Friday, December 13, 2013

Menjelang Ramadhan 1434H

Disaat dan ketika ini, aku sedang menunggu laungan azan Isyak dari Masjid Bukit Katil atau dikenali dan dinamai sekian lamanya sebagai Masjid Raudahtul Jannah. Coretan ini dibuat sementara menunggu untuk berjamaah buat hari pertama bertarawikh bagi memulakan ibadah puasa untuk tahun hijrah 1434 atau tahun masehinya 2013 esok harinya. Sesungguhnya peluang bertemu dengan Ramadhan sekali lagi dan lebih-lebih lagilah bagi diriku yang bakal menjangkau ke usia 50 tahun(ikut tahun masehi) pada 02.02.2014 nantinya, maka seharusnyalah perlu aku menadah tangan dan berdoa penuh kesyukuran untuk beribadat kepada Allah swt. yang mana dengan limpah kurniaNya dan kebesaranNya telah mengizinkan aku berada dibulan yang penuh rahmah dan keberkatan. 

Berhenti dulu ....... , harus ke masjid taman surga sekarang.

Makmum yang hadir untuk sama-sama berjamaah Isyak dan seterusnya bertawarikh agak ramai nampaknya kali ini. Maklumlah taman perumahan disekitar Masjid Raudahtul Jannah telah bertambah dan tentunya bilangan pengunjung ke masjid pun turut bertambah. Mudah mudahan semoga phenomena ini akan kekal dan berkembang pula ke sembahyang fardhu pula selepas bulan ramadhan nanti. Pengumuman yang dibuat oleh salah seorang jawatankuasa masjid sebelum mula mendirikan sembahyang tarawikh memaklumkan masjid membuat 20 rakaat dan dipimpin oleh Al-ustaz Rayyan(imam muda) untuk 10 rakaat yang pertama dan Ustaz Abdul Rahman, seorang imam yang lebih senior untuk rakaat selebihnya. Selepas selesai bertarawikh akan diadakan setiap malam bacaan tahlil untuk arwah tanpa menyebut senarai nama-nama yang khusus dan juga tazkirah pendek kemudiannya. 

Namun keadaan yang sama tetap berlaku seperti ditahun-tahun terdahulu bilamana selesai sahaja 8 rakaat bertarawikh ramai makmum bangun dan keluar dari shaf. Tinggallah golongan veteran yang merupakan 'hardcore' untuk terus ke 20 rakaat. Kebanyakkannya budak-budak muda dan yang sedikit berumur juga turut bongkar. Tidak tahu kenapa dan tidak kuasa pula untuk nenanyakan sebab musababnya. Sering hal ini dipolemikkan dan dilaporkan di suratkhabar sebelum ini tentang perkara yang bersangkutan dengan jumlah rakaat yang perlu dikerjakan. Memadailah dikatakan, tanyalah diri sendiri akan kemampuan dan kesanggupan untuk beribadat khususnya di bulan yang penuh kemuliaan ini. Namun, bagi diri aku seharusnya dan semestinyalah kita merebut sebanyak mungkin pahala yang dihadirkan oleh Allah swt. di Ramadhan kali ini. Peluang menemui Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh mereka yang maklum dan mengerti akan kelebihan bulan yang penuh barakah ini. Aku secara peribadinya amat mensyukuri diberi peluang untuk bertemu dengan bulan ke sembilan tahun hijrah 1434. 

Ada kisah trajis yng menimpa diri seawal pagi 09/07/2013 bersamaan 29 Syaban 1434. Jam lebih kurang 3:30 pagi, dirasakan diri ini seperti sudah tiada lagi di alam yang fana ini. Sesak nafas yang teramat sangat dialami dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Aku menjerit meminta tolong, adalah dalam 3 ke 4 minit lamanya. Anihnya, orang rumah yang tidur disebelah tidak mendengari jeritan aku. Pertolongan Allah swt. datangnya tidak terduga dan begitu jugalah ujian dan dugaanNya yang ditimpakan keatas seseorang. Apa yang terdaya dilakukan oleh diriku yang bertaraf hamba ni, hanyalah memohon ikhsan dan belasNya sahaja. Makanya perlulah aku mempergunakan usia yang dipinjamkan ini untuk beramal ibadah serta mengerjakan segala suruhan keatas setiap individu dan juga menghindari dari melakukan segala tegahan yang diingatkan. 

Sesungguhnya tiada daya dan upaya untuk menghalangi musibah atau dalam perspektif agama adalah ujian demi menguji tahap keimanan individu. Begitu jugalah limpahan nikmat yang diperolehi seboleh mungkinlah disyukuri kerana ini juga merupakan satu lagi bentuk ujian yang menyinggahi diri. Ramadhan kali ini, insya-Allah, akan dilaksanakan dengan sehabis baik seolah-olah inilah Ramadhanku yang terakhir. Malah keazaman seperti inilah yang perlu ada pada setiap umat Islam seluruhnya.

Saturday, May 4, 2013

Pru 13, antara transformasi dan reformasi

Disaat aku belum melelapkan mata diketika ini, ingin pula mencoretkan sesuatu sebagai dokumen tentang warga Malaysia yang akan turun mengundi hari ini. Pemilihan wakil rakyat, kononnya untuk berkhidmat kepada pengundi semuanya bagi DUN masing-masing serta melaksanakan segala janji yang diucapkan bakal terjawab dalam tempoh masa lima tahun sebaik sahaja pemenangnya diumumkan sebelum tengah malam nanti. 

Apapun, adalah penting dan amat elok sekali kiranya setiap pengundi menyimpan segala dokumen yang ada, baik dalam bentuk ucapan dan ceramah yang dirakamkan, risalah yang diedarkan disimpan baik-baik atau lebih canggih lagi di'digital'kan yakni scan dan simpan dalam multi format(pdf, tiff, jpeg dan sebagainya) untuk dihamburkan kembali kepada orang yang digantungkan segala harapan untuk memimpin tapi tidak melaksanakan dengan sesempurna yang boleh. Maka amat malanglah pengundi di kawasan yang pemimpinnya tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tapi terhegeh-hegeh masa meminta undi untuk menjadi pemimpin. 

Terus terang kata, dua kelompok parti yang bersaing meraih undi warga Malaysia ingin membawa kepada perubahan yang lebih baik dari yang dialami dan dirasai oleh setiap warganegara kini. Dikala masa berkempen inilah bakal-bakal pemimpin dan juga sama sibuk pemimpin yang telah sepenggal dan ada juga yang lebih dari sepenggal berlumba-lumba ingin merasai denyut kehidupan setiap pengundi dikawasan yang mereka tandingi. Namun sebagai pengundi, aku secara peribadi amat kecewa kerana calun yang bertanding pada pandangan mataku rata-ratanya tidak punyai keinginan dan lebih lebih lagi keazaman untuk menegakkan hukum Allah selaras sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita , Muhammad saw. Kita tiada pilihan ketiga. Adapun calun bebas yang bertanding sekadar syok sendiri dan lebih kepada 'ada udang disebalik batu' nampak gayanya. Misalnya, apa kejadahnya Nek Mon bertanding di Kuala Terengganu serta Herman Tino di Tanjung Karang. Kalaulah para pemimpin yang sudah lama tapi masih lagi merasakan dialah yang lebih bagus dan juga para bakal pemimpin baru tahu akan erti pemimpin dan tanggungjawab pemimpin serta mengerti dan memahami segala adab-adab memimpin dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin atau senang cakaplah 'code of ethics', rasa-rasanya ramailah yang tidak layak dan bagi yang punyai hemah diri akan segera tarik diri dari bertanding. Malangnya tidak ramai yang bersikap semulia ini namun masih terus mendabik dada serta berani pula mengalas tugas sebagai pemimpin. Mungkin golongan jenis ini telah menghidu peluang yang bakal tersaji kepada mereka yang berjaya menjadi pemimpin. Kalau itulah yang mereka harapkan, maka punah segala harapan dan impian warga tempatan khasnya dan juga warga Malaysia keseluruhannya. 

Apa ertinya lagi reformasi dan juga transformasi yang dijaja keseluruh negara yang sekadar menjadi penyedap mulut saja. Ingatlah bakal pemimpin semua, doa warga Malaysia yang dibohongi, apatah lagi yang dikhianati dan lebih-lebih lagi yang dizalimi serta yang dinafikan hak akan memakan diri akhirnya.

Wallahualam.

Thursday, November 8, 2012

Pemulauan

 8/11/2012 22:21 


Pemulauan


Hari ini aku menamatkan pemulauan ke atas sebuah entiti Cina, San Shine Trading @ Duyung. Kedai diatas tapak tanah milik Buang Bin Ninggal sepertimana yang tertera di bumbung bangunan separa kekal ni beroperasi sekian lamanya sebagai pusat penjualan barangan setempat atau one-stop center untuk barangan hardware dan household. Telah sekian lamanya aku tidak mengunjungi dan jauh sekalilah untuk aku melangkah masuk. Namun pada pagi ini jam lebih kurang 11:15 minit pagi, aku telah membuang keegoan aku untuk mengunjunginya semula setelah kali terakhir aku hadir di premis ini pada 2 tahun yang lalu. 


Peristiwa hitam yang membawa kepada peristiharan pemulauan yang aku maklumi kepada 'orang orang' aku ketika itu seraya berikrar yang aku tidak akan mengunjunginya lagi, waima sampai bila-bila. Mungkin terbit dari rasa kecewa yang aku alami disebabkan kesilapan dan kesulitan yang sedikit cuma lalu membawa kepada berlakunya pemboikotan oleh aku seorang sahaja terhadap premis perniagaan cina hawau ni. Hal ini akan aku ulas dibawah tajuk lain pula.


Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, ujian, dugaan, rintangan dan apa sahaja unsur-unsur yang selain dari yang dinyatakan yang mungkin seerti dan sealiran menimpa diri. Malah setiap yang berlaku dan terjadi keatas diri setiap individu tentunya tidak sama antara individu yang lain.

Monday, April 16, 2012

Laman Kehidupanku

Ini merupakan entri pertama aku kedalam personal diary - Laman Kehidupanku - yang baru aku ujudkan.Kehadiran personal diary atau journal atau buku catatan harian atau apa saja istilah merujuk kepada dokumen ini merupakan suatu medium untuk aku meluahkan apa saja yang terbuku, terpendam, tersirat dan juga terkenang, apatah lagi yang terkena dan terkesan dihati. Aku tidak menghadkan sebarang topik untuk dibicarakan. Semuanya bergantung kepada kesesuaian masa dan ketikanya aku mendapat input yang memungkinkan aku mencoretnya dengan penuh bertanggungjawab.

Sebenarnya, amat payah untuk aku mengingati dan mengimbau susur galur perjalanan sejak aku dilahirkan di pagi Ahad 02/02/1964. Semua orang punyai kisah kehidupan masing-masing. Tiada sesiapapun menempuh kisah yang sama walaupun keberadaan di dalam kejadian yang sama. Diantara kita pastinya di suatu masa dan pada detik tertentu akan bersilang pada suatu titik untuk sesama menikmati dan menghargai kehidupan. Sudut pandang yang jarang benar bersamaan memungkinkan lama sekejapnya untuk senantiasa di suatu titik yang ditakdirkan. Makanya, untuk masing-masinglah merenungkan apa yang tersurat mahupun yang tersirat. Tafsiran yang di buat oleh diri hanya benar dan bermakna buat dirinya sendiri. Sejujurnya, tiada seorangpun berhak menafikan apatah lagi mempertikaikan walaupun mungkin kenyataan itu tidak masuk akal bagi orang lain. Apa hal untuk persoalkan sedangkan itulah perspektif dirinya.

Nak kemana kita? Rasanya tiadalah apa lagi yang hendak dikejarkan melainkan dari memantapkan diri dari segenap segi dalam menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang samada yang terjangka dan yang tak terduga sama sekali. Itupun kalau mampu untuk aku menyerap dan mengatasi segala dugaan hidup yang tidak mampu untuk sesiapapun mengelaknya. Apa yang perlu, ketabahan hati dan  berserah diri kepada yang maha Esa setelah melaksanakan yang paling terbaik mungkin berpandukan pemerhatian sekeliling keatas apa yang ditimpakanNya kepada orang lain serta panduan dan peringatanNya yang disalurkan melalui Al-Quran dan bimbingan yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.

Namun kemampuan seseorang untuk mentafsirkan segala peristiwa yang dilihat, dialami, didengari dan dimaklumi amat bergantung kepada sejauhmana serta sedalam mana ilmu dan kaedah yang seseorang itu miliki dalam menepati atau menemui sasaran.

Begitupun banyak perkara yang menyentuh hati kekadang tu sengaja dibiarkan berlalu. Bukan tidak mahu diulas ataupun diperkatakan tapi lebih kepada memendamnya sahaja dihati. Namun ada juga perkara-perkara yang perlu juga diluahkan agar apa yang terbuku dihati dapat dihadirkan sebagai satu panduan dan peringatan berguna dalam mengharungi sisa-sisa hidup didunia ni. Bukan mudah hendak melupakan akan sesuatu peristiwa, lebih-lebih lagi yang menyentuh hati dan perasaan. Bila diri kekurangan berbanding dengan orang lain maka tatkala itulah rasa kecelaruan mengganggu diri. Bukannya meratapi tapi tersedar beginilah hakikat kehidupan. Bertuahlah bagi mereka yang sentiasa dalam kelapangan dan kesenangan hidup. Kerapkali juga kita tidak menyedari bahawa tingkah laku kita kekadang tu boleh menyinggung perasaan orang lain. Samada tidak sengaja, disengajakan ataupun terlepas pandang namun tindak tanduk kita telah disalah tafsirkan oleh orang lain.

Sebenarnya sifat semulajadi dan potensi diri tentulah ada pada setiap insan yang normal sifatnya. Tambahan pula bila melihat orang sekeliling dan juga dimana-mana sahaja didalam dunia ini, orang yang sudah dewasa perlu melalui proses pendewasaan yang tidak perlu diajari. Segalanya bergerak dan berputar seperti yang dilihat dilingkungan kehidupan masing-masing. Hidup lawannya mati, muda lawannya tua dan segala sesuatu pastinya ada permulaan dan pengakhiran.

Redah sahajalah dan carilah keredhaanNya.

zaini642

Monday, April 16,2012

Tuesday, September 27, 2011

 26/9/2011 08:12 


Penyisihan Terancang


Amat malang rasanya bilamana kita yang merupakan majoriti tetapi hanyalah sekadar pengguna 'terbesar' saja di negara yang bertuah ini. Lebih malang lagi apabila pemimpin yang digantungkan segala harapan dalam membantu, membangunkan serta memperkasakan bangsa Melayu gagal melaksanakan amanat dan tanggungjawab sebagai pemimpin. Menolak dari memajukan segenap lapangan kehidupan orang Melayu di tanahairnya sendiri lantaran punyai kuasa dan mandat yang diberikan oleh 'pengundi' keatas pemimpin Melayu ini merupakan suatu malapetaka yang sengaja ditempah dan bakal menjelang sedikit masa lagi angkara tindak tanduk yang bertentangan dengan aspirasi dan kehendak orang Melayu. Pengkhianatan ini samada dilakukan secara sedar atau tidak sedar, langsung atau tidak langsung terhadap golongan bawahan yang sebangsa amat mengecewakan keseluruhan umat Melayu itu sendiri. Apakah mereka tiada perasaan atau sekadar melepaskan temolok masing-masing dengan menganiaya mereka yang sebangsa.


Anehnya, mereka jugalah yang mencanangkan akan peripentingnya 'Ketuanan Melayu' serta melaung-laungkan dan menjajanya keseluruh pelusuk negara dengan penuh semangat disetiap ruang dan kesempatan pabila bertemu bangsa seagama. Ini tidak, bila bertemu aje dan dirasakan mana yang berkenan dihati nak disengamakan pula. 


Apa punya malangnya bangsa Melayu yang punyai pemimpin tapi tak punya daya juang dan daya tahan yang jitu. 

Wednesday, January 20, 2010

Anak juga akan menjadi bapa jugakan suatu hari nanti, maka beringatlah .......


Sebelum tu refer yang ini dan yang ini.

Sejak berita 'gempar' yang aku terbaca diakhbar tempatan serta komen yang ditulis oleh blogger pada tarikh 15.01.2010, membuatkan aku rasa tak senang duduk serta merasakan sebak dihati sehinggalah ke hari ini. Kata orang tu, berat mana mata memandangpun lebih berat lagilah bahu yang memikulnya. Kejadian yang belum pernah aku dengari sebelum ini tetiba muncul dihadapan mata, berkat dari kemajuan teknologi yang kononnya semakin canggih. Apa-apa aje yang berlaku disekitaran amat mudah diketahui oleh public. Tak orang tak kita. Mungkin hari ini adalah hari dia, manalah tahu mungkin esok ataupun lusa giliran kita pula yang menjadi tumpuan. Takdir, kalau Allah s.w.t. nak timpakan keatas sesiapapun tak mampu rasanya untuk menolaknya. Redha dan terimalah ianya sebagai suatu ujian demi pertingkatkan tahap keimanan seseorang itu.
Kejadian yang tak tergamak dilakukan ini telahpun dilakukan. Mungkin ada sebab yang kuat terjadinya situasi ini. Peristiwa ini tak mungkin pula berlaku secara tiba-tiba saja. Tentulah ada rentetan sehingga terjadinya kejadian 'hitam' yang menimpa En. Abdul Rahman Bin Talib(57's) ni. Pastinya tentulah banyak hal yang berkaitan dan saling kait-mengait yang memungkinkan tercetusnya kegemparan ini. Satu Malaysia dah tahu beb.
Apapun sikap lepas tangan dari memikul tanggungjawab amatlah dikesali. Mungkin semasa anaknya masih kecil lagi, sibapa mengabaikan tanggungjawab membesarkannya dalam segala hal mencakupi soal sahsiah diri, ilmu keduniaan apatah lagi tentang hal-hal kehidupan selepas mati. Ternyata manusia tak terjangkau mentafsirkan apa yang mungkin berlaku dan apa yang tak mungkin berlaku sama sekali. Perkara yang remeh mungkin terlepas pandang tapi hal yang penting dan mustahak takkanlah terlepas pandang juga atau sengaja buat-buat lupa dan tak perasan pula. Musibah yang menimpa tentunya berasas. Walaupun peristiwa ini diistilahkan sebagai 'kes terpencil' namun bagi diri akulah kalau hal seperti ini tak dihebah dan dihebohkan kesetiap orang yang berfikiran waras, rasa-rasanya akan adanya peristiwa kedua, ketiga dan seterusnya berkembang biak bilamana masyarakat keseluruhannya memandang sepi 'gejala' ini. Contoh terbaik adalah gejala buang anak. Anehnya, orang Melayu yang tentunya beragama Islam yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Apa sudah jadi dan apa nak jadi agaknya.
Sesetengah orang mungkin beranggap perkara ni berlaku nun jauh di Kedah sana tapi tak ditempat aku. Dan bila kejadian yang hampir serupa berlaku ditempatnya pula diandaikan yang ianya terjadi didaerah lain dan bukannya didaerah aku. Hal yang serupa bila berlaku didalam kampung atau khariahnya sendiri, cepat-cepat pula meluahkan rasa leganya tak terjadi pada dirinya sendiri. Apa agaknya yang akan dikatakan bilamana musibah ini benar-benar menimpa batang hidup sendiri. Masa tu dah terlambat daah nak perbaiki dan memantau setiap tingkah laku dan perangai sianak. Diburukkan lagi dengan sikap masyarakat yang tak ambil peduli hal jiran-jiran demi untuk kebaikan dan keharmonian hidup bersama. Paling dikesali lagi bilamana pihak 'pemerintah' tak mampu mengesan bermacam-macam gejala buruk dalam masyarakat dan mengabaikan pula tanggungjawab dalam memandu dan memastikan norma-norma kehidupan yang sempurna dipertahan dan diperkukuhkan seerat yang boleh. Ini tidak. Boleh ke dibiarkan saja pada setiap individu itu sendiri untuk melaksanakan sendiri-sendiri. Misalnya kempen 'Rumahku Syurgaku'. Setakat berkempen aje sesiapa pun boleh. Pengisian itulah yang paling penting dan perlu berterusan yakni selagi bernyawa. Perlunya ada gelombang kesedaran di pihak individu itu sendiri dalam memantapkan lagi ilmu serta cara mengaplikasikannya dalam konteks kehidupan dan juga pihak berwajib harus terus menerus dan tak jemu-jemu mengingatkan akan peri pentingnya menjaga kerukunan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.
Bukan semua orang boleh jadi pemimpin. Dan tak semestinya seorang pemimpin itu mampu memimpin. Dan banyak faktor lagi yang mengganggu gugat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Dalam skop yang kecil, sebagai seorang bapa tentunya berbeza 'approach' yang diambil antara seorang dengan seorang yang lain dalam usahanya membesarkan serta mendidik anak walaupun dari segi biologinya mungkin setanding dan berkemampuan menghadirkan 'zuriat'. Begitu jugalah untuk menjadi pemimpin masyarakat apatah lagi sebagai pemimpin negara sememangnya amat memerlukan orang yang punyai rasa tanggungjawab serta komitment yang tinggi terhadap masyarakat yang dipimpinnya. Maaf katalah, bila dipilih dan terpilih menjadi pemimpin kemudiannya berbangga dan minta orang yang dipimpinnya membanggakannya maka amat malanglah orang pimpinannya, masyarakatnya serta bangsa keseluruhan. Tunggu sajalah hukuman yang dipinta sendiri.
Sejak tersiarnya berita gempar ni, aku menjadi begitu attentive sekali bilamana ada kesempatan, setiap akhbar dan laman web yang boleh aku baca dan fahami(Melayu ke, Inggeris ke) akan aku selak serta 'surf' bagi mendapatkan follow-up 'news' tentang hal ini. Tapi hampa aje. Kenapa tiada ditemudugakan anaknya bagi mendapatkan 'story' dipihak anaknya pula. Mungkin sebab musabab yang dihamburkan boleh dijadikan rujukan kes pada masa akan datang. 

Waulahualam.

Monday, December 14, 2009

Hari Bapa Untuk Apa?

My Kids
(Mampukah aku mentarbiah anak-anak aku ni?)

Umum mengetahui yang mana setiap tahun pada minggu ketiga bulan June diistiharkan sebagai 'Hari Bapa'. Tak tahu pulak aku bila dibuat deklarasi dan ketetapan yang telah dipersetujui oleh 'dunia'. Hari Ibu pula, kalau tak silap akulah telah disambut dan sebagai pengiktirafan kepada semua ibu pula, jatuh pada Ahad minggu kedua dibulan May.
Sesungguhnya setiap hari yang kita lalui merupakan 'peluang' untuk kita merebut segala kebaikan dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Dan dalam meniti perjalanan hidup ini, tentu saja kita berkesempatan untuk memikul berbagai peranan dalam kitaran hidup setiap yang bernyawa. Dari bayi, kanak-kanak, budak, remaja, dewasa dan usia tua nantinya(kalau sampai). Setiap peringkat pula  memerlukan approach yang berbeza. Sejauhmana dan sesempurna mana kita memikul tanggungjawab pada setiap peringkat ini pula amat memerlukan ilmu pengetahuan serta tunjukajar dari orang yang telah melaluinya. Ini boleh berlaku secara  formal ataupun tidak formal. Bergantung juga pada individu itu sendiri untuk lebih proaktif dalam memastikan setiap tindak tanduknya mengikut acuan yang dipelajari dan yang dilihatnya. Dan bagi yang berkemampuan pula, improvise dan permudahkan demi kesejahteraan ummah seluruhnya. Misalnya sistem atau aturan yang dibuat sebelum ini oleh orang/masyarakat terdahulu boleh dipertingkatkan/upgrade ketahap yang lebih sempurna atau menjadi lebih cekap. Ilham dan gesaan ini datangnya dari Allah swt jua dengan asbab kekerapan manusia mengulanginya. Antaranya, dahulu kita 'selesa' dengan kereta bergear manual, tapi kini menjadi lebih selesa dengan gear automatik pula.
Namun begitu, keadaan sebaliknya pula berlaku dalam hal hubungan sesama manusia. Diketika kita menghargai peranan bapa serta menyanjungi curahan kasih dan bakti sang ibu, hubungan kemanusiaan semakin bercelaru. Gejala sosial para remaja semakin membimbangkan. Tahap keibubapaan pasangan suami isteri menjadi tanda tanya dalam menangani setiap permasalahan keluarga. Dan lebih mencemaskan sikap endah tak endah dan rendahnya tahap kepedulian masyarakat seluruhnya dalam menyekat keruntuhan akhlak dari terus terusan merebak. Dan apa pula peranan kerajaan dalam memastikan norma-norma kehidupan berlandaskan Islam terpelihara. Setakat ber-'retorik' aje tak mencukupi. Misalnya, slogan 'Penerapan nilai-nilai Islam' di era Mahathir, serta 'Islam Hadhari' semasa Abdullah pula menerajui negara amat sedikt impactnya pada rakyat keseluruhan. Dan terkini slogan '1Malaysia' oleh Najib bukannya meleraikan apa yang bersimpul dan bercelaru malah menyebabkan yang tersimpul makin terbelit.
Mana mungkin tatkala kita menganjurkan amalan-amalan mulia untuk diamalkan dan dibudayakan, program kearah keruntuhan akhlak/moral semakin rancak dan amat hebat dilakukan juga. Program Rakan Muda dan Rakan Masjid yang bertujuan supaya orang muda mengharungi hidup diusia mudanya secara berkualiti tanpa banyak membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah gagal menyemarakkan serta menyuburkan sahsiah diri menjadi seorang Muslim yang baik, sekurang-kurangnya. Puncanya hanyalah pelan tindakan yang pada dasarnya baik dan memungkinkan ianya untuk berjaya tapi tidak mendapat sokongan serta gagal diterjemahkan oleh pihak pelaksana kepada golongan sasaran. Ini diburukkan lagi dengan tiadanya pemantauan ataupun 'monitoring' oleh pihak yang dipertanggungjawabkan akan progress serta perjalanan program yang dibuat. Lambat serta lewatnya menangani segala permasalahan dalam melaksanakan program tersebut malah tak mampu berbuat sesuatu, kononnya takut dipersalahkan atau dituduh punca kegagalan, hanya mempercepatkan lagi ianya berkubur. Semasa ianya mula diperkenalkan, penerangan serta informasi kerap tersiar di media massa. Siaran TV persembahkannya secara besar besaran menunjukkan kebaikan program yang dianjurkan serta info yang memukau dan tentunya menarik perhatian penonton. Begitu juga dengan media cetak dimana penerangan  yang panjang lebar dari konsep serta cara pelaksanaan dan matlamat yang disasarkan disiarkan oleh akhbar utama kerajaan, tak syak lagi, iaitu Utusan Malaysia(bukannya Melayu). Segalanya dirasakan mampu membolehkan rancangan ini untuk berjaya. Apapun, terbukti kini, ianya menemui kegagalan jua. Bayangkan berapa banyak peruntukan(wanglah) dan tenaga yang dah dilabur dan melebur dek kerana tiada kesungguhan oleh pihak pelaksana dan tiadanya juga gelombang kesedaran dari golongan sasar sepertimana yang diramal/dijangkakan oleh 'pencipta' segala macam 'Rakan' ni.
Apapun, bagi diri aku sendirilah, apa yang mampu dan terdaya untuk dibuat perlulah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh berhemah. Tanggungjawab seorang bapa dizaman yang serba mencabar dalam segala lapangan kehidupan adalah lebih berat dan sukar diramalkan. Umum mengetahui, bahwa setiap zaman yang berbeza perlukan cara dan pendekatan yang berlainan. Tidak semua keadaan adalah sama walaupun hadapi masaalah yang dirasakan serupa. Misalnya 20 tahun lalu dengan keadaan sekarang ni. Sesungguhnya pengalaman hidup yang diharungi oleh setiap individu merupakan 'lesson' yang amat berharga untuk disesuaikan dengan permasalahan terkini. Menyempitkan skop dalam menangani serta perbaiki keadaan tidak memungkinkan kejayaan malah boleh saja merumitkan lagi keadaan. Misalnya usaha memulihkan golongan muda yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah tidak hanya semata-mata dengan mengurungkan mereka ini di 'Pusat Serenti' dan dengan harapan program yang dibuat untuk mereka ni mampu menyedarkan serta memulihkan bila saja tamat tempoh pengurungan tersebut. Ada yang tak kena ni tapi buat tak perasan atau mengambil sikap 'peduli apa aku' atau ada agenda lain. Semuanya berkemungkinan. Tapi hakikatnya, yang keluar tidak bertambah baik malah terpaksa dimasukkan semula buat kesekian kalinya. Begitu juga jumlah penghuninya, bukannya semakin berkurangan tapi makin bertambah sehingga menimbulkan masalah nak mengurus serta mengawalselia mereka pula. Seperti ada yang tak kena dalam proses pelaksanaannya. Apataknya, orang yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program tersebut lebih kepada 'makan gaji' dan bukannya benar-benar hendak membantu memulihkan anak bangsa yang terjebak ini. Niat mereka hanyalah untuk bekerja. Nak bagi anak bini makan. Kalau tak kerja, tak berasaplah dapur. Bila niat bekerja tu hanyalah nak cari makan, maka mereka hanya melakukan apa saja yang disuruh dan diarahkan. Tak lebih dan tak kurang. Buat apa buat sesuatu yang tak diarahkan, buang masa dan memenatkan. Lebih baik buat sekadar yang diarahkan. Dan inilah mentaliti petugas yang menafikan setiap program yang dirancang dari menemui kejayaan.
Walaupun petugas dilatih sebagus mana sekalipun, waima dibawakan pakar motivasi terkenal dan terhebat sekalipun, namun belum cukup bagus untuk memulihkan anak bangsa andaikata golongan yang diamanahkan mengambil sikap sambil lewa dan tidak menyedari besarnya tanggungjawab yang harus dipikulnya. Maknanya perlu adanya 'gelombang' kesedaran dari semua pihak. Penagih perlu ada kekuatan diri untuk berubah serta pihak petugas punyai tugas dan misi memastikan program mencapai kejayaan. Komitment yang jitu amat dituntut disini. Kalau tak, lupakan aje. Semuanya akan menjadi sia-sia dan buang masa sahaja.
Dalam hal menjadi seorang ibu dan bapa yang berketrampilan bukannya satu hal yang mudah. Banyak perkara perlu diketahui serta dimengertikan. Itu belum lagi bentuk dugaan dan rintangan yang bakal ditakdirkan keatas seseorang yang bergelar bapa kononnya. Masa depan yang perlu ditempuhi tidak terduga oleh sesiapa juapun. Dalam pada sihat-sihat hari ini, mungkin esok mahupun lusa, ditimpa kecelakaan dengan tak semena-mena. Misalnya, 'stroke' separuh badan aje ataupun kudung kaki/tangan akibat kemalangan jalanraya. Apakah kita mampu, diketika itu, mendabik dada seraya berkata, 'Akulah bapa mithali', sedangkan segala makan pakai kita diurusi oleh anak-anak(kalau ada) serta isteri(itupun kalau tak cabut lari). Memang menjadi lumrah alam, kita akan disanjung ketika kita kuat dan banyak berbuat jasa terhadap keluarga. Tapi apakah jaminan perhargaan yang diberikan itu akan berterusan bilamana ditimpa kecelakaan. Sukar dijangkakan. Hanya ketentuan-Nya jualah. Yang pasti, sejauhmana dan setakat mana yang terdaya dan termampu diusahakan bagi memastikan 'seluruh' anggota keluarga dijauihi dari panasnya api neraka nanti, dikira sudah memadai. 

Waulahualam.