk melengkapkan diri. Kitalah yang mencorakkan dan kita jugalah yang perlu bertanggungjawab. Makanya kesempatan yang tersisa ini perlu dipergunakan sebaik mungkin.


Mana yang masih mengenali dan tetap berkawan rapat kebanyakkan telah mencari rezeki ditempat lain. Desakan hidup dan peluang rezeki yang terhidang direbut cepat demi kelangsungan hidup. Kebanyakan yang bekerja dikilang tersebut sekadar berkelulusan rendah. Paling tinggipun SPM yang 'cukup cukup makan'. Malah yang tidak tahu membacapun sekadar tamat darjah enampun ramai.Bila sesekali bertemu biasanya ketika raya masa masih sesama bujang dulu, sibuk bertanyakan siapa kahwin dengan siapa sambil sambil tu gelak-kan akan kisah lucu yang sama sama rasai ketika bekerja. Kini setelah menjangkau '5 series' banyak kisah sedih pula yang timbul. Pasal bini sipolan sudah menjandalah disebabkan abangnya pergi dahulu menemui sang penciptanya, Ada juga isteri tersayang pergi dulu akibat kanser tetek. Namun yang pastinya, bila bertemu kini, profile semuanya berubah habis. Berkedut dan putih beruban jangan cakaplah, ada yang gigi putih dan rata sekata menimbulkan kelucuan. Bila diminta tanggalkan, nampak sangat dah tua dah kita ni. Gelak tetap terus gelak. Apa ada hal. Merungsingkan fikiran dengan hal hal yang tiada kaitan dengan kita hendak buat apa. Pergi jahanamlah. 


Masa suatu tengahhari, beberapa hari yang lepas dalam usaha menyiapkan coretan ini dan sedang bersiap untuk bersembahyang zohor, kedengaran pembaca berita memaklumkan akan kegagalan menyelamatkan dua ekor anjing oleh pihak polis rasanya nun jauh di Canada setelah kedua-dua ekor anjing terlepas dari jagaan tuannya. Pihak polis, khabarnya lagi berjaya menarik keluar si tuan anjing yang terpelosok kedalam sungai yang mulai mencair aisnya dalam usaha memujuk anjing anjingnya. Getus hati ini, tiada berita yang lebih penting lagikah yang hendak disampaikan, hinggakan kisah anjingpun kita sanggup membeli 'berita' yang jauh tokreng. Apa perlunya berita ini disiarkan dan apa significantnya dengan umat melayu di malaysia. Hancur ....


Apapun, be your ownself.

Sunday, February 22, 2015

Saat Kematian Menjelma

Sebenarnya, tidak seorangpun yang boleh menjangkakan apatah lagi meramalkan saat tibanya kematian seseorang. Segalanya telah termaktub atau telah direkodkan didalam luh mahfuz lagi. Apapun setidak-tidaknya, kita telah dimaklumkan akan tanda-tanda tibanya detik kematian. Terpulanglah kepada kita kembali untuk memahaminya serta melakukan apa yang seharus dan sepatutnya sebelum tibanya detik terakhir kita. Memang dikalangan kita, tidak semuanya mempunyai kefahaman yang serupa mengenai kehidupan yang bersifat sementara sahaja ini. Malah semua orang ketahui samada melalui khabaran ataupun melihatnya sendiri disepanjang hidupnya akan seseorang yang meninggal dunia atau bahasa kasarnya 'mati'. Namun reaksi antara sesama tidak selalunya sama, ada yang merasakan dirinya senantiasa sihat dan tidak pernah dirundung malang. Manakala setengah yang lainnya pula sering dan kerap kali dihimpit oleh pelbagai masalah yang tidak tertanggung. Ketentuan dari Ilahi tidak siapa dapat menolak malah kita harus pula menerimanya. Mempertikai dan apatah lagi  mempersoalkan bukanlah sifat seorang hamba atau kita sahaja yang syok sendiri dan merasakan yang kita ini adalah terlalu istemewa disisiNya. Kalau ditanyai pada seseorang yang normal, apakah yang diingininya sementara hidup didunia ini. Tentu sekali, berdasarkan pemerhatiannya dan pengharapannya pada segala yang didalam lingkungan hidupnya, mahukan yang terbaik akan segala-galanya. Bukan bermaksud tamak tapi mahukan kesemuanya yang terbaik kalau diizinNya. Apapun kudrat dan iradat seseorang itu adalah terbatas serta telahpun diaturkan skrip kehidupan masing-masing sebelum kita dilahirkan lagi. Redha adalah katakunci pada kehidupan ini.

Garis yang memisahkan antara hidup dengan kematian amatlah sukar ditentukan. Tiada siapapun dapat mengukurnya dengan tepat. Dari segi usia, ada yang beranggapan semakin banyak usia seseorang maka makin beruntunglah diri. Pengukuran usia tiada salahnya. Namun begitu, usia bukanlah suatu penilaian yang tepat.  Allah swt telah memaklumkan dan kepada yang terlupa ataupun yang tidak pernah dikhabarkan atau juga sememangnya tidak pernah mengetahuinya bahawa antara hidup dan mati itu cuma senafas jaraknya. Terlalu singkat dan amat tidak sempat sebenarnya untuk seseorang berbuat sesuatu yang difikirnya perlu dan patut dilakukan ketika saat kematian mendatangi diri. Biarlah berapa banyak harta yang mampu dikumpulkan sepanjang hidupnya, betapapun ramai saudara dan handai yang kerap bersamanya dan walaupun melangit sekalipun pangkat serta darjah kebesaran yang diperolehinya, namun tidak jua mampu untuk menangguhkan detik kematiannya.

Takdir yang menimpa yang membawa pada kematian adalah ujian kehidupan terakhir pada seseorang. Kematian yang semua orang ketahui merupakan hujung penghidupan semahunya tidak ingin difikirkan lebih-lebih lagi yang kononnya sedang menikmati kemuncak nikmat kehidupan. Tiada sengsara, malah bersenang-senang. Tiada hutang melingkari tapi miliki harta yang banyak dan tidak terkira jumlahnya. Tiada juga ditimpa sakit apatah lagi yang kronik, malah senantiasa ceria dan cergas. Namun ibarat pepatah lama untuk kita senantiasa mengingatinya iaitu 'pelandok kerap melupakan jerat tapi jerat pula tidak pernah sekalipun melupakan pelandok'. Berita yang tersiar baru-baru ini mengenai 4 sekeluarga yang ditimpa malang dan membawa kepada kematian amat dikesalkan terutama sekali pada waris. Umumnya telah mengetahui kisah kejadian yang menimpa mereka sepertimana yang dimaklumi oleh akhbar-akhbar tempatan. Selain dari kisah mulanya kejadian sehinggalah berita selanjutnya mengenai pengebumian yang divideokan serta dipampangi gambar al-marhamah untuk tontonan khalayak, pembaca amnya dan para waris khasnya tentu sahaja akan mendoakan semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama dengan golongan mereka yang diredhaiNya. Itu harapan kita. Tapi bagaimana pula perasaan anak cum suami cum ayah kepada mereka yang terlebih dahulu menemui sang penciptanya. Rasanya, kalaulah dapat diselami perasaan En. Abd. Ghafar Said(usianya - 49), tentu boleh jadi gila kalau tidak kena caranya. Apa tidaknya, diketika bakal mendapat menantu yang pastinya direstui(walaupun tidak kesampaian) dan tidak terlintas sama sekali akan diuji sedemikian, tentulah akan terasa terkilan serta kecewa yang amat sangat bila kegembiraan yang baru hendak berputik tapi diragut pula tanpa dapat berbuat apa-apa.

Siti Rohana sempat beli barang 
pertunangan sebelum maut

25 Januari 2015 2:01 AM
PAGOH 24 Jan. – Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan ngeri di Jasin, Melaka, semalam dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kemang laut, Kesang Laut, Ledang selepas membeli barang pertunangan.
Mereka bertolak dari Melaka kira-kira pukul 4 petang selepas membeli kelengkapan pertunangan untuk salah seorang mangsa, Siti Rohana Abd. Ghafar, 23, dan sebelum itu sempat bersiar-siar di Bandar Raya Melaka.
Bapa mangsa, Abd. Ghafar Said, 49, berkata, Siti Rohana bersama anak keduanya, Siti Rohani, 18, selain isterinya, Ida Dollah, 46, dan ibu mertuanya Saimah Wahab, 77, sebelum kejadian ada menunjukkan tanda pelik.
“Isteri saya, Ida, tiga atau empat hari sebelum kejadian menyatakan kepada saya lebih baik mati daripada membuat dosa. Arwah isteri menyatakan demikian semasa saya bergurau dengannya tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
“Sementara Siti Rohana pula kelihatan terlalu gembira hendak pergi ke Bandar Raya Melaka pukul 9.30 pagi semalam,” katanya ditemui selepas pengkebumian keempat-empat mangsa itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sari Baru, di sini hari ini.
Dalam kejadian di Jalan Melaka-Muar itu pukul 4.15 semalam, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta Perodua Kancil dipandu Ida dari arah Melaka, dilanggar sebuah Proton Perdana dari Muar dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Kereta mangsa kemudian dilanggar sebuah Proton Preve dari arah belakang menyebabkan Siti Rohana dan Siti Rohani yang duduk dikerusi penumpang belakang tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.
Sementara Ida dan Saima, di bahagian hadapan tersepit dan keempat-empat mereka maut di tempat kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuang Hwa dan berdekatan Kampung Seri Minyak.
Abd. Ghafar mengakui masih terkejut dengan insiden tersebut namun reda atas kehilangan isteri, dua anak dan ibu mertuanya serentak dalam kejadian yang amat menyayat hati itu.
Dalam pada itu, abang kepada Ida, Abdul Razak Dollah, 47, berkata, kali terakhir keluarganya bertemu adik dan ibunya lebih sebulan lalu tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.
“Saya difahamkan mereka ke Melaka untuk meninjau barang pertunangan Siti Rohana yang merupakan seorang jururawat dan mengetahui insiden itu apabila mendapat panggilan telefon pukul 6 petang semalam,” katanya.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian di tanah perkuburan tersebut pukul 3.30 petang dan sebelum itu jenazah disembahyangkan di rumah Saima di kampung berkenaan yang dihadiri lebih 200 saudara, kenalan dan penduduk setempat.


Pernah dahulu aku ada membuat catatan berkenaan mati dan kematian. Cuba menyelongkar kembali serta mengambil sedikit masa untuk menemuinya dan diperturunkan didalam ruangan ini sebagai satu wadah dari perspektif ketika itu.

"Benda nak jadi, kalaulah aku tahu ...(06/05/2006 - Sabtu)"

April 2006 yang baru dilalui menyimpulkan berbagai peristiwa yang tak terduga dan tak diingini. Apapun sebagai hamba Allah yang lemah, aku hanya mampu redha atas apa yang berlaku.

Awal bulan April iaitu pada 02/04/06, ayahku telah terlebih dahulu dijemput 'pulang'. Aku sendiri tiada disisinya semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun aku sekerap yang boleh ingin sentiasa berada disisinya, tapi Allah jua-lah yang maha mengetahuinya. Beberapa minggu sebelum 'kepulangan' tu, keadaan ayahku atau lebih mesra dipanggil bapak telah menunjukkan tanda-tanda. Bapak tiada selera makan dan kalau bercakap pula tidak melihat tepat. Tak seperti sebelum sebelumnya. Orang yang normal, biasanya, akan memandang dengan orang yang dilawan cakap itu. Dan dalam bab makan pula, seolah-olah bapak dapat rasakan yang hayatnya akan tiba dipenghujung. Banyak minum air dari makan. Kalau makanpun, cuma bubur nasi yang dimasinkan. Itupun sekadar sesuap dua sudu camca aje. Sukar untuknya menelan. Kekadang dikemam bibirnya, mungkin protes, bila kita beriya-iya benar 'memaksa' dia untuk makan. Dan walaupun berjaya menyuapkan sesudu bubur nasi kemulutnya, bapak akan seketika kemudian, menolaknya keluar dengan hujung lidahnya. Sambil-sambil tu mengerak-gerakkan tapak tangan kekiri dan kekanan seolah-olah memberitahu, 'cukuplah'. Kekadang aku akur atas permintaannya itu. Tapi sering juga keakuran ku itu bersyarat. 'Bapak kalau tak nak makan tak apa. Tapi bapak kena banyak minum air. Sekurang-kurangnya ada tenaga' pilihan yang aku ajukan padanya dan kusambungkan lagi akan rationalnya syarat yang aku beri, 'Taklah berkeadaan lemah'. Kerap juga dia tak mahu minum. Namun, atas diplomasi dan berkat kesabaran serta berhemah memujuk, bapak mahu juga meneguk air suam/air masak putih sekadar beberapa teguk.

Beberapa minggu sebelum kematian bapakku, doktor india lingkungan 30-an di Poliklinik Semabok mengesahkannya mengidap 'paru-paru berair'. Budak doktor tu mengarahkan supaya di-admitted-kan ke hospital dengan kadar segera. Tapi kakak tunggal aku, Rokiah, yang jarang benar aku memanggilnya kakak bertegas mengatakan biarlah dia duduk rumah aje. Alasan yang diberinya ialah siapalah yang nak jaganya kalau kat hospital tu. Susah. Biarlah dia kat rumah. Siapa yang nak jaga, semua orang bekerja. Kalau kat rumah bolehlah kita jaga. Kalau kat hospital, jururawat-jururawat yang ada buat tak kisah aje. Apa apa hal, kencing berak ke, nak mandi ke, semuanya suruh waris yang betulkan. Dan killing statement yang kakak aku bagi, 'kalau bapak nak meninggal, biarlah kat rumah. Kat hospital nanti leceh!. Nak periksa tu lah ni lah kemudian dia orang bedah lagi. Dah! Tak payah!'. Aku akur dengan decision yang dibuatnya. Akupun tak leh comment banyak since most of the time, kakak akulah yang bertindak sebagai 'full-time' nurse. Beliaulah yang banyak 'nursing' bapak, so her 
opinion and back-up with strong arguments must be respected. Selepas 'peristiwa' di Poliklinik 24 jam Semabok, kita jagailah bapak seadanya dan sebaik dan seelok mungkin sehingga sampailah ke hujung hayatnya. Tiada lagilah insan yang boleh dilawati dan hilanglah sebutan 'bapak' buat selamanya. Sedih memangpun sedih. Tapi aku 'berterimakasih' kehadrat Ilahi kerana menjemputnya diusia yang begitu lewat. Sekurangnya tidaklah terasa bebanan hidup yang perlu dipikul oleh anak-anaknya. Ini memandangkan semuanya telah besar panjang dan telahpun mempunyai keluarga sendiri. Anaknya yang paling bongsu kelahiran tahun 1965. Lebih tepat lagi pada 19 Januari 1965. Maknanya telah berusia 41 tahun. Cukup matang untuk harungi hidup bekeluarga diatas bumi yang fana ini.

Kita tak boleh pertikaikan kenapa sekarang dan bukannya 10 tahun ke atau 20 tahun ke ataupun 40 tahun dulu ke beliau dijemput pulang. Semua ini adalah ketentuan Allah swt. Manusia tak terjangkau pemikirannya untuk menjangkakan apa yang berlaku dan apa yang tak akan berlaku pada masa depan. Malah setiap detik, jam dan ke-esokkan haripun kita tak mampu menjangkakan apakah yang pastinya berlaku. Semuanya terserah kepada Allah swt yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Namun begitu, kita disuruh memikirkan setiap kejadian yang berlaku dan mencungkil 'hikmah' yang tersembunyi disebalik setiap kejadian yang berlaku.

Bagi diri aku sendirilah, apa yang segera menyelinap kedalam diri aku ini adalah bagaimana hendak aku balasi jasa baik ayah dan juga ibuku yang terlebih dahulu dijemput pulang ke Rahmatullah. Sekarang ni pun, aku lebih kerap dan cenderung kepada pembacaan buku keàgamaan disamping membaca buku motivasi. Terkini, aku sedang ulang baca/faham himpunan hadis 'penggal 1' milik bapak aku. Dalam banyak-banyak hadis, halaman 144, hadis ke-578 adalah yang relevant dengan situasi dan ketika kini. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari iaitu terjemahhannya, 

                      
           "Sebaik-baik barang yang ditinggalkan oleh manusia kemudian daripada matinya itu tiga    
             perkara, 
             1. Anaknya yang soleh(islam) yang berdoa baginya,
             2. Dan, sedekah jariah(wakaf) sampai akan dia pahalanya,
             3. Dan, ilmu yang diambil manfaat kemudian daripadanya"

Insya-allah, sebagai seorang anak dan semestinyalah menjadi tanggungjawab membalas jasa baik ibu dan bapa yang telah membesar dan menjadikan 'manusia' yang sebaik mungkin diketika ini mengikut kemampuan dan kapasiti yang dimiliki. Cara 'upbringing' mereka keatas diri aku amatlah aku hargai dan sepatutnya dan juga seharusnyalah disanjungi. Apapun, aku akan berusaha mempertingkatkan lagi sahsiah diri dan berusaha lebih giat lagi menjadi muslim sejati.




Wednesday, November 26, 2014

Sebelum dibahasakan, mahirkanlah diri berbahasa ...

05 NOVEMBER 2014, 19:43

Didalam kesibukan kehidupan seharian, adakalanya kita tidak mampu mencapai apa sahaja yang kita inginkan. Namun tatkala melihat kejayaan orang lain, perasaan serta keinginan untuk berjaya juga pastinya tiba-tiba menerjah diri. Berada didalam keadaan seperti ini adalah normal. Apa yang orang lain ada secara semulajadinya kita juga turut ingin merasainya. 'Apa lebihnya dia, apa kurangnya kita' adalah 'mantera' untuk kita menyakini diri menjadi sepertinya malah mungkin lebih berjaya lagi. Kebiasaannya kita dihadirkan serta menonjol bezanya apabila sesuatu itu diangkat ke mata umum. Lebih berbeza dan lebih menonjol sesuatu yang menjadi tumpuan maka semakin hebatlah sesuatu hal itu. Hakikatnya banyak usaha dan cabaran yang harus seseorang hadapi dan tempuhi sebelum mampu mengapai impian. Tidak ada satupun kejayaan yang mendatangi diri tanpa gigihnya usaha. Mengharapkan keajaiban semata-mata untuk 'outstanding' hanyalah suatu impian kosong. Tidak pernah berlaku dan tidak mungkin berlaku. Pola perjalanan kehidupan seseorang memerlukan usaha yang berterusan dan tanpa mengenal erti jemu dan jauh sekalilah untuk cepat berputus asa didalam mengejar matlamat yang ditetapkan. Ciri-ciri inilah yang membezakan antara yang berjaya dengan yang tidak dikurniakan untuk berjaya.

القران كتاب الله (  Al-Quran adalah kitab allah  - The Quran is book of Allah).     
  
Termulanya catatan ini adalah dari lamanya memikirkan serta sekadar renungan buat diri setelah menontoni rancangan 'Semanis Kurma' dengan tajuknya 'Buta Al-Quran' dan sejurus itu juga gatal-gatalkan jari mencoretkan sesuatu diblog. Kemampuan seseorang memahami dan bertutur dengan baik dan sempurna akan bahasa Arab amat aku 'respect'. Sehinggakan ada beberapa artikel yang aku tulis mengenai bebudak hafiz yang mengimami sembahyang terawikh beberapa tahun sebelum ini akan keberuntungan mereka bila dapat membaca dengan lancar serta terang dan jelas. Keyakinan yang tinggi dan jarang tersasul didalam penyebutan setiap patah perkataan dan pastinya fahami apa yang dilafazkan amat mencabar diri ini. Jika difikirkan dalam dalam serta merenunginya jauh jauh, sebenarnya bukan sedikit masa yang harus diuntukkan dan bukan juga sedikit usaha yang perlu dicurahkan demi memahirkan diri didalam pembelajaran bahasa arab al-quran ini. Memahirkan bahasa arab perbualan sahaja, ada yang mudah bosan dan pantas meninggalkannya sekerat jalan apatah lagi dengan memahamkan bahasa arab al-quran pula. Fokus dan tumpuan yang sepenuhnya amat dituntut demi memastikan diri mampu membaca dan memahami dengan baik akan bahasa arab al-quran ini. Kita secara semulajadinya akan terpegun melihat hasil kerja pelukis, sebagai perbandingan. Tapi pernahkah kita menyelidiki akan ilmu-ilmu yang perlu dimiliki sebelum berjaya bergelar seorang pelukis yang prolific. Begitu jugalah kita akan kehairanan bagaimana seorang budak yang cacat anggota tapi mampu mencapai 5A didalam pencapaian UPSR yang didudukinya mengalahkan anak anak yang sempurna sifat. Kehairanan makin  berterusan bila memerhatikan akan setiap keajaiban yang ada didepan mata. Ketakjuban pastinya akan menjadi-jadi bilamana kita tidak berupaya menghubungkaitkan antara tekunnya usaha dengan hasil usaha.

Keegoan dirilah serta keselesaan yang selama ini dirasai bahkan telah bertahun tahun menyelubungi telah melengah dan melekakan dari mengingatiNya seharus dan sepatutnya. Kini kesedaran yang didatangkan perlulah dimanfaatkan semaksimum mungkin. Setiap dari kita ada keistimewaan yang tersendiri malah ianya membuatkan kita sebahagian dari keseluruhan yang penuh bermakna. Bukan semua antara kita punyai kepintaran yang setanding walaupun pada mulanya kita maklum telah diajari dengan 'a b c ....' dan '1 2 3 ....' . Kebergantungan antara sesama membuatkan kehidupan ini beragam dan berwarna warni. Program pembelajaran yang aku ikuti amat membantu didalam memahami bahasa  al-quran asas. Pendekatan workbook dengan bantuan video memudah dan menarik minat mengikuti lesson demi lesson. Banyak aspeks yang selama ini tercari-cari tetiba tersingkap didepan mata. Aturan menyebut perkataan dan hukum menyambung bacaan perkataan yang berturutan dihuraikan dengan mudah sekali dan memangpun praktikal sifatnya. Apa yang harus kita lakukan kini hanyalah banyakkan latihtubi membaca dan menulis. Teknik yang sistematik dengan gaya penyampaian yang mudah dan ditambahi pula dengan keinginan diri yang meruap-ruap untuk memahirkan diri membaca, seterusnya memahami dan menghafal setiap patah perkataan. Ibarat hendak meneroka sesuatu tempat, arah mana perlu dituju dulu, tempat mana hendak dimulai dan bagaimana harus melakukannya perlulah dirancangkan terlebih dahulu. Namun ketersediaan berbagai program, amat memudahkan bergantung pada keupayaan diri.

Telah dinyatakan oleh instructor Bro. Asif Meserali didalam video pengajarannya, untuk memudahkan penghafalan, harus memahaminya dahulu. Kalau tidak, amat sukarlah usaha yang dibuat. Ibarat orang yang membawa kereta, perlu mendapat lesen memandu sebelum layak untuk memandu. Harus fahami dan melakukan yang seharusnya akan apa yang dipaparkan pada setiap 'signboard' dan menuruti setiap warna yang bertukar mengikut urutan pada lampu trafik dipersimpangan. Kemahiran ini perlukan proses pembelajaran dari seorang yang mahir lagi berpengalaman serta bertauliah(satu formality sahaja) demi memastikan apa yang dibuat mencapai standard. Apa maknanya, lancar membaca tapi tidak memahami. Apakah setiap ayat yang dibaca mampu dimegertikan seperti mana yang seharusnya dimegertikan. Ada antara ayat yang  meminta kita memikirkan, ada yang memberitahu apa yang harus dibuat, ada yang mengancam bila mengabaikan dan banyak lagilah. Sebenarnya, Allah swt 'berkomunikasi' dengan umat akhir zaman via Nabi Muhammad saw. Mukjizat inilah yang kekal hingga keakhirnya. Umum sedia maklum akan mukjizat yang Allah swt kurniakan pada Nabi Musa a.s. berupa tongkat. Kita semua tahu akan kelebihan keajaiban tongkatnya itu. Hakikatnya, pengurniaan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan tahap intelektual masyarakat ketika itu. Dengan ertikata lain, ianya bersifat kontemporari.

Sebelum 'mampu' memahami patah demi patah perkataan Arab, teknik memahamkannya hanyalah melalui terjemahan dan memaksa diri menghafalnya. Approah sedemikian amat memeritkan serta perlukan banyak masa. Lebih lebih lagi kita bukannya berada didalam masyarakat yang sentiasa bertutur didalam bahasa arab. Namun dengan kebanjiran program self-study mengenai bahasa arab memungkinkan orang yang bukan 'lidah arab' juga boleh mampu memahami bahasa arab al-quran jika gigih berusaha. Sepanjang hampir ke-empat tahun ber-kuliah dialam maya, dengan izinanNya jualah, perubahan pada diri ada kelainannya. Proses pembelajaran turut dipelbagaikan. Setiap bacaan imam didalam sembahyang dan doa lepas sembahyang yang diucapkan aku dengari serta fahaminya. Mana perkataan yang tidak berapa familiar, kena semaklah dikomputer kemudiannya. Akhbar dan movie mereka juga turut aku surf, baca dan dengari demi menghadirkan keyakinan. Sepatah kata Bro. Asif Meserali didalam keratan video yang diuploadkan ini, '... memorization not only become easy when we understand but its also enjoyable.' Apa yang dikatakannya memang benar dan diri inilah bukti 'hidup' untuk merasainya, mengalami dan memaklumkan pada 'pembaca' akan statementnya itu. Malah bukan berhenti setakat itu sahaja tapi perlu pula mengaplikasikan setiap yang dibaca pada diri. Peringkat inilah bermulanya cabaran 'against all odds'. Sejauhmana dan setakat mana kemampuan akan dinilai olehNya.


Insya-Allah, coretan demi coretan yang bakal menyusul selepas ini adalah luahan rasa dari hati akan commitment yang telah aku hadirkan demi memastikan kemantapan didalam asas bahasa arab yang kini bolehlah dikatakan agak selesa dari sebelumnya. Seboleh dan semungkinnya untuk menjadikannya sesuatu yang 'second nature' pada diri. Harapanku semoga usaha ini memberi manfaat pada semua. Apapun, kita tidak boleh cakap habis. Segala perancangan dan ketentuanNya tidaklah sesiapa juapun yang tahu. Hanya Dia-lah yang Maha Mengetahui segalanya.

Wallahualam.