Thursday, January 11, 2018

Salam 2018

11 JANUARY 2018, 12:50pm

Hari ini sudah masuk hari kesebelas ditahun 2018. Bila menoleh kebelakang, sepanjang 2017 pelbagai kisah yang dialami dari awal tahun membawa kepenghujung tahun, satupun tidak terjangkakan yang ianya punyai kesan langsung dalam meniti hari-hari aku sehinggalah kedetik ini. Semua yang dihajati, diharapkan terjadi mengikut apa yang dirasakan dan diingini juga yang tidak terdugakan untuk terjadi tetiba berlaku, memang benar-benar menguji kesabaran seseorang apatah lagi buat diri aku sendiri.

Cabaran harus dihadapi...


Apapun tindakan yang diambil mengikut gerakhati serta ilmu dan pengalaman yang sedia ada disamping hidayah dariNya, memungkinkan diri ini sampai sehinggalah kehari ini. Biarpun dirasakan tidak betul dan tersasar tindakan yang dibuat namun itulah jejak perjalanan hidup aku. Setiap manusia tidak terlepas dari ujian dan dugaan. Begitu jugalah buat diri aku ini. Setiap detik dan setiap ketika, sememangnya kita perlu membuat pilihan serta bertindak mengikut kemampuan diri masing-masing. Tiada salahnya dan tiada betulnya andai diri sendiri yang menentukan. Tapi dari sudut pandang orang sekeliling, biasanya akan ada percanggahan. Itupun bergantung dan berpandukan garis panduan masing-masing.

Sebenarnya, kita tiada masa untuk buat apa yang difikirkan dan yang terfikirkan. Rentak perjalanan hidup setiap individu sering kali di-intercept oleh pelbagai perkara yang tidak terdugakan. Dikala kita amat meyakini yang ianya akan terjadi sepertimana yang dirancangkan tapi seringkali pula yang tidak dijangkakan untuk terjadi pula yang menimpa diri.

Bagi kita yang tiada sebarang kelebihan apatah lagi keistimewaan amat menuntut dan memerlukan kegigihan ketabahan dalam menempuh setiap dugaan yang bakal dan akan menjelang menimpa diri. Bermohonlah kita pada yang Maha Kuasa moga dengan limpah kurniaNya serta RahimNya akan memudahkan perjalanan kehidupan yang pastinya menuju kepenghujungan. Tiada siapapun tahu bila masa sampainya namun harus pula kita meyakini penghujungan masa seseorang akan sampai jua detik ketikanya.



Hadapilah hari muka dengan penuh ketabahan...

Sunday, December 17, 2017

Tersentak terkedu

15 DECEMBER 2017, 22:13

Pagi ini rekod terhasil lagi. Sebelum azan subuh aku sudah diatas jalan. Memandu lajulah ke tempat kerja sekitar 5:45am. Kereta hampir tiada diatas jalan pepagi jumaat ini. Selisihpun dengan sebiji kereta yang mungkin lewat dari biasanya membelok masuk ke surau kendalian Pas dipenghujung Taman Merak. Dari kerlingan mata, terlihatlah berlambak kereta dan motosikal berhampiran surau. Manakala di Raudhatu Jannah pun pastinya berkeadaan sedemikian cuma tidak terpandang dipenglihatan. Beruntunglah buat mereka yang berpeluang dan diberi kesempatan olehNya. Terdetik juga dihati akan ruginya diri tidak menjadi tetamu Allah dipagi Jumaat yang penuh keberkahan ini.


6:00am...kolompo kita.


Aku biarkan sahaja rasa kesal ini ketepi sambil menumpukan perhatian pemanduan kedestinasi ke tempat kerja. Seminggu sebelum pagi ini, aku telah diingatkan oleh LM akan keperluan untuk turut hadir ke training ACS di HQnya diBangsar South. Walaupun Jumaat adalah cuti gantian 1Malaysia(16/09), berkali diingatkan olehnya untuk turut serta. Hendak tidak hendak, mahu tidak mahu maka haruslah aku turut pergi bersamanya dengan GL. Berkali-kali dipostkan info ini dalam whatsapp group. Response ringkas aku sekadar, 'noted' untuk first post dan 'okay' untuk post keduanya. Sehari sebelumnya, Ita Admin memaklumkan akan masa departure dari store. Sekali lagi response ringkas aku, 'noted' aje.

Alhamdullilah, selamat tibanya aku ketempat kerja. Melepasi bar di parking booth, maka terpandanglah aku akan van BM sedang menunggu dihadapan staff entrance. Segeralah aku memarkir kereta dilokasi biasa andai bekerja awal pagi. Ingatkan aku yang paling lewat, rupa-rupanya GL dan LM lagi lewat dari kemunculan aku. Sebaik ucapkan salam pada driver BM, wakil LM dan GL BM sahaja yang berada didalam van itu. Lega rasanya bila sudah duduk didalam van ketika tepat-tepat 6:00am. Namun rasa bersalah melewatkan Subuh di Jumaat kali ini masih terus mencengkam. Firasat mengatakan memasuki lebuhrayaa nanti, aku akan minta singgah sebentar surau di R&R Ayer Keroh. Sehabis aku bermonologue, Si Sham bersuara memaklumkan akan singgah Subuh di Ayer Keroh nanti. Terjawap persoalan dan selesai permasalahan, selepas melaksanakan tanggungjawab hakiki ini.

Latihan kendalian ACS untuk semua staff Aeon yang ditetapkan mengikut stor berlangsung tanpa banyak masalah. Hand-out yang diedarkanpun telah aku bacai dan fahami sebaiknya seminggu sebelumnya setelah e-mail melampirkan pdf hand-out aku cetak sebaik habis membaca dikomputer. Sebaik tamat sessi Q&A, maka selesai sudah 'crash course' sebelum menyampaikan 11:00am. Semasa bergerak keluar dari pejabat ACS menuju ke lobby lift ditingkat 17, meluru sahaja Si Manisah mendapatkan aku hendak bercerita sesuatu. Dia ni pulak suka sangat bila berbual berdiri rapat-rapat sambil mata sesama bertentangan. Aku pula jenis suka tengok matanya yang redup ayu terpaksalah melayan dia berbual. Kali ini cara bercakapnya sedikit serius dan semacam berbisik. Dia memberitahu akan seorang staff yang dimaklumkan kepadanya ada membuat 'projek' barangan jualan. Pecah berita ini membuatkan aku tersentak dan tidak menyangka orang yang lemah lembut berperwatakan 'Nur Sajat' sanggup menipu kita semua. Bukti-bukti bergambar yang ditunjukkan oleh whistle blower kepadanya meyakinkan sementelahan pula orang yang memaklumkan hal ini bertugas sepejabat dengan pembeli barangan panas itu. Sesama kakitangan jabatan pendidikan ini yang mengenali arwah emaknya yang pernah mendapat tender kantin disitu mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dalam membanteras jenayah kecil-kecilan yang berlaku didepan matanya. Syabas harus kita ucapkan. Tanpa banyak membuang masa lagi, aku nyatakan yang kita harus bertindak pantas. Bagaimana dan bila masanya harus kita bersepadu merancang dan bertindak. Menurutnya lagi, Pn. Manisah @ LM, yang sembilan tahun junior dari aku, ada meminta pihak security meneliti cctv akan pergerakkan beliau pada 14/12/2017 sekitar 8:20pm. Jadinya, sampai store nanti dia berpesan supaya jangan terus balik tapi bersama-sama ke bilik cctv melihat pergerakan tertuduh ini.

Betullah perancangan Allah swt mengatasi perancangan manusia yang senantiasa terdedah kepada ketentuan Allah swt jua. Siapa sangka dan tentu sekali dirinya sendiri tidak menduga akan setiap pergerakkan pada khamis itu terakam dari awal mengambil, bersama 'pelanggan upahan' didalam lift dan seterusnya memunggahkan hasil kebasan kedalam Alza putih di-parkir di roof-top jelas terlihatkan. Namun ianya masih tidak mencukupi untuk mendakwanya. Setelah diperbincangkan bersama dan juga mendapat nasihat investigating officer, bukti nyata diperlukan selain rakaman cctv sebelum tangkapan dibuat. Jika tiada bukti nyata, kes tertolak. Satu pasukan khas dirangka bagi menangkapnya 'red-handed' dalam masa terdekat ini setelah modus operandi-nya diketahui. Bersabar bermuslihat pasti akan berjaya menahannya. Bak kata orang, orang yang sudah biasa makan 'taik', lambat laun akan mengulanginya lagi. Berapa lama lagikah pelandok akan terlupakan perangkap.

Hampir sejam setengah menyampaikan 3:30pm, aku, Pn. Manisah, '0' Bravo serta anak buahnya meneliti setiap aksi tertuduh. Bukti jelas. LM eager benar hendak maklumkan ke SM dan HQ. Kalau ikut saluran biasa harus kerja lebih dengan buat siasatan bersoaljawab yang tentunya makan masa atau membiarkan tertuduh bertindak sekali lagi untuk serahan ke balai polis. Dua option yang aku cadangkan membuatkan dirinya berfikir seketika akan pro & cons-nya. Apapun dia akan majukan hal ini kepengetahuan LM serta HQ untuk tindakan seterusnya. Selesai bincang-bincang dia bingkas balik manakala aku bergerak menuju kantin untuk minum petang pula. Makan tengahhari tadi di Pedas Linggi sekitar 12:00 tengahhari dengan masak lemak gulai ikan semilangnya dan daging salainya. Baik punya pulun dengan LM Bm dan GL, yang aku membelanjai mereka sedangkan aku sekadar pekena ikan talapia goreng dengan lemak labu sahaja. Masakan Nogori tidak berapa aku gemari , lainlah kalau disajikan dengan asam pedas.

Sesampai dikantin aku memesan teh 'O' panas dan mengambil sekeping vadie dan 2 potong tauhu sumbat. Aku memilih untuk duduk dimeja ditepian tingkap sambil mulai on-kan phone. Habis semua post whatsapps dari semua group aku baca sambil mengunyah vadie yang banyak serap minyak sehinggakan berlengas jari jemari aku. Laju pula aku intai blog membaca coretan blogger yang terkini. Banyaklah blogger yang aku gemari tulisan pemakluman mereka yang telah aku tagkan. Makanya apa sahaja post terkini akan cuba aku baca komen dan buah fikiran mereka tentang sesuatu isu yang diketengahkan. Dari beberapa artikel yang tersedia untuk dibaca di 'Reading List', 'Pulangkan pingat Bukan Adat Melayu, Kata Menteri(Pewaris Melayu), 'Parti Politik Jangan Syok Sendiri, Ini Realiti Politik Masa Kini(Addin), 'Perghh!!! Tentera dipenjara, perkosa isteri rakan(Abu Lokman) dan 'Mc Donald's Ambil Tindakan Terhadap Penyebar Fitnah(Addin). Setelah aku scroll semua tajuk, aku memilih post dari Addin tentang kes tentera. Tajuknya sahaja sudah gamit perhatian. Terus doubleclick tajuk untuk membaca. Teh 'O' yang dihirup sambil mulai membaca artikel ini tetiba terasa pahit kekurangan gula walau sebelum itu cukup rasa manisnya. Begitu jugalah dengan tauhu sumbat yang dikunyah kemudiannya terasa tawar tak terasa pedas walau bergenang kuahnya menutupi tauhu. Macam tidak percaya bila membaca. Hukuman yang diputuskan lagilah tersasar walau ambil masa setahun setengah lamanya untuk disepakati.

Apapun, peristiwa yang berlaku pada Julai 2016 tidak pernah terbaca olehku sebelum ini membuatkan aku terkedu tidak percaya. Kalau ikutkan situasinya sekitar Julai 2016 adalah musim Raya Puasa. Bukankah 1 Shawal 1437H bersamaan hari Rabu 06/07/2016. Macammana dan bagaimana boleh terjadi hanyalah mereka berdua sahajalah yang lebih mengetahui. Bukanlah hendak pertikaikan akan hal yang telah berlaku ini tapi sejujurnya aku terpanggil untuk merenungi kesan dan akibat sesuatu larangan agama yang gagal dipatuhi. Adab bertamu serta larangan bukan mahram adakah tidak diketahui langsung. Begitu jugalah norma-norma pergaulan lelaki perempuan takkanlah langsung tidak tahu. Musykil dibenak aku. Tidak pernahkah terbaca atau terdengarkan akan hadis melarang pergaulan lelaki perempuan semasa disekolah dulunya ataupun melalui media massa. Banyak juga post yang diviralkan dimedia sosial ketika sambutan raya dengan niat mengingatkan akan batas pergaulan ketika beraya, boleh tidaknya bersalaman lelaki perempuan yang lebih santai maklumannya. Pun begitu, mustahil rasanya di era maklumat pantas beredar ada juga insan yang jauh tertinggal kebelakang. Tidak ketahuankah pergaulan bebas boleh membawa kesan negatif kepada diri, keluarga dan juga masyarakat keseluruhannya.

Baca artikel, perghh tentera-dipenjara-perkosa-isteri orang untuk menilainya sendiri.

Bila diteliti akan fakta kes, mangsa tidur bersama anak kecilnya dibilik. Tentulah dibilik tidurnya dan takkanlah diruang tamu. Tidak mungkin juga pintu biliknya dibiarkan tidak berkunci bilamana tetamu tidak diundang datang untuk menumpang tidur sepertimana yang dinyatakan. Berani sungguh tetamu menyelinap masuk kebilik tuan rumah. Maklumlah anggota tentera berslogankan, 'berani erti hidup, takut erti mati' tapi diaplikasikan pada situasi yang salah. Penceritaan si mangsa amat dramatik dan agak erotik andai dibayangkan. Tapi pengakhiran cerita macam janggal pula. Boleh pulak menalipon laki memaklumkan setelah 'hal' terjadi. Terdetik pula pertanyaan, kenapa tidak menalipon laki sebelum membenarkan kawan baik lakinya masuk bertamu. Gila ke apa, laki akan memberi keizinan sedangkan isteri yang masih muda dengan anak kecil mereka sahaja berdua dirumah. Apa ke halnya sikawan baik lakinya datang menumpang tidur. Takkanlah sampai tiada berduit untuk menyewa hotel budget kalaulah tidak mampu ke 5 star hotel. Tiada ke rakan lain diKuala Lumpur untuk menumpang bermalam. 'Macam tak logik jer', bak kata Si Shanie sebagai Hamidah(Bambino) dalam cerita 'Cinta Luar Biasa'. Bila membaca yang tersurat dan tersirat, firasat mengatakan macam ada sesuatu yang misteri.

Sekadar hiasan


Tapi yang lebih menjadi pertikaian adalah jatuhnya hukuman 13 tahun penjara serta enam sebatan yang dikenakan. Bicaraan kes pula di Mahkamah Sesyen dan bukannya di Mahkamah Syariah. Apakah hendak bercerai sahaja perlu ke mahkamah syariah. Kalut sungguh. Dikusutkan lagi dengan rayuan minta diringankan hukuman beralasan minta pihak mahkamah kenang budi kerna berjasa selama 18 tahun pada negara dalam pasukan tentera serta juga risaukan stigma masyarakat pada anak kecilnya berusia 8 tahun dengan pemenjaraannya. Masa buat tidak fikir buruk baiknya, bila didakwa pandai pula minta belas orang. Sebenarnya disebabkan nekadnya itu, bukan dia sahaja bermasalah malah banyak pihak turut terkena tempias. Mana simangsa hendak sorokkan muka. Trauma yang terpaksa dihadapinya mungkin seumur hidupnya. Suaminya pasti terkilan menahan emosi. Ibarat pinggan yang jatuh pecah berderai, mungkin boleh dicantumkan semula tapi pastinya tidak serupa lagi malah akan senantiasa dia mengingat-ingatinya tanpa ada kesudahannya. Anak pula yang lambat launnya akan ketahui juga peristiwa hitam sebegini tentu sekali akan menganggu proses pendewasaan dirinya serta ditakuti pula sianak akan membalas dendam adalah sesuatu yang dikuatiri berlaku.

Harap dijauhkan...

Friday, November 10, 2017

Kataba, kitab dan kitabullah

02 NOVEMBER 2017, 15:03

Dalam merenung renung dan memikirkan perbezaan dan persamaan bahasa Arab dengan bahasa Melayu, tergerak pula mencoretkan sesuatu. Hairan sebenarnya bila dirasakan banyak perkataan Arab yang selama ini diandaikan milik bahasa Melayu tapi ternyata bukan. Perkataan yang bila disorot kembali serta mendapat perhatian dari para pakar dan ahli bahasa dan atas initiatif mereka jugalah telah mengklasifikasikan sejumlah besarnya sebagai perkataan pinjaman. Namun banyaknya sebutan yang telah sekian lama membudaya yang asalnya dari bahasa asing dengan orang Melayu telah diterima baik dan menjadi sebahagian dari bahasa Melayu itu sendiri pula. Paling ketara adalah dari bahasa Arab. Hubungkait yang sangat rapat dengan agama Islam menyuburkan lagi pertuturan seharian masyarakat Melayu sejak awal lagi pertembungan budaya dengan mereka yang bertutur didalam bahasa Arab. Mungkin jugalah dan teramat pasti rasanya bilamana ketua kerajaan bersultan memeluk Islam. Kesannya, seluruh rakyat akan menuruti jejak langkah yang dirintis oleh Raja mereka. Berlanjutan dan berterusan dari generasi ke generasi sehinggalah kini. Sehinggakan kita yang hidup dizaman mutakhir ini tidak lagi menganggapkan perkataan yang disebutkan terasa janggal bunyinya kerana telah sebati dituturkan saban waktu.

Walaupun sebegitu banyaknya perkataan Arab telah disebut berulang-ulang kali sejak mula pandai bercakap dan menyebutnya tapi sayang sekali ianya cuma dalam konteks bahasa Melayu yang pastinya kurang membantu dalam pemahaman bahasa Arab dan lebih penting lagi memahamkan isikandungan al-quran.

Bagi yang mempelajari bahasa asing, dan dalam konteks aku ini, bahasa Arab dapat dihidu dan jelas sekali asal datangnya sesuatu perkataan yang kita seharian sebutkan tanpa menyedari yang ianya adalah bahasa asing. Kita kerap meletakkan perkataan yang datangnya dari bahasa Arab dalam satu kumpulan yang berasingan berbaur agama. Pengasingan sedemikian semacam ada sekatan penggunaan istilahnya yang hanya khusus untuk tujuan keagamaan. Berbanding pula dengan perkataan pinjaman dari bahasa asing selain bahasa Arab. Amat ketara sekali serta bebas penggunaannya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, perkataan Arab akan lebih kerap dituturkan bila adanya kelahiran, kematian dan perkahwinan. Masa melahirkan anak, si-ayah akan meng-azan-kan atau meng-iqamah-kan. Seterusnya di-bin-kan atau di-binti-kan. Ketika matinya pula, imam akan solat-kan, talkin-kan serta doa-kan keatas jenazah. Event yang paling menjadi tumpuan adalah di majlis perkahwinan. Meriahnya melibatkan sekampong. Acara utamanya juga melibatkan imam adalah bilamana pasangan pengantin di-ijabkabul-kan. Tapi istilah yang kerap diguna dituturkan adalah perkataan nikah. Majlis pernikahan, akad nikah, dinikahkan, menikahi, dinikahi serta banyak lagi kata terbitan yang boleh dibina dari kata dasar 'nikah' yang dalam konteks bahasa Arab ianya adalah 'masdar' atau verbal-noun atau dalam bahasa Melayunya, 'kata terbitan'.

Bila kita ketengahkan 'nikah' untuk dijadikan contoh, rasanya semua kita yang normal ketahui makna perkataan ini. Begitu jugalah banyak lagi perkataan berbaur Arab yang kita semua tuturkan adalah berbentuk kata terbitan Arab. Soalan, jawaban, misalan, takjub, hukum, hakim, sujud, rukuk, katib, kitab, zuriat, wasiat dan banyak lagilah. Tidaklah diketahui bagaimana mulanya atau atas pengaruh apakah kebanyakan kata terbitan arab digunapakai dan sepakati pula penggunaannya dalam masyarakat. Pasti ada alasan yang sangat kukuh membenarkan kemasukan kata Arab dalam bahasa Melayu. Hal ini biarlah para experts dalam bidang bahasa/etnologi menghuraikan dengan lebih lengkap.

Buat permulaan, marilah kita lihat perkataan tunggal 'nikah', sebelum kita being amused dengan perkataan gabungan, rangkaikata dan juga ayat yang tentunya lancar dibacakan dalam bahasa Arab. Pemikiran kita perlulah selari dalam konteks Arab untuk memahamkan dan jangan pula dilihat dari sudut pemahaman bahasa Melayu. Kalau tidak dapat membuat pengasingan, pastilah banyak kekeliruan dan kecelaruan makna akan ditemui. Contohnya, 'walau', 'kala', 'kuntum', 'kama', 'lahu', 'lahuma', 'alam', 'tara', 'hada', hazama dan berderet lagilah yang bila disebutkan sedikit pantas akan seakan berbunyi 'melayu' tapi bermaksud lain didalam bahasa Arab, dan ini pastinya akan memberi pengertian yang jauh dari yang dimahukan dan dikehendaki olehNya. Bak kata Bro. Asif Meherali, tutor yang mengajari bahasa arab Al-Quran, di Toronto, Canada, sebolehnya kita harus memahamkan sepertimana yang diajarkan kepada Nabi kita dengan perantaraan Jibrail a.s.

Perkataan nikah, mengikut pemahaman adalah dari root verb, ' نَكَحَ '. Transliterasinya ialah 'nakaha'.
Maknanya pula dalam bahasa Arab ialah 'to marry' atau 'kahwin' dalam bahasa Melayu. Bila kata-kerja ini digabungkan dengan kata gantinama sepertimana yang kerap kita akan temui/sebutkan dalam pembacaan al-quran, makna setiap satunya tentulah berbeza. Itu belum lagi bila digabungkan dengan partikel, kata-sendi dan kata-penghubung. Lagi kelautlah maknanya buat mereka yang kurang arif.

'Sifir' yang harus para pelajar bahasa kena hafal yang merupakan fundamental atau asas mengenal bahasa ini adalah dengan membiasakan diri menyebutnya berulang-ulang. Menulisnya secara latih-tubi akan mengukuhkan lagi ingatan bila bentuk perkataan bersamaan muncul dibacakan. Percayalah, aku telah melaluinya dan ternyata ianya in split second sahaja kita dapat mengagakkan siapa pelakunya walaupun tidak fahami makna perkataan yang disebut itu. Seiringan masa dan pro-aktif  pula mencari maknanya akan setiap katakerja yang tidak diketahui pada awalnya akan berakhirlah pencarian bila makna sebenar ditemui. Banyak bantuan pembelajaran mudah didapati dalam internet.


الضمير    الماضي    المضارع       الأَمر       نَهي          اسم الفاعل     اسم الفعول      المصدر

هو            نَكَحَ          يَنْكَحُ                                           نَاكِحٌ            مَنْكوحٌ           نِكَاحٌ

هُمَا           نَكَحَا        يَنْكحانِ

هُمْ            نَكَحواْ        يَنْكحونَ

هِيَ           نَكحَتْ       تَنْكِحُ

هُمَا           نَكحَتَا        تَنْكحانِ

هُتَّ           تَكَحْنََ       يَنْكِحْنَ

أَنْتَ           نَكَحْتَ      تَنْكحُ          اِنْكِحْ     لآ تَنْكِحْ   

أَنْتُما          نَكحْتْما     تَنْكحانِ        اِنْكِحَا     لاَ تَنْكِحَا

أَنْتُمْ           نَكحْتُمْ       تَنْكحونَ      اِنْكِحواْ    لاَ تَنْكِحواْ

أَنْتِ           نَكحْتِ       تَنْكحِينََ      اِنْكِحِي    لاَ تَنْكِحي

أَنْتُمَا           نَكحْتُمَا     تَنْكحانِ       اِنْكِحَا     لاَ تَنْكِحَا

أَنْتُنَّ           نَكحْتُنَّ      تَنْكِحْنْ       اِنْكِحْنَ     لاَ تَنْكِحْنََ

أَنَا             نَكَحْتُ      أَنْكحُ

نَحْنُ           نَكحْنَا       نَنْكحُ

Bila alah bisa berkurangan, tegal yang dirasai akan menjadi biasa sahaja. Begitupun kesungguhan belajar, ketekunan mencari makna setiap perkataan dan juga kecekapan mengenali fungsi dan peranan perkataan didalam konteks ayat yang dibaca serta mengetahui kenapa ada perkataan berubah bentuk serta sebutan setiap satunya dan dengan mengulang-ulang membaca menghafal serta banyak melakukan latih-tubi yang akhirnya akan memudahkan pembacaan dan melancarkan pemahaman. Bukankah telah diperumpamakan oleh orang tua-tua kita bahwa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan boleh didapatkan sagunya.

أِنْ شَاءَاللهُ

Ilmu itu cahaya kehidupan.

Tuesday, November 7, 2017

Pandangan dari dalam kereta

07 NOVEMBER 2017, 14:39
Sering kali catatan santai dan banyak juga yang serius terhasil berdasarkan kejadian spontan yang ditakdirkan terlihat oleh diri ketika dalam pemanduan. Hal hal yang pada pandangan umum mungkin biasa-biasa sahaja tapi menghadirkan pengertian yang bermakna didalam perjalanan hidup aku. Memang sudut pandangan tidak pernah akan bersamaan kepada setiap insan. Semuanya bergantung kepada sejauhmanakah dekatnya kejadian yang sepintas terlihat itu mengamit diri.

Ruangan ini aku ujudkan untuk menghimpun segala catatan terdahulu dan yang akan dilahirkan kemudian bagi memudahkan diri mengimbau kembali suatu hari nanti. Banyak artikel sekitar 90an dan awal milinium yang telah aku catatkan dibuku F5 hardcover lagi serta di personal journal yang pelbagai untuk dilonggokkan disatu ruangan yang mudah diakses. Ketika itu blog belum ada lagi dan kemudian menjadi phenomena diawal 10an. Even sekarangpun medium yang lebih popular dan diminati seperti WhatApps, Twitter, Instagram dan Facebook telah jauh meninggalkan blog kebelakang. Namun keistimewaan blog lebih mendapat tempat pada diri berbanding aplikasi baru yang muncul selepasnya. Luahan rasa, pandangan, pengharapan serta titipan ilmu yang mungkin boleh digunapakai oleh diri dan pembaca dimasa mendatang nanti punyai ruang dan significant.

Sememangnya setiap kita punyai passion dan kecenderungan yang berbeza. Kalau dirinya dibesarkan dalam suasana sebegitu atau sebegini maka penghujungnya dia akan terarah kesitu tanpa adanya paksaan. Pun begitu, tidak semua kita punyai script kehidupan yang sama. Ketentuan, orang putihnya, 'destiny' buat setiap orang adalah olahan kehidupan yang tersurat. Pusing-pusingpun dan cuba bergerak keluar dari putaran akan kembali juga kedalam putaran kehidupan yang telah ditakdirkan untuk diri.

Maka merenung dirilah dan perbaikilah mana yang termampu berdasarkan kekuatan diri yang dihadirkan. Kesempatan masa yang masih tersisa ini haruslah dipergunakan sebaik mungkin. Kalau tidak mampu buat yang hebat-hebat, buatlah apa sahaja yang boleh mendatangkan kebaikan kepada diri dan mungkin juga kepada orang lain sudah dikira bagus.

Tuesday, September 19, 2017

Terlajak cakap yang berpadah

18 SEPTEMBER 2017, 09:45

Dari sehari ke sehari isu kebakaran Pusat Tahfiz yang mengemparkan pada Khamis, 14/09, menjadi semakin menarik untuk diberi perhatian. Bukanlah untuk menambah perisa kepada kemelut yang dihadapi tapi lebih kepada menginsafi diri.

Ramainya pengulas samada yang ditugaskan dan juga yang tidak bergaji termasuklah dengan kerelaan sendiri sejak hari kejadian sehinggalah kini yang mengulasnya dari pelbagai sudut. Terpulanglah kepada pembaca menilainya sendiri akan sejauhmana benar salahnya pandangan yang dihamburkan terutama sekali di media sosial. Media rasmipun kekadang dalam jaga punya jaga, pantau punya pantau masih terlepas juga samada disengajakan mahupun tidak, turut memanipulasi berita dan kejadian yang telah dan sedang berlaku mengikut tafsiran masing-masing. Apapun hakikat sebenar sesuatu kejadian akan kekal benar biar seelok manapun perkara itu dibungkus dihias buat menampak wajah yang seharusnya dipandang.

Akan diingati buat mereka yang perihatin


Berita yang tersiar @ 8:00am, diterima sejam kemudian

Mungkin post ini menguatkan 'Kak Bad' menyampaikan 'live'

Pemandangan selepas padamnya api yang membakar

Aku mulai mengetahui hal ini adalah dipagi Khamis, hampir sekitar jam 9:00am kemudiannya. Kebiasaan sesama rakan grup mengucapkan 'salam' diawal pagi. Membalaslah digrup kembali bila menjenguk pepagi. Namun kecepatan maklumat kejadian yang khabarnya dilaporkan berlaku pada pukul 5:10am telah memasuki lingkungan kehidupan. Pantas sahaja jari ini menekan icon video yang dihantar rakan. Masing-masing punyai pandangan tersendiri mengenai kejadian yang berlaku. Dizaman yang makin canggih kononnya serta kemudahan teknologi yang tersedia-ada telah membolehkan apa yang dulunya dianggap mustahil kini dianggap hal normal sahaja. Tidak terlintas difikirkan satu hal, yang nyata dipandangan amat mengejutkan.

Pada pagi Khamis selepas bersarapan, aku ada urusan di bandar. Tidak mengikuti sangatlah. Tapi laporan selari yang terdengarkan didalam kereta akan penyiar Habsah Omar menerusi stesen Sinar FM dan lebih dikenali sebagai 'Kak Bad' membuatkan aku ingin mengetahuinya lebih lanjut. Junior aku ini masa di ITM, sayu sahaja suaranya memohon pendengar agar tidak menyebarkan gambar arwah mangsa yang kerentongan dari terus di-viral-kan serta mencadangkan agar di-delete-kan sahaja. Merayu sesungguh dia supaya pendengar bertindakbalas sepertimana yang beliau mahukan.

Kita bebas untuk berkata, mengulas, memberi komen, kritik, membuat cadangan dan pertahankan hujah yang semua kita melihat dari sudut pandang masing-masing. Biar betul, biarpun salah apa yang diluahkan akan tetap dilihat 'dunia'. Sebebas manapun kita dan setakat manapun kemampuan melihat kejadian yang telahpun berlaku ini, tetap juga berligar dalam pengetahuan dan pemantauanNya. Siapalah kita hendak menghukum. Siapalah juga kita hendak peduli segala dan sesuatu. Mampukah menghalangi ketentuan serta dapatkah meramalkan akan apa yang patut dan mana pula yang tidak patut berlaku. Betullah kata perpatah orang dulu-dulu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap padahlah jawabnya. Membuat statement tanpa merujuk dan tanpa maklumat yang betul lagi benar hanyalah menyerlahkan sikap sebenar diri sendiri. Refleksi cerminan diri yang tidak terselindungkan bagi mereka yang dapat 'membaca'. Kita dapat mengagakkan adanya elemen tidak puashati dan mudah sangat buat judgement macam bagus sahaja serta melulu mengecam apa sahaja yang tidak selayaknya malah bertentangan dengan hal yang sebenarnya disampaikan terus tanpa adanya rasa kebertanggungjawaban dimedia sosial yang pastinya tidak membawa kita kemana mana. Mengusutkan lagi persoalan adalah. Begitulah jadinya bila semua orang, lebih-lebih lagi yang tidak layak dan tiada authority turut sama sibuk bersuara.

Semua orang prihatin akan kejadian ini. Semua kita turut bersimpati. Memanglah saudara mara dan mereka yang rapat dengan mangsa kebakaran akan lebih lagilah terasa kesedihan berbanding dengan mereka yang diluar kawasan. Namun yang menyedihkan adalah sikap segelintir kita malah mungkin majority kita akan terus sahaja mengutuk tanpa usul periksa akan duduk perkara sebenarnya. Kita malas untuk buat rujukan, gagal juga membuat pertimbangan rasional dan ego sesangat dengan sudut pandang sendiri yang dirasanya terbaik untuk dituruti oleh semua.

Akibat terlajak pantas mengeluarkan pandangan tidak sampaipun sehari, sendirilah yang malu. Mahal harganya jika ingin menebus kekhilafan yang tidak disengajakan sehingga membawa kepada kekeliruan dan kecelaruan kepada orang lain. Reputasi akan terjejas andai tidak diurus dengan sebaiknya. Aku percaya luahan perasaan pengacara JJCM yang viral dan mendapat response dari netizen adalah diluar jangkaan. Dia, Nazrudin Bin Rahman, tentunya tidak menjangkakan yang luahan yang di'tweet'nya itu dipedulikan oleh netizen. Amat tidak tersangkakan yang mana komen seperti menunjukkan kepetahan meluahkan rasa amarahnya 'in english' lagi memakan diri. Mereka yang mengenali selebriti yang pandai memainkan peranannya sepertimana yang dikehendaki oleh pengendali program, berjenaka sambil melaporkan dalam program JJCM mendedahkan diri untuk dikritik balik.

Baca pertikaikan 'mati syahid', punca sebenarnya dan akhirnya mohon maaf

Tak per bro... benda dah berlaku.
Mungkin kecaman spontan bertitik tolak dari statement Pengetua Pusat Tahfiz yang tidak digemarinya dan lari dari isu yang dihadapi iaitu kebakaran Pusat Tahfiz membuatkan hilang pertimbangan, seolah mengajak semua kita senada mengungkapkan, 'enough is enough'. Pada awalnya semua kita menyangkakan punca kebakaran adalah dari silap pengurusan dan cepat benar ianya menjadi polemik. Namun, penemuan 2 tong gas menjadi petunjuk kearah punca kejadian dan akhirnya terbongkarlah yang unsur khianat menjadi penyebab utama kejadian. Rakaman CCTV yang kedapatan dan tidak tersangkakan menjadi bukti akan siapa pelakunya. Nyatalah bahawa perancangan Allah swt mengatasi perancangan manusia.

Kalaulah kita tidak melatah, yang kusut tidaklah makin terbelit. Kita tentulah masih mengingati kisah wanita berketuk ketampi dalam keadaan bertelanjang semasa dalam tahanan yang videonya viral sampaikan terpaksa membuat permohonan maaf segera ke China yang akhirnya memalukan diri kita sendiri.

Hasratnya baik. Mungkin pastinyalah hendak menyedarkan semua kita dan lebih lebih lagi kepada mereka yang terlibat mengelolakan Pusat Tahfiz. Namun caranya mungkin agak kasar dan memeranjatkan mereka yang mengenalinya terutama yang menonton program JJCMnya. Image bersih dan baiknya, berlawak kelakar yang menghiburkan dan segala syornya yang memujuk mengamit penonton untuk turut merasai makanan ditempat yang dipromosikan tetiba sahaja is really at stake. Andailah rating program kendaliannya merudum, petanda akan berlaku pertukaran pengacaralah nampak gayanya. Penerbit rancangan pastilah mahu kekalkannya. Tapi kontroversi yang menyelubungi dirinya dan mungkin mengambil masa untuk kembali normal tidak memungkinkan pihak penerbit ingin mengambil risiko.

Namun begitu, andailah penonton khasnya dan rakyat Malaysia yang umumnya bersikap terbuka dan sememangnya terkenal 'pemaaf' sampaikan Dr. M secara subtlenya berjampi 'Melayu mudah lupa', rezkinya bersama program JJCM akan kekal. Dan manalah tahu akan melonjakkan namanya dengan bertambahlah lagi program yang bakal diacarakannya.

Kejadian yang berlaku ini setidak-tidaknya menjadi pengukuh kebenaran dan menepati maksud kepada perpatah lama, 'Terlajak perahu boleh diundurkan, namun terlajak kata buruk padahnya'. Begitu bermaknanya nenek moyang kita berkias berkata mengajar anak cucunya berhemah dalam berkomunikasi.

Thursday, August 17, 2017

Mendalami

14 AUGUST 2017, 08:01
Semasa Ramadhan dan berterusan sehinggalah kini, usaha memantapkan pemahaman Bahasa Arab aku pertingkatkan. Semacam bersemangat sahaja. Tiap waktu terluang akan senantiasa aku pergunakan kearah ini. Sampaikan tiada entri baru di blog. Dalam smartphone telah aku downloadkan segala bagai nota bertujuan rujukan dan mengingat-ingati serta menyerasikannya pada diri.

Sehingga kini dan jika diperbandingkan dengan mula-mula dahulu semasa di awal milinium amat-amat ketara bezanya. Pembacaan memang selesa. Pemahaman makin jelas. Tapi aplikasi akan segala yang dibaca dan difahamkan serta yang 'tertakdirkan' pada diri benar-benar mencabar tahap kemampuan diri. Berjaya gagal setiap yang dilakukan oleh kita, hanya Dia sahajalah yang lebih mengetahui malah Maha Mengetahui.

Bukankah telah ditegaskan olehNya menerusi ayat 3:6, Surah Al-Imran,


Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(A-li'Imraan 3:6) |  | English Translation | Tambah Nota | Bookmark

Statement ini dan bagi menghadirkan kesan pada diri, mana mungkin dengan sekadar membacanya sekali imbas. Walaupun betul sebutan yang dibaca, masih belum mencukupi mengetahui biji butir yang diperkatakan. Maka gabungan perkataan yang tersusun ini yang membentuk ayat perlulah difahami sepenuhnya. Mula mula sekali kena kenali mana 'subjek'-nya. Katakerja yang mana satu. Biasanya selepas subjek atau dalam keadaan lainnya berjarak pula dari subjek. Jenis katakerja pula mesti tahu in split second. Madi atau mudari. Form 1 ke, form 2 ke atau apa-apa form yang diklasifikasikan untuk memudahkan. Setiap 'form' ini pula ada ciri-ciri yang membezakan, dari segi bentuknya dan maksudnya. Cari juga adakah terdapatnya katasendi. Kalau ada, maka makna keseluruhan akan ada perubahan. Element penegasan pula berpandukan jenis katasendi yang diguna. Masing masing ada tahap degree penegasan. Kena cekap kalau begitu nampak gayanya. Perkataan yang disebut perlulah pula difahami maknanya. Ada perkataan yang sama pemahamannya dalam Bahasa Melayu, pastinya tiada masalah. Namun bagi sebutan Arab yang sukar difahami maksud dan maknanya maka perlulah dirujuki 'dictionary'. Asasnya kena tahu 'grammar' terlebih dahulu. Ulang baca dan ulanginya lagi dan hafali secepat mungkin untuk mudahkan pemahaman maksud setiap kata Arab yang dibaca. Tiada jalan pintas sebenarnya. Haruslah kita gandakan effort demi memantapkan pemahaman. Bila sudah selesa, pembacaan dan pemahaman akan selari. Analoginya, sesiapapun apatah lagi budak yang baru merangkak rangkak belajar membaca. Bila kurangnya motivasi serta galakan keluarga seolah tiada langsung dengan sekadar menyuruh anaknya membaca akan membuatkan diri sianak untuk mengelak dari aktiviti membaca yang dirasa membebankan malah meletihkan disebabkan kesukaran menyebut dan tiada memahami akan apa yang disebutnya. Mudah bosan, mudah mengantuk dan hujung hujungnya akan membuat perkara yang diminati dan bermanfaat buat dirinya sahaja.

Kata ganti diri(3rd-mg)...هُوِ
Kata penghubung  or relative pronoun(mg - sg)...الَّذي
Kata kerja(Mudari F2, 3rd-mg) ... يُصَوِّرُكُمْ
Kata dasar or root verb ... صَوَّرَ
Kata nama or noun ...  ( الأَرْحَامِ ( رَحِمَ 
Kata nama or noun ...  (العَزِيزُ ( عَزَّ  
Kata nama or noun ...  (الحَكِيمُ ( حَكَمَ 

Meneliti dan memikiri akan apa yang terjadi dan yang tertimpakan pada diri dan mereka yang dilingkungan, dapat dirasakan yang kita tidak mampu menepis apatah lagi berbalah dengan perkara yang menjadi realiti dan harus dihadapi. Aku terkenangkan dua keratan berita yang melibatkan ayah dan juga ibu. Ayah mana dan ibu mana yang berhajatkan anak yang lahir dari hubungan 'suci' mereka tidak seperti anak orang lain. Apakah perasaan mereka yang tertakdir menerima kurniaan dariNya. Gembira, kecewa, sedih atau terus menyalahkan takdir yakni ketetapan Illahi. Sukar dimengertikan oleh orang yang sekadar melihat akan nasib mereka yang mengalami hal sedemikian. Kita cuma sekadar bersimpati keatas mereka yang pada pandangan kita yang macam bagus sahaja menyimpulkan yang mereka telah dirundung malang. Sudut pandang antara kita berbeza. Pastinyalah mereka yang diuji olehNya punyai kekuatan tersendiri yang hanya Allah swt sahajalah yang lebih mengetahuinya.

Butakah aku....

Takdir diriku 1...

Takdir diriku 2...

Rujukilah keratan akhbar akan cerita yang melingkari En. Taim Mahidi dari Sarawak yang tersiar pada tahun 1995. Ketika itu umurnya adalah 58 tahun, dan kalau masih mendapat izinanNya, kini usianya sudah menjangkau 80. Apa yang meruntun hati adalah kata-katanya dihujung rencana tentang kisahnya iaitu,

       "Saya senang berbasikal sekalipun terpaksa mengharapkan bantuan mata anak saya sebagai                   jurupandu. Selain menjimatkan wang kerana saya tidak perlu menaiki bas, ia juga satu                         senaman baik bagi saya."

Itu katanya yang dizahirkan dan menjadi bacaan ribuan pembaca ditahun 1995 dikala media sosial masih lagi at initial stage-nya. Kebenaran dan kejujuran keikhlasan mengungkapkan kata-kata dirasakan terlalu sukar untuk dimengertikan oleh diri. Apa pula perasaan Wira Taim yang ketika itu berusia 12 tahun dan kini telahpun berumur 34 tahun. Pastinya ada perspektif yang berbeza. Membantu dan menjaga orang tuanya sejak usia remaja lagi yang merupakan tanggungjawab adalah jejak perjalanan kehidupan yang hanya mampu dimengertikan olehnya sendiri.

Manakala buat Atikah Abdul Rahman yang berusia 47 tahun ketika kisahnya tersiarkan dan kini andai masih diberi kesempatan telahpun berumur 60 tahun. Pada pengamatan kita pula, memiliki anak yang tiada tangan dan kaki serta menyusui membesarkan sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR 2004 adalah satu pengorbanan yang bukan calang-calang orang boleh menyanggupi. Aku membaca yang tersurat dan tersirat. Read between the line, bak kata orang putih. Cabaran kehidupan harus ditempuhi jua walauapapun yang terjadi. Namun tidak tertanggung rasanya bagi kita yang cuba memahami situasi yang dihadapi Puan Atikah di Kelantan sana ketika tahun 2004. Andai Sahazli Mohamad yang dikandung 9 bulan lamanya dengan penuh pengharapan, apakah dewasanya dia kini dalam lingkungan usia 25 tahun sudah mampu berdikari. Terserahlah kepada Allah swt Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Keyakinan terhadap anak kesayangannya yang dizahirkan amat begitu pastinya tanpa sedikitpun rasa kebimbangan sepertimana ungkapannya,

      "Walaupun saya kepenatan namun melihat kepada semangat belajar yang ditunjukkan oleh                            Sahazli, saya melupakn soal penat itu. Saya yakin dia boleh mencapai kejayaan cemerlang                         dalam pelajaran." katanya.

Bagaimana dan macammana pula si Sahazli mampu hendak membalas jasa pengorbanan sang ibu dalam membesar dan mendewasakan dirinya. Sebagai pembaca kisahnya, tidak dapat tidak akan buntu fikiran memikirkan sejauhmanakah dia mampu mengharungi kehidupan tanpa ibu yang semakin meningkat usia dengan khudrat yang semakin lemah. Ketentuan Illahi mana mungkin kita mampu melihatnya dengan mata kasar sahaja. Manusia lemah serba serbinya. Tapi boleh lagi sombong dengan sang Pencipta. Segala tegahan adakah kita patuhi. Segala suruhan mampukah dilaksanakan seikhlas hati dan sehabis baik. Apa yang pasti dan boleh aku nyatakan yang segala sesuatu yang berlaku adalah untuk kita menginsafi diri akan kekuasaan kekuatan Allah swt terhadap ciptaannya.

Even malaikatpun yang rankingnya lebih tinggi dari kita turut ditempelak kerana cepat sangat mempertikaikan kewajaran penciptaan manusia namun cepat pula tersedar dari silap laku sendiri.



Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
(Al-Baqarah 2:32) |  | English Translation | Tambah Nota | Bookmark

Kita tidak terjangkakan akan hal yang mana pasti berlaku dan juga hal yang mana pula tidak mungkin berlaku. Begitu jugalah dengan orang lain disekeliling kita. Terniat bersangka yang tidak baikpun sehingga ke tahap berburuk sangka walau cuma dalam sekelipan mata atau terdetik difikiran bukanlah kita penyebabnya. Melihat seseorang yang selekeh penampilannya, kecenderungan kita yang biasa-biasa ini akan cepat menyimpulkan yang dia mengharungi kehidupan yang amat dhaif. Malah cepat pula 'curse' kepada mereka ini dengan beranggapan tiada masa depan sebab malas berdikarilah, tidak mahu berusahalah dan pelbagai tohmahan yang dilemparkan ikut suka. Seolah-olah memberitahu dalam arus bawah kesedarannya yang pelempar kata-kata yang menghiris perasaan orang lain ini begitu bernasib baik. The game is not over yet. Perlulah kita berhati-hati kerana kita senantiasa diperhatikan sehinggalah kedatangan tanpa diundang, tanpa ditunggui dan tidak diminta tentunya akan malaikatulmaut yang ditugaskan untuk mengambil nyawa kita nanti.

Dari pembacaan 5 ayat terawal surah Al-Baqarah ; 2:1- 5, jelas dimaktubkan dihujung ayat ke-5 akan orang yang berjaya adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan sebagai orang yang bertakwa. Bertanyalah pada diri akan sejauhmanakah kita merapatinya. Patuhkah kita ataupun tidak. Buatlah self-check atau lantiklah pihak ketiga untuk menilai kita kalaulah takut perkiraan kita sendiri 'bias' dan sememangnya cenderung kearah itu. Ketidaktepatan kerana tidak merujuk kepada SOP dan boleh pula buat-buat tidak perasaan tidak memungkinkan kita dikategori sebagai orang yang berjaya dalam ertikata dan perspektif yang sebenarnya. Kita mungkin merasakan yang kita telah berjaya di dunia ini. Semua dan segalanya mengikut kehendak dan kemahuan kita dan diakui pula oleh orang lain. Tapi berjayakah kita di Akhirat nanti. Banyak keraguan dari keyakinan yang jika ada sekelumitpun belum tentu lagi akan menemui kejayaan bila diSana nanti.


Friday, August 4, 2017

Pasal nama... , kecoh satu negara

03 AUGUST 2017, 15:26

Sekarang ini, siapa-siapapun boleh bercakap, boleh mengulas, boleh mengkritik dan pelbagailah mengikut kehendak masing-masing. Yang berkepentingan akan mengikut jalur pemikirannya sendiri sahaja. Yang bersimpati akan cuba mempertahankan apa yang difikirnya betul dan munasabah. Yang tidak tahu menahu akan duduk perkara sebenar turut sama sibuk membincangkan topik yang tengah mengelegak diperkatakan oleh pemastautin tetap dan mengunjurkan cadangan bagi yang prihatin, yang mencucuh api pula akan lebih galak menyebarluaskan dan yang menentangnya pula akan membuat bantahan sehingga ke tahap membuat repot polis.  Bagi yang berprinsip kononnya serta ada juga yang terasa diri macam bagus sangat akan mempertikaikan pula isu asal usul ini yang tidak membawa kita kearah kebaikan bersama.

Namun tetiba sahaja rasa macam meriah suasana. Semua orang yang dapat mengakses maklumat via media sosial seolah teransang untuk turut memperkatakan isu yang tengah hangat kini. Pulang dari kerja, macam macam video yang dipertontonkan via internet tv yang semacam disengajakan oleh orang rumah ketika minum petang. Sambil sambil itu menyebut nakal, mengajukkan cakapan video yang telah dia saksikan, 'Iskandar Kotty.... kotty...' berulang-ulang. Aku pulak buat derrk sahaja. Last-last dihujung ratibnya itu ada pula disebutnya antara dengar dengan tidak... iskandar kotty kotty kotek'. Sambil menegur menjeling akupun spontan komen dan gelak penuh erti, 'oohhh... perli yer'.

                                         Komen yang lebih memburaikan...

Bermula dari isu yang dibawa penuh muslihat oleh Ahmad Zahid Hamid yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan menjadi viral sekelipan mata sahaja, menjadi isu panas untuk diperkatakan dan dipertikaikan oleh semua orang. Counter reaction dari pihak yang mempertahankan dan serangan balas pihak yang berkepentingan memercikkan lagi api kehangatan di alam siber. Entah apalah yang dimahukan bila semua orang membuka kisah lampau yang tidak lebih dari sekadar hendak downgrade-kan orang lain bahkan jauh lagilah hal sebegini untuk mampu mempositifkan penduduk Malaysia yang bakal menyambut kemerdekaan ke 60.

Tema 2017 - Sehati Sejiwa lagilah


Apapun secara tidak langsungnya segala macam maklumat dapat diperolehi dari pelbagai sumber buat pembaca mentafsir dan membuat penakulan. Betul salahnya bergantung kepada sejauhmana seseorang itu dapat menghadamkan segala maklumat yang diterimanya.

Tidak pasal pasal semua kita berinformasi tanpa disedari oleh pihak yang memulakan.

والله اعلم بالصوب