Sunday, February 23, 2014

Khutbah Jumaat @ 07/02 yang mengesankan ...



14 FEBRUARY 2014, 01:02 PM
Selalunya sebelum aku berpergian ke masjid untuk berjamaah Jumaat, aku akan terlebih dahulu membaca teks khutbah yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM) untuk setiap minggu. Malahan seminggu sebelum memasuki bulan yang baru, pihak berkenaan akan uploadkan teks khutbah untuk sebulan berikutnya. Dan selalunya, aku akan downloadkan pula kedalam folder yang aku ujudkan semata-mata khusus untuk khutbah yang diterbitkan oleh pihak agama negeri Melaka. Sebagai makluman juga telah hampir 2 tahun penuh aku menyimpannya sebagai koleksi peribadi dan akan sentiasa mengulang-bacanya kemudian hari nanti tatkala ketikanya bersesuaian. Tapi untuk bulan Februari ni pula aku terlewat untuk download walaupun telahpun tersedia di laman web jabatan. Apapun tidak terlewat untuk membaca serta mengulang baca sehingga benar-benar mengambil pengajaran dari maklumat yang pihak mereka ingin sampaikan.

Tajuk 'Mengawal Perbelanjaan Keluarga' untuk 06 Rabiul Akhir 1435H itu aku dengari sebaik mungkin serta se-attentive yang boleh. Walaupun ketika itu aku bercuti gantian serta datang awal ke masjid siap berkopiah dan berbaju melayu yang disiapkan oleh orang rumah ketikanya berRamadhan 1434H serta mencalitkan 'Minyak Anugerah' agar aromanya mententeramkan jiwa didalam situasinya mengadap Ilahi yang tentunya Rabbu Izzati. Banyak info yang dibacakan oleh Pak Imam sepertimana yang diharapkan oleh penulis khutbah untuk disampaikan kepada para makmum dan tentulah juga telah diluluskan oleh pihak yang mengawal selia butiran khutbah. Hakikatnya maklumat yang didengari sememangnya telah sedia maklum diketahui dan telahpun aku rasai serta alaminya. Antaranya, saranan tentang peripentingnya berbelanja secara bersederhana serta penghuraian cara yang seharusnya diikuti dan dibacakan juga hadis dan ayat al-quran sebagai pengukuhan unjuran Islam. Diingatkan tentang panduan berbelanja serta memberi tips untuk diikuti dan dipraktikan didalam kehidupan seharian. Off course, semua orang mahukan yang terbaik didalam kehidupan ini. Bercakap tentang sesuatu yang baik-baik amat dialu-alukan. Platform ini perlu digunakan sebaik mungkin. Kehadiran serta moment yang diwajibkan keatas kaum Adam untuk mendengar khutbah saban minggu perlulah semuanya memberi tumpuan dan  mengunapakai segala saranan mahupun tegahan untuk manfaat bersama. Usaha secara kolektif dimana semua melakukan secara serentak sepatutnya akan menghadirkan suatu kesan yang positif didalam masyarakat. Semua orang mengimpikan sesuatu. Namun jika setakat impian sahaja dan tidak disertakan dengan usaha masakan boleh tercapai segala yang diimpikan. Even jika telah berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin pada pandangan sendiri, kejayaan tidak pula muncul-muncul malah makin tersiksa jadinya, dimanakah silapnya. 


Terfikir pula difikiran, bagaimana timbulnya hal ini untuk diketengahkan dan dimaklumkan ke seluruh pelusuk negeri Melaka. Gerakan menyedarkan orangramai agar hemah berbelanja mungkin bertitik tolak dari kegilaan pesta menaikkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan bermula dari penghujung tahun lalu lagi dan berlanjutan sehingga awal tahun ini. Lepas gula dinaikkan kononnya untuk kurangkan bahaya kencing manis, kemudian tol pula lorat-lorat hendak dinaikkan serta dengan sombongnya pihak penguasa mengsyorkan, sila guna jalan alternatif jika tidak mahu bayar dan membawa kepada isu tarif elektrik yang dinaikkan dengan alasan dangkal pak menteri yang tidak akan membebankan orang perseorangan katanya. Tidakkah ada seorangpun dari para bijak pandai didalam bidang masing-masing yang punyai keberanian(guts) untuk menasihat sekurang-kurangnya kerana hendak menegur jauhlah sekali kerana takut diapa-apakan. Tapi dengan golongan bawahan iaitu golongan pekerja, belasah semacam aje serta sedikitpun tiada rasa bersalah. Snowball effectnya amatlah tidak terjangkakan oleh mereka yang wewenangnya menaikan apa sahaja yang boleh dinaikkan sehinggakan dilawakkan didalam laman sosial dengan penuh sinisnya. Antaranya menyatakan kehairanan, 'Di Malaysia ni semua barang naik harga, cuma gaji sahaja yang tidak naik-naik.'


Up till now, damaged had been done. Siapalah yang hendak perbetulinya. Nampak gayanya tagline, Rakyat didahulukan ...., memang benar-benar mendahulukan rakyat. Rakyatlah terlebih dahulu merasai bebanannya. Untuk memujuk dengan berselindung dengan cakap lawanya, demi mengurangi kesulitan rakyat, BR1M 3.0 akan ditaburkan kepada golongan berpendapatan dibawah RM4000. Aku juga layak untuk mendapatkannya kerana turut terperangkap didalam kesulitan yang 'diujudkan' ini. Yang pastinya diri sendirilah yang harus lebih proaktif didalam menangani persoalan ini. Gagal jayanya didalam membebaskan diri dari belenggu hutang dengan hemah berbelanja tidak berhenti setakat itu sahaja. Cumanya pihak yang mencadangkan penulis khutbah untuk menukilkan teks khutbah tidak pula memasukkan element Ketentuan Illahi. Bukan semua apa yang dilaksanakan akan berjaya. Gagal tentunya pasti, berjaya belum tahu lagi andai tidak direstui oleh-Nya.

Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Wednesday, January 22, 2014

Antara 22 dan 02



Pejam celik pejam celik sudahpun 22 haribulan. Nasib baiklah tidak pejam terus. Esok, mungkin lusa ataupun mungkin juga tulat mahupun langkat aku bakal di'panggil' balik. Tiada ketepatan waktu yang diberikan, namun sesuatu yang dihidupkan sudah pastinya akan tiba ketikanya nanti dimatikan pula. Kenyataan umum yang sering dilafazkan orang, 'Hidup lawannya mati'. Tiada sesiapapun yang berani menafikan statement ini samada orang itu bodoh sebodoh-bodohnya apatah lagi yang pandai sepandai-pandainya. Tidak pernah pula terdengar, terbaca mahupun terlihat satu makhluk yang mempertikaikan atau menjadikan hal hidup mati ini suatu perbahasan atau polemik. Secara semulajadinya proses hidup dan mati dihadapkan kepada semua  malah semua orang melaluinya. Ada yang baru hendak mengenal dunia telah dijemput pulang. Lebih mengharukan lagi belumpun sempat berada dialam dunia dan masih lagi diperut ibunya telah diselamat-kembalikan ke rahmatu allah (رحمةالله). Diusia kanak-kanak dan diusia remaja juga tidak terkecuali. Mana yang telah ditentukanNya pastinya tidak mampu mengelak dan kematian diperingkat usia sedemikian menurut pandangan umum adalah sesuatu yang tidak terduga katanya. Bagi yang telah dewasa serta telah melengkapkan putaran hidup(life cycle) sepatutnyalah memanjatkan kesyukuran kehadrat illahi. Bersedialah menghadapi kematian yang pasti akan mengunjungi diri. Persiapan diri untuk mati amat berbeza sekali antara seseorang dengan seseorang yang lain. Yang faham begini dilakukan, yang kurang mengerti begitu pula yang dibuatnya malah ada juga yang tidak kisah dengan mengambil pendekatan yang jauh menyimpang dari yang sepatut dan seharusnya.

Kepelbagaian serta tiadanya keseragaman menunjukkan longgarnya ikatan keagamaan diantara sesama. Siapakah yang perlu disalahkan bilamana setiap orang yang akil baligh, segala tindak tanduknya, baik buruk perlakuannya dan tuturkatanya perlu menanggungnya sendiri akan dosa dan jika baik pekertinya maka akan meraih pahala pula nantinya. Tiada seorangpun yang lahir lahir sahaja telah mengetahui segala sesuatu. Semuanya bermula dari 'kosong'. Pengisian ilmu dan penerapan ilmu serta pengamalan ilmu yang diterima itu memerlukan sokongan semua pihak dan pada setiap peringkat. Membiarkan individu individu tertentu sahaja untuk melaksana serta memantau amat tidak patut.

Apapun skrip cerita bukannya kita yang membuatnya tapi Allah s.w.t. Digambarkan kita hanyalah pelaku yang melakukan watak yang diserahkan kepada kita sebagaimana kisah yang pernah terjadi dahulunya untuk panduan dan telahpun dirakamkan didalam kitab allah @ al quran. Malasnya kita untuk membaca serta memahamkannya amatlah mengecewakan. Segala apa yang terjadi di akhir zaman ini merupakan kisah-kisah kitar semula yang telah dinyatakan. Bukannya hendak promosi tetapi sekadar memaklumkan bagi mereka yang kurang kepekaannya pada bab agama agar kembalilah menatap, membaca, memahamkan serta mempraktikan malah kalau mampu mengajari orang lain akan segala isi kandungan al quran. 

Kitab  didalam bahasa arab, book didalam bahasa inggeris dan buku pula istilahnya didalam bahasa melayu. Orang kita amat memandang mulia pada hal yang bersangkut paut dengan agama. Malah kita mengasingkan agama ke satu tempat yang tinggi. Hal ini amat membanggakan. Namun setakat memandang tinggi sahaja amat tidak mencukupi kalau tiada pemahaman yang menyeluruh.
Misalnya, meletakkan nama anak yang berbaur arab/islam agar kononnya nanti akan mendatangkan aura yang baik. 
Persepsi yang positif sifatnya namun jika kurangnya penghayatan apalah erti semuanya itu. Pernah mendengar atau mengingati nama 'Rahmat Satiman' yang disabit kesalahan bersubahat membunuh Datuk Mokhtar Hashim(awal tahun 80an) dan bagaimana pula kematian Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh(64) serta Siti Rohana Ismat(43) yang sehingga kini tiada diketahui siapa pembunuh dan yang dibunuh(kisah didalam Toyoto Caldina diawal 0gos 2010). Malah Ketua Polis Selangor masa itu telahpun menjadi Ketua Polis Negara dah kini. Dari pangkat datuk dah bertukar ke tan sri  pulak buat khalid bin abu bakar namun kes tidak selesai lagi. Ingatkan yang bersimpul telah terurai, nampak gayanya makin terbelit. Rahmat bermaksud 'yang mengasihani', abdul aziz pula, 'hamba kepada yang perkasa' bila diterjemahkan secara lateralnya. Ini baru dua contoh sahaja yang terkenangkan in split second, malah banyak lagi nama-nama yang melucukan serta mungkin mengaibkan pemilik nama yang pada fikiran ibu dan bapanya amat islamic serta cool. Jamal, Haroon, Haikal, Jariah, Jamiah, Siti Hajar, Firdaus, Jannah dan banyak lagilah. 

Apapun, kurang dari 10 hari sahaja lagi dan kalau diizinkanNya, meter usiaku akan bertukar ke 50. Namun putaran hidupku belum menemui titik akhirnya walaupun telah melalui zaman bayi, kanak-kanak, remaja serta sedang mengharungi alam dewasa dan selagi diberikan kesempatan maka perlulah aku pergunakan sebaik dan sebagus mungkin. Gelaran anak sudah aku miliki diawal 60an, gelaran suami juga telah diterima pertengahan 90an dan setahun kemudiannya mendapat title ayah pula. Cuma yang belumnya adalah gelaran datuk yang entah bila akan diterima. Samada sempat ataupun tidak, bukan itu yang perlu aku risaukan. Apa yang lebih perlu dan lebih patut dirisaukan adalah cukupkah bekalan ke sana nantinya. Perlu sentiasa meminta dan terus meminta approvalNya disamping melaksanakan segala amal yang makruf serta menjauhi yang mungkar kerana hanyalah لا حول ولا قوة الا باالله 

ان شاء الله.
    

Friday, January 17, 2014

Maulidu al Rasul

14 JANUARY 2014, 08:27 AM
Hari ini adalah hari keputeraan junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw. Kalau tahun masehi mudah sahaja mengetahuinya. Apakala ditanyai hari ini hari apa mengikut kalendar Hijrah, sukar sekali menjawabnya secara spontan. Terkial-kial cuba menjawabnya. Bagi yang tidak ambil kisah pula, lebih teruk lagi jawapannya hanya sekadar 'aku tidak tahu'. Habis cerita. Tidak perlu hendak fikirkannya dan buat apa hendak peningkan kepala yang mungkin berada dan bersarang dibenak. Sikap tidak ambil kisah serta tidak mahu ketahui bukannya mendatangkan kebaikan kepada umat Islam seluruhnya bahkan hanya menyerlahkan diri kita kepada longgarnya pegangan kita kepada agama yang dianuti sekian lamanya. Puncanya adalah kerana kita tidak membudayakan kalendar Hijrah didalam sistem kehidupan. Kita lebih mengagungkan dan mengunapakai kalendar Masehi didalam semua hal. Mengistiharkan negara sebagai negara islam yang progressive sebagai makluman kepada dunia untuk dibanggakan tidak memadai sedangkan banyak hal yang merupakan teras didalam peradaban dan pembinaan negara islam dikesampingkan dan ada yang dipinggirkan terus.
١) في اي ثهر ولد النبي (محمد صلى الله غليه وسلم)؟
٢)في اي عام ولد النبي؟
Saja saja hendak uji dengan pertanyaan dengan penggunaan bahasa arab yang seharusnya malah diwajibkan keatas seluruh umat Islam untuk mengetahuinya. Kalau perkara yang asas tidak dihiraukan manakan boleh untuk kita mampu mengetahui hal-hal yang bersangkut-paut  dengan Islam serta jauh sekalilah untuk mengamalkannya memandangkan punyai pengetahuan yang amat cetek sekali. Umumnya Islam yang kita anuti adalah Islam yang diwarisi dari ibubapa yang sudahpun Islam. Namun tahap keislaman antara sesorang itu amat berbeza bergantung pada didikan dan amalan yang diperturunkan kepada zuriat masing-masing didalam mengharungi kehidupan didunia yang sedia maklum fana ini. Ditokok lagi oleh kurangnya pengukuhan dari para pentadbir negara yang kurang amat kesedaran peri penting pemantapan Islam didalam setiap segi kehidupan. Undang-undang Islam sudahlah tidak digunapakai seluruhnya dan cuma melaksanakan mana yang difikirkan serta dirasakan sesuai sahaja malah lebih mendukacitakan adalah longgarnya penguatkuasaan
undang-undang didalam memastikan segalanya diatas landasan yang betul dan benar. 

Banyak kepincangan yang samada sengaja dibiarkan ataupun sememangnya tidak mengetahuinya langsung disebabkan dirinya bukan seorang yang alim didalam hal tersebut tapi beria-ia benar ingin memikul tanggungjawab sedangkan diri tidak mampu melaksanakan.
Peliknya tiada pula rasa malu atas ketidakmampuan melaksanakan tugasan malah sanggup bertunggu tangga memegang jawatan sampai ke umur bersaranya nanti. Apalah yang hendak dibanggakan bagi orang yang sedemikian yang lebih menimbulkan kecelaruan didalam masyarakat dan bukannya memakmurkan.

Whateverlah.

Friday, December 13, 2013

Menjelang Ramadhan 1434H

Disaat dan ketika ini, aku sedang menunggu laungan azan Isyak dari Masjid Bukit Katil atau dikenali dan dinamai sekian lamanya sebagai Masjid Raudahtul Jannah. Coretan ini dibuat sementara menunggu untuk berjamaah buat hari pertama bertarawikh bagi memulakan ibadah puasa untuk tahun hijrah 1434 atau tahun masehinya 2013 esok harinya. Sesungguhnya peluang bertemu dengan Ramadhan sekali lagi dan lebih-lebih lagilah bagi diriku yang bakal menjangkau ke usia 50 tahun(ikut tahun masehi) pada 02.02.2014 nantinya, maka seharusnyalah perlu aku menadah tangan dan berdoa penuh kesyukuran untuk beribadat kepada Allah swt. yang mana dengan limpah kurniaNya dan kebesaranNya telah mengizinkan aku berada dibulan yang penuh rahmah dan keberkatan. 

Berhenti dulu ....... , harus ke masjid taman surga sekarang.

Makmum yang hadir untuk sama-sama berjamaah Isyak dan seterusnya bertawarikh agak ramai nampaknya kali ini. Maklumlah taman perumahan disekitar Masjid Raudahtul Jannah telah bertambah dan tentunya bilangan pengunjung ke masjid pun turut bertambah. Mudah mudahan semoga phenomena ini akan kekal dan berkembang pula ke sembahyang fardhu pula selepas bulan ramadhan nanti. Pengumuman yang dibuat oleh salah seorang jawatankuasa masjid sebelum mula mendirikan sembahyang tarawikh memaklumkan masjid membuat 20 rakaat dan dipimpin oleh Al-ustaz Rayyan(imam muda) untuk 10 rakaat yang pertama dan Ustaz Abdul Rahman, seorang imam yang lebih senior untuk rakaat selebihnya. Selepas selesai bertarawikh akan diadakan setiap malam bacaan tahlil untuk arwah tanpa menyebut senarai nama-nama yang khusus dan juga tazkirah pendek kemudiannya. 

Namun keadaan yang sama tetap berlaku seperti ditahun-tahun terdahulu bilamana selesai sahaja 8 rakaat bertarawikh ramai makmum bangun dan keluar dari shaf. Tinggallah golongan veteran yang merupakan 'hardcore' untuk terus ke 20 rakaat. Kebanyakkannya budak-budak muda dan yang sedikit berumur juga turut bongkar. Tidak tahu kenapa dan tidak kuasa pula untuk nenanyakan sebab musababnya. Sering hal ini dipolemikkan dan dilaporkan di suratkhabar sebelum ini tentang perkara yang bersangkutan dengan jumlah rakaat yang perlu dikerjakan. Memadailah dikatakan, tanyalah diri sendiri akan kemampuan dan kesanggupan untuk beribadat khususnya di bulan yang penuh kemuliaan ini. Namun, bagi diri aku seharusnya dan semestinyalah kita merebut sebanyak mungkin pahala yang dihadirkan oleh Allah swt. di Ramadhan kali ini. Peluang menemui Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh mereka yang maklum dan mengerti akan kelebihan bulan yang penuh barakah ini. Aku secara peribadinya amat mensyukuri diberi peluang untuk bertemu dengan bulan ke sembilan tahun hijrah 1434. 

Ada kisah trajis yng menimpa diri seawal pagi 09/07/2013 bersamaan 29 Syaban 1434. Jam lebih kurang 3:30 pagi, dirasakan diri ini seperti sudah tiada lagi di alam yang fana ini. Sesak nafas yang teramat sangat dialami dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Aku menjerit meminta tolong, adalah dalam 3 ke 4 minit lamanya. Anihnya, orang rumah yang tidur disebelah tidak mendengari jeritan aku. Pertolongan Allah swt. datangnya tidak terduga dan begitu jugalah ujian dan dugaanNya yang ditimpakan keatas seseorang. Apa yang terdaya dilakukan oleh diriku yang bertaraf hamba ni, hanyalah memohon ikhsan dan belasNya sahaja. Makanya perlulah aku mempergunakan usia yang dipinjamkan ini untuk beramal ibadah serta mengerjakan segala suruhan keatas setiap individu dan juga menghindari dari melakukan segala tegahan yang diingatkan. 

Sesungguhnya tiada daya dan upaya untuk menghalangi musibah atau dalam perspektif agama adalah ujian demi menguji tahap keimanan individu. Begitu jugalah limpahan nikmat yang diperolehi seboleh mungkinlah disyukuri kerana ini juga merupakan satu lagi bentuk ujian yang menyinggahi diri. Ramadhan kali ini, insya-Allah, akan dilaksanakan dengan sehabis baik seolah-olah inilah Ramadhanku yang terakhir. Malah keazaman seperti inilah yang perlu ada pada setiap umat Islam seluruhnya.

Saturday, May 4, 2013

Pru 13, antara transformasi dan reformasi

Disaat aku belum melelapkan mata diketika ini, ingin pula mencoretkan sesuatu sebagai dokumen tentang warga Malaysia yang akan turun mengundi hari ini. Pemilihan wakil rakyat, kononnya untuk berkhidmat kepada pengundi semuanya bagi DUN masing-masing serta melaksanakan segala janji yang diucapkan bakal terjawab dalam tempoh masa lima tahun sebaik sahaja pemenangnya diumumkan sebelum tengah malam nanti. 

Apapun, adalah penting dan amat elok sekali kiranya setiap pengundi menyimpan segala dokumen yang ada, baik dalam bentuk ucapan dan ceramah yang dirakamkan, risalah yang diedarkan disimpan baik-baik atau lebih canggih lagi di'digital'kan yakni scan dan simpan dalam multi format(pdf, tiff, jpeg dan sebagainya) untuk dihamburkan kembali kepada orang yang digantungkan segala harapan untuk memimpin tapi tidak melaksanakan dengan sesempurna yang boleh. Maka amat malanglah pengundi di kawasan yang pemimpinnya tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tapi terhegeh-hegeh masa meminta undi untuk menjadi pemimpin. 

Terus terang kata, dua kelompok parti yang bersaing meraih undi warga Malaysia ingin membawa kepada perubahan yang lebih baik dari yang dialami dan dirasai oleh setiap warganegara kini. Dikala masa berkempen inilah bakal-bakal pemimpin dan juga sama sibuk pemimpin yang telah sepenggal dan ada juga yang lebih dari sepenggal berlumba-lumba ingin merasai denyut kehidupan setiap pengundi dikawasan yang mereka tandingi. Namun sebagai pengundi, aku secara peribadi amat kecewa kerana calun yang bertanding pada pandangan mataku rata-ratanya tidak punyai keinginan dan lebih lebih lagi keazaman untuk menegakkan hukum Allah selaras sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita , Muhammad saw. Kita tiada pilihan ketiga. Adapun calun bebas yang bertanding sekadar syok sendiri dan lebih kepada 'ada udang disebalik batu' nampak gayanya. Misalnya, apa kejadahnya Nek Mon bertanding di Kuala Terengganu serta Herman Tino di Tanjung Karang. Kalaulah para pemimpin yang sudah lama tapi masih lagi merasakan dialah yang lebih bagus dan juga para bakal pemimpin baru tahu akan erti pemimpin dan tanggungjawab pemimpin serta mengerti dan memahami segala adab-adab memimpin dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin atau senang cakaplah 'code of ethics', rasa-rasanya ramailah yang tidak layak dan bagi yang punyai hemah diri akan segera tarik diri dari bertanding. Malangnya tidak ramai yang bersikap semulia ini namun masih terus mendabik dada serta berani pula mengalas tugas sebagai pemimpin. Mungkin golongan jenis ini telah menghidu peluang yang bakal tersaji kepada mereka yang berjaya menjadi pemimpin. Kalau itulah yang mereka harapkan, maka punah segala harapan dan impian warga tempatan khasnya dan juga warga Malaysia keseluruhannya. 

Apa ertinya lagi reformasi dan juga transformasi yang dijaja keseluruh negara yang sekadar menjadi penyedap mulut saja. Ingatlah bakal pemimpin semua, doa warga Malaysia yang dibohongi, apatah lagi yang dikhianati dan lebih-lebih lagi yang dizalimi serta yang dinafikan hak akan memakan diri akhirnya.

Wallahualam.

Thursday, November 8, 2012

Pemulauan

 8/11/2012 22:21 


Pemulauan


Hari ini aku menamatkan pemulauan ke atas sebuah entiti Cina, San Shine Trading @ Duyung. Kedai diatas tapak tanah milik Buang Bin Ninggal sepertimana yang tertera di bumbung bangunan separa kekal ni beroperasi sekian lamanya sebagai pusat penjualan barangan setempat atau one-stop center untuk barangan hardware dan household. Telah sekian lamanya aku tidak mengunjungi dan jauh sekalilah untuk aku melangkah masuk. Namun pada pagi ini jam lebih kurang 11:15 minit pagi, aku telah membuang keegoan aku untuk mengunjunginya semula setelah kali terakhir aku hadir di premis ini pada 2 tahun yang lalu. 


Peristiwa hitam yang membawa kepada peristiharan pemulauan yang aku maklumi kepada 'orang orang' aku ketika itu seraya berikrar yang aku tidak akan mengunjunginya lagi, waima sampai bila-bila. Mungkin terbit dari rasa kecewa yang aku alami disebabkan kesilapan dan kesulitan yang sedikit cuma lalu membawa kepada berlakunya pemboikotan oleh aku seorang sahaja terhadap premis perniagaan cina hawau ni. Hal ini akan aku ulas dibawah tajuk lain pula.


Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, ujian, dugaan, rintangan dan apa sahaja unsur-unsur yang selain dari yang dinyatakan yang mungkin seerti dan sealiran menimpa diri. Malah setiap yang berlaku dan terjadi keatas diri setiap individu tentunya tidak sama antara individu yang lain.

Monday, April 16, 2012

Laman Kehidupanku

Ini merupakan entri pertama aku kedalam personal diary - Laman Kehidupanku - yang baru aku ujudkan.Kehadiran personal diary atau journal atau buku catatan harian atau apa saja istilah merujuk kepada dokumen ini merupakan suatu medium untuk aku meluahkan apa saja yang terbuku, terpendam, tersirat dan juga terkenang, apatah lagi yang terkena dan terkesan dihati. Aku tidak menghadkan sebarang topik untuk dibicarakan. Semuanya bergantung kepada kesesuaian masa dan ketikanya aku mendapat input yang memungkinkan aku mencoretnya dengan penuh bertanggungjawab.

Sebenarnya, amat payah untuk aku mengingati dan mengimbau susur galur perjalanan sejak aku dilahirkan di pagi Ahad 02/02/1964. Semua orang punyai kisah kehidupan masing-masing. Tiada sesiapapun menempuh kisah yang sama walaupun keberadaan di dalam kejadian yang sama. Diantara kita pastinya di suatu masa dan pada detik tertentu akan bersilang pada suatu titik untuk sesama menikmati dan menghargai kehidupan. Sudut pandang yang jarang benar bersamaan memungkinkan lama sekejapnya untuk senantiasa di suatu titik yang ditakdirkan. Makanya, untuk masing-masinglah merenungkan apa yang tersurat mahupun yang tersirat. Tafsiran yang di buat oleh diri hanya benar dan bermakna buat dirinya sendiri. Sejujurnya, tiada seorangpun berhak menafikan apatah lagi mempertikaikan walaupun mungkin kenyataan itu tidak masuk akal bagi orang lain. Apa hal untuk persoalkan sedangkan itulah perspektif dirinya.

Nak kemana kita? Rasanya tiadalah apa lagi yang hendak dikejarkan melainkan dari memantapkan diri dari segenap segi dalam menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang samada yang terjangka dan yang tak terduga sama sekali. Itupun kalau mampu untuk aku menyerap dan mengatasi segala dugaan hidup yang tidak mampu untuk sesiapapun mengelaknya. Apa yang perlu, ketabahan hati dan  berserah diri kepada yang maha Esa setelah melaksanakan yang paling terbaik mungkin berpandukan pemerhatian sekeliling keatas apa yang ditimpakanNya kepada orang lain serta panduan dan peringatanNya yang disalurkan melalui Al-Quran dan bimbingan yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.

Namun kemampuan seseorang untuk mentafsirkan segala peristiwa yang dilihat, dialami, didengari dan dimaklumi amat bergantung kepada sejauhmana serta sedalam mana ilmu dan kaedah yang seseorang itu miliki dalam menepati atau menemui sasaran.

Begitupun banyak perkara yang menyentuh hati kekadang tu sengaja dibiarkan berlalu. Bukan tidak mahu diulas ataupun diperkatakan tapi lebih kepada memendamnya sahaja dihati. Namun ada juga perkara-perkara yang perlu juga diluahkan agar apa yang terbuku dihati dapat dihadirkan sebagai satu panduan dan peringatan berguna dalam mengharungi sisa-sisa hidup didunia ni. Bukan mudah hendak melupakan akan sesuatu peristiwa, lebih-lebih lagi yang menyentuh hati dan perasaan. Bila diri kekurangan berbanding dengan orang lain maka tatkala itulah rasa kecelaruan mengganggu diri. Bukannya meratapi tapi tersedar beginilah hakikat kehidupan. Bertuahlah bagi mereka yang sentiasa dalam kelapangan dan kesenangan hidup. Kerapkali juga kita tidak menyedari bahawa tingkah laku kita kekadang tu boleh menyinggung perasaan orang lain. Samada tidak sengaja, disengajakan ataupun terlepas pandang namun tindak tanduk kita telah disalah tafsirkan oleh orang lain.

Sebenarnya sifat semulajadi dan potensi diri tentulah ada pada setiap insan yang normal sifatnya. Tambahan pula bila melihat orang sekeliling dan juga dimana-mana sahaja didalam dunia ini, orang yang sudah dewasa perlu melalui proses pendewasaan yang tidak perlu diajari. Segalanya bergerak dan berputar seperti yang dilihat dilingkungan kehidupan masing-masing. Hidup lawannya mati, muda lawannya tua dan segala sesuatu pastinya ada permulaan dan pengakhiran.

Redah sahajalah dan carilah keredhaanNya.

zaini642

Monday, April 16,2012