Thursday, February 8, 2024

Masih belum bersedia atau belum diizinkan

Sejak melangkah ke usia ke-60 aku, aku bertekad berjanji untuk menjadi 'orang masjid' pula. Hasrat ini telah aku rancang lama sebelum bersara dari bekerja makan gaji. Aku pada kurang lebih sepuluh tahun sebelum menyampai detik persaraan kini telah berkira kira. Ketika aku menginginkan hal ini, adalah juga aku berdoa mungkin lightly sahaja agar aku diberi kesempatan sampai ke usia 60-an nanti. Antara agenda utama atau main request diketika itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. 

Langkah yang seriringan dan selari adalah merapatkan diri dalam apa situasi pun kearah mendapatkan keredhaan dariNya. Usia yang panjang semata tapi masih bergelumang dengan perkara mungkar memudaratkan diri rasanya adalah penghujung yang amat ditakuti dan sedaya mungkin akan cuba menghindarinya. Apapun, bukanlah kita yang menentukan segalanya. Kita hanya meluahkan keinginan dan mengharapkan dengan segala tindak tanduk yang bersesuaian lagi terarah dalam mencari ketenangan keredhaanNya agar tercapai.

Menyatakan hasrat hati dengan setulusnya kepadaNya memang patutlah disertakan dengan tindakan yang betul. Selebihnya kenalah bertawakkal dan tanpa jemu jemu dengan mengulang ulang melakukan hal hal yang baik baik. Di waktu yang sama juga maka harus menghindarkan diri dari melakukan perbuatan mungkar yang akan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Bercakap memang senang. Bertindak melakukanlah adalah perkara yang sukar dilaksanakan penuh jaya. Disetiap masa dan ketika akan ada sahaja 'sesuatu' yang dirasakan seperti cuba menghalang melewatkan malahan mungkin sampai ke tahap mengagalkan andai tidak dipantau dengan teliti lagi cermat. 

Apapun perkara yang menimpa diri pada pagi ini membuatkan diri rasa terpukul. Hati ini memang melonjak lonjak mahu berjamaah Subuh di Masjid. Namun sejak awal tahun lagi, anak aku yang bongsu telah membuat keputusan untuk tidak mahu duduk di asrama. Aku ada bertanya kenapa tapi alasan mudah yang diberinya tidak selesa dengan perangai bebudak yang seolah tidak mahu belajar. Bunyi macam dangkal sahaja. Nasihat aku kepadanya bila dia berpandangan sedemikian, adalah ayah tidak kisah dan bagi ayah yang penting mahu belajar dan mencapai gred yang baik. Sebermula dari 02/01/2024 maka setiap pagilah sehinggalah tamat sessi persekolahan untuk 2023/24 pada 08/02/2024 terpaksalah menghantar dan menjemputnya dari sekolah.

Ini pengorbanan yang aku buat demi memastikan momentum pembelajarannya tidak terganggu. Samada duduk dirumah mahupun diasrama tidak menjadi persoalan tapi apa yang aku lebih titik beratkan adalah keinginan belajar ke tahap yang lebih tinggi. Apa yang bakal terjadi akibat dari keluar asrama atas kerelaan sendiri tentulah ketentuan dariNya jua. Tiada daya dan upaya untuk aku melawan takdir dariNya.

Sepatutnya aku telah berada di Masjid bersama jamaah khariah bersembahyang Subuh. Memangpun sejak semalam lagi aku telah bertekad untuk hadir ke Masjid. Bayangkanlah sejak awal tahun lagi, setiap kali aku menghantar si Yaseer ke sekolahnya, pasti akan berselisih dengan mereka yang telah selesai berjamaah Subuh. Berderet deret berselisih menunggang motosikal terutamanya di persimpangan Bayan 8 dalam taman yang aku diami ini. Tertanya tanya pada diri sendiri - bila agaknya aku berpeluang hadir sama berjamaah - sambil memandu berlalu ke destinasi tujuan.

Bangun awal pagi adalah kebiasaan. Setiap hari dengan smartphone berada ditepi katil akan membangkitkan diri tanpa jemu pada 5:00am. Bangkit segera dan membersihkan diri seperti selalunya. Namun tidak lagi terlintas untuk berjamaah Subuh. Komitmen kerja bergajian masih menjadi keutamaan walaupun hati berhajat berhasrat untuk sertai ke Masjid. Untuk pagi ini seusai bangkit, menonong ke toilet melepaskan hajat. Selesai masuk ke bilik mandi pula. Kesejukan pagi tidak jadi halangan kerana aku bermandian dengan pancuran air panas 'jet-pump' lagi. Subuh untuk pagi ini @ 6:18am. Sekitar 5:50am aku telah siap berpakaian untuk solat. Loud speaker dari Masjid Rhaudahtu-Jannah sedang mengalunkan bacaan al-quran yang ditelah siap dirakamkan. Penggunaan teknologi konon katanya. Hampir segalanya dalam kehidupan ini telah kita sandarkan pada 'gadget' dalam memudahkan urusan seharian kita.

Aku terpaku di gaming chair yang aku beli via shopee setahun yang lalu memandang kosong kearah desktop HP pemberian Ahmad Yusuf. Melekap sambil tangan membilang tasbih berzikir.

Moga dipermudahkan Allah swt.

Memantau Keadaan

Pagi tadi aku bersarapan diluar. Kali ini aku ke Infasha Maju @ Bukit Katil. Lama sudah tidak pekena roti canai. Ajakan aku disambut oleh orang rumah, bersiap lepas touch-up maka pergilah aku laki bini ke sana. Ramai orang tengah menjamu selera dalam masa aku sampai sekitar 10:30am. Hampir penuh meja yang ada didalamnya. Akupun cuma dapat duduk dimeja berhampiran kaki lima kedai. Sebelah aku, keluarga cina dan kedalam sedikit juga couple cina remaja tengah sodok roti canai juga.


Fenomena ini akan makin galak dari sehari  ke sehari. Mungkin bukan sahaja disebabkan pertambahan penduduk tapi lebih kepada pemusatan ekonomi dikawasan sekitarnya. Terdapat klinik 24hrs, bengkel tayar dan service kereta didalam  row kedai sederet ini. Diseberang jalannya pula ada lagi bengkel kereta yang lebih specialised - car accessories, ketuk body & spray, service air-cond and car service. Makna kata tiada putus putusnya orang yang datang singgah makan.


Nampak sahaja akan orang rumah kepada sekeluarga dah mula makan tengahhari pula. Disebabkan dia memandang ke dalam manakala aku pula memandang keluar maka tentu sahajalah dia dapat melihat dengan jelas. Semasa aku membayar untuk meja 33, lauk pauk serta biryani dan nasi putih dengan pelbagai jenis lauk pauk sedia menunggu mereka yang lapar kebulur. Sediakan duit sahaja, segalanya akan beres.


Dalam masa hendak menghabiskan roti canai 'kosong' yang sekadar sekeping cuma, kelihatanlah oleh aku akan seekor kucing 'gelandangan' menuju  perlahan ke tiang kedai sebelah lebih tepat lagi kedai 7Eleven. Tekun aku melihatnya sebagai mana dia tekun makan berupa 'biskut' yang disediakan oleh seseorang. Insan yang prihatin akan well-being stray cats amat aku hargai. Dia tiada pilihan. Apa yang disajikan dia hadap sahaja. Berbeza dengan kucing peliharaan orang rumah, dak oyen sebanyak dua ekor. Friskies dan makanan keras lain sekadar last resort sahaja. Memilih. Normal lah bilamana ada option. Kalau tidak mahu terpaksa juga dia kena makan juga. Mungkin sudah terbiasa makan ikan yang dibeli dikedai atau dipasar, ikut mana sempat, seleranya luarbiasa. Dahulu kerap kami belikan ikan sardin dan dalam sekali beli kekadang sampai 5kg. Kini beralih membeli ikan tongkol pula. Kalau dibelikan ikan tongkol dan siap berebus lagi, lahapnya mereka berdua makan bukan main lagi.

Bedal aje lah

Prihatin orang yang menyumbang

Fresh dari Family Mart

Sedang menyediakan juadah

Sabar menanti ya...cik abang

Yang satu nie dah tak sabar

Menunggu proses penyejukan

Jom makan

Terbaik la

Santai santai di ruangan porch

Kopak towkay


Nasib memasing mana mungkin bersamaan. Beruntung pada mereka yang bertuah dan tentulah sengsara hidup andai tidak bernasib baik. Lumrah alam begitulah. Kita sekadar memandang kelebihan orang itu sesuatu yang didambakan. Jarang dan tidak pernah pula kedengaran yang kesengsaraan yang dihadapi seharusnya diraikan. Tidak pernah dan tidak akan terjadi. Apa yang kerap diketahui, mengeluh memanjang dan merintih nasib yang senantiasa dirundung malang. Bersedih hati dan bermuram durja jadi peneman hari hari. Langsung tidak memikirkan akan bagaimana cara yang paling ampuh untuk segera keluar dari kemelut yang membelit diri.


Memang ketara berbeza antara mereka yang tahan diuji dengan mereka yang mudah patah semangat. Zakirnya kita sama serupa. Tidak ada terkurang terlebihnya dari segi fizikal. Namun dari pendirian dan sikap serta mental yang kuat akan pasti berjaya mengeluarkan diri dari sebarang ketidakselesaan hidup. Semua kita berhak untuk berjaya. Tetapi ianya pasti akan dibatasi oleh 'ujian' dan 'rintangan' yang pelbagai bentuk dan disepanjang usia kehidupan kita.


Jaya gagal bukanlah kita penentunya. Tapi Allah telah berjanji kepada semua hambanya yang mana antara kalangan mereka yang memohon 'pertolongan' dan 'bantuan' dengan seikhlas mungkin pastinya akan mendapat balasan ganjaran setimpal dengan usaha yang dilakukannya.


Wednesday, February 7, 2024

Petang Rabu @ 07/02

Disaat ini aku tengah melayan berehat rehat di porch area rumah. Masih belum siap sepenuhnya akan ubahsuai dalam membuatkan 'minggu' pertama aku berbeza ketika masih bekerja. Aku perlukan suasana yang tenang lagi mendamaikan dalam memujuk hati yang agak tidak menentu. Biar sesukar manapun situasinya, aku harus move on dalam mengharungi sisa sisa usia.


Aku tidak mengharapkan orang lain membantu menentukan apa yang harus dan patut aku perbuat. Terpulanglah kepada empunya diri. Bukanlah hendak katakan yang aku lebih tahu akan diri sendiri berbanding dengan orang lain yang memandang zahir keadaan aku kini. Tafsiran seseorang adalah berpandukan akan apa yang dia mahu tahu dan telah maklum sebelumnya. Aku tiada kuasa menahan sesiapa jua yang ingin memperkatakan tentang diri ini. Adakalanya mungkin tepat tapi selalunya tersasar. Andaian demi andaian cuba dihubungkaitkan dalam memastikan telahan mereka itu bertepatan.


Apapun, pedulikan akan sembang 'kosong' berandaian mereka dilingkungan. Aku adalah aku. Aku perlu mengagahkan diri menghadapi setiap dugaan kehidupan ini penuh tabah lagi berani. Tidak perlu rasa gentar. Buruk baiknya masih tertunggak dibahu sendiri. Naturally, tentulah diusia yang hampir menuju saat kematian mana mungkin mahu berexperimen sesuka hati. Setiap tindak tanduk perlu mematuhi hukum yang telah diaturkan sesuai dengan peningkatan usia. 


Mengapa aku berpendirian sedemikian. Ofcourse, pengalamanlah yang mencernakan tindakan selanjutnya. Keberhasilan setiap tindakan susulan adalah diluar bidang kuasa kita. Kita sekadar mengharapkan sesuatu yang baik terjadi. Andai sebaliknya pula yang terjadi, itulah ketetapan dariNya. Usaha yang kita lakukan perlulah berlandas. Jaya gagal adalah pemutus kata dariNya jua. No pertikaian harus dibangkitkan. Tapi tanyalah diri sendiri, apakah silap dalam bertindak yang telah dilakukan. Bermuhasabah.


Nampak mudah dan seolah cuba menyalahkan orang lain. Blaming on others. Tentu sekali hal ini tidak akan menyelesaikan masalah tapi makin merumitkan lagi situasi. Berdegil tidak menerima kenyataan bukanlah 'pilihan' yang terbaik. Ini akan lebih ketaranya menyerlahkan sisi buruk yang ada pada diri. Biar pedih dan biar sampai terluka, namun  perlulah diri untuk segera bangkit persiapkan diri hadapi cabaran hari muka.


Kita tidak akan tahu apa yang akan kita terima dimasa menjelang nanti. Maka perlulah kita senantiasa berhati hati dan berawas akan segala kemungkinan yang bakal terjadi pada diri.


Moga moga aku mampu harungi setiap 'ujian' kehidupan ini sebaik yang mungkin.

Monday, February 5, 2024

My new bluetooth keyboard

Hari ini, lebih tepat lagi pada sebelah pagi tadi semasa ke Aeon memulangkan 2 helai t-shirt dan 2 helai apron yang merupakan set uniform yang terkini, aku memgambil peluang membeli akan set terbaru bluetooth keyboard. Lama sudah aku ingin membelinya. Samada di shopee atau di Aeon. Jika diperbandingkan akan harga retailnya, memanglah di online lebih berbaloi malahan sekali ganda lebih murah. 


Namun disebabkan kuatnya pertalian Aeon dengan diri ini dan sebagai cenderahati buat diri maka aku menetapkan pendirian untuk mendapatkannya dari Aeon Ayer Keroh. Inilah tempat kerja aku yang terakhir dan paling lama. Sebaik sampai dirumah, tidak lengah lagi untuk aku mengunapakai akannya. Puas hati, cukup puah hati. Sepertimana yang aku mahukan dan ianya dapat berfungsi dengan baik. Asalnya aku telah berdendam untuk capai yang berwarna hitam. Malangnya diketika hendak membelinya, tidak kedapatan lagi di shelf.


Sering dan setiap kali aku maklumkan yang aku berkeinginan hendak memilikinya. Hati masih berbelah bahagi. Di Shopee harganya jauh lebih murah sedangkan yang dipegang dibelai ditempat kerja aku ini membuatkan aku sudah terpikat. Saban waktu yang terluang akan aku jenguk memegangnya. Staf yang bertugas di jabatan jagaan aku ini, Multimedia, tidak banyak menyampuk. Mereka hanya sekadar mendengar akan kewajaran aku untuk memilih. Aku amat berterima kasih kepada semua staff yang sudi melayan kerenah aku akan benda Allah ini. 


Kini, Xplorer Dock 2 Wireless Keyboard, yang sedang digunapakai ini telah menjadi milik mutlak aku. Sepertimana yang dijelaskan, bluetooth keyboard ini sebagai kenang kenangan berkhidmat di AEON. Sikap aku, apa yang aku mahu akan aku sendiri berusaha mengapainya. Kegunaannya aku khususkan kepada Tablet Samsung A6, model P585Y dan HP Slater 7 yang lebih awal aku beli juga dari AEON. 

Dalam dakapan...

Sedang mencuba...


Minat aku dalam mengarang tidak kiralah apa sahaja yang terlintas difikiran membuatkan aku agak fanatik kepada apa sahaja gadgets yang berlambak dipasaran terutamanya di-online yang sesuai dengan keperluan semasa aku. Bluetooth keyboard ini bukanlah yang 'terakhir' dalam koleksi. Mungkin akan ada lagi yang mengujakan dan lebih berpatutan harga serta lebih praktikal penggunaan yang bakal aku miliki. Ini adalah bluetooth keyboard ke-4 aku. Kalau ikutkan kehendak hati mahu sahaja aku borong semua yang ada dipasaran. Terpikat juga aku akan keyboard yang foldable. Bila difoldkan sudah macam kotak pencil yang slim. Mungkin sesuai untuk aktiviti luar. Misalnya santai santai merakamkan pengalaman ditempat orang dan diwaktu yang sama healing healing ke tempat holiday mungkin.


Dalam keadaan aku kini yang tidak bergajian lagi, segala sesuatu yang aku inginkan haruslah ditangani dengan berhemah. Tidak bolehlah semberono dan mengigal ngigal mahukannya. Perlu adanya kewajaran yang pasti sebelum memiliki sesuatu. Pertama bagi mengelak pembaziran. Beli dan cuma sekali sekala sahaja menggunakan tentulah tidak berapa bijak keputusan yang diambil. 


Sejak kehadiran 'orang baru' ini, tiga sets yang dibeli sebelum ini tidak aku hirau untuk sentuhinya. Aku mahu dapatkan feel dengan set baru ini. Bila aku telah biasa dengan segala 'short-cut' yang tersedia untuk digunapakai maka yang lama juga tetap sekali sekala akan aku guna juga. Bergantung kepada keperluan dan keadaan ketika itu nanti. Diketika aku sudah capai usia bersara ini maka ruang masa untuk aku santai santai menukilkan sesuatu yang menarik minat aku untuk aku perkatakan. Tiada sekatan dan halangan. Terpulanglah kepada diri aku sendiri mengatur kehidupan menuju 'kematian' yang pasti.


Aku adalah orangnya yang suka sangat menerawang sendirian. Suka sangat dengan 'what if...' walaupun realitinya tidak mungkin dan tidak akan pernah berlaku. Ini bukanlah bermaksud yang aku cuba mereka mendahului ketentuan DariNya. Aku sekadar melihat dari perspektif kemungkinan bakal terjadi. Cuba meletakkan diri didalam situasi mereka yang terjebak diuji dalam kemelut kehidupan yang rasanya tiada sesiapapun yang mahukan ianya terjadi kepada diri. Hendak rasai keperitan yang ditanggung, mahu mempelajari dan ingin mengetahui bagaimana dirinya tabah menghadapi dan berjaya keluar dan bangkit berjuang perbaiki diri.


Semoga aku diberi kesempatan menjalani kehidupan yang tenang mensyukuri pemberian dariNya dan memanfaatkannya demi kesejahteraan orang lain di lingkungan.


Sunday, January 14, 2024

Nasib Jejaka

 13/1/2024 12:24 


Dipagi Sabtu ini entah macammana aku terkenangkan akan satu lagu yang aku suka ketikanya masih di sekolah rendah lagi sehinggalah ke menengah rendah. Sampai tingkatan tiga ler. Lagu 'Nasib Jejaka' ini agak unik sikit. Dimulai dengan petikan guitar ala ala rock bunyinya tapi bila hendak mula nyanyi, lenggok dangdut pula timbul sampailah ke akhir. Agak kelakar dan tidak berapa harmonis. Tapi itu bukanlah menjadi isunya. Aku lebih tertarik kepada cerita yang melingkari 'si-jejaka'. Kisah angannya dalam percintaan dengan realiti yang kena dia hadap menjadi semacam input dalam meniti usia remaja aku. Semua orang kalau boleh mahu hidup bahagia.

                                                        The Mercy's - Nasib Jejaka

Hampir setiap hari akan berkumandang di radio. Samada diruangan permintaan lagu atau pengacara rancangan radio, orang sekarang nie panggil deejay, akan syok sendiri putarkan lagu dari kumpulan The Mercy's ini. Dapat dapat yang jadi deejay itu adalah yang masih bujangan, lagilah makin mencanak putarkan. Top hits masa itu. Naturally, bilamana sudah hampir setiap hari didengari maka datanglah suka dan gemar mendengarnya. Rentak yang agak 'catchy' berbeza dengan intro lagu dari band band lain yang sezaman, melodi yang diketengahkan ini seolah memecah keluar dari kebiasaan dalam genre 'pop melayu' diwaktu itu.


Dizaman persekolahan aku ketika itu, punya set piring hitam @ record player yang paling basic sekalipun adalah suatu kebanggaan. Apatah lagi mempunyai radiogram yang sebesar kotak televesyen yang berkaki dan mengeluarkan bunyi yang berdentum kuatnya yang mana bagi aku yang masih bersekolah hanyalah sekadar impian. Hanya mereka yang 'have have' sahaja mampu memilikinya. So the only source yang tersedia dan murah adalah melalui siaran radio. Bila aku terdengarkan sahaja lagu ini berkumandang maka secara auto-nya apa sahaja yang aku tengah lakukan tetiba menjadi 'slow-motion' dan ada ketikanya pula if permissible terus aku menghampiri melekap disisi radio yang sebesar 'electric oven 20lt' sekarang ini. 


Masa usia awal belasan tahun, aku tidak punyai rakan rapat dalam ertikata sebenarnya. Rakan sebaya sepermainan dikampung adalah dikalangan anak jiran berdekatan yang saling mengenali. Kalau sudah selalu bertemu bersemuka, takkanlah tidak mengenali. Cumanya tidaklah serapat mana. Mungkin disebabkan aku bersekolah dibandar dan tidak seperti rakan sekampong yang lain yang bersekolah kampong berjalan setiap pagi ke SK Alai yang berjarak sekadar sekilo sahaja dari rumah. Sedangkan aku berkenderaan ke sekolah. Masa disekolah rendah BHES-2, aku menaiki van sekolah Pakcik Sani, orang Telok Mas, yang kerap sangat sempot. Selalu juga 'skip' ke sekolah. Ini yang seronoknya, kesulitan orang adalah kebahgiaan buat diri. Awal 70-an lagi aku sudah melihat menyaksikan bagaimana sulitnya dia yang mengidap asthma ni terkial kial mengatasinya. Terpaksa mengunakan 'inhaler' yang tidak jauh berbezanya sepertimana yang aku kini pakai. Sambil memandu sambil menyedut inhaler. Bila alami keadaan yang teruk, langsung tidak memandu. Dahulu mana ada perhubungan sama macam sekarang ini. Tunggu punya tunggu sampai sudah terang tanah, kalau bersekolah pagi, hatipun sudah mulai berbunga kegembiraan. Hip hip hooray...tak payah sekolah jawabnya. Bila di sekolah menengah, aku naik pula bas Dak Tick atau Che Tong yang berpengkalan di Kandang.


Disebabkan itulah perhubungan dengan rakan sebaya sekampong tidak begitu rapat. Aku lebih selesa bergerak sendirian untuk kemana mana. Memandangkan yang aku telah terdedah kepada suasana dibandar, bercampur bergaul dengan rakan sekelas yang berbangsa Cina dan juga India dan secara semulajadinya aku lebih comfortable lingering dengan mereka. Tidak kiralah samada di canteen, didalam kelas mahupun di library. Kemudahan yang ada disekolah amat baik dan boleh dikira lengkap. Ketikanya hendak buat aktiviti luar kelas, kami namai 'PE' or Physical Education, guru PE sudah standby kat tepi padang. Kemeja sekolah disangkutkan di kerusi memasing di bilik PE. Kalau time hujan, meloponglah dengar cikgu PE beri ceramah hal bersangkut tentang kesihatan. Kemudahan bersukan telah disediakan untuk setiap kali kelas PE. Ada petugas yang menyediakan kemudahan bersukan mengikut arahan cikgu PE. Macam tugas pembantu makmal. Siapa yang pernah lalui zaman ini pasti akan mengerti akan apa yang aku maksudkan.


Disebabkan lingkungan kehidupan aku yang sebegini, secara semulajadinya dan perlahan lahan mulai menyedarinya yang aku ini lebih kepada self-reliance. Apa yang aku hendak maka akan aku usahakan sendiri. Hendak kemana mana kalau tiada sesiapa yang sudi, aku lebih rela bergerak sendirian. Panggung Cathay, Panggung Federal, Panggung Rex, sampaikan Panggung Lido(Hindustan) dan Panggung Capitol(Cina) menjadi destinasi hujung minggu aku. Bergantunglah kepada apa filem yang menjadi bualan semasa ketika itu. Tidak berlengah lagi akan berkunjunglah aku kesana. Tiket class 'C' cuma 65 sen sahaja. Itupun jenuh hendak mengumpulnya.


Kalau dirumahpun bila hujung minggu, aku lebih suka memerap kat rumah. Siapkan 'homework' dan membaca dengan selangi buat latihan matematik yang telah diajari guru, kalau ada. Penat, keluarlah sekejap naik basikal ke pekan Kandang beli apa yang perlu. Selalunya, nenek-lah yang kerap mengarahkan aku membeli rokok-nya yang keputusan bekalan. Heavy smoker dia. Jarang tengok perempuan hisap rokok. Dalam pada itu kerap juga aku kelepet duit baki. Jarang dia perasan. Serahkan duit baki dan ajak berborak sekejap bermuslihat dari mengelakkan dia mengira baki yang dipulangkan. Tricks ini selalunya berkesan kalau jumlahnya tidak ketara sangat. Bila 'tertangkap', bagitahulah yang aku ada beli gula gula sambil mengeluarkan dari kocek dan berbagi dua. Berlakonlah sikit, lupa hendak bagitahu. Hacks atau Hudson, gula gula berperisa oren/lemon dan berangin menjadi kegemaran. Kalau seluk ada 4 biji...hulur dua kat dia. Lebih kurang macam tutup kes la.


Berbalik kepada bercakap pasal lagu ini, aku mulai menyedari yang situasi 'jejaka' yang mengenangkan nasibnya agak 'weird' sikit. Sepatutnya yang pompuanlah yang menaruh harap dan bergantung 'nasib' dengan si-jejaka. Ini sudah terbalik. Mengharapkan yang sipompuan akan kekal setia kepadanya. Nampak agak janggal. Setahu akulah, lelaki kena berada dikedudukan yang lebih baik dari segala segi. Baik dari segi ekonominya, bertingkah laku yang baik dan meyakinkan. Berpenampilan menarik bersemangat berwawasan dan mampu melindungi kekasihnya untuk kekal sepanjang hayat. Walau tiada gerenti yang si lelaki akan punyai ciri ciri ini dalam memacu kehidupan bekeluarga dan kekal sebegitu sehinggalah ke penhujung hayat tetapi aku percaya si perempuannya mengharapkan ciri ciri ini adalah 'package' yang didambakan. 


Apapun pengharapan dan realiti yang perlu dihadapi lepas berkahwin nanti adalah hakikat yang perlu dihadap penuh ketabahan. Setiap kita perlu melalui 'ujian' kehidupan memasing. Kita harapkan pasangan punyai ciri ciri yang begini begini, namun lepas berkahwin tersingkap perangai sebenarnya. Begitu jugalah jangkaan si-dia dapat melindungi sehingga ke penghujung nyawa, tup tup dipertengahan alami dugaan yang memeritkan. Misalnya kemalangan hingga ke tahap 'bedridden' atau lebih tragis lagi meninggal dunia terus. Bila kejadian ini berlaku atau apa sahaja yang berkemungkinan untuk berlaku, adakah kita mampu hadapinya.


Terserah pada diri dan hanya masa yang menentukan segalanya.


 

Sunday, January 7, 2024

Hari Minggu pertama ditahun 2024

 07/01/2024 11:43 


Menjelang February the 2nd, aku tidak perlu lagi pergi bekerja di AEON. Sebabnya secara mandatory aku perlu menamati pekerjaan yang bertahun aku ulangi saban hari menjelang usia 60 tahun. Sememangnya aku telah lebih awal menyedarinya dan bersiap sedia untuk menempuhi detik tersebut. Biarpun tidak memberi apa apa pengertian pada sesiapapun akan tarikh 02/02 setiap tahun, namun bagi diri ini ianya amat bermakna. Sukar untuk digambarkan apatah lagi diluahkan dengan kata kata. Ianya tersemat tersimpul pada diri. Aku bukanlah orangnya yang pandai melakarkan kegembiraan dengan kata kata puitis. Aku jenis main langgar sahaja. Apa yang terlintas difikiran terus aku tekan keyboard. Tidak berapa hiraukan sangat akan tatabahasanya juga susunan jalan ceritanya. Flashforward or flashbackword yakni mengimbas 'peristiwa' sebelum sebelumnya berselang dengan yang dihadapi kini. Ketidak susunan dan lebih tepat lagi tidak mengikuti urutan penceritaan yang terarah tidak mematahkan usaha dan minat aku untuk mendokumenkan setiap peristiwa yang berlaku pada diri.


Sebaik mungkin aku cuba menikmati hujung minggu pertama aku ini di tahun 2024. Selayaknya memang banyak yang aku fikirkan untuk aku perbuat didalam memenuhkan masa tidak bekerja bergajian nanti. Biarpun banyak perancangan yang aku impikan namun jadi tidaknya bukanlah aku yang tentukan. Aku cuba membuat perancangan dengan penuh teliti. Mengambil kira faktor yang memungkinkan segala mengikut aturan. Faktor 'kesihatan' dan masa samada singkat atau menuntut satu jangkamasa yang panjang lagi membebankan adalah hal utama yang perlu dititkberatkan. Usia bila berakhirnya bukanlah kita memandai menentukan dengan pasti. Ketentuan sememangnya telah tertulis lebih awal sebelum kita dilahirkan.


Keutamaan yang telah aku mulai sejak 02/02/2023 iaitu mendekatkan diri pada al-quran serta memahami setiap patah kata akan diterus malah dilipatgandakan. Tiada yang menghalangi usaha ini aku panjatkan doa kepadaNya. Mohon dipermudahkan sehinggalah aku mampu menghafali sebelum penghujung hayat aku sampai. Keduanya, hasrat untuk ke Tanah Suci mekah. Lama sudah keinginan ini aku pendamkan. Inipun segala perancangan dengan pertolongan dan pandangan mereka yang telahpun sampai kesana menjadi 'input' persiapan. Diharapkan yang matlamat kedua inipun bakal tercapai pada tahun 2024 ini juga. Insya-Allah.


Hubungan dalam masyarakat setempat dan kekeluargaan sehinggalah ke saat ini terasa agak renggang. Kerenggangan berpunca dari komitmen pada pekerjaan cari 'rezeki' membesarkan keluarga. Aku telah bertekad semasa aku mendaftar masuk bekerja dengan Aeon atau dulunya dikenali sebagai Jaya Jusco. Aku berjanji pada diri sebaik menjejakkan kaki pada hari pertama melapor diri yang kerjaya dibidang peruncitan inilah menjadi kerjaya terakhir aku. Aku tidak akan mahu bertukar kerja lagi. Biarpun ianya tidak gah dan tidak dipandang orang, jawatan yang diberikan kepada aku ini atas initiatif aku sendiri memohon dan menerima 'tawaran' walaupun lebih rendah dari kelulusan yang aku ada. Aku sambar sahaja 'kekosongan' yang ada ketika itu. Teringat lagi akan kata kata sipenemuduga, seorang Cina, yang akhirnya berjawatan sebagai 'Group Leader' di store yang sama memaklumkan yang jawatan yang aku pohon itu telah dipenuhi dan kekosongan yang ada cumalah 'sales assistant'. Kelulusan dan pengalaman bekerja aku di Hankyu Jaya lebih dari mencukupi untuk aku menjawat jawatan 'Supervisor'. Biarpun begitu, aku redha akan ketentuan dariNya.


Segala yang berlaku pada rentetan masa dari hari 'menyerahkan diri' bekerja dan tidak mahu menoleh kebelakang mengimbau apatah lagi melihat kekiri kekanan akan peluang semasa yang lebih menarik, aku fokus terus menghadapi situasi baru ini dan ditempat dan di negeri aku sendiri. Konsep pandang ke timur yang diheboh hebohkan oleh media akan aspirasi Tun M dalam memodenkan industri peruncitan negara tentulah amat aku sokong. Usaha Tun M menjemput rangkaian peruncitan yang dikenali ketika itu Jusco dari Jepun membantunya menaiktaraf sistem peruncitan negara perlukan tenaga kerja yang bersesuaian dalam memastikan apa yang dimpikan bakal terlaksana.


Bukanlah aku hendak perkatakan yang aku bernasib baik tapi segalanya adalah atas ketentuanNya jua. Dari beratus yang sesama hadir lapor diri serta dilatih sebulan lamanya di Pusat Latihan Telekom, Bkt Beruang dan sesama bekerja memajukan Aeon diluar dari Klang Valley sehingga keadaan terkini punyai ceritanya tersendiri. Hanyalah mereka yang merupakan perintis dan tinggal beberapa kerat sahaja lagi pernah lalui dan saksikan setiap apa yang terjadi. Menjadi kenangan dan rahsia pada mereka. Setiap kita punyai pandangan yang tentulah tidak bersamaan. 


Itulah, jika mengimbau akan kisah kisah yang aku turuti rasai, pasti akan memikir merenungi proses transformasi peralihan pergerakan dari tahun ke tahun. Begitupun bukanlah hidup ini sekadar untuk mengenang tapi perlu bergelut berjuang agar diri senantiasa dalam keredhaannya. Tiada lagi 'buang masa'. Tidak juga lakukan hal yang sia sia. Moga hidup aku lebih terarah bermatlamat. Hasrat hati ingin lakukan sesuatu yang menghadirkan kebaikan dan kegembiraan kepada orang lain.


Moga aku kekal fokus.

Monday, January 1, 2024

Memasuki 2024

Sepertimana yang aku rasai dan alami hari ini berbanding dengan tahun sebelum sebelumnya, nyata banyak bezanya. Ingat lagi memohon cuti pada tahun baru Nasrani ini, pernah menjadi polemik. Ketika itu aku pairing dengan Theresa, perempuan India asalnya dan akan tetap seorang India yang 'convert' ke Kristian mahukan juga ambil cuti pada hari yang sama. Beralasan, tradisi keagamaan. Pengurusan akur pula. Sedangkan aku perlu menghantar pulang si Ucee ke kampusnya di Pasir Gudang. Awalnya dahulu, pihak pengurusan membenarkan hanya seorang sahaja yang boleh bercuti beralasan keagamaan. Tapi akhirnya akur dengan kewajaran yang aku berikan walaupun agak keberatan meluluskan. Argument yang aku ketengahkan, kalau begitu, every year-lah dia dapat 'privilege' tanpa dipertikaikan untuk bercuti pada 01/01 setiap tahun. Aku nail-kan dengan alasan inilah pertama kalinya dan hal ini tidak dapat dielakkan kerana 'nobody' yang boleh memandu menghantarnya pulang ke kampus. After all, its only first time and never be repeated in future. 


Hari ini, tiada isu lagi. Mak Itam itu telah ditukarkan ke department yang lain disebabkan masalah kesihatan. Sebagai penghormatan buat diri yang akan menamati kerjaya peruncitan ini dan mungkin juga 'kebetulan' disebabkan tiada hari lain untuk 'park' cuti maka aku diberi tanpa dipohon akan cuti pada 'public holiday' hari ini. Kebetulan yang tidak dirancang atau tentu sekali dengan yakinnya yang hal ini adalah ketentuan dariNya. 


Bagi budak dan mereka yang masih muda juga segelintir yang tidak ambil kesah, kehadiran tahun baru  samada Kristian ke, Cina ke atau India ke dan begitu jugalah untuk kaum kaum yang lain waima tahun baru Islam sekalipun, tanggapan mereka hanyalah perubahan hari sahaja. Macam biasa, no big deals. Tidak perlu hendak diheboh dikecohkan. Namun tidak bagi mereka yang menginjaki usia ke 60-an. Mungkinlah ada dikalangan mereka dari golongan berusia 60-an merasakan diri masih bertenaga dan perasan muda. Tindakan mereka ini agak janggal diperhatikan dan terkeluar dari kebiasaan. Antaranya berpakaian bergaya seolah muda belia, cergas beriadah dan sampailah ke peringkat extremenya iaitu bernikah dengan anak dara beralasan kalau sudah jodohnya. 


Kita sebenarnya dilekakan dengan 'sandiwara' dunia. Beruntung kepada mereka yang cepat sedar dan semakin hanyut buat mereka yang terpana terpesona. Diberi kesihatan yang baik dengan kemewahan yang diusahakan bukanlah bermakna ianya tiket untuk kekal berpanjangan dalam gaya kehidupan yang selama ini telah dilalui. Akan sampai kepada suatu ketika dan masanya, segala yang dimiliki itu akan tertanggal menuruti fitrahnya. Tiada yang kekal buat selamanya. Tapi kebanyakkan kita malah mungkin majoritinya mahukan ianya kekal dimiliki selama yang dimahukan. Normal-lah bagi manusia yang sifatnya tidak akan pernah puas.

 

Melihat kedalam diri, aku sedar dan teramat perlu untuk aku mencari membawa pulang bekalan ke akhirat nanti. Takut dan malu untuk berdepan dengan sang pencipta dalam keadaan tidak memiliki apa apa. Pastinya akan aku beri fokus yang lebih di sisa masa yang berbaki ini. Ujian yang dihadapi oleh sesama kita tidaklah bersamaan. Tidak perlu kira hairankan. Masing masing ada set ujian mereka sendiri. Tidak berbaloipun untuk membanding banding. Tiada sesiapapun yang mahu tahu dan setiap masa itu akan berubah mengikut ketentuanNya.


Persiapkanlah diri. Moga segala usaha aku akan dipermudahkan. Ameen.