Sunday, August 31, 2014

Hari Merdeka ... merdekakah diri?


Lama menunggu, kebosanan pula menerjah ....


Hari merdeka .... merdekakah diri ?

Hari ini adalah hari kemerdekaan negara. Kemerdekaan yang diulang sambut buat kali ke 57. Bagi yang mungkin tidak mengingati, senang-senang sahaja dichopkan ’tidak patriotik’ oleh mereka yang merasakan dirinya bagus  sangat, tarikhnya adalah pada 31/08/1957. Kemerdekaan yang dipulangkan British setelah bijak pandir di zaman ’merayu’ minta dimerdekakan banyak menimbulkan tanda tanya(?). Siap pula diberikan pilihan untuk memilih tarikh yang sesuai, yang ada ’ong’, yang disepakati bersama. Manakala pihak British dengan rela hati menyetujui tanpa perlu bertanya. Kepelikan, kehairanan dan kesangsian yang amat ketara pada negara yang semakin merojakkan ini adalah cara bagaimana kita dimerdekakan. Tatkala
negara negara serantau berjuang berperang untuk merdeka, kita pula ’dare to be different’. Pukul canang keseluruh pelusuk negara berbangga memberitahu pada umat Melayu yang kita ’merdeka’ secara perundingan sahaja. Lebih dikenali sebagai ’Perjanjian meja bulat’. Dibandingkanlah dengan negara lain yang lebih awal merdeka, seolah-olah mengejek, dengan menggunakan buluh runcing, bermusuh dan berbunuhan dengan penjajah, tidak rela memerhati apa sahaja yang berbaur penjajah demi maruah negara, katanya.

Kejayaan merupakan kemuncak. Namun kesungguhan hasrat, kegigihan usaha, kesepaduan tindakan dan kesepakatan rancangan serta keupayaan mengatasi ancaman, ugutan, hasutan dan segala bagai untuk menggagalkan kebulatan tekad adalah ciri-cirinya buat bangsa merdeka. Sejarah membuktikan. Peristiwa yang berlaku punyai tafsiran berbeza.

Melihatkan ’parade’ atau perbarisan kemerdekaan yang disiar-langsungkan pagi ini punyai perspektif berbeza pada penonton. Mereka yang baru kenali hidup tidak akan merasai apa yang benar benar dirasai oleh insan yang berada di zaman sebelum merdeka. Kegagalan menghayati budak-budak era lepas merdeka mengenai hal ehwal dan perihal kemerdekaan sememangnya bersebab. Manakala maklumat yang disalurkan kepada generasi ini bukanlah menyeluruh. Maklumat yang ditapis dan terpilih sahajalah yang dimaklumkan. Apa sahaja yang mungkin menimbulkan kecurigaan, kepelikan dan keganjilan seboleh mungkin disimpan serapat-rapatnya dari diketahui. Malah mungkin segala bukti mahupun tanda-tanda yang boleh menyuluh atau membongkar rahsia dipadam, dimusnah, dipinda serta ditambah dan diandaikan agar menjadi suatu hal yang pasti benar jadinya. Sejarah tidak pernah membohongi sesiapa. Apa sahaja yang terjadi berpunca dari tangan-tangan yang mengolahnya. Rentetan peristiwa sehinggalah dikatakan sampai ke ’hari kemerdekaan’, kedapatan amat terlalu banyaknya kebetulan. Kebetulan yang dirancangkan atau sememangnya kebetulan yang ditakdirkan perlukan seseorang yang mampu menghidu event-event yang terjadi. Pembongkaran sejarah yang melihatnya dari dimensi yang berlainan mampu memberi kecerahan pandangan pada ’kemerdekaan’ itu sendiri yang punyai banyak sisi gelapnya dari sisi terangnya. Persoalannya, beranikah kita menyingkap sejarah yang selama ini telah didodoikan dan dilagukan serta telah meresap kejap diminda generasi sekarang. Proses kehidupan berjalan terus. Tiada masa buat golongan lepas merdeka memikirinya. Mengenang, apatah lagi merintih akan ketidakupayaan memandang jauh kehadapan oleh mereka yang diwakilkan untuk dikembalikan kemerdekaan yang kononnya diragut oleh penjajah ’terakhir’ secara penuh muslihat, hanyalah menyerlahkan kebodohan yang selama ini diketahui penuh rahsia oleh penjajah. Perwakilan berunding dengan British adalah diterima dari mereka yang ada kecenderungan untuk bersepakat, manakala yang mungkin menimbulkan masalah serta yang mungkin merugikan mereka diketepikan terus tanpa sebarang sebab. Apakah satu kebetulan bilamana anggota penting KMM ditahan sedangkan 3 beradik berlainan ibu dan berlainan bapa pula katanya(Perikatan)dimanjakan dan disuruh berpakat berbaik-baik sebelum meninggalkan ’legasi’ keberadaan mereka dibumi yang banyak dijarahinya.

Menjadi kepelikan bila burung tempua bersarang rendah. Sepanjang usia aku yang pastinya bertambah saban tahun dan ketikanya bebudak lagi jarang benar terlihatkan sarangnya dipohon yang rendang. Kebiasaan yang umum mengetahui akan tabiat burung ini yang sukakan privasi sesama mereka(maklumat ini kena google-lah) dan menyendiri berbangga. Apakala bersarang rendah, tentulah ada muslihat dan bersebab. Maka, tiga beradik ’sepusat sepusing’ ini telah digulakan dan tanpa sedar atau buat-buat tidak perasan, rela pula digulaikan. Apa tidaknya, tatkala India, Indonesia serta negara serantau lainnya menolak ’immigrant’, kita disebabkan telah terikat dek perjanjian, mendepangkan tangan serta berlapang dada menerima golongan ini sebagai saudara pula.

Pelik lagi menghairankan.


Searah pandangan - terpegun atau terkilan?

Mungkinkah '3' menyampaikan hujung tahun nanti
zaini642 - mengadahlah kita ke-langit, bukan setakat berbangga dengan jet pejuang sebagai tontonan, tapi tetaplah berjuang demi maruah bangsa yang selalu sahaja diperlekehkan oleh mereka yang diibaratkan melepaskan 'anjing' yang tersepit angkara penjajah. Kini kita pula hendak 'digigitnya'.

Friday, August 22, 2014

Pandangan dari jauh



Hari ini seluruh warga negara yang agak-agak permai ini dipinta untuk bertafakur seminit lamanya di dalam menghormati ketibaan jenazah mangsa MH17 yang diterbangkan khas dari Amsterdam. Sebelum semua program yang telah dilangsungkan dan kemudiannya dimaklumkan pada umum, info telah diwar-warkan ke seluruh negara mengenai ketibaan dan aturcara yang dirancang. Keterlibatan semua warga ditagih agar terujudnya kesepakatan. Simpati mudah diperolehi dan dihadirkan. Kesedihan juga cepat menyelinap. Namun berat mana semua mata yang memandang, yang memerhati dan lebih lebih lagilah yang sekadar menjeling sahaja pasti tidak sama beratnya kepada mereka yang telah ditakdirkan menanggung bebanan. Hakikatnya, orang luar sekadar cuba merasai serta menginsafinya yang mungkin untuk seketika sahaja. Betapa sayunya hati buat mereka yang punyai kaitan dengan mangsa tragedi, terganggunya perasaan kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi menjelang 10 hari sahaja lagi menjelang lebaran. Trajisnya peristiwa ini sememangnya tiada siapapun yang meminta. Takdir, tiada siapa yang menduga. KetentuanNya mengatasi segala.

Ketika sedang menonton laporan di 'Buletin Utama', aku teringat kembali bagaimana aku mengetahui peristiwa hitam ini. Masa itu selepas balik berterawikh dalam kurang lebih ke pukul 11:00 malam, terus minta orang rumah sediakan 'black coffee' sambil menyandar di sofa mengadap TV. Program TV pula sibuk menyiarkan kisah cinta berepisode yang banyak meminta penonton turut berkongsi masalah cinta yang dilakonkan oleh pembawa watak yang diarahkan sang pengarah. Pertengahan puasa diketika itu seharusnya diperhebatkan amalan tapi pihak-pihak yang berkepentingan lebih kearah hiburan yang melekakan. Bertentangan serta tidak sensitif dengan situasi ber-Ramadhan. Capai sahaja 'tab' dan terus menyusuri laman blog mengintai catatan terbaru para blogger yang disetkan. 'Mas ditembak jatuh', 'MH17 being shot down' serta beberapa lagilah blog yang merujuk kepada peristiwa itu. Akupun tanyailah orang rumah. Tahu tak sebijik lagi kapalterbang Malaysia kena 'kacau'?. Entahlah bang, mana Edah tahu, lemah aje jawapannya. Maklumkan pada dia, itulah asyik tengok dan ikuti masalah cinta orang aje sampai berita terkinipun tidak tahu. Komentar spontannya ketika membacakan laporan dari blog, 'Najib sejak jadi PM..... macam macam hal berlaku.' Aiik !, kesitu pula dia. Jangan cakap tak tentu, nanti kena cili mulut tu....' , aku sekadar mengingatkan. Kemudian bertubi-tubi pula pertanyaan diajukan, bila, kat mana, macammana, siapa tembak, berapa mati. Yang pasti, 'eager' benar hendak tahu sampai terganggu pembacaan aku melayannya.

Aku ada membuat sedikit catatan setelah mengetahui kejadian pada 17 Julai bersamaan 19 Ramadhan 1435H. Ketikanya hendak memasuki 10 malam terakhir kita digemparkan dengan berita yang menyedihkan bagi warga negara dan tentu sekali memilukan waris mangsa. Namun aku tidak berhasrat meng-upload ketika itu namun tersimpan kemas berpassword lagi didalam 'Dairo' journal aku.

Sedutan coretan dibawah tajuk, ' Alangkah .....'

' Didalam setiap kejadian yang telah berlaku, tidak kiralah yang biasa-biasa ataupun yang tidak pernah dialami sebelumnya pasti akan menimbulkan pelbagai kemungkinan. Kurangnya usaha, kurangnya perhatian atau mudah cakapnya tiada ambil kisah mengakibatkan sesuatu hal itu terjadi. Memang sesuatu yang berlaku adalah yang telah ditakdirkan. Sebagai manusia pastinya tiada apa-apa dayapun untuk menahan apatah lagi menolak sesuatu yang tidak diingini atau yang tidak disukai. Malah untuk keesokkan harinyapun, tiada seorang mampu menelah akan apa yang pasti dihadapi serta lalui. Namun kita sering meluahkan kekesalan bila perkara yang telah berlalu dikenang-kenangkan lebih lebih lagilah yang bertahun lamanya berlaku. Kekesalan akan menjadi-jadi serta membarah dalam diri bila mengimbau kembali peristiwa lama yang trajis ke, yang hitam ke dan yang mengubah terus rutin perjalanan hidup seharian. '


za642 - harapan buat semua waris mangsa, bersabarlah didalam menempuh dugaan. 

Wallahualam.

Thursday, August 14, 2014

Memeriksa Kedudukan Kewangan selepas Raya

14 AUGUST 2014, 07:51 AM
Hari ini aku kembali bercuti mingguan dan untuk 'entah' kali yang keberapa tidak penting untuk dikira waktu sebegini. Tapi apa yang lebih utama diketahui dan amat perlu pula ditangani atau atasinya adalah keadaan kewangan yang makin meruncing. Sejak tahun 2013 lagi telah diazamkan pada diri untuk "bebas hutang" menjelang atau sebaik sahaja memasuki tahun 2014. Akan lebih manis lagi untuk tahun ini bila sampainya 02 Februari, aku melepasi usia 50. Wargatua atau usia emas seperti yang diistilahkan. Kehidupan mungkin akan lebih bermakna serta tenang kerana tidak lagi berserabut memikirkan soal hutang dan mungkin bebas memilih corak perjalanan kehidupan. Ketikanya bebas membuat aktiviti yang selama ini dihajati. Masanya keinginan diri dipenuhi. Sampainya diri ke tempat yang sejak kecil lagi ingin dilawati dan pelbagailah lagi aktiviti lain yang mungkin menyinggahi diri untuk turut sama merasai serta mengalaminya. Namun, hasrat dan impian yang tersimpan kemas dihati, jarang benar selari dengan hakikat yang berlaku. Kerap yang tidak diingini pula yang terjadi. Keinginan yang disembunyikan dalam diri terasa makin lama makin pudar dari ingatan apatah lagi diusia yang sebegini dengan daya ingatan yang perlahan lahan mula menurun maka tidak mustahil segala yang diimpikan mungkin akan terus lenyap sama sekali.

Sejak 3 Syawal 1435H lagi, aku telah mulai membaca autobiograpi Abang Jimmy Buffett yang bertajuk, 'A Pirate Looks at Fifty'. Seorang warga amerika yang menceritakan kisah kehidupannya dari usia kecilnya sehingga mencapai usia 50an. Banyak aktivitinya dimuatkan di dalam bukunya ini yang mungkin membangkitkan keinginan yang sama pada pembaca terutama sekalilah diri aku ini. Betul benarnya penulisannya itu atau berapa banyak sekalipun penambahan cerita sekadar hendak 'exaggerated' agar menjadi lebih menarik bukanlah menjadi persoalan. Pandai pandailah pembaca menilainya dari konteks masa dan zaman.

Excerpt dari coretannya  dibawah tajuk, 'Happy Birthday to Me' pada permulaan perenggan itu dia mencoretkan ...


During my forty-ninth year, I spent a lot of time thinking about what to give myself for my fiftieth birthday. Reaching this landmark was a shock to a lot of people, including me. What immediately came to mind was a trip around the world.'

Apapun aku tertarik dengan unjurannya yang boleh disesuaikan pada diri yang telahpun melepasi angka 50. List atau senarai rancangan yang ingin dilakukannya sebaik berusia 50 amat aku cemburui. Banyak masa diperlukan serta banyak wang yang dibelanjakan semata-mata untuk memenuhi apa yang direncanakan. Tentu sekali banyak usaha yang dilakukan, banyak tenaga yang digunakan serta banyak masa diuntukkan di usia mudanya di dalam pengumpulan dana untuknya 'enjoy bergumbira' di usia emasnya kini.

Abang Jimmy ini sekarang sudahpun berusia 66 tahun dan kebetulan seusia dengan abang long aku yang lahir pada 06/09/1946. Data yang diperolehi dengan meng-google menyatakan yang dia lahir pada 25th December, 1946 atau masa sambutan Chirtsmas tu. Tiada penyesalan dirasai bagi dirinya kerana telah menikmati sepenuhnya kehidupan yang beliau paksakan pada diri pada penilaian aku. Manakala aku di usia yang setaranya nun jauh di Bukit Katil ini masih terkial-kial memenuhi keperluan asas kehidupan. Berbeza sekali antara aku dan dia. Nasib orang begitulah. Apapun hidup perlu diteruskan. Segala dugaan dan rintangan perlu dihadapi. Tidak perlu merintih apatah lagi menangisi. Berusaha dan berikhtiarlah agar hidup lebih bermakna sebelum dijemput pulang.

Kedua-dua gambar ini menceritakan...., sebelum dan sesudah keluar 'break' di kantin pada petang Selasa 12/08/2014. Berselera nampak... Biasanya minum petang dikantin pi pekena nasi paprik, tom yam atau kekadang ke Windmills dan menjengah juga ke Old Town atau tidak tidakpun di food court dengan menu chicken chop atau nasi briyani. Nampak gayanya kena adjust sikit, kalau tak .... parah.
Tengah menikmati minum petang, mee mamak dengan kopi 'O'
Tak sampai 10 minit, habis... licin licau.

za642 - kesian pada Robin Williams yang 'membunuh' diri di usia ke 63 akibat syndrome kemurungan yang dihadapinya pada Isnin 11 August 2014. Lebih lanjut kena googlelah. Pelakon komedi yang berjaya menghibur khalayak tapi gagal menghibur dirinya sendiri.

Thursday, June 19, 2014

Bola dan 'permainan'

Ibisevic

Ibisevic's Amazing Goal

16 JUNE 2014, 08:07 AM
Musim bola datang lagi. Pandai sekali permainan para ejen propaganda didalam meniupkan bayu menjadi angin dan kemudiannya diketika menghampiri detiknya dikerahi pula agar menjadi kencang serta bertukar ribut dimusim bola. Kesepakatan dan kesepaduan tindakan telah menghasilkan suatu fenomena yang tiada seorangpun mampu menafikannya. Tanyailah sesiapa juapun semacam ala-ala program realiti yang pernah dikendalikan oleh Uzt. Khayy yang dulunya vokalis the Riyadh. Pastinya dengan mudah dan pantas sekali jawaban akan diberikan. Tidaklah terkial-kial hendak membacakan doa qunut atau menyatakan syarat-syarat sah sembahyang serta teragak-agak hendak memberikan berapa jumlah rukun sembahyang serta menyebutkannya satu persatu mengikut urutan awal akhirnya. Berpeluh dan resah gelisah hendak menjawab. Sebaliknya, bila ditanyakan negara manakah juara edisi 2010 atau berapa jumlah negara yang bertanding atau negara manakah yang menjuarainya paling banyak, nescaya ramai yang mampu menyatakan dengan penuh yakin. Bayangkanlah snowball effectnya. Tidak terjangkau serta tidak terduga kerana dinamik sekali tindakbalas yang mungkin ujud.
Memandangkan kekerapannya pihak media cetak serta elektronik melaksanakan kerja-kerja 'gila' mereka seperti yang diarahkan, tidak dapat tidak akupun turut menerima informasi mengenainya. Bila kegilaan ini berjaya dihasilkan maka mudahlah pihak-pihak seterusnya menambahkan lagi keinginan serta memenuhi kepuasan kumpulan sasaran ini. Terpulanglah pada individu itu sendiri samada termakan umpan yang ditaburkan merata-rata sekarang ini atau tidak menghiraukannya samada sekali.

Bagi diri aku, memaksa diri menonton siaran langsung bukanlah sesuatu yang perlu aku ikutkan sangat. Memadailah menjenguknya bila ada kelapangan dan bertepatan pula ketikanya aku belum hendak masuk beradu. Info mengenai bola yang terlalu kerap disalurkan kekadang tu mengganggu tontonan rancangan yang sedang diikuti amat menyesakkan. Even tengah mengikuti program bercorak keagamaanpun turut diselangi dengan slot promo Piala Dunia 2014. Bukan setakat Astro sahaja malah TV3 @ Media Prima dan RTM jugapun turut tidak ketinggalan mewar-warkannya demi menjaga rating tontonan untuk siaran TV masing-masing. Memang benarlah customers always at the losing end. Mahu tidak mahu, suka tidak suka ataupun hendak atau tidak hendak para penonton dipaksa juga menonton promo yang dihadapkan saban hari serta kekerapan penyiarannya menjadi semakin galak bila tiba masa dan ketikanya. Kesannya dari tidak tahu menjadi semakin tahu dan teruja pula hendak mengikuti perkembangan seterusnya mengenai bola. Bila mula dan berakhirnya telah diregisterkan didalam 'hard drive'. Malah semua pemain bertaraf bintang untuk negara yang terlibat turut diketengahkan bagi memastikan kumpulan sasaran senantiasa mendapatkan input-input terkini untuk dibualkan sebagai perisa yang ampuh ketika menonton siaran langsung terutamanya. 

Medium yang amat berkesan didalam menyalurkan info kepada seluruh warga Malaysia tapi sayang sekali tidak dimanfaatkan sebaiknya. Alangkah elok andai maklumat mengenai Islam diperbanyakkan yang bukan sekadar tentang fardhu ain sahaja malah mencakupi dalam segala hal kehidupan didunia apatah lagi tentang hal kehidupan dialam akhirat nantinya. Bilanya pihak yang dipertanggungjawab masih gagal dan leka dengan hal-hal yang remeh temeh, misalnya pihak berkuasa agama di Penang telah mengenal pasti 42 hotspot diseluruh negeri Pulau Pinang sepertimana yang dilaporkan semalam akan dipantau bagi menahan orang islam yang mengelak untuk berpuasa atau makan disiang hari. Usaha pencegahan amat dialu-alukan tapi dalam hal inipun banyak aspeks seolah-olah terbuka luas untuk dipertikaikan. Apakah jaminan yang ianya bakal berjaya dikekang. Atau mungkinkah akan ada lebih banyak lagi hotspots bagi golongan tertentu untuk menjamu selera mereka di siang hari pada bulan Ramadhan 1435H ini. Sejauhmanakah pemahaman tentang puasa golongan yang cuba dipantau ini telah mereka ketahui. Kenapakah tiada usaha untuk mentarbiah golongan yang kurang peka terhadap keperluan agama yang sememangnya diwarisi turun temurun. Apakah pihak yang menjaga hal ehwal agama boleh terlepas pandang tentang perlunya diperkukuhkan ilmu keagamaan sejak sebelum baligh lagi. Mengharapkan orang perseorangan untuk memantau serta mengawal selia keadaan umat islam seluruhnya amat tidak praktikal. Kesatuan tindakan yang pelbagai tapi menjurus ke satu matlamat oleh mereka yang bertanggungjawab amat dituntut. Waima orang jabatan agama yang telah diberi mandat, orang perseorangan yang prihatin akan keperluan membantu serta membimbing sesama Islam mahupun juga pihak NGO yang lorat penuh makna dan misteri serta senantiasa cepat mendepani masalah yang kerajaan yang memerintah yang kononnya cuba untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi tapi sunyi sepi bilamana yang bersangkutan dengan hal-hal keagamaan.

Berbalik semula kepada bola ini, banyak kenangan yang terimbau untuk direnungi. Masih terbayang lagi bilamana selepas selesai menduduki Penilaian Darjah 5 pada tahun 1975 yang setara dengan UPSR untuk darjah 6 kininya dan bakal dihapuskan dalam 2 tahun lagi, pelajar dibenarkan membuat aktiviti bebas sekadar menghabiskan masa menunggu cuti akhir tahun. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan diantara banyak program yang dirangkakan adalah pertandingan bolasepak 'inter-class'. Kelas 5B yang menjadi juara dalam pertandingan 'round robin' dikenali setelah dipersetujui bersama sebagai pasukan Bulgaria. Menjadi juara merupakan suatu kepuasan yang hanya mereka yang bergelar juara sahaja yang  mampu mengukirkan manisnya atau peritnya kejayaan yang dirangkul. Mengambil semangat kejohanan bolasepak piala dunia 1974 membuatkan kami murid darjah 5 ketika itu didalam status yang terbaik untuk enjoy selepas menduduki peperiksaan tersebut dan tahun berikutnya menjadi senior pula. 9 pasukan dari 9 kelas yang ada untuk Darjah 6(3), Darjah 5(3) dan Darjah 4(3) menyertai tournament. Pasukan Bulgaria mendapat markah tertinggi dan bergelar juara. Terbayang lagi semasa mendapat tepukan gemuruh didalam dewan perhimpunan untuk bersalaman dengan guru dipentas bagi menerima hadiah. Dari hujung dewan lagi budak budak junior yang berpeluang dan proud dengan rumah seladang khasnya bersalaman dengan team kita ketika melintasi tengah dewan menyampaikan ke pentas dewan. Menjadi tumpuan sememangnya banyak mencuri masa kita. Selepas peristiharan itu, bila kekantin diwaktu rehat, ramailah bebudak junior yang menegur dan ucapkan syabas lebih lebih lagilah yang sama rumah iaitu  Rumah Seladang. Masa nak masuk tandaspun ada yang mengenali dan berteguran. Inilah bahana menjadi juara. Kebanyakan team 5B alias Bulgaria dibarisi oleh budak Rumah Seladang. Baiknya ketua pasukan, Zainal Abidin Abdullah(budak Ujung Pasir) yang main diposisi attaking midfielder, aku sendiri diposisi left winger, beberapa pemain back serta keeper yang lupa pula nama mereka menjadi tonggak kekuatan Bulgaria. Persefahaman yang lama terjalin dalam team rumah seladang ini sejak awal tahun lagi menjadi pemerhatian guru PJ atau PE, Mr. Gan yang merangkap coach team sekolah untuk kejohanan inter-school pula untuk tahun 1976. Kerap juga semasa sessi PE(physical education), coach suruh ambil sepakan korner disebelah kanan tiang gol kerana aku boleh melambungkan bola 'inswinger' kearah depan pintu gol lawan. Pernah menjadi buah mulut bila tendangan melengkung aku tu terus masuk kehujung sebelah atas kanan goal post. Bila lambungan bola rendah atau tidak digemarinya, coach akan arahkan aku ambil korner sekali lagi. Dan setiap kali team aku dapat corner kick disebelah kiri gol lawan ni, maka akulah yang terpaksa berlari dari posisi untuk menyempurnakan sepakan korner. Malangnya semasa sesi pemilihan pemain mewakili sekolah pada suatu hari di bulan Disember 1975, aku tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa bertarung hebat untuk menjadi dewasa dengan mengagahi diri dikhatankan secara kampung. Duduk diatas batang pisang dengan tok mudimnya bermisai tebal yang tipikal gambarannya dengan dipegang sampai tidak mampu bergerak sedikitpun oleh Abang Tambi dan dua lagi abang saudara. Lupa sudah dengan tarikh selection dan ditambah pula dengan menahan ngilu selepas kena penangan pisau tok mudim. Diawal tahun 1976, semasa memulakan sesi persekolahan darjah 6, ramai member bertanyakan kenapa tidak hadir masa pemilihan team bola sekolah pada bulan Disember lalu. Coach tanya pasal apa aku tidak hadir masa pemilihan pada rakan-rakan yang hadir. Seorangpun tidak tahu sebabnya. Maka terlepaslah peluang untuk mewakili sekolah disebabkan khatan yang perlu dihadapi. 

Apapun pandai benar pihak Astro untuk permainkan golongan sasar mereka. Ada ke disuruhnya kita untuk melanggan lagi dengan Astro Sport pula andaikata ingin mengikuti kesemua 64 perlawanan. Sudahlah fee langganan dengan Astro telah dinaikkan yang kononnya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka walaupun menjadi polemik sekejap akan perlu tidaknya dinaikkan. Namun kita ada pilihan. Kalau mahu tengok semuanya kenalah bayar lagi untuk saluran Astro sports tapi andaikata tidak mahu biarkan sahaja. Jangan termakan umpan yang dihamburkan. Apapun sebagai memancing pelanggan sedia ada Astro, kita berpeluanglah mengikuti perlawanan pembukaan Piala Dunia edisi 2014 ini. Game pertama antara Brazil dengan Croatia. Semua orang sedia maklum akan kemenangan pada pasukan tuan rumah. Tapi bagi diri aku pula bukan kemenangan yang menjadi keutamaan didalam mengukur kejayaan tapi adalah usaha bijak mengatasi pihak lawan. Jahatnya permainan ini adalah tidak membenarkan pihak lawan menjaringkan gol dan sedaya upayanya menghalangi usaha pihak lawan membolosi pintu gol mereka pula. Didalam dua pasukan yang bertanding dimana aku tidak menyokong mana mana team, aku lebih cenderung menyebelahi pasukan yang 'down'. Perancangan serta usaha gigih mereka serta dengan keberanian dan kepintaran menyerang mungkin akan menghasilkan gol. Perancangan jahat pasukan yang leading dengan sekadar bertahan mengagalkan segala cubaan pihak lawan amat tidak menarik perhatian aku kerana takut mengalami kekalahan. Ini membosankan. Sebenarnya, permainan bola, perlukan kerja keras untuk senantiasa cemerlang dalam semua bahagian, barulah kemenangan itu penuh erti. Permainan yang melibatkan pasukan yang gah menentang pasukan yang kerdil, aku lebih senang menyebelahi pasukan yang berkemungkinan untuk kalah. Kekentalan serta semangat juang mereka membuatkan game lebih bervariasi. Tidak mustahil juga keputusan upset boleh tercipta. 

Sebenarnya banyak hal yang boleh diaplikasikan didalam kehidupan seharian bagi mereka yang mahu mengunapakainya. Antara kenyataan yang utama adalah kerja berpasukan yang mantap boleh mencapai kejayaan. Begitu juga semangat gigih serta fokus kepada arahan dan misi pasukan jarang sekali mengecewakan. Banyak lagilah iktibar yang boleh digarapkan dari permainan ini. Umpamanya pemain yang diangkat sebagai pemain terbaik Fifa belum tentu lagi boleh menyerlah. Messi pada game menentang Bosnia pagi ini nyaris dimalukan bila gagal menyerlah serta terkial-kial pula mencari gol sulung buat pasukannya. Malah gol pertama Argentina dihadiahkan pula oleh Kolasinac pada minit ke-3 permainan. Nampak macam Bosnia boleh makan. Dalam pada itu komen komen selari yang sama sibuk ketika game tengah rancak sedikit menganggu tumpuan. Kekadang tu ulasan yang dibuat tu memakan diri. Sebelum Messi membuat larian ke pintu gol lawan adalah dalam 3 ke 4 minit ketika mencipta gol sulung peribadinya untuk Piala Dunia ini pada minit ke 65, pengulas seakan mengutuk kebolehan Messi bilamana mempertikaikan kemampuannya di piala dunia. Edisi 2010, Messi gagal menjaringkan sebarang gol dan sampai ke minit semasa membuat ulasan masih belum berjaya menjaringkan gol. Begitu jugalah ketika melaporkan yang pihak Bosnia telah mula hilang semangat. Habis sahaja menyebutnya, tiba-tiba Ibisevic melorongkan bola betul-betul dicelah kelengkang keeper Argentina diminit ke-84 permainan. Meleleh sahaja bola bergolek kepintu gol. Aku gelakkan pengulas tersebut yang tidak menyangka perkara sebaliknya pula yang berlaku. Maknanya setiap detik sehingga saat terakhir  permainan, maka segalanya berkemungkinan. Begitu jugalah didalam kehidupan ini, yang kaya tidak semestinya akan kekal kaya dipenghujung hayatnya dan golongan marhaein boleh sahaja dihormati juga dengan keizinanNya. Yang pasti banyak masa akan terbuang dan menjadi tidak produktif buat golongan sasar ini disepanjang musim bola yang akan berakhir pada 13 Julai nanti bersamaan 15 Ramadhan 1435H. Pilihan ditangan sendiri. Hendak yang mana. Masa tidak akan menunggu kita. Buat perkara yang betul ke atau buat yang salah juga, dunia ini tidak akan berhenti berputar disebabkan tindakan kita. Ianya akan terus berputar dan berputar sehinggalah sampai kedetik akhirnya.

والله اعلم !          

Saturday, June 14, 2014

Kejadian pertama kalinya menimpa diri...

 14 JUNE 2014, 07:23


Kejadian pertama kalinya menimpa diri


Semalam kurang lebih pukul 5:30pm aku menyinggahi Stesen Caltex di Bukit Duyung semasa didalam perjalanan ke Pekan Kandang untuk perguntingan rambut Yusree dan Yaseer. Pada awalnya mendatangi stesen minyak tentulah untuk top-up tangki minyak yang sentiasa meminta ditambah tanpa disuruh. Tugasan routine yang semakin cekap dilakukan sejak dikuatkuasakan konsep layandiri beberapa tahun dahulu. Bantahan diperingkat awal oleh para pengguna seakan tidak dihiraukan oleh pihak pengusaha stesen minyak lebih lebih lagi pihak kerajaan termakan dengan alasan yang dikemukan dan seolah-olah menyebelahi mereka pula. Kementerian kepenggunaan pula makin  galak menyampaikan maklumat yang menjurus kepada pihak pengusaha stesen minyak khasnya dan langsung tidak memihak kepada para pengguna umumnya.


Apapun, seketika menggangkat nozzle dari Pam no.6, tetiba sahaja minyak menyembur keluar dan tidak sempat sampai ke mulut tangki minyak kereta Porsche aku itu. Minyak habis meleleh didinding sebelah bawah tangki sampailah penutup roda serta rodanya sekali turut terkena lelehan minyak. Masih tidak merasakan apa-apa lagi serta bersangka baik, mungkin aku tertekan picu nozzle minyak sehinggakan menyebabkan minyak terpancut awal. Namun selepas anggaran seminit berlaku secara tiba-tiba pula hose yang bersambung ke pam tertanggal dan hampir mengenai kepala. Kalau tidak mungkin boleh jadi biol pula. Paparan di skrin menunjukkan RM16.79 ketika ianya terhenti.


Tidak kalut dengan kejadian ini, terus sahajalah aku berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Maklumkan yang aku sekadar sempat menuang sebanyak RM16.79 sambil penugas dikaunter melihat diskrin desktopnya. Tanpa disuruh, dia menyerahkan lebihan baki yang sepatutnya aku mengisi RM20.00. Ingatkan agar kejadian ini tidak akan berlaku lagi. Memang tidak aku sangkakan yang aku akan menghadapi kesulitan sebegini. Terperanjat, tentu sahajalah aku terperanjat. Tidak semena mena dan entah macammana hose-nya boleh terpisah. Pelik andai difikirkan. Adalah besar kemungkinannya yang 'technician' yang mengendalikan kerja kerja maintenance tidak memastikan yang sambungan itu benar benar ketat bersambung.


Inilah akibatnya jika kerja dibuat tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Asal siap sahaja. Mana boleh sebegitu. Sudahlah dan tentunyalah dibayar setimpal dengan kerja yang dibuat tapi malangnya mutu kerja pula tidak mencapai standard piawaian yang ditetapkan. Hendak dikatakan tidak berpengalaman pastinya tidak patut kerana mereka yang terbabit dengan kerja kerja 'oil and gas' ini adalah mereka yang berkelayakan dan telah mencapai tauliah lantikan. Bahaya meletup terbakar selalunya dikaitkan dengan 'industri' ini. Tapi macammana hal sedemikian boleh terlepas terjadi.


Apapun yang kita lalukan, seeloknya jangan gopoh hendak cepat siap. Lakukan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin agar 'rezeki' yang dikurniakan itu barakah.


Friday, March 7, 2014

Aku Jangan Digoda




                                          The Queens - Aku Jangan Digoda

Dalam pada surf lagu-lagu 80an di laman Youtube untuk sessi mengimbau kembali kenangan dizaman remaja dahulu, aku terkliklah lagu dari kumpulan 'The Queens'. Mulanya hanya sekadar hendak mendengar lagu disco 80an dengan menyusuri keywords 'Back to the 80s' dan bila tekan aje enter button kat google tu, nah kau!, berderetlah yang keluar. Amat mengemari lagu-lagu terutamanya dari nyanyian Modern Talking dan C C Catch dengan rentak disconya. Excited bila dengar irama music yang banyak menonjolkan bunyi bass. Dari satu lagu ke satu lagu aku perdengarkan untuk halwa telinga. Yang kurang ummph tu aku tukarkan ke tajuk lagu lain pula. Mana yang ok kudengarinya sampai habis. Dan dalam dalam pada scroll down satu persatu aku terkliklah youtube 'The Queens'. Ingatkan group dari UK yang penyanyi utamanya(Freddie Mercury) mengemparkan dunia bila mati diusia tengah top disebabkan penyakit Aids kalau tidak silap diawal 90an. Tapi rupanya penyanyi 'duo' adik-beradik dari Singapura. Lagunya lagu melayu tapi nama kumpulan bunyi inggeris. Memang begitulah trendnya di era 70an/80an gamaknya. Kalau bubuh nama melayu, alamat tidak lakulah album. Mungkin penerbit/producernya mahukan nama yang komersial dan ditambah pula oleh penyanyi yang semangat Melayunya kurang dan tergila-gila hendak popular dan ditokok pula oleh peminat lagu-lagu melayu yang mahukan nama kumpulan yang senang diingati, dapatnya nama yang berbaur inggeris lagi longkahlah hendak beli album penyanyi tersebut. Sekitar darjah enam lagi sudah tahu nama kumpulan Black Dog Bone, kemudiannya Carefree-lah, Alleycats-lah, Heavy Machine-lah, Discovery-lah malah group dari Indon pun apply approach yang serupa. Siapa yang tidak meminati kumpulan The Mercy's, Koes Plus, Favourite Group dan D'lloyd tapi banyak bawakan lagu pop dangdut dan pop melayu ketika itu. Lagu tak ok pun tak apa, tapi nama band mesti gah. Barulah orang akan beliak mata melihat kelibat mereka bila buat stageshow.

Nama nama band yang disebutkan ini pula bukan sebarangan aje aku menyebutnya. Banyak album mereka dalam bentuk LP menjadi koleksi peribadi dan disimpan siap berbungkus lagi kat bawah katil. Terperuk dan tidak pernah disentuh. Lebih-lebih lagi kininya amat mudah untuk flashback. Ingat tajuk lagu atau ingat penyanyinya sahaja sudah memadai untuk track down lagu mereka di internet. Kalau berhajat boleh terus download. Agak-agaknya, gejala sebegini boleh nangis sedara Yusuf Haslam kita, sampaikan anaknya si shamsul merajuk terus dek gejala download mendownload ni. Masa tu belum ada lagilah teknologi sedemikian. Computer pun belum menjadi bualan lagi apatah lagi memilikinya. Melelehlah juga hendak kumpulkan duit buat beli piring hitam. Biasanya duit saku aku tidak belanjakan. Aku ambil pendekatan reverse psychology dalam usaha menyimpan. Bulan puasa boleh menahan lapar dari pagi hingga ke senja, ini sampai tengahhari sahaja tentu kacang sahaja. Amalan yang dibuat adalah ambil sarapan lebih sedikit dari kebiasaan. Genap sahaja jumlahnya bergegas le ke 'Kedai Record Yee Hai' di Jalan Bunga Raya untuk mencari album baru yang dipasarkan. Target dah setkan awal-awal. Biasanya info tentang lagu-lagu baru didengari dari Radio. Bukan siaran permintaan lagu tapi via program album baru yang ditaja oleh syarikat record yang ada masa itu. Slot program mereka pada hari minggu dengan dj program untuk 'EMI' dan 'WEA' yang berselang setengah jam antara keduanya beria-ia mempromosikan album baru atau penyanyi baru keluaran syarikat masing-masing. Kaedah marketing sedemikian mengena pula pada aku yang mudah dipancing.

Masih kekal sama seperti dahulu


Berbalik pada 'The Queens' yang terkenangkan ini, amat-amat tidak berpuashati olehku akan kisah yang menimpanya. Mereka ini masa tu my sweetheart lah juga terutama sekali si Farah ni dan sebaris juga dengan Mazuin Hamzah yang suara manjanya dengan raut muka mereka yang terlalu innocent serta menjadi pujaan hati ribuan peminat ketika itu tapi diragut pula oleh kumbang durjana. Memang aku tertinggal bas. Tertinggal baspun bersebab. Melanjutkan pelajaran dan kekangan masa mengakibatkan aku agak terlewat menerima info. Menjadi kebiasaan aku pula, suka melihat sesuatu hal dari sudut pandang yang berbeza. Komen-komen dari pengunjung aku baca kerana ulasan mereka lebih direct dan lebih jujur dari pemberita-pemberita yang terlalu amat dan suka memutarbelitkan fakta untuk tatapan pembaca. Kekadang itu terfikir juga, bila maklumat yang tidak benar disampaikan bukankah itu suatu pembohongan namanya dan lebih teruk jika dikelaskan sebagai fitnah pula. Mana perginya etika kewartawanan sipemberita. Editornyapun satu hal. Hendak lakukan suratkhabar masing-masing, soal prinsip ditolakkan ketepi. Janji suratkhabarnya laku biarpun penuh dengan berita sensasi dan cerita yang tidak benar ataupun tidak pernah berlaku. Hanya berdasarkan khayalan dan perasaan sahaja. Boleh begitu gamaknya?

Komen dari Dimitri Santangelo yang paling atas tapi telah berusia lebih dari 2 tahun sebagai membalas komen yang dibuat oleh Ahmadped setahun terdahulu darinya,

     'Farah Diba deserves a better person than that womanizer, Aman Shah! LOL!'

Hendak tahu juga tentang apa yang dikomenkan oleh si Ahmadped ni lalu scroll down-lah aku. Kata si Ahmadped pula, 

'............ Farahdiba dah 15 tahun bercerai dengan Aman Shah........' 

Maka, kalau benarlah facts yang dinyatakan bermakna mereka bercerai sekitar tahun 1996. Singkatnya usia perkahwinan mereka dan tahu tahu sudah bercerai. Pandangan umum merangkap peminat ini sukar dipandang sepi begitu sahaja. Menjadi selebritipun atas kerelaan sendiri. Tiada sesiapapun yang memaksa. Namun harganya terlalu mahal untuk menebusnya kembali. Setiap perilaku dan perkembangan diperhatikan. Bak kata 
kumpulan Rockwell-pun, '..... i always feel now, somebody's watching me!' 

Ada kebenarannya juga, bait-bait lagu yang disampaikan merupakan suatu 'doa' atau harapan. Betul benar terjadinya atau sebaliknya boleh diperhalusikan lagi atau mana yang mampu boleh membuat thesis untuk pHD pula. Misalnya lagu 'Aku Jangan Digoda' nampak gayanya terkena batang hidung sendiri.


Namun apa yang pasti bukan sahaja orang yang sezaman yang maklum akan cerita ini malahan juga budak-budak sekarangpun yang tak tahu menahupun dah gobar satu nusantara. Itulah teknologi namanya, sekali maklumat diuploadkan maka sampai bila-bilapun ianya akan floating di alam maya. Makanya maklumat yang disalurkan dari para surfer akan menjadi info berguna untuk dicerapkan. Betul atau salah pandai pandai sendirilah menilaikannya.Disertakan juga komen pengunjung untuk dinilaikan dan dihakimi kebenarannya.



Thursday, March 6, 2014

Cinta Palsu 80an Dijejaki Kembali Hari Ini

Suatu hari dalam minggu lalu ketika hendak berpergian ke tempat kerja, aku mendengari lagu yang boleh juga dikatakan popularlah masa diawal 80an. Tidak pasti pula samada mendengarnya menerusi siaran Sinar FM yang terkenal dengan tagline 'Muzik Retro Terbaik'nya atau dari CD yang dimainkan di Deck player. Biasanya aku akan alternate pendengaran antara keduanya. Bila program atau lagu yang diputarkan oleh stesen radio Astro tak 'mengancam', aku akan tekan button CD dan berkumandanglah lagu yang suited dengan pendengaran aku yang telah tersedia diletakkan didalam slot CD. 




                                           Quinary M - Cinta Palsu

Apapun yang pastinya bila lagu 'Cinta Palsu' berkumandang dengan intro bunyi-bunyian picitan keyboard oleh abang Mazuin iaitu Mazlan ketika di persimpangan Bukit Katil bersebelahan dengan Hotel Kings, aku cuba recall kembali akan lagu hits dari Mazuin. Lampu trafik mengarahkan berhenti dan dengan air-cond. yang dibesarkan agar lebih terasa kedinginan ditengahari tu serta diiringi pula dengan mendayu-dayunya lagu nyanyian Mazuin ni, aku entah macam mana terimbau kisahnya di tahun 80an dan terkenangkan apa yang Mazuin alami kini. 

Itulah, apa yang tidak ingin terjadi dan tidak pernah terfikir akan berlaku telahpun  terjadi dan tersebar luas. Tidak perlu bersusah susah untuk dapatkan maklumat, goggle sahaja maka apa apa tentang Mazuin dari a hingga z tersedia untuk dibaca. Nasib orang kita sudah tahu tapi nasib diri sendiri bagaimana pula. Mahu gila dibuatnya bila sesuatu yang tidak diingini benar benar terjadi pada diri sendiri pula tatkala kita tidak bersedia menghadapinya. Apapun ikhtibar dari peristiwa yang menimpa orang yang kita kenali perlu dijadikan panduan didalam mengharungi kehidupan. Inilah yang sepatutnya. Mengesali dan lebih teruk lagi mengutuk perbuatan yang telahpun terjadi oleh mereka yang berperanan sebagai consultant tidak dilantik, penceramah tidak bertauliah mahupun motivator tak bergaji amat mengecewakan. Kejadian yang berlaku ini  adalah versi terkini yang Allah swt hadirkan buat umatnya memikirkan peripentingnya institusi kekeluargaan. Terutamanya pihak pihak yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk mengendalikan bab cerai-berai ni. Bagi pihak individu pula perlukan satu kaedah berkesan untuk mengetahui hak-hak yang perlu dibuat dan yang harus dituntut lepas bercerai. Semuanya ini seolah-olah untuk kita memeriksa kembali adab adab yang kena kita fahami dan cuba perkemaskan lagi agar tiada siapa juapun yang teraniaya. Al-maklumlah bukan semua orang terpilih untuk mendapat privilege ini. Hanya mereka yang dikasihiNya dan sememangnya yang boleh absorb 'ujian' dari Allah swt sahajalah yang diuji olehNya.

Apapun, hanyalah لاحول ولاقوه الا بالله