Tuesday, August 25, 2020

BMF dipersenda senda

Entahlah mengapa hari ini aku agak rimas setelah melihat satu post di-facebook tentang hal meremehkan usaha merancakkan kesedaran mengenai barangan muslim. Seketika sebelum aku menjenguk tu, aku berada di Econsave Batu Berendam mendapatkan bekalan pembuatan 'frozen' karipap. Barangan yang dibeli itupun dalam kuantiti yang banyak dan sedapat mungkin yang didatangkan dari pengusaha melayu. Kalau tiada dan bukan dalam radar terpaksa jualah menggunakan sebelum mendapatkan 'replacement' dari pengeluar muslim tempatan dalam jangkamasa terdekat. Kesedaran yang ditimbulkan sebelum munculnya Covid-19 pada penghujung Disember 2019 malah telah digerakkan lebih awal lagi dari kalangan sebangsa yang menyedari peri pentingnya pertingkatkan taraf ekonomi orang melayu, telah mengembleng tenaga dan usaha mengujudkan gelombang kesedaran kepada seluruh umat melayu. Mungkin barangkalinya kepantasan merebaknya virus corona dan dinamaikan pula kepada virus 'Covid-19' telah menyerlahkan kempen BMF. Ternyata sambutan dari orang melayu yang prihatin akan nasib bangsanya telah menyambut dengan agak baik dan bekerjasama menyebarluaskan seruan ini dengan pelbagai saluran social media or Socmed. Usaha bersama dengan niat memajukan taraf perekonomian bangsa akan lebih dipercepatkan dalam rangka merapatkan jurang ekonomi dengan golongan 'pendatang' yang kian menunjukkan belang kurang ajar mereka. Apapun, yang pastinya petaka yang dizahirkan ini telah mencakupi segala aktiviti. Hampir seluruhan kegiatan harian terhenti dek penangan Covid-19. Kesan yang dihadirkan membuatkan kalangan kita tidak menjangkakan akan 'package' permasalahan yang harus dirungkaikan bersama. 

Aku telah memantau keadaan dan lokasi produk muslim yang masuk ke pasaraya besar dan kecil dilingkungan bertahun lamanya malah sebelum adanya BMF lagi. Selain Aeon @ tempat cari makan, aku ada juga membuat tinjauan di Carrefour(sudah tiada lagi), Tesco dan Econsave secara berkala iaitu dari sebulan ke sebulan dan juga bilamana berkesempatan datang ketempat perniagaan 'mereka' ini. Amat ketara dan seperti tiada apa-apa perubahan walau telah kerap dikompang dilaungkan akan kesedaran mendapatkan produk produk halal. Malah Mydin yang dikatakan pasaraya bumiputera juga punyai corak peragaan yang sama. Majority keluaran bumiputera dipamerkan di-shelve ke empat dari atas dan paling ke bawah sekali. Tidak kiralah produk apa pun, asalkan produk muslim, duduknya selalu sahaja bukan di 'golden eye' tapi lebih kerap dilokasi paling bawah yang dalam bahasa marketing-nya - blind spot area. 

Halagel yang dicari... tetap tidak berubah

Kompilasi terkini
                         Kompilasi terkini...

Untuk rujuk balik akan apa yang diuploadkan oleh sedara Zhar Hassan ni, selepas makan tengahhari hampir ke pukul tiga, aku membuat carian di-face book menggunakan desktop. So post sepertimana yang tertera dibawah ini yang meresah lagi merimaskan telah aku ulang membacanya. Juga komen yang rata-ratanya bukanlah bernada kecaman tapi memberi pencerahan amat mengharukan hati. Ertikata lainnya, ada kesedaran dari kalangan yang respond untuk sama sama berkongsi idea menurut perspektif memasing dalam merungkaikan statement yang di-post-kan ini. Secara peribadi, kata kata yang bagai pelemah semangat ini andai tidak cermat memahaminya akan mendatangkan kesan kurang elok pula pada golongan sasaran. Gagal menghadamkan maksud bagi yang berfikiran lateral sifatnya akan kelain kesudahannya dan perlulah yang 'maklum' perbetul perjelaskan.

Zhar Hassan Semalam jam 7:30 PTG · 
Dah menjadi resam produk Muslim lebih mahal daripada produk non Muslim. Sedangkan M40 majoriti Muslim. Bagaimana menjadikan Produk Muslim lebih bersaing. Walaupun beza 10sen @ 20sen pun pelanggan Muslim tetap beli produk lebih murah buatan non Muslim.

Kita semua harus bergerak seiringan dalam ruang masing masing. Bulat air kerana pembentongnya dan begitu jugalah dengan manusia, yakni dengan pemuafakatan. Berjihad janganlah disempitkan kepada suata aspek sahaja. Ianya merangkumi segala bentuk kehidupan didalam menegakkan Islam kembali ke landasan yang sepatutnya. Sesuai dan bertepatanlah dengan 'sambutan' Maal Hijrah 1442H pada 17/08/2020 bersamaan hari Isnin dan berjarak sekitar 2 minggu sahaja menjelangnya 'kemerdekaan' kali ke-63 yang juga jatuhnya pada hari Isnin, maka amat dihajati agar semangat Maal Hijrah dan Kemerdekaan menjadi pemangkin untuk kita semua 'cut loose' dari belenggu yang membeliti umat melayu sejak dahulu lagi. Ketepikanlah segala rasa syak wasangka terhadap sesama, bimbinglah mereka yang kurang berkeupayaan agar setanding setaraf dengan kaum pendatang tanpa mengharapkan apa apa balasan dan sokonglah sesama agar kita mampu sehingga meniti kejayaan pertingkatkan martabat bangsa kita. 

Kebetulan sementara stop for a while dari menulis, aku mengintai 'Sarjan Hassan' yang tengah running dikaca tv menerusi Astro 105. Seketika menghirup 'black coffee' yang aku suruhi orang rumah menyediakannya, babak bilamana Ramlee bangkit selepas kerjakan cukup cukup akan Si-Buang dan dengan tegas mengingatkan orang orang kampongnya amat sesuai untuk aku kepilkan di coretan ini. 

                                                       Buang yang negative.

Insya-Allah, kita mampu merubahnya.

Tuesday, August 18, 2020

Pening memikirkan

17 AUGUST 2020, 22:36

Selesai maghrib tadi dan sementara menunggui isyak, aku lihatlah phone. Lepas habis WhatApps post aku bacai, fb pula aku intai intai. Lemah badan dibuatnya bila lepas isyak harus sekali lagi ke asrama menjemput pulang akan si Yaseer. Katanya sebelum maghrib, sesak nafasnya makin kuat pula dan dimaklumkan kepada aku lepas keluar dari bilik mandi oleh orang rumah sejurus lepas Yaseer menghubungi mamanya. Komen aku akan kenyataan ini, lepas isyak nanti abang pergi jemput dia.

Sebenarnya, kurang lebih 12:00 tengahhari dia ada menghubungi mamanya memaklumkan akan keadaan kesihatannya. Keadaan hampir sama seminggu yang lalu. Menjemputnya untuk ke klinik setelah mendapat izinan warden asrama. Perkara tidak pernah berlaku maka segeralah aku ke klinik al-ahzim di bukit baru. Sempoi sahaja doktor perempuan membuat pemeriksaan lalu memberikan 'sijil sakit' untuk dua hari beserta prescription ubat. Tentulah percayakan kepakaran doktor dan tidak perlulah aku pertikaikan bidang tugasnya. Maka terfikirlah aku bilamana panggilan dari Yaseer ini kepada mamanya mengenai hal yang sama berlaku lagi. Berpesanlah aku pada dia ketika menalipon itu, aku dan isteri didalam alza dipersimpangan duyung ke Lot 85 untuk nasi beriyani. Hubungi lagi sekali lepas sessi pembelajaran. Kalau makin teruk, boleh terus ke hospital. Namun sampai ke petang tiada menghubungi mamanya. Aku pula berandaian, tiada apa apa yang serius. Tetapi menghampiri ke maghrib baru hendak hubungi menyebabkan aku rasa lemah pula hendak keluar menemuinya di asrama. Apakan daya, sebagai ayah maka haruslah aku bertanggungjawab mengurusi hal ini.

Banyak video yang aku saksikan sementara masuknya waktu isyak sebelum ke asrama si Yaseer seolah memberi isyarat kepada aku. Mungkin disebabkan spontan aksi dan sepertinya tidak dibuat buat walaupun terasa sedemikian terakam menunjukkan 'ikhlas' huluran pertolongan kepada insan insan yang menjadi 'subjek'. Memang sukar hendak membuat telahan. Kalau dianggapkan begini tapi sebenarnya begitu yang dimaksudkan. Bila yakin pula yang dimaksudkan begitu tapi hakikatnya lain pula. Segalanya terpulanglah kepada tafsiran memasing. Pun begitu hakikat sebenarnya hanyalah Dia sahajalah Yang Maha Mengetahui. Pertamanya mengenai seorang penjaja sayuran kampong ditepi jalan. Seorang wanita cina yang tua sangat dalam lingkungan 70an mencangkung dibahu jalan menunggu nunggu pemandu kenderaan berhenti membeli jualannya. Lebih mengharapkan simpati pengguna jalanraya tapi dari sudut lain, menanti hadirnya seseorang pembawa 'rezeki' untuknya. Kisah kedua yang menyentap jugalah akan hati ini berkenaan selebriti Pak Nil terpanggil menolong membantu penunggang/pembonceng motosikal membawa anak kecil pulang dari klinik selepas rawatan mungkin. Terkial kial menolak motor keluar dari tempat parkir dan mungkin telahan 'flashforward' Pak Nil akan terdedah akan bahaya kepada anak kecik yang dikendung membuatkan dia 'digerakkan' untuk hulurkan pertolongan juga atas asbab dariNya. Pembaca boleh ke fb-nya untuk view video yang diuploadkan. Ketiganya pula adalah keprihatinan seorang guru keatas anak muridnya yang senantiasa beruniform comot. Bukan video tapi laporan berita. Hasil pemantauan yang dibuatnya telah menemukan punca anak murid yang dikategorikan baik dan berpotensi berkeadaan sepertimana yang dilihatnya sekian kalinya itu. Allah s.w.t. hantarkan seorang guru yang amat prihatin ini untuk membantu mana yang perlu dan sepatutnya. 


                                                     Kisah 1 - Cina tua jual sayur kampong


                                      Berita lengkap...kena rujuk mStar @ 16/03/2020


Bila difikirkan kembali dan secara rasional, tidak dapat tidak pastinyalah akan menyoalkan sesuatu demi mendapatkan kepastian. Tiadakah sanak saudara yang sudi membantu. Kemana perginya masyarakat dilingkungan sehingga sibuk mengurusi diri memasing sahaja. Apakah yang mahu dikhabarkan kepada semua terutama sekalilah mereka yang menonton video yang diviralkan ini oleh insan 'pilihan' yang dilorongkan hati untuk membantu insan yang ditimpa kesulitan. Aku dalam bab bab sebegini mudah pula terasanya. Kira borong, tentunya ditujukan pada diri. Ujian musibah mungkin tidak sanggup untuk aku gagahi lagi, inikan pula ujian 'kelebihan' yang diberi yang seperti takut takut untuk membantu insan lain. Mungkin terlepas pandang atau sengaja tidak mencari. Bukanlah hendak menjadi jagoan menghindar membanteras segala kepincangan dalam masyarakat tapi sekadar menginsafi diri akan ada ramai lagi insan yang kurang bernasib baik mengharapkan bantuan meneruskan hidup. Bukankah kita hidup bermasyarakat dan perlulah kita saling tolong menolong mana yang patut dan termampu.

Sebelum keluar rumahpun, aku maklumkan pada orang rumah untuk ke Alai terlebih dahulu bertujuan mengajak kakak tunggal aku untuk makan tengahhari di Lot 85, Durian Daun. Malangnya, dia tiada dirumah. Berita yang diterima selepas menghubungi, yang dia dengan Atiqah ada di MITC, Ayer Keroh berurusan dengan pejabat kerajaan. Makanya hajat untuk mengajak makan tengahhari tidak tercapai. Aku tidak menjangkakan yang dia tiada dirumah. Selalu dan biasanya saban pagi pasti kakak aku ini ada dirumah. Ketentuan dariNya tidak siapapun boleh menduganya dengan tepat.

Apa yang aku alami dan tontoni buat hari ini amat menginsafkan. Moga diri ini dijauhkan dari petaka musibah dan dilimpahi dengan barakahNya. Ameen.






Friday, August 14, 2020

Menungan pagi... ceraikan aku, ceraikan aku...hah hah kau.

 Aku bercuti mingguan, hari ini. Semalam pula adalah SBS untuk Raya Haji. SBS stand for substitution public holiday. Pun begitu dirasakan cuti dua hari berturut ini seperti 'kosong'. Dunia berputar ligat dengan pelbagai rencam kehidupan manakala aku disini di bukit katil ini terasa bagai perlahan benar pergerakan. Routine ketika bercuti diulang buat lagi. Semalam ke Econsave Batu Berendam mendapatkan bekalan penghasilan karipap 'frozen'. Bersarapan berdua ditempat yang biasa dikunjungi dan kekadang makan tengahhari di 'port' yang juga biasa andai terlajak ke tengahhari masih diluar rumah. Hari ini juga harus kepasar besar atau kekadang ke Pengkalan Samak mendapatkan ikan 'segar'. Sepanjang kedestinasi tujuan akan bersarapan dahulu andai keluar tidak sempat minum pagi dirumah. Banyak tempat bersarapan yang kerap disinggahi mengikut gerak hati. Berhajat roti canai, singgah di Pak Din roti canai di Duyung. Ingin berubah selera boleh sahaja ke Rashid Corner pekena Lontong. Adventure lagi singgah di Telok Mas. Begitu jugalah semasa haluan balik. Andai dari Pasar Besar, port utama mestilah Lot 85 merasai Nasi biryani. Kekadang melencung jauh ke Bachang merasai roti canai kayu arang-nya. Sekali sekala terlajak ke AMJ pula untuk mencuba nasi arab berhampiran Stadium Hang Jebat atau ke Ikan Bakar Malim di MITC menikmati pelbagai juadah makan tengahhari.

Selesai urusan diluar, kebiasaan bercuti sekadar mengulangkaji mengulangbaca memantapkan penguasaan arab al-quran via grammar-nya serta diselangselikan dengan mencoret ikut mood di journal. Kali ini entah macammana isu 'isteri menuntut cerai' menjadi pilihan untuk melampiaskan minat menulis memenuhi masa lapang. Selesai membeli ikan di Pengkalan Samak, aku singgah Alai sekejap membelikan ikan parang untuk kakak tunggal aku. Ketika menyandar menonton slot berita Astro Awani sambil berbual bertanya khabar, terpandangkan 'tertuduh' tertunduk tunduk diapit polis memasuki mahkamah majisteret Sepang untuk dibacakan pertuduhan pembunuhan pensyarah UIAM pada petang Rabu 29/07/2020. Butiran lengkap bolehlah pembaca 'google' dengan keyword - pensyarah mati dibunuh.

                                                Flashback berita pembunuhan

Spontan tersembur, 'kecik aje orangnya', bila terpandangkan susuk tubuhnya. Sebenarnya aku tidaklah ambil tahu sangat akan kes pembunuhan ini. Mungkin gaya laporan berita jenayah agaknya cuma menyiarkan gambar simati berbentuk passport yang zoom-in ke wajah dan tiada ditunjukkan gambar suspek membuatkan aku sekadar bertanya sendirian bilamana tersiar laporan berita yang dikaitkan dengan tuntutan cerai. Malah nama yang dituduhpun tidak dinyatakan. Banyak laporan berita berkenaan kes ini dibaca namun tiada yang menyebut akan nama tertuduh. Entahlah, mungkin hendak menutup identiti pelaku dari diperlakukan dicerca oleh orang awam dan lebih lebih lagi oleh 'netizen' yang lapar sahaja hendak membahan ikut suka mereka. Namun hanya satu portal berita yang 'berani' memuatkan nama pelakunya iaitu Berita Harian Online.

Aku berpandangan dan mungkin juga dari perspektif suami, menuntut cerai oleh sang isteri, adalah suatu hal yang mencabar. Jarang berlaku dan hampir tidak kedengaran masa zaman persekolahan aku dahulu. Kerap didengari ketika itu adalah lelaki yang menceraikan isteri atas sebab tertentu. Mungkin juga dengan peredaran masa serta cepatnya sebaran maklumat yang kedapatan kini membuatkan hal seperti ini dianggap sebagai perkara biasa sahaja. Terlalu kerap dan semakin berani pula buat sang isteri bertindak menuntut diceraikan sedangkan hak mencerai adalah hak mutlak sang suami. Ada ruang yang membolehkan tapi amat jarang buat pasangan 'bermasalah' terperangkap dilingkungan ini suatu masa dahulu bertindak extreme. Tapi kini,semakin ramai dan semacam normal pula buat pasangan yang baru berkahwin berada dalam wilayah 'dispute' sebegini. Kenapa dan bagaimana termulanya tentulah bersebab dari pelbagai punca.

Bila difikirkan seketika, nekadnya si-isteri menfailkan cerai menunjukkan 'telah' tiada jalan untuk berbaik sesama. Kebiasaannya pihak majlis agama akan beri/buat counselling terlebih dahulu. Malah pihak majlis agama akan lebih memusatkan usaha kearah memperbaiki hubungan suami isteri. Bukankah telah dinyatakan didalam al-quran akan hal cerai-berai ini. Banyak ayat ayat yang bersangkutan mengenainya. Terpulanglah kepada kemampuan memasing memahamkan serta menyingkap hikmah yang tersirat yang perlu kita garap sesempurna mungkin.

Berstatus pensyarah madya lagi dan pastinya lebih berpengetahuan berilmu untuk menghadamkan info dan mengaplikasikan dalam kehidupan bekeluarga tapi memilih jalan keluar yang sedemikian amat musykil sekali untuk difahamkan. Apapun perkara telah berlaku dan pelakunyapun telah disabitkan kesalahan membunuh maka terimalah hakikat kejadian ini untuk semua kita mengambil ikhtibar dan pengajaran.

Dipersimpangan ini, rasanya adalah baik juga untuk kita menyemak kembali akan perkara ini. Info yang aku petik dari web berita 'SAYS' pastinya dapat membantu pemahaman kita.


5 Jenis Perceraian Dalam Islam Yang Wajib Untuk Suami Isteri Tahu Dan Hadam Betul-Betul

Ini benda serius, tak boleh buat main.

Small thumb 54f54d7f51c67ac3f56181e42e44588c By Farouq Johari

   

#lifestyle #islam #cerai #undang-undang #seismik

Cover image via SAYS

Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkawinan yang sah mengikut syariat Islam

Image from kabarmuslimah.com

Image via kabarmuslimah.com

Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui 5 cara iaitu:


1. Cerai Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.

Talaq dibahagi kepada dua iaitu:

i) Talak sharih (langsung)

Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas dan eksplisit yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." kepada isteri.

ii) Talak kinayah (tidak langsung, implisit)

Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya ayat, "Pulanglah pada orang tuamu!" yang dilafaz oleh suami.

Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.


2. Cerai Ta'liq

Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.

Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara', tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri.

Contoh lafaz ta'liq selepas akad nikah:

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'.”


3. Cerai Khulu'

Image from blogspot.com

Image via blogspot.com

Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.

Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

Apa itu talaq ba'in sughra?

Hukum yang ditimbulkan oleh khulu’ adalah talaq ba'in sughra yang memberi maksud, hilangnya hak rujuk pada suami selama masa ‘iddah.

Bererti, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu.

Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain.


4. Cerai Fasakh

Image from mindakini.com

Image via mindakini.com

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

Contohnya apabila:

i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut

ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita

iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya

iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri

Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.


5. Cerai Li'an

Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula. 


Bagi mengetahui caranya berpisah andai itulah yang dimahukan, maka kliklah : Urutan mula akhirnya

Itulah - bila diuji, rasanya tidak semua mampu menyerapnya bilamana rasa amarah telah menguasai diri. Bertuahlah pada pasangan yang berjaya melepasi 'puting beliung' alam berumahtangga. Namun yang pastinya kejadian ini akan menjadi rujukan terkini kepada pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin mahupun yang baru setahun dua usia perkahwinan. Malah akan lebih terkesan terasa kepada pasangan yang sedang dilanda 'masalah' penceraian. Tiada pasanganpun yang terkecuali andai musibah mendatangi. Berdoalah agar dijauhkan olehNya kerana belum tentu lagi kita mampu atasi dugaan sebegini.

                                            Perli... nampak.

Sunday, July 19, 2020

Penafian tersembunyi...

Kekadang amat sukar untuk dimengertikan bilamana terpandangkan sesuatu yang agak berbeza dari kelaziman yang terlihatkan. Bukanlah untuk mempertikaikan tapi sekadar ingin mengetahui akan sebab musababnya terjadi sedemikian. Harus juga diingati yang tidak semua diantara kita berpeluang apatah lagi bernasib baik memiliki menikmati sesuatu. Sudut pandang aku mungkinlah hanya aku seorang sahaja yang terperasan dan mungkin juga buat mereka yang sama terpandangkan tidak punyai apa-apa yang terkait untuk difikirkan. Terpulanglah buat memasing. Namun walaupun sukar untuk difahami, rasa terpanggil pula untuk aku mencatatkan diruangan ini.

Sebelum meneruskan, adalah baiknya kita nilaikan article tahun 1990 ni...Denial of Reality

Semua antara kita pastinya mahukan yang terbaik buat diri. Pastinyalah apa yang dimiliki kini adalah hasil gigihnya usaha yang dilakukan. Pandangan orang jangan dipedulikan. Usaha dan terus berusaha. Jika kukuh terpasak dipemikiran maka nescaya lambat cepatnya akan menzahirkan sesuatu. Setidak tidaknya adalah sesuatu untuk dibanggakan. Sejak sekian lama telah aku kumpulkan bukti bergambar buat mengukuhkan pandangan biasa-biasa aku. 

1965

Masa tengah top - 1982

Tetiba melepak -1996



Kekurangan diri menjadi penguat semangat bukan pelemah. Bagi yang perasan diri lebih baik sepatutnya berasa iri akan kejayaan yang dicapai oleh mereka yang pada pandangan agak tidak sebandingan dengan diri. Kekurangan yang tidak mampu diubah tapi menjadikannya sebagai suatu 'azimat' berusaha keras seharusnyalah dipuji. 

Warna kulit or skin colour adalah sesuatu yang semulajadi. Siapalah kita yang lahir untuk menyangkal. Naluri manusia sukakan yang cantik lagi menarik. Namun tidak siapapun dapat menyelami hati orang lain. Bagi yang dilahirkan berkulit cerah tentulah tidak merasakan apa-apa yang perlu dikesalkan. Bagaimana pula kepada mereka yang zahirnya berkeadaan gelap kusam sampai ke mati nantinya. Apakah kita rasakan yang dirinya akan pasrah kepada takdir yang diterima atau mungkin ada segelintir dari mereka akan mengesali hakikat yang terpaksa diterima.

                                                              Billie Jean

Banyak contoh yang tersedia terdapat buat menyokong pernyataan ini. Pernah dibuat lawak dengan soalan 'trivia' yang mengambil masa juga untuk menjawabnya. Tidak ingatlah bila tapi soalannya masih terngiang-ngiang dengan hilai ketawa kenkawan cuba mengenakan, 'Siapakah orangnya yang lahir hitam legam tapi bila dewasanya putih melepak'. Berkerut memikirkan. Mamat yang menanya mula nak ketawa bilamana aku terkial kial mendapatkan jawapan. Hujung hujungnya aku 'surrender'. Sambil dia meluahkan rasa hairannya akan betapa 'naive'-nya aku, dia maklumkanlah insan yang dimaksudkan itu adalah 'Michael Jackson'. Spontan tepuk dahi aku sambil turut ketawa bersama. Ketawanya aku bukanlah menghina orang yang dimaksudkan tapi menceriakan moment berbual bersama ketika itu. Tapi kini terfikir pula aku, apakah sebabnya. Tentulah hanya dirinyalah yang lebih sedia maklum.

Apa agaknya yang akan difikirkan bilamana pasangan 'hitam putih' berjalan beriringan. Dalam norma kehidupan biasa mendapatkan pasangan hidup, sudah pastinyalah si-lelaki yang mencari memilih. Mungkin dan jarang terjadinya, si-perempuan yang ada 'kuasa' memilih. Tapi mungkin agak pelik pada yang melihat dan soalan nakal berjawab yang terlintas mungkin sebab 'something special' tiada pada orang lain. Jarang orang akan buat statement, 'itukan sudah jodohnya'.

Namun apabila melihatkan 'mereka' bersama bersatu puluhan tahun sudah, keserasian dan kedamaian hidup yang dikecapi harus adanya kompromi diantara mereka. Kekurangan ditampung dan kelebihan dikongsi bersama. Bukannya pula untuk dibangga banggakan. Banyak pasangan 'hitam putih' yang aku terserempak ditempat kerja dan juga dimana sahaja. Mana sempat, aku jadi paparazzi tidak bergaji. 

Gambar, sekadar hiasan

Apa pula tafsiran orang bilamana penampilan sediaada yang memanglah tiada siapapun akan mendedahkan apa yang tersirat terbuku dihati tapi bagi mereka yang melihat akan apa yang tersurat, pastinya akan membuat andaian mengikut 'selera' memasing. Menyukai warna 'putih' adalah hak memasing. Orang rumah pernah memaklumkan aku yang anak teman setaman yang selalu singgah berborak pernah menanyai ibunya akan kenapa warna kulitnya gelap. Puas dicucinya dengan sabun agar putih tapi tidak berjaya. Kebetulan lagi dirinya sekelas sebaya dengan anak bongsu aku yang kini telah di tingkatan 1. Sempat lagi orang rumah menanyakan si Lela, ibu kepada Adrina. Orang rumah sambil tersenyum memberitahu, ikut kata Lela, 'mana boleh...ayah awak kulitnya gelap juga', dengan nada lembut memujuk takut si Adrina 'sentap'. Ganeson ayahnya menjadi Ghani kemudiannya adalah pasangan kahwin campur. Suratan buat Adrina.

Tiada siapa akan menafikan hak kebebasan memilih. Selalunya tekaan aku tepat. Mulanya satu susuk tubuh orang setaman. Juga seorang mualaf India berkahwin dengan orang Melayu yang cerah kulitnya. Tapi, anak mereka semuanya gelap gelap. Kuat 'gene' lakinya. Suatu hari aku terpandangkan myvi 'solid white' baru(bukan model yang terkini-2019) didepan rumahnya dahulu dan aku pula ketika itu sedang membuat pertalian 'antara warna kulit dengan warna pilihan'. Aku tersenyum sendirian bilamana memandu melintas didepan rumahnya, si beliau keluar dari kereta ketika aku berselisih dan kadangkala terlihatnya membersihkan myvi putihnya itu. Satu kebetulan atau ada pertalian masih diperingkat awal ketika itu. Tapi lebih kerap pula selepas itu 'respondent' pasif yang aku setkan ditemui. Makin banyak ditemui. Berkereta 'putih' dipandui India berselisihan dijalanan. Jahatnya aku, bagi meyakinkan 'survey' yang aku sendiri buat ini, pernah aku menunggui ditepi kereta Camry 'putih' yang lebih awal memasuki 'parkir' didepan Nagoya Textile, Bazaar Melaka. Orang rumah ketika itu menonong masuk kedalam mencari kain langsir sedangkan aku melepak disatu sudut terlindung dari sinar mentari petang mengintai post rakan grup 'whatsapp'. Dalam pada leka itu, tetiba muncul pasangan India bertutur dalam bahasa yang biasa didengari tapi tidak memahaminya langsung, Tamil daa, masuk kedalam camry putih. Confirm. Kemana dan dimana sahaja aku berada, ujudnya pertalian bagi menguatkan kenyataan ini.

Andailah dibongkarkan hasil penemuan ini, mampukah mereka yang terpihak ini mengakui menerima atau menafikan dan sanggup membantah sehingga ketahap merusuh. Mustahil dihati untuk mereka berkeras menolak. 

Denial Syndrome at stake.


Tuesday, July 14, 2020

999...jauhnya tersasar

14 JULY 2020, 22:43 
Berkesempatan sebentar tadi untuk aku menonton program berita jenayah selepas selesai Isyak. Itupun setengah jam berlalu. Mulai mengikutinya ditengah tengah program. Rancangan yang keudara setiap Selasa, 9:00 malam ke 10:00 malam dan kebetulan pula ketikanya aku bercuti mingguan amat jarang jarang aku ikutinya. Tetapi pada hari ini, entah macammana mahu pula aku melekap disofa sebaik sahaja selesai isyak. Kisah kisah jenayah yang berlaku seminggu yang lalu didedahkan untuk pengetahuan umum. 

Mungkin lebih banyak buruknya dari baik yang akan digarap dari kejadian yang dilaporkan itu mengikut tafsiran memasing. Perkara ini lumrah. Setiap orang punyai pandangan yang berlainan dan kekadang tidak terfikirkan oleh orang lain. Faktor penyebabnya tentulah pengalaman yang sendiri lalui dahulu menjadi panduan mengandai dan menghukum pelaku tanpa melihat duduk perkara sebenarnya. Apapun aku lebih terkesan bilamana pengacara berekor kuda dengan berjaket kulit cokelat ketatnya memberi butiran di segmen rangkuman. Dikhabarkan di Pulau Pinang seorang wanita mencampakkan anak yang baru dia sendiri lahirkan didalam bilik mandi dari tingkat 13 sebuah apartmen di Bayan Lepas. Kemudian dari Perlis pula kisah seorang pemuda berusia 28 tahun mencederakan ibukandungnya disebabkan permintaan untuk dibelikan motor tidak diendahkan. Pembaca tentu sahaja boleh mendapatkan berita penuh dengan menyelusuri portal berita yang pelbagai diinternet. 

Berita yang lebih bersifat melaporkan kejadian tentu sahaja mendapat perhatian ramai dan barangkali mungkin sebahagian kita akan bersimpati kepada mereka yang alaminya. Tidak kurang juga mungkin kerana terlalu beremosi akan menyelar menghukum pelaku tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Kejadian yang dilaporkan hanyalah 'snapshot' kesah harian masyarakat ibarat 'balance sheet' kepada sebuah syarikat akan tahap prestasi perniagaan semasa. Semua kita bebas untuk meluahkan pandangan dan pendapat. Apakah mungkin kita mampu mempertahankan kebenaran kejadian yang telah disebarluaskan bilamana perkara yang tidak kita ingini terjadi kepada diri kita sendiri pula. 

Bagi diri aku-lah, aku suka melihatnya kedepan dan kebelakang sebelum terjadinya peristiwa 'hitam' yang pastinya akan mendapat cemuhan dari pembacaan santai memasing. Aku pasti yang dari dua kejadian rangkuman yang disampaikan, ibu dan bapa buat cahayamata yang tersilap langkah ini adalah insan yang amat terkesan. Mana mungkin bagi si ibu yang melahir membesarkan dan tidak sedikitpun terlintas difikiran akan ditimpakan peristiwa malang sedemikian rupa. Bak kata orang, 'Tak orang, tak kita'. Maksudnya tiada sesiapapun mampu menduga kejadian dihari hadapan. Semua perkara adalah tidak mustahil untuk berlaku. Namun kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan adalah langkah yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Begitupun mungkin disebabkan kelekaan dan disibukkan dengan segala rencam dunia yang seolah olah menyerbu mendatangi sehinggakan gagal tidak berdaya menepis melawan arus dan pasrah dengan putaran ganas yang terdapat dilingkungan kehidupan. 

Kita yang berada diluar sekadar mampu mengikuti kesah yang dilaporkan ini seolah olah menonton episod duka masyarakat sambil 'makan super ring'. Tiada apa yang hendak direnungkan dengan menganggapkannya hanyalah hiburan malam selepas seharian bekerja mencari nafkah. Kita tidak membacanya sebagai suatu pembongkaran nasib insan dari seribu satu kesah masyarakat dari celahan kegelapan kehidupan untuk diinsafi. Mungkin juga kita merasakan yang perkara ini tidak sekali kali akan terjadi pada diri dan keluarga. Kita belum diuji lagi. Adakah akan sama kesahnya sepertimana yang dilaporkan atau mungkin lebih dahsyat dan menyayat hati. 

Kebiasaannya kita akan memalingkan hal ini kepada pihak lain yang dirasakan bertepatan selayaknya untuk menangani permasalahan sedemikian. Kita tetap pertikaikan akan kenapa ibu mahupun bapanya tidak menasihati mendisiplinkan tingkah laku anak memasing. Cubaan mencungkil sebab musababnya dan pepandai sendiri pula menjatuhkan 'verdict' adalah satu tindakan keterlaluan. Siapalah kita yang tidak tahu menahu hal sebenar tetiba tampil menjadi pendakwaraya tidak bertauliah, pakar motivasi tidak bergaji dan lebih teruk lagi sebagai pengkritik menyalahkan semua orang. 

Bagi diri aku sendiri, myself helplessly witnessing but really wondering what had happened to them, akan mengapa sampai ketahap ini yang harus berlaku. Amat mengesali. Mereka yang terbabit ini pula adalah saudara seislam. Dimana silapnya.

Berdiam tidak membawa kita kemana-mana.

Pentingnya menjadi kuat

 13/07/2020 11:48 


Adalah menjadi sesuatu yang didambakan buat semua orang untuk memiliki dan mempunyai kelebihan dari orang lain. Bukanlah bermaksud iri atau terkesan bilamana orang lain lebih dari kita tapi hakikat yang kini makin mengugat keharmonian kehidupan bermasyarakat memaksa peribumi untuk tidak kekal leka. Timbulnya ketidakselesaan kepada peribumi dengan tingkahlaku golongan 'pendatang' yang pada awalnya lebih dipandang kasihan belas telah mula dan makin menunjukkan 'belang' yang mungkin pada ketikanya nanti pasti membuatkan tuan rumah terpinggir dibuminya sendiri.


Aku bukanlah pesimis terhadap masa depan tapi aku berhak dan tiada kesalahan rasa memikirkan yang buruk untuk terjadi. Malah tiada yang mustahil untuk berlaku. Segala dan sesuatu tentulah telah ditetapkan. Cumanya bilakah masanya untuk ianya terjadi. Banyak ingatan telah dibisikkan berkias dan adakalanya juga dilaungkan sejak aku belum lahir lagi oleh pemikir pemikir Melayu kepada pemimpin khasnya dan bangsa peribumi serumpun amnya. Mungkin juga diketika itu, golongan cerdik pandai yang sekelumit cuma apatah lagi golongan marhaen yang teramai jumlahnya tidak seiringan bergabung berpadu tenaga untuk memartabatkan maruah diri dan pertiwi. 


Tidaklah diketahui apa sebenarnya yang melengahkan untuk kita bingkas bangun ketika termulanya kebanjiran golongan pendatang. Pastinya ada faktor faktor yang lebih kepada pengkhianatan yang bersifat 'terpaksa rela' oleh 'tekanan' langsung dan tidak langsung terhadap mereka yang diamanahkan menjaga kedaulatan negara. Mengesali apatah lagi meratapi akan keadaan yang 'parah' adalah tindakan yang terakhir yang mungkin pasti akan kita lakukan. Namun sebagai anak jati anak watan, mengalah tidak melawan adalah kepantangan buat diri yang berjiwa merdeka. Sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh kalangan pahlawan terdahulu akan tahap keperwiraan yang tiada tandingannya maka begitulah juga buat pewaris bangsa agar menggandakan usaha dalam pelbagai cabang kehidupan untuk menyekat melawan arus 'ganas' yang tidak pernah terfikirkan oleh orang terdahulu dari kita. 

Bukan dengan senjata sahaja tapi turut dengan akal budi


Harus istiqamah berusaha gigih. Harus berani menghadapi dugaan cabaran dan tipu helah musuh. Besepakatanlah sesama kita demi mencapai tujuan.   


Tuesday, June 9, 2020

Ramai pulak...'makhluk'

 Pagi Isnin ini seolah olah aku terpanggil untuk merungkaikan persoalan ini. 'Makhluk' yang perkataan ini jarang jarang disebut oleh aku sendiri serta amat sukar sekali mendengari disebutkan oleh orang dilingkungan aku didalam pertuturan seharian. Namun pada petang Jumaat kurang lebih dalam 2:00pm ketika aku menunggu untuk memasuki surau tetiba sahaja 'rakan sejawat' yang senior dalam 2 tahun muncul dari kejauhan tetiba terpacul melafazkan dan kemudian berpatah pergi. Mungkin dari perspektif dia, hal ini tidak menimbulkan apa apa tapi yang mendengarnya agak terasalah juga. Rasanya mungkin dia terpandangkan 3 pasang kasut didepan surau. Aku pula sedang lepak disofa didepan surau membelek phone membaca wahtsapp ketika itu. Aku tidak melihat kelibat dia tetapi suaranya tentulah aku kenali. Tambahan pula ketika aku menoleh dia telah berpusing melangkah pergi.


Mulanya aku tiada hiraukan sangat akan komen spontannya ketika itu. Tapi lama kelamaan didalam hati ini berdebat sendirian. Kenapa perlu dia bercakap macam itu. Apakah ditujukan pada aku. Bunyi macam kecewa sahaja bila hajatnya tidak kesampaian. Pelbagai persoalan kemungkinan berlegar legar difikiran. Mungkin remeh. Tapi aku tidak merasakan sedemikian. Luahan dengan berintonasi kekecewaan menimbulkan rentetan cerita yang berkaitan sebelum sebelumnya. Bukanlah maksud aku hendak persoalkan kenapa semua ini terjadi tetapi 'takdir' Illahi tiada siap yang mampu merungkainya dengan tepat. 


Skrip perjalanan setiap orang telah ditetapkan olehNya. Tiada sesiapapun yang mengetahuinya dengan tepat lagi jelas. Hingga kesaat ini walaupun telah melepasi usia 56 tahun pada tanggal 02 Feb. yang lalu, terus terang aku katakan yang diri ini berdebar senantiasa mengharungi sisa sisa hidup sebelum dijemput pulang. Pelbagai cerita dan berita yang dapat dilihat dan sampai ke pendengaran tentang betapa trajisnya kematian yang berlaku. Didalam era kemodenan ini tiada sesiapapun menduga, bilamana dengan tetiba sahaja wabak Covid-19 telah melanda seluruh dunia. Kehidupan yang selama ini dijalani telah berubah. Sebutan penjarakan sosial or 'social distancing' serta perintah kawalan pergerakan(pkp) or movement control order(mco), pandemik dan perkataan lain yang berkaitan dengannya menjadi pertuturan harian masyarakat. Kematian disebabkan covid-19 satu hal, mati kemalangan dilanggar pemandu 'mabuk' lagi satu hal yang kian mendapat perhatian masyarakat bilamana yang melanggar adalah cina dan yang kena langgar sampai membawa kematian adalah melayu. 

Refresh...takut kelupaan


Kerisauan berganda ini membuatkan semua orang berada didalam keadaan yang kurang selesa dan merimaskan. Setiap hari dan setiap ketika dan hari demi hari terlalu banyaknya perkara baru dan tidak pernah difikirkan sebelum ini telah dilaporkan. Saban hari pelbagai cerita samada melucukan, memilukan, mencabar kesabaran dan segalanya mudah kini diketahui. Kalau dahulu hanya media arus perdana dibidang persuratkhabaran menjadi medium utama mendapatkan berita. Begitupun hanya berita yang telah disunting sahaja yang akan beredar dikalangan masyarakat. Manakala berita dan perkhabaran yang bersifat kononnya menfitnah dan mendatangkan keresahan kepada bangsa tidak pula mahu dikongsikan. Segala kebobrokan sang penguasa dan mereka yang seangkatan disorok dari pengetahuan umum. Munafiknya mereka yang menyampaikan maklumat terpilih pilih demi mencari sesuap 'nasi' buat diri dan keluarga tidak kemana perginya. Tunggulah hari 'pembalasan' yang kita semua senantiasa mengulang ulang bacanya setidak-tidaknya seminggu sekali pada malam Jumaat akan ayat 36:65

Sahih International: That Day, We will seal over their mouths, and their hands will speak to Us, and their feet will testify about what they used to earn.

Berbalik kepada hal rakan baik ini, terlepasnya 'makhluk' dari mulutnya agak mengecewakan aku sedangkan dia dalam keadaan melangkah mendatangi surau. Sesiapapun boleh membuat andaian akan 'kejadian' ini. Bagi yang tidak mengetahui akan personaliti ini akan segera jump to conclusion, betapa tidak beradapnya diri. Pastinya ada sebab sebab tertentu yang menyebabkan si beliau ini menzahirkannya. Andaian aku, mungkin dia tidak selesa menunggui giliran. Jika salah sangkaan aku, hanya dirinyalah yang terlebih maklum.


والله أعلم بالصواب (Dan Allah Lebih Mengetahui Yang Sebenar-benarnya)