Friday, February 24, 2017

Rapatkan Saf

24 FEBRUARY 2017, 08:06
Pagi Jumaat ini selepas menghantar bebudak kesekolah masing-masing, aku melepak seketika intai tv. Trafik sesak. Hujan gerimis menyebabkan pergerakan kenderaan amat perlahan. Ditambah pula dengan kalangan ibubapa yang degil lagi stubborn menurunkan anak mereka dibahu jalan didepan sekolah. Lenguh kaki mengendalikan kancil membuatkan aku berjulur didepan tv.

Program 'klinik D'Hijrah' dengan taglinenya, biasakan yang betul, betulkan yang biasa, sedang memperkatakan topik pembahagian harta pusaka. Semasa masuk ke rumah dan ucapan salam disambut mesra oleh orang rumah, ustaz pengacara yang tidak pernah tengok baru habis mendengarkan soalan dari penonton. Namanya yang diakhir rancangan barulah diketahui iaitu Ustaz Muhidin, mengulangkan kembali pertanyaan untuk memudahkan pemahaman khalayak penonton dengan katanya, 'Adakah anak tiri layak menerima harta pusaka'.

Ulasannya jelas dan mudah difahami. Sebelum perjelaskan persoalan yang diajukan, dia huraikanlah dahulu 3 sebab yang layak menerima. Pertama adalah adanya hubungan darah. Keduanya, pertalian perkahwinan dan ketiganya tidaklah aku bubuh perut. Sebabnya sebaik dia huraikan kelayakan via hubungan perkahwinan dan fahaminya akupun mula kaitkan dengan situasi semasa dengan orang rumah yang sedang menyiapkan sarapan. Aku dah bantai berborak bercerita pasal anak buah yang akan bertunang esok. Macam manapun majlis tetap berjalan walau pihak lelaki berdepan krisis keluarga yang tetiba meletop sebelum mayat arwah ibunya selamat dikebumikan.

Kemudian keluarlah promo 'Rapatkan Saf' menjelang program seterusnya iaitu program langsung, Assalamualaikum. Dua kali diulang promo ini demi menyampaikan 8:00pagi. Dalam hati aku, 'Ye ke... jangan self-proclaimed'. Bangga sesangat memaklumkan yang mereka akan walk the talk. Samalah macam Astro Awani yang dulunya proud memberitahu yang berita yang disiarkan mereka adalah 'Tepat, Cepat dan Berani' dan selepas menyedari agaknya dan untuk nampak berpenampilan akibat persaingan menjadikan mereka berpuashati dengan tagline terkini mereka 'Tajam, Mendalam, Seimbang'. Nasib baiklah tidak terus tenggelam. Aku bukanlah begitu rigid sekali. Tetapi perkara perkara yang begitu obvious seolah-olah sengaja dilihat dari sudut pandang yang berbeza. Lebih kepada melindungi kekurangan dan kelemahan pihak tertentu. Manakala yang tidak berkenan dan berkenaan dan diberi lampu hijau oleh pihak atasannya, kecenderungan memaklumkan sejelas mungkin tetiba pula semacam satu obligasi kepada penonton.

Dalam sibuk sibuk hendak merapatkan saf, aku hanya senyum sendirian bila mana keudaranya dua pengacara perempuan boleh tersilap letak nama. Yang kembang wajah diletaknya 'Nurfarahanim Razak' manakala yang bujur sireh pula 'Nadhirah Sharingat'. Kita yang jarang menonton sekadar camkan wajah dan nama yang tertera.Kemudian lat berapa saat kemudiannya dialihkan. Text 'Nadhirah Sharingat' kat bawah yang tua sikit tu dan 'Nurfarahanim Razak' kat bawah pemilik nama sebenarnya. Silap memang tersilap sebenarnya. Bukan semua yang perasan tapi bagi aku sendirilah, ini kesilapan yang mungkin tidak disengajakan. Sebab itulah cecepat dinaikkan semula sebelum ditegur penerbit rancangan.






Nadhirah & Nurfarahanim


Kesilapan do happen. Tapi bila sudah selalu silap menyampaikan maklumat dan kekalkannya sampaikan ditegurpun tidak mahu perbetulkan, apalah ertinya kepada diri sendiri dan penonton seluruhnya. Penerbit dan editornya tentulah lebih tahu. Mana perginya etika kewartawanan. Mungkinkah disangkutkan di pintu keluar/masuk ke universiti biar pak guard sambil duduk menjaga memahamkan apakah itu etika kewartawanan.

Bukankah berita yang tidak betul disampaikan pula penuh yakin agar penonton mengiakan adalah pembohongan. Halalkah gaji untuk anak bini makan bila sebarkan berita bohong. Munafikkan maknanya.

Errmm... sekadar renungan.

Thursday, February 16, 2017

Bergeselan membawa padah

Petang tadi aku terpandangkan 2 penunggang motor bergeselan sesama hingga terjatuh. Siapa salah siapa betul hanya mereka sahajalah yang tahu. Yang pastinya tentulah sakit badan bila tetiba tersembam ke jalan.

Budak perempuan beruniform Tanashin disebelah kanan. Manakala sepasang penunggang pembonceng Honda EX-5, mungkin laki bini agaknya, disebelah kiri. Manakala aku baru sampai di laluan masuk ke taman. Nampak seiringan kedua-dua motor bergerak sederhana pantas mendaki menyampaikan simpang pertama Jalan Bayan 8. Budak perempuan Tanashin yang menunggang Yamaha Lagenda kemudian membelok ke kanan. Dan dalam ketika yang sama juga hampir hampir serentak, pasangan awalan 30an ini pun turut membelok ke kanan. Aku nampak pergerakkan mereka dan aku juga nampak budak perempuan dalam pertengahan 20an dihempap motornya sendiri impak dari geselan sebelah kiri. Aku dari dalam kereta cuma spontan terlafazkan 'الله اكبر' . Bila aku lajukan kereta menyampaikan simpang, dia tengah terpisat-pisat bangkit dan segera menaikkan motornya yang rebah dibadan. Pasangan yang memakan laluan budak perempuan yang turut sama rebah juga ke kanan tapi mereka cepat bingkas bangun meninggalkan motornya terbaring dibahu jalan. Mungkin agaknya hendak membantu.

Laluan masuk ke taman...

Jalan Bayan 8, jalan utama

Lokasi tragedy di cross-junction ke Jalan Bayan 1

                                          Pergerakan dalam arah bertentangan... menuruni.

Apapun, siapa betul siapa salah maka tetaplah ketiga-tiga mereka yang terpaksa menahan sengal-sengal badan di petang Jumaat ini. Apa hendak dikatakan lagi. Benda sudah berlaku. Peristiwa ini pastinya akan mereka kenang. Bertengkarpun tidak guna bagi yang bersalah apatah lagi yang merasakan dialah yang betul laluannya. Seeloknya yang sedar berbuat salah dan tersilap harus saling sesama bermaaflah. Malah itulah yang sebaiknya.

Bagi diri ini yang sekadar memerhatikan sahaja kejadian dari dalam kereta yang bergerak dalam beberapa detik seketika itu, menyedarkan diri akan tidak terjangkanya kita akan sesuatu kejadian. Jika ianya ditakdirkan berlaku maka berlakulah seperti terlihatkan. Sekelipan mata sahaja.

Mengikut kebiasaan, siapa didepan perlulah memberi signal ke kanan andailah hendak kekanan.Yang mengikuti dibelakang harus pula membiarkan dia membelok kekanan kemudian barulah kita pula menurutinya dibelakang. Ini yang sepatutnya. Pun begitu, hendak menyalahkan budak perempuan semata-mata pun tidak patut. Dalam situasinya yang bergerak bergandingan dalam kira-kira setengah roda sahaja dibelakang dan berjarak cuma sekaki dua sahaja, nampak gayanya ada bahayanya. Memanglah niat budak perempuan itu hendak membelok kekanan dan tentunya tidak menjangka sama sekali yang pasangan dikirinya juga hendak membelok ke kanan. Bila sudah terlampau rapat dan selekohnya telah di-intercept oleh pasangan atas Honda tu maka barang tentulah terjadinya pertembungan.

Simpulnya, sama sama bersalah. Kejadian ini seolah mengingatkan aku agar lebih berhati-hati diatas jalanraya. Namun bila pusing balik, bila kita sahaja yang alert sedangkan yang lain reckless, akhirnya mungkin seperti yang terlihatkanlah.

Sebagai percambahan minda, eloklah juga kita baca...'Peranan Doa Dalam Kehidupan'

Betullah kata orang dulu dulu, 'Malang tidak berbau'. Sebagai 'pendinding', bagusnya kalau kita lafazkan DOA berpergian berkenderaan.

 بسم اللهِ توكًلتُ على اللهِ لا حوْلَ ولاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ. 

Amalkanlah setiap kali kita berpergian agar kita terhindar dari petaka. Sebenarnya, doa penuhnya boleh tahan panjanglah juga tapi bagi kita yang biasa-biasa ini dan sebagai permulaan maka mungkin memadai.

 والله اعلم بالصواب.
 Via http://my-diary.org/read/app/null

Thursday, February 9, 2017

Setelah 25 tahun

09 JANUARY 2017, 12:22
Selalu sangatlah akan perkara yang dihajati dan ditunggui tidak kesampaian. Apakah ianya suatu kebetulan atau mungkin juga punyai maksud tersirat yang perlu kita selidiki dan fahami sendiri. Menuduh dan menganggap setiap perkara yang tidak berlaku sebagai balasan perbuatan atau ujian kesabaran adalah satu tanggapan peribadi yang mungkin betul dan mungkin juga satu kesilapan agakkan. Apapun segalanya adalah ketentuanNya. Kita, pada hakikatnya, tidak mampu menentukan setiap hal yang berlaku. Sememangnya bukanlah urusan kita yang mahukan ianya berlaku, juga mana pula yang tidak patutnya berlaku. Dalam ertikata lainnya, kita tidak berdaya dan juga tiada kekuasaan untuk segalanya berlaku mengikut kehendak sendiri. Malah kita sebenarnya being governed. Diatur-urus akan kehidupan sejak lahir sehinggalah saat dikembalikan bila tiba waktu dan ketikanya nanti mengikut time-line masing-masing.

Pun begitu, bila menoleh kebelakang, 25 tahun bukanlah satu jarak waktu yang singkat. 25 tahun jugalah setiap ruang dan tempat di premis tempat aku bekerja mencari rezeki ini membangkitkan kenangan yang cuma diri sendiri sahajalah yang lebih maklum dan mengerti. Menjadi kenang-kenangan dan sejarah setelah sekian lamanya bekerja disini. Malahan dengan pelbagai karenah yang dialami dan terkesan dihati pastinya tidak akan dilupakan. Lain orang lain kesahnya. Aku peduli apa. Mungkin kalangan sahabat sekolah dan juga 'pembaca' catatan aku ini, secara perbandingannya, punyai kisah yang lebih menarik, lebih trajis dan lebih segala-galanya namun kisah aku punyai likuan dan lencongan yang cuma aku sendiri sahajalah yang tahu. Namun terdetik juga dihati akan betapa bertuahnya mereka yang senang hidupnya ketika remajanya sehinggalah kesaat ini. Beruntung bernasib baiklah mereka yang terpilih ini. Kita melihat mereka dimasa kini dan tentunya kisah silam mereka tidak terfikirkan oleh kita untuk menanyakan. Hendak bertanyapun risau pula banyak buruk dari baiknya. Biarkanlah ianya berlalu bersama zaman yang ditinggalkan. Ujian yang dihadirkan kepada setiap antara kita tidaklah bersamaan seratus peratus. Jika permulaannya agak-agak sama mungkin endingnya ketara berbeza. Misalnya, menempuh gerbang perkahwinan. Ada rakan yang telah bercerai dan berkahwin baru lepas 10 tahun berkahwin. Ada juga yang perkahwinan pertama berselang tidak sampaipun 5 tahun usia perkahwinan, tup tup telah menambah isteri lagi. Masa dikampus dulu, cikgu sanggup berhenti mengajar dan turut sama sambung belajar dibidang pemasaran. Teringatlah lagi ketika berborak berbual tentang siapa dulu yang akan berkahwin. Rakan sekursus, Zulkefli namanya yang dapat gelaran 'Cikgu T'(tension) yang senior dalam 3 tahun dimana dialah orangnya yang mengajukan pertanyaan ini. Dan hendak jadikan kesah, dia jugalah yang berkahwin dahulu. Apa yang lebih mengejutkan sesama, berselang tidak sampaipun 2 tahun usia perkahwinannya dikhabarkan mereka telah berpisah. Kononnya jodoh tidak panjang. Mereka yang ditakdirkan ini tentulah tidak menjangkakan hal sedemikian berlaku terhadap mereka. Semua, pastinya, inginkan jodoh berpanjangan berkekalan dan tidak sekelumitpun terfikir terjangkakan menimpai diri.

Aneh sebenarnya bila aku fikir dan kenangkan. Betapa bersemangatnya dahulu ketika kita menyambung belajar di ITM, Shah Alam di tahun 1984. Memilih kursus yang pada awalnya mahu mengikis rasa malu dan juga menyahut cabaran dengan mengikuti kursus dibidang pemasaran. Tiada siapapun yang menggalakkan apatah lagi mencadangkan. Hanya diri ini sendirilah yang memilihnya. Asalnya tercabar bila adik aku memasuki ITM setahun lebih awal dari aku dengan result SPMnya yang agak baik. Aku pula bersandarkan 1P dan 2S untuk STPM dengan SPM Second Grade, berjaya juga meloloskan diri berada di 'Menara'. Second chance yang aku perolehi ini membuatkan aku tidak berfikir panjang walaupun aku off-track setahun dan perlu berusaha lebih gigih lagi. Tiada lagi hendak main-main, tiada masa juga hendak sambil lewa dan harus pula bulatkan tekad setelah melihat akan pelbagai sindiran, kata-kata sinis yang diterima impliedly 'makan dalam' menusuk kehati. Begitu jugalah yang lebih daring lagi adalah secara direct. Segalanya aku berjaya absorb dan handlenya dengan baik walau kekadang tersentap juga.

Situasi selepas kejayaan menggapai segulung diploma rupanya lebih banyak lagi cabaran dan lebih hebat lagi rintangannya berbanding ketika menekuni mendalami ilmu pemasaran. Sesuatu yang ideal dan sempurna yang dipelajari ketika itu dan ditunjukajari pula secara formal oleh kalangan pensyarah yang digajikan yang juga tidak benar-benar mengalami sepak terajang dunia perniagaan semasa, membuatkan kita dalam dilemma. Betullah apa yang dikatakan oleh kenalan senior masa di kelas bimbingan GPMS ketika bertegur berselisih di Jalan Hang Tuah menuju Bus Stand Melaka, Jalan Kilang. Menurutnya memaklumkan, ketika  tamat belajar hanya sekadar 20% ke 30% sahaja akan dapat diaplikasikan tentang apa yang dipelajari dan selebihnya bergantung pada apa yang telah diterimapakai oleh semua.

Era selepas tamat belajar bertepatan pula dengan krisis ekonomi dunia. Tahun 1988 menyampaikan ke tahun awal 1990-an merupakan zaman 'gelap' kepada graduan yang tidak berapa hendak cemerlang dan mengikuti pula akan kursus yang tidak glamour. Kerajaan dengan 'brilliant' idea siapa entah telah mengujudkan program 'Skim Graduan Mengganggur' yang lebih cenderung dirasakan sekadar bersimpati akan nasib lulusan dalam negeri kesan langsung kemelesetan ekonomi dunia. Pelbagai kerja dilakukan demi mendapatkan pengalaman kerja dari sekadar duduk mengenang nasib. Tiada tempat lain yang dituju selain dari Kuala Lumpur yang merupakan pusat segala pusat. Asam garam dan cerita-cerita yang yang dialami semasa berkelana di Kay Eel tidak mungkin akan terhapus dari kenangan. Central Market tempat 'meeting point' aku dengan coursemate CIM Batch 84. Abang Long @ Latif adalah yang membantu aku ketika itu bila aku majukan hasrat untuk mendatangi ibu negara. Banyak hal jugalah sebelum hijrah aku itu. Berjaya mengumpul modal dan melengkapi diri dengan lesen memandu B2 & D semasa dikampung sebelum berhijrah bukanlah faktor tambahan untuk mencapai misi. Bak kata orang, 'Malang tidak berbau'. Tetiba aku terlibat pula dalam kemalangan jalanraya, seminggu sebelum rakan sekursus berhasrat datang berziarah ke Melaka. Khabar yang diterima ketika itu, mereka semuanya telah berjawatan dan bergajian agak selesa jugalah sedangkan aku bekerja di MTM untuk menampung keperluan masa diperantauan nanti. Hujung-hujungnya mereka berziarah aku di hospital dengan kaki kanan aku bergantungan dengan pemberat tabung air berkapasiti 10 liter mengimbanginya.

Aku tangguhkan dahulu pemergian sehinggalah aku benar-benar fit. Mereka sebagai sahabat mungkin tidak mahu menghampakan hasrat aku ini telah spontan bersepakat menunggui kedatangan. Kepulangan mereka membuat diri tertanya sendirian. Bolehkah aku. Mampukah aku. Hati pula telah mula berbelah bahagi. Sekejap bersemangat memburu impian ke KL, diwaktu lainnya seperti dirasuk cinta pula. Buah hati yang menepati kriteria pemilihan telah ditemui dan sukar hendak dilepaskan begitu sahaja. Pilihan yang terbaik harus aku buat. Bercinta dalam kilang dan saling mengerti dan serasi membuatkan diri betul-betul dipersimpangan. Kemalangan kepatahan kaki tidak mengugahnya dan mematahkan impian untuk hidup bersama. Dia bersungguh untuk bersetia. 'How sweet' kata bebudak sekarang. Maka jalan keluar perlu aku cari bagi memecah kebuntuan. Kata-kata disusun rapi agar 'rambut' yang ditarik tidaklah putus manakala tepung yang digelumangi tidak pula berselerak. Berhasil meyakinkan, akupun mengorak langkah walaupun berat hati meninggalkannya sementara waktu yang tidak ketahuan. Hampir dua tahun diperantauan. Hidup membujang dengan pelbagai cabaran kehidupan di kotaraya yang menjanjikan seribu harapan diharungi. Mewah makan pakai serta leka dengan neon gemerlapan hampir menenggelamkan niat dan cita-cita. Setiap kali bertanya khabar, ada sahaja rakan sepermainan menjemput hadir ke majlis perkahwinan mereka yang dimaklumkan oleh kakak tunggal aku. Seorang demi seorang mengakhiri zaman bujang masing-masing sedangkan aku masih terumbang-ambing.

Apapun, bualan sesama rakan serumah yang disewa 10 orang di jalan Hamzah, Kampong Baru menyedarkan aku akan realiti kehidupan. Graduan UKM seramai 5 orang yang bekerja sementara sebagai juruwang di Jusco Taman Tun membuka mata aku. Berijazah dalam pelbagai bidang tapi bekerja sebagai pekerja am seolah memberi hint kepada aku untuk merefleksi diri. Tidak malu dan tidak kesal. Sentiasa ceria bergurau berkelakar seperti sedikitpun tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Melalui info yang dibaca dan dibualkan, Jusco akan dibuka di Melaka.  Peluang terbaik untuk aku kembali pulang. Setelah memikiri buruk baiknya, aku membuat keputusan untuk balik kepangkal jalan. Secara sesenyap sahaja aku membawa diri tanpa memaklumkan rakan coursemate, rakan sekerja malah rakan serumah. Sebaik bersarapan digerai yang saban pagi aku kunjungi, akupun memulakan perjalanan pulang aku dengan Rx-Z Fairway Blue kesayangan aku yang penuh kesahnya.

Aku melaporkan diri pada 21/09/1991 dengan tekad dan keazaman yang baru. Aku tinggalkan segala impian dan harapan aku di ibukota. Akan aku pastikan serta jagai dengan gigih akan peluang yang tidak sanggup aku sesiakan lagi dikala usia menginjaki 26 tahun. Bermulalah episod baru di Melaka. Tiada lagi rakan yang mengenali seolah terasing dalam rakan sekerja yang baru dikenali yang belum diketahui hati budi mereka ini. Perasaan pula makin tenteram dek kerana tidak lagi berjauhan dengan buah hati. Bersemangatlah mengumpul belanja untuk berkahwin. Tiada aku hiraukan lagi akan rasa malu dan segan. Sedikitpun tiada rasa kesal dihati memulainya dari bawah. Mungkin inilah destiny aku. Semakin jauh untuk aku cuba mengelakkannya, semakin hampir pula aku dengan bidang yang aku pelajari. Macam ada tangan tangan ghaib yang mengatur. 25 tahun bersamamu Jusco dengan pelbagai peristiwa yang dialami, dilalui, didengari dan diingati sehingga kini adalah 'harta' bernilai yang aku miliki. Segala rencam kehidupan dapat disaksikan. Samada sesama rakan sekerja dan dengan pelanggan yang berkunjungan. Pelbagai karenah kehidupan masyarakat yang diperlihatkan dapat disaksikan oleh aku.

Moment yang selama ini dinanti-nantikan akhirnya tiba jua. Sering aku bermonolog, diberi keizinankah olehNya ataupun tidak. Sebagai kenangan dan recognition, segeralah aku menghadiahkan diri dengan momento yang mungkin mampu mengimbau dimasa mendatang nanti. Penuh bermakna tarikh keramat ini yang pastinya mencorakkan phase seterusnya dalam kehidupan aku. Sanggup tak sanggup, rela tak rela serta suka mahupun tidak maka apa yang mendatangi diri perlu dihadapi walau penuh kepayahan. Perjuangan kehidupan tiada penamatnya kecualilah kematian. Berkat ketabahan dan tanpa mengenal erti menyerah kalah maka dalam sedar tak sedar sudahpun menjangkau lebih 25 tahun keberadaan aku disini.
5 tahun dulu untuk sempena 20 tahun... berkesempatan

Pagi 06/01/2017 for 25 tahun... aku pula berada disini.
Menyerah penuh restu untuk berbakti

Engraving with... '25th Years', seminggu selepas tarikh yang ditunggui.

Kalau hendak dicatatkan satu persatu kisah yang aku alami sejak mula berkhidmat, mungkin tebal 'memoir' aku disini. Memang terniat hendak menukilkan tapi kekangan masa menghadkan. Satu ketika nanti dan ada pula kesempatan ruang pastinyalah akan aku coretkan buat tatapan semua.

Harapan agar terlaksana hendaknya. Insya-Allah.

Saturday, February 4, 2017

Ya wahab... Ya Razaq... dalam konteks

03 FEBRUARY 2017, 20:30
Jumaat, kehadiran berjemaah bersama penduduk se-khariah, disamping bercuti bersempena ulangtahun kelahiran aku semalam dan punyai banyak masa terluang selepas pekena 'ikan parang masak asam', aku mengingat-ingati akan ucapan doa yang dibacakan oleh imam. Imam lantikan dan dalam OJT(on job training) mulai menampakkan keyakinan diri menjadi kerjaya sepenuhmasanya.

Sekali dengar dan dalam konteks dimanapun ianya dituturkan dan oleh sesiapapun samada yang dikenali mahupun yang tidak dikenali, kita pastinya menyangkakan ianya adalah nama panggilan seseorang. Kita tidak dapat lari dari berprasangka sedemikian selagi kita 'melihat dan mentafsirkan' dari dalam lingkungan bahasa yang sedia maklum kita ketahui dan gunakan. Bukanlah hendak memandai-mandai tapi diri ini sekadar merenungi mereka yang masih illiterate akan Bahasa Arab yang merupakan bahasa sejagat atau universal. Penggunaannya bukan sahaja di dunia malah sampai ke akhirat nantinya. Tanpa guidance yang sempurna lagi berkesan dan praktikal, terfikir pula aku akan kemampuan insan insan yang senasib aku ini untuk mengharungi apatah lagi untuk berjaya akan kehidupan yang 'sementara' ini. Belum lagi memperkatakan persediaan dan pengabdian memperlengkapi diri untuk kehidupan yang kekal abadi. Perkara perkara yang asas dan diperlukan akan disaring untuk penentuan ke sana. Namun banyak added factor yang perlu ada untuk layak memasuki Jannatu Allah.

Betul. Memang betul yang amalan solat adalah hal utama sekali ditanyakan. Kalau first hurdle ini berjaya dilepasi maka  amalan lainnya sudah pastilah punyai kualiti dan tinggi pula permarkahannya. Andai bab sembahyang ini dan terpenting dari segala amalan lainnya semacam goyang sahaja, secara logiknya boleh kita jangkakan memang payahlah hendak mencapai matlamat kesana. Namun, keajaiban dari sudut pandang kita, manakala ianya adalah ketentuan dan takdir Illahi keatas kita semua kalaulah kita ada masa merenungi, memerhati serta memahaminya sesuatu dan segalanya maka beruntunglah diri menjadi orang terpilih. Being selected dan mendapat privilege bukan sesaja dipilih tapi mereka yang tertentu ini telah disaring, dikenalpasti telah mencapai standard dan mampu menyerap segala ujian dariNya. Kebiasaannya, orang yang mendapat keistimewaan ini tidak pernah merasakan dirinya dipilih dan mereka ini menjalani kehidupan biasanya yang ketara benar dari rentak kehidupan manusia lainnya. Kealiman atau berilmunya seseorang boleh diperhatikan dari tingkahlakunya, tuturkatanya serta sanjungan yang ikhlas. Golongan ini memang cool dan benar-benar 'walk the talk'. Bukanlah sesetengah kita yang kerap sangat show-off dan self-proclaimed pula yang dirinya beginilah, demikianlah dan perlu malah harus disanjungi.

Pastinya semua kita telah terlebih maklum akan kisah permulaan difardhukan sembahyang. Bagaimana dari 50 sehinggalah tinggal 5 waktu sahaja sehari semalam. Begitu jugalah pengetahuan mengenai kebersihan diri bermula dari mengambil wuduknya sehinggalah sampai saat memberi 'salam' untuk mengakhiri sembahyang kita.

Ketertiban melaksanakan solat 'mengajar' makhluk ciptaanNya melakukan menuruti setiap yang diperintahiNya. Tapi sebelum itu, perkataan makhluk inipun ada yang tidak ketahui asalnya. Kita telah terbiasa menyebutnya mungkin sejak kita mulai pandai menyebut setelah bertatih bercakap. Bila kini ditanya, 'Makhluk itu apa...' . Kita pastinya akan merenung tajam sipenanya sambil dalam hati akan bermonologue, 'Mamat ini hilang akal ke... apa punya soalanlah.' Walhal sebenarnya kita tergamam dengan pertanyaan yang tidak disangka-sangkakan ini. Mengikut pemahaman biasa kita, makhluk adalah living creature yakni segala ciptaan Allah swt. Tapi bila kita membicarakan dari sudut bahasa Arabnya, maka akan lebih jelas lagi hubungkaitnya antara pencipta dengan yang dicipta. Pertalian hanya terserlah dan meresap kedalam sanubari bila kita memahami makna perkataan yang disebutkan. Bila perkataan didalam bahasa Arab benar benar diketahui difahami pastilah mengerti apa yang dibicarakan sepertimana yang dimahukan oleh penuturnya. Hubungkait yang sangat rapat ini akan menimbulkan mendatangkan apa sahaja yang dihasrati diingini.

Jom, kita lihat dan ulas sikit akan perhubungan pertalian ini.

Kata dasar or root verb, adalah..... خَلَكَ

Doer.... خالِقٌ..... خالِقُونَ (The creator... Pencipta)

Affector.... مَخْلُوقٌ..... مَخْلُوقَاتٌ (The creature.... Yang dicipta)

Doer, mufrad... إِمامٌ   jamak... أَئِِمَّةٌ

Affector, مأموم ,

Dapat difahami, pencipta adalah bertaraf lebih tinggi dari yang dicipta. Tidak mungkinlah yang dicipta melebihi mengatasi kemampuan sang penciptanya. Sekiranya kita berfahaman sedemikian dan mengetahui menyedari had dan keterbatasan keupayaan, mana mungkin kita sanggup menyanggah malah terasa hebat pula sehingga ketahap mahu menentang sang penciptanya.

Berbalik kepada persoalan yang menjadi fokus ini, penyerahan diri terserlah bilamana kita menyebutkan diawal permulaan solat kita akan 'doa iftitah'. Apa itu iftitah. Ianya dari root verb,  ( فَتَحَ - fa-ta-ha ), to open. Permulaan pembukaan sembahyang yang diucapkan setiap kali bersembahyang fardhu ini memadai membuktikan status kita. Itupun kalau kita memahami biji butir yang disebutkan. Menghafali pengucapan tidak bersamaan dengan memahami. Hafal setakat berhenti disitu sahaja. Tapi memahaminya akan membuatkan seseorang yang mengungkapkannya sedikit demi sedikit dan lambat launnya akan membudaya kedalam diri. Cepat lambatnya bergantung kepada seaktif mana penyebutnya memanfaatkan kepada dirinya sendiri.

Misalnya, pengakuan bilamana menyebutkan;

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلّذِيْ فَطَرَ السَّمَوَاتِ و الأَرْضِ

حَنِيْفًا مُسْلِمًا و مَا أَنَا مِن المُشْرِكِيْنَ

'Kuhadapkan mukaku kepada yang menjadikan langit dan bumi. Aku berpegang teguh lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku daripada golongan orang-orang yang menyegutukan Allah.'.

Kemudian disambung pula dengan pengucapan penyerahan diri;

إِنَّ صَلاَتِيْ و نُسُكِيْ و مَحْيَايَ و مَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ العَلَمِيْنَ

'Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah, tuhan semesta alam.

Kalau main pakai sebut sahaja, selain menyukarkan pemahaman malah mungkin mengelirukan diri seandainya ada kata-kata yang sengaja atau tidak sengaja digugurkan atau tidak disebutkan yang mana akan membawa pengertian yang lain pula sedangkan yang membaca tidak mengetahuinya. Apatah lagi yang memandangnya akan betapa tertibnya dia melakukan ibadat solatnya itu. Dirasakan sempurna dan pasti lulus mengikut perspektif juri penilai berpandukan syarat rukun, wajib, dan sunat yang dilakukan serta ketahui hal yang membatalkan ketika bersembahyangnya. Namun, kita tahukah apa yang diucapkannya dan yakinkah kita betul  akan apa yang diucapkan. Kalau sempurnalah dan diterima dan kitapun mengharapkan agar ibadah kita yang dilakukan saban hari ini moga-moga diterimaNya, hairan akan tindak tanduk yang bercanggahan diluar sembahyang. Even berada disaf paling depan berjemaah disamping para ulama dan mostly the most respectable person dalam masyarakat terutamanya ketika bersembahyang jumaatpun belum tentu akan lead kehidupan yang diredhaiNya.

Pengucapan sebenarnya doa dan pada pengertian syarak sembahyang itu adalah kata-kata dan gerakgeri yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu. Sebelum memulai solat, banyaklah perkara sunat yang digalakkan dilakukan. Teramat perlu serta harus diketahui pula akan syarat yang mewajibkan kita yakni insan atau makhluk untuk melakukan sembahyang. Bagi memastikan yang sembahyang yang dilakukan mengikut sepatutnya maka syarat sah sembahyang perlu dipatuhi. Seterusnya perlu ketahui rukun sembahyang serta perkara sunat dalam sembahyang. Disamping itu kena juga kita ketahui serta jauhi akan hal atau perkara yang dilarang dilakukan ketika bersembahyang dan perkara yang boleh membatalkan sembahyang seluruhnya.

Sedikit silap sahaja akan bermaksud ke lain pula. Misalnya dalam penyebutan doa iftitah kita,

و مَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

و أَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

Menyebut ' مَا ' diakhir pengucapan ataupun tidak menyebutnya sebelum pernyataan pengakuan 'bukannya dari golongan orang yang menyegutukan Allah' punyai implikasi yang besar. Minta dijauhkan olehNya ( ).

Sekadar hiasan

Sekadar hiasan juga

Sedapat mungkin perlulah kita berusaha memastikan agar sembahyang yang kita lakukan saban hari sempurna segalanya dan moga diterima olehNya. Apapun yang memberi kefahaman adalah Dia... الله عز و جل... walau sedaya upaya kita berusaha memahaminya. Pun begitu, kita tidak seharusnya berputus asa malah harus pula memohon tanpa jemu akan hidayahNya terus terusan agar sembahyang kita benar benar seperti dijanjikan olehNya.


Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-'Ankabuut 29:45) |  | English Translation | Tambah Nota Bookmark




و اللهُ اعلم بالصوان.

Monday, January 30, 2017

Kejutan Keajaiban

02 JANUARY 2017, 07:39
Semalam, hari permulaan tahun 2017 dan sejak Khamis lagi pelbagai hal melingkungi diri. Persoalan dan perlakuan seolah tidak terjawabkan kenapa dan mengapa senantiasa berligar difikiran. Sememangnya kita tidak mampu melihat sedalamnya serta sejauhnya akan setiap perkara yang dihadapi. Secara semulajadinya ianya melorot sahaja diperbuatkan tanpa ragu dan bimbang yang kekadang dirasakan yang kita being remotely controlled. Ini yang dirasakan berdasarkan perspektif diri sendiri yang mengalaminya.

Ketika pulang dari kerja dihari pertama 2017 yang mana kebanyakkan orang ber-holiday sempena permulaan tahun Serani ini, aku bershif petang. Memangpun minggu terakhir 2016, shif kerja aku adalah petang. Terdetik juga dihati akan betapa bertuahnya rakan rakan yang sesama bersekolah dahulu selesa kehidupan mutakhir mereka. Dan dengan berkat kemajuan teknologi mampu pula kita kini mengetahui hal yang melingkungi diri sesama walaupun berjarak berjauhan. Sekelipan mata sahaja, kita boleh mengetahui kisah semasa yang rakan sekolah hadapi, lalui atau alami. WhatApps, Facebook, Tweeter atau lebih awal dari itu adalah SMS(Short Messages Service) yang tidak menyeluruh sifatnya. Teknologi whatapps lebih kedepan, selain pantas dan murah, ianya mampu menyalurkan segala bentuk maklumat - video, suara, gambar dan text - yang mampu membuatkan pihak yang menerima informasi teruja atau setidak-tidaknya bermaklumat. Betul benar mahupun salah silap informasi yang disalurkan, hanya sender sahajalah yang harus maklum dan semestinya bertanggungjawab akan kesan akibat tindakan penyebarannya.

Apapun, receiver atau penerima pula perlu berhati-hati dan cekap menapis. Biar banyak manapun informasi yang diterima andai tidak mampu mengertikan apa yang tersurat dan tersirat maka rugilah diri dan tidak kemana perginya. Bagi diri aku sendirilah, sememangnya media sosial sedikit sebanyak mengesankan hari dan kehidupan yang dilalui. Kena ada keberanian or guts untuk mengharunginya. Kalau sengaja membiarkan diri dibuai perasaan sedih, terharu, kecewa dan perasaan perasaan yang mungkin cenderung kearah yang negatif sifatnya haruslah dibatasi. Andai tidak dikawal hal-hal yang tidak menguntungkan dan membazir masa menjalani kehidupan yang sememangnya berharga dan bernilai buat mereka yang mengetahui. Tapi normallah bagi setiap insan yang waras dan kitapun mana mungkin tidak pernah melakukan kesilapan. Silap yang bukan disengajakan tapi timbul dan datangnya disebabkan kita yang pertama kali menghadapinya serta tidak dipandu mahupun dinasihatkan oleh mereka yang lebih maklum dan pernah merasa dan melaluinya. Kekadang tindakan segera yang perlu diambil sampai ketahap in split-second sifatnya tentulah tidak sempat mendapatkan panduan serta bimbingan. Pun begitu sepertimana entri sebelum ini, katakuncinya 'ketentuan' yang bukan exklusifnya milik kita. Malah diri kitapun menjadi milikNya. Mengikut dan menuruti setiap perlakuan yang seharusnya dan sesempurna mungkin, mungkinlah kita akan beroleh kejayaan dan barokah didunia dan diakhirat nanti.

Balik dari kerja yang membawa aku sampai kerumah kurang lebih ke pukul 1:00 pagi, 02/01/2017, aku telah dimaklumkan oleh orang rumah yang Yusree telah hilangkan matric cardnya. Pengaduan orang rumah membuatkan aku sedikit kecewa dengan perangai bebudak yang masih gagal serta lambat mendewasakan diri sendiri untuk bersikap bertanggungjawab. Bila disoal kembali akan serata tempat telahkah dicari, lalu dengan yakinnya dia menyebut, 'Ia... dah cari. kat bawah tak ada, kat bilik ataspun tak ada...'. Aku pula lagi mengerohkan,'Kalau tak dapat nie... dalam RM50.00 kena bayar untuk buat yang baru. Macammana nie... benda pentingpun boleh hilang. Ayah dulu masa student, kad pelajar senantiasa tergantung dileher. Tak pulak hilang.' Hairan dan tidak mengerti, bagaimana boleh kehilangan. Akupun mintalah my lovely supaya bertenang, sambil menyuruhnya siapkan 'hot' coffee sementara aku tunaikan sembahyang. Sesuatu keajaiban dapat aku rasakan. Selesai berdoa setelah mengambil air sembahyang, aku seperti 'dipandu dan diarahkan' kebilik bebudak. Menonong sahaja aku masuk dengan lampu tidak dipadamkan dan dengan semuanya  tengah tidur terkapar sambil dihati berkata sendirian, 'Cabaran kehidupan sebenar kau orang semua belum bermula dan akan dirasai... moga tabah menghadapi.'
Dalam timbunan baranganlah ianya dijumpai.


Terjumpa berkeadaan begini... tertingkup

Penting dan bernilai


Menonong sahaja macam disuruh suruh selepas melihat mengimbas sekeliling bilik yang tidak berkemas ke hujung katil dimana terletaknya 2 sofa kecil rapat bergandingan. Terus sahaja aki mengalihkan keduanya kedepan. Gelap samar kelihatan. Menunduklah aku untuk melihat.Namun tiada apa yang terlihatkan. Tidak semena-mena aku meraba raba, selepas tidak berpuashati tidak berjumpaan. Terasa tersentuh sesuatu berdekatan kaki katil. Jarakkan kedepan lagi akan sofa kecil yang sarat dengan macam macam barang. Ruang terlindung tadi sudah semakin cerah dipandangan. Apa yang dirasakan tadi sememangnya yang diharapkan untuk dijumpai. Berbelit rapi akan name tag dengan lanyard berwarna birunya.

Terpancar kegembiraan dan kelegaan hati pada ketika menjumpainya. Terlerai permasalahan yang dibangkitkan penuh cemas oleh orang rumah yang menunggu nunggu kepulangan abang handsomenya ini. Kemudiannya aku panjatkan kesyukuran kepadaNya selepas aku tunaikan solatku. Selesai sesudah itu, orang rumah pula memanggil mengajak turun minum. Sampai dimeja makan aku khabarkan berita kejumpaan nametag si yusree. Gembira dia mendengarkan sambil memaklumkan yang dia telah berkali kali mengingatkan yusree untuk lebih kesahkan barangan sekolahnya tapi dia tetap buat tidak kesah. Cuma pesanku, lain kali cubalah ubah teknik menasihat. Cara autokratik kekadang tidak sesuai untuk semua keadaan. Adakalanya perlu sekali sekala gunakan teknik mengingatkan ke, menyedarkan ke atau gunakan approach analogy dalam menyampaikan maksud. Tidak pastilah samada dia boleh laksanakan atau setidak tidaknya faham apa yang aku katakan. Pagi makin ke dini hari dan akupun tidak mahu memanjangkan bualan. Letih bekerja mula mengigit. Rasa hendak masuk tidur perlu dilunaskan. Berwuduklah aku untuk tidur.

Disaat bermenungan menyiapkan coretan ini, terfikir pula aku dalam kehairanan akan bagaimana termulanya mencari sehingga terjumpanya matrik kad si yusree ini. Apapun ketentuanNyalah yang menjadi realiti. Siapa sangka dicelah sofa kecil duduknya. Juga bukanlah dibuat buat pula akan diri ini meraba mencari. Segala perbuatan tindakan adalah telah tersuratkan. Tidak pernah memalam aku mengeledah. Ikut logik kitalah, biar hari siang lagi senang untuk mencari. Tiada pula berbantah atau berbolak balik akan hati ini untuk samaada hendak atau tidak hendak mencarinya memalam begini. Pastinya ada maksud tersirat yang tidak mampu dan berdaya untuk aku tafsirkan sekarang, esok atau masa masa mendatang.

Termanggu tidak berjawablah aku.

Friday, January 27, 2017

Ketentuan

31 DECEMBER 2016, 12:17

Tiada siapapun yang mampu menjangkakan dengan tepat akan apa yang akan berlaku untuk masa kehadapan, selang seminit, sejam, sehari, sebulan dan setahun berikutnya. Keadaan yang berlaku didepan mata sebentar tadi amat menginsafkan. Kita sebenarnya tidak mampu dan tidak berdaya mengubah perjalanan masa kehidupan. Yang kita tahu bangun pagi sahaja, pelbagai peranan yang perlu dimainkan dan ianya tidak akan habis serta senantiasa berkesinambungan. Multi-tasking yang seolah-olah dihadapkan untuk dilaksanakan saban waktu sehinggakan tidak sempat dan kekadang tidak pernah untuk difikirkan sebabnya. Harungi dan lakukan mengikut yang diajari mahupun yang dipersetujui secara senyap bermasyarakat serta ditunjangi oleh agama yang masing-masing anuti.

Sebenarnya kita tidak tahu kemana arah perginya kita dimasa mendatang ini. Tiada seorangpun yang mampu menjangkakan dengan tepat. Apa yang perlu kita lakukan hari ini, esok, lusa dan seterusnya perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Perlulah juga kita pohonkan keredhaanNya agar kita menjalani kehidupan yang mengikut lunas lunas penetapan tanpa mempertikaikan.

Hidup harus dan mesti diteruskan biar apapun yang terjadi. Semoga hari mendatang aku ini terhindar dari perkara yang tidak diingini dan tidak dimahukan. Aku memohon juga agar dikurniakan kebaikan dan keselamatan dunia juga akhiratku mendapat restu dan redha Illahi.

إنْ شَاءَاللهُ.

Sunday, January 15, 2017

Tak Terucapkan

15 JANUARY 2017, 07:50
Kekadang apa yang ingin diluahkan tidak kesampaian. Bukanlah kita tidak berusaha tapi situasi seolah-olah tidak mengizinkan. Pastinya punyai maksud yang tidak ketahuan oleh kita biar betapa banyakpun andaian yang mampu dihadirkan. Segala sesuatu yang berlaku memang tidak terjangkakan. Disaat kita inginkan ianya menuruti kehendak diri tapi dengan tidak semena-mena hal lain pula yang terjadi. Menerusi pembacaan al quran, kita kerap diingatkan akan phrase or frasa atau شِبْهُ الجُمْلةِ yang hadir dipenghujung ayat serta dalam maksudnya. Pertama kalinya kita menemui frasa ini andai memulai membaca surah AlBaqarah adalah dihujung ayat ke 20,

إنَّ اللَّهَ على كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ .

Terjemahannya adalah, 'Certainly, Allah has power over all things'. Kalau melayunya, 'Sesungguhnya hanya Allah jualah yang berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu dan segalanya'.

Terdetiknya hati hendak mencoretkan kisah ini adalah dicetuskan oleh CT Hajar ketika berbual santai menunggui customer datang ke counter redemption. Persoalan yang ditimbulkan untuk dibahas bersama sekadar 'passing time', meluahkan rasa kehairanannya akan staf yang bertugas di Foodline. Dia melihat dari perspektif keseimbangan gender. Katanya penuh kehairanan, 'Pelikkan... kat foodline leader lelaki cuma dua orang sahaja. Selebihnya semua pompuan'. Aku didalam hati berbisik pula, 'La... Hajar ni, perkara ini telah lama aku meyedarinya.' Tak sempat hendak menyatakan bilamana customer datang dari kiri dari kaunter pembayaran di Electrical menyerahkan sales receipt. Tertahan tahan hendak berkata ketika menjumlahkan pembelian customer yang menyerahkan 2 resit pembelian berwarna 'pink'. Selepas ketiadaan customer seketika selepas itu, aku tetiba lupa pula sekadar berdiam menanti customer seterusnya. Lat seketika kemudian dia provoke aku lagi, 'Perasan tak, sebenarnya kita takut bertukar kerja dan kerjaya.'

Aku memandangnya penuh makna dan dia merenung aku kembali mengharapkan jawaban balas. Aku cuma tersenyum sinis sambil cuba menyusun kata-kata agar tiada yang tersinggung dan mungkin tersentap. Ketiadaan pelanggan diketika itu perlu dipergunakan masa terluang berharga itu sebaik mungkin. Lambat aku membalas cakapnya, laju pula dia maklumkan perihal anak Pn. Latifah yang jadi promoter kasut di Ayer keroh ke company/supplier lain di Bandaraya Melaka(BM). Jelasnya lagi, gaji siap dengan komisen yang diperolehi lebih RM3000.00 sebulan. Kerja senang. Tidak perlu buat report, tidak kesahpun tentang hal yang tidak bersangkut-paut dengan pelanggan dan juga pasal karenah staff/promoter jagaan yang semuanya berpotensi memeningkan kepala.

Aku mengiakan segala statement yang diberitahunya. Memang jelas terbukti didepan mata akan hal yang diperkatakannya. Bukanlah isu beralih kerja atau kekal dengan kerja yang sama bertahun-tahun yang dirungsingkan tapi aku melihatnya dari sudut pandang yang lain. Kita sebenarnya tidak berupaya menjangkakan apa yang akan dihadapi. Bersikap optimist adalah satu sikap yang positif dan perlu ada dalam menjalani liku-liku kehidupan.

Pun begitu, setiap yang dihadapi perlu didepani, ditangani dan dilalui dengan berani. Semacam photo yang aku rakamkan ketika menghantar anak aku memasuki MRSM. Ada nilainya membuatkan aku mengambil untuk dikongsikan. Keberanian adalah salah satu faktor yang menyumbangkan kearah tercapainya impian. Namun banyak lagi faktor lain yang sama pentingnya didalam penentuan kejayaan. Kekadang keberanian cuma 10% saja, tapi faktor alam yang sukar dimengertikan menjadi penyumbang terbesar pula. Misalnya, aku teringatkan lagi kesah aku diajakki oleh abang-abang ipar ke sungai menangkap ikan talapia dalam usaha beramah dengan adik ipar mereka yang terkini ketika itu. Mudahnya menangkap. Cuma merentangkan jala diair sungai yang berarus ke muara sudah memadai. Ikan talapia merah ini, bolehlah aku andaikan 'malas' berikhtiar melepasi jaring. Muncungnya yang tersangkut dijaring dan dibantu oleh tolakkan arus yang tidak berapa deraspun akan menyebabkan  ianya terkaku diam. Ikan keli yang lebih lincah akan meronta-ronta walaupun telah didaratkan. Kesungguhan antara talapia dan keli amat ketara berbezanya. Cuma sedikit keberanian perlu ada dengan terjun kedalam sungai merentangkan jaring sahaja yang perlu dilakukan. Hasilnya berpuluh ekor dapat ditangkap dalam setengah jam. Lumayan hasilnya. Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan boleh kita perolehi sagunya. Sebab itulah dirangkumkan oleh pengalaman dan diolah sebaiknya akan kata-kata yang dipujanggakan, 'Usaha tangga kejayaan'. Bila sering melakukan dan tanpa mengenal putus asa dan biarpun berkali-kali gagal dan ada ketikanya beratus kali tapi ilham akan didatangkan untuk perbaiki setiap tindakan sehinggalah menepati dan mencapai kesempurnaan akhirnya.

Sewaktu pulang menyerahkan anak di MRSM, Feb 2016

Merenung masa depan ditengahhari... habis usia mudaku gadaikan entah kemana

Jika aku berkesempatan perjelaskan dan perbentangkan secara panjang lebar kepada CT Hajar ketika masa senggang seketika itu mungkin mampu membuatkannya mengerti. Apapun aku sedikit terkilanlah kerana tidak dapat memuaskan dan mewajarkan her wandering thought yang tetiba terpacul disebutkan. Hakikat yang kita samada menyedarinya ataupun tidak adalah tahap kebolehan masing-masing adalah berbeza. Aku pernah maklumkan walaupun kita sesama semasa memasuki darjah 1 telah diajari oleh guru akan mengenal huruf  'A hingga Z' dan disuruh 'bermain' dengan nombor '1 hingga 10' sehinggalah sampai ke SPM, tapi hasilnya tidak semua yang berjaya menjadi doktor, jurutera atau apa sahaja kerjaya yang diimpikan. Takdirlah yang menentukan. Pernahkah kita mendengar, budak yang tidak diberi harapan untuk berjaya dalam SPMnya oleh guru-gurunya dan memangpun betul telahan mereka tapi akhirnya kini punyai perniagaan sendiri dan selesa hidupnya sampai akhir hayatnya. Banyaklah contoh diperlihatkan disekeliling kita.

Bukanlah kita yang menentukan tapi hanyalah Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

والله اعلم بالصواب