Friday, January 1, 2021

Terdorong dek firasat

01 January, 2021 22:41

Hari ini, hari Jumaat, dan merupakan hari pertama untuk tahun masehi 2021. Seminggu sebelumnya adalah pada 25hb December iaitu minggu lalu juga adalah 'public holiday'. Pada petang hari natal itu, kanchil pula meragam ketika haluan pulang kerumah. Kalau ikut shif bertugas, petang 'raya' tu aku seharusnya bekerja petang. Namun disebabkan ada perubahan, Khamis lepas aku bershif pagi. Manakala keesokkan harinya pula dan jumaat lagi, aku bekerja shif petang. 


Aku amat ambil berat berkenaan kereta 'cari makan' aku ini. Pantang ada apa apa aral, semestinya aku akan pastikan yang ianya perlu segera kembali normal. Namun pada petang hari natal itu untuk pulang kerumah, entah macammana bila hendak menghidupkan engine terasa payah pula. Beberapa kali cuba menghidupkan enginenya ianya tidak mahu hidup. Sejak awal pagi lagi ketika hendak bergerak ketempat kerja, menghidupkan engine mulai payah. Setelah beberapa kali cubaan, engine berjaya dihidupkan. Setelah bunyinya macam biasa yang didengari maka akupun memulai pemanduan. Mulanya tiada terasa apa apa keganjilan. Setelah menuruni taman dan memasuki susur ke Taman Merak, tetiba engine mati dan kereta meluncur membelok. Pada ketika itu aku berprasangka baik. Mungkin pedal clutch aku tidak tekan setelah pedal minyak aku lepaskan. Selalu berlaku. Memandangkan dalam keadaan spontan juga aku merasakan yang aku sedang memandu kereta 'auto' walhal aku sedang membawa kereta manual gear. Makanya cepat cepatlah aku menghidupkan kembali engine diketika kanchil membelok perlahan. Sekali pulas sahaja engine kembali hidup. Perasaan lega seketika. Namun ketika menyampaikan ke bonggolan pertama dari susur Jalan Demang Hussin engine sekali lagi mati ketika aku menekan brake/clutch demi memperlahankan kereta untuk melepasinya. Start kemudiannya maka hidup balik enginenya. 


Seawal tadi mungkinlah aku terleka yang aku membawa kereta bergear manual yang mungkin aku anggapi sedang membawa kereta bergear auto. Tetapi pada kali ini memang sahlah kanchil aku ini sedang bermasalah. Bukan sekali tapi beberapa kali dan setiap kali menghampiri bonggolan yang sejumlah 5 bonggolan sepanjang taman merak ini sebelum menyampaikan ke round about dipinggiran taman, engine pasti mati. Pengalaman menghadapi situasi serupa sebelum sebelum ini mengingatkan aku akan puncanya yang baru sebulan diperbaiki yang mana menurut kata pengusaha bengkel yang selalu aku kunjungi berpunca dari masalah 'brake pump'. Ketika itu, aku menyuruhnya mengantikan dengan brake pump yang baru jika itulah punca engine mati tetiba. 'Motokar motokok, Buruk berganti baru', frasa yang sering arwah mak sebutkan bilamana kereta anak anaknya tetiba 'sempot'. Bila sudah berganti, hah...baru puas hati aku.

Boss sendiri yang buat inspection mengesan punca
 

Namun kini isu yang sama berulang. Tentulah tidak salah bagi aku mengandaikan ianya kini turut berpunca dari brake pump juga. Bukanlah pula hendak pertikaikan kemampuan mereka yang sudah bertahun berpengalaman bergelumang dengan kerja kerja baikpulih kenderaan. Kekadang terdetik juga keraguan akan tahap kemahiran. Ataupun mungkin juga hal lain yang menjadi punca walaupun menunjukkan tanda yang hampir sama yakni engine mati setiap kali clutch pedal ditekan. Berteka teki tidak menyelesaikan permasalahan. Harus meminta bantuan 'pakar' datang mengenalpasti akan segala kemungkinan punca. Aku menghubungi dia via whatapps pada 29/12/2020. Pantas dibalasnya seraya memaklumkan yang dia tidak dapat 'handle' segera permasalahan aku ini. Namun dia berjanji akan datang melihatnya esok yakni 30/12/2020. Rujukan screenshots menceritakan.

Mohon bantuan

Berhajat sesangat



Keesokkan harinya, dalam kurang lebih ke 8:30 pagi dia membuat 'hantaran' untuk singgah menengok. Mungkin diketika messagenya masuk aku tiada berdekatan phone. Ke bilik air membasuh telapak tangan yang berminyak dari krim rambut selepas menyisir rambut yang tidak berapa hendak banyak. Ketika dimeja makan, ringtone smartphone berbunyi dan ianya dari En. Mohammad. Cecepat aku menjawab panggilan sambil bergerak ke depan rumah menunggui ketibaannya. Beberapa minit kemudiannya myvi lamanya berwarna 'solid white' membelok kedepan rumah. Isteri barunya yang memandu. Mungkin perancangannya untuk memandu pergi kanchil aku yang bermasalah ini ke bengkelnya di Duyung. Segeralah dia keluar dari myvinya menyuruh aku menghidupkan engine kereta kanchil yang tersadai hampir seminggu dibahu jalan. Penuh yakinnya aku memberitahunya setelah sampai ke rumah pada petang natal itu sehinggalah hari ini tidak pernah pula hendak menghidupkan enjin sambil aku memasuki kereta. Apa yang mengejutkan diri, sebaik memulaskan kunci kereta untuk menghidupkan dan sekali pulas sahaja enjin kereta berjaya aku hidupkan. Tepuk dahi aku terperanjat dibuatnya. Melihatkan aksi spontan aku, dia tergelak besar. Malunya aku sambil tidak putus putus memohon maaf darinya kerana mengambil masa berharganya. Dia respond dengan mengatakan mungkin terdapat ada parts yang longgar ikatannya. 


Aku berjanji padanya yang cuti Selasa nanti akan singgah ke bengkelnya untuk buat inspection serta 'service' sekali. Semasa kereta yang dipandu isterinya bergerak melintas, aku ulangi ucapan maaf atas permintaan aku yang 'hilang' tetiba. Ajaib aku rasakan buat diri yang cetek pengetahuan tentang kereta dan mungkin rasa dipermainkan buat dirinya. Memang memalukan aku saat termulanya adegan itu. Tercegat kehairanan aku memikirkan macammana dan bagaimana engine begitu mudah sekali dihidupkan sambil memerhatikan keretanya berlalu sehinggalah hilang dari pandangan. 


Begitulah hal hidup dan kehidupan. Bukan semua perkara yang kita 'ahli' dan tahu serba serbi. Mungkin kita pandai serta petah berkata menyampaikan ilmu pengetahuan tapi belum tentu lagi kita mahir mengendali memperbetuli. Ada orang cekap dalam bidang pertukangan, bidang automotif memang tidak pernah sentuh. Begitu jugalah buat mereka yang terlalu lama bergelumang dengan perbankan. Hari hari bermain dengan angka dan memegang wang dalam jumlah yang besar merupakan kebiasaan sahaja. Cubalah suruh dia perbetulkan sistem penghawa dingin yang tidak berfungsi. Tanpa apa apa ilmu asas dan situasi makin membahang maka mahu jadi bodo dibuatnya tidak tahu mana hendak memulainya. Maknanya kita memerlukan orang lain dalam mempermudahkan urusan seharian kita. Tidak tahu tidak mengapa tapi perlulah dapatkan mereka yang pakar dalam bidangnya. Mencuba sendiri adalah satu sikap berdikari yang baik andainyalah telah mengetahui selok belok dan ada asas. Namun didalam dunia yang semakin pantas bergerak ini, kemajuan dan kecanggihan ilmu membuatkan seseorang itu makin mengkhusus didalam sesuatu lapangan. Memandang sengkek akan kebolehan kepakaran serta kemampuan orang lain sedangkan diri sendiri tidak ketahui langsung dalam sesuatu pekerjaan akan menyerlahkan 'ego' diri yang tidak bertempat.


Sememangnya kita tidak terkejar untuk mengetahui semua perkara. Namun memadailah sekurang kurangnya dapat mengetahui asas sesuatu perkara yang diluar bidang kita. Rezki kita tidak bersamaan dengan orang lain. Seharusnyalah kita hormati pekerjaan orang lain. Biar nampak senang dan biarpun kelihatan bahaya sesuatu pekerjaan itu tapi perlulah dihargai tugasan yang digalas mereka. Bak kata 'singh' dalam 'Seniman Bujang Lapok', 'Dia punya rezeki dia makanlah, awak punya rezeki awak makanlah....apa salahnya sama sama cari makan.'


Termenong panjang aku mengakhiri coretan ini.


Sunday, November 15, 2020

Berbumbungkan awan nan kelabu...

15 NOVEMBER 2020, 23:23

Hari ini adalah hari kedua Deepavali 2020. Kebetulan lagi, aku bercuti 3 hari berturut turut sehinggalah hari Selasa. Sejak rumah lama di Alai mula dirobohkan pada Rabu 11/11/2020 tetiba sahaja rasa kesayuan mendatangi diri. Isnin 09/11, aku ada datang menjengah tapi tiada sesiapa ketika itu. 'Berat' pula pada masa kedatangan itu dan hati pula berbelah bahagi. Terasa macam belum puas menatapnya. Berpusing kebelakang rumah tapi tiada menemukan sesiapa. Keretapun tiada. Mungkin berpergian, entah kemana. Meleju sahaja kekereta untuk bergerak pergi. Setelah diatas jalan, bertepuk dahi aku bilamana hasrat hendak mengambil gambar video sekeliling rumah buat kali penghabisan sebelum kerja kerja merobohkannya tidak kesampaian. Terlupa yang teramat sangat atau memang telah ditakdirkan. 

                                                   Jaclyn Victor - Wajah


Sehari selepas itu, ketika sedang menikmati sarapan pagi, Tiqah menalipon Mak Udanya memaklumkan yang rumah telah mula dirobohkan semalam iaitu 11/11. Membuat video call sambil menunjukkan bukti akan sebahagian rumah yang telah dirobohkan. Dilanjutkan dengan memberitahu yang hanya bahagian dapur sahaja yang dibiarkan buat sementara waktu. Selesai minum dan tidak lengah lagilah aku serta orang rumah bergegas menuju ke destinasi tujuan. Aku mahu melihat sendiri dengan mata kepala aku keadaan terkini. Sebaik sampai sahaja kelihatan 2 orang pekerja yang kemudiannya setelah diperkenalkan oleh kakak tunggal aku sebagai 'Wak' yang merupakan towkay dan seorang pembantunya. Keduanya adalah orang Indon. Sekali pandang, macam hendak tergelak pun ada bilamana wajah si-towkay mirip mirip dengan rendangnya saling tidak ubah macam 'Wak Mustar' dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Tinggal kenangan

inchargenya - Wak Sotomo


Macam biasalah, kakak aku menceritakan hal kejadian semalam tanpa disoal ditanya. Segala yang terlintas dilaporkan tanpa mengikut urutan. Saling bersilang antara pelbagai topik. Rasa penat mengangkat berdua dengan Abang Razak akan pelbagai barangan yang tetiba sahaja semalam ketika munculnya pekerja binaan 'Wak' memulai kerja kerja merobohkan rumah. Sempat lagi bertanyakan samada kenal Rashid, budak Alai, yang terlebih mengenali orang rumah dan juga aku yang katanya sesama kerja di kilang MTM @ kilang alai dahulu. Dalam pada bercerita itu, dicucuknya pula dengan pertanyaan harapan - kalaulah dapat dalam RM20K, cepat rasanya kontraktor ni buat kerja.

Entah apalah yang diborakkan dengan iparnya, keesokkannya, Jumaat aku perlu menghantarkan lauk asam pedas ikan tenggiri dan sayur lemak pisang sebagai juadah makan tengahhari beserta dengan karipap frozen 2 paket. Alasannya, kesian, mana sempat hendak masak dengan keadaan rumah yang tengah dirobohkan dengan berjalan kesana kesini iaitu merujuk akan hal kakak aku yang liat serta lambat memasak. Ketika sampai dalam kurang lebih ke 12:00 tengahhari, kelihatan dia tengah membersihkan kawasan sekitar sambil mencangkung ditepi longkang dibawah redupan pokok mangga. Rasanya sambil membersihkan kawasan sambil memantau pekerja Indon tengah membengkokkan besi dikejauhan. Bila aku menanyakan akan Abang Razak, cepat cepat dia menunjukkan akan suaminya itu dicelah celah 5 pekerja Indon. Laju sahaja aku membuat komentar, ooo jadi 'site supervisor'. Spontanlah tergelak kakak aku. Maklumkan agar beritahu abang Razak supaya jangan terlalu rapat menyibuk takut nanti tidak tersengajakan atau tidak terperasan besi atau apa sahaja objek yang mungkin terpelanting terkena. Lagi satu hal pula hendak membetulkan. 


Manakala hari ini semasa tengah bersarapan nasi goreng, aku maklumkan yang selepas sarapan akan ke Alai. Kelihatan tiada sesiapa pagi ini. Namun selepas memarkir Alza ditepi gazebo dan ketika melangkah keluar tetiba terdengarkan anak buah layankan lagu thema 'Bersamamu' nyanyian Jaclyn Victor sebelum muncul dipintu bahagian dapur. Mungkin dia hendak buat gimik kat mak uda tapi bila terpandangkan aku, segeralah dia berhenti bernyanyi sambil menanyakan akan ketidakhadiran mak uda-nya. Aku sekadar senyum dan ia-kan sambil melihat sekeliling kawasan yang telah berpancang.

Melihatkan keseluruhan rumah 'ibu' yang telah dirobohkan, ada semacam satu perasaan yang teramat payah untuk digambarkan. Disinilah aku dibesarkan. Disinilah aku mula mengenali dunia. Dan disini jugalah aku diasak dengan pelbagai dugaan masa remaja aku membawa kepada kedewasaan. Belum puas rasanya menatapi. Rumah dari pusaka datuk nenek dan diperbaharukan sedikit demi sedikit dimana aku turut sama terlibat dan menatapinya sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1978. Ingat lagi insan yang 'inscribe'-kan tarikh siapnya dipintu haluan ke-dapur oleh Abang Karim 'Buaya' ketika simen lantai 'merah' mula mengeras ketika itu. Cantik tulisan dia.

Aku berharap agar tiada sebarang kesulitan yang bakal menganggu melewatkan kerja kerja binaan. Amat berharap juga yang segalanya selesai sebelum menjelangnya Ramadhan 1442H pada pertengahan April 2021. 

Tuesday, October 6, 2020

Abang sihat...?

Setiap yang berlaku bukanlah kita yang menentukan. Terkejut mengetahuinya adalah tindakbalas normal kepada semua kita. Amat tidak menjangkakan apatah lagi sememangnya tidak mahukan sesuatu itu berlaku sekarang dan didetik ini menurut perkiraan kita. Namun hakikatnya tiada sesiapapun sanggup menafikan. Segala sesuatu yang telah berlaku dahulu, kini dan yang pasti akan datangnya nanti tidak memungkinkan sesiapapun mampu menghalanginya. Menerima dan pasrah dengan ketentuanNya adalah tindakan yang sepatut dan seharusnya dizahirkan.

Berseorangan mendepani cabaran...bertabah Pn. Ita


Dipagi ini selepas mandi dan sebaik keluar dari bilik tidur untuk bersarapan dengan goreng pisang kompot, orang rumah memaklumkan berita yang mengejutkan. Dikhabarkan, 'Suami Ita sudah meninggal'. Sebelum sempat aku duduk, as usual, spontanlah kalimah 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun...' dilafazkan. Terus pertanyaan aku untuk kepastian, laki Ita Solok Gaung ke?. Pantas pula menyangkal dengan memaklumkan Si Ita anak pokcik Mokti yang duduk di kampong Bongek, Rembau. Gambaran wajah ceria Ita Solok Gaung yang bechok bercakap sekelipan bertukar ke Ita anak buah yang serius tegas memegang tampok perniagaan arwah bapanya penuh sayu kesedihan. Kamal suaminya, dikhabarkan melalui Whatsapps mendapat serangan jantong awal pagi yang membawa maut. Berita yang pantas berlegar memungkinkan hampir semua berjaya dihubungkan.


Perkhabaran kematian sepatutnya diberikan keutamaan. Menghormati serta menginsafi harus seiringan. Malah terlebih harus dilakukan adalah turut menghadirkan diri menyempurnakan mayat simati. Ketidakhadiran bermakna terlepaslah peluang merebut 'kebaikan' dari peristiwa sedih ini. Dikatakan orang yang alim, kedatangan orang yang memberi penghormatan terakhir antara ramai dengan sedikitnya bilangan adalah balikan kepada apa yang dilakukan selama hidup didunia yang fana ini. Longkah hadir buat seseorang berbanding kekangan rintangan kepada yang lain adalah dua situasi yang extreme ditimpakan kepada mereka dilingkungan kehidupannya. 


Apa yang paling pasti, hadir tidaknya seseorang itu adalah lorongan dan ketetapan  dariNya jua. Analogi yang masih kejap diingati adalah kata kata Ustaz Badlisah, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Pahang(ketika coretan ini dibuat), dalam program Forum Perdana yang aku sempat tontoni sebelum ini. Bukanlah memperlekehkan usaha ahli bina badan mengangkat bebanan saban hari demi untuk mendapatkan 'body profile' yang sasa tapi apa yang amat menghairankan adalah  ketidakmampuan abam 'sado' untuk melangkah berjemaah di masjid. Jelas disini, kita tidak berupaya selain dari ketentuanNya. Dialah yang memilih siapa 'tetamu' yang patut hadir.


Aku jarang bertemu apatah lagi berborak panjang dengan si arwah. Opening remarks yang selalu si-arwah ini mengungkapkan, 'abang sihat...?' bila sahaja bertemu dengan aku. Tidak kiralah apa event sekalipun. Hendak dikatakan berat mulut, akupun berat mulut juga. Mungkin juga disebabkan jarang bertemu muka dan janggal kekok berbual dengan aku membuatkan pemula bicaranya agak monotonous. Seingat akulah, bila sahaja ada event keluarga sebelah orang rumah, arwah akan turut hadir menemani bapa mertuanya 'Pokcik Mokti'. Suami Ita ini lambat launnya akan mewarisi perniagaan 'kueh' bahulu IKS 'Indah Sajja' bila tiba masa dan ketikanya. Perancangan kalau ikutkan memang nampak sempurna. Namun ketentuan dariNya mengatasi segalanya. Tidak tercapai harapan yang cuba disandarkan untuk memajukan lagi perniagaan sememangnya ada hikmah disebaliknya. Kita tidak tahu, mereka juga tidak tahu tapi segalanya 'dirahsiakan' dari pengetahuan semua kita agar tidak mendatangkan sebarang kemudaratan dimasa mendatang nanti.


والله آعلم (God knows best, God knows better @ Allah jualah yang Maha Mengetahui)




Wednesday, September 23, 2020

Pasaraya Darwis bakal beroperasi

 22 SEPTEMBER 2020, 15:30


Darwis... tidak pernah terdengarkan


Pagi tadi ketika keluar hendak bersarapan ke kiosk Dak Din roti canai, aku terperasankan papan tanda kedai yang baru di atas Bukit Ranting bersebelahan dengan PC World. Hampir seminggu tidak melalui laluan ini memandangkan minggu lalu aku ber-shift petang. Kebiasaannya hanyalah bila bercuti dan jika ada keperluan mendesak barulah aku kesana kemari. Memandangkan banyaknya urusan pada hujung minggunya sehingga Selasa dan sebelum datangnya Hari Malaysia pada Rabu, 16/09 maka tiadanya keperluan dan kesempatan ke Duyung. Sekejapan sahaja telah ada perubahan.


Ketika memandu mendaki cerunan dari persimpangan Duyung menuju ke pekan Duyung dengan bergerak sederhana perlahan, aku terpandangkan di deretan bangunan rumah kedai bersebelah PC World telah terpampang signage 'Pasaraya Darwis'. Tidak puas sekali, beberapa kali berikutnya aku menoleh memastikan akan apa yang aku lihat sehinggalah hilang dari pandangan. Mungkin telah ada kesedaran BMF dalam diri dan memang patutpun kita menyokong maka secara semulajadinya rasa terharu bercampur gembira mendatangi diri. Semestinya semua kita harus turut terlibat bagi memastikan ekonomi Islam berkembang. Memang pelik rasanya bilamana pengguna terbesar adalah orang melayu islam tapi bidang perniagaan hampir keseluruhannya dikuasai oleh orang mendatang.


Banyak perkara yang tidak menyebelahi orang kita bilamana kuasa ekonomi dipegang diurusi oleh orang lain. Bekalan makanan dikawal dihad oleh mereka. Begitu jugalah dengan harga jualan. Merekalah yang menentukan ikut sesuka hati sahaja. Bila dirasakan hendak untung banyak, maka dinaikkan harganya. Bila ada tanda tanda kurang permintaan, lagi mudah kerja mereka. Samada sorokkan sahaja atau kurangkan pengeluaran. Kebergantungan kepada kaum mendatang ini begitu ketara semasa aku kecil lagi sekitar awal 70an. Teringat lagi aku bagaimana arwah emak telah membeli dengan kuantiti yang banyak sebelum kedatangan tahun Baru orang tionghua pada setiap tahun. Setin biskut kering 10kg(cream crackers @ biskut lemak), sebungkus besar bee hoon, ikan kering timbang kilo dan beberapa barangan perlu lagi yang menjadi kemestian sebagai persediaan bila mereka berseronok bergembira menyambut tahun baru mereka.


Kini kebergantungan terhadap mereka sedikit demi sedikit mula menghakis terutamanya dalam bidang peruncitan. Perjalanan kita masih jauh lagi dan belum boleh berhenti walau seketika jua kerana banyak cabang ekonomi yang masih kekal utuh dan kejap dipegang dikawali mereka. Kesedaran dari semua kita terhadap 'jihad' ekonomi ini seharusnya bukanlah bersifat bermusim atau sementara sahaja. Ianya mesti berterusan dan dipertingkatkan senantiasa. Malah perlu melibatkan semua peringkat. Dari seluruhan pengguna, pembuat dasar beserta kakitangan kerajaan yang tentunya melayu sebangsa dan golongan peniaga muslim/melayu harus saling bekerjasama merealisasikan hasrat ini.


Kesedaran yang makin menyeluruh dirasakan oleh setiap umat Melayu diharapkan dapat senantiasa dipalu berterusan via pelbagai sosial media agar ianya tetap menjadi agenda utama kita. Pembukaan Malakat Mall sekitar dua minggu awal sebelum negara diPKP-kan adalah cabaran akan sejauhmanakah sustainable-nya perniagaan orang kita diarus perdana. Bukannya tidak ada kedai kedai runcit milik kita malah kalau disiasat dicari pastinya ada diceruk seluruh negara. Namun keberadaan mereka tidak memberi impak ketara kepada perekonomian ummah. 


Diharapkan 'Pasaraya Darwis' bakal berjaya dibuka merebut 'kek ekonomi' yang sememangnya tersedia untuk dimiliki dinikmati bersama.


 

Saturday, September 19, 2020

Hari Malaysia...dengau-kan khabau.

 16 SEPTEMBER 2020, 08:28

Hari ini adalah hari ulangtahun perisytiharan 'Hari Malaysia' kali ke 57. Tarikh bersejarahnya, 16/09/1963, bagi akulah ianya hanya diberi perhatian selepas millenium dan itupun 10 tahun kemudiannya. Penyatuan dengan Sabah dan Sarawak dalam negara dinamai 'Malaysia' pastinya bertujuan bersebab dengan andaian yang samada benar akan berlaku dan ditakutkan dengan ancaman 'komunis' dirantau asia tenggara terutamanya dan atas cadangan serta sokongan British sebagai 'big brother'. Faktor faktor yang being fabricated dan yang mungkin nyata benar dirasakan lagi munasabah untuk berlaku membuatkan pemimpin lantikan dan pilihan ketika itu melurut menerima. 

Bacalah 16 Sept - Cuti Umum dan ucapan menghargainya. Aku juga ada membuat catatan peribadi dan turut aku perturunkan sebahagiannya disini, bersiaran langsung

Hari Malaysia yang disiaran-langsungkan

17 SEPTEMBER 2015, 01:49 PM
Semalam adalah 16 September, 2015. Beberapa tahun kebelakangan ini sambutan 'Hari Malaysia' sudah menjadi satu kemestian pula macam menyambut 'Hari Kemerdekaan'. Saban tahun, acara sambutan menjadi makin meriah dan bertambah grand pula. Setahu dan seingat aku-lah, idea mengujudkan satu hari cuti umum datangnya dari 'brilliant' idea TPM yang pertama dipecat dalam sejarah Malaysia. Tragis kisahnya yang mungkin majoriti penduduk sedia maklum akan isu ini. Berdolak dalik dan akibat didesak pastinya, akhirnya idea yang bernas dan bertepatan serta tidak mampu dinafikan lagi, PM kesayangan ramai dengan placard dijulang tinggi 'I love(symbol love) PM' terpaksa jualah mengisytiharkan cuti umum ini. Lembu punya susu, kenapa pula sapi yang dapat nama. Inilah persoalan yang rasanya ramai yang dapat mengagaknya dengan tepat.


Apapun pastinya, yang bekerja semalam boleh tersenyum sampai ketelinga kalau suka sangat. Hari yang setaraf nilainya dengan 'Hari Buruh', 'Hari Agung', dan 'Hari TYT' kerana ianya bernilai 'Triple pay' yang hanya difahami oleh pekerja swasta. Semasa briefing pagi, ingatkan staff setiap department seboleh mungkin kena dapatkan 3 kali ganda dari budget masing-masing. Tambahan 'triple pay' buat 'Hari Malaysia' sepatutnya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga pada Abang Nuar yang berusaha, berikhtiar sehingga pihak kerajaan akui mengikhtirafi hari yang penuh bermakna mengikut tafsirsan masing-masing. Bebudak baru terpingga-pinggalah.


Selepas turun dari bilik menuju ruang tamu, seperti biasalah bebudak asyik dengan program kartun yang sedang ditonton mereka. Aku hebohkan mereka pasal sering sangat dan suka sangat dengan rancangan kartun. Arahkan mereka menukar channel. Tetiba PM kesukaan ramai kita tengah berpencak kata dipentas. I was mused and be amused dengan cara Dato' Seri Najib berucap. Lagak sudah bagai orang berjual obat kakilima. 'Tuan puan hepi!!!, tuan puan hepi!!!' dan setiap kali habis diucapkan, hadirin dan hadirat semuanya serentak pula menyahut. 'Kalau tuan puan hepi.... sayapun hepi juga.....' nyatanya lagi. Dilanjutnya lagi dengan katanya, '... kalau tidak cukup, kita akan tambah lagi...' Dan dengan penuh bangga lagi dia memaklumkan belum pernah PM sebelumnya memberi perhatian yang begitu besar kepada Sabah. Sambil-sambil itu dia berseloroh mengingatkan, orang berbudi kita berbahasa ... yang membawa maksud yang cukup besar maknanya kepada kerajaan persekutuan.

Enam tahun selepas 'Hari Merdeka' yang khabau-nya disambut meriah oleh orang orang melayu seluruhan semenanjung tanah melayu di 'stadium merdeka' pada 31 Ogos 1957 adalah satu serahan tugasan kebertanggunjawaban keatas umat melayu islam secara simbolik. Menyambut meraikan hari dimerdekakan yang cuma seharian adalah hal berbeza dengan pengisian kemerdekaan yang seharusnya berterusan.   


Aku sekadar melihatnya kembali dari pembacaan dan gambar gambar lama yang ada sebagai pembuktian yang Hari Merdeka disambut dan Hari Malaysia dimeterai. Aku lahir selepas 7 tahun merdeka dan 5 bulan terlewat dari pemeteraian Hari Malaysia. Usiapun kalau berkesempatan, menjelang Februari 2021, menjangkau 57. Namun dan barangkali, apa yang aku ingin nyatakan lagi impikan berdasarkan rentetan perkara yang telah berlaku dan amat berharap segala kesilapan kekhilafan sehingga kini harus sesama kita memuhasabah demi kesejahteraan bersama dan seharusnya sesama kita jugalah saling menjagai mempertahankan.


Hasil dari pembacaan aku, Sabah lebih mendahului Semenanjung dalam mewartakan 'cuti umum' bilamana ulangtahun pertama Hari Malaysia pada 1964 telah mereka raikannya. Nampak gayanya Sabahan lebih kedepan dalam mengujudkan semangat ke-malaysia-an sedangkan Datuk Seri Najib sebagai PM kerajaan persekutuan baru hendak menghadirkan konsep 1Malaysia yang lebih merupakan political mileage untuk dirinya dan kerajaan BN pimpinannya. Mungkin menyedari sokongan makin merosot dan pengundi lebih cenderung kepada Anuar dalam BA(Barisan Alternatif)ketika itu. Makanya kempen 1Malaysia diperhebatkan bagi mengimbangi aura Anuar dalam politik negara masa anak tun razak ini memegang tampok pemerintahan sekitar 2006 hingga April,2018.


Namun, pada Hari Malaysia 2020 ini, aku merasakan banyak hal yang mendatangkan kerugian kepada kita serta nyata diperlihatkan dari mempertingkatkan maruah bangsa. Slogan Melayu dengan Ketuanan Melayu yang dicanangkan hanyalah sekadar mainan bibir dan retorik politik semata. Mungkinkah kita tidak bijak 'membaca' atau lambat bertindak serta tidak ketahuan akan apa yang perlu dan patut dirancang dan perlu dibuatkan untuk memperkasakan bangsa dibumi tumpahnya 'darahku' ini. Apakah terleka dan dibuai mimpi dengan sogokan pelbagai kemewahan kepada pemimpin yang di-'pinjam'-kan kuasa seketika cuma sehingga melupai amanah bangsa. 


Bagi yang rajin membongkar 'apa sebenarnya' yang berlaku sehingga kemerdekaan tanah melayu berbeza dengan negara serantau yang perjuangan kemerdekaan mereka dengan mengangkat senjata dan buluh runcing dan disemangati dek jujuran keringat airmata serta titisan darah. Malah boleh berbangga pula memaklumkan kepada rakyat yang tidak tahu hujung pangkalnya yang kemerdekaan kita atas kepintaran pemimpin berunding dengan pihak 'British' dalam perundingan di London dan mendapat jolokan 'Perjanjian Meja Bulat'. Siapa yang mempermainkan dan siapa yang kena main, pandai sendirilah


Andailah amanat Dr. Burhanuddin diperasmian Kongress Kedua PKMM pada akhir Disember 1946 di Melaka dengan serangkap pantun, andai dihayati dengan penuh pengertian dan disebarluaskan keseluruh umat Melayu ketika itu, mungkinlah suasana merdeka yang dikecapi tidak bersamaan dengan apa yang dihadapi kini. Corak politik PKMM @ Partai Kebangsaan Melayu Malaya atau MNP(The Malay Nationalist Party) yang dikatakan berhaluan kiri dan bersifat radikal amat tidak disenangi oleh British yang menolaknya penuh muslihat. Berbanding pula dengan PKBM, singkatan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO(United Malays National Organisation) yang berhaluan kanan serta konservatif sifatnya lebih digemari British untuk bekerjasama bermatlamat.


                                "Di atas robohan Kota Melaka

                                    Kita bangunkan jiwa merdeka

                                        Bersatulah Melayu seluruh baka

                                            Membela hak keadilan pusaka"


Banyaknya perkara yang seolah olah terlepas pandang atau disengajakan bersebab yang mana amat merugikan bangsa melayu pada masa mendatang. Hasil kerja 'pengkhianatan' oleh segelintir sesama bangsa sebaik merdeka telah banyak kedapatan terhasil kini dan rasanya dengan berdikit dikit berterusan mungkin akhirnya pesanan Hang Tuah 'Tak kan Melayu...hilang didunia.' akan menjadi sebaliknya.

                                                          Seloka Cak Kun Cak


Betul-lah, apa yang diungkapkan oleh 'Sarjan Hassan' yang inginkan bangsa kita bersatu memertabatkan maruah dari menjadi pengkhianat negara. 


Harap dijauhkanlah petaka keatas tanah tumpahnya darahku ini. Berseorangan menghadapinya mungkin mustahil tapi andai adanya kesatuan sesama kita, percayalah kita mampu memperbetuli kesilapan saudara kita yang terjebak serta memperkasakan bangsa. 


Insya-Allah, muga dimakbulkan.

Tuesday, August 25, 2020

BMF dipersenda senda

Entahlah mengapa hari ini aku agak rimas setelah melihat satu post di-facebook tentang hal meremehkan usaha merancakkan kesedaran mengenai barangan muslim. Seketika sebelum aku menjenguk tu, aku berada di Econsave Batu Berendam mendapatkan bekalan pembuatan 'frozen' karipap. Barangan yang dibeli itupun dalam kuantiti yang banyak dan sedapat mungkin yang didatangkan dari pengusaha melayu. Kalau tiada dan bukan dalam radar terpaksa jualah menggunakan sebelum mendapatkan 'replacement' dari pengeluar muslim tempatan dalam jangkamasa terdekat. Kesedaran yang ditimbulkan sebelum munculnya Covid-19 pada penghujung Disember 2019 malah telah digerakkan lebih awal lagi dari kalangan sebangsa yang menyedari peri pentingnya pertingkatkan taraf ekonomi orang melayu, telah mengembleng tenaga dan usaha mengujudkan gelombang kesedaran kepada seluruh umat melayu. Mungkin barangkalinya kepantasan merebaknya virus corona dan dinamaikan pula kepada virus 'Covid-19' telah menyerlahkan kempen BMF. Ternyata sambutan dari orang melayu yang prihatin akan nasib bangsanya telah menyambut dengan agak baik dan bekerjasama menyebarluaskan seruan ini dengan pelbagai saluran social media or Socmed. Usaha bersama dengan niat memajukan taraf perekonomian bangsa akan lebih dipercepatkan dalam rangka merapatkan jurang ekonomi dengan golongan 'pendatang' yang kian menunjukkan belang kurang ajar mereka. Apapun, yang pastinya petaka yang dizahirkan ini telah mencakupi segala aktiviti. Hampir seluruhan kegiatan harian terhenti dek penangan Covid-19. Kesan yang dihadirkan membuatkan kalangan kita tidak menjangkakan akan 'package' permasalahan yang harus dirungkaikan bersama. 

Aku telah memantau keadaan dan lokasi produk muslim yang masuk ke pasaraya besar dan kecil dilingkungan bertahun lamanya malah sebelum adanya BMF lagi. Selain Aeon @ tempat cari makan, aku ada juga membuat tinjauan di Carrefour(sudah tiada lagi), Tesco dan Econsave secara berkala iaitu dari sebulan ke sebulan dan juga bilamana berkesempatan datang ketempat perniagaan 'mereka' ini. Amat ketara dan seperti tiada apa-apa perubahan walau telah kerap dikompang dilaungkan akan kesedaran mendapatkan produk produk halal. Malah Mydin yang dikatakan pasaraya bumiputera juga punyai corak peragaan yang sama. Majority keluaran bumiputera dipamerkan di-shelve ke empat dari atas dan paling ke bawah sekali. Tidak kiralah produk apa pun, asalkan produk muslim, duduknya selalu sahaja bukan di 'golden eye' tapi lebih kerap dilokasi paling bawah yang dalam bahasa marketing-nya - blind spot area. 

Halagel yang dicari... tetap tidak berubah

Kompilasi terkini
                         Kompilasi terkini...

Untuk rujuk balik akan apa yang diuploadkan oleh sedara Zhar Hassan ni, selepas makan tengahhari hampir ke pukul tiga, aku membuat carian di-face book menggunakan desktop. So post sepertimana yang tertera dibawah ini yang meresah lagi merimaskan telah aku ulang membacanya. Juga komen yang rata-ratanya bukanlah bernada kecaman tapi memberi pencerahan amat mengharukan hati. Ertikata lainnya, ada kesedaran dari kalangan yang respond untuk sama sama berkongsi idea menurut perspektif memasing dalam merungkaikan statement yang di-post-kan ini. Secara peribadi, kata kata yang bagai pelemah semangat ini andai tidak cermat memahaminya akan mendatangkan kesan kurang elok pula pada golongan sasaran. Gagal menghadamkan maksud bagi yang berfikiran lateral sifatnya akan kelain kesudahannya dan perlulah yang 'maklum' perbetul perjelaskan.

Zhar Hassan Semalam jam 7:30 PTG · 
Dah menjadi resam produk Muslim lebih mahal daripada produk non Muslim. Sedangkan M40 majoriti Muslim. Bagaimana menjadikan Produk Muslim lebih bersaing. Walaupun beza 10sen @ 20sen pun pelanggan Muslim tetap beli produk lebih murah buatan non Muslim.

Kita semua harus bergerak seiringan dalam ruang masing masing. Bulat air kerana pembentongnya dan begitu jugalah dengan manusia, yakni dengan pemuafakatan. Berjihad janganlah disempitkan kepada suata aspek sahaja. Ianya merangkumi segala bentuk kehidupan didalam menegakkan Islam kembali ke landasan yang sepatutnya. Sesuai dan bertepatanlah dengan 'sambutan' Maal Hijrah 1442H pada 17/08/2020 bersamaan hari Isnin dan berjarak sekitar 2 minggu sahaja menjelangnya 'kemerdekaan' kali ke-63 yang juga jatuhnya pada hari Isnin, maka amat dihajati agar semangat Maal Hijrah dan Kemerdekaan menjadi pemangkin untuk kita semua 'cut loose' dari belenggu yang membeliti umat melayu sejak dahulu lagi. Ketepikanlah segala rasa syak wasangka terhadap sesama, bimbinglah mereka yang kurang berkeupayaan agar setanding setaraf dengan kaum pendatang tanpa mengharapkan apa apa balasan dan sokonglah sesama agar kita mampu sehingga meniti kejayaan pertingkatkan martabat bangsa kita. 

Kebetulan sementara stop for a while dari menulis, aku mengintai 'Sarjan Hassan' yang tengah running dikaca tv menerusi Astro 105. Seketika menghirup 'black coffee' yang aku suruhi orang rumah menyediakannya, babak bilamana Ramlee bangkit selepas kerjakan cukup cukup akan Si-Buang dan dengan tegas mengingatkan orang orang kampongnya amat sesuai untuk aku kepilkan di coretan ini. 

                                                       Buang yang negative.

Insya-Allah, kita mampu merubahnya.

Tuesday, August 18, 2020

Pening memikirkan

17 AUGUST 2020, 22:36

Selesai maghrib tadi dan sementara menunggui isyak, aku lihatlah phone. Lepas habis WhatApps post aku bacai, fb pula aku intai intai. Lemah badan dibuatnya bila lepas isyak harus sekali lagi ke asrama menjemput pulang akan si Yaseer. Katanya sebelum maghrib, sesak nafasnya makin kuat pula dan dimaklumkan kepada aku lepas keluar dari bilik mandi oleh orang rumah sejurus lepas Yaseer menghubungi mamanya. Komen aku akan kenyataan ini, lepas isyak nanti abang pergi jemput dia.

Sebenarnya, kurang lebih 12:00 tengahhari dia ada menghubungi mamanya memaklumkan akan keadaan kesihatannya. Keadaan hampir sama seminggu yang lalu. Menjemputnya untuk ke klinik setelah mendapat izinan warden asrama. Perkara tidak pernah berlaku maka segeralah aku ke klinik al-ahzim di bukit baru. Sempoi sahaja doktor perempuan membuat pemeriksaan lalu memberikan 'sijil sakit' untuk dua hari beserta prescription ubat. Tentulah percayakan kepakaran doktor dan tidak perlulah aku pertikaikan bidang tugasnya. Maka terfikirlah aku bilamana panggilan dari Yaseer ini kepada mamanya mengenai hal yang sama berlaku lagi. Berpesanlah aku pada dia ketika menalipon itu, aku dan isteri didalam alza dipersimpangan duyung ke Lot 85 untuk nasi beriyani. Hubungi lagi sekali lepas sessi pembelajaran. Kalau makin teruk, boleh terus ke hospital. Namun sampai ke petang tiada menghubungi mamanya. Aku pula berandaian, tiada apa apa yang serius. Tetapi menghampiri ke maghrib baru hendak hubungi menyebabkan aku rasa lemah pula hendak keluar menemuinya di asrama. Apakan daya, sebagai ayah maka haruslah aku bertanggungjawab mengurusi hal ini.

Banyak video yang aku saksikan sementara masuknya waktu isyak sebelum ke asrama si Yaseer seolah memberi isyarat kepada aku. Mungkin disebabkan spontan aksi dan sepertinya tidak dibuat buat walaupun terasa sedemikian terakam menunjukkan 'ikhlas' huluran pertolongan kepada insan insan yang menjadi 'subjek'. Memang sukar hendak membuat telahan. Kalau dianggapkan begini tapi sebenarnya begitu yang dimaksudkan. Bila yakin pula yang dimaksudkan begitu tapi hakikatnya lain pula. Segalanya terpulanglah kepada tafsiran memasing. Pun begitu hakikat sebenarnya hanyalah Dia sahajalah Yang Maha Mengetahui. Pertamanya mengenai seorang penjaja sayuran kampong ditepi jalan. Seorang wanita cina yang tua sangat dalam lingkungan 70an mencangkung dibahu jalan menunggu nunggu pemandu kenderaan berhenti membeli jualannya. Lebih mengharapkan simpati pengguna jalanraya tapi dari sudut lain, menanti hadirnya seseorang pembawa 'rezeki' untuknya. Kisah kedua yang menyentap jugalah akan hati ini berkenaan selebriti Pak Nil terpanggil menolong membantu penunggang/pembonceng motosikal membawa anak kecil pulang dari klinik selepas rawatan mungkin. Terkial kial menolak motor keluar dari tempat parkir dan mungkin telahan 'flashforward' Pak Nil akan terdedah akan bahaya kepada anak kecik yang dikendung membuatkan dia 'digerakkan' untuk hulurkan pertolongan juga atas asbab dariNya. Pembaca boleh ke fb-nya untuk view video yang diuploadkan. Ketiganya pula adalah keprihatinan seorang guru keatas anak muridnya yang senantiasa beruniform comot. Bukan video tapi laporan berita. Hasil pemantauan yang dibuatnya telah menemukan punca anak murid yang dikategorikan baik dan berpotensi berkeadaan sepertimana yang dilihatnya sekian kalinya itu. Allah s.w.t. hantarkan seorang guru yang amat prihatin ini untuk membantu mana yang perlu dan sepatutnya. 


                                                     Kisah 1 - Cina tua jual sayur kampong


                                      Berita lengkap...kena rujuk mStar @ 16/03/2020


Bila difikirkan kembali dan secara rasional, tidak dapat tidak pastinyalah akan menyoalkan sesuatu demi mendapatkan kepastian. Tiadakah sanak saudara yang sudi membantu. Kemana perginya masyarakat dilingkungan sehingga sibuk mengurusi diri memasing sahaja. Apakah yang mahu dikhabarkan kepada semua terutama sekalilah mereka yang menonton video yang diviralkan ini oleh insan 'pilihan' yang dilorongkan hati untuk membantu insan yang ditimpa kesulitan. Aku dalam bab bab sebegini mudah pula terasanya. Kira borong, tentunya ditujukan pada diri. Ujian musibah mungkin tidak sanggup untuk aku gagahi lagi, inikan pula ujian 'kelebihan' yang diberi yang seperti takut takut untuk membantu insan lain. Mungkin terlepas pandang atau sengaja tidak mencari. Bukanlah hendak menjadi jagoan menghindar membanteras segala kepincangan dalam masyarakat tapi sekadar menginsafi diri akan ada ramai lagi insan yang kurang bernasib baik mengharapkan bantuan meneruskan hidup. Bukankah kita hidup bermasyarakat dan perlulah kita saling tolong menolong mana yang patut dan termampu.

Sebelum keluar rumahpun, aku maklumkan pada orang rumah untuk ke Alai terlebih dahulu bertujuan mengajak kakak tunggal aku untuk makan tengahhari di Lot 85, Durian Daun. Malangnya, dia tiada dirumah. Berita yang diterima selepas menghubungi, yang dia dengan Atiqah ada di MITC, Ayer Keroh berurusan dengan pejabat kerajaan. Makanya hajat untuk mengajak makan tengahhari tidak tercapai. Aku tidak menjangkakan yang dia tiada dirumah. Selalu dan biasanya saban pagi pasti kakak aku ini ada dirumah. Ketentuan dariNya tidak siapapun boleh menduganya dengan tepat.

Apa yang aku alami dan tontoni buat hari ini amat menginsafkan. Moga diri ini dijauhkan dari petaka musibah dan dilimpahi dengan barakahNya. Ameen.