Tuesday, January 5, 2021

Gadaian perlu ditebus

 04 JANUARY 2021, 10:12

Pagi ini tetiba aku mencoret di Dairo yang ada di Samsung Tab A. Sejak keluar dari bilik air tadi idea untuk mencoret akan hal ini tercetus. Akan ditulis di Acer chromebook. Platform Dairo di Acer adalah yang paling aktif. Saban hari aku akan menulis disana. Kekadang bila banyak masa terluang sampai dua tajuk akan aku menulis. Segalanya bukanlah mengenai orang lain tetapi tentang diri aku sendiri. Bercerita lebih lebih mengenai orang lain buat apa. Adalah lebih sesuai dan lebih afdal untuk aku mengulas mengkoreksi diri. 

Siap berpakaian dan sambil menunggui orang rumah menyiapkan sarapan pagi berupa goreng pisang 'raja abu' dan goreng sukun yang dibeli dalam haluan balik menghadirkan diri kemajlis perkahwinan, aku akan memulai coretan ini. Entah macammana si kuning pula menjengah memasuki bilik dan berbaring diatas Acer. Melingkar dengan aksi tidur yang ditunjukkan. Dari empat ekor kucing 'jantan' yang dipelihara sejak kecil lagi, hanya dialah yang tidak berbulu kembang. Senang kata kucing kampong. Lagi tiga adalah kucing kacukan kucing farsi mungkin. 2 ekor ini adalah anak si Comat yang mama mereka ini adalah kucing kacukan juga. Batch kelahiran kali ke berapa tidak terkira lagi. Aktif beranak dan setiap batch pastinya antara 4 ke 5 ekor. Seekor lagi juga berbulu kembang adalah 'orang datang'. Kesian yang teramat sangat oleh orang rumah dengan terjerit jerit meminta makan dan senantiasa mengunjungi maka telah mengambil keputusan menerima kehadiran bersama anak kucing yang lain ketika itu. Manakala si kuning, asalnya 'orang Bertam Cheng'. Dibawa ke Bukit Katil oleh menantu. Sejarahnya si kuning dan adiknya sihitam kehilangan ibu atau ditinggalkan pergi lepas beranak. Namun hayat sihitam pendek dan tinggallah si kuning sendirian. Mungkin bulunya tidak kembang maka menjadi musuh kepada kucing jantan dikejiranan. Pantang terserempak pasti dia menjadi 'target' utamanya. 

Menjelang tahun baru, dia teruk dikerenyam. Tangan/kaki depan sebelah kiri bengkak dan terhincut hincut berjalan. Malang rasanya menyambut tahun baru. Banyak berehat berbaring didalam rumah. Orang rumah sentiasa membelai mengurut dan menyediakan makanan. Pagi ini si kuning kelihatan agar selesa sedikit berjalan. Namun bila hendak melompat naik ke katil dia agak teragak agak. Mungkin masih tidak berkeyakinan. Terpaksalah aku bantui dia. Melepaklah dia bersebelahan orang rumah yang berbaringan ketika itu. Bila aku menoleh ke meja tulis, dia kini tengah berbaringan di atas Acer aku. Hajat hendak mencoret ditangguhkan. Bila direnungi akan wajahnya, dalam kesan calar dihidung, berbintat bintat kepalanya bila diuruti akibat kesan cakaran bergaduh. Mungkin kena serang hendap sampai tidak tertangkis serangan. Biasanya bila terdengar bunyi kucing 'bergaduh', pastinya anak aku akan segera muncul meleraikan. Rasanya waktu serangan berlaku semua tiada dirumah. Maklumlah anak nombor dua dan nombor tiga dah ada lesen memandu. 

Mengenang nasib



Berbalik kepada isu yang bagi setengah orang tiada kena mengena langsung dan kepada kebanyakan orang yang terperangkap ianya satu hal yang agak penting. Masalah kewangan yang mulai meruncing dan terasa gaya kehidupan kian terjejas maka segala sumber yang dimiliki akan dipergunakan sehabis baik. Tiada siapa menyangka dan tidak pernah terfikirkan yang covid-19 yang pada asalnya dikenali sebagai coronavirus menjelang memasuki tahun 2020. Mereka yang sebaya aku tentunya akan menunggu nunggui akan kedatangan tahun 2020. Heboh sekitar 1980-an dengan 'Wawasan 2020' oleh PM ketika itu dengan kemuncaknya upacara penanaman 'kapsul masa' yang katanya akan dibuka pada 2020 nantinya. Tahun yang dinanti nantikan telahpun berlalu. Siapa sangka, tahun yang sepatutnya membawa seribu erti tentang kemajuan, tentang kemodenan, tentang kearah menjadi negara maju yang didambakan rupanya penuh dengan seribu tanda tanya. Sampaikan tiada siapapun menghiraukan akan 'kapsul masa' yang sepatutnya dikeluar kembali dan dibaca akan pencapaian yang telah dicapai. Hampas. Punah. Lebih mengharukan 'the true colours' pemimpin yang dipilih yang sepatutnya membawa negara kearah peningkatan dalam segala aspeks jelas ditunujukkan tanpa disedari. Pengkhianatan mandat dengan lompat melompat serta saling bertelagah amat memualkan pengundi keseluruhannya. Janji yang beria ia demi kepentingan dan keutamaan rakyat dimungkiri tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah. Malah menyalahkan rakyat yang tidak pandai berikhtiar berusaha memajukan diri. Begitulah bongkaknya cakap cakap mereka yang diberikan kuasa yang bukannya lama cuma sekadar 5 tahun sahaja. Amat berbeza tingkah laku dan tutur bicara bilamana menagih ehsan belas pengundi  sebelum memenangi pilihanraya PRU14 @ 2018. Berbeza antara langit dan bumi. Beradab penuh kesopanan tingkah laku dengan beralas berlapik serta amat merendah tutur bicaranya ketika berkempen dahulu akan tetap diingati dan dikenangi sampai bila bila. Andai mereka yang 'bercabang lidah' ini masih tiada rasa malu serta terhegeh hegeh menawar diri bertanding dalam PRU15 yang diramalkan dalam tahun ini juga maka ketahuilah nasib diri.

Rakyat bawahan amat terpukul dengan perintah kawalan pergerakan @ MCO pada March 2020. Kehidupan seharian tetiba sahaja terhenti. Pendapatan terjejas tapi perbelanjaan harian berjalan seperti biasa. Makan, harus makan. Minum, harus kena minum. Sehari dua, seminggu dua tentulah tiada masalah. Tapi bila ianya berlanjutan berbulan lamanya dengan bergajian harian tentulah keresahan mendatangi diri. Siapapun kalau boleh tidak mahu menjatuhkan maruah diri mengharapkan simpati orang lain. Beusaha berikhtiar mencari rezeki adalah sifat cekal mengharungi dugaan kehidupan. Sepatutnya pihak yang berkenaan turun ke lapangan membantu mereka yang memerlukan. Bukannya menyulitkan lagi keadaan meminta tampil dengan pelbagai birokrasi dalam menghulurkan bantuan. Kesengsaraan orang adalah berbeza. Bagi sikaya, persepsi mereka tentulah menuduh malas berusaha, takut mencuba sesuatu yang baru dan tiada berwawasan. Sedangkan mereka yang kurang bernasib baik ini saban hari bergelut cuba mengatasi segala bagai rintangan hidup.


Kesan covid-19

Selepas raya yang pertama kalinya disambut dengan normal baru, berlitup muka dengan sekadar memekap tapak tangan ke dada sebagai simbolik bersalaman, kelainan yang tentu sekali hilang seri dan meriahnya raya membabitkan semua kita kaya mahupun miskin. Tidak terfikirpun dalam kesuraman raya 2020 yang lalu tetiba menjadi viral akan ramainya umat melayu berbaris panjang di kedai kedai pajak seluruh negara. Video yang disebar luaskan di WhatsApps group dan boleh dicapai di you tube untuk mengulangi menengoknya. Rasanya pemimpin dan mereka yang sebangsa pasti akan terkejut melihatnya atau menganggapnya resam kehidupan dan tiada apa yang harus dirisaukan.  Majoritinya adalah saudara saudara kita. Berat mana mata yang memandang, rasanya berat lagilah bahu yang memikulnya. Hendak membantu, sendiripun terkial kial. Betapa hakikat yang tidak semena mena dizahirkan ini memerlukan seluruhan umat Melayu saling bantu membantu mempertingkatkan ekonomi bangsa. Mengharapkan ehsan orang lain yang pastinya perlukan balasan. Mengungkit mengingatkan pertolongan agar dikenang budi yang dicurahkan menyebabkan maruah bangsa terpelosok dinegara sendiri. Amat menakutkan bila ini terjadi.

Apa yang pasti selepas enam bulan berlalu, towkay yang bermurah hati 'meminjamkan wang' bercagarkan emas yang dimiliki akan menunggui tarikh yang ditetapkan memulangkan kembali wang yang dihulur. Mana yang tidak berkeupayaan akan diikat untuk 6 bulan lamanya lagi. Dalam situasi ini siapa sebenarnya menjadi 'Tuan'. Mereka yang pada awalnya menjangkakan yang wabak penyakit yang melanda ke seluruh dunia ini tidak berpanjangan akan terkesan yang teramat. Ingatkan sudah 'melandai' bak kata Dr. Noor Hisham dan ditabalkan Tan Sri pula atas jasanya oleh Agong sebelum berakhirnya 2020 amat meresahkan golongan marhaen ini. Sudahlah hutang perlu dijelaskan dan terpaksa minta bertangguh lagi dan terpaksa pula bakal menghadapi MCO 2.0 yang khabarnya cara perlaksanaan banyak berbeza.

Berdoalah kita semua agar segala urusan kita dipermudahkan olehNya. Ameen. 

Saturday, January 2, 2021

Suramnya 2021

Sat 02 January, 2021 20:35

Semalam kita semua telah melangkah memasuki tahun 2021. Aktiviti harian tetap sama. Kalau bagi orang kerajaan, tetap juga bercuti tahun baru. Bagi aku pula , cuti awam ke atau tidak, tetap datang bekerja. Jika ianya jatuh pada hari cuti mingguan aku, malanglah kerana tetap harus bekerja pada hari tersebut. Cuti mingguan pula perlu dianjakkan ke lain hari. Biarpun begitu hakikatnya yang aku lalui selama ini dan selagi mana aku masih bekerja dengan Aeon, tiada perlu dihirau dikisahkan akan hal ini. Bak kata omputih 'business is as usual'. 


Seawal pagi ditahun baru dan diketika hendak berpergian ketempat kerja, hujan gerimis mengiringi. Terasa kedinginan. Seakan langkahan memasuki tahun 2021 ini kurang ceria. Mendungnya pula sampai ke petang. Matahari turut seakan 'malu' memujuk kesedihan yang dialami selama ini demi merangsangkan keyakinan menghadapi tahun baru. Dikhabarkan covid-19 belum menunjukkan tanda tanda akan berakhirnya episod luka ini. Malah bilangan kes makin meningkat naik dipenghujung Disember. Kalau pada mulanya laporan kes harian diadakan sejak bulan March 2020, melebihi 100 kes sahaja telah merungsingkan namun kini jarang pula kes harian 'dip below' 1000. Perhatikan betul betul akan bilangan '0'. Ada beberapa yer, mana mungkin tidak membimbangkan.

Pagi Jumaat @ 1st day of 2021


Apa yang mahu dibuktikan oleh statistik kes sehingga kini. Kes makin hari makin bertambah. Begitu jugalah jumlah kematian. Tidak sampaipun 50 orang dan kekal hampir sebulan ataupun dua sehingga tamatnya tempoh pkpb fasa pertama dan disebabkan banyaknya faktor yang menyumbang kepada perubahan mendadak yang seperti tiada kawalan dan tidak terkawal maka angka kematian adalah memang dijangkakan makin meningkat. Setakat hari ini(02/01), jumlah yang direkodkan adalah 483 termasuk kematian baru sebanyak 9 orang.


Bila diimbas, macammanalah pihak yang dipertanggungjawabkan ini berikhtiar berusaha mengekang pandemik covid-19. Hal yang menyelubungi hampir keseluruhan dunia ini tidak mungkin diambil mudah. Ada juga cakap cakap yang cuba mengaitkan phenomena ini dengan konspirasi pihak pihak berkepentingan untuk 'mengawal' dunia mengikut telunjuk mereka. Mana yang betul mana yang palsu telah saling bertembungan sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dikalangan kita semua. Pun begitu apa yang harus dipercayai adalah akan realiti yang dihadapi serta dipertontonkan begitu jelas membuktikan ujudnya penyakit 'baru' yang menyerang penafasan manusia terutamanya yang berusia akan lebih mudah terjangkiti. Lebih memburukkan keadaan, vaksin untuk penyakit baru ini masih belum ditemui. Kegusaran orangramai mulai melonjak tinggi naiknya bilamana segala pergerakan dihadkan dan urusan penjanaan ekonomi turut dibabitkan. Pada mulanya semua orang menuruti dengan beralasan biarlah mereka yang lebih maklum menjalankan ikhtiar mencegah mengawal membasmi penyakit baru ini. Namun bilamana tiada menampakkan ianya berjaya dibendung malah makin meningkat pula kes yang dilaporkan, maka sesiapapun akan kecewa serta akan melepaskan rasa amarah mengikut pertimbangan memasing. 


Manakala buat diri ini pula, takkanlah nak buat 'dont't know' sahaja. Kita sedaya-upayanya cuba mengikut menuruti sahaja s.o.p. yang diwartakan oleh pihak pemerintah 'pak sanggup' atas keresahan peribumi angkara kerajaan '22 bulan' sebelumnya. Inilah peluang untuk mereka menunjukkan kewibawaan menjadi kerajaan. Aku amat percaya dan begitu yakin yang mereka akan dikekalkan sebagai kerajaan sekiranya mampu mengalas mengemudi permasalahan semasa dengan penuh bergaya. Urus tadbir yang profesional lagi telus serta berjaya pertingkatkan ekonomi dalam situasi wabak covid-19 ini akan menjadi kayu pengukur  bagi mengekalkannya bertahta. Peluang telah tersedia dan bak kata mat sallehpun, 'Now, the ball is in your court....'.


Semoga kita sesama bergandingan mengharungi petaka yang menimpa serta bangkit memakmurkan kembali negara dimana tumpahnya darahku ini.

Friday, January 1, 2021

Terdorong dek firasat

01 January, 2021 22:41

Hari ini, hari Jumaat, dan merupakan hari pertama untuk tahun masehi 2021. Seminggu sebelumnya adalah pada 25hb December iaitu minggu lalu juga adalah 'public holiday'. Pada petang hari natal itu, kanchil pula meragam ketika haluan pulang kerumah. Kalau ikut shif bertugas, petang 'raya' tu aku seharusnya bekerja petang. Namun disebabkan ada perubahan, Khamis lepas aku bershif pagi. Manakala keesokkan harinya pula dan jumaat lagi, aku bekerja shif petang. 


Aku amat ambil berat berkenaan kereta 'cari makan' aku ini. Pantang ada apa apa aral, semestinya aku akan pastikan yang ianya perlu segera kembali normal. Namun pada petang hari natal itu untuk pulang kerumah, entah macammana bila hendak menghidupkan engine terasa payah pula. Beberapa kali cuba menghidupkan enginenya ianya tidak mahu hidup. Sejak awal pagi lagi ketika hendak bergerak ketempat kerja, menghidupkan engine mulai payah. Setelah beberapa kali cubaan, engine berjaya dihidupkan. Setelah bunyinya macam biasa yang didengari maka akupun memulai pemanduan. Mulanya tiada terasa apa apa keganjilan. Setelah menuruni taman dan memasuki susur ke Taman Merak, tetiba engine mati dan kereta meluncur membelok. Pada ketika itu aku berprasangka baik. Mungkin pedal clutch aku tidak tekan setelah pedal minyak aku lepaskan. Selalu berlaku. Memandangkan dalam keadaan spontan juga aku merasakan yang aku sedang memandu kereta 'auto' walhal aku sedang membawa kereta manual gear. Makanya cepat cepatlah aku menghidupkan kembali engine diketika kanchil membelok perlahan. Sekali pulas sahaja engine kembali hidup. Perasaan lega seketika. Namun ketika menyampaikan ke bonggolan pertama dari susur Jalan Demang Hussin engine sekali lagi mati ketika aku menekan brake/clutch demi memperlahankan kereta untuk melepasinya. Start kemudiannya maka hidup balik enginenya. 


Seawal tadi mungkinlah aku terleka yang aku membawa kereta bergear manual yang mungkin aku anggapi sedang membawa kereta bergear auto. Tetapi pada kali ini memang sahlah kanchil aku ini sedang bermasalah. Bukan sekali tapi beberapa kali dan setiap kali menghampiri bonggolan yang sejumlah 5 bonggolan sepanjang taman merak ini sebelum menyampaikan ke round about dipinggiran taman, engine pasti mati. Pengalaman menghadapi situasi serupa sebelum sebelum ini mengingatkan aku akan puncanya yang baru sebulan diperbaiki yang mana menurut kata pengusaha bengkel yang selalu aku kunjungi berpunca dari masalah 'brake pump'. Ketika itu, aku menyuruhnya mengantikan dengan brake pump yang baru jika itulah punca engine mati tetiba. 'Motokar motokok, Buruk berganti baru', frasa yang sering arwah mak sebutkan bilamana kereta anak anaknya tetiba 'sempot'. Bila sudah berganti, hah...baru puas hati aku.

Boss sendiri yang buat inspection mengesan punca
 

Namun kini isu yang sama berulang. Tentulah tidak salah bagi aku mengandaikan ianya kini turut berpunca dari brake pump juga. Bukanlah pula hendak pertikaikan kemampuan mereka yang sudah bertahun berpengalaman bergelumang dengan kerja kerja baikpulih kenderaan. Kekadang terdetik juga keraguan akan tahap kemahiran. Ataupun mungkin juga hal lain yang menjadi punca walaupun menunjukkan tanda yang hampir sama yakni engine mati setiap kali clutch pedal ditekan. Berteka teki tidak menyelesaikan permasalahan. Harus meminta bantuan 'pakar' datang mengenalpasti akan segala kemungkinan punca. Aku menghubungi dia via whatapps pada 29/12/2020. Pantas dibalasnya seraya memaklumkan yang dia tidak dapat 'handle' segera permasalahan aku ini. Namun dia berjanji akan datang melihatnya esok yakni 30/12/2020. Rujukan screenshots menceritakan.

Mohon bantuan

Berhajat sesangat



Keesokkan harinya, dalam kurang lebih ke 8:30 pagi dia membuat 'hantaran' untuk singgah menengok. Mungkin diketika messagenya masuk aku tiada berdekatan phone. Ke bilik air membasuh telapak tangan yang berminyak dari krim rambut selepas menyisir rambut yang tidak berapa hendak banyak. Ketika dimeja makan, ringtone smartphone berbunyi dan ianya dari En. Mohammad. Cecepat aku menjawab panggilan sambil bergerak ke depan rumah menunggui ketibaannya. Beberapa minit kemudiannya myvi lamanya berwarna 'solid white' membelok kedepan rumah. Isteri barunya yang memandu. Mungkin perancangannya untuk memandu pergi kanchil aku yang bermasalah ini ke bengkelnya di Duyung. Segeralah dia keluar dari myvinya menyuruh aku menghidupkan engine kereta kanchil yang tersadai hampir seminggu dibahu jalan. Penuh yakinnya aku memberitahunya setelah sampai ke rumah pada petang natal itu sehinggalah hari ini tidak pernah pula hendak menghidupkan enjin sambil aku memasuki kereta. Apa yang mengejutkan diri, sebaik memulaskan kunci kereta untuk menghidupkan dan sekali pulas sahaja enjin kereta berjaya aku hidupkan. Tepuk dahi aku terperanjat dibuatnya. Melihatkan aksi spontan aku, dia tergelak besar. Malunya aku sambil tidak putus putus memohon maaf darinya kerana mengambil masa berharganya. Dia respond dengan mengatakan mungkin terdapat ada parts yang longgar ikatannya. 


Aku berjanji padanya yang cuti Selasa nanti akan singgah ke bengkelnya untuk buat inspection serta 'service' sekali. Semasa kereta yang dipandu isterinya bergerak melintas, aku ulangi ucapan maaf atas permintaan aku yang 'hilang' tetiba. Ajaib aku rasakan buat diri yang cetek pengetahuan tentang kereta dan mungkin rasa dipermainkan buat dirinya. Memang memalukan aku saat termulanya adegan itu. Tercegat kehairanan aku memikirkan macammana dan bagaimana engine begitu mudah sekali dihidupkan sambil memerhatikan keretanya berlalu sehinggalah hilang dari pandangan. 


Begitulah hal hidup dan kehidupan. Bukan semua perkara yang kita 'ahli' dan tahu serba serbi. Mungkin kita pandai serta petah berkata menyampaikan ilmu pengetahuan tapi belum tentu lagi kita mahir mengendali memperbetuli. Ada orang cekap dalam bidang pertukangan, bidang automotif memang tidak pernah sentuh. Begitu jugalah buat mereka yang terlalu lama bergelumang dengan perbankan. Hari hari bermain dengan angka dan memegang wang dalam jumlah yang besar merupakan kebiasaan sahaja. Cubalah suruh dia perbetulkan sistem penghawa dingin yang tidak berfungsi. Tanpa apa apa ilmu asas dan situasi makin membahang maka mahu jadi bodo dibuatnya tidak tahu mana hendak memulainya. Maknanya kita memerlukan orang lain dalam mempermudahkan urusan seharian kita. Tidak tahu tidak mengapa tapi perlulah dapatkan mereka yang pakar dalam bidangnya. Mencuba sendiri adalah satu sikap berdikari yang baik andainyalah telah mengetahui selok belok dan ada asas. Namun didalam dunia yang semakin pantas bergerak ini, kemajuan dan kecanggihan ilmu membuatkan seseorang itu makin mengkhusus didalam sesuatu lapangan. Memandang sengkek akan kebolehan kepakaran serta kemampuan orang lain sedangkan diri sendiri tidak ketahui langsung dalam sesuatu pekerjaan akan menyerlahkan 'ego' diri yang tidak bertempat.


Sememangnya kita tidak terkejar untuk mengetahui semua perkara. Namun memadailah sekurang kurangnya dapat mengetahui asas sesuatu perkara yang diluar bidang kita. Rezki kita tidak bersamaan dengan orang lain. Seharusnyalah kita hormati pekerjaan orang lain. Biar nampak senang dan biarpun kelihatan bahaya sesuatu pekerjaan itu tapi perlulah dihargai tugasan yang digalas mereka. Bak kata 'singh' dalam 'Seniman Bujang Lapok', 'Dia punya rezeki dia makanlah, awak punya rezeki awak makanlah....apa salahnya sama sama cari makan.'


Termenong panjang aku mengakhiri coretan ini.


Sunday, November 15, 2020

Berbumbungkan awan nan kelabu...

15 NOVEMBER 2020, 23:23

Hari ini adalah hari kedua Deepavali 2020. Kebetulan lagi, aku bercuti 3 hari berturut turut sehinggalah hari Selasa. Sejak rumah lama di Alai mula dirobohkan pada Rabu 11/11/2020 tetiba sahaja rasa kesayuan mendatangi diri. Isnin 09/11, aku ada datang menjengah tapi tiada sesiapa ketika itu. 'Berat' pula pada masa kedatangan itu dan hati pula berbelah bahagi. Terasa macam belum puas menatapnya. Berpusing kebelakang rumah tapi tiada menemukan sesiapa. Keretapun tiada. Mungkin berpergian, entah kemana. Meleju sahaja kekereta untuk bergerak pergi. Setelah diatas jalan, bertepuk dahi aku bilamana hasrat hendak mengambil gambar video sekeliling rumah buat kali penghabisan sebelum kerja kerja merobohkannya tidak kesampaian. Terlupa yang teramat sangat atau memang telah ditakdirkan. 

                                                   Jaclyn Victor - Wajah


Sehari selepas itu, ketika sedang menikmati sarapan pagi, Tiqah menalipon Mak Udanya memaklumkan yang rumah telah mula dirobohkan semalam iaitu 11/11. Membuat video call sambil menunjukkan bukti akan sebahagian rumah yang telah dirobohkan. Dilanjutkan dengan memberitahu yang hanya bahagian dapur sahaja yang dibiarkan buat sementara waktu. Selesai minum dan tidak lengah lagilah aku serta orang rumah bergegas menuju ke destinasi tujuan. Aku mahu melihat sendiri dengan mata kepala aku keadaan terkini. Sebaik sampai sahaja kelihatan 2 orang pekerja yang kemudiannya setelah diperkenalkan oleh kakak tunggal aku sebagai 'Wak' yang merupakan towkay dan seorang pembantunya. Keduanya adalah orang Indon. Sekali pandang, macam hendak tergelak pun ada bilamana wajah si-towkay mirip mirip dengan rendangnya saling tidak ubah macam 'Wak Mustar' dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Tinggal kenangan

inchargenya - Wak Sotomo


Macam biasalah, kakak aku menceritakan hal kejadian semalam tanpa disoal ditanya. Segala yang terlintas dilaporkan tanpa mengikut urutan. Saling bersilang antara pelbagai topik. Rasa penat mengangkat berdua dengan Abang Razak akan pelbagai barangan yang tetiba sahaja semalam ketika munculnya pekerja binaan 'Wak' memulai kerja kerja merobohkan rumah. Sempat lagi bertanyakan samada kenal Rashid, budak Alai, yang terlebih mengenali orang rumah dan juga aku yang katanya sesama kerja di kilang MTM @ kilang alai dahulu. Dalam pada bercerita itu, dicucuknya pula dengan pertanyaan harapan - kalaulah dapat dalam RM20K, cepat rasanya kontraktor ni buat kerja.

Entah apalah yang diborakkan dengan iparnya, keesokkannya, Jumaat aku perlu menghantarkan lauk asam pedas ikan tenggiri dan sayur lemak pisang sebagai juadah makan tengahhari beserta dengan karipap frozen 2 paket. Alasannya, kesian, mana sempat hendak masak dengan keadaan rumah yang tengah dirobohkan dengan berjalan kesana kesini iaitu merujuk akan hal kakak aku yang liat serta lambat memasak. Ketika sampai dalam kurang lebih ke 12:00 tengahhari, kelihatan dia tengah membersihkan kawasan sekitar sambil mencangkung ditepi longkang dibawah redupan pokok mangga. Rasanya sambil membersihkan kawasan sambil memantau pekerja Indon tengah membengkokkan besi dikejauhan. Bila aku menanyakan akan Abang Razak, cepat cepat dia menunjukkan akan suaminya itu dicelah celah 5 pekerja Indon. Laju sahaja aku membuat komentar, ooo jadi 'site supervisor'. Spontanlah tergelak kakak aku. Maklumkan agar beritahu abang Razak supaya jangan terlalu rapat menyibuk takut nanti tidak tersengajakan atau tidak terperasan besi atau apa sahaja objek yang mungkin terpelanting terkena. Lagi satu hal pula hendak membetulkan. 


Manakala hari ini semasa tengah bersarapan nasi goreng, aku maklumkan yang selepas sarapan akan ke Alai. Kelihatan tiada sesiapa pagi ini. Namun selepas memarkir Alza ditepi gazebo dan ketika melangkah keluar tetiba terdengarkan anak buah layankan lagu thema 'Bersamamu' nyanyian Jaclyn Victor sebelum muncul dipintu bahagian dapur. Mungkin dia hendak buat gimik kat mak uda tapi bila terpandangkan aku, segeralah dia berhenti bernyanyi sambil menanyakan akan ketidakhadiran mak uda-nya. Aku sekadar senyum dan ia-kan sambil melihat sekeliling kawasan yang telah berpancang.

Melihatkan keseluruhan rumah 'ibu' yang telah dirobohkan, ada semacam satu perasaan yang teramat payah untuk digambarkan. Disinilah aku dibesarkan. Disinilah aku mula mengenali dunia. Dan disini jugalah aku diasak dengan pelbagai dugaan masa remaja aku membawa kepada kedewasaan. Belum puas rasanya menatapi. Rumah dari pusaka datuk nenek dan diperbaharukan sedikit demi sedikit dimana aku turut sama terlibat dan menatapinya sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1978. Ingat lagi insan yang 'inscribe'-kan tarikh siapnya dipintu haluan ke-dapur oleh Abang Karim 'Buaya' ketika simen lantai 'merah' mula mengeras ketika itu. Cantik tulisan dia.

Aku berharap agar tiada sebarang kesulitan yang bakal menganggu melewatkan kerja kerja binaan. Amat berharap juga yang segalanya selesai sebelum menjelangnya Ramadhan 1442H pada pertengahan April 2021. 

Tuesday, October 6, 2020

Abang sihat...?

Setiap yang berlaku bukanlah kita yang menentukan. Terkejut mengetahuinya adalah tindakbalas normal kepada semua kita. Amat tidak menjangkakan apatah lagi sememangnya tidak mahukan sesuatu itu berlaku sekarang dan didetik ini menurut perkiraan kita. Namun hakikatnya tiada sesiapapun sanggup menafikan. Segala sesuatu yang telah berlaku dahulu, kini dan yang pasti akan datangnya nanti tidak memungkinkan sesiapapun mampu menghalanginya. Menerima dan pasrah dengan ketentuanNya adalah tindakan yang sepatut dan seharusnya dizahirkan.

Berseorangan mendepani cabaran...bertabah Pn. Ita


Dipagi ini selepas mandi dan sebaik keluar dari bilik tidur untuk bersarapan dengan goreng pisang kompot, orang rumah memaklumkan berita yang mengejutkan. Dikhabarkan, 'Suami Ita sudah meninggal'. Sebelum sempat aku duduk, as usual, spontanlah kalimah 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun...' dilafazkan. Terus pertanyaan aku untuk kepastian, laki Ita Solok Gaung ke?. Pantas pula menyangkal dengan memaklumkan Si Ita anak pokcik Mokti yang duduk di kampong Bongek, Rembau. Gambaran wajah ceria Ita Solok Gaung yang bechok bercakap sekelipan bertukar ke Ita anak buah yang serius tegas memegang tampok perniagaan arwah bapanya penuh sayu kesedihan. Kamal suaminya, dikhabarkan melalui Whatsapps mendapat serangan jantong awal pagi yang membawa maut. Berita yang pantas berlegar memungkinkan hampir semua berjaya dihubungkan.


Perkhabaran kematian sepatutnya diberikan keutamaan. Menghormati serta menginsafi harus seiringan. Malah terlebih harus dilakukan adalah turut menghadirkan diri menyempurnakan mayat simati. Ketidakhadiran bermakna terlepaslah peluang merebut 'kebaikan' dari peristiwa sedih ini. Dikatakan orang yang alim, kedatangan orang yang memberi penghormatan terakhir antara ramai dengan sedikitnya bilangan adalah balikan kepada apa yang dilakukan selama hidup didunia yang fana ini. Longkah hadir buat seseorang berbanding kekangan rintangan kepada yang lain adalah dua situasi yang extreme ditimpakan kepada mereka dilingkungan kehidupannya. 


Apa yang paling pasti, hadir tidaknya seseorang itu adalah lorongan dan ketetapan  dariNya jua. Analogi yang masih kejap diingati adalah kata kata Ustaz Badlisah, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Pahang(ketika coretan ini dibuat), dalam program Forum Perdana yang aku sempat tontoni sebelum ini. Bukanlah memperlekehkan usaha ahli bina badan mengangkat bebanan saban hari demi untuk mendapatkan 'body profile' yang sasa tapi apa yang amat menghairankan adalah  ketidakmampuan abam 'sado' untuk melangkah berjemaah di masjid. Jelas disini, kita tidak berupaya selain dari ketentuanNya. Dialah yang memilih siapa 'tetamu' yang patut hadir.


Aku jarang bertemu apatah lagi berborak panjang dengan si arwah. Opening remarks yang selalu si-arwah ini mengungkapkan, 'abang sihat...?' bila sahaja bertemu dengan aku. Tidak kiralah apa event sekalipun. Hendak dikatakan berat mulut, akupun berat mulut juga. Mungkin juga disebabkan jarang bertemu muka dan janggal kekok berbual dengan aku membuatkan pemula bicaranya agak monotonous. Seingat akulah, bila sahaja ada event keluarga sebelah orang rumah, arwah akan turut hadir menemani bapa mertuanya 'Pokcik Mokti'. Suami Ita ini lambat launnya akan mewarisi perniagaan 'kueh' bahulu IKS 'Indah Sajja' bila tiba masa dan ketikanya. Perancangan kalau ikutkan memang nampak sempurna. Namun ketentuan dariNya mengatasi segalanya. Tidak tercapai harapan yang cuba disandarkan untuk memajukan lagi perniagaan sememangnya ada hikmah disebaliknya. Kita tidak tahu, mereka juga tidak tahu tapi segalanya 'dirahsiakan' dari pengetahuan semua kita agar tidak mendatangkan sebarang kemudaratan dimasa mendatang nanti.


والله آعلم (God knows best, God knows better @ Allah jualah yang Maha Mengetahui)




Wednesday, September 23, 2020

Pasaraya Darwis bakal beroperasi

 22 SEPTEMBER 2020, 15:30


Darwis... tidak pernah terdengarkan


Pagi tadi ketika keluar hendak bersarapan ke kiosk Dak Din roti canai, aku terperasankan papan tanda kedai yang baru di atas Bukit Ranting bersebelahan dengan PC World. Hampir seminggu tidak melalui laluan ini memandangkan minggu lalu aku ber-shift petang. Kebiasaannya hanyalah bila bercuti dan jika ada keperluan mendesak barulah aku kesana kemari. Memandangkan banyaknya urusan pada hujung minggunya sehingga Selasa dan sebelum datangnya Hari Malaysia pada Rabu, 16/09 maka tiadanya keperluan dan kesempatan ke Duyung. Sekejapan sahaja telah ada perubahan.


Ketika memandu mendaki cerunan dari persimpangan Duyung menuju ke pekan Duyung dengan bergerak sederhana perlahan, aku terpandangkan di deretan bangunan rumah kedai bersebelah PC World telah terpampang signage 'Pasaraya Darwis'. Tidak puas sekali, beberapa kali berikutnya aku menoleh memastikan akan apa yang aku lihat sehinggalah hilang dari pandangan. Mungkin telah ada kesedaran BMF dalam diri dan memang patutpun kita menyokong maka secara semulajadinya rasa terharu bercampur gembira mendatangi diri. Semestinya semua kita harus turut terlibat bagi memastikan ekonomi Islam berkembang. Memang pelik rasanya bilamana pengguna terbesar adalah orang melayu islam tapi bidang perniagaan hampir keseluruhannya dikuasai oleh orang mendatang.


Banyak perkara yang tidak menyebelahi orang kita bilamana kuasa ekonomi dipegang diurusi oleh orang lain. Bekalan makanan dikawal dihad oleh mereka. Begitu jugalah dengan harga jualan. Merekalah yang menentukan ikut sesuka hati sahaja. Bila dirasakan hendak untung banyak, maka dinaikkan harganya. Bila ada tanda tanda kurang permintaan, lagi mudah kerja mereka. Samada sorokkan sahaja atau kurangkan pengeluaran. Kebergantungan kepada kaum mendatang ini begitu ketara semasa aku kecil lagi sekitar awal 70an. Teringat lagi aku bagaimana arwah emak telah membeli dengan kuantiti yang banyak sebelum kedatangan tahun Baru orang tionghua pada setiap tahun. Setin biskut kering 10kg(cream crackers @ biskut lemak), sebungkus besar bee hoon, ikan kering timbang kilo dan beberapa barangan perlu lagi yang menjadi kemestian sebagai persediaan bila mereka berseronok bergembira menyambut tahun baru mereka.


Kini kebergantungan terhadap mereka sedikit demi sedikit mula menghakis terutamanya dalam bidang peruncitan. Perjalanan kita masih jauh lagi dan belum boleh berhenti walau seketika jua kerana banyak cabang ekonomi yang masih kekal utuh dan kejap dipegang dikawali mereka. Kesedaran dari semua kita terhadap 'jihad' ekonomi ini seharusnya bukanlah bersifat bermusim atau sementara sahaja. Ianya mesti berterusan dan dipertingkatkan senantiasa. Malah perlu melibatkan semua peringkat. Dari seluruhan pengguna, pembuat dasar beserta kakitangan kerajaan yang tentunya melayu sebangsa dan golongan peniaga muslim/melayu harus saling bekerjasama merealisasikan hasrat ini.


Kesedaran yang makin menyeluruh dirasakan oleh setiap umat Melayu diharapkan dapat senantiasa dipalu berterusan via pelbagai sosial media agar ianya tetap menjadi agenda utama kita. Pembukaan Malakat Mall sekitar dua minggu awal sebelum negara diPKP-kan adalah cabaran akan sejauhmanakah sustainable-nya perniagaan orang kita diarus perdana. Bukannya tidak ada kedai kedai runcit milik kita malah kalau disiasat dicari pastinya ada diceruk seluruh negara. Namun keberadaan mereka tidak memberi impak ketara kepada perekonomian ummah. 


Diharapkan 'Pasaraya Darwis' bakal berjaya dibuka merebut 'kek ekonomi' yang sememangnya tersedia untuk dimiliki dinikmati bersama.


 

Saturday, September 19, 2020

Hari Malaysia...dengau-kan khabau.

 16 SEPTEMBER 2020, 08:28

Hari ini adalah hari ulangtahun perisytiharan 'Hari Malaysia' kali ke 57. Tarikh bersejarahnya, 16/09/1963, bagi akulah ianya hanya diberi perhatian selepas millenium dan itupun 10 tahun kemudiannya. Penyatuan dengan Sabah dan Sarawak dalam negara dinamai 'Malaysia' pastinya bertujuan bersebab dengan andaian yang samada benar akan berlaku dan ditakutkan dengan ancaman 'komunis' dirantau asia tenggara terutamanya dan atas cadangan serta sokongan British sebagai 'big brother'. Faktor faktor yang being fabricated dan yang mungkin nyata benar dirasakan lagi munasabah untuk berlaku membuatkan pemimpin lantikan dan pilihan ketika itu melurut menerima. 

Bacalah 16 Sept - Cuti Umum dan ucapan menghargainya. Aku juga ada membuat catatan peribadi dan turut aku perturunkan sebahagiannya disini, bersiaran langsung. 

Hari Malaysia yang disiaran-langsungkan

17 SEPTEMBER 2015, 01:49 PM
Semalam adalah 16 September, 2015. Beberapa tahun kebelakangan ini sambutan 'Hari Malaysia' sudah menjadi satu kemestian pula macam menyambut 'Hari Kemerdekaan'. Saban tahun, acara sambutan menjadi makin meriah dan bertambah grand pula. Setahu dan seingat aku-lah, idea mengujudkan satu hari cuti umum datangnya dari 'brilliant' idea TPM yang pertama dipecat dalam sejarah Malaysia. Tragis kisahnya yang mungkin majoriti penduduk sedia maklum akan isu ini. Berdolak dalik dan akibat didesak pastinya, akhirnya idea yang bernas dan bertepatan serta tidak mampu dinafikan lagi, PM kesayangan ramai dengan placard dijulang tinggi 'I love(symbol love) PM' terpaksa jualah mengisytiharkan cuti umum ini. Lembu punya susu, kenapa pula sapi yang dapat nama. Inilah persoalan yang rasanya ramai yang dapat mengagaknya dengan tepat.


Apapun pastinya, yang bekerja semalam boleh tersenyum sampai ketelinga kalau suka sangat. Hari yang setaraf nilainya dengan 'Hari Buruh', 'Hari Agung', dan 'Hari TYT' kerana ianya bernilai 'Triple pay' yang hanya difahami oleh pekerja swasta. Semasa briefing pagi, ingatkan staff setiap department seboleh mungkin kena dapatkan 3 kali ganda dari budget masing-masing. Tambahan 'triple pay' buat 'Hari Malaysia' sepatutnya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga pada Abang Nuar yang berusaha, berikhtiar sehingga pihak kerajaan akui mengikhtirafi hari yang penuh bermakna mengikut tafsirsan masing-masing. Bebudak baru terpingga-pinggalah.


Selepas turun dari bilik menuju ruang tamu, seperti biasalah bebudak asyik dengan program kartun yang sedang ditonton mereka. Aku hebohkan mereka pasal sering sangat dan suka sangat dengan rancangan kartun. Arahkan mereka menukar channel. Tetiba PM kesukaan ramai kita tengah berpencak kata dipentas. I was mused and be amused dengan cara Dato' Seri Najib berucap. Lagak sudah bagai orang berjual obat kakilima. 'Tuan puan hepi!!!, tuan puan hepi!!!' dan setiap kali habis diucapkan, hadirin dan hadirat semuanya serentak pula menyahut. 'Kalau tuan puan hepi.... sayapun hepi juga.....' nyatanya lagi. Dilanjutnya lagi dengan katanya, '... kalau tidak cukup, kita akan tambah lagi...' Dan dengan penuh bangga lagi dia memaklumkan belum pernah PM sebelumnya memberi perhatian yang begitu besar kepada Sabah. Sambil-sambil itu dia berseloroh mengingatkan, orang berbudi kita berbahasa ... yang membawa maksud yang cukup besar maknanya kepada kerajaan persekutuan.

Enam tahun selepas 'Hari Merdeka' yang khabau-nya disambut meriah oleh orang orang melayu seluruhan semenanjung tanah melayu di 'stadium merdeka' pada 31 Ogos 1957 adalah satu serahan tugasan kebertanggunjawaban keatas umat melayu islam secara simbolik. Menyambut meraikan hari dimerdekakan yang cuma seharian adalah hal berbeza dengan pengisian kemerdekaan yang seharusnya berterusan.   


Aku sekadar melihatnya kembali dari pembacaan dan gambar gambar lama yang ada sebagai pembuktian yang Hari Merdeka disambut dan Hari Malaysia dimeterai. Aku lahir selepas 7 tahun merdeka dan 5 bulan terlewat dari pemeteraian Hari Malaysia. Usiapun kalau berkesempatan, menjelang Februari 2021, menjangkau 57. Namun dan barangkali, apa yang aku ingin nyatakan lagi impikan berdasarkan rentetan perkara yang telah berlaku dan amat berharap segala kesilapan kekhilafan sehingga kini harus sesama kita memuhasabah demi kesejahteraan bersama dan seharusnya sesama kita jugalah saling menjagai mempertahankan.


Hasil dari pembacaan aku, Sabah lebih mendahului Semenanjung dalam mewartakan 'cuti umum' bilamana ulangtahun pertama Hari Malaysia pada 1964 telah mereka raikannya. Nampak gayanya Sabahan lebih kedepan dalam mengujudkan semangat ke-malaysia-an sedangkan Datuk Seri Najib sebagai PM kerajaan persekutuan baru hendak menghadirkan konsep 1Malaysia yang lebih merupakan political mileage untuk dirinya dan kerajaan BN pimpinannya. Mungkin menyedari sokongan makin merosot dan pengundi lebih cenderung kepada Anuar dalam BA(Barisan Alternatif)ketika itu. Makanya kempen 1Malaysia diperhebatkan bagi mengimbangi aura Anuar dalam politik negara masa anak tun razak ini memegang tampok pemerintahan sekitar 2006 hingga April,2018.


Namun, pada Hari Malaysia 2020 ini, aku merasakan banyak hal yang mendatangkan kerugian kepada kita serta nyata diperlihatkan dari mempertingkatkan maruah bangsa. Slogan Melayu dengan Ketuanan Melayu yang dicanangkan hanyalah sekadar mainan bibir dan retorik politik semata. Mungkinkah kita tidak bijak 'membaca' atau lambat bertindak serta tidak ketahuan akan apa yang perlu dan patut dirancang dan perlu dibuatkan untuk memperkasakan bangsa dibumi tumpahnya 'darahku' ini. Apakah terleka dan dibuai mimpi dengan sogokan pelbagai kemewahan kepada pemimpin yang di-'pinjam'-kan kuasa seketika cuma sehingga melupai amanah bangsa. 


Bagi yang rajin membongkar 'apa sebenarnya' yang berlaku sehingga kemerdekaan tanah melayu berbeza dengan negara serantau yang perjuangan kemerdekaan mereka dengan mengangkat senjata dan buluh runcing dan disemangati dek jujuran keringat airmata serta titisan darah. Malah boleh berbangga pula memaklumkan kepada rakyat yang tidak tahu hujung pangkalnya yang kemerdekaan kita atas kepintaran pemimpin berunding dengan pihak 'British' dalam perundingan di London dan mendapat jolokan 'Perjanjian Meja Bulat'. Siapa yang mempermainkan dan siapa yang kena main, pandai sendirilah


Andailah amanat Dr. Burhanuddin diperasmian Kongress Kedua PKMM pada akhir Disember 1946 di Melaka dengan serangkap pantun, andai dihayati dengan penuh pengertian dan disebarluaskan keseluruh umat Melayu ketika itu, mungkinlah suasana merdeka yang dikecapi tidak bersamaan dengan apa yang dihadapi kini. Corak politik PKMM @ Partai Kebangsaan Melayu Malaya atau MNP(The Malay Nationalist Party) yang dikatakan berhaluan kiri dan bersifat radikal amat tidak disenangi oleh British yang menolaknya penuh muslihat. Berbanding pula dengan PKBM, singkatan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO(United Malays National Organisation) yang berhaluan kanan serta konservatif sifatnya lebih digemari British untuk bekerjasama bermatlamat.


                                "Di atas robohan Kota Melaka

                                    Kita bangunkan jiwa merdeka

                                        Bersatulah Melayu seluruh baka

                                            Membela hak keadilan pusaka"


Banyaknya perkara yang seolah olah terlepas pandang atau disengajakan bersebab yang mana amat merugikan bangsa melayu pada masa mendatang. Hasil kerja 'pengkhianatan' oleh segelintir sesama bangsa sebaik merdeka telah banyak kedapatan terhasil kini dan rasanya dengan berdikit dikit berterusan mungkin akhirnya pesanan Hang Tuah 'Tak kan Melayu...hilang didunia.' akan menjadi sebaliknya.

                                                          Seloka Cak Kun Cak


Betul-lah, apa yang diungkapkan oleh 'Sarjan Hassan' yang inginkan bangsa kita bersatu memertabatkan maruah dari menjadi pengkhianat negara. 


Harap dijauhkanlah petaka keatas tanah tumpahnya darahku ini. Berseorangan menghadapinya mungkin mustahil tapi andai adanya kesatuan sesama kita, percayalah kita mampu memperbetuli kesilapan saudara kita yang terjebak serta memperkasakan bangsa. 


Insya-Allah, muga dimakbulkan.