Friday, September 12, 2014

Impian Belum Tercapai

12 SEPTEMBER 2014, 07:45 AM

Pagi ini, selepas sembahyang subuh dan seperti hari-hari sebelumnya, aku membuka nota penulisan bahasa arabku untuk mengingati konsep dan 'grammar'nya. Menjadi routine pula diusia sebegini membaca diawal pagi sehinggalah ke 7:15 pagi sebelum menghantar budak ke sekolah. Selalunya aku akan rotate pembacaan antara 'bahasa arab', kitab 'kuning', terjemahan Al-Quran dan kerap juga buat entri pada digital journal diketika sebegini. Apapun ketikanya sedang shuffle-kan nota-nota ringkas yang diselitkan pada buku catatan maka terselaklah satu 'kad kahwin' yang dicari. Kad kahwin ini perlu ada ditangan sebelum dapat mengingati kembali 'peristiwa' yang berlaku pada hari perkahwinannya itu. Lama sudah mencarinya dan tanpa diduga, menemuinya pagi ini. Keadaan sebegini kerap terjadi, bila mencari tidak terjumpa, tapi bila tidak 'berkehendak', ia memunculkan diri. Ketentuan tiada sesiapapun boleh menjangkakan dengan tepat. Inilah hakikat kehidupan.

Insan yang melintasi ruang perjalanan hidup ini dan mendapat perhatian aku, bilamana berselisih dengannya di pagi sabtu menjelang Raya tempohari. Beliau berjalan berseorangan sedang aku dan orang rumah bersama orang ramai berpusu-pusu bergerak didalam pasar ketika itu. Banyak tahun sudah tidak bertemu dan tentulah banyak perkara yang ingin diketahui. Aku tidak perasan tapi orang rumah yang terlihat kelibatnya betul-betul dihadapannya menegur. Dia terkejut, orang rumahpun terkejut, aku lagilah terkejut. Tidak sangka menemuinya didalam keramaian orang membuat persiapan raya. Orang rumah, cepat-cepatlah bertanyakan orang rumahnya. Menurutnya, isterinya sudah kedepan. Tanyai lagi tentang sudah berapa anak, dia menyeringai memaklumkan belum lagi. Tegas orang rumah lagi, kerja 'kuat' sikit. Balasnya lagi, belum ada rezeki. Kelihatan dia hendak beredar mendapatkan orang rumahnya lalu aku pula menyampuk, kirim 'salam' kat ayah nanti. Selepas bersalaman dia terus hilang dari pandangan dek ramainya umat didalam pasar menjelang hari besar yang bergerak dari pelbagai arah mencari dan mendapatkan sesuatu. Apapun belum rezekinya mendapatkan apa yang sepatutnya dia berhak dapat.Mungkin ada hikmah disebaliknya.
Bersama pengantin selepas menikmati hidangan
Dipagi jumaat yang mulia ini dan ketika sedang duduk bersantai menikmati sarapan pagi dengan menu nasi lemak dengan ayam goreng berempah yang masih 'panas', aku cuba dapatkan info yang diperlukan dari orang rumah yang seingat aku, ada memberikan kata-kata rangsangan sebelum meninggalkan majlis perkahwinannya itu. Masih terbayang lagi ketika gambar yang aku sendiri memotretkannya untuk diabadikan sebagai kenangan tapi tidak teringat pula apa yang diucapkan. Kata orang rumah memaklumkan,'Kahwin dah lambat, kena dapat anak cepat!', Laung si Fitri pula dari pangkal laluan ke tempat majlis, 'Makcik doa-doakanlah saya biar cepat dapat anak...'. Sebaik aku siap menaipkan dialog ini, akupun tanyailah,'Edah ada doakan ataupun tidak.' Pantas jawabnya, 'tidak pulak...' sambil tergelak kecil. Komen aku pula, 'patut le...' Lalu aku berharap yang dia akan menunaikan janjinya dan mengarahkannya agar segera mendoakan buat si Fitri ini demi mendapatkan anak pertamanya.
Anak buah lulusan timur tengah @ Jordan
Sebenarnya banyak perkara yang terjadi dan berlaku disekeliling kita amat sukar dimengertikan. Samada ianya bertujuan mengingatkan, menyedarkan ataupun mensyukuri bergantung pada setiap individu itu sendiri. Tidak mungkin setiap insiden yang terjadi itu sekadar terjadi begitu-begitu sahaja dan bukannya bersebab dan bertujuan. Maksud kata, kita kena memahamkan 'tujuan' yang tersirat dari kejadian yang telahpun tersurat ini. Bila direnungkan jauh-jauh dan difikirkan dalam-dalam, ada 'message' yang hendak disampaikan pada 'current' umat yang ada dimukabumi ini. Hakikatnya, adakah kita prihatin dan sanggup perbetuli mana yang dirasakan tidak menepati 'S.O.P.' yang telah disetkan lebih dari 1400 tahun yang lalu menerusi 'Al-Quran - the glorious book'.

Dalam entri sebelum ini, kisah bapa membunuh anak adalah versi terkini dari zaman jahiliah. Sebenarnya banyak kejadian yang berlaku kini adalah kisah kitar semula(recycled story). Tidak pelik dan tidak mengejutkan bagi mereka yang boleh memahami apa yang dibaca dan bukan sekadar mampu 'tilawa' atau recite dengan berlagu lagi akan 'Al-Quran Al-Karim'. Banyak peringkat lagi yang semua dari kita perlu mencapainya. Setakat berpenampilan 'alim' serta menampakkan 'warak' belum memadai bergelar muslim andai masih gagal memimpin dan memandu orang lain ke jalan yang lurus atau sememangnya tidak pernah langsung berniat kearah itu. Al-Quran ini selain dari tahu membacanya, harus juga memahami maksud akan apa yang dibaca dan seboleh sesempurna mungkin mengaplikasikan segalanya pada diri sendiri. Kemudiannya bila telah benar-benar mantap harus berani juga menyampaikan dan mengajari mereka yang kurang bernasib baik samada ketiadaan peluang atau dirinya punyai kelemahan. Harus diingati, tidak semua orang berpeluang dan kemampuan seseorang sememangnya terbatas. Bila setiap kita menyedarinya maka haruslah yang mengetahui menyampai dan menerangkan. Manakala yang jahil pula harus mencari dan mendapatkan 'ilmu' dari golongan yang mengetahuinya.

Tanyailah diri sendiri, dilevel manakah kita berada. 

Rujukilah pada hadis ini,

"Sebaik-baik kamu ialah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya". (HR. Bukhari)

Friday, September 5, 2014

Setelah berita tersebar ...


05 SEPTEMBER 2014, 03:40 PM


Seperti biasa, setiap hari jumaat bilanya bercuti ataupun bekerja petang, memasuki sahaja 12:00 tengahhari, aku akan membaca teks khutbah jumaat dan cuba memahamkan maksud yang ingin disalurkan kepada seluruh orang melaka. Kali ini dengan tajuk,'Haji mabrur satu matlamat'. Berkisar tentang perihal mengerjakan haji, cara mana terbaik melaksanakannya, ciri-ciri dan adab adab serta tanda-tanda diterima mahupun tidak akan amalan haji yang di buat seseorang. Ramai makmum yang terlihat olehku berkeadaan tersengut-sengut menundukkan kepala seperti hendak tidur. Kalau yang tua-tua mungkinlah, tapi yang muda-muda mengalahkan yang veteran pula. Tidak terkecuali jugalah yang berjanggut penuh kealiman turut sama berkuyu mata. Konsentrasi yang merudum dikala imam yang membaca teks ditengahhari walaupun semua kipas berputar laju dan ditambahi pula dengan imam senior yang bersuara mendatar, menyebabkan fikiran makmum mahu melayang. Lebih lebih lagi dengan tajuk mengenai perkara haji yang kurang hampir dengan situasi semasa kerana semua bakal haji telahpun berada ditanah suci. Sebijik-bijik yang dilafazkan oleh imam sama seperti yang dibaca sebentar tadi.

Apapun bukan hal khutbah yang menganggu ketenangan hari bercuti aku buat hari ini tapi hal yang telah tersebar luas keseluruh Malaysia melalui akhbar tempatan pada isnin, 01/09/2014, sehari lepas sambutan merdeka. Lebih mengharukan hari cuti aku ini adalah pertanyaan saudara seagama masa beriringan melangkah ke masjid. Semasa keluar dari kereta yang sengaja di-park dihujung lorong taman, seorang yang wajahnya begitu familiar, senior beberapa tahun atau mungkin juga sebaya sedang memarahi anaknya yang melaju kedepan. Rungutannya kurang dipendengaran. Aku mempercepatkan langkah dan ketika beriringan, aku melafazkan 'salam' seraya bersalaman. Apa yang dibisingkan tu pada budak-budak, cepat benar aku menanyai. Ada ke seluar yang dah koyak dipakainya, itu yang aku hanginkan, getusnya dengan pantas. Mungkin dia nak cepat agaknya, aku mengandaikan sambil membandingkan dengan si Yusree  yang aku paksanya tukar baju melayunya yang berlubang dilutut sambil jari menuding kearah Yusree yang berjalan disisi.

Sunyi dari bualan seketika sambil melangkah, tapi tiba tiba dia mula memancing. Awak duduk mana? tersembur pertanyaan darinya. XXXXX, jawabku ringkas. Dekat dengan budak kena bunuh itu?cepat sahaja dia bertanya lagi. Aku mengganguk lalu memaklumkan yang rumah yang disewanya diblok berdepan dengan blok rumah yang aku duduki tapi bahagian dapur nampak dari rumah. Diketika yang sama itu juga untuk menunjukkan exact locationnya, aku bengkokkan lengan kanan dan rapatkan lengan kiri seperti membentuk huruf 'L'. Rancak kembali perbualan. Komen dari dia semacam kehairanan, sanggup 'bapa' bunuh anak sendiri, apa punya bapa macam ini. Setakat itu, fikirku, tentunya dia telah membaca 'cerita' ini menerusi akhbar. Awak tahu? dia cuba dapatkan komen aku pula.

Memandangkan orang sudah menjual, hendak tidak hendak terpaksalah membelinya. Tapi hakikatnya, hendak buka aib orang ini adalah sesuatu yang kurang elok. Ku terangkan padanya maklumat yang dimaklumkan oleh orang rumah yang diperolehinya dari jiran sebelah rumah simangsa. Marzinah namanya, Indon yang dah jadi PR(permanent resident), bersuamikan orang tempatan seorang electrician di hotel EQ di Melaka. Kebetulan lagi, indon surirumah sepenuhmasa ini kerap datang kerumah menempah baju. Maklumat darinya kukira mungkin lebih tepat lagi. Anak berusia setahun lebih itu, anak luar nikah. Pasangan belum berkahwin ini, bergaduh besar sebelum puasa lagi pada suatu malam. Keesokkannya 'keluarga' ini tidak lagi mendiaminya. Tup-tup pagi minggu, pagi sambutan kemerdekaan, banyak polis menghurungi belakang rumah sewa tertuduh. Kegemparan terjadi. Hampir semua penduduk taman mengetahuinya. Kata orang, news spread like wildfire. Penambahan cerita pasti terjadi tanpa ada sesiapapun yang mampu menghalanginya.

Tak percaya, boleh rujuk sini  dan juga yang ini.

Berbalik pada pertanyaan brother tadi, seboleh mungkin aku mengambil jalan tengah, 'to play safe'. Aku maklumkan perkara yang berlaku ini disebabkan pengaruh dadah. Budak yang bunuh anaknya sendiri adalah penagih. Tidak mungkin dia saja-saja hendak bunuh. Oh! ye ke? luahnya lemah bila mendapat info terbaru ini. Komen berangkai darinya lagi aku buat buat tidak mendengari ketika menuruni curaman ke compound masjid. Ikut haluan masing-masing sesampainya dibangunan masjid. Dia memasuki pintu sisi ke ruang bawah manakala aku ke depan lagi ke ruang utama di tingkat atas.

Ingatkan dapat menghindari kejadian itu tapi ianya terus mengganggu ketenteraman. Selesai berjumaat, bergegaslah aku ke kereta yang berjarak sekitar 4 minit melangkah. Di dalam kereta, fikiran masih pada isu bunuh anak. Sesampai sahaja dirumah, menonong aje kebelakang rumah sewa tertuduh dengan melelau tab HP slater yang dibeli awal tahun ini. Ambil beberapa keping sebagai bukti. Sampai dirumah, orang rumah bertanya,'abang pergi mana!'. Ku maklumkan pergi tengok 'lubang' sebab malam semalam tak dapat. Berderai ketawanya sambil berkata, kesitu pulak sambil maklumkan pada bebudak yang 'ayah kau dah start menyeh-yeh'. Boleh sahaja 'openly said' as ada term-term yang bebudak tidak mengerti, cuma kami berdua sahaja yang registered dan digunapakaipun oleh kami berdua sahaja. Bebudakpun terpinga-pinga dan tertanya-tanya pada mama mereka pasal apa ayah dan emak mereka ketawa. Hendak jadi reporter pula ayah kau ini, nyatanya sebaik habis ketawanya penuh makna, pada bebudak yang menantikan jawapan. Sebaik memasuki rumah, telah tersedia hidangan tengahari yang menyelerakan, lauk nenas masak lemak ikan sepat, kepala ikan parang masak asam pedas dengan tauhu goreng top-up sos sehingga terlupa sekejap pasal kisah ini.

Apapun perancangan dan kepintaran manusia tentu sekali tidak mampu mengatasi ketentuanNya. Ikut logik, kedalaman sedemikian pastinya mengundang bau hanyir mayat yang mereput.  Malangnya, tiada seorangpun dari jiran berdekatan yang terhidu. Mungkin balutan kain batik yang menyelimuti mayat berjaya menghalang baunya. Namun begitu, kesilapan langkahnya 'mencuri' kereta bapa saudaranya membongkar perbuatan 'luar jangka' yang mungkin berjaya disembunyikan dari pengetahuan umum. Perbuatan dosa yang berganda-ganda ini yang dilakukannya amat menyerabutkan fikiran. Siapakah yang mampu tampil menyelesaikan.

Segala suatu yang terjadi merefleksikan sikap masyarakat. Setiap individu perlu dan seharusnya mengikuti jalur-jalur kehidupan. Masyarakat pula perlu menyulami jalur-jalur ini menjadi simpulan yang saling berhubungan. Tiada ruang yang dibiarkan kosong dan semuanya harus berkait. Semakin rapat hubungan dan kejapnya kaitan maka semakin mantaplah masyarakat. Kesalnya diri kerana masih tidak mampu dan tidak berupaya melaksanakannya. Bersendirian mungkin boleh tapi amat mustahil menghasilkan natijah dalam tempoh terdekat. Usaha bersama, berjamaah lebih dituntut bagi menghasilkan kesan segera. Gelombang 'kesedaran'amat memerlukan jaringan yang sistematik. 

Bersediakah kita?.


tak dalampun ...
closed-up
unit forensik siasat lagi @ 05/09 - 161122

Sunday, August 31, 2014

Hari Merdeka ... merdekakah diri?


Lama menunggu, kebosanan pula menerjah ....


Hari merdeka .... merdekakah diri ?

Hari ini adalah hari kemerdekaan negara. Kemerdekaan yang diulang sambut buat kali ke 57. Bagi yang mungkin tidak mengingati, senang-senang sahaja dichopkan ’tidak patriotik’ oleh mereka yang merasakan dirinya bagus  sangat, tarikhnya adalah pada 31/08/1957. Kemerdekaan yang dipulangkan British setelah bijak pandir di zaman ’merayu’ minta dimerdekakan banyak menimbulkan tanda tanya(?). Siap pula diberikan pilihan untuk memilih tarikh yang sesuai, yang ada ’ong’, yang disepakati bersama. Manakala pihak British dengan rela hati menyetujui tanpa perlu bertanya. Kepelikan, kehairanan dan kesangsian yang amat ketara pada negara yang semakin merojakkan ini adalah cara bagaimana kita dimerdekakan. Tatkala
negara negara serantau berjuang berperang untuk merdeka, kita pula ’dare to be different’. Pukul canang keseluruh pelusuk negara berbangga memberitahu pada umat Melayu yang kita ’merdeka’ secara perundingan sahaja. Lebih dikenali sebagai ’Perjanjian meja bulat’. Dibandingkanlah dengan negara lain yang lebih awal merdeka, seolah-olah mengejek, dengan menggunakan buluh runcing, bermusuh dan berbunuhan dengan penjajah, tidak rela memerhati apa sahaja yang berbaur penjajah demi maruah negara, katanya.

Kejayaan merupakan kemuncak. Namun kesungguhan hasrat, kegigihan usaha, kesepaduan tindakan dan kesepakatan rancangan serta keupayaan mengatasi ancaman, ugutan, hasutan dan segala bagai untuk menggagalkan kebulatan tekad adalah ciri-cirinya buat bangsa merdeka. Sejarah membuktikan. Peristiwa yang berlaku punyai tafsiran berbeza.

Melihatkan ’parade’ atau perbarisan kemerdekaan yang disiar-langsungkan pagi ini punyai perspektif berbeza pada penonton. Mereka yang baru kenali hidup tidak akan merasai apa yang benar benar dirasai oleh insan yang berada di zaman sebelum merdeka. Kegagalan menghayati budak-budak era lepas merdeka mengenai hal ehwal dan perihal kemerdekaan sememangnya bersebab. Manakala maklumat yang disalurkan kepada generasi ini bukanlah menyeluruh. Maklumat yang ditapis dan terpilih sahajalah yang dimaklumkan. Apa sahaja yang mungkin menimbulkan kecurigaan, kepelikan dan keganjilan seboleh mungkin disimpan serapat-rapatnya dari diketahui. Malah mungkin segala bukti mahupun tanda-tanda yang boleh menyuluh atau membongkar rahsia dipadam, dimusnah, dipinda serta ditambah dan diandaikan agar menjadi suatu hal yang pasti benar jadinya. Sejarah tidak pernah membohongi sesiapa. Apa sahaja yang terjadi berpunca dari tangan-tangan yang mengolahnya. Rentetan peristiwa sehinggalah dikatakan sampai ke ’hari kemerdekaan’, kedapatan amat terlalu banyaknya kebetulan. Kebetulan yang dirancangkan atau sememangnya kebetulan yang ditakdirkan perlukan seseorang yang mampu menghidu event-event yang terjadi. Pembongkaran sejarah yang melihatnya dari dimensi yang berlainan mampu memberi kecerahan pandangan pada ’kemerdekaan’ itu sendiri yang punyai banyak sisi gelapnya dari sisi terangnya. Persoalannya, beranikah kita menyingkap sejarah yang selama ini telah didodoikan dan dilagukan serta telah meresap kejap diminda generasi sekarang. Proses kehidupan berjalan terus. Tiada masa buat golongan lepas merdeka memikirinya. Mengenang, apatah lagi merintih akan ketidakupayaan memandang jauh kehadapan oleh mereka yang diwakilkan untuk dikembalikan kemerdekaan yang kononnya diragut oleh penjajah ’terakhir’ secara penuh muslihat, hanyalah menyerlahkan kebodohan yang selama ini diketahui penuh rahsia oleh penjajah. Perwakilan berunding dengan British adalah diterima dari mereka yang ada kecenderungan untuk bersepakat, manakala yang mungkin menimbulkan masalah serta yang mungkin merugikan mereka diketepikan terus tanpa sebarang sebab. Apakah satu kebetulan bilamana anggota penting KMM ditahan sedangkan 3 beradik berlainan ibu dan berlainan bapa pula katanya(Perikatan)dimanjakan dan disuruh berpakat berbaik-baik sebelum meninggalkan ’legasi’ keberadaan mereka dibumi yang banyak dijarahinya.

Menjadi kepelikan bila burung tempua bersarang rendah. Sepanjang usia aku yang pastinya bertambah saban tahun dan ketikanya bebudak lagi jarang benar terlihatkan sarangnya dipohon yang rendang. Kebiasaan yang umum mengetahui akan tabiat burung ini yang sukakan privasi sesama mereka(maklumat ini kena google-lah) dan menyendiri berbangga. Apakala bersarang rendah, tentulah ada muslihat dan bersebab. Maka, tiga beradik ’sepusat sepusing’ ini telah digulakan dan tanpa sedar atau buat-buat tidak perasan, rela pula digulaikan. Apa tidaknya, tatkala India, Indonesia serta negara serantau lainnya menolak ’immigrant’, kita disebabkan telah terikat dek perjanjian, mendepangkan tangan serta berlapang dada menerima golongan ini sebagai saudara pula.

Pelik lagi menghairankan.


Searah pandangan - terpegun atau terkilan?

Mungkinkah '3' menyampaikan hujung tahun nanti
zaini642 - mengadahlah kita ke-langit, bukan setakat berbangga dengan jet pejuang sebagai tontonan, tapi tetaplah berjuang demi maruah bangsa yang selalu sahaja diperlekehkan oleh mereka yang diibaratkan melepaskan 'anjing' yang tersepit angkara penjajah. Kini kita pula hendak 'digigitnya'.

Friday, August 22, 2014

Pandangan dari jauh



Hari ini seluruh warga negara yang agak-agak permai ini dipinta untuk bertafakur seminit lamanya di dalam menghormati ketibaan jenazah mangsa MH17 yang diterbangkan khas dari Amsterdam. Sebelum semua program yang telah dilangsungkan dan kemudiannya dimaklumkan pada umum, info telah diwar-warkan ke seluruh negara mengenai ketibaan dan aturcara yang dirancang. Keterlibatan semua warga ditagih agar terujudnya kesepakatan. Simpati mudah diperolehi dan dihadirkan. Kesedihan juga cepat menyelinap. Namun berat mana semua mata yang memandang, yang memerhati dan lebih lebih lagilah yang sekadar menjeling sahaja pasti tidak sama beratnya kepada mereka yang telah ditakdirkan menanggung bebanan. Hakikatnya, orang luar sekadar cuba merasai serta menginsafinya yang mungkin untuk seketika sahaja. Betapa sayunya hati buat mereka yang punyai kaitan dengan mangsa tragedi, terganggunya perasaan kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi menjelang 10 hari sahaja lagi menjelang lebaran. Trajisnya peristiwa ini sememangnya tiada siapapun yang meminta. Takdir, tiada siapa yang menduga. KetentuanNya mengatasi segala.

Ketika sedang menonton laporan di 'Buletin Utama', aku teringat kembali bagaimana aku mengetahui peristiwa hitam ini. Masa itu selepas balik berterawikh dalam kurang lebih ke pukul 11:00 malam, terus minta orang rumah sediakan 'black coffee' sambil menyandar di sofa mengadap TV. Program TV pula sibuk menyiarkan kisah cinta berepisode yang banyak meminta penonton turut berkongsi masalah cinta yang dilakonkan oleh pembawa watak yang diarahkan sang pengarah. Pertengahan puasa diketika itu seharusnya diperhebatkan amalan tapi pihak-pihak yang berkepentingan lebih kearah hiburan yang melekakan. Bertentangan serta tidak sensitif dengan situasi ber-Ramadhan. Capai sahaja 'tab' dan terus menyusuri laman blog mengintai catatan terbaru para blogger yang disetkan. 'Mas ditembak jatuh', 'MH17 being shot down' serta beberapa lagilah blog yang merujuk kepada peristiwa itu. Akupun tanyailah orang rumah. Tahu tak sebijik lagi kapalterbang Malaysia kena 'kacau'?. Entahlah bang, mana Edah tahu, lemah aje jawapannya. Maklumkan pada dia, itulah asyik tengok dan ikuti masalah cinta orang aje sampai berita terkinipun tidak tahu. Komentar spontannya ketika membacakan laporan dari blog, 'Najib sejak jadi PM..... macam macam hal berlaku.' Aiik !, kesitu pula dia. Jangan cakap tak tentu, nanti kena cili mulut tu....' , aku sekadar mengingatkan. Kemudian bertubi-tubi pula pertanyaan diajukan, bila, kat mana, macammana, siapa tembak, berapa mati. Yang pasti, 'eager' benar hendak tahu sampai terganggu pembacaan aku melayannya.

Aku ada membuat sedikit catatan setelah mengetahui kejadian pada 17 Julai bersamaan 19 Ramadhan 1435H. Ketikanya hendak memasuki 10 malam terakhir kita digemparkan dengan berita yang menyedihkan bagi warga negara dan tentu sekali memilukan waris mangsa. Namun aku tidak berhasrat meng-upload ketika itu namun tersimpan kemas berpassword lagi didalam 'Dairo' journal aku.

Sedutan coretan dibawah tajuk, ' Alangkah .....'

' Didalam setiap kejadian yang telah berlaku, tidak kiralah yang biasa-biasa ataupun yang tidak pernah dialami sebelumnya pasti akan menimbulkan pelbagai kemungkinan. Kurangnya usaha, kurangnya perhatian atau mudah cakapnya tiada ambil kisah mengakibatkan sesuatu hal itu terjadi. Memang sesuatu yang berlaku adalah yang telah ditakdirkan. Sebagai manusia pastinya tiada apa-apa dayapun untuk menahan apatah lagi menolak sesuatu yang tidak diingini atau yang tidak disukai. Malah untuk keesokkan harinyapun, tiada seorang mampu menelah akan apa yang pasti dihadapi serta lalui. Namun kita sering meluahkan kekesalan bila perkara yang telah berlalu dikenang-kenangkan lebih lebih lagilah yang bertahun lamanya berlaku. Kekesalan akan menjadi-jadi serta membarah dalam diri bila mengimbau kembali peristiwa lama yang trajis ke, yang hitam ke dan yang mengubah terus rutin perjalanan hidup seharian. '


za642 - harapan buat semua waris mangsa, bersabarlah didalam menempuh dugaan. 

Wallahualam.

Thursday, August 14, 2014

Memeriksa Kedudukan Kewangan selepas Raya

14 AUGUST 2014, 07:51 AM
Hari ini aku kembali bercuti mingguan dan untuk 'entah' kali yang keberapa tidak penting untuk dikira waktu sebegini. Tapi apa yang lebih utama diketahui dan amat perlu pula ditangani atau atasinya adalah keadaan kewangan yang makin meruncing. Sejak tahun 2013 lagi telah diazamkan pada diri untuk "bebas hutang" menjelang atau sebaik sahaja memasuki tahun 2014. Akan lebih manis lagi untuk tahun ini bila sampainya 02 Februari, aku melepasi usia 50. Wargatua atau usia emas seperti yang diistilahkan. Kehidupan mungkin akan lebih bermakna serta tenang kerana tidak lagi berserabut memikirkan soal hutang dan mungkin bebas memilih corak perjalanan kehidupan. Ketikanya bebas membuat aktiviti yang selama ini dihajati. Masanya keinginan diri dipenuhi. Sampainya diri ke tempat yang sejak kecil lagi ingin dilawati dan pelbagailah lagi aktiviti lain yang mungkin menyinggahi diri untuk turut sama merasai serta mengalaminya. Namun, hasrat dan impian yang tersimpan kemas dihati, jarang benar selari dengan hakikat yang berlaku. Kerap yang tidak diingini pula yang terjadi. Keinginan yang disembunyikan dalam diri terasa makin lama makin pudar dari ingatan apatah lagi diusia yang sebegini dengan daya ingatan yang perlahan lahan mula menurun maka tidak mustahil segala yang diimpikan mungkin akan terus lenyap sama sekali.

Sejak 3 Syawal 1435H lagi, aku telah mulai membaca autobiograpi Abang Jimmy Buffett yang bertajuk, 'A Pirate Looks at Fifty'. Seorang warga amerika yang menceritakan kisah kehidupannya dari usia kecilnya sehingga mencapai usia 50an. Banyak aktivitinya dimuatkan di dalam bukunya ini yang mungkin membangkitkan keinginan yang sama pada pembaca terutama sekalilah diri aku ini. Betul benarnya penulisannya itu atau berapa banyak sekalipun penambahan cerita sekadar hendak 'exaggerated' agar menjadi lebih menarik bukanlah menjadi persoalan. Pandai pandailah pembaca menilainya dari konteks masa dan zaman.

Excerpt dari coretannya  dibawah tajuk, 'Happy Birthday to Me' pada permulaan perenggan itu dia mencoretkan ...


During my forty-ninth year, I spent a lot of time thinking about what to give myself for my fiftieth birthday. Reaching this landmark was a shock to a lot of people, including me. What immediately came to mind was a trip around the world.'

Apapun aku tertarik dengan unjurannya yang boleh disesuaikan pada diri yang telahpun melepasi angka 50. List atau senarai rancangan yang ingin dilakukannya sebaik berusia 50 amat aku cemburui. Banyak masa diperlukan serta banyak wang yang dibelanjakan semata-mata untuk memenuhi apa yang direncanakan. Tentu sekali banyak usaha yang dilakukan, banyak tenaga yang digunakan serta banyak masa diuntukkan di usia mudanya di dalam pengumpulan dana untuknya 'enjoy bergumbira' di usia emasnya kini.

Abang Jimmy ini sekarang sudahpun berusia 66 tahun dan kebetulan seusia dengan abang long aku yang lahir pada 06/09/1946. Data yang diperolehi dengan meng-google menyatakan yang dia lahir pada 25th December, 1946 atau masa sambutan Chirtsmas tu. Tiada penyesalan dirasai bagi dirinya kerana telah menikmati sepenuhnya kehidupan yang beliau paksakan pada diri pada penilaian aku. Manakala aku di usia yang setaranya nun jauh di Bukit Katil ini masih terkial-kial memenuhi keperluan asas kehidupan. Berbeza sekali antara aku dan dia. Nasib orang begitulah. Apapun hidup perlu diteruskan. Segala dugaan dan rintangan perlu dihadapi. Tidak perlu merintih apatah lagi menangisi. Berusaha dan berikhtiarlah agar hidup lebih bermakna sebelum dijemput pulang.

Kedua-dua gambar ini menceritakan...., sebelum dan sesudah keluar 'break' di kantin pada petang Selasa 12/08/2014. Berselera nampak... Biasanya minum petang dikantin pi pekena nasi paprik, tom yam atau kekadang ke Windmills dan menjengah juga ke Old Town atau tidak tidakpun di food court dengan menu chicken chop atau nasi briyani. Nampak gayanya kena adjust sikit, kalau tak .... parah.
Tengah menikmati minum petang, mee mamak dengan kopi 'O'
Tak sampai 10 minit, habis... licin licau.

za642 - kesian pada Robin Williams yang 'membunuh' diri di usia ke 63 akibat syndrome kemurungan yang dihadapinya pada Isnin 11 August 2014. Lebih lanjut kena googlelah. Pelakon komedi yang berjaya menghibur khalayak tapi gagal menghibur dirinya sendiri.

Thursday, June 19, 2014

Bola dan 'permainan'

Ibisevic

Ibisevic's Amazing Goal

16 JUNE 2014, 08:07 AM
Musim bola datang lagi. Pandai sekali permainan para ejen propaganda didalam meniupkan bayu menjadi angin dan kemudiannya diketika menghampiri detiknya dikerahi pula agar menjadi kencang serta bertukar ribut dimusim bola. Kesepakatan dan kesepaduan tindakan telah menghasilkan suatu fenomena yang tiada seorangpun mampu menafikannya. Tanyailah sesiapa juapun semacam ala-ala program realiti yang pernah dikendalikan oleh Uzt. Khayy yang dulunya vokalis the Riyadh. Pastinya dengan mudah dan pantas sekali jawaban akan diberikan. Tidaklah terkial-kial hendak membacakan doa qunut atau menyatakan syarat-syarat sah sembahyang serta teragak-agak hendak memberikan berapa jumlah rukun sembahyang serta menyebutkannya satu persatu mengikut urutan awal akhirnya. Berpeluh dan resah gelisah hendak menjawab. Sebaliknya, bila ditanyakan negara manakah juara edisi 2010 atau berapa jumlah negara yang bertanding atau negara manakah yang menjuarainya paling banyak, nescaya ramai yang mampu menyatakan dengan penuh yakin. Bayangkanlah snowball effectnya. Tidak terjangkau serta tidak terduga kerana dinamik sekali tindakbalas yang mungkin ujud.
Memandangkan kekerapannya pihak media cetak serta elektronik melaksanakan kerja-kerja 'gila' mereka seperti yang diarahkan, tidak dapat tidak akupun turut menerima informasi mengenainya. Bila kegilaan ini berjaya dihasilkan maka mudahlah pihak-pihak seterusnya menambahkan lagi keinginan serta memenuhi kepuasan kumpulan sasaran ini. Terpulanglah pada individu itu sendiri samada termakan umpan yang ditaburkan merata-rata sekarang ini atau tidak menghiraukannya samada sekali.

Bagi diri aku, memaksa diri menonton siaran langsung bukanlah sesuatu yang perlu aku ikutkan sangat. Memadailah menjenguknya bila ada kelapangan dan bertepatan pula ketikanya aku belum hendak masuk beradu. Info mengenai bola yang terlalu kerap disalurkan kekadang tu mengganggu tontonan rancangan yang sedang diikuti amat menyesakkan. Even tengah mengikuti program bercorak keagamaanpun turut diselangi dengan slot promo Piala Dunia 2014. Bukan setakat Astro sahaja malah TV3 @ Media Prima dan RTM jugapun turut tidak ketinggalan mewar-warkannya demi menjaga rating tontonan untuk siaran TV masing-masing. Memang benarlah customers always at the losing end. Mahu tidak mahu, suka tidak suka ataupun hendak atau tidak hendak para penonton dipaksa juga menonton promo yang dihadapkan saban hari serta kekerapan penyiarannya menjadi semakin galak bila tiba masa dan ketikanya. Kesannya dari tidak tahu menjadi semakin tahu dan teruja pula hendak mengikuti perkembangan seterusnya mengenai bola. Bila mula dan berakhirnya telah diregisterkan didalam 'hard drive'. Malah semua pemain bertaraf bintang untuk negara yang terlibat turut diketengahkan bagi memastikan kumpulan sasaran senantiasa mendapatkan input-input terkini untuk dibualkan sebagai perisa yang ampuh ketika menonton siaran langsung terutamanya. 

Medium yang amat berkesan didalam menyalurkan info kepada seluruh warga Malaysia tapi sayang sekali tidak dimanfaatkan sebaiknya. Alangkah elok andai maklumat mengenai Islam diperbanyakkan yang bukan sekadar tentang fardhu ain sahaja malah mencakupi dalam segala hal kehidupan didunia apatah lagi tentang hal kehidupan dialam akhirat nantinya. Bilanya pihak yang dipertanggungjawab masih gagal dan leka dengan hal-hal yang remeh temeh, misalnya pihak berkuasa agama di Penang telah mengenal pasti 42 hotspot diseluruh negeri Pulau Pinang sepertimana yang dilaporkan semalam akan dipantau bagi menahan orang islam yang mengelak untuk berpuasa atau makan disiang hari. Usaha pencegahan amat dialu-alukan tapi dalam hal inipun banyak aspeks seolah-olah terbuka luas untuk dipertikaikan. Apakah jaminan yang ianya bakal berjaya dikekang. Atau mungkinkah akan ada lebih banyak lagi hotspots bagi golongan tertentu untuk menjamu selera mereka di siang hari pada bulan Ramadhan 1435H ini. Sejauhmanakah pemahaman tentang puasa golongan yang cuba dipantau ini telah mereka ketahui. Kenapakah tiada usaha untuk mentarbiah golongan yang kurang peka terhadap keperluan agama yang sememangnya diwarisi turun temurun. Apakah pihak yang menjaga hal ehwal agama boleh terlepas pandang tentang perlunya diperkukuhkan ilmu keagamaan sejak sebelum baligh lagi. Mengharapkan orang perseorangan untuk memantau serta mengawal selia keadaan umat islam seluruhnya amat tidak praktikal. Kesatuan tindakan yang pelbagai tapi menjurus ke satu matlamat oleh mereka yang bertanggungjawab amat dituntut. Waima orang jabatan agama yang telah diberi mandat, orang perseorangan yang prihatin akan keperluan membantu serta membimbing sesama Islam mahupun juga pihak NGO yang lorat penuh makna dan misteri serta senantiasa cepat mendepani masalah yang kerajaan yang memerintah yang kononnya cuba untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi tapi sunyi sepi bilamana yang bersangkutan dengan hal-hal keagamaan.

Berbalik semula kepada bola ini, banyak kenangan yang terimbau untuk direnungi. Masih terbayang lagi bilamana selepas selesai menduduki Penilaian Darjah 5 pada tahun 1975 yang setara dengan UPSR untuk darjah 6 kininya dan bakal dihapuskan dalam 2 tahun lagi, pelajar dibenarkan membuat aktiviti bebas sekadar menghabiskan masa menunggu cuti akhir tahun. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan diantara banyak program yang dirangkakan adalah pertandingan bolasepak 'inter-class'. Kelas 5B yang menjadi juara dalam pertandingan 'round robin' dikenali setelah dipersetujui bersama sebagai pasukan Bulgaria. Menjadi juara merupakan suatu kepuasan yang hanya mereka yang bergelar juara sahaja yang  mampu mengukirkan manisnya atau peritnya kejayaan yang dirangkul. Mengambil semangat kejohanan bolasepak piala dunia 1974 membuatkan kami murid darjah 5 ketika itu didalam status yang terbaik untuk enjoy selepas menduduki peperiksaan tersebut dan tahun berikutnya menjadi senior pula. 9 pasukan dari 9 kelas yang ada untuk Darjah 6(3), Darjah 5(3) dan Darjah 4(3) menyertai tournament. Pasukan Bulgaria mendapat markah tertinggi dan bergelar juara. Terbayang lagi semasa mendapat tepukan gemuruh didalam dewan perhimpunan untuk bersalaman dengan guru dipentas bagi menerima hadiah. Dari hujung dewan lagi budak budak junior yang berpeluang dan proud dengan rumah seladang khasnya bersalaman dengan team kita ketika melintasi tengah dewan menyampaikan ke pentas dewan. Menjadi tumpuan sememangnya banyak mencuri masa kita. Selepas peristiharan itu, bila kekantin diwaktu rehat, ramailah bebudak junior yang menegur dan ucapkan syabas lebih lebih lagilah yang sama rumah iaitu  Rumah Seladang. Masa nak masuk tandaspun ada yang mengenali dan berteguran. Inilah bahana menjadi juara. Kebanyakan team 5B alias Bulgaria dibarisi oleh budak Rumah Seladang. Baiknya ketua pasukan, Zainal Abidin Abdullah(budak Ujung Pasir) yang main diposisi attaking midfielder, aku sendiri diposisi left winger, beberapa pemain back serta keeper yang lupa pula nama mereka menjadi tonggak kekuatan Bulgaria. Persefahaman yang lama terjalin dalam team rumah seladang ini sejak awal tahun lagi menjadi pemerhatian guru PJ atau PE, Mr. Gan yang merangkap coach team sekolah untuk kejohanan inter-school pula untuk tahun 1976. Kerap juga semasa sessi PE(physical education), coach suruh ambil sepakan korner disebelah kanan tiang gol kerana aku boleh melambungkan bola 'inswinger' kearah depan pintu gol lawan. Pernah menjadi buah mulut bila tendangan melengkung aku tu terus masuk kehujung sebelah atas kanan goal post. Bila lambungan bola rendah atau tidak digemarinya, coach akan arahkan aku ambil korner sekali lagi. Dan setiap kali team aku dapat corner kick disebelah kiri gol lawan ni, maka akulah yang terpaksa berlari dari posisi untuk menyempurnakan sepakan korner. Malangnya semasa sesi pemilihan pemain mewakili sekolah pada suatu hari di bulan Disember 1975, aku tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa bertarung hebat untuk menjadi dewasa dengan mengagahi diri dikhatankan secara kampung. Duduk diatas batang pisang dengan tok mudimnya bermisai tebal yang tipikal gambarannya dengan dipegang sampai tidak mampu bergerak sedikitpun oleh Abang Tambi dan dua lagi abang saudara. Lupa sudah dengan tarikh selection dan ditambah pula dengan menahan ngilu selepas kena penangan pisau tok mudim. Diawal tahun 1976, semasa memulakan sesi persekolahan darjah 6, ramai member bertanyakan kenapa tidak hadir masa pemilihan team bola sekolah pada bulan Disember lalu. Coach tanya pasal apa aku tidak hadir masa pemilihan pada rakan-rakan yang hadir. Seorangpun tidak tahu sebabnya. Maka terlepaslah peluang untuk mewakili sekolah disebabkan khatan yang perlu dihadapi. 

Apapun pandai benar pihak Astro untuk permainkan golongan sasar mereka. Ada ke disuruhnya kita untuk melanggan lagi dengan Astro Sport pula andaikata ingin mengikuti kesemua 64 perlawanan. Sudahlah fee langganan dengan Astro telah dinaikkan yang kononnya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka walaupun menjadi polemik sekejap akan perlu tidaknya dinaikkan. Namun kita ada pilihan. Kalau mahu tengok semuanya kenalah bayar lagi untuk saluran Astro sports tapi andaikata tidak mahu biarkan sahaja. Jangan termakan umpan yang dihamburkan. Apapun sebagai memancing pelanggan sedia ada Astro, kita berpeluanglah mengikuti perlawanan pembukaan Piala Dunia edisi 2014 ini. Game pertama antara Brazil dengan Croatia. Semua orang sedia maklum akan kemenangan pada pasukan tuan rumah. Tapi bagi diri aku pula bukan kemenangan yang menjadi keutamaan didalam mengukur kejayaan tapi adalah usaha bijak mengatasi pihak lawan. Jahatnya permainan ini adalah tidak membenarkan pihak lawan menjaringkan gol dan sedaya upayanya menghalangi usaha pihak lawan membolosi pintu gol mereka pula. Didalam dua pasukan yang bertanding dimana aku tidak menyokong mana mana team, aku lebih cenderung menyebelahi pasukan yang 'down'. Perancangan serta usaha gigih mereka serta dengan keberanian dan kepintaran menyerang mungkin akan menghasilkan gol. Perancangan jahat pasukan yang leading dengan sekadar bertahan mengagalkan segala cubaan pihak lawan amat tidak menarik perhatian aku kerana takut mengalami kekalahan. Ini membosankan. Sebenarnya, permainan bola, perlukan kerja keras untuk senantiasa cemerlang dalam semua bahagian, barulah kemenangan itu penuh erti. Permainan yang melibatkan pasukan yang gah menentang pasukan yang kerdil, aku lebih senang menyebelahi pasukan yang berkemungkinan untuk kalah. Kekentalan serta semangat juang mereka membuatkan game lebih bervariasi. Tidak mustahil juga keputusan upset boleh tercipta. 

Sebenarnya banyak hal yang boleh diaplikasikan didalam kehidupan seharian bagi mereka yang mahu mengunapakainya. Antara kenyataan yang utama adalah kerja berpasukan yang mantap boleh mencapai kejayaan. Begitu juga semangat gigih serta fokus kepada arahan dan misi pasukan jarang sekali mengecewakan. Banyak lagilah iktibar yang boleh digarapkan dari permainan ini. Umpamanya pemain yang diangkat sebagai pemain terbaik Fifa belum tentu lagi boleh menyerlah. Messi pada game menentang Bosnia pagi ini nyaris dimalukan bila gagal menyerlah serta terkial-kial pula mencari gol sulung buat pasukannya. Malah gol pertama Argentina dihadiahkan pula oleh Kolasinac pada minit ke-3 permainan. Nampak macam Bosnia boleh makan. Dalam pada itu komen komen selari yang sama sibuk ketika game tengah rancak sedikit menganggu tumpuan. Kekadang tu ulasan yang dibuat tu memakan diri. Sebelum Messi membuat larian ke pintu gol lawan adalah dalam 3 ke 4 minit ketika mencipta gol sulung peribadinya untuk Piala Dunia ini pada minit ke 65, pengulas seakan mengutuk kebolehan Messi bilamana mempertikaikan kemampuannya di piala dunia. Edisi 2010, Messi gagal menjaringkan sebarang gol dan sampai ke minit semasa membuat ulasan masih belum berjaya menjaringkan gol. Begitu jugalah ketika melaporkan yang pihak Bosnia telah mula hilang semangat. Habis sahaja menyebutnya, tiba-tiba Ibisevic melorongkan bola betul-betul dicelah kelengkang keeper Argentina diminit ke-84 permainan. Meleleh sahaja bola bergolek kepintu gol. Aku gelakkan pengulas tersebut yang tidak menyangka perkara sebaliknya pula yang berlaku. Maknanya setiap detik sehingga saat terakhir  permainan, maka segalanya berkemungkinan. Begitu jugalah didalam kehidupan ini, yang kaya tidak semestinya akan kekal kaya dipenghujung hayatnya dan golongan marhaein boleh sahaja dihormati juga dengan keizinanNya. Yang pasti banyak masa akan terbuang dan menjadi tidak produktif buat golongan sasar ini disepanjang musim bola yang akan berakhir pada 13 Julai nanti bersamaan 15 Ramadhan 1435H. Pilihan ditangan sendiri. Hendak yang mana. Masa tidak akan menunggu kita. Buat perkara yang betul ke atau buat yang salah juga, dunia ini tidak akan berhenti berputar disebabkan tindakan kita. Ianya akan terus berputar dan berputar sehinggalah sampai kedetik akhirnya.

والله اعلم !          

Saturday, June 14, 2014

Kejadian pertama kalinya menimpa diri...

 14 JUNE 2014, 07:23


Kejadian pertama kalinya menimpa diri


Semalam kurang lebih pukul 5:30pm aku menyinggahi Stesen Caltex di Bukit Duyung semasa didalam perjalanan ke Pekan Kandang untuk perguntingan rambut Yusree dan Yaseer. Pada awalnya mendatangi stesen minyak tentulah untuk top-up tangki minyak yang sentiasa meminta ditambah tanpa disuruh. Tugasan routine yang semakin cekap dilakukan sejak dikuatkuasakan konsep layandiri beberapa tahun dahulu. Bantahan diperingkat awal oleh para pengguna seakan tidak dihiraukan oleh pihak pengusaha stesen minyak lebih lebih lagi pihak kerajaan termakan dengan alasan yang dikemukan dan seolah-olah menyebelahi mereka pula. Kementerian kepenggunaan pula makin  galak menyampaikan maklumat yang menjurus kepada pihak pengusaha stesen minyak khasnya dan langsung tidak memihak kepada para pengguna umumnya.


Apapun, seketika menggangkat nozzle dari Pam no.6, tetiba sahaja minyak menyembur keluar dan tidak sempat sampai ke mulut tangki minyak kereta Porsche aku itu. Minyak habis meleleh didinding sebelah bawah tangki sampailah penutup roda serta rodanya sekali turut terkena lelehan minyak. Masih tidak merasakan apa-apa lagi serta bersangka baik, mungkin aku tertekan picu nozzle minyak sehinggakan menyebabkan minyak terpancut awal. Namun selepas anggaran seminit berlaku secara tiba-tiba pula hose yang bersambung ke pam tertanggal dan hampir mengenai kepala. Kalau tidak mungkin boleh jadi biol pula. Paparan di skrin menunjukkan RM16.79 ketika ianya terhenti.


Tidak kalut dengan kejadian ini, terus sahajalah aku berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Maklumkan yang aku sekadar sempat menuang sebanyak RM16.79 sambil penugas dikaunter melihat diskrin desktopnya. Tanpa disuruh, dia menyerahkan lebihan baki yang sepatutnya aku mengisi RM20.00. Ingatkan agar kejadian ini tidak akan berlaku lagi. Memang tidak aku sangkakan yang aku akan menghadapi kesulitan sebegini. Terperanjat, tentu sahajalah aku terperanjat. Tidak semena mena dan entah macammana hose-nya boleh terpisah. Pelik andai difikirkan. Adalah besar kemungkinannya yang 'technician' yang mengendalikan kerja kerja maintenance tidak memastikan yang sambungan itu benar benar ketat bersambung.


Inilah akibatnya jika kerja dibuat tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Asal siap sahaja. Mana boleh sebegitu. Sudahlah dan tentunyalah dibayar setimpal dengan kerja yang dibuat tapi malangnya mutu kerja pula tidak mencapai standard piawaian yang ditetapkan. Hendak dikatakan tidak berpengalaman pastinya tidak patut kerana mereka yang terbabit dengan kerja kerja 'oil and gas' ini adalah mereka yang berkelayakan dan telah mencapai tauliah lantikan. Bahaya meletup terbakar selalunya dikaitkan dengan 'industri' ini. Tapi macammana hal sedemikian boleh terlepas terjadi.


Apapun yang kita lalukan, seeloknya jangan gopoh hendak cepat siap. Lakukan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin agar 'rezeki' yang dikurniakan itu barakah.